Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Debaran Memey, Norman

BIARPUN usia kandungan pelakon Memey Suhaiza sudah mencecah lapan bulan, namun dia dilihat masih begitu setia menemani suami tercinta iaitu aktor Norman Hakim ke acara hiburan. Baru-baru ini pelakon tersebut muncul bersama suaminya ke acara pratonton episod akhir drama bersiri Adam Dan Hawa yang diadakan di The Garden, Mid Valley, Kuala Lumpur minggu lalu. Menurut Memey, sejak kandungannya mencecah usia lima bulan dia sudah mula menghentikan aktiviti lakonannya dan kini sekadar menghitung hari untuk melahirkan anak sulung. “Kali terakhir saya berkesempatan berlakon dalam dua telefilem iaitu Aku Bukan Julaibib dan Anakku Kahwin Lagi. Selepas itu, saya tidak lagi berlakon memandangkan perut pun sudah semakin membesar. “Sepanjang tidak terlibat dalam dunia lakonan saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah atau menemani suami ke acara-acara hiburan seperti sekarang ini,” ujarnya. Mengenai persiapan menanti kehadiran cahaya mata sulung pula, Memey memberitahu, segala persiapan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu dengan bantuan suami. Ujarnya, menjelang menunggu kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada pertengahan Februari ini dia berasa sangat teruja, tetapi tidak menyembunyikan perasaan berdebarnya. “Kalau diikutkan perasaan takut itu memang ada kerana ini pengalaman pertama melahirkan anak, namun suami banyak memberikan nasihat memandangkan dia sudah mempunyai pengalaman. “Setakat ini, keadaan kesihatan saya juga sangat memuaskan dan selepas tujuh bulan mengandung, saya tidak lagi mengalami sebarang masalah termasuk alahan,” jelasnya yang akan bersalin di Pusat Perubatan Kohilal, Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor. Mengenai jantina anak pula, pelakon berkenaan memberitahu, dia dan Norman tidak kisah mengenainya. Bagaimanapun, mereka bersyukur apabila doktor mengesahkan jantina anak dalam kandungan Memey adalah lelaki. Sementara itu, Memey menyatakan sepanjang berehat dia sangat merindui dunia lakonan dan sudah merancang untuk kembali berlakon semula selepas bersalin. Menurutnya, dia beruntung kerana masih diberikan keizinan oleh suami untuk meneruskan kerjaya lakonan. Cuma sebagai pelakon yang sudah bergelar seorang ibu, kata Memey, dia akan lebih selektif dalam memilih tawaran berlakon. “Walaupun suami tidak kisah saya terus berlakon saya tetap perlu menghormati kepercayaan yang diberikan olehnya. “Apa yang penting saya perlu menjaga kelakuan dan penampilan sebagai seorang isteri dan ibu,” ujarnya. Tidak halang Norman yang turut ditemui semasa majlis berkenaan berkata, permulaan tahun 2013 ini sangat positif buat dirinya apabila dia meraih tawaran dua drama bersiri sekali gus. Ketika ini Norman sedang sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Arka dan Tanah Merah, manakala dia juga akan turut membintangi drama KL Drift The Series untuk musim kedua pada bulan Mac ini. “Meskipun gembira dengan rezeki yang diperoleh ini, perasaan risau itu tetap ada apabila terpaksa meninggalkan isteri yang ketika ini sedang sarat mengandung. “Apatah lagi kebanyakan penggambaran dilakukan di luar Kuala Lumpur dan disebabkan itu saya sentiasa menghubungi isteri sepanjang masa. Namun begitu, saya bernasib baik kerana isteri mampu menguruskan dirinya sendiri,” ujarnya. Pada masa yang sama, Norman menjelaskan dia langsung tidak menghalang isterinya untuk terus berlakon memandangkan mereka berdua menceburi bidang kerjaya yang sama. “Saya tidak boleh halang apa yang isteri saya minat termasuk berlakon. Cuma apa yang saya harapkan supaya dia dapat membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga,” ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails