Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tak mahu fikir panjang-Ahli Fiqir


Ahli Fiqir bubar gara-gara Mawar Berduri hamil

SETIAP pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan. Mahu atau tidak, ia harus dilalui dengan hati yang tenang. Begitu juga dengan episod kehidupan mahupun drama. Yang bermula pasti berakhir sama ada yang membahagiakan atau sebaliknya.


Sebuah perjalanan yang panjang tetap akan ada pengakhiran. Begitu juga yang terjadi kepada perjuangan kumpulan popular dari Singapura, Ahli Fiqir yang mengembara ke Malaysia demi meneruskan legasi seni mereka sejak hampir sedekad lalu.Kanvas seni kumpulan yang pernah popular dengan lagu Samseng, Angguk Angguk Geleng Geleng dan 2 Kali Lima ini secara rasminya sudah ternoktah tahun ini. Tidak lagi menoleh ke belakang, keputusan nekad sudah dibuat tiga anggotanya, Dali, DJ Cza dan Mawar Berduri biar pun agak berat sebenarnya untuk direalisasikan.

Lalu apa yang tertinggal, tidak lagi dikesali. Mereka akhirnya mengikuti jejak pengunduran Samsol Nahar Sibenget atau dikenali dengan jolokan nama Tukang Kata yang lebih dulu meninggalkan kumpulan itu sejak penghujung tahun lalu.
Menurut Dali atau nama sebenarnya Fadali Mohd Darif, dia sendiri tidak menjangka akhirnya keputusan sepakat dibuat bagi memilih haluan masing-masing. Semuanya terjadi secara tidak sengaja dan keputusan itu diambil dua bulan lalu.

“Kami tak rancang. Masa itu, saya dapat tahu Mawar mengandung sebulan lebih. Lalu, kami memberitahu syarikat rakaman mengenai agenda pembubaran Ahli Fiqir biarpun baki kontrak kami bersama Warner Music masih tinggal dua tahun. Selepas berbincang bersama-sama, akhirnya kata sepakat diambil,” katanya yang akan terus menulis dan menggubah lagu termasuk mempertimbangkan hasrat untuk tampil secara solo di bawah bumbung Warner Music.

Ironinya di sebalik apa yang terjadi, Dali terlebih dulu mencipta lagu Jangan Pergi Mawar sebagai single ketiga kumpulan ini yang dipetik daripada album ketiga mereka berjudul Irama Berima. Lagu itu menyusul selepas lagu Fikir-Fikir dan Derita Merindu.
“Saya sendiri tidak menjangka perpecahan kami akan jadi sebegitu pantas. Saya bikin lagu itu sebagai persediaan seandainya Mawar Berduri meninggalkan kami. Ia dirakamkan tahun lalu,” kata Dali.

Bagi Mawar Berduri atau nama sebenarnya Nurhidayati Mohd Yusop pula, dia mengakui keputusan yang sudah dibuat itu bukan mudah. Tetapi atas dasar tidak mementingkan diri sendiri memandangkan keadaannya yang kini sudah lima bulan mengandung anak keduanya, dia perlu membuat sesuatu.

“Bayangkan kalau saya berehat panjang untuk memberikan tumpuan kepada keluarga dan bayi yang dikandung ini, bagaimana pula dengan anggota lain yang perlu mencari makan. Andai kami terikat, akan menimbulkan masalah pula kemudian hari,” katanya yang kini sedang berehat panjang.

Ditanya apakah akan ada kemungkinan penyatuan semula Ahli Fiqir pada masa mendatang, Mawar Berduri mewakili temannya yang lain tidak mampu memberi jawapan pasti. Sambil merenung Dali dan DJ Cza, Mawar Berduri berkata, mereka tidak mampu menjangkakan apa yang bakal terjadi.

“Kami tak boleh berjanji tapi Insya-Allah siapa tahu jika ada kesempatan untuk bergabung di kemudian hari, mungkin ia boleh dipertimbangkan. Kami menyerah kepada takdir. Sekalipun ada usaha untuk bersatu, mungkin ia tidak akan sama seperti awal kemunculan kami. Usia kami pun pastinya akan terus bertambah,” kata Mawar Berduri yang sewaktu enam bulan mengandungkan anak sulungnya, Adam Harris Imran, dia masih rancak menari di pentas.

Mawar sempat menambah, selain berehat di negara kelahirannya, Singapura, dia juga akan kembali melakukan kerja sampingannya sebagai jurusolek. Malah, katanya, dia mungkin akan mengikuti jejak Dali untuk muncul sebagai penyanyi solo tetapi bukan buat masa sekarang.

Sementara itu, DJ Cza atau nama sebenarnya Ceza Mutyara pula akan terus memastikan darah seni yang mengalir tidak dipersiakan. Lelaki kacak berusia 27 tahun kelahiran Medan, Indonesia ini sebenarnya bekerja sebagai pemutar muzik di sebuah kelab popular di ibu kota.

“Saya akan terus membabitkan diri dalam bidang ini sekalipun tidak berada dalam barisan hadapan (kelompok popular dan diperhatikan masyarakat). Dalam pada itu, saya juga akan menguruskan perniagaan baru yang diusahakan keluarga.

“Sekalipun nama Ahli Fiqir sudah tiada atau berkubur, ia tidak bererti yang ukhuwah kami akan turut terhenti begitu saja. Kami akan terus menjadi ahli keluarga yang berkongsi minat yang sama. Sejujurnya, saya mengharapkan keajaiban untuk melihat Ahli Fiqir bersatu kembali,” katanya sambil tersenyum.

INFO: Ahli Fiqir


•Hadir dalam bentuk muzik hip hop moden, Ahli Fiqir berjaya menerajui tiga album dan beberapa pengiktirafan, termasuk Artis Singapura Terbaik dan Album Singapura Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2006.


•Album pertama mereka berjudul Hari Ini Dalam Sejarah diikuti album kedua, Rap Untuk Rakyat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails