Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Cuma putus cinta, bukan silaturrahim'-Zul-Aida


Zul Handy Black dan Aida Aris tetap berkawan meskipun putus kasih sejak Disember lalu

TIGA tahun menjalin percintaan, Disember lalu menjadi penamat ikatan cinta antara Zul Handy Black dan aktres jelita, Aida Aris.

Mereka akur kasih yang bersemi selepas masing-masing berdepan kegagalan tidak mampu membawa cinta yang disulam itu ke jenjang pelamin. Pemilik nama lengkap, Nurzul Suphian, 35, itu berkata, dia dan Aida akhirnya menyedari antara mereka cuma serasi sebagai teman dan tidak lebih daripada itu.

Bagaimanapun, kata Zul, cinta yang patah di pertengahan jalan tidak sesekali menjarakkan keakraban mereka berdua. Enggan terus dibaluti kekecewaan, Zul meluahkan mereka dipertemukan Tuhan cuma untuk mengenal erti cinta dan rindu.

“Selepas tiga tahun, kami akhirnya menyedari tidak mampu membawa hubungan ini pergi lebih jauh. Apa yang dirancang sejak awal hubungan kami berputik tidak menjadi kenyataan, mungkin kami lebih sesuai sebagai kawan. Apa juga yang berlaku, hubungan saya dan Aida masih baik. Kami masih berhubungan kerana saya juga rapat dengan keluarga Aida.

“Yang berakhir cuma hubungan kami berdua, tetapi silaturahim yang terjalin dengan keluarganya tidak akan putus,” kata Zul tenang meleraikan segala pertanyaan ketika ditemui pada sesi pratonton filem terbaru lakonannya, Mantra, Rabu lalu.
Tidak menafikan hatinya masih dilingkari kekecewaan lantaran hajat untuk bergelar suami kepada wanita yang dicintainya itu tidak kesampaian, Zul tetap berterima kasih kepada Aida. Baginya, kehadiran aktres tinggi lampai itu serta tiga tahun yang dilalui mereka bersama kekal sebagai detik terindah dalam kehidupannya.

“Cinta antara kami sudah berakhir tetapi Aida akan tetap menjadi teman baik saya. Mungkin berteman itu lebih baik buat kami berdua,” katanya.

Vokalis Handy Black itu turut memaklumkan, dia juga sudah menarik diri daripada syarikat produksi yang diasaskannya bersama Aida, Cintakasih Productions Sdn Bhd.

“Syarikat itu masih ada tetapi saya serahkan kepada Aida untuk menguruskannya sepenuhnya. Saya tidak akan membencinya kerana selama bersama Aida juga banyak membantu mematangkan karier seni saya,” kata Zul yang semakin aktif menggilap nama sebagai pelakon.

Beralih bicara mengenai kariernya, Zul yang diberi kepercayaan oleh MIG untuk menggalas watak utama dalam filem ke-38 terbitan syarikat itu, Mantra mengakui berpuas hati dengan peranan yang dimainkan. Membawa watak Muzir yang mengamalkan ilmu hitam, Zul berkata, dia bagaikan tidak percaya mampu mempamerkan mutu lakonan di luar jangkauannya.

“Mantra yang dibacakan itu memang wujud. Mungkin kerana terlalu banyak bermantera, jiwa saya seperti diresapi hingga memberi impak kepada persembahan lakonan saya.

“Jujurnya saya dapat merasakan seperti ada gangguan yang berlaku dan ada rahmatnya, semua itu membantu untuk meluahkan ekspresi yang melangkaui kemampuan. Menonton Mantra membuatkan saya tidak percaya mampu berlakon sebaik itu,” katanya yang bergandingan dengan Hasnul Rahmat dan Ana Dahlia dalam filem yang bakal menemui penonton 15 Julai ini.

Zul juga menjelaskan, mantera itu hanya dibaca ketika di lokasi penggambaran kerana berdepan pengalaman menakutkan ketika membuat kajian perwatakan.

“Ketika membacanya sendirian di rumah, saya terasa seperti ada angin yang datang dan ia agak menakutkan. Untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, saya cuma membaca mantera itu apabila di set penggambaran.

Alhamdulillah, Mantra membawa kerjaya lakonan saya lebih jauh dan itu cukup membanggakan,” katanya yang berlakon sejak 2005 bermula dengan Janji Diana.

Pelakon Santau dan Zoo itu berkata, ketika menerima skrip dan menghayatinya dia tercabar untuk menerimanya kerana tuntutan watak Muzir yang berat dari segi emosi dan fizikal. Kepercayaan MIG kata Zul, memberi impak besar kepada karier dan peribadinya kerana dari situ penonton dapat melihat kemampuan sebenarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails