Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rela bermadu?-Sharifah Shahira


TUJUH tahun melayari rumah tangga hasil perkongsian hidup dengan Ijoy Azhari, Sharifah Shahira, 36, tidak menafikan kadang-kadang kebahagiaan yang dikecapinya direntap dengan kedukaan. Tapi mujur, ia tidak melarat sampai mengundang musibah yang tidak diingini.

Adat berkahwin, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia biasa yang tidak lepas diuji. Perkahwinan keduanya selepas kegagalan perkahwinan pertama dengan vokalis Black Dog Bone, Jatt masih tegar dipertahankan.

Barangkali bersuamikan lelaki kacak yang diketahui menjadi kegilaan ramai antara satu dugaan dan cabaran yang harus diterima oleh setiap isteri. Malahan adik kesayangan Sharifah Haslinda ini mengakui pernah berseloroh dengan suaminya mengenai hidup bermadu.

“Bukan maksud saya menolak kehidupan bermadu, tapi saya rasa tak semua wanita yang sudah berkahwin, rela hidup bermadu. Tapi kita sebagai manusia hanya merancang. (Tapi) selalunya kisah bermadu ini menjadi modal usikan kami di rumah.

“Lumrah hidup berumah tangga, memang ada kalanya pernah terasa kecil hati. Ada pasang surutnya. Biasalah apabila bergaduh, ada salah faham, rasa rindu balik. Selalunya ia tak panjang dan meleret-leret.

“Saya pun tak cakap suami saya baik sangat. Saya pun bukanlah seorang yang sempurna. Cuma seboleh-bolehnya apabila ada masalah biarlah ia disimpan sendiri,” kata ibu kepada Allisya, Airell, Airra dan Auddra ini ketika ditemuinya pada majlis sidang media program terbaru Fesyenista Manja Baby, di Damansara, baru-baru ini.
Kata Shahira, memang kadang-kadang sebagai wanita biasa, perasaan cemburu melihat suami berpasangan dengan pelakon cantik terbit dalam hatinya. Malahan pernah ada kawan-kawan seperjuangan menghubunginya dengan tujuan mengusik sambil memberitahu Ijoy sedang ‘mesra’ dengan gandingan pelakon wanita di lokasi penggambaran.

“Tapi sekarang apabila selalu sangat tengok dia berlakon dengan perempuan cantik, perasaan itu sudah jadi biasa. Mungkin sudah kebal. Malah kadang-kadang, Ijoy berseloroh cakap, dia berlakon dengan pelakon cantik, sedangkan saya hanya layak berlakon watak ibu.

“Soal kepercayaan wujud dengan sendirinya. Dalam kami berlawak dan bergurau sesama sendiri, masing-masing tahu peranan dan tanggungjawab. Cuma saya pernah cakap kepadanya, apabila selesai penggambaran terus balik rumah. Itu saja permintaan saya.

“Saya juga selalu ingatkan jangan sampai menumpangkan kereta kepada pelakon wanita, bimbang timbul gosip bukan-bukan. Benda yang tak elok itu selalunya cepat tersebar sekalipun berniat baik,” katanya yang baru selesai penggambaran telefilem, Ibu Mee Segera arahan Michael Ang.

Bercerita mengenai dunia seninya, biarpun memulakan kerjaya sebagai pelakon agak lewat, Shahira yang sudah tiga kali diberi kepercayaan sebagai hos Anugerah Bintang Popular Berita Harian ini, lebih cenderung dilihat melakukan kerja pengacaraan.

Katanya, rezekinya sebagai pengacara bermula sejak 2003 apabila terbabit dalam bidang ini bersama kakaknya dalam sebuah program yang disiarkan di RTM. Malah sehingga kini, selain mengacara program TV, dia juga kerap diundang menjadi pengacara majlis program membabitkan kehadiran orang kenamaan.

“Bukan meninggalkan terus kerjaya lakonan. Saya masih berlakon. Cuma peluang menjadi pengacara itu lebih banyak. Semuanya disebabkan faktor masa apatah lagi saya perlu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

“Keutamaan saya memang sebagai pengacara. Tapi kalau ada tawaran berlakon yang tidak mengambil masa lama dan atas alasan mahu menolong kawan, saya cuba untuk memenuhinya.

“Sebenarnya, mengacara majlis atau program TV mengajar keberanian diri sebab saya sebenarnya sangat rendah keyakinan diri. Kalau diberi pilihan saya lebih selesa mengacarakan program berkonsepkan hiburan kerana ia lebih dekat dengan diri.

“Tapi apabila kena memikul tugas mengacara dalam program yang tidak dekat dengan jiwa sekalipun, saya sudah mula berdebar. Mulut pun kena jaga dan ikut rentak acara yang dihoskan,” katanya.

Shahira mula berlakon sejak 1992 selepas tamat persekolahan. Hakikatnya, dia bermula bukan sebagai pelakon komedi. Menyedari wajahnya tidaklah secantik mana, Shahira juga mengidamkan watak romantis seperti yang pernah dilakonkan Sandra Bullock dan Meg Ryan.

“Saya bukan hendak menafikan lebih senang berlakon komedi. Tapi saya juga teringin melakonkan watak serius. Saya boleh berlakon watak menangis,” katanya sambil berseloroh memberitahu mungkin watak yang diidamkan itu dapat direalisasi jika dia bergelar penerbit kepada produksi sendiri.

Takut masuk bertanding

Shahira kini baru saja menggalas tugas sebagai pengacara program Fesyenista Manja Baby yang disiarkan di Astro Ria, setiap Ahad, bermula 4 Julai ini, jam 6.30 petang. Program 30 minit sebanyak 10 episod ini turut menampilkan lapan artis popular bersama anak tersayang.

Antaranya ialah Lisdawati, Enot, Erra Fazira, Sabrina Ali, Rita Rudaini, Nadia Mustafar, Abby Abadi dan seorang peserta lelaki tunggal iaitu Khai. Program realiti ini menguji kreativiti artis dalam beberapa cabaran menguruskan anak kecil masing-masing.

“Pada mulanya saya ditanya sendiri oleh penerbit sama ada mahu menjadi peserta atau pengacara. Akhirnya, saya memilih mengacara kerana sebenarnya saya memang takut bertanding. Kalau suka bertanding, sudah lama saya masuk Sehati Berdansa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kandungan Berjenama dan Jualan Media, Haris Ismail menyifatkan kehadiran program ini ialah kesinambungan program yang menampilkan kerjasama dengan label produk popular.

“Astro mewujudkan hubungan baik dengan pengiklan. Kemunculan program sebegini dilihat sebagai alternatif terbaik untuk mempromosikan sesebuah jenama dalam tempoh yang panjang.

“Sebenarnya kita mempunyai calon artis yang ramai untuk bertanding dalam program ini. Tapi kita meletakkan syarat usia anak artis yang boleh dipilih ialah di antara 2 hingga 4 tahun,” kata Haris.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails