Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya memang lantang bersuara - Nad Zainal

PELAKON kecil molek, Nad Zainal mengakui bahawa dia sememangnya seorang yang lantang dalam bersuara. Malah, dia tidak menafikan dirinya juga seorang yang panas baran dan tidak suka dengan orang melakukan kerja dengan lambat. Begitupun, dedah pelakon drama Memberku Hawa musim kedua itu, sikap buruknya suatu ketika dahulu itu sudah menjadi sejarah. Kini dia mengakui dirinya kini lebih matang dan rasional dalam memberi tindakbalas terhadap orang di sekelilingnya. “Memang dahulu, saya seorang yang panas baran dan mahukan semua kerja dilakukan dengan cepat. “Disebabkan itu juga saya tidak boleh bekerja dengan orang yang buat kerja lambat. Namun, kini saya sudah atasi masalah itu dan sudah pandai mengawalnya,” ulas Nad ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Memberku Hawa 2 di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Walau bagaimanapun, ulas anak tunggal itu, dia masih dikritik ramai ekoran kelantangannya dalam bersuara dan sebelum ini Nad juga pernah diboikot media gara-gara sikapnya itu. Mengulas mengenai perkara itu, ujar Nad, mungkin kelantangannya dalam bersuara terbawa-bawa sejak dia menceburi dunia pentas teater, tiga tahun lalu. Bagaimanapun, pelakon berusia 23 tahun itu tidak mampu mengubah perkara itu kerana baginya kelantangannya dalam bersuara bukan menyentuh perihal orang lain. “Nada suara saya memang lantang, mungkin sebab saya dilatih selama tiga tahun belajar dalam seni persembahan teater di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan). “Tambahan pula rupa saya yang agak garang. Ramai yang beranggapan saya sukar didekati dan sombong tetapi saya tidak kisah kerana mereka tidak mengenali saya secara rapat,” ungkapnya yang mengakui dirinya sebenarnya seorang gila-gila. Media sosial bunuh artis Sengaja mengajukan pertanyaan mengenai media sosial yang sering digunakan artis untuk berinteraksi dengan peminat kepada Nad. Menjawab mengenai perkara itu, kata Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, media sosial jika tidak digunakan dengan betul oleh seseorang artis ia mampu membunuh karier artis tersebut. “Memang ramai artis yang guna Facebook atau Twitter untuk berhubung dengan peminat, namun pada saya semuanya perlu ada batasan. “Tidak perlu setiap minit artis itu bercerita pasal kehidupan peribadinya atau jaja kisah peribadi. Ia akan mengundang publisiti murahan seseorang artis malah boleh membunuh kerjaya artis tersebut,” ujarnya. Menyingkap kehidupan peribadi Nad pula bersama kekasih hati, luahnya, dia masih bersama lelaki istimewa di hatinya itu yang dikenali dengan nama Azman. Begitupun, ujarnya, dia tidak mahu bercakap lebih lanjut tentang kekasihnya itu kerana berasa ia agak kurang manis. Ditebak tentang bilakah dia merancang untuk berkahwin, akui Nad, buat masa ini dirinya masih belum mempunyai sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga. “Saya baru berusia 23 tahun. Fokus saya sekarang hanya kerjaya dan juga untuk membantu keluarga,” ujarnya. Bersyukur kerana Kay Bercerita tentang drama Memberku Hawa 2, Nad masih membawakan watak Kay sama seperti dalam musim pertama sebelum ini. Ulasnya mengenai wataknya itu, musim baharu ini Nad jelas mengalami perubahan sikap Kay – daripada seorang yang kelam-kabut dan kebudak-budakan bertukar menjadi lebih matang. “Secara peribadi, watak Kay sama seperti diri saya yang kini semakin matang,” ujarnya yang bersyukur kerana melalui watak dalam drama Memberku Hawa tersebut, namanya kini mulai meniti arus populariti serta diberikan peranan yang lebih besar dan mencabar dalam drama-drama lain. Dalam perkembangan lain, pada Julai depan Nad bakal tampil menerusi drama bersiri Kampung Girl. Selain itu, dia sedang berdebar-debar menantikan filem sulung lakonannya, Kami Histeria. Menariknya dalam filem tersebut, Nad tampil menerusi watak seorang pemain bass. Memberku Hawa 2 disiarkan setiap Rabu bermula 5 Jun lalu pada pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104). Ulangannya pula adalah pada setiap Ahad pukul 6.30 petang. Drama ini mengisahkan tentang golongan wanita muda di Malaysia yang menghadapi cabaran hidup dengan sikap positif dan berpendirian teguh. Selain Siti Saleha dan Nad Zainal, drama itu turut dibarisi Sharifah Sofea, Nur Zaireen Mohd. Zait, Cristina Suzanne Stockstill dan Nor Nadia Nor Mahazan. Impak lakonannya dalam drama Memberku Hawa, Nad turut dilantik sebagai duta tuala wanita Kotek selama dua tahun berturut-turut iaitu sejak 2012 hingga 2013. Selain Nad, pelakon Siti Saleha turut dilantik sebagai duta Kotex untuk tahun 2013. Sementara itu, menurut Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, pengeluar Kotex, Soo Woon Yee, berdasar kajian yang dibuat oleh mereka, Nad dan Siti Saleha merupakan pilihan tertinggi oleh pengguna Kotex yang mahukan mereka bergandingan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails