Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Alif Satar. Show all posts
Showing posts with label Alif Satar. Show all posts

Isteri Berpantang, Alif Satar Beraya Di KL

Penyanyi Alif Satar terpaksa beraya di Kuala Lumpur berikutan isterinya masih lagi dalam proses berpantang selepas melahirkan bayi pertama mereka pada 31 Mei lalu. Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 25, berkata, ahli keluarga dan sanak saudara di kampung halamannya di Pulau Pinang sudah bersetuju untuk menyambut Hari Raya di Kuala Lumpur. "Oleh kerana isteri saya masih dalam pantang jadi saya terpaksa beraya di Kuala Lumpur sahaja. "Namun, ahli keluarga yang lain akan turun ke Kuala Lumpur untuk menyambut raya di sini pula kali ini," ujarnya. Dalam pada itu, Alif turut berkongsi perasaan gembira menyambut Syawal dengan kehadiran cahaya mata pertama yang diberi nama Alisha Anugerah. "Perasaan itu sudah tentu berbeza dan rasa teruja lain seperti raya sebelum ini. Apa yang saya nampak ialah persiapan untuk anak itu lebih daripada diri sendiri. "Setakat ini persiapan kami suami isteri bersederhana sahaja, mungkin juga nanti hanya menunggu kehadiran orang ke rumah sahaja," ujarnya. Alif mendirikan rumah tangga dengan Shadila Halid, 31, pada 15 September 2014.

Alif Satar Kesal Terima Tempias Gosip Aliff Aziz

Penyanyi Alif Satar memberitahu terkilan apabila masih ada segelintir pihak terkeliru diantara dirinya dengan penyanyi Aliff Aziz. Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 25, berkata, disebabkan perkara itu, dia turut menerima tempias gosip buruk penyanyi berasal dari Singapura itu. "Perkara ini seprti sudah jadi perkara biasa bila orang salah dan keliru memanggil nama saya Aliff Aziz, tapi kalau media juga salah lapor ia menjadi satu perkara agak besar dan perlu diperbetulkan. "Secara tidak langsung juga saya pula terkena tempias gosip-gosip penyanyi itu walaupun bukan saya yang lakukan," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Rabu. Alif berkata demikian ketika mengulas kesilapan sebuah akhbar yang tertulis namanya bagi berita Aliff Aziz.
Alif berkata, laporan tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya apabila ramai yang bertanya dan percaya kepada berita itu. "Sudahlah orang ramai sering silap nama, malah kalau sudah media sendiri yang tersilap ia perkara yang sangat besar dan saya perlu betulkannya. "Pembaca yang kurang mengenali saya akan baca dan menganggap berita tersebut benar-benar saya yang lakukan," ujarnya. Selain itu, Alif berkata, perkara itu juga sering berlaku pada undangan nyanyian yang menyangka dia sebagai penyanyi lagu Jangan Ganggu Pacarku. "Ada juga penganjur majlis yang mengundang saya, selepas itu bertanya bagaimana urusan pasport dan segalanya, lantas saya akan bertanya kembali sama ada saya penyanyi yang ingin diundang atau Aliff Aziz," katanya. Katanya Alif, dia berharap orang ramai dapat mengenali dia dan Aliff Aziz sebagai dua individu berbeza.

LEBIH DUA BULAN NIKAH - ISTERI ALIF SATAR KINI HAMIL

Tahniah kerana bakal Bergelar Ibu! Demikianlah ucapan rakan-rakan isteri Sha Dila Halid (Shad) di laman Instagramnya baru-baru ini. Mereka mengucapkan tahniah kerana teruja apabila mengetahui Shad dan suaminya Alif Satar bakal bergelar ibu bapa. "Yes it is but still so early to announce," kata Shad ringkas. Untuk makluman, Alif dan Shad telah bernikah pada 15 September lalu dan majlis resepsi mereka telah diadakan pada 20 September. Tahniah diucapkan buat mereka!

Sha Dila bijak pikat hati keluarga Alif

JIKA sudah jodoh, faktor usia bukan satu halangan untuk mengikat janji setia. Itu yang menjadi asas utama dalam pernikahan penyanyi Alif Satar dengan Sha Dila. Jurang usia sebanyak enam tahun (Alif, 24, manakala Sha Dila, 30) tidak pernah dijadikan alasan untuk menafikan cinta antara mereka. Maka, tanggal 15 September lalu menjadi saksi penyatuan hati mereka berdua. Bagi meraikan pernikahan tersebut, Alif dan Sha Dila kemudian diraikan dalam sebuah resepsi yang diadakan pada 20 September lalu. Ringkas tetapi penuh kejutan. Begitulah suasana sekitar resepsi perkahwinan pasangan tersebut yang diraikan dengan penuh sederhana tetapi meriah dalam sebuah majlis di Marina, Putrajaya, hujung minggu lalu. Pelamin indah dihiasi dengan bunga berwarna putih serta dekorasi berlatarbelakangkan rona krim dan putih menyerlahkan lagi malam yang penuh bermakna buat pasangan mempelai itu. Seawal pukul 8.30 malam, pasangan mempelai yang ditata rias menggayakan pakaian sedondon berwarna putih dan berkonsepkan moden itu berjalan masuk ke dalam dewan tanpa diiringi paluan kompang mahu pun alunan muzik. Namun, secara bersahaja kedua-duanya terus menuju ke meja makan pengantin selepas beramah mesra dengan para tetamu yang hadir. Malam yang indah itu dimulakan dengan tayangan video rakaman momen bahagia sepanjang pernikahan mereka yang berlangsung pada 15 September lalu di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Disambung dengan persembahan daripada sebuah band yang diberi nama Persis, pasangan pengantin ternyata teruja kerana band itu terdiri daripada rakan-rakan baik Alif sendiri. Diselangi dengan kejutan demi kejutan, pasangan itu dikejutkan lagi dengan persembahan daripada komposer yang banyak terlibat menghasilkan lagu buat Alif iaitu Panji Sakti. Panji mendendangkan dua buah lagu yang diciptanya sendiri khas ditujukan buat Alif dan Sha Dila yang bertugas sebagai pegawai perhubungan di syarikat telekomunikasi Celcom itu. Istimewanya, lirik lagu yang ceria dan 'catchy' itu dihasilkan oleh Panji hanya dalam satu malam.
Selain Panji dan Persis, majlis resepsi perkahwinan Alif dan Sha Dila turut dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan Caliph Busker. Menariknya kumpulan muzik itu terdiri daripada golongan kurang upaya (OKU). "Saya memilih pemuzik yang terdiri daripada golongan OKU kerana ibu bapa saya membesar di sekeliling golongan istimewa ini. Jadi, saya mahu menampilkan kelainan dalam majlis yang penuh bermakna dalam hidup saya ini," ujar Alif. Tidak terhenti di situ, Alif dan Sha Dila dikejutkan lagi dengan penayangan video yang disediakan oleh tiga adik perempuan Alif iaitu Hamim, 22, 'Ain, 21, dan Jim, 16. Saat lampu dipadam dan video ditayangkan, suasana sebak terus menyelubungi seluruh dewan. Video yang menayangkan segala gambar Alif sejak dirinya dari zaman kanak-kanak sehinggalah meningkat dewasa itu benar-benar meninggalkan kesan kepada tetamu yang hadir. Usai itu, seluruh ahli keluarga Alif memberi ucapan di hadapan semua hadirin yang hadir. Suasana bertukar sebak apabila kesemua ahli keluarga Alif menitiskan air mata ketika memberi kata-kata ucapan selamat pengantin baharu buat mempelai. Sudah pastinya, empunya diri lebih terkesan dek video dan ucapan yang penuh bermakna. Kejutan diteruskan lagi dengan sebuah persembahan daripada Alif sendiri yang mendendangkan lagu bertajuk Kaulah Segalanya khas buat isteri tercinta. Bagaikan dunia milik berdua, hadirin cukup terpukau dengan alunan lagu indah menjalar segenap ruang dewan. Pada hujung majlis, pasangan pengantin diminta keluar dari dewan. Tertanya-tanya apakah yang bakal menanti di luar, nyata ia terjawab apabila mereka dikejutkan dengan panorama indah pancutan air yang mengikut rentak sebuah lagu popular Alif iaitu Lelaki Seperti Aku. Kegembiraan dan bahagia nyata terpancar pada wajah kedua mempelai atas segala momen kejutan yang dipersembahkan. Bertemu mata usai majlis pada malam itu, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar, memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila semua perancangan berjalan lancar. Bermula dari hari pernikahannya sehingga majlis resepsi pada malam itu, tiada cacatnya agenda yang disusun.
"Pertama sekali, saya rasa sangat bersyukur sebab segalanya dipermudahkan. Alhamdulillah dari hari pernikahan kami sehingga ke hari ini (malam itu), semuanya berjalan lancar. Ini semua berkat pertolongan daripada semua pihak, keluarga, rakan-rakan dan semua yang terlibat," ujarnya ceria memulakan perbualan. Alif memberitahu, perjalanan majlis pada malam itu semuanya diuruskan oleh keluarganya. Dia dan Sha Dila sama sekali tidak dibenarkan campur tangan dalam urusan mengendalikan majlis itu. "Semuanya keluarga dan rakan-rakan yang uruskan tetapi pada awalnya saya sudah nyatakan keinginan mengadakan sebuah majlis yang santai, terima kasih semua," ujarnya. Majlis yang penuh meriah itu turut dihadiri rakan artis yang lain antaranya Datuk Aznil Nawawi, Tomok dan isteri, Shahrul daripada kumpulan Shiro, Azwan Ali, Wati Sadali, Joey serta ramai lagi. Alif matang, Sha Dila berdikari Mengimbau kembali detik perkenalan lalu, pasangan itu nyata tidak pernah lupa detik-detik manis pertemuan mereka. Menurut Sha Dila, kali pertama bertemu Alif ialah ketika penggambaran sebuah program di sebuah stesen televisyen tempatan. Bertemu kembali selepas tiga tahun dalam program yang lain, perkenalan mereka berlanjutan sehinggalah ke gerbang perkahwinan. "Pada awal perkenalan, saya juga berasa tidak yakin kerana berkawan dengan lelaki yang lebih muda tetapi sangkaan saya meleset setelah mengenali hati budinya. Ternyata dia seorang yang lebih matang daripada usianya. "Dia banyak memberi bimbingan kepada saya. Baik dalam soal agama dan hidup, dia selalu memberikan nasihat yang berguna dan sejak berkawan dengan dia. Saya banyak berubah. Dia lelaki terbaik yang pernah saya jumpa," ujar Sha Dila ceria. Ditanya apakah daya tarikan yang ada pada Sha Dila, Alif dengan ceria memberitahu. Di matanya, Sha Dila seorang wanita yang berdikari selain pandai mengambil hati keluarganya. "Dia sangat berdikari dan cantik. Sebenarnya dia tidak pernah kenal dan tahu siapa saya. Tetapi, apa yang penting, dia pandai mengambil hati ibu bapa dan adik-adik perempuan saya," ujarnya sambil tersenyum.
Bulan madu di Langkawi Mengulas mengenai lokasi berbulan madu, pasangan itu memilih untuk meluangkan masa bersama dalam negara sekitar hujung tahun nanti. Memilih Langkawi sebagai lokasi, Alif mempunyai sebab yang tersendiri. "Saya memilih Langkawi kerana lokasinya dekat dan dalam negara sahaja. Kami ada terjumpa sebuah tempat yang sangat cantik. Jadi kami memilih untuk menghabiskan masa berbulan madu di sana "Lagipun, isteri saya sekarang tiba-tiba mengalami fobia untuk menaiki kapal terbang. Jadi, saya putuskan untuk tidak pergi ke luar negara bagi meraikan bulan madu kami," selorohnya bersahaja. Karier seperti biasa Mengulas tentang perjalanan kariernya selepas ini, Alif memberitahu, pada bulan Oktober ini, dia akan terbang ke Jakarta, Indonesia untuk mempromosikan single Akhiri Penantianku. "Sebenarnya pihak Sony Music Indonesia yang menjemput saya untuk membuat jelajah di sana. Saya akan berada di sana selama seminggu bermula 17 hingga 20 Oktober ini untuk mempromosikan lagu Akhiri Penantianku. Selepas Jakarta, saya akan ke Bandung dan seterusnya ke Bali," ujarnya mengakhiri perbualan.

Sederhana dalam sempurna - Alif Satar

MAJLISNYA tampak begitu santai. Dihadiri sekitar 300 tetamu undangan yang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai, acara resepsi penyanyi Alif Satar, 24 dan pasangannya Shadila Halid, 30, berlangsung dengan adunan emosi yang pelbagai. Sekalipun bukannya sebuah majlis gilang-gemilang seperti mana perkahwinan selebriti lain, Alif lebih selesa untuk memilih gaya sederhana tetapi dilangsungkan dalam suasana yang sangat meriah, tanpa sebarang cela. Hadir sebagai salah seorang tetamu undangan, diakui, inilah kali pertama menyaksikan majlis perkahwinan selebriti yang sangat bersahaja tetapi cukup serba serbi, tidak berlebih-lebih dan sewajarnya dicontohi oleh artis lain. Bahkan suasana yang wujud pada majlis yang berlangsung di Marina Putrajaya Presint 5, Putrajaya itu juga begitu mengasyikkan dan menenangkan, mungkin disebabkan lokasinya yang dikelilingi tasik. Sedang selebriti lain gah mengumumkan barisan penaja yang menaja majlis perkahwinan mereka dari A ke Z, Alif pula lebih gemar untuk membeli sendiri setiap inci persalinan mahupun persiapan majlis, melainkan ada pihak yang ikhlas menghadiahkan. Segak menggayakan sut putih rekaan pereka fesyen terkemuka Bon Zainal, Alif memasuki dewan majlis dengan diiringi Shadila yang anggun menyarungkan gaun putih yang dibeli dari sebuah butik di ibu kota. Mengambil tempat duduk di meja utama dewan, acara pada malam Sabtu lalu dimulakan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan pemuzik orang kurang upaya (OKU) yang menamakan diri mereka sebagai Qaliph. Elemen kejutan Kemudian, sambil menikmati juadah nasi minyak yang sudah disediakan di atas meja, Alif ternyata agak terkejut apabila dikejutkan dengan persembahan kugiran yang dipersembahkan oleh rakan-rakan baiknya. Tidak cukup dengan itu, komposer terkenal dari Indonesia iaitu Panji Sakti tampil mengambil alih pentas mempersembahkan dua buah lagu khas untuk pasangan mempelai tersebut. Lebih menarik, lagu kedua yang dinyanyikan berjudul Helo Alif Helo Shadila baru sahaja dihasilkan sehari sebelumnya di kamar hotel, semata-mata mahu menjayakan persembahan yang tidak dirancang itu. Berkesempatan bertemu bual dengan Alif di penghujung majlis, katanya, dia terkejut kerana Panji sendiri yang menyanyikan lagu-lagu tersebut kerana sepanjang mengenali komposer itu, amat susah untuk melihatnya membuat persembahan sebegitu, apatah lagi di depan khalayak ramai. “Saya ingatkan majlis malam ini sekadar makan malam sesama ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat untuk meraikan perkahwinan ini. Tidak menjangkakan kejutan yang diberikan malam ini. “Jujur, saya sangat terharu apabila ada elemen-elemen seperti ini daripada individu yang amat saya hargai. Terima kasih tak terhingga kepada ahli keluarga saya yang menyempurnakan hari saya," katanya dalam nada hiba, tetapi jelas terpancar bibit kebahagiaan di air muka jejaka yang mula dikenali menerusi single Nakal itu. Tidak terhenti di situ, sambutan pada malam itu dihangatkan lagi dengan beberapa klip video ucapan tahniah daripada insan-insan tersayang. Sekalipun tampak klise, tetapi jelas keikhlasan yang tersembunyi di sebalik kata-kata yang terbit daripada setiap seorang daripada mereka. Memasuki klip seterusnya, ia menjadi klimaks keraian tersebut apabila tiba giliran klip video yang dihasilkan oleh ketiga-tiga adik perempuannya, Hamim, Ain dan Jim yang memaparkan gambar-gambar ketika zaman kanak-kanak keempat-empat adik-beradik tersebut. Tiba-tiba, bukan sahaja Alif dan Shadila, boleh dikatakan hampir seisi dewan mula kedengaran sedu tangis tetamu yang hadir tatkala klip yang begitu menyentuh hati dan perasaan itu dimainkan. Menurut kata Alif, dia tidak mampu mengekang air matanya daripada terus mengalir sepanjang klip hampir tiga minit itu ditayangkan di seluruh dewan. “Apabila ia melibatkan keluarga, pastinya ia membabitkan emosi saya. Tambahan pula, saya seorang ‘family guy’, jarang berjauhan dengan keluarga, Kini, apabila mengenangkan saya sudah berkahwin, memori-memori lalu bersama mereka terus terimbas satu-persatu bermain di fikiran. “Pastinya saya akan merindui momen manis bersama mereka kerana selepas ini akan tinggal berasingan dengan ibu bapa serta adik-beradik lain yang sememangnya manja dengan saya," ujar anak sulung itu. Tamat sahaja klip tersebut, dewan yang samar cahayanya kembali terang dan kelihatan ayahnya, Mohd. Satar, 48, juga ibunya, Norhafiza Mohamed, 54, serta adik-beradiknya sudah berdiri di hadapan dewan untuk memberikan ucapan. Berkongsi kata-kata nasihat dalam mengharungi ranjau liku rumah tangga oleh kedua-dua ibu bapanya, episod air mata diteruskan lagi kerana Alif menganggap orang tuanya amat berjaya melayari bahtera mahligai mereka sehingga mampu membesarkan dan mendidik anak-anaknya menjadi insan berguna hari ini. “Abah dan mak adalah idola saya dan peranan mereka dalam menjaga kami berempat menjadi sumber inspirasi buat saya. Insya-Allah, saya cuba yang terbaik sebagai seorang suami," katanya.

Alif Satar Bergelar Suami Dengan Sekali Lafaz

Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Alif Satar akhirnya bergelar suami kepada Sha Dila Halid, 30, dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Perdana Felda, di sini pada Isnin. Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Zaki Mahmood kira-kira pukul 11.40 pagi. Sha Dila diwalikan oleh bapanya Halid Mohamad.
Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 24, memberikan mas kahwin sebanyak RM80 manakala wang hantaran RM19,000. Rombongan lelaki turut membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan. Antara barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah telekung, cincin, mas kawin, sirih junjung dan kek. Manakala, barang hantaran pihak perempuan pula ialah cincin, jam tangan, sirih junjung, baju kemeja, minyak wangi, kek dan coklat. Sementara itu, majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada 20 September ini di Marina, Putrajaya. Pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 14 Januari lalu.

Alif Satar Tanya Tomok Pengalaman Kahwin Wanita Berusia

Penyanyi Alif Satar ada meminta pandangan dan nasihat daripada penyanyi Tomok dalam usahanya untuk mengahwini kekasih yang enam tahun lebih tua daripadanya iaitu Shadila, 29. Alif, 23, berkata, dia sudah bersedia untuk bergelar suami dan seterusnya berada dalam dunia rumah tangga yang lebih mencabar walaupun usianya masih muda. "Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar dan diizinkan tahun depan saya akan mendirikan rumah tangga. "Saya ada bertanya dan minta nasihat daripada Tomok tentang kehidupan selepas berkahwin pada usia muda terutamanya dengan isteri yang lebih berusia kerana Tomok telah melalui pengalaman berkahwin dengan wanita yang lima tahun lebih tua," katanya kepada mStar Online. Tambah Alif, keluarganya turut merestui untuk dia menamatkan zaman bujang pada usia muda.
Biarpun enam tahun perbezaan usia, Alif menganggap ia bukan satu masalah dan halangan dalam mencapai persefahaman. “Saya tidak merasakan perbezaan usia tersebut. Jarak usia bukanlah penghalang dalam sesuatu hubungan tetapi persefahaman itu yang penting untuk memastikan hubungan cinta akan kekal,” katanya Sementara itu, bercakap soal kerjaya, Alif yang mengendalikan program realiti kanak-kanak Idola Kecil 6 ini mengakui bidang pengacaraan menjadi pilihan keduanya selepas nyanyian. "Saya sudah lima musim mengendalikan rancangan ini dan Alhamdulillah saya semakin selesa dengan bidang pengacaraan. "Selain program kanak-kanak ini, saya juga akan muncul dalam program travelog iaitu 24 Jam Bersama Alif Satar yang bakal disiarkan pada Januari depan," katanya. Dalam pada itu, dia turut akan melancarkan album terbaharu berjudul Definisi pada 20 November ini.

Foto: Alif Satar Tayang Gambar Dipeluk Gadis Australia

Agak lama juga tidak mendngar perkembangan terbaru penyanyi dan pengacara ini. Tapi sejak beberapa hari lalu, nama Alif Satar menjadi bualan hangat ramai ekoran gambarnya dengan seorang wanita Mat Salleh yang tersebar di internet. Siapakah gadis itu? Kekasih Alif? Apa yang pasti gambarnya bersama gadis tinggi lampai ala model yang dikenali sebagai @laurenmitchell43 itu dirakamkan di Sydney, Australia dan dimuat naik sendiri oleh Alif di laman Instagramnya. Malah ada juga gambar mereka berpelukan. Menerusi gambar berpelukan dengan gadis itu, Alif telah menulis caption : Gadis gadis cun ni bawak Alif pusing Sydney @laurenmitchell42 @yasminjadekassim 31hb Ogos ni.. Saksikan '24 jam'... 9 malam di Astro Ria.. Dalam sebuah portal hiburan menyebut, Alif terlibat sebagai pengacara bagi sebuah program travel berjudul 24 Jam dan kehadiran gadis tersebutdi sisi penyanyi yang popular dengan lagu Jangan Nakal in bertujuan untuk rakaman program berkenaan yang menjalani penggambaran di Sydney, baru-baru ini.

Alif Satar Gementar Temui Keluarga Kekasih

Penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku iaitu Alif Satar mengakui gementar untuk bertemu dengan keluarga kekasihnya pada majlis berbuka puasa dalam masa terdekat ini. Alif, 23, berkata, perasaan itu timbul kerana ini adalah kali pertama dia akan bertemu dengan keluarga teman wanitanya yang dikenali sebagai Shadila, 29, selepas tiga tahun bercinta. "Insya-Allah saya bakal bertemu dengan keluarga kekasih dalam masa terdekat ini untuk berbuka puasa. "Sudah tentu rasa gementar dan gugup itu ada dan berharap semuanya berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Hotel Royale Bintang Damansara di sini, Khamis lalu. Dalam perkembangan sama, Alif berkata, dia tidak melihat perbezaan usia sebanyak enam tahun sebagai satu masalah dalam sesebuah hubungan kerana apa paling penting persefahaman di antara dua pihak. Kata Alif, dia sangat selesa dengan Shadila dan tidak pernah memikirkan soal usia apabila bersamanya. "Saya selalu rasa kami sebaya dan paling penting kami selesa di samping persefahaman yang menjadikan sesuatu hubungan itu kuat dan bukannya jarak usia," katanya. Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, Alif berkata dia meletakkan perkara itu kepada jodoh namun berharap hubungan tersebut akan berkekalan sehingga ke jinjang pelamin. Dalam perkembangan lain, Alif berkata, bersempena bulan Ramadan kali ini dia berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan menjual sejenis kuih tradisional Melayu iaitu biskut bakar. Jelas Alif, penglibatannya itu hanya secara suka-suka dan ingin membantu ibu saudaranya yang membuat kuih berkenaan bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri. "Peminat atau sesiapa yang membeli lima balang dan ke atas saya sendiri akan hantar biskut berkenaan ke rumah mereka sebagai tanda penghargaan kepada mereka. "Tetapi penghantaran itu hanya terhad di Lembah Klang sahaja," ujarnya. Tambah Alif peminat yang berminat untuk mendapatkan kuih berkenaan boleh membuat tempahan menerusi laman Instagramnya di Alifsatar.

Tak ralat tolak rezeki - Aliff Satar

TANPA saya sedar setiap tahun sejak mula jadi penyanyi saya akan ambil semua undangan pentas. Tak pernah fikir sangat pasal raya asalkan ada job yang boleh saya buat. Tahun ini saya mahu berehat!" kata Alif Sattar kepada Pancaindera baru-baru ini. Antara sedar dan tidak, ada benarnya kata-kata yang diluahkan oleh lelaki yang baru mencecah usia 23 tahun ini. Perit jerih yang sudah dilalui sepanjang tahun tidak wajar diteruskan pada hari kemenangan umat Islam khususnya. Namun segalanya berbalik kepada pendirian setiap orang tentang perkara berkenaan. Ada yang terpaksa bekerja kerana mencari rezeki dan ada pula yang memang tidak mempedulikan lebaran semata-mata mengejar wang ringgit. Pendirian Alif jelas. Dia sedar ada kalanya keluarga dan sahabat handai perlu diutamakan berbanding pekerjaan yang memang tidak pernah habis sampai bila-bila. “Sudah tiba masanya untuk saya ambil kesempatan ini untuk berehat seketika. Setiap tahun pun memang saya akan meraikan hari raya. Bukanlah sampai tak ada masa langsung sebab kejar duit. “Rezeki ni kalau kita cari memang akan dapat. Nak seimbangkan dengan tuntutan lain tu yang paling penting. Kalau kejar rezeki tapi abaikan keluarga dan ibadah pun tak guna. “Jadi untuk tahun ini memang saya lebih banyak menumpukan hal pada keluarga, ibadat dan lain-lain hal. Macam bulan Ramadan yang lalu, saya banyak ke masjid dengan ahli famili yang lain sebab ini sahaja masa yang ada untuk kami bersama," kata Alif lagi. Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Lelaki Seperti Aku menambah, setiap tahun dia tidak pernah lupa untuk pulang ke Pulau Pinang bertemu dengan saudara mara, serta sahabat handai yang masih ada di sana. Memandangkan dia pulang ke kampung menjadi aktiviti wajib setiap tahun, Alif biasanya akan menziarahi kubur saudara maranya yang telah pergi seterusnya melawat datuknya. “Memang setiap tahun saya akan buat perkara yang sama. Ada orang tanya tak bosan ke buat perkara yang sama? Jawapan saya mudah sahaja, tidak sebab kami jarang berkumpul. Bila dah berkumpul tu macam-macam perkara yang akan jadi. “Setiap tahun seluruh keluarga besar saya akan buat barbeku sambil mendengar macam-macam cerita. Dulu masa kecil-kecil memang meriah. Bila dah besar masing-masing semakin matang. “Tak lama pun saya balik kampung. Lepas dua hari terus pulang semula ke Kuala Lumpur sebab kebanyakan saudara-mara memang sudah menetap di sini. Nak menziarahi mereka pula," kata Alif yang cukup gemar menikmati ketupat dan kari kambing. Nama Alif Sattar mula diperkatakan sejak menyertai rancangan realiti One In A Million pada tahun 2006. Biarpun tidak berjaya menjadi juara pertandingan tersebut, bakat besar yang dimiliki oleh Alif berjaya menjadi penyambung hayatnya di dalam industri seni tempatan. Tidak dinafikan Alif antara penyanyi yang paling bebas daripada gosip dan sebarang kontroversi. Malah, penyanyi ini juga turut diminati oleh beberapa nama besar penyanyi yang lebih ternama berdasarkan pencapaian cemerlang Alif. Tidak mahu terus mendabik dada dengan kata pujian orang, Alif tahu perjalanannya masih jauh dan memerlukan usaha dan kerja keras yang beterusan. Sudah keluar dengan dua album penuh sebelum ini, Alif mahu meneruskan kesinambungan dengan produk terbaru sedikit masa lagi. “Saya harap lagu Pendusta ciptaan Zimi Sofazr yang dijadikan single terbaru akan hit macam lagu lain. Dalam industri ini kita kena pantas memandangkan kalau lambat orang lain akan ke depan dan terus melupakan kita yang tak ada produk baru. “Jadi saya kena pantas dengan menghasilkan lagu-lagu baru yang lebih bagus. Hanya ini cara yang perlu dilakukan untuk kekal bertahan sebagai penyanyi yang bagus," jelasnya. Pembikinan video muzik penyanyi ini sudah pun siap sepenuhnya selain akan meneruskan tugas sebagai pengacara rancangan Idola Kecil untuk musim yang akan datang. Menyentuh soal lakonan, Alif sebenarnya tidak meletakkan sasaran dalam bidang yang baru sahaja diceburinya itu. Kecintaan dalam bidang nyanyian tidak pernah pudar walaupun sudah berlakon dalam beberapa buah drama bersiri. Antara drama yang banyak menaikkan namanya termasuklah Suria Di Cordova dan Buddy yang disiarkan Astro baru-baru ini. “Minat secara menyeluruh untuk berlakon masih belum ada. Saya lebih banyak memilih skrip yang memang menarik dan sedikit memilih. Kalau ada tawaran yang benar-benar menarik barulah saya terima. “Buat masa ini fokus saya untuk menyiapkan album terbaru yang dijadualkan pada hujung tahun ini," tegas Alif lagi.

Kalau boleh sekarang mahu nikah!~Alif Satar


ALIF sudah ada teman wanitaAssalamualaikum. Hai Alif. Saya merupakan salah seorang peminat setia Alif sejak muncul dalam OIAM lagi.

1. Apa perkembangan terbaru anda sekarang?

2. Sudah ada teman wanita ke belum? Apa ciri-ciri wanita idaman Alif?

3. Kenapa Alif hanya mengacara rancangan kanak-kanak sahaja. Tak ada rancangan lain ke?

n Geeme Fb

Kuala Lumpur.

ALIF

1. Terima kasih atas sokongan Geeme, terima kasih banyak-banyak. Alif sekarang sibuk mempromosikan album sulung, ALIF SATAR- NAKAL. Selain daripada menyanyi Alif juga sibuk dengan mengacara dan berlakon.

2. Alif dah ada teman istimewa cuma tak terlalu serius. Cuma rasa seronok bila rasa ada orang lain bukan dari keluarga kita yang sayang pada kita, ambil berat dan mencurahkan kasih sayang kepada Alif. Alif suka perempuan yang cantik, suka kucing dan pandai masak nasi beriyani.

3. Betul juga kata Geeme. Kadang-kadang Alif sendiri tertanya-tanya soalan yang sama. Tapi mengendalikan rancangan kanak-kanak ini memberi Alif kepuasan yang berbeza, rasanya lebih original dan real. Tapi untuk tahun ini ada satu rancangan bola sempena Piala Dunia 2010, satu benda yang baru yang Alif akan cuba.

Cemburu dengan kejayaan orangAssalamualaikum, semoga Aliff sihat ceria selalu dan sudi menjawab beberapa soalan saya.

1. Bilakah Alif ingin meneruskan pengajian setelah habis SPM ?

2. Apakah hobi Aliff semasa ketiadaan tawaran persembahan nyanyian?

3. Bagaimana Alif hadapi saingan artis-artis di bawah platform OIAM?

n Shuk_Jefrri,

Kluang, Johor

ALIF

1. Selepas tamat SPM pada 2007, Alif memang dah bersedia ke Kolej TAJ, Ipoh. Tapi kebetulan pula masa itu Alif dikehendaki mengikuti PLKN. Jadi, dengan kesibukan kerja dan segala-galanya waktu pengajian alif tertangguh. Bagi Alif nak belajar bukan semata-mata di sekolah atau di universiti saja tapi dimana-mana pun kita belajar. The world is my classroom. Experience is the best teacher.

2. Soalan yang best. Kalau tak sibuk dengan kerja Alif seolah-olah macam pemandu keluarga. Waktu lapang juga akan Alif gunakan untuk bersukan dan sukan ekstrem paling Alif suka. Wall climbing. Itu wajib dilakukan!

3. Alyah, Faizal Tahir dan Farah Asyikin adalah antara artis yang dah mencipta nama selepas OIAM dan saya sendiri gembira dengan kejayaan mereka. Perasaan persaingan mesti ada dan cemburu pun ada kadang-kadang. Tapi ini semua adalah cabaran. Apa yang Alif buat adalah dengan kekalkan dengan imej Alif sekarang ni.

Baru dapat royaltiHai Alif, apa khabar? Harap Alif terus sihat dan sentiasa ceria dengan apa yang anda lakukan. Sebagai peminat saya akan terus menyokong kerjaya seni anda sampai bila-bila.

1. Apa perkembangan album terbaru anda? Dari segi jualan adakah anda berpuas hati?

2. Apa kepuasan yang anda kecapi apabila melihat album Jangan Nakal mendapat sambutan daripada peminat?

3. Siapakah yang menjadi sumber inspirasi kepada anda untuk menjadi penyanyi.

n Kiah,

Jelebu, Negeri Sembilan.

ALIF

1. Alhamdulillah. Album Alif mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat dan Alif sendiri tak percaya dengan perkembangan ini. Kebetulan pula Alif baru sahaja dapat royalti baru-baru ini, macam tahu-tahu je kan. Selagi Sony Music berpuas hati dengan semuanya, Alif juga begitu.

2. Rasanya nak buat album yang lebih, lebih, lebih nakal lagi. Tapi lagi puas hati kalau Cik Kiah beli sepuluh album Alif.

3. Antara yang menjadi idola alif sejak kecil lagi adalah Sudirman Hj. Arshad, P. Ramlee dan yang semestinya Michael Joseph Jackson. Tapi semua dah tiada lagi namun tetap menjadi inspirasi dan sentiasa memberi sokongan pada Alif sekarang ni.

Nak pakai motor besarAssalamualaikum Alif, apa khabar? Saya harap Alif sentiasa sihat dan diberkati Tuhan selalu. Saya ada beberapa soalan untuk Alif.

1. Apakah ciri-ciri wanita yang idaman Alif? Adakah dia bertudung atau tidak dan bagaimana perangai wanita itu?

2. Perkara yang paling diidamkan oleh Alif semasa bergelar artis?

3. Apa perasaan Alif sekarang setelah bergelar artis? Adakah impian Alif sudah tercapai?

n Mariamah Kapoochi,

Mersing, Johor.

ALIF

1. Nama teman wanita Alif pun ada bunyi-bunyi macam Mariamah Kapoochi juga. Yang Alif tengok dia ke masjid bertudung. Fuhhh... Memang cantik macam wanita Arab saja. Perangai dia boleh tahan kepoh juga. Hahaha!

2. Alif idamkan motor berkuasa besar yang berbunyi bising dan berwarna merah. Buat masa masih dalam proses memujuk rayu ibu dan ayah untuk membeli superbike.

3. Perasaan dia biasa je. Tapi bila setiap kali selesai persembahan, ramai peminat nak bergambar, nak bersalam dan nak nombor telefon. Rasa yang biasa tu dah jadi luar biasa. Alif masih lagi mengejar impian. Apa yang pasti pengalaman, pemandangan dalam pejalanan ini membuat Alif rasa nak terus berjalan tanpa henti.

Pernah putus asaAssalamualaikum Alif. Saya adalah salah seorang peminat setia Alif sejak awal kemunculan anda lagi. Saya ada beberapa soalan yang mahu ditanya kepada awak.

1. Bagaimana jika saya mahu berhubung terus dengan awak? Ada e-mel tak?

2. Sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara apakah cabaran yang paling besar yang pernah anda alami?

n Asmahani,

Shah Alam, Selangor.

ALIF

1. Hai Asmahani. Terima kasih kerana menghantar soalan ini pada Alif. Senang sahaja nak berhubung dengan alif. Awak boleh hantar e-mail ke alif.satar@gmail.com. Alif tunggu e-mel awak tau!

2. Ada suatu ketika dulu selepas OIAM Alif tercari-cari tapak dan rasa sedih bila orang luar dah mula lupa pada Alif. Ada yang sudah tidak mengenali Alif sampai Alif rasa putus asa dalam industri ni. Alif rasa seolah-olah tak dikehendaki dalam industri seni Malaysia. Cabaran ini Alif redah dengan hati yang kering dan sekarang ini Alif dapat lihat hasilnya.

Nak kahwin sekarang jugaAssalamualaikum Alif. Saya sekeluarga amat meminati anda dan sentiasa berharap anda melakukan yang terbaik dalam industri seni.

1. Saya senang sekali mendengarkan lagu Jangan Nakal yang dimainkan di radio. Di dalam album kamu, lagu mana yang paling kamu suka dan kenapa?

2. Bila lagi nak berumah tangga? Dah jumpa calon yang sesuai?

3. Bersaing dengan nama-nama besar dalam industri? Apa pandangan anda tentang perkara ini?

n Kawan Lama,

Klang,Selangor.

ALIF

1. Dalam album Jangan Nakal ada satu yang Alif sendiri tulis. Bukan 'bias' tapi lagu tu disusun adunkan dengan baik, cantik dan indah sekali oleh produser hebat, Aubrey Suwito. Lagu Katamu adalah lagu kegemaran dan pada masa yang sama rasa bangga kerana lagu pertama yang Alif tulis mendapat sentuhan seorang yang hebat yang Alif kagumi.

2. Kalau boleh sekarang juga Alif nak menikah. Tapi teman wanita tak mahu.

3. Tak ada masalah sebenarnya nak bersaing dengan nama-nama besar. Tapi ia memang mencabar dan sangat mencabar tapi seronok.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails