Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lisa Surihani bersara seketika

Sabar dan tabah, itulah dua kata keramat yang mampu menggambarkan sifat figura tersohor ini apabila diusik mengenai isu kehamilan. Manakan tidak, sepanjang tiga tahun dia melayari bahtera perkahwinan bersama salah seorang pengasas empayar KRU, Yusry Abd. Halim, soal anak menjadi isu wajib yang akan diajukan kepadanya. Tidak letih melontarkan jawapan ‘itu semua kerja Tuhan’, mungkin terbit perasaan sedih di hati pelakon yang pernah popular menerusi filem Papa, I Love You itu apabila kerap kali diasak dengan persoalan yang sama. Bagaimanapun, industri hiburan gempar apabila Yusry sendiri mengumumkan bahawa suri hatinya itu secara rasminya telah hamil sekitar akhir Januari lalu. Berita tersebut pastinya menggembirakan semua peminat, tetapi, kegembiraan tersebut tiada tandingannya jika hendak dibandingkan dengan nilai bersyukur Lisa apabila keinginannya selama bergelar isteri untuk bertukar status menjadi seorang ibu bakal menjadi nyata. Mengambil keputusan untuk tidak terlalu menguarkan-uarkan berita gembira tersebut, Lisa mengakui, dia lebih selesa untuk mengekalkan berita tersebut sebagai rahsia dirinya. "Bukan saya mahu terlalu berahsia mengenai kehamilan, tetapi saya melihat pendekatan yang sama ambil ini sebagai langkah berhati-hati. "Lagipun kehamilan saya masih pada pertingkat awal. Jadi, saya rasa tidak eloklah kalau terlalu teruja untuk memberitahu dan berkongsi kepada umum," kata Lisa yang masih merahsiakan usia kehamilannya itu. Tampak berseri semasa hadir pada sesi pratonton filem, Cicakman 3, Lisa lebih selesa bercerita mengenai rutin hidupnya melalui fasa berbadan dua. Lisa memberitahu, dia kini lebih banyak menghabiskan masanya di rumah dan pada masa yang sama sering melakukan beberapa aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan usia kehamilannya sekarang. "Saya sering melakukan aktiviti fizikal seperti berenang dan beberapa aktiviti lain. Bagaimanapun, sebelum melakukan aktiviti tersebut, saya meminta pandangan daripada pakar fisioterapi mengenai cara yang terbaik untuk melakukan senaman tanpa mengganggu kandungan," katanya yang masih belum melakukan persiapan dekorasi bilik bakal cahaya matanya itu.
Rakan selebriti membantu Terus membawa perbualan mengenai kehamilannya, Lisa memberitahu, dia sangat bersyukur apabila sahabatnya yang juga terdiri daripada selebriti banyak memberi nasihat dan panduan asas mengenai kehamilan. "Rakan baik saya iaitu Liyana Jasmay banyak memberi nasihat mengenai kehamilan tidak kira daripada segi penjagaan kandungan dan pemakanan ibu, hal tersebut membuatkan saya dapat mengaut sedikit ilmu mengenai pengalaman mereka. "Selain Liyana, Ning Baizura dan Scha Al-Yahya juga turut membantu. Mereka tidak pernah lokek untuk memberi sebarang nasihat melalui pengalaman berbadan dua. Sebagai ibu baharu, jadi tidak hairanlah mereka juga teruja untuk berkongsi tip" singkapnya. Menarik nafas lega, Lisa sangat bersyukur kerana dia tidak pernah mengidam makanan pelik sepanjang kehamilannya. "Sepanjang tempoh kehamilan saya ada juga teringin hendak makan sesuatu, bagaimanapun, syukur Alhamdulillah kerana saya tidak pernah mengidam makanan yang sukar diperoleh. "Yusry juga tidak mengalami sebarang perubahan disebabkan pembawakan bakal bayi, tetapi, saya tidak tahu jika perkara tersebut mungkin berlaku pada masa akan datang," katanya yang turut memberitahu bahawa ibunya sentiasa berada di sisinya sepanjang kehamilannya.
Bersara seketika Ditebak mengenai soal karier seninya, Lisa kini mengambil keputusan untuk berhenti seketika daripada lapangan kerjanya itu.Semua itu dilakukan demi memastikan proses kehamilannya berjalan lancar. Itu pengorbanan besar yang dilakukan Lisa terhadap kariernya. "Saya masih lagi belum membuat keputusan secara drastik mengenai isu ini (berehat panjang) kerana bergantung kepada nasihat doktor. Jika doktor tidak memberi kebenaran untuk berlakon demi menjaga kehamilan, saya terpaksa akur. "Namun jika hendak bercerita mengenai kondisi sekarang, memang saya tidak melakukan sebarang penggambaran," katanya yang reda jika tidak dibenarkan berlakon atas faktor kehamilannya. Terus bercerita mengenai dakwaan Lisa bakal melahirkan bayi kembar, pelakon berdarah kacukan Bugis dan Cina itu memberitahu bahawa dia tidak dapat mengesahkan berita tersebut. Sementelah, dia sendiri tidak dapat memastikan kesahihannya. "Jika dakwaan tersebut benar, Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Namun jujur, saya agak terkejut kerana kenyataan tersebut bukan datang daripada pihak kami. "Saya terima apa juga yang Allah kurniakan dan saya harap orang ramai juga mendoakan yang baik-baik untuk kami," ujar Lisa sambil mengakui mempunyai keturunan yang dilahirkan kembar. Pada masa yang sama, Lisa memohon kepada peminat industri hiburan agar menghormati keputusannya untuk membiarkan berita kehamilan itu kekal menjadi privasi. "Saya harap semua orang hormati keputusan kami, hal ini kerana, jika saya tidak mahu berkongsi tentang sesuatu sudah pasti ada sebab tertentu dan masa yang tidak sesuai," ujar Lisa yang menyambut ulang tahun ketiga perkahwinan mereka pada 23 Februari lalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails