Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nas Adila tidak sia-siakan bakat

DUNIA tariannya bermula sejak dari kecil lagi, mewarisi bakat ini dari ibunya. Bagi penyanyi dan pelakon, Nas Adila Mohd. Dan, 26, ini merupakan antara minat yang tidak mahu disia-siakan. Walaupun pada mulanya tarian hanya kekal sebagai penggerak buat setiap persembahan nyanyian, kini Nas memilih untuk membawa kebolehannya ini ke peringkat yang lebih tinggi. Merupakan pemilik studio tarian, D’apple Studio Dance & Slimming Center yang beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor. Nas memberitahu selain bertindak sebagai sumber kewangannya, perniagaan itu juga diibaratkan sebagai penyambung nyawa buat kerjaya seninya. “Saya memang suka menari, malah sejak dari kecil lagi saya sudah mendapat pendedahan daripada ibu saya yang juga merupakan bekas penari Yayasan Warisan Johor. “Baru beberapa bulan beroperasi saya dapat lihat sendiri sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Bercakap soal cawangan saya fikir masih terlalu awal untuk saya fikirkan,"katanya. Menurut Nas, selain bergantung kepada minat, sebelum membuka perniagaan ini dia juga mengambil masa mempelajari teknik tarian yang betul dengan memasuki beberapa kelas tarian. “Sebelum benar-benar yakin untuk meneruskan perniagaan ini, saya sebenarnya ada memasuki beberapa kelas tarian. “Hampir setengah tahun juga saya membuat persiapan sebelum bersedia membuka perniagaan ini. Bukan apa memandangkan modal yang dilaburkan bukan sedikit, saya mengambil pelbagai langkah untuk memastikannya berjaya," katanya. Pernah menceburkan diri dalam perniagaan cuci kereta sebelum ini, menurut Nas, dia terpaksa melupakan perniagaan pertamanya itu kerana faktor masa dan minat. Mendedahkan modal untuk perniagaan terbarunya ini mencecah RM100,000, bagi Nas apa yang penting buat dirinya kini dia mahu studio tarian miliknya ini kekal menjadi aset buat masa depannya. “Mengapa saya memilih untuk membuka studio latihan tarian? Saya rasakan perniagaan ini merupakan pilihan yang paling dekat dengan jiwa saya. “Selain itu juga saya merupakan duta untuk produk perlangsingan D’Apple Fiber dan melalui aktiviti yang ditawarkan studio ini, saya sebenarnya membantu mereka untuk mendapatkan kesihatan yang lebih baik melalui senaman yang betul," kata Nas yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim tujuh. Demi masa depan Percaya dunia hiburan menempatkan peluang yang agak terhad buat pendatang baru sepertinya, bagi Nas, hanya melalui strategi yang betul dia mampu memastikan namanya kekal berada dalam pasaran. Malah tujuan utama dia membuka perniagaan ini juga adalah untuk membantu karier seninya. “Mungkin ramai yang tidak tahu aktiviti seni saya masih lagi berjalan seperti biasa, selain tawaran menyanyi saya juga sibuk memenuhi undangan berlakon. “Selain studio tarian, saya juga menyediakan kelas vokal serta perniagaan pengurusan acara," katanya. Tidak mahu dilihat sebagai artis tangkap muat, menurut Nas, dengan keadaan dunia hiburan kini, dia yakin bakat seni tidak seharusnya tertumpu kepada satu bidang sahaja. Memilih untuk mencuba setiap peluang yang tiba pelantun lagu I Love U ini percaya ini merupakan langkah yang paling tepat untuk kariernya. “Saya tidak akan melakukan sesuatu perkara itu kalau saya tidak mampu. “Saya suka menyanyi, menari dan berlakon, melihat peluang yang ada saya cuba mengubah minat saya ini kepada perniagaan. Walaupun begitu harus saya akui ia bukan sesuatu yang mudah untuk saya yang masih muda ini, namun berkat sokongan keluarga saya yakin dengan diri saya sendiri," katanya. Melalui jadual harian yang agak sibuk menurut Nas, jika dia terpaksa berada di luar daerah, perniagaannya itu akan diuruskan oleh empat pekerjanya. Bagaimanapun menatang perniagaannya ini ibarat “anak sulung", bagi Nas walau sesibuk manapun dia akan pastikan sempat untuk melihat perkembangan perniagaannya itu setiap hari. “Kalau saya tidak sempat datang pada waktu siang, saya akan pastikan saya datang pada waktu malam. “Bukan tidak percaya dengan kebolehan pekerja saya, namun ini merupakan perniagaan saya, jatuh bangun perniagaan ini bergantung kepada kesungguhan saya," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails