Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Ahli Fiqir. Show all posts
Showing posts with label Ahli Fiqir. Show all posts

Di penghujung Ahli Fiqir

BAIT-BAIT liriknya cukup puitis. Ada kala ia mencerminkan maksud yang mendalam hingga melangkaui tahap pemahaman pendengar. Jika diamati dengan mata hati, pasti dapat kita membaca terjemahan yang tersirat.

Melodinya yang berbeza sering dilengkapi lirik yang bisa memperli dan sarat dengan bidalan membina. Seni kata Angguk Angguk Geleng Geleng, 2 Kali 5 dan Samseng umpamanya mampu mengundang pelbagai persepsi.


Siapa mampu menjangka hari esok. Sangkaan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Walaupun empayar muzik mereka sudah kuat selari dengan semangat anggotanya, mereka terpaksa meleraikan ikatan untuk membawa haluan sendiri.


Kecewa dan sedih tidak usah dibicara lagi. Namun gerak hati untuk meneruskan perjalanan masing-masing perlu diutamakan. Rasa hiba atas pengunduran seorang ahlinya, Samsol Nahar Sibenget atau lebih dikenali sebagai Tukang Kata, penghujung tahun lalu, belum lagi hilang. Kini tiga lagi ahlinya iaitu Fadali Mohd Darif (Dali), Ceza Mutyara (DJ Cza) dan Nurhidayati Mohd Yusop (Mawar Berduri) juga ada rencana sendiri.


Mahu atau tidak, hidup perlu diteruskan. Menyangkal istilah ‘berpecah’ berulang kali, Mawar enggan menyifatkan keputusan ini sebagai penghujung kepada segala-galanya.


“Sampai masanya untuk kami membawa haluan diri. Namun untuk mengatakan kami berpecah adalah agak kasar kerana hubungan kami terlalu erat sebagai teman dan keluarga.


“Mungkin kami lebih melihat keputusan ini sebagai tempoh berehat. Maklumlah, saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, Adam Harris Imran yang kini berusia setahun setengah. Walaupun suami mengizinkan saya untuk terus aktif, ini satu inisiatif sendiri bagi menumpukan perhatian pada keluarga.


“Jika saya terlepas untuk mencipta nama sebagai penyanyi, ruang untuk berpatah balik sentiasa ada. Namun jika tertinggal masa membesarkan anak, pasti tiada ruang untuk saya mengundur masa. Saya tidak mahu menyesal atau rasa ralat akan tanggungjawab sendiri,” katanya yang berkahwin dengan jurutera berusia 33 tahun, Imran Harith Fazillah.


Hadir dalam bentuk muzik hip hop moden, Ahli Fiqir berjaya menerajui tiga album dan beberapa pengiktirafan, termasuk Artis Singapura Terbaik dan Album Singapura Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2006. Malah, segala pengalaman bersama cukup kuat untuk melepaskan anggota yang lain bergerak solo.


Bagaimanapun cabaran itu disahut Dali yang banyak menyumbang lirik dan melodi. Mungkin keputusan mereka untuk membawa haluan sendiri bakal membuka ruang padanya bagi memperkenalkan muziknya sendiri.


“Janggal pasti ada, namun perjuangan saya sebagai pemuzik perlu diteruskan. Saya memahami akan keadaan Mawar yang sudah berkeluarga dan DJ Cza yang mahu menumpukan pada perniagaan keluarganya.


“Betul juga, sampai bila kami ingin terus begini kerana usia semakin meningkat dan perubahan dalam arena muzik makin pesat membangun.


“Insya-Allah saya akan tampil dengan projek solo selepas ini dan segala proses ke arah itu dalam perancangan. Saya cuba tampilkan sentuhan sendiri tanpa Ahli Fiqir dan jika diberi peluang yang baik, saya yakin peminat setia muzik kami selama ini dapat mengikut rentak muzik saya selepas ini,” katanya yang sebelum ini pernah tampil bersama Maliq dan Yassin menerusi lagu Alhamdulillah.


Pemuda berusia 27 tahun kelahiran Medan, Indonesia, DJ Cza hanya memandang keputusan bergerak sendiri ini sebagai pemangkin kerjaya mereka.


Tidak mahu melihat ia sebagai masalah, sebaliknya bagi DJ Cza yang juga bekerja sebagai pemutar muzik di sebuah kelab di ibu kota, yang lebih penting adalah keserasian antara mereka tidak mustahil membawa pertembungan semula kemudian hari.


“Kami sangat serasi dan rapat. Malah kami sudah menjadi keluarga selain berkongsi minat sama. Justeru, tidak mustahil jika satu hari ini kami akan bersatu kembali untuk merakam sebuah album bersama.


“Setakat ini sejak album pertama hingga yang terbaru, saya bersama anggota kumpulan yang lain sentiasa gembira dengan sambutan diberi. Malah saya bersyukur kerana peminat dapat menerima kami seadanya,” katanya.


Ahli Fiqir bagaimanapun akan melancarkan single ketiga, Biarkan daripada album ketiga terbitan Warner Music Malaysia selepas Fikir-Fikir dan Derita Merindu. Lagu Jangan Pergi Mawar akan menyusur kemudian.

Tak mahu fikir panjang-Ahli Fiqir


Ahli Fiqir bubar gara-gara Mawar Berduri hamil

SETIAP pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan. Mahu atau tidak, ia harus dilalui dengan hati yang tenang. Begitu juga dengan episod kehidupan mahupun drama. Yang bermula pasti berakhir sama ada yang membahagiakan atau sebaliknya.


Sebuah perjalanan yang panjang tetap akan ada pengakhiran. Begitu juga yang terjadi kepada perjuangan kumpulan popular dari Singapura, Ahli Fiqir yang mengembara ke Malaysia demi meneruskan legasi seni mereka sejak hampir sedekad lalu.Kanvas seni kumpulan yang pernah popular dengan lagu Samseng, Angguk Angguk Geleng Geleng dan 2 Kali Lima ini secara rasminya sudah ternoktah tahun ini. Tidak lagi menoleh ke belakang, keputusan nekad sudah dibuat tiga anggotanya, Dali, DJ Cza dan Mawar Berduri biar pun agak berat sebenarnya untuk direalisasikan.

Lalu apa yang tertinggal, tidak lagi dikesali. Mereka akhirnya mengikuti jejak pengunduran Samsol Nahar Sibenget atau dikenali dengan jolokan nama Tukang Kata yang lebih dulu meninggalkan kumpulan itu sejak penghujung tahun lalu.
Menurut Dali atau nama sebenarnya Fadali Mohd Darif, dia sendiri tidak menjangka akhirnya keputusan sepakat dibuat bagi memilih haluan masing-masing. Semuanya terjadi secara tidak sengaja dan keputusan itu diambil dua bulan lalu.

“Kami tak rancang. Masa itu, saya dapat tahu Mawar mengandung sebulan lebih. Lalu, kami memberitahu syarikat rakaman mengenai agenda pembubaran Ahli Fiqir biarpun baki kontrak kami bersama Warner Music masih tinggal dua tahun. Selepas berbincang bersama-sama, akhirnya kata sepakat diambil,” katanya yang akan terus menulis dan menggubah lagu termasuk mempertimbangkan hasrat untuk tampil secara solo di bawah bumbung Warner Music.

Ironinya di sebalik apa yang terjadi, Dali terlebih dulu mencipta lagu Jangan Pergi Mawar sebagai single ketiga kumpulan ini yang dipetik daripada album ketiga mereka berjudul Irama Berima. Lagu itu menyusul selepas lagu Fikir-Fikir dan Derita Merindu.
“Saya sendiri tidak menjangka perpecahan kami akan jadi sebegitu pantas. Saya bikin lagu itu sebagai persediaan seandainya Mawar Berduri meninggalkan kami. Ia dirakamkan tahun lalu,” kata Dali.

Bagi Mawar Berduri atau nama sebenarnya Nurhidayati Mohd Yusop pula, dia mengakui keputusan yang sudah dibuat itu bukan mudah. Tetapi atas dasar tidak mementingkan diri sendiri memandangkan keadaannya yang kini sudah lima bulan mengandung anak keduanya, dia perlu membuat sesuatu.

“Bayangkan kalau saya berehat panjang untuk memberikan tumpuan kepada keluarga dan bayi yang dikandung ini, bagaimana pula dengan anggota lain yang perlu mencari makan. Andai kami terikat, akan menimbulkan masalah pula kemudian hari,” katanya yang kini sedang berehat panjang.

Ditanya apakah akan ada kemungkinan penyatuan semula Ahli Fiqir pada masa mendatang, Mawar Berduri mewakili temannya yang lain tidak mampu memberi jawapan pasti. Sambil merenung Dali dan DJ Cza, Mawar Berduri berkata, mereka tidak mampu menjangkakan apa yang bakal terjadi.

“Kami tak boleh berjanji tapi Insya-Allah siapa tahu jika ada kesempatan untuk bergabung di kemudian hari, mungkin ia boleh dipertimbangkan. Kami menyerah kepada takdir. Sekalipun ada usaha untuk bersatu, mungkin ia tidak akan sama seperti awal kemunculan kami. Usia kami pun pastinya akan terus bertambah,” kata Mawar Berduri yang sewaktu enam bulan mengandungkan anak sulungnya, Adam Harris Imran, dia masih rancak menari di pentas.

Mawar sempat menambah, selain berehat di negara kelahirannya, Singapura, dia juga akan kembali melakukan kerja sampingannya sebagai jurusolek. Malah, katanya, dia mungkin akan mengikuti jejak Dali untuk muncul sebagai penyanyi solo tetapi bukan buat masa sekarang.

Sementara itu, DJ Cza atau nama sebenarnya Ceza Mutyara pula akan terus memastikan darah seni yang mengalir tidak dipersiakan. Lelaki kacak berusia 27 tahun kelahiran Medan, Indonesia ini sebenarnya bekerja sebagai pemutar muzik di sebuah kelab popular di ibu kota.

“Saya akan terus membabitkan diri dalam bidang ini sekalipun tidak berada dalam barisan hadapan (kelompok popular dan diperhatikan masyarakat). Dalam pada itu, saya juga akan menguruskan perniagaan baru yang diusahakan keluarga.

“Sekalipun nama Ahli Fiqir sudah tiada atau berkubur, ia tidak bererti yang ukhuwah kami akan turut terhenti begitu saja. Kami akan terus menjadi ahli keluarga yang berkongsi minat yang sama. Sejujurnya, saya mengharapkan keajaiban untuk melihat Ahli Fiqir bersatu kembali,” katanya sambil tersenyum.

INFO: Ahli Fiqir


•Hadir dalam bentuk muzik hip hop moden, Ahli Fiqir berjaya menerajui tiga album dan beberapa pengiktirafan, termasuk Artis Singapura Terbaik dan Album Singapura Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2006.


•Album pertama mereka berjudul Hari Ini Dalam Sejarah diikuti album kedua, Rap Untuk Rakyat.

Ahli Fiqir 'rasmi' berpecah


KUMPULAN muzik hip-hop Melayu di rantau Nusantara, Ahli Fiqir kini tinggal kenangan. Mereka terpaksa menerima hakikat perpecahan setelah lebih lapan tahun berkongsi suka dan duka. Secara rasmi, tiada lagi nama Fadali Mohd. Darif (Daly), Noor Hidayati Mohamed Yusop (Mawar Berduri) dan Ceza Mutyara atau DJ Cza.

Persembahan sempena program Percutian Ahli Fiqir bersama Peminat di Pulau Pangkor, Perak pada hari ini merupakan yang terakhir. Ia dianjurkan semata-mata untuk meraikan hari-hari terakhir Ahli Fiqir bersama para peminatnya.

Selepas episod hari ini, berakhirlah ikatan kumpulan yang kaya dengan lagu sindiran kepada masyarakat. Mereka bersepakat untuk membuat haluan masing-masing. Perpecahan merupakan jalan penyelesaian terbaik sekiranya mahu meneruskan perjuangan dalam industri seni.

Perlu diingat bahawa nama Ahli Fiqir tidak berkubur kerana pelopor kumpulan, Daly masih berpaksi teguh di situ. Dia bakal membuat album solo berjudul Muka Surat Satu dengan menggunakan nama Filsof di bawah label Warner Music (M) Sdn. Bhd. (Warner Music).

Sementara dua lagi ahli kumpulan yang lain terpaksa mencari tapak lain atau memilih untuk merehatkan diri selama-lamanya dalam bidang ini.

Namun begitu, ada cerita kurang enak mengatakan penyebab kumpulan itu berpunca daripada Mawar Berduri. Wanita yang sedang mengandung selama lima bulan ini dikatakan terpaksa menarik diri kerana perlu memberi komitmen kepada keluarga.

Tegas Mawar, dia bukan faktor yang menyebabkan perpisahan kumpulan itu. Banyak penyebab yang mendorong ke arah itu. Tidak wajar sekiranya meletakkan kesalahan itu di atas bahu Mawar. Hakikatnya, setiap ahli mempunyai alasan tersendiri untuk memberi memperjelaskan duduk perkara sebenar.

‘‘Perlu diketahui bahawa Ahli Fikir tidak berpecah tetapi namanya sahaja yang dibubarkan. Kami semua sudah bersepakat untuk membawa haluan sendiri apabila mendapati banyak perkara yang perlu diselesaikan.

‘‘Setelah bermuafakat kami mencapai kata putus. Lebih baik Ahli Fiqir dibubarkan buat seketika. Daly bersama projek album baru manakala DJ Cza menguruskan perniagaan bapanya,’’ katanya pada pertemuan baru-baru ini.

Tambahnya, Ahli Fiqir melalui detik-detik penuh kritikal sepanjang perjalanan menjual bakat mereka. Niat mereka ikhlas untuk berkongsi anugerah Tuhan. Justeru, tidak adil sekiranya dilengahkan hanya disebabkan ketiadaan salah seorang ahli kumpulannya.

Kumpulan yang terkenal dengan lagu Angguk-Angguk Geleng-Geleng itu juga masih mempunyai kontrak selama lima tahun dengan Warner Music yang berakhir pada 2012. Sedangkan mereka baru tiga tahun setengah di bawah naungan syarikat rakaman muzik berkenaan.

Jadi, jalan penyelesaian terbaik dengan ‘merehatkan’ Mawar Berduri buat sementara waktu sehingga dia benar-benar bersedia untuk beraksi di atas pentas. Perkara itu juga dipersetujui oleh Ketua A&R Warner Music, Mokhtaza Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Ahli Fiqir bekerjasama dengan Band Gwe yang berasal dari Bandung, Indonesia. Kumpulan di bawah label RMZ Showbiz Sdn. Bhd. itu mempertaruhkan lagu Dia Aku Kamu yang pernah dipopularkan oleh Nadia dan Red Peanut.

Ia merupakan salah satu strategi untuk memperkenalkan muzik kumpulan Ahli Fiqir dengan bergabung dengan peminat genre pop rock. Meski pun Band Gwe merupakan satu nama asing di kalangan peminat muzik di sini tetapi pendekatan baru yang diperkenalkan adalah sesuatu yang luar biasa.

Apatah lagi selepas menggunakan lagu gubahan komposer tanah air, Eddie Hamid yang kemudiannya diubah melodi. Keunikan itu pasti memberi satu nafas baru kepada muzik kedua-dua negara jiran.

Ahli Fiqir setuju untuk berpecah


Berpisah jalan terbaik

Assalamualaikum. Apa khabar? Harap Ahli Fiqir sihat dan diberkati dalam perjalanan hidup. Saya juga berharap Ahli Fiqir sudi menjawab soalan-soalan saya ini.

1. Benarkah dakwaan perpecahan kalian?

2 . Apa yang berlaku kepada Ahli Fiqir sehinggakan mahu berpecah?

3. Bergerak secara solo, adakah ini jalan terakhir?

n Samsiah Norizz,

Bandar Putra, Selangor

AHLI FIQIR

1 Sebenarnya kita bukan berpecah hanya kontrak kami di tamatkan lebih awal. Kami memilih demikian kerana mahu berlaku adil kepada semua. Ini tak bermakna perjuangan kami berakhir setakat ini tetapi dalam masa yang sama masing-masing ada agenda tersendiri yang sudah dirancang.

2. Tiada apa-apa yang berlaku dan tiada pertelingkahan atau pertengkaran pun. Mawar berduri sedang sarat mengandung anak ke dua, jadi keputusan telah dibuat oleh pihak rakaman kami untuk menamatkan kontrak.

Kami masing-masing telah menyetujui perpisahan ini. Biarlah Mawar melahirkan anaknya dahulu dan Cza mempunyai bisnes keluarga yang harus diteruskan.

3. Ia bukan jalan yang terakhir tetapi buat masa sekarang itu jalan yang terbaik. Masing-masing ada komitmen tersendiri dan harap ini jalan yang terakhir untuk sebagai sebuah kumpulan namun secara individu kami akan terus berkarya.

Capai impian sendirian

Assalamualaikum saya merupakan peminat Ahli Fiqir diharap menjawab beberapa soalan saya.

1. Apa perkembangan album kau orang? Dari segi jualan adakah ia semakin meningkat naik?

2. Banyak lagu korang mempunyai lirik yang best. Adakah ini dicipta atau ia ditulis melalui pengalaman kau orang?

3. Apa impian kau orang yang masih belum tercapai?

n Jumanji,

Kluang, Johor.

AHLI FIQIR

1. Dari segi penjualan album kita tidak boleh harapkan apa-apa. Semua artis Malaysia juga mengalami masalah yang sama dari segi penjualan album. Namun kami sangat senang dengan album Irama Berima yang baru sahaja dilancarkan. Lagu-lagu dalam album tersebut begitu diterima dan kami berbesar hati dengannya.

2. Kalau nak diikutkan hampir kesemua ladu kami adalah dari pengalaman sendiri dan orang lain. Lirik-lirik Ahli Fiqir diciptakan berdasarkan pengalaman kami dan orang orang di lingkungan kami. Tapi ia disesuaikan mengikut konsep agar ia mempunyai nilai kormesil yang tinggi.

3. Impian kami untuk menembusi pasaran Indonesia. Tapi itu yang kami tak dapat lakukan ketika masih berkumpulan. Jadi kami rasa segala bermula harus berakhir. Tiada yang kekal. Semua perlu berjuang untuk masa depan masing-masing sama ada tercapai atau tidak. Jadi mungkin selepas ini masing-masing boleh mencapai impian yang diinginkan.

Konsert percuma bunuh industri

Assalamualaikum. Apa khabar Ahli Fiqir? Harap semua sentiasa sihat dan sudi untuk menjawab soalan saya ini.

1. Bagaimana kalian melihat industri seni Malaysia pada waktu ini?

2. Tidak ada perancangan untuk berlakon? Mungkin salah seorang dari Ahli Fiqir ada mendapat tawaran berlakon?

3. Selama bergiat aktif dalam dua muzik, adakah kalian merasa puas dengan pencapaian yang dapat?

n Hafizi Amin,

Kajang, Selangor.

AHLI FIQIR

1. Industri kita sekarang semakin merudum dah tak macam dulu. Album dah kurang laku dan banyak konsert percuma. Ini sebenarnya sedikit sebanyak membunuh industri kita. Dalam pada itu kami juga sangat seronok dan bangga terhadap industri Malaysia ketika ini. Tak jauh ketinggalan dengan industri muzik Indonesia

2. Secara peribadi ada di antara kami yang pernah berlakon sewaktu di Singapura dahulu. Buat masa sekarang semua lebih suka menyanyi. Cza pula sama sekali tidak ada berniat untuk berlakon. Minatnya pada bidang muzik tak pernah luntur dek tawaran berlakon.

3. Daly belum lagu puas mungkin tak akan puas sampai bila-bila. Tapi bagi Cza dia cukup puas dengan apa yang pernah dikecapinya. Namun secara individu masing-masing perjalanan kami masih jauh dan masih banyak yang harus ditempuh.

Reda dengan segalanya

Hai Ahli Fiqir. Apa khabar. Saya merupakan salah seorang peminat setia anda dan sangat berharap anda akan menjadi anak seni yang berjaya pada masa hadapan.

1. Hayat sesebuah kumpulan memang tak lama. Dan kini tiba giliran Ahli Fiqir untuk berpecah. Adakah kau orang redha dengan semuanya?

2. Sukar atau tidak sebenarnya bergerak dalam sesebuah kumpulan?

n Juliana Johari,

Ipoh, Perak.


AHLI FIQIR

1. Kami tak pernah menyesal malahan kami bersyukur kerana kami berpisah secara aman damai. Ini merupakan permuafakatan antara kami dan keputusan yang bukan dipaksa. Nak kata reda tak juga tetapi kami mengakhiri sebuah bab di dalam hidup kami. Dalam masa yang sama perlu meneruskan perjuangan yang berikutnya.

2. Tidak begitu sukar jikalau kita tahu akan tanggungjawab masing-masing. Kita bertuah sebab semua ahli tahu peranan mereka dan ini sudah cukup membuatkan kami gembira. Sama saja seperti bekerja di dalam sebuah perusahaan, kadang kala kita kurang setuju terhadap tujuan yang lain, namun di hujung hari berhasil juga.

Bangga bermula di Singapura

Hai. Saya memang meminati nyanyian anda dan berharap supaya anda dapat meneruskan kecemerlangan yang anda bina selama ini walaupun secara solo.

1. Ahli Fiqir ada nama, tapi tak ada X faktor yang benar-benar berbekas di hati peminat. Apa agaknya yang akan jadi kalau semua anggota bergerak secara solo?

2. Apa kenangan manis yang tidak dapat dilupakan?

3. Bagaimana sambutan peminat Singapura terhadap anda?

n Peminat Setia,

Johor Bahru.

AHLI FIQIR

1. Semua orang ada kekurangan dan kelebihan, X-faktor kami adalah karya kami. Tak ramai kumpulan yang dapat melakukan seperti kami. Kami sangat berterima kasih atas sokongan peminat peminat di Malaysia. Buruk atau baik sekarang waktu berehat dari muzik dan fokus terhadap perjuangan lain.

2. Sebagai orang luar kami merasa bersyukur kerana dapat diterima dan dihargai peminat-peminat Malaysia.Bagi Cza pula terlalu banyak untuk disebutkan. Pernah menyertai MTV Asia Awards 2005 di Jakarta bersama Gigi dan Ratu.

3. Secara terus-terang sambutannya tak sehebat di Malaysia tetapi kami tak pernah lupa tempat bermula. Itu tempat kelahiran Ahli Fiqir dan kami bangga dengannya. Singapura sangat baik terhadap Ahli Fiqir, terima kasih kepada semua peminat Singapura.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails