Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bunga paling bahagia

JIKA ditanya siapakah wanita paling bahagia ketika ini, pasti wanita ini mengakui yang dia sedang melewati fasa tersebut. Tidak hanya gembira melihat kerjaya seni yang semakin memuncak tetapi dari dalam soal peribadi juga membuatkan dia tersenyum lebar. Bagi Bunga Citra Lestari (BCL) kehidupan yang laluinya kini begitu membahagiakan. Dikurniakan suami yang begitu penyayang dan seorang anak lelaki yang comel membuatkan dia merasakan menjadi wanita paling bertuah ketika ini. “Segala-galanya begitu manis ketika ini walaupun saya tahu masih banyak perkara yang perlu dilalui pada masa hadapan. Tetapi ketika ini memang saya gembira menjadi isteri dan ibu kepada lelaki yang sangat saya cintai. “Setiap hari saya melalui perkara baharu. Jika satu masa dahulu kehidupan saya lebih bebas melakukan apa sahaja tetapi kini saya perlu menguruskan keluarga yang menjadi keutamaan. “Saya tidak mahu mengeluh tentang perkara berkenaan. Bagi saya menguruskan keluarga merupakan hal paling membahagiakan sebagai seorang wanita ketika ini,” ungkap Bunga. Bagi wanita ini, dia selesa menguruskan hal keluarga sendiri termasuklah soal penjagaan anak Noah Sinclair, 5 tahun. Akuinya lagi jika satu ketika dahulu dia jarang bangun pagi tetapi tabiat tersebut sudah lama ditinggalkan memandangkan Noah perlu diuruskan sejak dihantar ke prasekolah di Jakarta, Indonesia. Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Sejati ini lagi, dia begitu berbesar hati kerana suaminya Ashraf Sinclair sentiasa ada di sisi sejak berkahwin pada tanggal 8 November 2008. Menggambarkan suaminya sebagai insan yang begitu bertanggungjawab terhadap keluarga, segala urusan rumah tangga dilakukan bersama tanpa membebankan sesiapa pun. “Mungkin kami kelihatan sibuk dengan pelbagai tuntutan kerja di sana tetapi antara saya dan Ashraf masing-masing sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk Noah. “Ada kalanya saya akan pulang lewat malam selepas selesai apa sahaja acara di sana dan setiap pagi perlu menguruskan Noah ke sekolah. Ada masa Ashraf akan membantu jika saya untuk melakukan kerja lain. “Dalam rumah tangga sudah pasti perlu ada toleransi. Saya gembira kerana kami mampu memberikan yang terbaik sepanjang perkahwinan ini,” jelas Bunga ketika ditemui di Kuala Lumpur minggu lalu. Memilih MELIHATKAN sambutan yang diberikan terhadap filem Habibie & Ainun dua tahun yang lalu membuat Bunga lebih berhati-hati. Baginya filem tentang kisah sebenar mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie itu meninggalkan kesan buat dirinya. Menjadi antara filem paling ramai ditonton di sana, watak Ainun membuatkan orang mula menggelar dirinya dengan nama tersebut hampir setahun lamanya. “Memang filem tersebut memberikan kesan besar buat diri saya. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk berehat beberapa tahun sebelum kembali berlakon. Memang sudah ada beberapa tawaran yang saya pertimbangkan tetapi masih belum diputuskan. “Paling ditakuti apabila orang mula membanding filem akan datang dengan filem tersebut dan jika mereka kurang gemar apa pula yang akan jadi. Sebab itu saya mahu lebih memilih agar tidak dibanding-bandingkan nanti. “Dalam tempoh dua atau tiga tahun, saya hanya mengambil sebuah filem sahaja. Itu memang prinsip yang sudah saya pegang sejak sekian lama,” ujar Bunga yang bergandingan dengan pelakon Reza Rahadian menerusi filem berkenaan. Selain itu, Bunga menegaskan yang dia mahu lebih dikenali sebagai penyanyi dan bukannya pelakon. Atas dasar itu juga yang sedikit sebanyak membataskannya untuk menerima apa sahaja tawaran yang datang. Jika tidak terlibat dalam sebarang aktiviti seni, Bunga akan memberikan tumpuan kepada perniagaan makanan yang diceburinya bersama Ashraf sejak beberapa tahun yang lalu. Mereka yang mengusahakan restoran makanan francais ala Barat itu turut membuka dua buah restoran di bawah jenama Pondok Sunda serta dua buah gimasium. “Apabila terlibat dalam bisnes sebegini sememangnya memberikan dimensi baru buat saya dan Ashraf. Memang banyak perkara baru yang kami pelajari terutama soal kewangan dan apa yang terbaik untuk para pelanggan. “Jika ada sebarang masalah di restoran, pengunjung akan terus bertanyakan kepada kami melalui laman sosial. Sebab itu saya perlu mengetahui pergerakan restoran agar dapat memberikan jawapan terus kepada yang bertanya. “Orang tidak tahu apa masalah yang berlaku tetapi yang orang tahu restoran itu kepunyaan saya dan Ashraf. Jadi kami kena bertanggungjawab sepenuhnya jika ada sebarang masalah,” katanya lagi. Cabaran MENGINJAK usia 32 tahun ini, Bunga mengakui kehidupan yang dilaluinya memberikan seribu satu pengalaman baharu buatnya. Sambil menyifatkan apa yang dikecapi hari ini sebagai anugerah terindah, sudah pasti dia mahu berusaha lebih keras untuk terus memahat kejayaan. Pun begitu ada kala hatinya diusik cemburu melihat suaminya yang berjaya menempatkan diri sebagai pelakon popular di Indonesia melalui puluhan sinetron yang dibintanginya. Namun, dia mengakui agak sukar untuk menapak kukuh di pasaran Malaysia walaupun suaminya berasal Malaysia. “Saya gembira kerana Ashraf banyak diberi kesempatan untuk menjadi lebih baik di sana. Itu merupakan usaha kerasnya terutama untuk mempelajari Bahasa Indonesia yang menjadi ‘bahasa rasmi’ kebanyakan program televisyen di sana. “Dia berusaha untuk menguasai Bahasa Indonesia dan pastinya dia berhak mendapat tempat yang baik di pasaran sana. “Tetapi saya masih ‘kecil’ di sini (Malaysia) jika mahu dibandingkan dengannya di sana (Indonesia) Padahal suami saya orang sini,” kata Bunga tertawa. Walaupun begitu Bunga awal-awal lagi menolak tanggapan berkecil hati dengan situasi yang dihadapinya. Baginya dia sama seperti penyanyi Indonesia yang lain yang mengharapkan tuah untuk popular di negara ini. Bukan tidak cemburu melihat penyanyi-penyanyi seangkatan dengannya yang berjaya menakluk peminat di sini sejak sekian lama. Tetapi bagi wanita ini semua itu memerlukan usaha dan kerja keras yang berterusan. “Mungkin selama ini saya hanya hadir seketika dan kurang memberikan tumpuan kepada aktiviti di sini menyebabkan nama saya dipandang sepi. Seingat saya hanya beberapa kali sahaja saya hadir memenuhi undangan rasmi. “Sebelum ini pun ada beberapa konsert dan persembahan besar yang saya memanggil saya tetapi tidak menjadi. Mungkin bukan rezeki saya walaupun saya memang beria-ia untuk ke sini,” jelasnya lagi. Bagi Bunga, dia menyasarkan tahun 2015 sebagai tahun untuk mengembangkan lagi kerjaya di Malaysia. Sudah pasti dia mengharapkan tuah lagu Wanita Terbahagia yang menjadi pertaruhan terbaru untuk peminat di sini. Jelasnya lagu Wanita Terbahagia begitu dekat dengan dirinya bagai bercerita tentang apa yang sedang berlaku kepadanya ketika ini. Paling manis apabila dia memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama pelancaran lagu dan video muzik berbanding dengan negara kelahirannya sendiri.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails