Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ahli Fiqir 'rasmi' berpecah


KUMPULAN muzik hip-hop Melayu di rantau Nusantara, Ahli Fiqir kini tinggal kenangan. Mereka terpaksa menerima hakikat perpecahan setelah lebih lapan tahun berkongsi suka dan duka. Secara rasmi, tiada lagi nama Fadali Mohd. Darif (Daly), Noor Hidayati Mohamed Yusop (Mawar Berduri) dan Ceza Mutyara atau DJ Cza.

Persembahan sempena program Percutian Ahli Fiqir bersama Peminat di Pulau Pangkor, Perak pada hari ini merupakan yang terakhir. Ia dianjurkan semata-mata untuk meraikan hari-hari terakhir Ahli Fiqir bersama para peminatnya.

Selepas episod hari ini, berakhirlah ikatan kumpulan yang kaya dengan lagu sindiran kepada masyarakat. Mereka bersepakat untuk membuat haluan masing-masing. Perpecahan merupakan jalan penyelesaian terbaik sekiranya mahu meneruskan perjuangan dalam industri seni.

Perlu diingat bahawa nama Ahli Fiqir tidak berkubur kerana pelopor kumpulan, Daly masih berpaksi teguh di situ. Dia bakal membuat album solo berjudul Muka Surat Satu dengan menggunakan nama Filsof di bawah label Warner Music (M) Sdn. Bhd. (Warner Music).

Sementara dua lagi ahli kumpulan yang lain terpaksa mencari tapak lain atau memilih untuk merehatkan diri selama-lamanya dalam bidang ini.

Namun begitu, ada cerita kurang enak mengatakan penyebab kumpulan itu berpunca daripada Mawar Berduri. Wanita yang sedang mengandung selama lima bulan ini dikatakan terpaksa menarik diri kerana perlu memberi komitmen kepada keluarga.

Tegas Mawar, dia bukan faktor yang menyebabkan perpisahan kumpulan itu. Banyak penyebab yang mendorong ke arah itu. Tidak wajar sekiranya meletakkan kesalahan itu di atas bahu Mawar. Hakikatnya, setiap ahli mempunyai alasan tersendiri untuk memberi memperjelaskan duduk perkara sebenar.

‘‘Perlu diketahui bahawa Ahli Fikir tidak berpecah tetapi namanya sahaja yang dibubarkan. Kami semua sudah bersepakat untuk membawa haluan sendiri apabila mendapati banyak perkara yang perlu diselesaikan.

‘‘Setelah bermuafakat kami mencapai kata putus. Lebih baik Ahli Fiqir dibubarkan buat seketika. Daly bersama projek album baru manakala DJ Cza menguruskan perniagaan bapanya,’’ katanya pada pertemuan baru-baru ini.

Tambahnya, Ahli Fiqir melalui detik-detik penuh kritikal sepanjang perjalanan menjual bakat mereka. Niat mereka ikhlas untuk berkongsi anugerah Tuhan. Justeru, tidak adil sekiranya dilengahkan hanya disebabkan ketiadaan salah seorang ahli kumpulannya.

Kumpulan yang terkenal dengan lagu Angguk-Angguk Geleng-Geleng itu juga masih mempunyai kontrak selama lima tahun dengan Warner Music yang berakhir pada 2012. Sedangkan mereka baru tiga tahun setengah di bawah naungan syarikat rakaman muzik berkenaan.

Jadi, jalan penyelesaian terbaik dengan ‘merehatkan’ Mawar Berduri buat sementara waktu sehingga dia benar-benar bersedia untuk beraksi di atas pentas. Perkara itu juga dipersetujui oleh Ketua A&R Warner Music, Mokhtaza Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Ahli Fiqir bekerjasama dengan Band Gwe yang berasal dari Bandung, Indonesia. Kumpulan di bawah label RMZ Showbiz Sdn. Bhd. itu mempertaruhkan lagu Dia Aku Kamu yang pernah dipopularkan oleh Nadia dan Red Peanut.

Ia merupakan salah satu strategi untuk memperkenalkan muzik kumpulan Ahli Fiqir dengan bergabung dengan peminat genre pop rock. Meski pun Band Gwe merupakan satu nama asing di kalangan peminat muzik di sini tetapi pendekatan baru yang diperkenalkan adalah sesuatu yang luar biasa.

Apatah lagi selepas menggunakan lagu gubahan komposer tanah air, Eddie Hamid yang kemudiannya diubah melodi. Keunikan itu pasti memberi satu nafas baru kepada muzik kedua-dua negara jiran.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails