Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Stesen Radio Suria FM Tidak Tiru Hot FM


KUALA LUMPUR: Stesen radio Suria FM tidak meniru stesen lain terutamanya Hot FM apabila menganjurkan pencarian bakat-bakat baru menerusi kumpulan band, Suriashowdown! Band Kampus Terbaik 2011.

Ini kerana sebelum ini Hot FM turut menganjurkan program yang hampir serupa iaitu Hot FM Twisties Bingit.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Azrullah Mohd Nor, Suriashowdown! memiliki keistimewaan tersendiri yang akan mengetengahkan bakat melalui saluran profesional di kalangan kumpulan band pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS).

"Kami tidak meniru Hot FM Twisties Bingit termasuklah mana-mana stesen radio yang membuat pertandingan pencarian bakat baru seperti yang sedia ada. Saya rasa program sebegini dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuklah stesen radio dan televisyen, cuma cara penyampaian dan olahan program tersebut sahaja yang berbeza.

"Program ini pula lebih memberi fokus kepada pelajar-pelajar IPT kerana saya percaya mereka pasti mempunyai bakat terpendam yang harus kita ketengahkan.

"Selain itu, kami tidak tetapkan genre muzik kerana band daripada semua jenis muzik digalakkan untuk menyertai pertandingan ini.

"Suriashowdown! juga merupakan projek pertandingan realiti yang pertama kami anjurkan dengan pelaburan wang bernilai ratusan ribu ringgit dan ia akan dijadikan sebagai projek tahunan kami," katanya pada majlis pelancaran Suriashowdown! Band Kampus Terbaik 2011 di Hotel Swiss Garden, di sini, Selasa.

Uji bakat akan bermula di Penang Megamall, Pulau Pinang pada 29 Januari 2011, diikuti pula di East Cost Mall,Kuantan (30 Januari), The Zon, Johor Bahru (5 Februari) serta di Plaza Metro Kajang pada 6 Februari.

Borang pendaftaran boleh didapati di lokasi-lokasi yang mengadakan uji bakat tersebut.

Sebanyak 10 buah kumpulan yang mempunyai markah tertinggi akan terus ke peringkat saringan di sebelah petang di mana hanya dua kumpulan sahaja yang akan dipilih untuk ke peringkat akhir yang akan diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 26 Februari 2011.

Kumpulan yang memenangi tempat pertama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, diikuti dengan tempat kedua sebanyak, RM5,000 dan ketiga sebanyak RM3,000.

"Setakat ini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan syarikat rakaman yang ingin bekerjasama dengan Suriashowdown untuk menjadikan pemenang pertandingan ini sebagai artis rakaman mereka, tapi itu belum diputuskan lagi.

"Bagaimanapun, pihak Suria FM akan ketengahkan para pemenang dengan memainkan lagu-lagu mereka di radio serta membawa mereka menyertai konser-konsert anjuran kami. Ini sekali gus dapat menaikkan nama mereka juga," kata Azrullah.

Perkembangan Suriashowdown! akan diumumkan melalui radio Suria FM sendiri serta di laman web www.suriafm.com.my.

Syafie Naswip Muncul Imej Buta Selepas Mimpi Ngeri


KUALA LUMPUR: GARA-GARA mengalami mimpi ngeri menjadi buta, pelakon Syafie Naswip,18, muncul dengan imej tersebut pada Anugerah Skrin 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 24 Disember lalu.

Syafie yang tampil dengan kanta lekap sebelah kanan berwarna putih memberitahu pada suatu malam dia bermimpi matanya buta sehingga pada keesokan harinya dia berhasrat untuk merasai pengalaman itu.

“Saya ni pelik sikit. Selepas mimpi macam tu, terus saya pun terasa macam mana kalau menjadi seorang yang buta?

”Sehinggalah dalam Anugerah Skrin tempoh hari, saya tampil dengan imej tersebut. Kanta lekap seperti orang buta itu diberikan oleh seorang mekap artis untuk saya pakai,” katanya.

Ujar Syafie, dia berpuas hati kerana dapat menunaikan hasrat untuk tampil dengan imej sebegitu hanya kerana bermimpi.

Bercerita mengenai pengalamannya menjadi pelajar tingkatan enam rendah di Sekolah Menengah Gombak Setia, Selangor, Syafie berkata sepanjang pengajian lepas dia dapat mengikuti kelasnya dengan baik.

Malah ujar Syafie dia tidak lagi “dibuli” berbanding ketika pertama kali berlakon filem beberapa tahun dahulu.

“Dulu tayar basikal saya pernah kena pancit. Budak-budak sekolah yang tak suka saya, suka buli saya,. Tapi itu dulu... sekarang tidak lag,. Semua pelajar sekolah boleh menerima saya seorang pelakon,” katanya.

Akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun hadapan, Syafie berharap dia dapat memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu nanti kerana hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Selain meminati bidang fotografi, Syafie juga berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang filem dan lakon layar.

“Insya-Allah, saya akan pastikan keputusan saya dalam STPM tahun hadapan cemerlang kerana hajat saya untuk terus belajar dalam bidang yang saya minati,” katanya yang baru tamat penggambaran filem Songlap pada 2 Disember lalu.

Irma Hasmie Tak Mahu Terserempak Dengan Nabil


KUALA LUMPUR: Pelakon Irma Hasmie,28, tidak mahu terserempak dengan bekas kekasihnya, Nabil Ahmad buat masa ini.

Irma yang ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung pada 24 Disember lalu berkata, selama ini dia tidak pernah terfikir akan kemungkinan berhadapan dengan peristiwa itu.

“Kalau boleh tak naklah terserempak tapi kalau jadi juga, saya pun tak tahu nak buat apa,” katanya.

Hubungan Irma dan Nabil terputus di tengah jalan apabila pelakon wanita itu dikatakan memperoleh beberapa bukti kononnya Nabil turut menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

Malah isu hubungan itu menjadi semakin panas apabila tersebar gambar yang dikatakan milik Nabil dengan seorang wanita sedang bercium.

Jelas Irma, selepas hubungan mereka putus beberapa bulan lalu, dia tidak pernah lagi bertemu atau terserempak dengan Nabil dalam mana-mana majlis rasmi.

Irma berkata, sekiranya ditakdirkan juga dia terserempak dengan bekas kekasihnya itu, Irma berjanji akan bertindak profesional dan melayan Nabil seperti rakan artis yang lain.

“Saya belum pernah jumpa dia selepas kami putus. Harap-harap buat masa ini tak terserempaklah. Tapi kalau terserempak juga, kita kenalah profesional. Insya-Allah, Irma boleh menghadapinya,” katanya.

Menurut Irma, jiwanya pada waktu ini semakin tenang dan dia amat bersyukur dalam tempoh perkenalan singkat mereka Allah telah memberi petunjuk Nabil bukan calon suami yang sesuai untuknya.

Tambah Irma lagi, walaupun Nabil pernah menyuarakan harapan untuk berbaik semula tetapi hatinya sudah tertutup untuk lelaki itu.

Ditanya apakah perbezaan selepas dia putus cinta dengan Nabil dan pelakon Farid Kamil, kantanya kedua-dua mempunyai pengalaman berbeza.

“Putus cinta dengan Farid tak seteruk putus cinta dengan Nabil. Tapi Irma dapat hadapi kedua-duanya dengan baik,” jelasnya.

Tidak mahu memikirkan soal lelaki buat sementara waktu, ujar Irma dia sekarang mahu memberi sepenuh tumpuan dalam bidang seni.

Kekal seksi, cantik - Ilyka


llyka tiada rahsia khusus, kecuali memastikan diri sentiasa cergas

JANGAN melihat dari sudut negatif saja atau berfikir yang bukan-bukan menyebut 'semakin tua, semakin menjadi'.

Kalau merujuk kepada tabiat manusia, memanglah perumpamaan macam itu betul sebab ada yang semakin tua, tetapi perangai buruknya menjadi-jadi. Bagaimanapun, kalau dipandang secara elok atau berfikiran positif, ada sesetengah orang yang semakin berusia, pembabitan dan penampilannya bertambah baik, bahkan menjadi-jadi. Ia mungkin semakin berjaya dengan kerjaya diceburinya atau lebih menarik lagi dari sudut penampilannya.

Inilah yang boleh dilihat kepada penyanyi ini. Penampilannya semakin menarik atau cantik dan kelihatan bertambah seksi pula.

Yang pasti sepanjang 20 tahun terbabit dalam arena seni, Ilya atau nama penuhnya Datin Zuraila Mohamed tidak pernah jemu dengan bidang yang diceburinya.

Pada usia dan kedudukan yang sedang dilalui dan dinikmati ketika ini, memang llyka sepatutnya menghabiskan masa dengan aktiviti lain bersama-sama anak tunggalnya yang berusia tujuh tahun, Arisya hasil perkahwinan dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Aziz.
Namun, darah seni yang bagaikan sebati dalam dirinya membuatkan dia tidak betah duduk diam. Bidang nyanyian terus subur dalam hidupnya.

Menariknya pada usia 38 tahun, llyka tampil dengan imej lebih cantik. Malahan ada yang mengatakan dia lebih cantik daripada sebelum ini.

Ditanya mengenai penampilannya itu, llyka menjelaskan, tiada apa yang hendak dirahsiakan untuk mengekalkan kecantikan, malah bersyukur kerana dikurniakan dengan genetik sebegini.

“Sebenarnya tiada rahsia yang hendak dikongsi. Mungkin semuanya kerana genetik saya seperti ini yang cepat berpeluh dan gemarkan aktiviti yang lasak.

“Lebih-lebih lagi saya ini adalah penyanyi yang sering menyanyi di hotel, jadi minat kepada muzik rancak dan agresif secara tidak langsung mendorong untuk mengeluarkan peluh seperti sedang bersenam.

“Jika pada awal pembabitan karier saya sebagai penyanyi, peminat lebih gemar mendengar genre muzik balada dan saya harus menurutinya, namun dalam usianya kini, saya lebih gemar dengan muzik yang lebih rancak biarpun ada yang beranggapan sudah tidak sesuai dengan usia,” katanya yang ditemui sejurus mengadakan persembahan di Crossroads Lounge hotel Concorde baru-baru ini.

Ilyka yang kini bernaung di bawah pengurusan Wake The Baby Sdn Bhd turut mengambil peluang mempromosikan single terbarunya berjudul Sistematik yang diterbitkan komposer Ajai.

“Single ini sudah lama siap dan sudah dimainkan di kebanyakan stesen radio, sebelum melangkah lebih jauh saya ingin meletakkan single dalam keadaan selesa dulu sebelum tampil dengan single kedua.

“Buat masa ini akan ada perbincangan saya dan Ajai untuk merangka mini album dan jika ada rezeki ia akan bermula tahun depan. Ia memerlukan masa yang agak lama bagi mendapatkan bahan dan lagu baik,” katanya.

Selepas kali terakhir tampil dengan single Bila Ada Denganmu yang diterbitkan komposer Ajai tahun 2007, Ilyka kini tampil dengan cara yang jauh berbeza untuk single terbarunya berjudul Sistematik.

“Single terbaru saya berkonsepkan teknotronik' serta `dance music' yang lebih mudah untuk diterima pelbagai usia.

“Pada saya ia suatu yang baik apabila semakin berusia kita harus lebih bertenaga, dengan muzik seperti ini yang lebih rancak secara tidak langsung ia dapat mengekalkan kesihatan, kecantikan dan kesemuanya, seperti kita sedang bersenam aerobik atau poco-poco,” katanya yang berbangga apabila penyanyi Adila turut menggunakan lagunya, Sistematik untuk kegunaan pengunjung di gim miliknya.

Masih gemuruh

Bagai sirih pulang ke ganggang, namun perasaan gemuruh itu sukar untuk disorok apabila selepas 10 tahun, Ilyka muncul kembali di Crossroads Lounge, Hotel Concorde sebagai penyanyi jemputan.

Kali terakhir muncul di pentas yang sama pada 2000 menandatangani kontrak selama setahun sebelum tampil di beberapa hotel terkemuka sekitar Kuala Lumpur.
Tampil di pentas itu bukanlah untuk melanjutkan kontraknya, tetapi penghargaan istimewa pihak pengurusan hotel Concorde kepada bekas penyanyi yang pernah berkhidmat di situ.

Memulakan kerjaya penyanyi secara profesional bermula 1989, Ilyka lebih dikenali oleh pengunjung hotel seluruh negara, namun pembabitannya di arus perdana kurang menonjol kerana sesekali saja muncul di khalayak ramai.

Menurut Ilyka, jiwanya lebih puas ketika berada di pentas lounge, namun niatnya untuk berada di pentas arus perdana sebaris artis ternama tetap ada sejak dulu lagi.

“Memang tidak dinafikan saya sangat berdebar bukan disebabkan sudah lama tidak menyanyi tetapi sudah terlalu lama tidak muncul di pantas ini. Banyak kenangan di simpan di sini termasuklah melihat ramai kawan-kawan lama yang masih menyokong saya seperti dulu.

“Saya sangat teruja dan perasaan saya menyanyi di sini seperti perasaan orang yang ingin balik ke kampung. Memang jiwa saya sangat selesa apabila menyanyi di sini kerana kebiasaannya pengunjung di sini mudah untuk berinteraksi ketika saya menyanyi,” katanya.

INFO: Ilyka

•Nama Penuh: Zuraila Mohamed Yassin

•Tarikh Lahir: 17 Disember 1972

•Umur: 38 tahun

•Suami: Datuk Ahmad Aziz

•Anak: Arisya, 7 tahun

•Pencapaian:
- Tempat Pertama Pertandingan Nyanyian K3P RTM (1991)
-Tempat Pertama Pertandingan Nyanyian Merdekarama (1996)

•Iklan: Drypantz dan Dumex Mamil

•Teater: Puteri Gunung Ledang The Musical (2006)

Liyana, Syamsul ‘bercinta’ dalam Khurafat


LIYANA Jasymay merupakan antara pelakon pelapis tempatan yang sentiasa komited dan membuat pelbagai persediaan sebelum berada di lokasi penggambaran filem.

Dia misalnya, mengkaji terlebih dahulu watak Aishah yang dilakonkannya menerusi filem Khurafat termasuklah cuba mencetuskan rasa cinta terhadap watak Johan lakonan Syamsul Yusof dalam filem itu.

Menurut Liyana, dia cuba melahirkan rasa cinta itu menerusi watak Aishah sewaktu bergandingan dengan Syamsul yang juga merupakan pengarah filem seram pertama terbitan Skop Production itu.

“Perasaan cinta itu saya harus rasakan sekurang-kurangnya 20 peratus saat melakonkan watak Aishah yang merupakan isteri kepada Johan. Sayangnya, apabila berada di lokasi penggambaran perasaan itu hilang.

“Bagaimanapun, selepas seminggu berlakon filem itu saya semakin rapat dan banyak berborak-borak dengan Syamsul barulah perasaan cinta pada Johan itu dapat saya rasakan.

“Cuma jangan salah faham, ini bukannya cinlok (cinta lokasi) tetapi hanya penghayatan untuk menguatkan lagi lakonan saya,” katanya sewaktu ditemui pada pratonton Khurafat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain cuba melahirkan rasa cintanya terhadap Johan dalam Khurafat, Liyana juga sanggup mengenakan tudung agar watak yang dilakonkannya itu berkesan bagi memberi kelainan dalam penampilannya.

Katanya, selama ini dia lebih banyak melakonkan watak gadis remaja yang tidak bertudung di mana pengalamannya dalam Khurafat sedikit sebanyak telah mempelbagaikan lagi karakter lakonannya di layar perak.

“Bukan setakat bertudung, malah ini juga kali pertama saya melakonkan watak seorang isteri. Walaupun saya masih muda tetapi saya pikul peranan itu atas keyakinan, apatah lagi saya telah mengkaji terlebih dahulu watak tersebut.

“Namun, sebelum menerima tawaran berlakon dalam Khurafat, saya tanya pendapat Bade Azmi. Dia (Bade) beri galakan kerana yakin dengan bakat dan kreativiti Syamsul sebagai pengarah filem ini,” ujarnya.

Sementara itu, Syamsul yang ditemui tidak menafikan dia cuba menghayati watak Johan dengan melahirkan rasa cintanya terhadap Aishah bagi menghidupkan adegan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Jelas pengarah berusia 26 tahun ini, biarpun baru mengenali Liyana tetapi sebagai pelakon profesional dia cuba juga mencetuskan perasaan itu saat berada di lokasi di mana ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukannya.

“Saya akui memang susah melakonkan babak percintaan. Bagaimanapun, apabila berada di depan kamera, ‘perasaan cinta’ saya pada Aishah akan timbul,” jelasnya.

Sewaktu ditanya tentang Khurafat, jelas Syamsul, ia merupakan filem genre seram pertama arahannya biarpun sebelum ini dia lebih sinonim dengan filem aksi seperti Evolusi KL Drift .

Sungguhpun begitu, anak pengarah Datuk Yusof Haslam ini tidak memilih sebarang genre filem, sebaliknya bersedia untuk mengarahkan genre-genre lain jika diberi peluang oleh bapanya pada masa akan datang.

“Saya dapat pengiktirafan di Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini sebagai Pengarah Terbaik melalui filem Evolusi KL Drift 2 yang merupakan filem genre aksi. Saya anggap saya lebih relevan dengan filem aksi.

“Namun, saya masih dalam proses belajar di mana kalau boleh saya mahu mendalami setiap sudut dalam bidang seni termasuklah filem genre seram yang mencabar kreativiti saya.

“Contohnya, melalui filem ini saya cuba selitkan unsur-unsur keislaman di mana ia boleh dijadikan pengajaran buat para penonton. Kalau filem aksi mungkin sukar sedikit untuk menyelitkan elemen-elemen sebegitu,” tambahnya.

Khurafat yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 13 Januari tahun depan turut membariskan pelakon seperti seniwati veteran Mariani, Fauziah Nawi, Sabrina Ali dan Salina Saibi.

Fizz Fairuz Semakin Selektif, Enggan Berlakon Sambil Lewa


KUALA LUMPUR: Bersikap memilih bukanlah suatu yang selalu dilakukan oleh pelakon tersohor, Fizz Fairuz, 30, suatu ketika dahulu.

Namun kini, dia semakin selektif dan berpendirian untuk tidak berlakon sambil lewa demi menjaga mutu lakonannya.

Bukan kerana namanya semakin meningkat naik dan dia boleh demand sesuka hati. Tetapi Fizz yakin setiap watak yang berlainan dan mempunyai tarikan tersendiri mampu memberikan impak kepada industri hiburan.

Sebab itu dia selesa bekerja di bawah pengarah berkaliber, Kabir Bhatia yang pernah menghasilkan drama rantaian Nur Kasih yang memenangi anugerah Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin 2010 pada 24 Disember lalu.

“Saya jenis yang suka bertolak ansur dan melihat sebab yang sesuai untuk menerima sesuatu watak itu.

“Pada saya, Kabir merupakan pengarah yang mudah untuk berbincang dan memahami jiwa saya,” katanya yang akan muncul dalam empat buah filem terbarunya.

Filem-filem tersebut berjudul Bara Jiwa, Hantu Kapcai, 5 Musibat dan Aku Bukan Pilihanmu.

Setiap watak yang dilakonkan dalam filem-filem tersebut memberikan kelainan dan belum pernah dibawakan olehnya sebelum ini.

“Dalam filem Bara Jiwa, saya berlakon sebagai penjaga gerai yang pandai bersilat manakala dalam Hantu Kapcai, saya melakonkan watak seorang yang boleh berinteraksi dengan makhluk halus,” ujarnya.

Nurkhiriah Buktikan Perbezaan Popular dan Terbaik


KUALA LUMPUR: Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2010, Nurkhiriah memberitahu tidak sesekali meletakkan harga tinggi setelah memenangi anugerah tersebut.

Menurutnya dia hanya melakukan tanggungjawab sebagai seorang pelakon dengan baik tanpa memikirkan populariti dan anugerah yang bakal diterimanya.

“Tidak pernah terfikir untuk meletakkan harga yang tinggi setelah memenangi anugerah tersebut. Bagi saya itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon untuk melakonkan watak dengan baik.

“Bagi saya inilah perbezaan bagi seorang pelakon popular dengan terbaik,” ujarnya yang memenangi anugerah tersebut melalui drama Antara Garisan.

Dalam pada itu, Nurkhiriah turut memberitahu dia lebih selesa berlakon di kaca skrin televisyen berbanding filem.

“Saya lebih suka berlakon drama berbanding filem. Drama lebih mudah untuk ditonton untuk seisi keluarga berbanding filem.

“Saya juga tahun untuk berlakon filem terutamanya sebagai pelakon utama memerlukan kriteria yang agak tinggi. Namun untuk buktikan bakat lakonan kita ia tidak hanya perlu sehingga ke layar perak,” jelasnya.

Bercerita tentang rahsia selama 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Nurkhiriah memberitahu restu keluarga adalah paling utama.

“Apa yang penting ialah kita perlu ikhlas dalam setiap kerja yang kita lakukan. Bagi saya pentingnya restu keluarga dan suami dalam setiap kerja yang kita lakukan.

“Insya-Allah segala urusan dan rezeki kita akan dipermurdahkan Allah,” katanya.

SOROTAN 2010: Suratan Takdir, Berpisah Jua

PETALING JAYA: Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tahun 2010 meninggalkan satu kenangan pahit buat golongan artis kita apabila rumah tangga yang dibina tidak kekal lama.

1. DIRA ZAHAR: Keretakan rumah tangga pelakon muda ini membuka tirai perceraian artis tanah air 2010 apabila Dira dan suaminya Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (Ash) disahkan bercerai pada 8 April 2010.

Pasangan ini berkahwin pada 31 Ogos 2003. Hasil perkahwinan selama empat tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Tengku Anggun Deandra, 2.

Timbul juga desas-desus yang mengaitkan perceraian mereka dengan badi menyertai program Sehati Berdansa (SB) musim ketiga.

2. SABRINA ALI: Pelakon berdarah kacukan Melayu-Afganistan ini berpisah dengan suaminya Shahrin Abdul Halim, 38, pada sekitar Jun 2010. Pasangan yang berkahwin pada 21 Mei 2006 itu dikurniakan seorang puteri Ariyana, 2.

Perceraian Sabrina dan Shahrin menjadikan mereka pasangan ke-enam yang dikaitkan dengan badi program SB.

Punca perceraian enggan dikongsikan oleh Sabrina demi menghormati keluarga kedua belah pihak.

Terbaru, pelakon filem Khurafat ini sedang berbahagia dengan kekasih baru dan dijangka melangsungkan perkahwinan pada 2011.

3. RADHI OAG: Vokalis kumpulan OAG, Radhi atau nama sebenarnya Muhd Radhi Razali bercerai dengan Shazlin Shariff pada 8 Jun 2010 selepas lima tahun melayari bahtera perkahwinan.

Mereka berkahwin pada 1 Januari 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki Rifdhi Muslim, 5.

4. ANNE NGASRI: Pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, dan pasangannya Abdul Wafi Hassan bercerai pada 25 Jun 2010.

Mereka yang berkahwin pada 26 Mei 2006 dikurniakan tiga orang anak Abdul Warits, 2, Abdul Wafri, empat bulan, dan Nazharah Afrozah, satu bulan.

5. MAYA KARIN: Pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman ini bercerai dengan suami Steven David Shortose pada 16 Julai 2010. Pasangan itu berkahwin dalam suasana romantis pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali. Majlis resepsi mereka diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 26 Ogos tahun yang sama.

6. AIDA RADZWILL: Dramatis terkenal Khalida Adibah Ahmad, 53, atau Aida Radzwill bercerai dengan suami Ismail Ahmad@Mohd Radzwill, 39, (Joe Radzwill) pada 26 Ogos 2010 selepas lapan tahun berkahwin. Pasangan yang tidak dikurniakan anak itu berkahwin pada 6 November 2002.

Selepas bercerai, Aida mengumumkan dia kini menggunakan nama Aida Khalida. Menariknya, sebelum ini Aida turut dikenali sebagai Aida Rahim.

. RAJA AZURA: Perceraian penyampai radio dan pengacara popular Raja Azura dan suami Adzmin Tan Sri Osman merupakan kes penceraian artis paling panas untuk tahun 2010.

Pada 28 September lalu, terputuslah ikatan mereka sebagai suami isteri selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga. Mereka berkahwin pada 10 Mac 2001 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 4, dan Puteri Mia Maizurah, 4.

8. ALEEZA KASIM: Peragawati dan pelakon Aleeza Kasim dan suami Datuk Mohd Fauzi Che Ros bercerai pada 27 Oktober 2010 selepas empat tahun berkahwin. Mereka berkahwin pada 15 Julai 2006.

9. SEIN: Anggota kumpulan Ruffedge, Sein atau sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 27, disahkan bercerai pada 8 Disember lalu dengan isteri Noor Diyana Muhammad atau Nana, 26.

Hasil perkahwinan selama empat tahun, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.

Sein menjelaskan perceraian mereka bukan disebabkan oleh badi program realiti Sehati Berdansa atau kemunculan orang ketiga.

Suratan atau kebetulan, perceraian Sein dan Nana menjadikan mereka pasangan ke-tujuh daripada program tersebut yang mengalami episod duka itu.

Pasangan lain yang turut mengalami nasib serupa termasuk Asheed (Def Gab C) dan Shima (SB1), Atilia dan Ariff (SB1), Dira dan Ash (SB3), Radhi (OAG) dan Shazlin (SB1), Sabrina dan Shahrin (SB2) dan Anne dan Wafi (SB1).

10. IDA NERINA: Aktres berkarisma ini disahkan bercerai dengan Sha'arin Mohd Razali (Shahrin) yang juga bekas pemain dram kumpulan Blackrose pada 13 Disember 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Perceraian ini berlaku lebih enam bulan selepas mahkamah sama memutuskan bahawa pasangan itu masih sah bergelar suami isteri apabila menolak permohonan pengesahan lafaz cerai yang didakwa berlaku di luar mahkamah.

Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Shahrin kerana mendakwa dia telah melafazkan cerai terhadap Ida pada Hari Raya Aidilfitri kedua, 22 September 2009.

Pasangan itu berkahwin pada 2 Jun 2006 dan tidak dikurniakan anak.

Biarpun perpisahan sudah terjadi, yang penting perlu ada hormat-menghormati. Esok jangan lupa membaca mStar Online untuk mengikuti pelbagai kisah kontroversi dan kerinduan terhadap orang tersayang yang pergi buat selama-lamanya.

Hans Isaac Lupakan Kerja Seketika Demi Ibu


PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Hans Isaac terpaksa melupakan seketika kerja seninya demi memberikan perhatian kepada kesihatan ibunya, Carmina Isaac, 72, dalam dua hingga tiga bulan ini.

Namun bukan bermakna melupakan terus, sebaliknya tumpuan utamanya lebih diberikan kepada ibu berbanding kerjaya.

Katanya, ibu lebih penting dari segala-galanya dan tidak kisah untuk menghabiskan masa bersama-sama wanita yang menjaganya sejak kecil.

Malah dia menganggap penundaan teater muzikal Lat The Kampung Boy yang sepatutnya dipentaskan di Istana Budaya pada Disember ini kepada Mac 2011 sebagai suatu hikmah dari Tuhan.

“Nampaknya Tuhan sudah mengatur yang terbaik untuk saya dan memberikan petunjuk agar saya menjaga mak. Kalau saya teruskan untuk membuat teater itu mungkin tak dapat fokus.

“Saya tetap bersyukur kerana ibu saya pun semakin pulih. Apa-apa pun, saya tetap akan menjaganya dan meluangkan masa kepadanya. Selepas itu, baru saya akan tumpukan kepada kerja. Saya juga bernasib baik kerana mempunyai pasukan (Tall Order Productions Sdn Bhd) yang bagus,” katanya yang menyambut Hari Krismas pada 25 Disember lalu di rumah ibunya di Ampang.

Bagaimanapun, pengarah filem Cuci The Musical ini sempat berkongsi perancangannya untuk tahun 2011.

Menurut pelakon filem Misteri Jalan Lama yang bakal ditayangkan di pawagam pada Mac ini, dia bakal menerbitkan tiga buah drama rantaian iaitu 7 Gerhana (Astro), Cinta Melbourne (TV3) dan Cuci Cuci Services musim kedua (RTM) serta dokumentari Underwater (TV3).

Menariknya untuk Cuci Cuci Services 2, dia akan menampilkan watak baru dalam drama tersebut dengan menampilkan gandingan hebat pelakon Nabil (Raja Lawak), Afdlin Shauki dan Awie yang sinonim dengan teater Cuci The Musical yang telah dua kali dipentaskan di Istana Budaya.

Hans juga berkongsi berita gembira bahawa Cuci The Musical juga bakal dipentaskan buat kali ketiga di Istana Budaya pada Februari 2012 atas permintaan pihak Istana Budaya dan peminat.

“Bermula 2011, saya akan siapkan empat projek untuk TV secara berperingkat sehingga bulan Julai. Selepas itu saya akan mengarah dua buah filem bermula Julai hingga Disember.

“Saya mensasarkan untuk berlakon sebuah filem dalam setahun. Jadi pada tahun 2011 saya harap mendapat tawaran berlakon filem yang mempunyai skrip yang bagus,” ujarnya yang turut akan mengarah dokumentari Underwater.

Sementara tiga buah drama lagi diserahkan kepada pengarah yang mendapat kepercayaannya seperti Heykal Hanafiah, Harun Salim Bachik dan pengarah baru.

Sempena Tahun Baru yang bakal menjelang beberapa hari lagi, Hans turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011.

“Saya nak ucapkan kepada semua kawan-kawan, jangan selalu memikirkan tentang kerja sehingga melupakan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita kena cari hidup yang seimbang agar pandai membahagikan antara kerja, diri-sendiri dan keluarga.

“Jadi, mulanya tahun baru ini, jaga diri baik-baik,” luahnya dengan suara serak kerana terlalu seronok menonton perlawanan bola sepak Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad, yang menyaksikan kemenangan kepada pasukan Malaysia sekaligus menewaskan pasukan Indonesia dengan 3-0.

Hans turut berpuas hati dengan pencapaian terbaik yang dilakukan oleh pasukan bola sepak Malaysia setelah 14 tahun menanti.

Sein Nafi Orang Ketiga Punca Penceraian


KUALA LUMPUR: Pasangan juara Sehati Berdansa, Syed Hussein Syed Mustafa atau lebih dikenali sebagai Sein menafikan wujudnya orang ketiga atau badi program Sehati Berdansa menjadi punca penceraiannya dengan Nana awal bulan lalu.

Jelasnya, punca utama penceraian mereka adalah disebabkan tiada lagi persefahaman dalam menenruskan ikatan tersebut.

“Itu hanya khabar angin, tiada orang ketiga atau badi Sehati Berdansa sebagai punca perpisahan kami.

“Kami berpisah secara baik selepas berbincang untuk mengambil keputusan terbaik. Masing-masing setuju untuk mencari jalan hidup sendiri,” ujarnya yang ditemui di Anugerah Skrin 2010, Jumaat.

Pasangan ini disahkan bercerai dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada 2 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya dia menerima jika ditakdirkan kembali berkongsi hidup semula dengan bekas isterinya itu.

“Saya dan Nana masih berhubung terutamanya kerana anak. Kami tidak mahu penceraian ini menjejaskan kehidupan anak-anak.

“Buat masa ini saya bebas untuk menggambil anak saya pada bila-bila masa,” ujarnya yang mempunyai dua cahaya mata Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.

Dalam pada itu, Sein mengakui perbezaan ketara setelah kembali menjalani hidup bersendiri. Justeru dia kini lebih menumpukan perhatian terhadap syarikat produksi miliknya, Cumwerk Sdn Bhd.

“Saya akui banyak perbezaan hidup dulu dans sekarang. Tak dinafikan sunyi dari gelak tawa anak-anak, sebab itu saya tumpukan perhatian pada kerja.

“Saya kini sibuk dengan penulisan skrip dan kerja-kerja disebalik tabir. Syarikat saya ini ditubuhkan pada bulan Julai tahun lalu.

“Semua projek dalam proses pembikinan, dan Isya-Allah impian untuk menerbitkan sebuah drama atau filem,” ujarnya yang baru menamatkan pengajian di London Film School dalam jurusan Seni Fotografi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails