Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Nurul ( bekas isteri Ajai ). Show all posts
Showing posts with label Nurul ( bekas isteri Ajai ). Show all posts
Nurul berniaga pula
AGAK lama juga Nurul Huda Abdul Wahab, 37, tidak muncul dengan album baharu dan gara-gara itu, ramai yang beranggapan dia kurang aktif dalam bidang seni.
Tambahan pula sejak melahirkan Zachary Depp pada 9 Oktober 2013, dia pasti sibuk mengurus anak keduanya, selepas Ayu Nazirah Mohd. Faizal, yang sudah berusia 15 tahun itu.
Isteri kepada Eric Daniel Depp, 48, itu berkata, walaupun tanpa produk baharu, dia tetap mendapat undangan mengadakan persembahan.
"Saya masih aktif cuma tidak ada album baharu saja. Sekarang ini saya sedang tunggu Shila Amzah buat lagu. Saya faham dia tengah sibuk sekarang ini, lambat pun tak apa kerana saya tahu kalau dia buat kerja mesti yang terbaik.
"Lagipun sekarang ini saya sibuk dengan perniagaan atas talian. Saya baru sahaja lancar jualan baju kurung Pahang di bawah jenama Newrules Collection," ceritanya kepada Hits.
Menurut Nurul, sudah lama dia berangan untuk menjual baju dengan jenama sendiri dan idea itu baru sahaja terlaksana.
"Sebenarnya idea nak jual baju kurung Pahang timbul selepas saya hadiahkan sepasang baju kepada mertua. Dia kata baju tu cantik dan mencadangkan saya supaya menjual.
"Dari situ saya tergerak untuk buat jualan baju kurung Pahang. Lagipun saya memang ada tukang jahit yang sudah lama menjahit baju kurung untuk saya iaitu kakak angkat, kak Sha. Baju jahitannya memang selesa dipakai," katanya.
Bermula dari situlah, Nurul mengambil inisiatif untuk mempamerkan baju jahitan Sha di atas talian dan katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
"Kami menjual 12 jenis rekaan yang diperbuat daripada kain kapas, linen dan grid dalam tiga saiz (L,M,S) dengan pelbagai warna. Saya bukan setakat menjual, sebelum digunting menjadi baju, saya dan Kak Sha sama-sama pergi membeli kain.
"Walaupun baharu dibuka tetapi permintaan amat menggalakkan. Harga yang kami tawar untuk sepasang baju adalah RM280 termasuk wang hantaran sekali. Biarpun permintaan banyak, saya tidak ada masalah kerana kak Sha cekap dalam kerja-kerjanya," jelas Nurul.
Rupa-rupanya, di waktu yang sama Nurul juga cuba mengintai untuk berniaga kasut pula. Katanya, dia memilih untuk menjual kasut kerana kesukaannya yang suka mengumpul kasut.
"Saya pilih produk yang saya suka dan tahu, macam kasut ni. Buat permulaan, saya hanya ubah sedikit sahaja rekaan kasut sedia ada di kilang. Sebenarnya saya ada beberapa rekaan kasut, sekarang ini tunggu masa yang sesuai sahaja untuk dihasilkan.
"Cukuplah setakat ini niaga baju kurung Pahang, kasut dan air beralkali. Disebabkan sibuk dengan bisnes ini, saya terpaksa tangguh dulu untuk rakam single baharu. Lagipun Shila sibuk dengan kerjaya dia, jadi saya pun tidak kisah. Sebenarnya bila sudah berniaga ini, seronok pula dan lagipun, suami sentiasa memberi sokongan," katanya terus terang.
HABIS PANTANG, NURUL WAHAB KEMBALI AKTIF
Setelah berpantang lama, akhirnya Nurul kembali aktif dalam bidang seni apabila membuat persembahan pertamanya di majlis makan malam, Pusat Membeli belah Sogo, semalam. Meskipun sedkit kekok, namun sebagai orang lama, pastinya Nurul pandai menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
"Punyalah lama tak pakai kasut tinggi! 9 Bulan lamanya," ujar Nurul yang masih fit mengenakan baju ketat. Heh.
Nurul bakal dapat anak lelaki
Penyanyi Nurul Wahab bakal menimang anak lelaki apabila bersalin kelak.
Dia yang sedang hamil enam bulan setengah, membuat pengumuman tentang jantina bayi yang dikandung pada konsert akhir program Ceria PopStar di Astro, Bukit Jalil di sini hari ini.
Nurul yang merupakan juri tetap program tersebut dijadual bersalin pada 15 Oktober depan.
"Alhamdulillah, sewaktu saya pergi melakukan imbasan untuk mengetahui jantina bayi dua minggu lalu, doktor mengesahkan bayi yang saya kandung adalah lelaki.
"Saya gembira sangat kerana bakal dapat anak lelaki, lagipun Ayu Nazirah (anak) memang nak adik lelaki. Harap saya dan bayi sihat sehingga bersalin nanti," katanya tersenyum.
Bagi meraikan kegembiraan tersebut, Nurul dan suami Eric Depp akan pergi ke Perancis pada malam esok untuk bertemu dengan mertuanya.
Pasangan itu akan menyambut Ramadan di sana sehingga 22 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE
Nurul Wahab Pilih Blog Untuk Kembali Menulis
Bukan mudah untuk menjadi seorang penulis, apatah lagi jika anda adalah seorang selebriti.
Namun, berlainan pula bagi penyanyi yang juga bekas isteri Ajai iaitu Nurul Wahab. Selebriti ini telah memilih untuk kembali menulis setelah sekian lama dia meninggalkan bidang itu.
Sebelum ini, Nurul pernah menulis buku biografi mengenai dirinya. Kini, Nurul kembali menulis dan memilih blog sebagai medium untuk dia mengekspresikan penulisannya. Menurut Murai, alasan untuk Nurul memilih blog sebagai medium adalah kerana kini ramai yang memilih media baru berbanding media konvensional.
Buat masa kini, blog Nurul masih belum dilancarkan lagi. Namun ianya akan diumumkan dalam masa terdekat. Jadi, kepada anda yang gemar membaca nukilan di blog-blog tempatan, pelancaran blog Nurul adalah satu bonus untuk para peminat penyanyi yang popular dengan lagu “Kerana Terluka” ini.
Nurul Wahab Tidak Jahil Ajar Suami Tentang Islam
KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab menegaskan dia bukanlah manusia yang terlalu jahil tentang agama Islam sehingga tidak mampu untuk membimbing suaminya, Eric Daniel Depp, menjadi Muslim sebenar.
Nurul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 35, berkata, walaupun pada luaran penampilannya dilihat moden, namun dia tahu tentang tanggungjawab untuk mendidik suaminya yang berasal dari Perancis itu.
"Jangan ingat luaran saya berimej moden dan saya tidak tahu apa-apa tentang agama yang dianuti. Saya tidak perlu menunjuk atau membuktikan kepada sesiapa kerana ia adalah di antara saya dan Allah sahaja yang mengetahui.
"Lagipun, untuk membimbing seorang mualaf mengenali Islam bukannya boleh dibuat dalam masa sehari. Nabi Muhammad S.A.W pun mengambil masa lama untuk menyebarkan agamanya," katanya yang ditemui pada pelancaran duta produk kecantikan Skinz Infinate di Flora Terrace, di sini, petang Isnin.
Nurul diminta mengulas kononnya dia gagal membimbing suaminya yang baru memeluk Islam untuk menjadi seorang Muslim yang mengamalkan ilmu-ilmu agama itu.
Tambah Nurul, dia juga mempunyai cara tersendiri dalam membimbing hal-hal agama terhadap suaminya yang berusia 47 tahun itu dan berharap isu suaminya tidak diberi pendedahan Islam sewajarnya tidak lagi timbul.
"Mujurlah Eriq seorang yang begitu positif dalam memandang kehidupan dan isu-isu sebegini tidak mengecilkan hatinya pun. Setakat ini dia faham dengan amalan harian yang saya lakukan iaitu menunaikan solat lima waktu serta mengaji kitab Al-Quran.
"Kita tidak boleh terlalu memaksa kerana dia juga mempunyai pegangan agama lain sebelum ini, cuma untuk berubah arah semua itu perlu dibuat perlahan-lahan," tegasnya.
Nurul yang baru pulang daripada meraikan majlis resepsi perkahwinannya di Bali, Indonesia pada 19 Jun lalu memberitahu, selepas pelbagai persoalan yang timbul mengenai perkahwinannya, dia mengambil pendekatan untuk tidak menceritakan tentang hal-hal peribadinya lagi.
"Cukuplah semua orang dah tahu bahawa saya kini sudah berkahwin. Selepas ini, saya tidak akan menceritakan apa-apa tentang hal-hal peribadi.
"Pengalaman lalu telah mengajar saya dan apa yang dapat disimpulkan, buatlah apa sahaja, orang tetap akan mengkritik.
"Bagaimanapun, saya tidak kisah jika orang masih lagi ingin memperkatakan tentang diri ini, saya terima dengan hati yang terbuka," ujarnya.
Nurul dan Eriq bernikah di Duchess Place, Jalan Ampang, dekat sini pada 6 Jun lalu.
Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan langkah itu berjaya meyakinkan Nurul untuk mengangkat lelaki tersebut sebagai suami.
Eric teman sejiwa Nurul
Risau Ayu Hilang Selepas Nurul Jadi Isteri
Nurul Wahab Sah Jadi Isteri Eric Depp
Nurul mahu lebih eksklusif
Barangkali semua wanita yang bakal diijabkabul dihinggapi angan yang sama, namun perasan yang mengepung bakal pengantin bernama Nurul Huda Wahab kali ini sedikit berbeza.
Hendak dikatakan terlalu teruja barangkali keterlaluan, namun itulah hakikatnya. Tempoh lima tahun menjanda, pernah dihambat episod duka, dikecam juga dengan banyak cerita, dia bagaimanapun seteguh karang di laut terhampar. Membentuk kehidupan sebagai ibu tunggal popular, Nurul akur dengan rutin hidupnya.
Sedikit demi sedikit, dia mula merasai, tidak semua perkara boleh dikongsi dengan semua pihak. Nurul kini lebih matang dalam melayar haluannya.
"Dulu kisah peribadi menjadi bahan perniagaan dan karier saya, saya belajar daripada pengalaman. Sikap terlalu terbuka ada masanya menjadi senjata ampuh untuk menjatuhkan saya," katanya yang memilih untuk semakin eksklusif dalam soal publisiti.
Akhirnya, satu berita yang dimahukan daripadanya telahpun diperoleh umum. Nurul Huda Abdul Wahab, 35, yang juga bekas isteri komposer ternama Ajai sudah pun menetapkan tarikh 6 Jun nanti untuk menamatkan zaman solo bersama seorang lelaki Perancis, Eric Daniel Depp, 47.
Tarikh pernikahan sudah hampir namun sehingga hari ini, Nurul masih berkeras tidak mahu berkongsi wajah lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya untuk berkahwin sekali lagi.
"Cukuplah dengan sekeping gambar yang dirakam dalam sebuah majlis korporat. Eric minta biarlah selepas kami diijabkabulkan nanti. Dia bukan artis tapi dia cukup sedar bahawa dia bakal berkahwin dengan seorang artis," kata Nurul.
Terlepas sumpahan
Ibarat dialah wanita paling bahagia di dunia. Setiap denting waktu mengingatkannya terhadap detik untuk kembali menggalas status isteri. Menjadi pengemudi kepada majlis sendiri, Nurul juga tidak sekadar bergoyang kaki menghitung waktu.
Tanggal 6 Jun membuatkan Nurul tidak berhenti daripada memikirkan soal kerja yang harus dilangsaikan. Ketika segala perancangan perkahwinan sedang bersusun inilah dia harus bergegas menyelesaikan satu projek baharu.
Bukan sahaja album yang masih menunggu untuk dicetak dan diedarkan serentak dengan tarikh pernikahannya tapi urusan menandatangani kontrak sebagai duta kepada satu lagi produk penjagaan dan kecantikan kulit.
"Sebenarnya perbincangan untuk jadi jurucakap produk berkenaan sudah dilakukan beberapa bulan lalu, cuma masa tengah sibuk ini pula perkara itu yang harus disegerakan. Saya anggap itu rezeki berganda untuk perkahwinan nanti selain daripada album mini yang sangat saya tunggu-tunggu.
"Ikut perancangan memang nak lancarkan album pada hari pernikahan nanti tapi kena tengok keadaan dulu. Kalau segalanya berjalan seperti yang diaturkan, Insya-Allah," ujar Nurul menetapkan tarikh 1 Jun untuk tarikh akhir kepada segala urusan kerja.
Tambahnya sambil berderai melepas tawa: "Pengurus saya, Masnizah sudah bising dan tak benarkan saya ke mana-mana lagi selepas 1 Jun. Saya kena fikirkan pasal diri sendiri juga, wajib ke spa. Saya juga masih jurucakap Glow & Glamour, jadi tak sah kalau tak pusat kecantikan berkenaan sebelum menikah nanti."
Sibuk menguruskan sendiri segala perancangan, urusan jemputan untuk tetamu dan segala macam perkara, hari ini Nurul bertolak ke Singapura untuk menjemput keluarga Eric yang baru tiba dari Perancis termasuklah menjemput anaknya, Ayu Nazirah yang kini bersekolah di Johor Bahru.
"Sebenarnya agak kalut juga, saya penat tapi lega. Walaupun banyak urusan yang bertimpa-timpa, semuanya berjalan tanpa halangan. Eric pula masih dapat ke kelas agama macam biasa.
"Rasanya macam terlepas daripada sumpahan pun ada. Keterujaan kali ini lain macam pula. Dulu, saya kahwin masa umur 19 tahun sekarang nak kahwin lagi masa umur 35 tahun, tapi rasa macam nak kahwin kali pertama sahaja. Semua benda mahu sempurna termasuklah soal jemputan," katanya berharap tiada pihak terkilan jika tidak menerima jemputan.
Alasan Nurul, majlisnya nanti mahu dilangsungkan dalam saiz yang kecil dan suasana penuh harmonis dengan hanya 200 orang jemputan.
"Saya anggap majlis pernikahan itu nanti sebagai waktu untuk didekati dan mendekati keluarga serta rakan-rakan karib sahaja. Ia bukan sebuah pesta keramaian. Takut tak terlayan nanti kalau jemputan ramai sangat," ujarnya yang akan menggayakan gaun pengantin rekaan Rizman Ruziani.
Selain pengantin wanita yang mahu tampil bak ratu sehari, Eric juga tak kalah gayanya nanti. Untuk majlis akad nikah, Eric akan mengenakan sut yang direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Bond Zainal.
Mahu cepat hamil
Kali terakhir Nurul hamil dan melahirkan anak tunggalnya Ayu Nazirah ialah 15 tahun lalu. Lantas, untuk perkahwinannya kelak, Nurul bersedia bahkan tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menimang anak bersama Eric.
Katanya, Eric pernah berkahwin tetapi tidak pernah mempunyai anak. Untuk perkahwinan nanti, Eric awal-awal lagi sudah bercakap tentang anak.
"Dia (Eric) paling tidak sabar untuk mempunyai anak. Begitu juga dengan Ayu yang mahu merasai pengalaman mempunyai adik. Kata Ayu, mesti adiknya nanti comel sebab berbapakan 'mat saleh'," tawanya berderai lagi agaknya geli hati dengan permainan perasaan.
Seperkara lagi tentang Eric, lelaki yang menyandang jawatan sebagai perunding dan jurulatih kesihatan sebuah syarikat nutrisi antarabangsa itu dikatakan memiliki aset besar dan mampu menjamin kehidupan mewah buat Nurul.
Disuakan soalan itu ke mukanya, Nurul tersenyum nakal. Komennya juga bersulam jenaka.
"Kalau saya nak kahwin dengan orang kaya-raya, tak perlulah saya bersusah-payah nak terbitkan album dan menyanyi lagi. Sebenarnya, Eric cuma seorang sederhana. Sudah enam tahun dia berada di Malaysia dan kami sama-sama terlibat dengan bisnes yang sama. Rasanya setiap orang harus bekerja untuk hidup," kata Nurul.
Penyanyi lagu Keliru itu tidak mengharapkan penajaan untuk hidup senang tapi jika majlisnya menjadi lebih meriah hasil penajaan daripada pihak tertentu, itu semua satu penghargaan yang tidak ternilai buat dirinya.
Tidaklah sampai mendapat tajaan bernilai jutaan ringgit namun untuk pernikahannya nanti, Nurul tetap mengucapkan terima kasih kepada Red Photography yang akan menaja sesi fotografi serta Sid Haleza yang menghadiahkan kek perkahwinan.
Nak Melayu dapat Mat Salih - Nurul
DIA tidak pernah merancang untuk memilih lelaki berbangsa asing sebagai teman hidup atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain bahawa dirinya juga mampu menakluk hati lelaki bukan Melayu.
Apa yang dilalui oleh penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab, 35, adalah di luar jangkaan sama sekali tanpa siapa dapat menduga.
Nurul, yang popular dengan lagu Cinta Azali menerusi album sulung, bakal menamatkan zaman janda dengan lelaki Perancis, Eric Daniel Depp, 47, pada 6 Jun ini di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
“Saya tidak mengharap atau menentukan apa warna kulit dan bangsa untuk menjadi suami kerana saya melihat pada hati. Dan, Dia hantarkan Eric kepada saya.
“Saya malas memikirkan soal jodoh kerana sebelum ini saya pernah dikecewakan sebanyak dua kali. Malah pertemuan dengan Eric itupun saya anggap perkenalan biasa dan tidak sangka boleh sampai ke peringkat ini," jelas Nurul yang sudah lima tahun hidup menjanda.
Ditanya bagaimana perasaannya untuk bergelar isteri kepada lelaki mualaf yang baru memeluk agama Islam pada 13 Februari lalu, Nurul tahu banyak yang perlu dia lalui.
Dalam menerima takdir dengan penuh gembira, Nurul juga sedar dia perlu memainkan peranan untuk membimbing bakal suaminya dalam soal keagamaan.
“Kalau dari segi kehidupan, Eric mempunyai ciri-ciri pemimpin. Mungkin kerana kami pernah melalui kehidupan berumahtangga sebelum ini, jadi masing-masing tahu apa yang perlu diperbaiki dalam hubungan kelak.
“Bagaimanapun, saya yang perlu membimbingnya dalam hal agama. Bagi saya hasratnya memeluk agama Islam itu pun sudah besar rahmatnya. Bagaimanapun saya tidak terlalu risau kerana apa yang penting dia adalah seorang lelaki bertanggungjawab," katanya mengenai lelaki yang sudah enam tahun menetap di Malaysia.
Malah, pilihan Nurul itu turut mendapat sokongan daripada anak tunggalnya, Ayu Nazirah.
Majlis pernikahan dan resepsinya dengan lelaki dari Perancis itu akan bermula pada pukul 11 pagi.
Eric yang dikenalinya sejak September 2010 dan mula serius dalam perhubungan cinta sejak Januari tahun lalu, melamar Nurul pada 14 Februari tahun lepas. Dalam kejadian di hadapan keluarga lelaki tersebut, Nurul turut dihadiahkan sebentuk cincin tanda ikatan.
Nurul yang impikan majlis santai berkonsep taman itu pada hari pernikahan kelak akan mengenakan pakaian tajaan dan rekaan Rizman Ruzaini dan Bon Zainal untuk lelaki.
“Selain tajaan pakaian, ada lima penaja yang sudi menaja majlis perkahwinan saya termasuk pengedar kain, Jakel dan pereka pelamin, Perunding Perkahwinan Zahar," kata Nurul yang mengundang kira-kira 200 tetamu pada hari bahagianya kelak.
Sementara majlis resepsi di sebelah pihak lelaki akan diadakan di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan, sekali gus dengan bulan madu.
Bila ditanya, adakah dia akan mengundang bekas suami, Ajai, pantas sahaja Nurul berkata, tidak.
“Dia tidak ada kena mengena dengan kehidupan saya hari ini. Apa yang penting, anak dan adik-beradik saya hadir, itu sudah memadai," katanya.
Album Baru Diharap Dapat Naikkan Nama Nurul Wahab
KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab berharap kemunculan album mini terbaru nanti akan melonjakkan kembali namanya.
Nurul, 35, berkata, dia sangat teruja dengan kemunculan album tersebut dan yakin peminat akan menyukai selepas kecewa dengan penerimaan album Tika Cinta yang diterbitkan pada 2009.
"Album ini dihasilkan dengan lebih teliti berbanding album terdahulu kerana saya ingin pastikan ia dapat diterima oleh peminat setia dan pendengar secara keseluruhan.
"Saya memastikan bukan sahaja produksi album tersebut dibuat dengan baik tetapi juga promosi dan pemasaran dilakukan dengan menggunakan landasan betul supaya ia tidak menerima nasib seperti Tika Cinta," ujarnya kepada mStar Online.
Memuatkan lima buah lagu iaitu Mari, Cinta Nurul, Selamat Jalan, Kerana kau Ada dan Takut Paranoia, album mini tersebut bakal dilancarkan pada hari pernikahannya bersama Eric Daniel Depp, 47, pada 6 Jun depan.
Dalam pada itu, Nurul memberitahu, album barunya itu diterbitkan sesuai dengan usianya kini selain mengikut perkembangan muzik semasa.
Dia menyuntik pelbagai elemen baru dalam album tersebut supaya peminat tidak mendapat karya sama seperti yang pernah diterbitkan sebelum ini.
"Keutamaan saya ketika menerbitkan album ini adalah saya mahukan melodi yang berbeza dan bukannya sama seperti yang pernah saya rakamkan 18 tahun lalu," katanya.
Mendapat kerjasama daripada Andi Merican, Nadia Aquila dan Don Mukri, Nurul berkata, komposer muda itu berjaya menghasilkan lagu yang dikehendakinya.
"Walaupun tidak menulis lirik lagu-lagu dalam album itu nanti tetapi penulis seperti Shah Shamsiri, Eenaz Mokhtar dan Sulu Sarawak telah berjaya menghasilkan karya yang sesuai dengan perjalanan hidup saya seperti mana dimahukan," ujarnya.
Sementara itu, Nurul berkata, album berkenaan diterbitkan sendiri olehnya dibawah syarikat NHW Productions Sdn Bhd menggunakan kos sendiri.
Dia juga turut merancang untuk menerbitkan album artis lain dibawah syarikat produksinya itu pada masa hadapan.
"Ini adalah permulaan yang baik selepas pelbagai rintangan dilalui sebelum ini dan Insya Allah semuanya akan berjala
Nurul Wahab Mula Edar 200 Kad Jemputan Kahwin
PETALING JAYA: Penyanyi Nurul Wahab, 35, mula mengedarkan kad undangan perkahwinannya bermula Isnin untuk majlis yang akan berlangsung pada 6 Jun depan di Duchess Place, Jalan Ampang, dekat sini.
Majlis tersebut akan diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat termasuklah pihak media dengan jumlah tetamu yang terhad.
Nurul dan bakal suaminya, Eric Daniel Depp, 47, seorang warganegara Perancis akan melalui upacara akad nikah kira-kira pukul 11 pagi dan bersanding selepas majlis tersebut diikuti dengan jamuan makan tengah hari.
mStar Online turut menerima kad jemputan perkahwinan berkenaan yang berwarna hijau pada pagi Isnin dan dihantar sendiri oleh Nurul.
Walaupun kad berwarna hijau lembut tersebut kelihatan sederhana, ia cukup melambangkan kasih sayang dan gelora cinta mereka yang disimpul utuh.
"Memandangkan tetamu jemputan saya tidaklah terlalu ramai, jadi saya mengambil keputusan untuk menghantar sendiri kad tersebut kerana mereka yang dijemput itu merupakan orang penting dan rapat dalam hidup saya.
"Bagaimanapun, ada juga beberapa kad yang dihantar oleh pengurus saya sendiri, maklumlah, macam-macam perkara yang nak dibuat sebelum hari perkahwinan kami," katanya.
Tambah Nurul, dia berharap tetamu yang dijemput itu dapat memberi maklum balas dengan segera dan jika tidak, mereka dikira tidak hadir.
Antara selebriti yang telah mengesahkan untuk menghadiri majlis berkenaan ialah Ning Baizura, Amy Mastura, Misha Omar serta beberapa tetamu VIP yang enggan didedahkan nama mereka.
Dalam perkembangan sama, Nurul memberitahu sebanyak enam individu telah sudi untuk menaja perkahwinannya nanti iaitu Rizman Ruzaini, Bon Zainal, Jakel, Zaha Weeding Planner, Deqsha dan Duchess Place.
Bagaimanapun dia tidak akan mengadakan sebarang majlis resepsi sebaliknya keluarga pihak lelaki akan meraikan perkahwinan mereka dalam sebuah majlis di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan.
Nurul dan Eric mula berkenalan pada September 2010 dan mula serius pada Januari 2011.
Beza Budaya Tidak Halang Nurul Pilih Eric Calon Suami
KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab tidak melihat kelainan budaya antara beliau dengan bakal suami iaitu Eric Daniel Depp sebagai satu halangan untuk mereka mengecap bahagia.
Nurul berkata, dia menerima Eric seorang warganegara Perancis kerana ketulusan dan kriteria yang diinginkan daripada lelaki berusia 47 tahun itu.
"Saya tidak meletakkan bangsa atau warna kulit dalam memilih seorang lelaki sebagai calon suami tetapi memandang kepada ketulusan dan ciri-ciri yang saya cari.
"Eric juga seorang yang faham mengenai budaya, agama Islam dan sentiasa hormat budaya kita di Malaysia. Soal itu langsung tidak pernah menjadi masalah kepada saya," ujarnya kepada mStar Online pada Rabu.
Nurul ditemui selepas melancarkan album mini terbarunya di sini.
Tambah Nurul, dia tidak perlu risau mengenai soal budaya atau tanggungjawab bakal suaminya itu kerana sifat-sifat yang diinginkan daripada seorang lelaki ada pada Eric.
Nurul memberitahu, pengalaman Eric selama 10 tahun tinggal di Asia telah banyak mengajarnya mengenai budaya dan cara kehidupan masyarakat di sini.
"Aspek budaya atau tanggungjawab tidak menjadi isu kerana apa yang penting saya perlu memainkan peranan dalam soal kerohaniannya sebagai mualaf.
"Tanggungjawab saya sebenarnya yang lebih besar dalam memastikan bakal suami faham mengenai agama Islam dengan lebih baik," ujarnya.
Pasangan itu bakal bernikah pada 6 Jun depan di Duchess Palace dekat sini pada pukul 11 pagi.
Kira-kira 200 tetamu bakal dijemput pada hari bahagianya itu yang dibuat secara kecil-kecilan.
Dalam pada itu, Nurul memberitahu, Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan tindakkannya itu telah meyakinkan bahawa lelaki tersebut sesuai untuknya.
Nurul juga tidak pernah menyangka akan bertemu dengan Eric dan seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin selepas lima tahun menjanda.
"Saya telah mengenalinya pada September 2010 dan kami mula serius pada Januari 2011. Sepanjang dua tahun pengenalan kami dia seorang lelaki yang baik dan memahami diri saya dan sentiasa senang bersama dengannya," katanya.
Sementara itu, ditanya kenapa dia sering mengelak apabila ditanya mengenai lelaki sebelum ini, Nurul berkata, dia tidak mahu menjadikan kehidupan peribadinya sebagai satu 'perniagaan' sepertimana dilakukan sebelum ini.
Dia juga banyak belajar daripada pengalaman lalu dan tidak lagi bersedia untuk berkongsi kisah peribadi melainkan perkara penting seperti pengumuman perkahwinan.
"Cukuplah dulu selagi ada kisah dipaparkan dalam akhbar malah hubungan peribadi itu menjadi perniagaan. Bukan mengelak tetapi saya sudah banyak belajar daripada pengalaman lalu," katanya.
Bercerita lanjut mengenai bakal suaminya itu, Nurul berkata Eric adalah seorang duda tetapi tidak mempunyai cahaya mata dan bekerja sebagai konsultan dan jurulatih kesihatan.
Katanya, pihak media hanya akan mengenali Eric pada hari pernikahan nanti kerana bakal suaminya itu merasakan dirinya bukanlah seorang artis.
"Dia bukan sombong tetapi malu nak jumpa orang apatah lagi saya ni seorang artis. Dia rasa tak sesuai untuk berada di sini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Nurul memberitahu sebanyak enam individu telah sudi untuk menaja perkahwinannya nanti iaitu Rizman Ruzaini, Bon Zainal, Jakel, Zaha Weeding Planner, Deqsha dan Duchess Place.
Bagaimanapun dia tidak akan mengadakan sebarang majlis resepsi sebaliknya keluarga pihak lelaki akan meraikan perkahwinan mereka dalam sebuah majlis di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan.
Nurul Huda jadi Zaiton Sameon?
RASA-RASANYA ramai orang sudah tahu dengan status filem Zaiton: Ceritaku arahan Fauziah Nawi yang terpaksa dihentikan pembikinannya kerana kononnya penerbit tidak puas hati dengan mutu rakaman yang dilakukan.
Macam-macam cerita juga dah muncul, ada yang kata hasil kerja Fauziah Nawi harus dirombak semula serta tidak menepati kriteria sebuah filem dan semua hasil penggambaran langsung tidak boleh diguna pakai.
Diva terfikir juga, alangkah ruginya semua pihak kerana Diva tengok kesungguhan Mislina yang sanggup membotakkan kepala semata-mata untuk merealisasikan watak Zaiton yang cedera parah selepas kemalangan jalan raya.
Tutup buku. Penerbit dah tak suka jadi filem itu pun terbengkalai macam rumah tak sudah. Tiba-tiba, Diva dapat satu informasi mengatakan pembikinan filem berkenaan akan dimulakan dengan segala-galanya baru, pelakon baru serta pengarah baru. Nak tahu satu kejutan, ada ura-ura kata, penyanyi kulit hitam manis, janda cantik cun bergetah Nurul Huda Wahab bakal bawa watak Zaiton menggantikan Mislina. Dari segi rupa dan suara, rasanya tak ada masalah, tapi mungkin ada yang akan bandingkan skil lakonan Nurul dan Mislina pula lepas ni. Kita tunggu dan lihat sahaja. Harap jadilah kali ini.
'Bukan terdesak jual imej seksi'
SIKAP segelintir masyarakat yang membuta tuli menjatuhkan hukum tanpa terlebih dulu bertanya duduk perkara sebenar melukakan hati penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Wahab. Memang seksi itu sinonim dengan dirinya tetapi kata Nurul, itu bukan bererti dia bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan impak baik dan buruk sesuatu perbuatan. Sebagai umat Islam, Nurul kesal dengan paparan iklan pusat kecantikan, Glow & Glamour, baru-baru ini, yang menyinggung sensitiviti umat Islam.
Namun, Nurul yang menjadi jurucakap kepada pusat kecantikan itu akui jangan terus mengecam dirinya. Nurul mengakui kesilapannya, malah turut memohon maaf atas kekhilafan tidak disengajakan itu. Bagaimanapun, maruah yang tercemar lantaran teguran lantang di dada sebuah akhbar mendesak Nurul berjuang mendapatkan keadilan. B*POP mendapatkan penjelasan daripada Nurul.
B*POP: Nurul sedia ambil tanggungjawab atas kesilapan yang berlaku?
NURUL: Saya faham dan terima kesilapan itu sebagai kekurangan diri. Namun, jangan terus menghukum tanpa memberi ruang untuk saya menjelaskan perkara sebenar. Mengapa tulisan itu membuta tuli menjatuhkan hukum saya bersalah? Apa yang ditulis itu lebih terdorong mengikut emosi penulis tanpa bertanya dulu fakta yang tepat. Itu yang membuat saya kecewa dan marah. Jangan cepat menghina orang, seolah saya tidak ada akal untuk membezakan apa yang baik dan buruk. Apakah kerana penampilan seksi saya, maka saya dihukum membelakangkan agama hanya kerana terdesak mencari duit? Itu sesuatu yang tidak adil.
Mengapa tidak ambil tindakan segera untuk menjelaskan perkara sebenar?
Salah saya kerana tidak bertanya gambar mana akan digunakan untuk promosi sempena Aidilfitri. Kerjasama kami bukan baru, malah sebelum ini tidak pernah menimbulkan masalah besar. Mereka juga memahami sensitiviti masyarakat di Malaysia yang berbilang bangsa. Cuma kali ini, reka bentuk iklan itu dibuat pereka baru yang mungkin tidak peka kemuliaan Ramadan dan Aidilfitri. Mereka tersalah pandang tetapi selepas ditegur, mereka pantas bertindak memohon maaf di laman sosial, Facebook atas kesilapan tidak disengajakan itu. Memandangkan Glow & Glamour sudah memohon maaf kepada umum, jadi saya anggap perkara itu selesai.
Namun orang tetap salahkan Nurul? Mustahillah Nurul tidak menasihati mereka foto mana yang sesuai untuk digunakan.
Kalau nak tahu, gambar digunakan untuk promosi diambil pada hujung 2009. Gambar sama juga pernah dipakai untuk promosi sebelum ini tetapi tidak menimbulkan kontroversi. Sesi fotografi itu memakan masa sehingga 12 jam di mana saya menggayakan pelbagai rekaan baju termasuk tiga kebaya untuk promosi raya. Memandangkan kerjasama sebelum ini tidak timbulkan masalah, jadi saya memberi kepercayaan kepada mereka untuk memilih imej dan foto bersesuaian. Masyarakat boleh menerima foto itu tetapi apabila diletakkan imej masjid di belakang, ia agak keterlaluan. Jika ditanya kepada saya, kesilapan itu tidak patut berlaku. Itu bukan bermakna mereka berniat menghina Islam. Cuma mereka tersalah pandang dan itu yang membuatkan ramai kurang selesa dan marah. Saya sendiri belajar daripada kesilapan itu.
Ada orang cakap Nurul terdesak berimej seksi untuk menagih perhatian peminat sebab populariti merudum?
Itu yang saya pelik. Saya sudah 16 tahun dalam industri, sudah puas merasai apa itu glamor dan sensasi. Jika saya terdesak untuk jual imej seksi, lebih baik jadi pelacur daripada ke sana sini menyanyi. Saya bekerja keras menjual bakat, malah hidup selesa dengan rezeki sebagai anak seni jadi pada kedudukan mana yang membuatkan saya kelihatan terdesak? Saya sedih dengan mentaliti orang sebegitu. Mereka meletakkan diri mereka seperti malaikat yang cuma tunduk menurut perintah Allah. Apakah mereka yang mengecam saya itu bersih daripada dosa? Disebabkan pandangan seperti ini membuatkan ramai artis bersikap hipokrit. Artis terpaksa tunduk kepada kemahuan sesetengah pihak, sedangkan sikap sebenar jauh daripada apa yang dipaparkan. Mahukah mereka saya jadi begitu?
Memang suka berimej seksi?
Saya akui ketika foto itu diambil saya memang suka bergaya seksi. Tetapi apabila usia meningkat dan pelbagai reaksi kurang menyenangkan diterima daripada peminat, saya mula berubah. Sejak awal tahun ini, saya mula berhati-hati dengan penampilan. Saya tidak mahu imej seksi saya disalahertikan dan menimbulkan marah kepada peminat. Peliknya ketika saya seksi dulu, tiada pula yang berani menegur keras seperti itu. Langsung tidak menjadi isu.
Terdesak sangatkah Nurul?
BERKAIN ketat dengan belahan hampir ke pangkal paha, berbaju ala berkemban menampakkan sebahagian payudara, apakah ini imej yang sesuai bila kita bercakap tentang kehadiran bulan mulia?
Tidak cukup dengan itu, gambar dengan latar belakang imej seperti kubah masjid dan dengan tagline penyucian jiwa yang kononnya ‘suci’ sesangat, terfikir saya, ironi apakah yang mahu ditonjolkan?
Apakah ini cara yang difikirkan kreatif untuk meraikan kehadiran Syawal mulia? Saya pasti, manusia yang waras akan berkata ‘tidak’ dan menolak untuk terlibat dalam penghasilan karya yang boleh dianggap tidak bermoral itu.
Saya bercakap tentang iklan yang menjadikan penyanyi Nurul Huda Wahab sebagai objek satu jenama pelangsing badan yang hangat diperkatakan.
Iklan berkenaan bagi saya secara peribadi sungguh tidak kena dengan cara kita meraikan kehadiran bulan mulia. Mungkin saya agak ortodoks, tetapi bulan Ramadan dan 1 Syawal yang penuh kesucian, tidak boleh diasimilasi dengan cara sedemikian walau semoden mana sekalipun cara kita berfikir.
Dengan cara pakaian terdedah sana sini, meminjam 1 Syawal sebagai objek untuk mencari pelanggan baru, wajarlah ada yang tersinggung sekaligus mengaitkannya sebagai iklan separa lucah.
Saya sendiri tertanya-tanya kenapa artis yang sudah senior seperti Nurul pun, tidak tahu erti sensitif?
Kenapa perlu menggadai prinsip diri, kenapa tawaran sebegini disambut dengan mudah? Apakah dia tidak diberitahu yang gambarnya akan ditampilkan dengan imej seseksi itu untuk iklan aidilfitri?
Terdesak sangatkah penyanyi Kerana Terluka itu? Kalau atas tiket mencari pendapatan sekalipun, apakah dengan cara sebegini? Melihat iklan itu, maaflah Nurul, saya perlu jujur bahawa saya kecewa, sangat kecewa.
Malah saya juga percaya sekian banyak orang lain di luar sana turut kecewa kerana Nurul sanggup dipergunakan sebagai ‘alat’ untuk mencemar kesucian bulan mulia.
Akhirnya saya membuat kesimpulan, inilah hasilnya apabila kita sudah terbiasa melakukan sesuatu perkara. Alah bisa, tegal dek biasa.
Kenapa saya berkata begitu? Kita perhatikan imej berkemban dan Nurul akhir-akhir ini seperti sudah menjadi satu kemestian. Semenjak hidup sendirian, semakin ketara arah pilihan Nurul menghampiri sensasi dan sensual dalam keterampilan. Justeru bila sudah terbiasa, tiada apa yang hendak disegan dan silu lagi kala bergambar di media.
Mungkin memikirkan hal yang sama, kali ini Nurul turut terjebak dan hasilnya dia dieksploitasi dengan sebegitu ‘kejam’ pada saat-saat rakan-rakan lain sibuk mengejar fadilat Ramadan.
Pun bukan semedang salah Nurul. Saya sangat pasti ia melibatkan banyak pihak dan Nurul digunakan oleh pihak berkenaan untuk menjenamakan produk mereka dengan cara yang salah.
Banyak komen yang saya terima daripada peminat Nurul dan peminat Pancaindera sendiri. Rata-ratanya menganggap Nurul bagaikan begitu terdesak sampaikan tidak boleh berkata ‘tidak’ langsung. Kata mereka, Nurul bukan kanak-kanak yang tidak punya pendirian. Lalu kita bertanya, bagaimanakah caranya penyanyi ini mahu menangani isu ini?
Saya andaikan dia akan memberitahu bahawa itu bukan salah dirinya, dia tidak niat untuk melukai perasaan umat Islam lain. Atau paling teruk sekalipun yang akan dia lakukan ialah meminta maaf kepada seluruh peminat dan pembaca. Persoalannya, adakah cukup dengan sekadar ungkapan maaf di bibir? Ini iktibar untuk artis lain juga supaya lebih berhati-hatilah, jangan mudah terpedaya dengan pelbagai habuan di depan mata semata-mata. Banyak padahnya nanti.
Iklan Seksi, Pengurusan Nurul Minta Maaf
PETALING JAYA: Pihak pengurusan penyanyi Nurul Wahab meminta maaf berhubung isu penyiaran iklan promosi hari Raya pusat pengurusan badan, Glow-Glamour yang memapar penyanyi itu berpakaian terdedah.
Menurut pengurusnya, Badrul Hashim, Nurul yang merupakan duta Glow-Glamour tidak mengetahui mengenai iklan tersebut termasuklah gambar yang dipaparkan oleh pihak pengeluar produk itu.
"Memang sebelum ini Nurul ada mengambil beberapa gambar termasuklah gambar yang dijadikan sebagai iklan Hari Raya bagi tujuan promosi Glow-Glamour pada masa akan datang.
"Tetapi Nurul tidak tahu gambar yang terdedah pula menjadi pilihan untuk dipaparkan pada iklan tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Tambah Badrul, dia telah pun berjumpa dengan pihak Glow Glamour untuk bertanyakan isu tersebut dan pusat pengurusan badan itu meminta maaf atas kesilapan memilih gambar yang tidak sesuai untuk iklan promosi raya.
"Setelah berbincang, mereka telah meminta maaf dan tidak tahu perkara ini boleh menjadi sensitif dan tidak sesuai bagi tujuan promosi Ramadan dan Aidilfitri, tambah pula ada gambar masjid pada paparan iklan Hari Raya itu.
"Malah pusat pelangsingan badan itu telah menarik balik iklan tersebut dan membuat permohonan maaf menerusi laman web mereka dan di akaun Facebook," jelasnya.
Ditanya apakah reaksi Nurul apabila isu iklan tersebut dibangkitkan, penyanyi itu yakin dia tidak bersalah dengan hal itu cuma risau reputasinya tercalar.
Nurul kini berada di Sandakan, Sabah, bagi menghadiri sebuah sidang perniagaan.
Apahal Nurul Wahab Naik Bas Awam?
Mungkin kejadian yang Murai Batu nak cerita ini agak biasa, terutama bagi mereka yang tidak berkenderaan atau dikalangan orang awam. Malah Murai Batu sendiri masih mengamalkan penggunaan kenderaan awam untuk ke destinasi tertentu.
Tapi bila kejadian ini terjadi kepada penyanyi dan pelakon hitam manis bernama Nurul Wahab, Murai Batu jadi hairan.
Tak ada hujan, tak ada ribut, kenapa agaknya dia menggunakan pengangkutan bas ekspres awam baru-baru ini, sedangkan dia sendiri sudahpun memiliki kereta?
Ini bukanlah gimik atau langkah promosi Nurul untuk melariskan album mahupun filem lakonannya, tapi khabarnya pelakon Tolong Awek Aku Pontianak itu tiada pilihan lain selain menaiki bas awam untuk ke Perak, baru-baru ini.
Perak? Apa yang Nurul buat di Perak? Di mana perginya kereta yang selalu dipandunya sebelum ini? Mengapa dia perlu menaiki bas dan terpaksa membeli sendiri tiket di kaunter bas ekspres di Pudu Raya?
Murai Batu difahamkan, Nurul bukanlah sengaja untuk menaiki bas ekspres. Malah khabarnya juga, dia langsung tidak kisah menaiki apa juga bentuk perkhidmatan awam, cuma tuntutan kerjayanya memerlukan dia memandu keretanya sendiri.
Oleh kerana dia tidak ada kereta pada ketika itu, maka dia memilih untuk menaiki bas ekspres untuk mengambil keretanya di Perak yang sudah siap dibaik pulih, baru-baru ini. Semuanya gara-gara keretanya yang tiba-tiba rosak di Cameron Highlands dan dia terpaksa menghantarnya ke bengkel berhampiran.
Oh! Begitu rupanya. Maaflah Nurul, jika Murai Batu terlalu banyak bertanya. Bukannya apa, sekarang ini susah untuk kita lihat artis popular menaiki kenderaan awam terutama bas.
Jika adapun mungkin semata-mata untuk tujuan promosi, sesi penggambaran ataupun menghadiri konsert jelajah. Memang susahlah nak nampak mereka. Maklum sajalah, bila sudah popular, memandu kenderaan sendiri adalah cara paling selamat mengelak daripada diserbu peminat.
Murai Batu bukannya mahu menafikan kenyataan itu, tapi memang benar memandu kenderaan sendiri atau tidak menggunakan pengangkutan awam adalah cara paling terbaik terutama kerjaya sebagai seorang penyanyi.
Cayalah Nurul. Walaupun cantik dan popular, dia langsung tidak kisah menaiki bas ekspres awam. Sungguh merendah diri.Lebih mengujakan Murai Batu lagi apabila Nurul sendiri terkejut dengan perubahan Pudu Raya yang sekarang ini sudah dibaik pulih.
Nurul nampaknya takjub dengan rekaan dalaman Pudu Raya yang semakin indah dengan dilengkapi kemudahan moden khusus untuk pelanggan. Katanya, melihat Pudu Raya seperti berada di lapangan terbang.Artikel dari Murai.com
Nurul kian bijak kunci mulut

SEMAKIN cantik dan langsing. Itulah yang dapat dirumuskan saat penyanyi dan pelakon kelahiran Pulau Pinang, Nurul Huda Abdul Wahab atau Nurul hadir ke sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini untuk mempromosikan filem terbarunya, Tolong! Awekku Pontianak.
Wajahnya juga semakin berseri-seri berbanding sebelum ini. Wartawan Kosmo! menyoal, adakah hatinya sudah berbunga kembali selepas lima tahun menjanda dan cintanya bersama lelaki yang dikenali sebagai Ryzal terputus di tengah jalan.
Mendengar soalan itu, Nurul hanya memberi senyuman isyarat enggan menceritakan kisah peribadinya kepada khalayak.
Balas wanita berusia 34 tahun itu lagi, dia bukan ingin menyembunyikan kisah peribadi sebaliknya kejujurannya dan keterbukaannya sebelum ini memakan dirinya sendiri. Justeru, dia kini mengambil langkah menutup mulut mengenai kisah peribadi dan memberi fokus kepada kerjayanya sahaja.
“Bukan saya tidak mahu kongsi tetapi kejujuran saya membuatkan orang mengata dan menabur fitnah, jadi untuk mengelakkan perkara itu, lebih baik saya zip mulut.
“Dulu memang saya kongsi kisah peribadi kerana sedar saya hak masyarakat tetapi sekarang hal peribadi adalah hak saya sahaja,” ujarnya minta dimengerti.
Rahsia langsing
Berbalik kepada badan langsing yang diperolehnya, ia adalah hasil usahanya menjaga makan dan melakukan senaman serta hobi terbaharunya menari tarian bachata.
“Saya baru beberapa bulan mengikut kelas tarian bachata, tariannya mirip tarian salsa. Jika ada masa lapang saya pasti akan ke kelas tarian, selain menyihatkan badan saya juga berazam untuk memahirkan diri dalam tarian itu,” katanya tentang rahsia badan langsingnya.
Bukan itu sahaja, Nurul juga melakukan pekerjaan sampingan sebagai jurulatih kecergasan yang membantu orang ramai terutama peminatnya untuk mendapatkan badan yang sihat dan langsing.
“Dulu badan saya susah nak turun, syukur sejak saya amalkan pemakanan yang sihat, kini berat badan saya turun sebanyak tujuh kilogram dan sekarang berat badan saya adalah 51.5 kilogram.
“Jadi, saya ingin berkongsi pengalaman dengan wanita-wanita lain. Saya berkomunikasi dengan mereka menerusi akaun Facebook saya, selain dekatkan diri dengan peminat saya juga boleh menyihatkan mereka,” tuturnya yang juga duta kepada pusat pelangsingan Glow & Glamour serta produk kanta lengkap, ColourVue.
Filem puntianak

Kali terakhir kelibat Nurul beraksi di layar perak adalah pada 15 tahun lalu menerusi filem Sate, lakonannya bersama Hairie Othman dan Faizal Hussein. Ketika itu usianya baru menjangkau angka 20 tahun.
Sejak itu, dia tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi filem, cuma beraksi dalam drama sambil memberi fokus kepada bidang nyanyian.
Katanya, bukan dia tidak mendapat tawaran sebaliknya tawaran sering tiba tidak kena dengan waktu ataupun, watak yang ditawarkan tidak bersesuaian.
Namun, tawaran yang diterima daripada rumah produksi Tayangan Unggul untuk terlibat dalam filem seram komedi Tolong! Awekku Pontianak arahan James Lee tidak dapat ditolaknya.
“Kebetulan saya memang berminat untuk berlakon dalam filem seram komedi, jadi tawaran yang diberikan Tayangan Unggul tepat pada waktunya.
“Lagipun watak yang ditawarkan berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Watak saya sebagai Nadia merupakan puntianak wanita yang jahat dan mangsanya semuanya lelaki,” ceritanya.
Menariknya dalam filem kedua lakonannya itu, Nurul melakukan sendiri semua lagak ngeri termasuklah terbang dan tergantung selama lima jam pada ketinggian bangunan enam tingkat.
“Saya memang seorang yang gayat, jadi bila disuruh terbang dan tergantung pada ketinggian itu, saya akui saya takut. Tetapi ketakutan itu yang mencabar saya untuk melakukan yang terbaik,” ucapnya yang menjalani penggambaran selama enam hari.
Bagaimanapun, sebelum bersetuju untuk melakukan aksi lagak ngeri sendiri, Nurul terlebih dahulu memastikan aspek keselamatan supaya tiada kejadian tidak diingini terjadi.
“Bayangkan kalau terjatuh dari ketinggian enam tingkat bangunan. Tetapi ketika dapat terbang, saya memang seronok sangat sebab bila lagi saya boleh terbang (ketawa).
“Saya bersyukur kerana mendapat tenaga produksi dan tenaga kerja untuk aksi lagak ngeri yang terbaik. Tiada sebarang kecederaan berlaku dan semua orang seronok ketika berada di set penggambaran,” katanya yang mengimpikan untuk memegang watak utama dalam filem pada masa akan datang.
Dalam filem Tolong! Awekku Pontianak yang akan ditayangkan di pawagam pada 7 Julai depan, ia mengisahkan Bob (Zahiril Azim) jatuh cinta kepada Maya (Sazzy Falak).
Maya memiliki seorang adik perempuan bernama Liyana (Liyana Jasmay) yang aktif menjalankan aktiviti puntianak di sekitar kawasan perumahan mereka. Tetapi keadaan menjadi kecoh apabila seorang puntianak bernama Nadia (Nurul) datang dari Johor ke Kuala Lumpur untuk mencari Maya.
'Saya perlu berubah' - Nurul

Nurul janji kurangkan imej seksi
TERLALU banyak salah tanggapan terhadap penyanyi hitam manis ini, namun Nurul Wahab hanya mampu menelan, sesekali belajar menepis ketika hati terguris dengan pandangan serong diberikan. Apabila Nurul, 33, memilih untuk tampil seksi dirinya 'dibidik' cemuhan bertalu seolah-olah dia sengaja memperaga imej begitu untuk meraih perhatian khalayak. Hakikatnya, anak kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu bukan sengaja berbuat demikian. Ketika itu, Nurul sedang mencari-cari arah untuk menjenamakan semula dirinya sebagai penyanyi solo. Dalam percubaan itu, akui Nurul, pastinya dia terperangkap dalam kesilapan sedangkan tiada siapa yang mahu mengambil tahu pergolakan hebat yang sedang melanda dirinya.
“Saya terima segala kritikan dan komen dengan hati terbuka. Jika diturutkan hati, jujurnya saya terguris apabila dicemuh pelbagai tuduhan, sedangkan saya bekerja keras untuk memperkenalkan bakat. Saya mahu masyarakat memandang serius bakat Nurul Wahab. Cukuplah mereka bercakap yang tidak manis mengenai diri saya.
“Saya ambil masa tiga tahun untuk mencari apa yang serasi dengan diri saya. Semua itu ternyata tidak mudah dan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, saya akan kurangkan imej seksi ini perlahan-lahan,” katanya.
Perubahan itu, kata pemilik nama lengkap, Noorul Huda Abdul Wahab yang ketika ditemui masih setia dengan bergaya seksi penting untuk masa depan karier nyanyiannya. Nurul akur, tidak semua masyarakat dapat menerima penyanyi yang gemar muncul gaya seksi keterlaluan. Dari satu sudut, Nurul mungkin mampu menarik nafas lega kerana secara tidak langsung namanya kembali jadi sebutan gara-gara imej beraninya itu.
“Saya perlu berubah supaya peminat dapat membezakan Nurul yang mula menyanyi 16 tahun lalu dengan Nurul yang masak dengan perjalanan industri hiburan hari ini. Tetapi selepas beberapa lama, saya sedar peminat tidak lagi memberi perhatian kepada kesungguhan saya. Lebih diperkatakan cuma cerita peribadi, namun hal berkaitan karier seperti diketepikan.
“Saya perlu bertindak matang kerana saya bukan seorang remaja lagi. Saya sudah temui apa yang dicari selama ini dan peminat dapat melihat itu dalam album terbaru, Nurul yang kini di pasaran,” katanya.
Serentak itu, Nurul turut mengambil pendirian untuk menyimpan semua hal berkaitan peribadi menjadi miliknya sendiri. Kata Nurul, sudah lama ini dia bersikap jujur dan berkongsi segala-galanya sebagai tatapan umum. Tetapi apabila impiannya tidak menjadi kenyataan, Nurul dipersalahkan.
Paling mengguris apabila Nurul dituduh suka bertukar teman lelaki sedangkan cuma sekali itu dia memperkenalkan jejaka yang bertakhta di hatinya kepada khalayak.
“Saya sudah serik. Cukup sekali itu dan selepas ini, saya tidak akan lagi membuka mulut mengenai teman lelaki. Saya tidak mahu dipersalahkan lagi. Saya sudah tetapkan dalam diri hanya untuk bersuara apabila lelaki itu rasmi menjadi milik saya. Selagi belum ada ikatan rasmi, tidak perlu sesiapa pun memaksa saya kerana saya tidak akan membuka mulut,” katanya.
Kerjaya nyanyian yang memasuki tempoh lebih satu setengah dekad sudah cukup untuk membuat duta kepada kanta lekap, ColourVue ini mengenali selera peminat semasa. Biarpun percubaan pertama untuk kembali muncul solo menerusi album, Tika Cinta hampir dua tahun lalu gagal meraih perhatian peminat, Nurul belum mahu mengalah.
Menggunakan modal sendiri menerusi syarikatnya, NHW Productions, Nurul memperkenalkan mini album mengangkat namanya sebagai judul menjadi taruhan. Lima lagu dimuatkan, satu daripadanya adalah rakaman semula Kerna Terluka kerana lagu itu menyimpan sejarah tersendiri kepada Nurul.
“Untuk menjenamakan semula nama Nurul sebagai penyanyi, saya harus berani melakukan pembaharuan. Jika diteliti, pengisian album ini lebih santai dengan susunan muzik ringkas dan asas.
“Saya perlu keluar daripada imej nyanyian yang peminat kenali selama ini kerana tidak mahu terikat dengan satu cara nyanyian.
Alhamdulillah kerana projek ini didukung bersama komposer yang memahami segala kemahuan saya. Keyakinan yang mereka tiup memberi saya semangat untuk bekerja keras,” katanya yang mempertaruhkan lagu Andai Ku Kenali Ku.
Kata Nurul, kerja kerasnya selama ini bukan untuk orang lain tetapi demi permata hatinya, Ayu Nazirah yang kini berusia 13 tahun.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]






