Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sha Dila bijak pikat hati keluarga Alif

JIKA sudah jodoh, faktor usia bukan satu halangan untuk mengikat janji setia. Itu yang menjadi asas utama dalam pernikahan penyanyi Alif Satar dengan Sha Dila. Jurang usia sebanyak enam tahun (Alif, 24, manakala Sha Dila, 30) tidak pernah dijadikan alasan untuk menafikan cinta antara mereka. Maka, tanggal 15 September lalu menjadi saksi penyatuan hati mereka berdua. Bagi meraikan pernikahan tersebut, Alif dan Sha Dila kemudian diraikan dalam sebuah resepsi yang diadakan pada 20 September lalu. Ringkas tetapi penuh kejutan. Begitulah suasana sekitar resepsi perkahwinan pasangan tersebut yang diraikan dengan penuh sederhana tetapi meriah dalam sebuah majlis di Marina, Putrajaya, hujung minggu lalu. Pelamin indah dihiasi dengan bunga berwarna putih serta dekorasi berlatarbelakangkan rona krim dan putih menyerlahkan lagi malam yang penuh bermakna buat pasangan mempelai itu. Seawal pukul 8.30 malam, pasangan mempelai yang ditata rias menggayakan pakaian sedondon berwarna putih dan berkonsepkan moden itu berjalan masuk ke dalam dewan tanpa diiringi paluan kompang mahu pun alunan muzik. Namun, secara bersahaja kedua-duanya terus menuju ke meja makan pengantin selepas beramah mesra dengan para tetamu yang hadir. Malam yang indah itu dimulakan dengan tayangan video rakaman momen bahagia sepanjang pernikahan mereka yang berlangsung pada 15 September lalu di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Disambung dengan persembahan daripada sebuah band yang diberi nama Persis, pasangan pengantin ternyata teruja kerana band itu terdiri daripada rakan-rakan baik Alif sendiri. Diselangi dengan kejutan demi kejutan, pasangan itu dikejutkan lagi dengan persembahan daripada komposer yang banyak terlibat menghasilkan lagu buat Alif iaitu Panji Sakti. Panji mendendangkan dua buah lagu yang diciptanya sendiri khas ditujukan buat Alif dan Sha Dila yang bertugas sebagai pegawai perhubungan di syarikat telekomunikasi Celcom itu. Istimewanya, lirik lagu yang ceria dan 'catchy' itu dihasilkan oleh Panji hanya dalam satu malam.
Selain Panji dan Persis, majlis resepsi perkahwinan Alif dan Sha Dila turut dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan Caliph Busker. Menariknya kumpulan muzik itu terdiri daripada golongan kurang upaya (OKU). "Saya memilih pemuzik yang terdiri daripada golongan OKU kerana ibu bapa saya membesar di sekeliling golongan istimewa ini. Jadi, saya mahu menampilkan kelainan dalam majlis yang penuh bermakna dalam hidup saya ini," ujar Alif. Tidak terhenti di situ, Alif dan Sha Dila dikejutkan lagi dengan penayangan video yang disediakan oleh tiga adik perempuan Alif iaitu Hamim, 22, 'Ain, 21, dan Jim, 16. Saat lampu dipadam dan video ditayangkan, suasana sebak terus menyelubungi seluruh dewan. Video yang menayangkan segala gambar Alif sejak dirinya dari zaman kanak-kanak sehinggalah meningkat dewasa itu benar-benar meninggalkan kesan kepada tetamu yang hadir. Usai itu, seluruh ahli keluarga Alif memberi ucapan di hadapan semua hadirin yang hadir. Suasana bertukar sebak apabila kesemua ahli keluarga Alif menitiskan air mata ketika memberi kata-kata ucapan selamat pengantin baharu buat mempelai. Sudah pastinya, empunya diri lebih terkesan dek video dan ucapan yang penuh bermakna. Kejutan diteruskan lagi dengan sebuah persembahan daripada Alif sendiri yang mendendangkan lagu bertajuk Kaulah Segalanya khas buat isteri tercinta. Bagaikan dunia milik berdua, hadirin cukup terpukau dengan alunan lagu indah menjalar segenap ruang dewan. Pada hujung majlis, pasangan pengantin diminta keluar dari dewan. Tertanya-tanya apakah yang bakal menanti di luar, nyata ia terjawab apabila mereka dikejutkan dengan panorama indah pancutan air yang mengikut rentak sebuah lagu popular Alif iaitu Lelaki Seperti Aku. Kegembiraan dan bahagia nyata terpancar pada wajah kedua mempelai atas segala momen kejutan yang dipersembahkan. Bertemu mata usai majlis pada malam itu, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar, memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila semua perancangan berjalan lancar. Bermula dari hari pernikahannya sehingga majlis resepsi pada malam itu, tiada cacatnya agenda yang disusun.
"Pertama sekali, saya rasa sangat bersyukur sebab segalanya dipermudahkan. Alhamdulillah dari hari pernikahan kami sehingga ke hari ini (malam itu), semuanya berjalan lancar. Ini semua berkat pertolongan daripada semua pihak, keluarga, rakan-rakan dan semua yang terlibat," ujarnya ceria memulakan perbualan. Alif memberitahu, perjalanan majlis pada malam itu semuanya diuruskan oleh keluarganya. Dia dan Sha Dila sama sekali tidak dibenarkan campur tangan dalam urusan mengendalikan majlis itu. "Semuanya keluarga dan rakan-rakan yang uruskan tetapi pada awalnya saya sudah nyatakan keinginan mengadakan sebuah majlis yang santai, terima kasih semua," ujarnya. Majlis yang penuh meriah itu turut dihadiri rakan artis yang lain antaranya Datuk Aznil Nawawi, Tomok dan isteri, Shahrul daripada kumpulan Shiro, Azwan Ali, Wati Sadali, Joey serta ramai lagi. Alif matang, Sha Dila berdikari Mengimbau kembali detik perkenalan lalu, pasangan itu nyata tidak pernah lupa detik-detik manis pertemuan mereka. Menurut Sha Dila, kali pertama bertemu Alif ialah ketika penggambaran sebuah program di sebuah stesen televisyen tempatan. Bertemu kembali selepas tiga tahun dalam program yang lain, perkenalan mereka berlanjutan sehinggalah ke gerbang perkahwinan. "Pada awal perkenalan, saya juga berasa tidak yakin kerana berkawan dengan lelaki yang lebih muda tetapi sangkaan saya meleset setelah mengenali hati budinya. Ternyata dia seorang yang lebih matang daripada usianya. "Dia banyak memberi bimbingan kepada saya. Baik dalam soal agama dan hidup, dia selalu memberikan nasihat yang berguna dan sejak berkawan dengan dia. Saya banyak berubah. Dia lelaki terbaik yang pernah saya jumpa," ujar Sha Dila ceria. Ditanya apakah daya tarikan yang ada pada Sha Dila, Alif dengan ceria memberitahu. Di matanya, Sha Dila seorang wanita yang berdikari selain pandai mengambil hati keluarganya. "Dia sangat berdikari dan cantik. Sebenarnya dia tidak pernah kenal dan tahu siapa saya. Tetapi, apa yang penting, dia pandai mengambil hati ibu bapa dan adik-adik perempuan saya," ujarnya sambil tersenyum.
Bulan madu di Langkawi Mengulas mengenai lokasi berbulan madu, pasangan itu memilih untuk meluangkan masa bersama dalam negara sekitar hujung tahun nanti. Memilih Langkawi sebagai lokasi, Alif mempunyai sebab yang tersendiri. "Saya memilih Langkawi kerana lokasinya dekat dan dalam negara sahaja. Kami ada terjumpa sebuah tempat yang sangat cantik. Jadi kami memilih untuk menghabiskan masa berbulan madu di sana "Lagipun, isteri saya sekarang tiba-tiba mengalami fobia untuk menaiki kapal terbang. Jadi, saya putuskan untuk tidak pergi ke luar negara bagi meraikan bulan madu kami," selorohnya bersahaja. Karier seperti biasa Mengulas tentang perjalanan kariernya selepas ini, Alif memberitahu, pada bulan Oktober ini, dia akan terbang ke Jakarta, Indonesia untuk mempromosikan single Akhiri Penantianku. "Sebenarnya pihak Sony Music Indonesia yang menjemput saya untuk membuat jelajah di sana. Saya akan berada di sana selama seminggu bermula 17 hingga 20 Oktober ini untuk mempromosikan lagu Akhiri Penantianku. Selepas Jakarta, saya akan ke Bandung dan seterusnya ke Bali," ujarnya mengakhiri perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails