Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

TV3 Serah 20 Pita Drama 'Sakti Delima' Kepada LPFM



PETALING JAYA: Pihak TV3 telah menyerahkan 20 episod pita rakaman drama bersiri Sakti Delima kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) selepas agensi tersebut melarang penyiaran drama berkenaan di stesen televisyen itu berkuat kuasa Isnin selepas empat episod penyiarannya.

TV3 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Isnin berkata, pihaknya mematuhi arahan LPFM dan terpaksa memberhentikan tayangan drama terbitan J.S Pictures itu yang dikatakan mempunyai unsur-unsur syirik dan tahyul.

“Pihak TV3 akur dengan arahan LPFM dan membuat keputusan untuk tidak menayang drama berkenaan menerusi slot Legenda berkuat kuasa serta-merta dan menyerahkan 20 episod pita rakaman kepada mereka untuk dibuat pemantauan.

“Ia untuk memastikan jalan cerita dan elemen yang dipaparkan tidak mengandungi sebarang unsur syirik ketara yang boleh memesongkan akidah Islam,” kata kenyataan itu.

Drama yang diadaptasi daripada filem klasik Pancha Delima yang pernah dilakonkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin dan Saadiah pada tahun 1957 itu mengisahkan tentang kesaktian seutas kalung yang menjadi rebutan ramai.

Ia diberi nafas baru oleh pengarah Jinggo dan penulis skrip Sofia J.Rhyland di samping barisan pelakon-pelakon bertudung Bienda, Safura, Aida Khalida dan Catriona Ross.

Stesen televisyen itu berkata, pihaknya akan menyiarkan drama tersebut semula pada bulan April akan datang selepas ia mendapat kelulusan LPFM.

Dalam sebuah laporan akhbar Isnin, penerbit J.S Pictures yang turut berlakon drama tersebut Sheila Rusly mempersoalkan LPFM kerana melarang penyiaran drama berkenaan sedangkan ia merupakan 30 peratus adaptasi daripada filem asal Pancha Delima.

Kata Sheila, kenapa pihak LPFM perlu ada “double standard” terhadap drama berkenaan.

Sakti Delima disiarkan menerusi slot Legenda yang menemui penonton bermula Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang sejak 3 Januari lalu.

Tomok Tak Jadi Botak Kepala



KUALA LUMPUR: Finalis Anugerah Juara Lagu (AJL 25) Tomok atau Shah Indrawan Ismail mengakui terpaksa membatalkan niat untuk memcukur rambutnya ketika membuat persembahan pada malam anugerah berprestij tersebut.

Menurut Tomok, idea untuk membuat kejutan itu terpaksa dibatalkan kerana terikat dengan sebuah syarikat berkaitan dengan penampilan dan imej yang ditampilkan kini.

"Pada awalnya memang saya mahu membotakkan kepala dalam persembahan tersebut tetapi saya terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir apabila menyedari terikat dengan sebuah syarikat berkaitan dengan penampilan.

"Buat masa ini memang saya kena kekalkan penampilan ini dan tidak dibenarkan memotong rambut," katanya.

Dalam pada itu, Tomok mengakui berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan pada malam AJL25 lalu kerana ia merupakan kali pertama dia menari sambil menyanyi.

"Saya hanya cuba untuk beri kelainan dengan menari, sebab saya rasa orang dah biasa tengok saya berlari-lari atas pentas. Saya ambil masa dua minggu untuk berlatih menari.

"Menari bukan sesuatu yang mudah bagi saya dan tidak mungkin saya akan beralih kepada genre Pop Dance ini. Jika sekali sekala tak mengapa," katanya yang mempertaruhkan lagu Berlari.

Jelasnya, biarpun tidak memenangi sebarang anugerah, dia berpuas hati dengan persembahan pada malam kemucak itu.

"Kalah atau menang adat pertandingan, apa yang penting sebagai penyanyi dan penghibur saya telah menjalankan tanggungjawab saya.

"Bagi saya, jika peminat terhibur pada persembahan saya, itu sudah memberi kepuasan kepada saya," katanya yang baru sahja keluar dengan album solo berjudul Tomok.

Qi Akui Keluar Bersama Yuna



KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Qushairi Razali atau lebih dikenali sebagai Qi mengakui semakin rapat dengan penyanyi Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai.

Dia mengakui bertambah selesa berdampingan dengan calon Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) pada waktu lapang.

“Saya tidak keluar dengan orang lain secara eksklusif, tetapi jika saya mempunyai masa lapang, saya selesa meluangkan masa dengan Yuna," katanya kepada pemberita semasa pelancaran Field Trip! USA musim kedua di sini, Isnin.

Qi ialah hos rancangan pengembaraan televisyen itu yang bakal bersiaran setiap Rabu, pada pukul 9.30 malam bermula 28 September 2011 di saluran 8TV.



Kerana masing-masing meminati muzik, Qi, yang berusia 34 tahun berkata, dia senang berkomunikasi dengan Yuna yang lebih muda sembilan tahun daripadanya.

"Saya tak rasa janggal bersamanya. Mula-mula, saya mengakui segan berkawan dengannya kerana dia merupakan artis yang pernah memenangi banyak anugerah," katanya.

Menurut Qi, mereka mula berkenalan dalam rancangan Kawanku Bintang Coca-Cola baru-baru ini.

Dalam program di saluran TV9 itu, Yuna merupakan salah seorang juri manakala Qi menjadi pengacara. Dari situlah, perhubungan mereka semakin rapat.

Sementara itu, Qi memberitahu, dia hadir menyaksikan AJL25 Ahad lalu di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini untuk memberikan sokongan kepada Yuna.

Bagaimanapun, katanya, dia beredar sebaik sahaja rancangan itu berakhir kerana mempunyai kerja pada keesokan paginya.



Yuna ketika hadir di AJL25, Ahad lalu.

"Saya sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya untuk memujuk dia supaya tidak bersedih.

"Saya kata, rezeki itu masing-masing. Ada masa kita kalah, insya-Allah kita menang (lain kali)," katanya yang berharap Yuna dapat menang tetapi akur saingannya hebat-hebat belaka.

Ahli Perniagaan Tidak Taja Album Marsha



KUALA LUMPUR: Penyanyi Marsha Milan Londoh, 26, atau lebih dikenali sebagai Marsha mengakui album EP pertamanya berjudul Yang Pertama ini dibiayai dari hasil kerja keras selama enam tahun bergelar anak seni.

Marsha turut menafikan, modal pembikinan tersebut mendapat tajaan dari mana-mana individu termasuk kekasihnya yang dikatakan seorang ahli perniagaan.

"Album ini hasil titik peluh saya sendiri tiada tajaan daripada kekasih atau orang lain. Sejak keluar dari Maestro Records saya rasakan perlu bekerja keras untuk terbitkan album sendiri.

"Ia bukan semudah yang disangka, saya terpaksa korbankan hasrat membeli kereta dan barang-barang mewah semata-mata untuk mengumpul modal ini," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Perlancaran Album Yang Pertama, di Restoran Alexis, Selasa.

Bagaimanapun Marsha tidak menafikan ahli perniagaan berkenaan menjadi sumber inspirasinya ketika menghasilkan lagu dalam album tersebut.

"Ya, dia sedikit sebanyak sumber inspirasi kepada saya. Dia banyak beri nasihat dari segi bisnes sebab dia dari bidang tersebut.

"Namun begitu dia tidak banyak masuk campur urusan album ini," jelasnya yang menerbitkan album tersebut di bawah syarikat miliknya, Marshalondoh Entertainment Sdn Bhd.

Mengulas tentang hubungan cinta mereka, Marsha memberitahu ia masih di peringkat awal dan tiada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga.

"Kami masih lagi dalam proses berkawan belum ada perancangan untuk ke alam rumah tangga dan mungkin lama lagi sebab saya mahu fokus pada kerjaya terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, album yang bakal berada dipasaran pada awal Februari ini memuatkan lima buah lagu antaranya ialah Ruang Kedua berduet bersama Julian Cely dari Perancis, Antara Gembira, Bila, Janji, Tak Perlu Selamanya, dan Bersama Kita.

Jelas Marsha, antara cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang proses merakan album ini ialah terpaksa menangguhkan rakaman kerana menghidapi sakit kerongkong selama tiga bulan.

"Banyak sebenarnya cabaran ketika proses rakaman berlangsung selain dari segi kewangan, saya juga ketika itu menghaidapi sakit tekak, jadi terpaksa menangguhkan selama tiga bulan," ujarnya.

Dalam pada itu, Marsha turut memberi sentuhan pertama terhadap dua buah lagu ciptaannya iaitu Bila dan Janji.

"Sebelum ini saya pernah cuba-cuba untuk buat lagu tetapi tidak serius. Lagi pula saya tidak mencatit atau menjadikannya sebuah lagu penuh.

"Selepas membuat keputusan untuk menerbitkan album sendiri barulah saya betul-betul beri komitmen untuk menyiapkan lagu hasil usaha sendiri," katanya.

Dari segi lakonan, Marsha bakal muncul dengan filem Cun arahan Osman Ali dan beberapa drama seperti Kum Kum The Series, KITA 2, Mimi Mencari Cinta.

David Beckham Bakal Timang Anak Keempat



BINTANG bolasepak terkenal David Beckham mengumumkan isterinya Victoria sedang berbadan dua dan dijangka melahirkan anak keempat mereka pada musim panas nanti.

Pasangan itu sudah memiliki tiga orang anak lelaki dan kali ini Victoria dilaporkan berharap agar mendapat anak perempuan pula.

Terdahulu, bekas anggota kumpulan Spice Girls itu pernah melahirkan kegembiraannya untuk menambahkan bilangan anak. Berita kehamilannya ini sekali gus membuktikan Victoria benar-benar mengotakan janjinya.

Pasangan itu berkahwin pada 1999 dan masih berbahagia melayari bahtera perkahwinan mereka untuk tahun ke-12.

Beckham dilaporkan berkongsi berita gembira itu di laman Facebook dengan menyatakan keterujaan anak-anaknya untuk menyambut adik baru.

Victoria pula berkata, dia teringin untuk menimang anak perempuan kerana ia akan memberi peluang kepadanya untuk mengilatkan kuku, menyolek dan memilih pakaian yang cantik untuk anak itu kelak.

Bagaimanapun, pasangan itu enggan untuk mengenal pasti jantina kandungan itu selagi ia belum dilahirkan.

Ahmad Idham : Watak Ustaz Halau Hantu Masih Relevan



PETALING JAYA: Watak ustaz dalam sesebuah filem atau drama yang dipaparkan sebagai penghalau hantu dan jin dianggap relevan sebagai individu yang mempunyai kehebatan mengakis kejahatan makhluk halus itu.

Pengarah filem Ahmad Idham (gambar) berkata, seseorang ustaz dilihat bukan hanya berkebolehan menyampaikan ceramah agama atau pendakwah sahaja sebaliknya boleh membantu merawat individu yang diganggu makhluk halus.

“Watak seseorang ustaz dalam filem yang diperlihatkan sebagai penghalau makhluk halus itu adalah bersesuaian dengan cerita yang dipaparkan.

“Kelebihan sebagai seorang ustaz bukan sahaja sebagai penceramah dan pendakwah sebaliknya sebagai pengamal agama yang boleh memberikan ayat pendinding diri daripada dirasuk. Jika saya menggelar golongan itu sebagai dukun atau bomoh, lagi tahyul.

“Setakat ini, ada atau tidak jampi serapah yang menunjuk kelemahan Tuhan? Sebagai pengarah, saya lihat ayat al-Quran lebih banyak ditonjolkan dalam filem atau drama seram,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Ahmad Idham mengulas kenyataan Pensyarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ustaz Mohd Azahari Yusuf dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Ahad lalu yang menegur elemen jampi serapah dalam sesebuah filem atau drama.

Kata Mohd Azahari, penulis skrip genre seram yang mahu mewujudkan watak ustaz perlulah peka dengan peranan besar yang dimainkan golongan itu dan bukannya menyempitkan peranan mereka hanya setakat menjadi penghalau hantu atau makhluk halus semata-mata.

Sebelum ini, Idham menghasilkan filem dan drama seram seperti Congkak, Jangan Tegur, Niyang Rapik dan terbaru Damping Malam.

Menurut Idham dia mengalu-alukan sekiranya pihak yang tidak berpuas hati dengan hasil filem atau drama seram supaya sama-sama turun padang dan berbincang tentang perkara tersebut.

Sementara itu, pengarah drama Azman Yahya (Jinggo) menganggap kewujudan watak ustaz sebagai penghalau hantu dan jin disebabkan trend masyarakat yang menyukai drama atau filem seperti itu.

Bagaimanapun, dia yang pernah menghasilkan drama seram menerusi syarikatnya, JS Pictures setakat ini belum pernah menampilkan watak ustaz sebagai penghalau hantu dan jin.

“Dalam drama Roh yang kami terbitkan, watak ustaz ditonjolkan sebagai orang yang mengajar tentang cara untuk berhadapan dengan syaitan di mana kita berada. Pada setiap penghujung cerita itu, ada diselitkan ayat suci al-Quran.

“Saya tak nafikan skop seorang ustaz amat besar untuk mengajar, memberi nasihat tentang Islam kepada masyarakat. Tetapi JS Pictures tidak pernah terlepas dari membuat cerita yang bermesej. Selain untuk berhibur, kami turut menyelitkan rujukan dalam Islam,” beritahunya lagi.

Siti Mahu Himpun 10,000 Wajah SimplySiti



KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, berhasrat untuk menghimpun seramai mungkin wajah pengguna-pengguna SimplySiti dan meraikan mereka pada majlis kemuncak ‘Malam Gala Simply 1’.

Malam gala tersebut diadakan sempena ulang tahun pertama SimplySiti yang akan diadakan pada April ini.

“Saya mahu seramai yang boleh seperti 10,000 pengguna yang akan menyertai kempen ‘Wajah-wajah SimplySiti’. Setiap wajah akan dipamerkan di showcase ‘Himpunan Wajah-wajah SimplySiti’ dan mungkin juga dipaparkan semasa promosi SimplySiti di media cetak dan kaca tv nanti.

“Ini semua adalah tanda terima kasih saya buat mereka yang sentiasa menyokong kami selama ini,” katanya, selaku Presiden SimplySiti Sdn Bhd ketika sidang media ketika majlis ulang tahun kelahiran ke-32 dan pelancaran kempen tersebut di Hotel JW Marriot, di sini, Isnin.



Tambah penyanyi lagu Ku Mahu dan Bukan Cinta Biasa ini: “Kami mengalu-alukan semua pengguna SimplySiti tidak kira wanita atau lelaki untuk menyertai kempen ini asalkan mereka membeli produk SimplySiti lebih dari RM80 ke atas.

“Dari situ juga, mungkin kita akan memilih antara mereka untuk menjadi jurucakap produk ini.”

Dalam majlis tersebut, Siti yang menggayakan pakaian rekaan Wanpa turut diraikan sempena ulang tahun kelahirannya ke-32 yang jatuh pada 11 Januari.

Menyebut tentang hadiah kelahiran, Siti akui mengidam sebuah komputer riba MacBook Pro.

“Setakat ini, suami belum membelikan hadiah kepada saya dan kalau boleh saya nak MacBook Pro,” kata Siti sambil tersenyum manis.

Siti yang sedang sibuk menyiapkan program bual bicara Siti dan terlibat dengan persembahan interlude Anugerah Juara Lagu ke-25 sejak dua minggu lalu akui langsung tidak memikirkan tentang sambutan hari lahirnya itu.

“Dulu saya tak pernah impikan majlis hari jadi sebesar ini tetapi apabila kerja dalam bidang ini, saya dapat merasa. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam majlis ini terutama suami dan pihak SimplySiti.

“Alhamdulillah, umur saya dilanjutkan dengan penuh bahagia. Saya berharap semua mendoakan kejayaan peribadi dan karier saya,” katanya ketika berucap dalam majlis yang diacarakan oleh pengacara Fara Fauzana dan Zizan (Raja Lawak).

Bercerita lanjut tentang karier perniagaannya dalam masa lima tahun akan datang, Siti merancang untuk mempelbagaikan produk SimplySiti seperti produk penjagaan badan dan rambut.

Dipanggil Lagu 'Sampah', Ana Raffali Beri Pandangan



KUALA LUMPUR: Selepas kontroversi tidak dibenarkan memegang gitar bagi sesi fotografi profil Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25), penyanyi Ana Raffali sekali lagi dipalit dengan kontroversi apabila kemenangannya sebagai juara AJL25 dipertikai.

Ramai pihak yang mempersoalkan kemenangan lagu Tolong Ingatkan Aku karya lirik dan ciptaan Ana sendiri setelah rancangan berprestij itu melabuhkan tirai di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam Ahad lalu.

Kejayaan Ana yang merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 itu mengundang suasana yang kurang manis sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang apabila kebanyakan penonton di stadium berkenaan bangun meninggalkan kerusi masing-masing.

Ia seperti isyarat peminat dunia hiburan tidak dapat menerima keputusan juri yang diketuai M.Nasir itu mengenai pemilihan berkenaan.



Lebih dahsyat lagi, semasa sidang media diadakan ada wartawan yang melabelkan lagu berkenaan umpama sampah dan mempersoalkan kenapa ia harus diangkat sebagai pemenang.

Sebaliknya, anak didik komposer Aidit Alfian ini menerima keputusan juri yang sebulat suara membuat keputusan memilihnya sebagai pemenang.

Ana tidak kecewa dengan keceman orang ramai kerana dia tidak bersalah sebaliknya menerima keputusan itu dengan rasa syukur.

“Peluang memenangi juara lagu AJL25 tidak akan dapat di mana-mana. Saya berharap lagu Tolong Ingatkan Aku untuk menang tetapi tidak fikir dipilih terlalu tinggi seperti ini.

“Mungkin lagu itu tidak popular dan tidak selalu dimainkan di radio tetapi kita perlu melihat sejauh mana lagu itu digambarkan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kemenangan ini dan akan terus berkarya dalam industri muzik,” katanya ketika sidang media selepas acara itu berlangsung.

Bercerita lanjut tentang lagu berkenaan, Ana akui lagu itu sebagai mengingati arwah kakaknya yang meninggal pada 9 Januari 2003.

“Saya menulis lagu itu sebagai satu peringatan untuk orang yang tersayang. Benci dan marah merupakan satu lumrah dalam kehidupan.

“Saya akan berkongsi hadiah wang tunai itu dengan orang yang banyak berjasa kepada saya selain ingin mengadakan sedikit jamuan.

“Trofi yang saya menangi ini akan lebih mengingatkan saya tentang kenapa saya memilih muzik sebagai karier sekali gus sebagai lambang keseriusan dan perjuangan saya dalam bidang muzik,” ujarnya.

Ana juga berharap penganjur konsert akan lebih menghargai penyanyi dan pemuzik tempatan pada masa akan datang.

Apa kata pemenang lain?

Dalam pada itu, pemenang lain dalam AJL25 turut meluahkan perasaan syukur dan gembira mereka.



Black ketika menyanyikan lagu Drama King.

Naib juara: Drama King ciptaan Taja serta lirik oleh Tun Teja yang dinyanyikan oleh Black dan Meet Uncle Hussain sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000

Taja- "Lagu Untukmu dan Drama King merupakan lagu yang berlainan. Kami tidak menolak untuk berkolaborasi dengan Black lagi selepas ini.

"Ramai yang mengatakan lagu ini sebagai lagu sindiran tetapi kami tak nafikan. Semuanya bergantung kepada konklusi masing-masing. Seperti kata Ana Raffali, kita luahkan apa yang ingin diluahkan dalam hati melalui lagu."

Tempat ketiga: Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik oleh Sheikh Qalam nyanyian Hafiz yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM12,000


Hafiz menyampaikan lagu Noktah Cinta.

Ajai - "Muzik seperti fesyen. Memang betul seperti kata M. Nasir, setiap kali AJL, mesti ada ketidakpuasan tetapi muzik sangat halus untuk orang seni bentangkan.

"Pada saya, menang atau kalah, saya lihat pada generasi baru yang boleh membuat lagu sendiri. AJL merupakan platform yang bagus dan kita juga memerlukan populariti artis."



Persembahan lagu Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir turut menjadi perhatian.

Vokal terbaik: Hafiz menerusi lagu Noktah Cinta (trofi dan wang tunai RM10,000)

Hafiz- "Syukur, ini merupakan kali pertama saya mendapat tempat ketiga dan vokal terbaik dalam AJL25. Terima kasih kepada komposer dan penulis lirik. Saya sangat bangga dengan kemenangan ini."

Persembahan terbaik: Faizal Tahir menerusi lagu Hanyut (trofi & wang tunai RM10,000)

Faizal Tahir: "Ramai yang cakap tahun siapa pada setiap kali ada AJL tetapi sebenarnya peminat artis itu yang akan berkata begitu. Sebenarnya AJL adalah tahun untuk semua orang dan tidak patut dipandang rendah.

"Saya anggap, menang atau kalah, tidak menjadi masalah besar dalam hidup. Sebagai pemuzik, kita mahu muzik yang menyentuh jiwa dan sampai kepada penonton.

"Paling penting, saya puas hati dengan persembahan saya dan persembahan peserta lain. Saya puji AJL25."

Kemelut Rumah Tangga, Jimmy Ajak Peminat Berdoa



PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh,30, enggan mengulas mengenai ikatan perkahwinan yang dibina dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy,24, yang dikatakan semakin rapuh apabila dia dilihat muncul di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor, Isnin.

Jimmy dalam satu kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada mStar Online berkata, dia tidak dapat memberi sebarang komen kerana mahu menjaga hati keluarga mertua dan pihak-pihak tertentu berhubung perkara terbabit.

“Saya tahu isu rumah tangga saya masih ramai yang buat spekulasi. Saya minta maaf kepada semua wartawan. Bukan saya tak mahu kongsi masalah ini tetapi saya harus jaga nama naik keluarga mertua dan pihak-pihak tertentu,” katanya, Isnin.

Jelas Jimmy dalam SMS tersebut, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri.

Katanya, sudah menjadi adat sesebuah perkahwinan itu mesti ada pasang surutnya tetapi dia menganggap apa yang dilaluinya hari ini adalah ketentuan Allah.

“Mungkin juga dugaan awal yang kami lalui ini akan menguatkan lagi ikatan perkahwinan kami pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagaimanapun pengacara Trek Selebriti ini berharap semua peminat dan orang ramai dapat berdoa agar perkahwinan mereka itu akan terus kukuh dan kekal buat selama-lamanya.

mStar Online difahamkan, Jimmy hadir ke mahkamah bersama peguamnya bagi menyelesaikan tuntutan nusyuz atau perintah kembali taat yang dibuat terhadap isterinya sebelum ini.

Bagaimanapun isterinya dikatakan tidak menghadirkan diri sehingga menyebabkan kes berkenaan terpaksa ditunda sehingga Februari depan.

Kata Jimmy lagi, dia akan memaklumkan kepada pihak media sekiranya terdapat apa-apa perkembangan positif dan menggembirakan mengenai rumah tangga mereka itu.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, Selangor dengan hantaran sebanyak RM31,186, bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

Majlis resepsi pula diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Juri AJL25 Bertelagah? Azmeer Kurang Setuju Keputusan M.Nasir



KUALA LUMPUR: Ketika ketua juri Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) M.Nasir mempertahankan keputusannya memilih lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Rafalli sebagai pemenang pertandingan itu, salah seorang panel juri melihat keputusan berkenaan sebagai kurang tepat.

Komposer Azmeer berkata, dia sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan itu dan secara tidak langsung menandakan Ana Raffali tidak layak untuk diangkat sebagai pemenang.

“Secara jujurnya saya tidak bersetuju dengan kemenangan itu. Siapakah artis yang saya rasa layak menjadi pemenang biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini Isnin.

Dalam AJL25 malam Ahad lalu, Ana Rafali yang turut mencipta dan menulis lirik lagu Tolong Ingatkan Aku diumumkan sebagai juara AJL25 yang melayakkannya menerima wang tunai RM35,000.



Lagu Hanyut nyanyian Faizal Tahir disebut-sebut sebagai juara AJL25 namun sekadar meraih anugerah persembahan terbaik.

Kemenangan itu menimbulkan perdebatan sehingga ramai penonton di stadium meninggalkan kerusi masing-masing sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Ketika diminta mengulas kenapa lagu berkenaan tidak boleh diangkat sebagai juara, Azmeer enggan memberi sebarang komen sehinggalah apabila dia mendengar pendapat M.Nasir dalam Imbasan AJL25 pada malam Selasa (malam ini).

Sorotan mengenai pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 pukul 11 malam.

Selain M.Nasir dan Azmeer, juri kali ini terdiri daripada Habsah Hassan, Acis, Pacai, Amy (Search) dan Andy (Flop Poppy).

Penyanyi Amy Search pula berkata, dia hanya terlibat menilai dari aspek vokal dan bukannya melibatkan lagu yang dipertandingkan.



Lagu Cinta Sempurna nyanyian Yuna berjaya menyentuh jiwa penonton dengan persembahan memukau.

Bagaimanapun secara peribadi Amy turut terkejut dengan keputusan itu kerana dia lebih mengharapkan penyanyi Yuna yang membawa lagu Cinta Sempurna diangkat sebagai juara dengan alasan lagu berkenaan menusuk hati.

Bersifat jujur - M.Nasir

Sementara itu M.Nasir pula berkata lagu nyanyian Ana Raffali itu bersifat sensitif, peribadi dan jujur.



Persembahan lagu Pelita daripada kumpulan A.P.I turut berjaya menarik perhatian penonton.

“Lagu itu mempunyai rasa. Itu yang penting dan yang kita cari sebenarnya. Sama ada betul atau salah, keputusan itu dibuat dengan penuh kesedaran, penuh pengetahuan muzik, cita rasa dan pembaharuan.

“Lagu ini dikategorikan sebagai lagu terbaik tetapi mungkin penonton rasa lagu ini tidak ‘besar’. Saya melihat kepada kekuatan lirik dan lagunya. Ada kebanyakan lagu yang lemah pada lirik atau lagu dan kedua-duanya,” kata M. Nasir pada sidang media selepas acara itu di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, malam Ahad lalu.

Biarpun keputusan sudah dilakukan, M. Nasir sedar pasti ada pihak yang akan membuat pertikaian.

“Saya suka pesona melodi dan kejujuran lagu ini berbanding lagu lain. Lirik lagu Tolong Ingatkan Aku lain dari yang lain dan bagus.

“Sebagai ketua juri, saya memilih lagu dan lirik yang bagus dan bukan yang popular,” ujarnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan yang ditemui berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat kerana segala-galanya adalah terletak di tangan juri.

“Semua kena tanya M.Nasir," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails