Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sederhana dalam sempurna - Alif Satar

MAJLISNYA tampak begitu santai. Dihadiri sekitar 300 tetamu undangan yang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai, acara resepsi penyanyi Alif Satar, 24 dan pasangannya Shadila Halid, 30, berlangsung dengan adunan emosi yang pelbagai. Sekalipun bukannya sebuah majlis gilang-gemilang seperti mana perkahwinan selebriti lain, Alif lebih selesa untuk memilih gaya sederhana tetapi dilangsungkan dalam suasana yang sangat meriah, tanpa sebarang cela. Hadir sebagai salah seorang tetamu undangan, diakui, inilah kali pertama menyaksikan majlis perkahwinan selebriti yang sangat bersahaja tetapi cukup serba serbi, tidak berlebih-lebih dan sewajarnya dicontohi oleh artis lain. Bahkan suasana yang wujud pada majlis yang berlangsung di Marina Putrajaya Presint 5, Putrajaya itu juga begitu mengasyikkan dan menenangkan, mungkin disebabkan lokasinya yang dikelilingi tasik. Sedang selebriti lain gah mengumumkan barisan penaja yang menaja majlis perkahwinan mereka dari A ke Z, Alif pula lebih gemar untuk membeli sendiri setiap inci persalinan mahupun persiapan majlis, melainkan ada pihak yang ikhlas menghadiahkan. Segak menggayakan sut putih rekaan pereka fesyen terkemuka Bon Zainal, Alif memasuki dewan majlis dengan diiringi Shadila yang anggun menyarungkan gaun putih yang dibeli dari sebuah butik di ibu kota. Mengambil tempat duduk di meja utama dewan, acara pada malam Sabtu lalu dimulakan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan pemuzik orang kurang upaya (OKU) yang menamakan diri mereka sebagai Qaliph. Elemen kejutan Kemudian, sambil menikmati juadah nasi minyak yang sudah disediakan di atas meja, Alif ternyata agak terkejut apabila dikejutkan dengan persembahan kugiran yang dipersembahkan oleh rakan-rakan baiknya. Tidak cukup dengan itu, komposer terkenal dari Indonesia iaitu Panji Sakti tampil mengambil alih pentas mempersembahkan dua buah lagu khas untuk pasangan mempelai tersebut. Lebih menarik, lagu kedua yang dinyanyikan berjudul Helo Alif Helo Shadila baru sahaja dihasilkan sehari sebelumnya di kamar hotel, semata-mata mahu menjayakan persembahan yang tidak dirancang itu. Berkesempatan bertemu bual dengan Alif di penghujung majlis, katanya, dia terkejut kerana Panji sendiri yang menyanyikan lagu-lagu tersebut kerana sepanjang mengenali komposer itu, amat susah untuk melihatnya membuat persembahan sebegitu, apatah lagi di depan khalayak ramai. “Saya ingatkan majlis malam ini sekadar makan malam sesama ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat untuk meraikan perkahwinan ini. Tidak menjangkakan kejutan yang diberikan malam ini. “Jujur, saya sangat terharu apabila ada elemen-elemen seperti ini daripada individu yang amat saya hargai. Terima kasih tak terhingga kepada ahli keluarga saya yang menyempurnakan hari saya," katanya dalam nada hiba, tetapi jelas terpancar bibit kebahagiaan di air muka jejaka yang mula dikenali menerusi single Nakal itu. Tidak terhenti di situ, sambutan pada malam itu dihangatkan lagi dengan beberapa klip video ucapan tahniah daripada insan-insan tersayang. Sekalipun tampak klise, tetapi jelas keikhlasan yang tersembunyi di sebalik kata-kata yang terbit daripada setiap seorang daripada mereka. Memasuki klip seterusnya, ia menjadi klimaks keraian tersebut apabila tiba giliran klip video yang dihasilkan oleh ketiga-tiga adik perempuannya, Hamim, Ain dan Jim yang memaparkan gambar-gambar ketika zaman kanak-kanak keempat-empat adik-beradik tersebut. Tiba-tiba, bukan sahaja Alif dan Shadila, boleh dikatakan hampir seisi dewan mula kedengaran sedu tangis tetamu yang hadir tatkala klip yang begitu menyentuh hati dan perasaan itu dimainkan. Menurut kata Alif, dia tidak mampu mengekang air matanya daripada terus mengalir sepanjang klip hampir tiga minit itu ditayangkan di seluruh dewan. “Apabila ia melibatkan keluarga, pastinya ia membabitkan emosi saya. Tambahan pula, saya seorang ‘family guy’, jarang berjauhan dengan keluarga, Kini, apabila mengenangkan saya sudah berkahwin, memori-memori lalu bersama mereka terus terimbas satu-persatu bermain di fikiran. “Pastinya saya akan merindui momen manis bersama mereka kerana selepas ini akan tinggal berasingan dengan ibu bapa serta adik-beradik lain yang sememangnya manja dengan saya," ujar anak sulung itu. Tamat sahaja klip tersebut, dewan yang samar cahayanya kembali terang dan kelihatan ayahnya, Mohd. Satar, 48, juga ibunya, Norhafiza Mohamed, 54, serta adik-beradiknya sudah berdiri di hadapan dewan untuk memberikan ucapan. Berkongsi kata-kata nasihat dalam mengharungi ranjau liku rumah tangga oleh kedua-dua ibu bapanya, episod air mata diteruskan lagi kerana Alif menganggap orang tuanya amat berjaya melayari bahtera mahligai mereka sehingga mampu membesarkan dan mendidik anak-anaknya menjadi insan berguna hari ini. “Abah dan mak adalah idola saya dan peranan mereka dalam menjaga kami berempat menjadi sumber inspirasi buat saya. Insya-Allah, saya cuba yang terbaik sebagai seorang suami," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails