Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Teragak-agak terima tawaran Rosyam-Vanidah Imran


PERTAMA kali tawaran sebagai Isabella diterima daripada penerbit dan aktor terkenal Rosyam Nor, aktres jelita, Vanidah Imran teragak-agak untuk menerimanya.

Bukan tidak mahu bergandingan dengan Rosyam, tetapi sejak bernikah dengan aktor yang juga bekas anggota kumpulan muzik Deadmushroom, Rashidi Ishak, hanya sekali dia menerima tawaran untuk drama rantaian iaitu drama berjudul Kamasutra pada tahun 2006.

Semenjak itu, wajah Vanidah atau Vee hanya kelihatan dalam telefilem atau filem sahaja. Menurutnya bukan tiada tawaran drama bersiri yang datang tetapi tugasnya sebagai seorang ibu kepada Mikail Imran, 9, dan Maryam Rashika, 6, membataskannya untuk berjauhan dalam tempoh yang lama dengan dua buah hatinya itu.

Namun, tawaran yang datang daripada seorang sahabat yang dikaguminya itu tidak mampu ditolaknya. Apatah lagi, belum pernah dia berpeluang bergandingan dengan Rosyam untuk watak yang cukup besar.

Justeru, drama bersiri yang mengangkat nama watak utama sebagai judul iaitu Isabella, cukup menarik perhatiannya. Akui Vee, dia sebenarnya takut untuk berkata tidak kepada Rosyam.

"Bukan tidak pernah bergandingan dengan Rosyam tetapi belum pernah untuk watak yang besar seperti ini. Ketika Rosyam hubungi saya tahun lepas, dalam hati berdetik biar betul Rosyam mahu saya jadi heroinnya.

"Sebab apa yang saya tahu dia selalu bergandingan dengan aktres muda saja (ketawa). Dia pun sudah kejar saya untuk drama ini sejak tahun lepas, jadi saya tiada alasan untuk menolak, lagi pun jalan cerita cukup menarik," kata Vee yang ditemui pada majlis pelancaran drama Isabella di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Mengakui watak Isabella cukup berat buat dirinya, Vee memberitahu kerjasama yang diberikan Rosyam benar-benar membantunya di lokasi penggambaran.

'Bayangkan sebelum penggambaran Rosyam cakap, saya harus beri komitmen 200 peratus dan kalau saya tidak berjaya bawa watak Isabella, drama ini akan hancur.

"Saya jadi takut sebab kalau tidak berjaya habislah saya (ketawa). Tetapi alhamdulillah, melihat hasilnya saya boleh tersenyum, selepas ini terpulang kepada penonton untuk menilainya," ujar Vee mengenai drama yang menjalani penggambaran selama tiga bulan itu.

Kedinginan kota Paris

Cerita Vee, drama yang turut menjalani penggambaran selama lima hari di luar negara iaitu empat hari di London dan sehari di Perancis benar-benar menguji kemampuannya serta keseluruhan krew penggambaran.

Jika di London berlatarbelakangkan London Bridge, Sungai Thames, Big Ben dan Eyes of London. Di Paris pula, tentunya Menara Eiffle menjadi lokasi utama.

Tiada masalah dengan lakonan sepanjang di luar negara, bagaimanapun Vee dan krew harus berdepan dengan cuaca sejuk sehingga mencengkam tulang.

"Kami ingat di Paris sedang musim panas, jadi saya dan krew tidak bawa baju sejuk atau sarung tangan. Apabila sampai sahaja di sana cuaca di sebelah pagi dalam 15 darjah celcius dan waktu pagi dalam 5 darjah celcius.

"Sampai untuk keluarkan dialog pun menggigil-gigil sampai mulut keras tidak boleh bercakap. Sesekali bila angin bertiup, kami semua jadi keras macam batu menahan sejuk," cerita Vee sambil tertawa tentang pengalamannya di Paris.

Ditanya bagaimana bercinta dengan Rosyam yang memegang watak Nazman kekasihnya dalam drama ini, Vee tersenyum dan mengatakan tidak sukar untuknya bercinta dengan Rosyam.

"Senang bercinta dengan abang Rosyam. Dia sangat pemberi jadi tidak secara langsung keserasian antara kami cepat wujud," balasnya.

Disoal pula bagaimanakah dia melakonkan watak Isabella dan dalam masa yang sama menjaga statusnya sebagai seorang isteri dan ibu, Vee menjelaskan dia tidak pernah berhadapan sebarang masalah ketika menjalankan kerjanya sebagai pelakon.

"Memang saya sudah berkahwin tetapi kepercayaan itu harus ada dalam diri setiap pasangan. Macam saya dan suami, kami tahu batas-batas yang harus dijaga jadi tidak timbul sebarang masalah antara kami, sama juga halnya ketika saya berlakon dengan abang Rosyam.

"Sebagai isteri dan ibu, saya meneliti setiap watak yang ditawarkan terlebih dahulu. Saya tidak akan sesekali membawa watak yang memalukan suami dan anak-anak saya di sekolah. Saya juga tidak akan sesekali berkemban di dalam drama mahupun filem," ulasnya lagi.

Rosyam nyaris ditahan

Berbicara bersama penerbitnya yang juga peneraju Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., Rosyam Nor, pertama kali produksi miliknya melakukan penggambaran di luar negara memberi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Penggambaran yang dilakukan tanpa permit terpaksa dilakukan secara curi-curi berbekalkan tiga buah kamera bersama 18 orang termasuk krew dan pelakon.

"Di sana mahal daripada segala segi termasuk makan dan pengangkutan. Sebab itu, kami redah sahaja walaupun beberapa kali didatangi oleh pihak berkuasa mereka yang meminta kami menghentikan penggambaran.

"Penggambaran di London dan Paris menelan belanja RM100,000 dan sebanyak 26 babak dijayakan di sana. Krew bekerja dari awal pagi sehingga tengah malam. Mujur siangnya lebih panjang dari malam, jadi banyak penggambaran boleh dilakukan dalam sehari," kata Rosyam.

Tambah Rosyam, dia juga nyaris ditahan pihak imigresen di lapangan terbang di London kerana mereka menyangka Rosyam bersama rombongannya datang ke London untuk bekerja.

"Memanglah muka kami semua macam agak selekeh sebab perjalanan yang jauh, jadi mereka ingat kami ke sana untuk bekerja.

"Akhirnya saya minta mereka menaip nama saya di Internet dan keluar semua artikel mengenai saya. Selepas itu baru mereka percaya saya pelakon dan membenarkan kami masuk ke London," ceritanya.

Drama 26 episod yang diarahkan oleh Amie Maziah itu turut dibintangi oleh Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Omar Abdullah, Kartina Aziz, Corrine Adrienne, Raja Norbaizura, Yuswaisar dan seorang pelakon baru yang membawa watak antagonis Izreen Azminda.

Sedikit sinopsis drama Isabella, ia menyingkap kisah cinta Isabella yang mengalami tekanan emosi sejak kehilangan kekasihnya Benjamin akibat kemalangan ketika berada di luar negara.

Ibu bapanya, Borhan dan Kasmah membawa Isabella bertemu pakar jiwa untuk mendapatkan rawatan. Selepas beberapa bulan, Isabella hampir pulih dan mula melupakan kesedihannya.

Ketika dirawat di hospital, Isabella berkenalan dengan seorang pesakit Dr Rahim yang lain iaitu Nazman (lakonan Rosyam) yang turut mengalami trauma dan gangguan emosi selepas kematian isterinya yang sedang mengandung.

Oleh kerana mengalami tragedi hampir sama, mereka mula tertarik antara satu sama lain dan seterusnya bercinta.

Selepas Isabella dan Nazman pulih, mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Namun begitu, pelbagai masalah timbul dan Isabella didatangi seorang gadis bernama Vivian yang mengaku kenalan lama Benjamin. Siapakah Vivian yang sebenar? Untuk mengetahui konflik yang melanda Nazman dan Isabella, jangan lupa menyaksikan drama Isabella setiap Selasa bermula 13 Julai pukul 9.30 malam di Astro Prima.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails