Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kekal seksi, cantik - Ilyka


llyka tiada rahsia khusus, kecuali memastikan diri sentiasa cergas

JANGAN melihat dari sudut negatif saja atau berfikir yang bukan-bukan menyebut 'semakin tua, semakin menjadi'.

Kalau merujuk kepada tabiat manusia, memanglah perumpamaan macam itu betul sebab ada yang semakin tua, tetapi perangai buruknya menjadi-jadi. Bagaimanapun, kalau dipandang secara elok atau berfikiran positif, ada sesetengah orang yang semakin berusia, pembabitan dan penampilannya bertambah baik, bahkan menjadi-jadi. Ia mungkin semakin berjaya dengan kerjaya diceburinya atau lebih menarik lagi dari sudut penampilannya.

Inilah yang boleh dilihat kepada penyanyi ini. Penampilannya semakin menarik atau cantik dan kelihatan bertambah seksi pula.

Yang pasti sepanjang 20 tahun terbabit dalam arena seni, Ilya atau nama penuhnya Datin Zuraila Mohamed tidak pernah jemu dengan bidang yang diceburinya.

Pada usia dan kedudukan yang sedang dilalui dan dinikmati ketika ini, memang llyka sepatutnya menghabiskan masa dengan aktiviti lain bersama-sama anak tunggalnya yang berusia tujuh tahun, Arisya hasil perkahwinan dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Aziz.
Namun, darah seni yang bagaikan sebati dalam dirinya membuatkan dia tidak betah duduk diam. Bidang nyanyian terus subur dalam hidupnya.

Menariknya pada usia 38 tahun, llyka tampil dengan imej lebih cantik. Malahan ada yang mengatakan dia lebih cantik daripada sebelum ini.

Ditanya mengenai penampilannya itu, llyka menjelaskan, tiada apa yang hendak dirahsiakan untuk mengekalkan kecantikan, malah bersyukur kerana dikurniakan dengan genetik sebegini.

“Sebenarnya tiada rahsia yang hendak dikongsi. Mungkin semuanya kerana genetik saya seperti ini yang cepat berpeluh dan gemarkan aktiviti yang lasak.

“Lebih-lebih lagi saya ini adalah penyanyi yang sering menyanyi di hotel, jadi minat kepada muzik rancak dan agresif secara tidak langsung mendorong untuk mengeluarkan peluh seperti sedang bersenam.

“Jika pada awal pembabitan karier saya sebagai penyanyi, peminat lebih gemar mendengar genre muzik balada dan saya harus menurutinya, namun dalam usianya kini, saya lebih gemar dengan muzik yang lebih rancak biarpun ada yang beranggapan sudah tidak sesuai dengan usia,” katanya yang ditemui sejurus mengadakan persembahan di Crossroads Lounge hotel Concorde baru-baru ini.

Ilyka yang kini bernaung di bawah pengurusan Wake The Baby Sdn Bhd turut mengambil peluang mempromosikan single terbarunya berjudul Sistematik yang diterbitkan komposer Ajai.

“Single ini sudah lama siap dan sudah dimainkan di kebanyakan stesen radio, sebelum melangkah lebih jauh saya ingin meletakkan single dalam keadaan selesa dulu sebelum tampil dengan single kedua.

“Buat masa ini akan ada perbincangan saya dan Ajai untuk merangka mini album dan jika ada rezeki ia akan bermula tahun depan. Ia memerlukan masa yang agak lama bagi mendapatkan bahan dan lagu baik,” katanya.

Selepas kali terakhir tampil dengan single Bila Ada Denganmu yang diterbitkan komposer Ajai tahun 2007, Ilyka kini tampil dengan cara yang jauh berbeza untuk single terbarunya berjudul Sistematik.

“Single terbaru saya berkonsepkan teknotronik' serta `dance music' yang lebih mudah untuk diterima pelbagai usia.

“Pada saya ia suatu yang baik apabila semakin berusia kita harus lebih bertenaga, dengan muzik seperti ini yang lebih rancak secara tidak langsung ia dapat mengekalkan kesihatan, kecantikan dan kesemuanya, seperti kita sedang bersenam aerobik atau poco-poco,” katanya yang berbangga apabila penyanyi Adila turut menggunakan lagunya, Sistematik untuk kegunaan pengunjung di gim miliknya.

Masih gemuruh

Bagai sirih pulang ke ganggang, namun perasaan gemuruh itu sukar untuk disorok apabila selepas 10 tahun, Ilyka muncul kembali di Crossroads Lounge, Hotel Concorde sebagai penyanyi jemputan.

Kali terakhir muncul di pentas yang sama pada 2000 menandatangani kontrak selama setahun sebelum tampil di beberapa hotel terkemuka sekitar Kuala Lumpur.
Tampil di pentas itu bukanlah untuk melanjutkan kontraknya, tetapi penghargaan istimewa pihak pengurusan hotel Concorde kepada bekas penyanyi yang pernah berkhidmat di situ.

Memulakan kerjaya penyanyi secara profesional bermula 1989, Ilyka lebih dikenali oleh pengunjung hotel seluruh negara, namun pembabitannya di arus perdana kurang menonjol kerana sesekali saja muncul di khalayak ramai.

Menurut Ilyka, jiwanya lebih puas ketika berada di pentas lounge, namun niatnya untuk berada di pentas arus perdana sebaris artis ternama tetap ada sejak dulu lagi.

“Memang tidak dinafikan saya sangat berdebar bukan disebabkan sudah lama tidak menyanyi tetapi sudah terlalu lama tidak muncul di pantas ini. Banyak kenangan di simpan di sini termasuklah melihat ramai kawan-kawan lama yang masih menyokong saya seperti dulu.

“Saya sangat teruja dan perasaan saya menyanyi di sini seperti perasaan orang yang ingin balik ke kampung. Memang jiwa saya sangat selesa apabila menyanyi di sini kerana kebiasaannya pengunjung di sini mudah untuk berinteraksi ketika saya menyanyi,” katanya.

INFO: Ilyka

•Nama Penuh: Zuraila Mohamed Yassin

•Tarikh Lahir: 17 Disember 1972

•Umur: 38 tahun

•Suami: Datuk Ahmad Aziz

•Anak: Arisya, 7 tahun

•Pencapaian:
- Tempat Pertama Pertandingan Nyanyian K3P RTM (1991)
-Tempat Pertama Pertandingan Nyanyian Merdekarama (1996)

•Iklan: Drypantz dan Dumex Mamil

•Teater: Puteri Gunung Ledang The Musical (2006)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails