Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hati Nurul disiat lagi


DIA terkilan. Banyak benar tohmahan melilit diri sejak kembali hidup solo empat tahun lalu. Bengkak di hati tidak tertanggung lagi hingga memaksanya meluahkan segala rasa yang terbuku selama ini.

Sepahit manapun tanggapan negatif masyarakat terhadapnya, wanita bertubuh langsing ini tidak terdaya menangkis. Segala kata nista ditelan biarpun kerongkongnya pedih umpama disiat sembilu.


“Banyak sungguh dugaan terpaksa Nurul tanggung. Paling menyedihkan, ada yang tergamak menuduh Nurul dibela golongan berada, walhal segala aset yang Nurul ada hari ini adalah hasil usaha sendiri. Fitnah itu sudah lama diperkatakan, malah terus menjadi buat mulut hingga ke hari ini. Lebih terkilan apabila orang yang pernah rapat dengan Nurul turut bercakap perkara sama.


“Selama ini Nurul diam sebab perkara itu tidak betul. Nurul kerja keras siang malam, bahkan pernah tidak tidur malam untuk beli aset, tapi senang-senang orang cakap Nurul dibela.


“Sepanjang tempoh empat tahun hidup sendirian, dugaan datang bertimpa-timpa. Macam-macam orang bercakap mengenai Nurul dan semuanya menyakitkan hati. Mereka buat penilaian luaran tanpa mengenal hati budi sebenar Nurul.


“Apa yang keluar dari mulut Nurul dimanipulasi. Isnin lalu, selesai joging Nurul muhasabah diri dan merenung kembali kehidupan empat tahun lepas. Apa yang terbuku di sanubari selama ini Nurul luahkan dalam Facebook. Bukan untuk tagih simpati, sekadar berkongsi rasa hati,” katanya ketika dihubungi Rabu lalu.


Tambah penyanyi dan pelakon berasal dari Pulau Mutiara ini, dia mahu lupakan segala kepedihan lalu dengan membuka lembaran baru dalam hidupnya. Fokusnya kini lebih kepada karier dan enggan lagi berkongsi cerita peribadi.


Bukan mahu berahsia, tetapi pengalaman mengajarnya supaya lebih berhati-hati. Tekadnya biar dia kembali seperti hari pertama menjadi penyanyi, di mana tumpuannya hanya kepada karier dan ruang untuk membina nama.


“Enam belas tahun Nurul dalam industri dan selepas berpisah dengan bekas suami empat tahun lalu, Nurul mula kembali dari bawah. Nurul mahu pergi lebih jauh dalam industri hiburan tanah air dan ini masanya untuk Nurul melipatgandakan usaha.


“Kalau ikutkan, banyak perkara yang buat Nurul kecewa, tetapi inilah rencah kehidupan. Suka atau tidak, Nurul kena redah juga. Barangkali apa yang berlaku ini kesan daripada kesilapan sendiri. Mungkin apa yang Nurul buat sebelum ini mengundang tanggapan negatif orang sekeliling. Ia jadi pengajaran dan Nurul belajar untuk tidak mengulanginya lagi.


“Apa lagi berada dalam bidang yang jadi perhatian ramai, Nurul tidak boleh lari daripada menjadi bahan tohmahan. Pun begitu, ralat apabila hasil penat lelah Nurul dikatakan pemberian orang. Penat bekerja untuk membeli aset seperti rumah dan kereta, dan bukan niat Nurul untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya itulah hasil pengorbanan Nurul,” katanya.


Soal cinta? Lupakan... Istilah itu tiada dalam hatinya buat masa ini. Mohon Nurul jangan tanya lagi soal itu kerana pintu hatinya tertutup rapat. Pengalaman mengenali beberapa jejaka yang gemar menipu dan mengambil kesempatan menjadikan penyanyi berkulit hitam manis ini fobia untuk membuka peluang kepada mana-mana jejaka. Cukup-cukuplah kerana dia selesa dengan kehidupannya kini.


“Ramai juga rakan bertanya bila mahu berumah tangga lagi. Jujur, Nurul tidak mahu fikir soal itu. Nurul pernah berkahwin dan mengenali beberapa lelaki selepas kembali solo. Banyak perkara yang Nurul belajar dan itu semua buat hati Nurul semakin keras. Bukan semua lelaki boleh bahagiakan wanita. Lebih baik Nurul cari duit kerana ia lebih menggembirakan Nurul. Setidak-tidaknya bila sedih atau tertekan, Nurul boleh hiburkan hati dengan membeli-belah.


“Kalau ditakdirkan hidup sendirian, Nurul terima. Seperti yang dikatakan tadi, Nurul pernah bersuami dan ada anak. Apa yang Nurul lalui cukup perit dan memalukan hingga merosakkan nama Nurul. Sudah-sudahlah, Nurul penat. Peminat setia pun ramai minta Nurul lupakan seketika soal hati dan perasaan, sebaliknya fokuskan perhatian terhadap kerjaya,” katanya.


Jelas Nurul, selain menanti single terbarunya dilancarkan dia kini rancak merancang penubuhan perniagaan dengan kenalan rapat, Darul Farik Abdul Karim. Sahabatnya itu antara insan paling banyak membantunya di kala susah, bahkan tidak putus-putus memberi kata-kata semangat apabila memerlukan.


“Darul dan isterinya sahabat yang baik dan sentiasa ambil berat keadaan Nurul. Merekalah yang bertungkus-lumus menubuhkan perniagaan yang bakal beroperasi tidak lama lagi. Sebagai kawan, Darul nampak Nurul ada banyak potensi lagi yang harus diteroka.


“Menerusi perniagaan ini, nama Nurul akan dijenamakan semula dan beberapa strategi akan direalisasikan. Nurul sangat bertuah kerana punya kawan yang sanggup berpenat lelah demi melihat karier Nurul terus berkembang.


“Alhamdulillah, biarpun tidak lagi bersama Ajai, rezeki Nurul tidak pernah putus. Nurul masih ada undangan persembahan, malah banyak tawaran berlakon menyusul. Terbaru, kontrak Nurul sebagai jurucakap Glow & Glamor disambung lagi.


“Ada beberapa lagi syarikat yang berminat menjadikan Nurul duta dan perkara itu masih dalam proses perbincangan,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails