
BEBERAPA bulan lalu nama pelakon muda Tasha Shilla meletus gara-gara gosip yang mengaitkan aktres filem Ratu itu dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mahali Jasuli. Bagaimanapun, cerita itu kembali reda selepas Tasha memberikan kenyataan berhubung status hubungannya dengan Mahali yang disifatkan sekadar berkawan.
Bertemu kembali dengan pemilik nama Natasha Sheila Abd Razak, 26, pada pertunjukan fesyen Amazing Red Kurung, Kebaya & Hijab di The Weld, Kuala Lumpur, Kosmo! mendapatkan pelakon itu bertanyakan perkembangan hubungan mereka.
Jelas Tasha, mereka masih dalam peringkat berkawan seperti sebelum ini dan dia membuka ruang hatinya untuk jejaka yang ingin berkenalan dengannya.
"Kami masih berkawan lagi, bukan sebab kisah kontroversi yang pernah timbul sebelum ini sekali gus menyebabkan kami bertindak untuk berjauhan.
"Tempoh enam bulan belum cukup untuk saya mengatakan kami akan mengambil langkah seterusnya. Saya kurang selesa untuk berbicara mengenai perkara ini," bicara Tasha.
Tambahnya: "Mahali juga tak selesa apabila cerita-cerita hubungan kami dihebah-hebahkan. Sedikit sebanyak cerita yang timbul mengganggu fokusnya.
"Dia juga bimbang kalau nanti katakanlah dia tidak mampu beraksi dengan baik di padang, orang akan salahkan saya pula dan menganggap kononnya hubungan kami membuatkan prestasinya menurun.
"Saya tidak suka hebahkan perkara sebegini demi menghormati dan menjaga karier masing-masing."

Calon suami
Tasha dalam pada itu menyifatkan Mahali memiliki kriteria lelaki yang diidamkan iaitu seorang yang jujur serta ikhlas berkawan dan sentiasa memikirkan masa hadapan.
Ditanya adakah Tasha dan Mahali berjumpa dalam tempoh terdekat selepas keluar cerita yang mengaitkan mereka berdua sebelum ini, jawab Tasha, mereka tidak berkesempatan gara-gara sibuk dengan kerja masing-masing.
Bagaimanapun, Tasha mendedahkan, dia tidak pernah berhenti untuk membuka pintu hatinya kepada jejaka lain yang cuba mendapatkan cinta daripada dirinya.
"Saya masih membuka pintu hati saya kepada sesiapa sahaja yang serius dalam perhubungan. Saya tiada masa nak bercinta dan apabila ada lelaki yang betul-betul mahu membina sebuah keluarga, saya bersedia.
"Sehingga kini masih belum bertemu lagi calon yang sesuai, yang ada pun semuanya hanyalah kawan sahaja. Sekarang ini saya mahu fokus dengan kerjaya dan mencari calon suami yang betul-betul boleh membimbing saya," kata Tasha lagi.
Dalam perkembangan lain, Tasha memberitahu, dia baru sahaja usai menjalani penggambaran drama bersiri Epilog Cinta Khirana untuk slot Samarinda TV3.
Malah dia juga kini sedang mempersiapkan diri untuk berada di set penggambaran telefilem Cintaku Bibikku untuk tayangan RTM1.
"Alhamdulillah, jadual saya sampai Hari Raya Aidilfitri sudah penuh dengan penggambaran.
"Kemungkinan bulan puasa ini saya akan kembali berniaga biskut raya Tasha Shilla Cookies seperti tahun-tahun sebelum," katanya teruja.