Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Amanda Imani. Show all posts
Showing posts with label Amanda Imani. Show all posts
Amanda Imani Tidak Putus Asa Kejar Dunia Artis
Hebat sangatkah Amanda Imani?
ADA orang tak puas hati dengan penyanyi Amanda Imani yang dapat jadi juri untuk Festival Muzik Star Crystal yang berlangsung Romania baru-baru ini.
Festival itu untuk memperingati Michael Jackson. Khabarnya Amanda juga menyanyi pada festival itu mewakili Malaysia. Miss J fikir, setakat menyanyi sudahlah tapi jangan kata mewakili Malaysia.
Selain Amanda juri lain turut disertai oleh penyanyi dari negara seperti Itali, Sweden, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Turki. Mungkin penyanyi yang ikut serta sama taraf dengan Amanda saja, asal tau menyanyi. Miss J tengok orang kita ini kalau dapat pergi ke pertandingan luar negara bangga bagai nak rak. Padahal bertaraf pertandingan karaoke kenduri kahwin saja.
Miss J fikir tak perlulah buang masa nak pertikai layak atau tidak Amanda jadi juri. Sebab kita tahu tahap pertandingan taraf bawah khemah saja. Lalu jurinya pun taraf yang sama.
Sebenarnya Miss J pun tak berapa tahu Amanda seorang penyanyi. Cuma Miss J banyak tengok aksi dia dalam majalah dan akhbar, pakai tak cukup kain. Tak apalah, biasalah artis. Kalau tak selak tayang paha, tak sah jadi artis.
Cuma Miss J nak pesan, bila balik nanti walaupun dapat jadi juara, tak payahlah cakap mengharumkan" nama Malaysia. Nama Malaysia sudah lama harum dalam bidang-bidang yang lebih mencabar.
Amanda lali dicemuh
Amanda Imani Pelik Tidak Popular Di Negara Sendiri
KUALA LUMPUR: Penyanyi Amanda Imani berasa pelik kerana dia masih kurang popular di negara sendiri walaupun sudah memberikan tumpuan sebaik mungkin pada dunia seni tempatan.
Penyanyi berusia 22 tahun ini berkata, apa yang lebih menghairankan apabila dia mendapat undangan nyanyian dan pengiktirafan secara meluas di luar negara berbanding di negara sendiri.
"Saya akui masih kurang dikenali di negara sendiri. Namun, saya cuba fokus sepenuh daya untuk mengukuhkan nama.
"Yang peliknya, saya menerima pengiktirafan dan undangan nyanyian yang meluas di luar berbanding di negara sendiri," katanya kepada mStar Online.
Amanda ditemui pada majlis pelancaran dua lagu terbaharunya berjudul Fobia Cinta dan Like A Boss di Hotel Grand Millenium, Bukit Bintang di sini, petang Selasa.
Amanda berkata, bagaimanapun dia enggan terburu-buru atau bersaing dalam meraih populariti kerana percaya kepada caranya sendiri.
"Setiap orang ada cara dan jalan sendiri. Saya tidak mahu bersaing atau berlumba dengan sesiapa.
"Biarlah saya melangkah satu demi satu kerana saya seorang yang berprofil rendah dan tiada kontroversi," katanya.
Ditanya mengenai perancangan memiliki album penuh, Amanda berkata, keadaan pasaran semasa yang tidak menentu menyebabkan dia lebih senang muncul dengan lagu 'single' buat masa ini.
"Saya artis bebas dan bukan bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman besar jadi lebih baik keluarkan 'single' pada satu-satu masa.
"Lagi pun, jika buat album penuh saya akan terikat dan tidak dapat bereksperimen dengan pelbagai jenis muzik sepenuhnya," katanya.
Terbaharu, Amanda bakal mewakili delegasi negara bersama lapan artis lain pada festival muzik Midem 2013 pada 26 hingga 29 Januari ini di Cannes, Perancis.
'Tatu Itu Hanya Hiasan' - Amanda Imani
PETALING JAYA: Penyanyi Amanda Imani menjelaskan lakaran tatu yang terdapat pada kaki kirinya hanyalah sekadar pelekat tatu hiasan yang tidak kekal.
Amanda, 21, berkata, ia merupakan pelekat yang dipakainya sebagai aksesori ketika mengadakan persembahan pentas dan boleh dibuang pada bila-bila masa dan ia bukanlah tatu kekal seperti mana yang diperkatakan.
"Kelakar rasanya apabila orang perhatikan saya sampai ke buku lali. Tetapi jujur saya katakan itu bukan tatu sebenar.
"Ia merupakan hadiah pemberian rakan saya dan hanyalah pelekat biasa yang kelihatan seperti tatu.
"Saya harap tiada yang ambil peduli tentang gosip remeh itu," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Amanda diminta mengulas laporan menerusi ruangan pojok sebuah akhbar pada Ahad lalu yang mempersoalkan lakaran tau pada kakinya.
Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbaharu, Amanda bakal mengarah sendiri klip video lagunya iaitu, Fobia Cinta buat pertama kali.
Walaupun tidak berpengalaman di bidang pengarahan, Amanda menganggap ia sebagai satu cabaran untuk melihat sejauh manakah kemampuannya di bidang itu.
"Sebab itu saya mengarah klip video sendiri. Sama ada ia menjadi atau tidak, klip video itu adalah lagu saya.
"Bagaimanapun saya tidak melakukan sesuatu bidang dengan pengetahuan yang kosong. Sebaliknya, sejak dua tahun lalu, saya mula mengambil kesempatan untuk belajar hal-hal di belakang tabir agar skop kerjaya saya lebih meluas," tuturnya.
Tambah penyanyi seksi itu, andai kata klip video itu berjaya mendapat perhatian ramai, dia tidak teragak-agak untuk mengembangkan bakatnya itu dengan mengarahkan klip video penyanyi lain pula.
"Itu semua masih dalam perancangan. Insya-Allah, jika bakat bidang pengarahan klip video disukai ramai, apa salahnya untuk cuba mengarah klip video penyanyi lain pula bukan?" katanya.
Amanda Imani Jarang Muncul Depan Khalayak Kerana Tiada Jemputan
KUALA LUMPUR: Penyanyi Amanda Imani menafikan dakwaan kononnya dia bersikap memilih dan jarang muncul di majlis atau tempat awam kerana menganggap dirinya eksklusif.
Sebaliknya, penyanyi berusia 21 tahun itu berkata, dia jarang muncul di depan khalayak umum kerana tidak mendapat undangan pihak penganjur yang kurang memberikan peluang kepadanya.
“Saya tidak pernah anggap diri ini eksklusif dan tidak mahu muncul pada majlis atau acara di tempat umum. Dakwaan itu timbul kerana salah faham.
“Kalau ada yang beranggapan begitu, ia adalah sesuatu yang tidak disengajakan. Bagaimana saya hendak muncul di khalayak jika penganjur jarang mengundang saya?” katanya ketika ditemui pada acara kejohanan kek coklat kali keenam anjuran Great Eastern dan Rafflesia di sini, Sabtu.
Penyanyi lagu Selamilah Cinta ini berkata, selepas tiga tahun berkecimpung dalam bidang seni, dia berharap agar pihak penganjur dan penerbit acara memberikan peluang untuk dia terlibat dalam program di tempat awam.
“Saya mahu muncul di tempat awam dan menonjolkan diri agar lebih dikenali oleh masyarakat.
“Sehingga kini, saya masih tidak menerima banyak peluang untuk menyanyi di tempat awam atau terbabit dalam program kemasyarakatan yang membolehkan saya mendekati khalayak,” katanya.
Mengenai kerjaya, Amanda berkata dia baru sahaja selesai merakamkan lagu terbaru ciptaannya berjudul Fobia Cinta yang bakal diputarkan di radio tidak lama lagi.
“Saya baru selesai merakamkan lagu Fobia Cinta ciptaan saya sepenuhnya. Pada kali ini, saya terlibat sepenuhnya pada penerbitan dan penulisannya.
“Malah, saya juga akan mengarahkan klip video lagu itu berdasarkan idea dan konsep sendiri. Video itu akan menjalani penggambaran pada pertengahan September ini,” katanya.
Amanda menang berganda
1 Syawal yang disambut pada Ahad lalu bagaikan kemenangan berganda buat penyanyi Amanda Imani. Sudah pasti hatinya melonjak kegembiraan apabila meraih anugerah Penampilan Artis Terbaik daripada Organizacion de Festivales Europeos de Musica (ORFEUM) dan World Association of Festivals and Artists (WAFA) sempena pertandingan Universong: The Canary Island International Song Festival (Festival Universong) yang berlangsung di Sepanyol pada 21 Julai lalu.
Kemenangan tersebut menyebabkan sambutan lebaran tahun ini cukup istimewa apabila dia dihujani kalungan tahniah daripada sanak saudara dan rakan taulan. Senyuman juga tidak pernah putus lantaran impiannya untuk mencatatkan sesuatu dalam resume anak seninya tercapai.
Alhamdulillah, impian saya untuk bawa satu anugerah dari Festival Universong akhirnya tercapai. Sememangnya ia satu pengalaman berharga sebab perlu bersaing dengan lebih daripada 20 peserta seluruh dunia.
Sudah pastinya, peserta yang bertanding bukan calang-calang orang. Memang gugup jugalah dengar kehebatan nyanyian mereka, tapi semuanya berjalan lancar," syukurnya.
Katanya, Festival Universong sangat unik kerana setiap penyertaan membabitkan lagu ciptaan sendiri sepenuhnya. Lantaran itu, Amanda memilih lagu ciptaan bersama Ajai iaitu Jatuh Cinta Kasih pada pertandingan berprestij tersebut.
Antara negara yang menjayakan Festival Universong termasuk Romania, Sepanyol, Armenia, El Salvador, Lituana, Poland, Rusia, Cuba, Malta, Mexico, Perancis, Ukraine, Puerto Rico dan Itali. Sementara Malaysia dan Thailand adalah dua wakil dari negara Asia.
Jujurnya memang saya rasa kurang yakin apabila kehebatan penyanyi luar negara membuat persembahan hebat. Macam-macam stail dan adalah rasa tergugat juga. Tapi saya cuba kawal emosi dan buat yang terbaik dalam pertandingan itu," ceritanya lagi.
Takut mercun
Mengajak Pemenang Vokal Terbaik Artis Baru Wanita di Anugerah Planet Muzik 2011 ini bercerita tentang kemeriahan beraya pada zaman kanak-kanaknya membuatkan Amanda tertawa manja.
Sebenarnya, saya memang suka main mercun dan bunga api masa kecil-kecil dulu. Setiap kali pulang ke kampung di Kuantan, Pahang, sakan saya bermain mercun. Langsung tak takut, walaupun mercun pernah meletup di depan mata.
Tapi bila dah 10 tahun lepas itu, tiba-tiba saya takut dengan mercun. Paling takut bila mercun meletup depan muka. Mungkin sebab masa itu kesedaran tinggi dan saya takut kalau sesuatu berlaku tiba-tiba.
Lagi satu, saya juga pasti terkenangkan zaman kutip duit raya. Mesti nak kutip duit raya, kumpul-kumpul nak beli permainan. Memang seronoklah masa itu. Keinginan juga berubah setiap tahun, sebab itu kena kumpul duit raya banyak," ceritanya menutup bicara baru-baru ini.
Cinta tidak menjadi Amanda
PENAMPILANNYA yang sering dilihat seksi sentiasa meletakkan diri penyanyi muda ini dalam kancah kontroversi. Malah tanpa di sedari, namanya mula meniti di bibir peminat, selepas satu-satu kisah peribadinya menghinggapi gosip hiburan tanah air.
Bagaimanapun hadir dengan pakej suara lengkap memberi satu lagi sebab untuk Amanda Imani, 20, berjuang demi kelangsungan karier yang baru sahaja bertatih.
Menurut Amanda jauh dalam sudut hati, dia langsung tidak mahu dikenali menerusi kontroversi dirinya. Ini kerana dia percaya bakat yang dimilikinya mampu membawa namanya ke suatu tahap yang membanggakan.
Baru sahaja reda dengan kisah penampilannya yang dikatakan agak berani, nama Amanda kembali menjadi tumpuan kerana dituduh sebagai wanita perampas, apabila menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penyanyi dari negara jiran Syarif Sleeq.
Menyangkal dakwaan itu Amanda memberitahu bahawa dia sebenarnya adalah mangsa kepada hubungan yang tidak jujur.
“Ramai yang tidak tahu perkara sebenar. Saya tidak marah mereka kerana melemparkan pelbagai tuduhan kepada saya.
“Apa yang sebenarnya terjadi adalah saya terpedaya dengan ketidakjujuran seseorang,” katanya ketika hadir ke untuk sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini
Terpalit dengan kisah cinta tidak menjadi, Amanda memberitahu tiada sebab untuk dirinya merasa serik bercinta lagi.
Bagi Amanda kegagalan kisah cintanya itu menjadi pengajaran berguna buatnya untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan
“Ia memang pengalaman pahit saya. Namun itu tidak bermakna saya tidak mahu bercinta lagi selepas ini.
“Mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk memilih pasangan,” jelasnya.
Mengakui dia tiada masalah untuk menjalinkan hubungan cinta jarak jauh, Amanda memberitahu apa yang penting di dalam perhubungan cinta adalah kejujuran.
“Rasanya saya tiada masalah untuk mempunyai kisah cinta jarak jauh, ini kerana dengan bantuan teknologi kita akan sentiasa berasa dekat.
“Bagaimanapun apa yang penting dalam hubungan cinta adalah kejujuran di antara pasangan,” katanya.
Tidak mahu lagi mengingati kisah cinta yang sudah berlalu, menurut Amanda tiada sebab untuk dirinya memaafkan seseorang yang tidak mengakui kesalahan.
“Kalau boleh saya mahu melupakan kisah ini. Dan persoalan sama ada saya sudah memaafkan dirinya bukan satu perkara yang harus dibangkitkan ini kerana dia sendiri tidak mengakui kesalahan dirinya, jadi untuk apa saya beri kemaafan,” katanya.
Baru sahaja melancarkan single terbarunya bertajuk Cemburu menurut Amanda dia sangat bersyukur kerana banyak di beri peluang untuk membuat persembahan di luar negara.
“Peluang membuat persembahan di luar negara memberi kelebihan kepada saya untuk menimba banyak pengalaman.
“Bagaimanapun saya tetap berharap agar suatu hari nanti karier saya sebagai penyanyi juga mampu bersinar di negara ini,” katanya berharap.
Ditanya sama ada dia akan berhijrah menempa nama di negara orang jika nasibnya sebagai penyanyi di negara ini tidak memuaskan, menurut Amanda memang ada niat hatinya untuk mencipta nama di luar negara.
Bagaimanapun buat masa ini dia lebih rela bersusah payah di negara kelahirannya dahulu.
“Kalau diikutkan saya mahu mencuba nasib di Amerika Syarikat, ini kerana pasaran di sana lebih luas.
“Namun untuk berputus asa di negara sendiri bukanlah diri saya kerana saya percaya masih terdapat peluang untuk penyanyi baru seperti saya untuk bertapak,” katanya yang akan mencuba pelbagai genre nyanyian di dalam mencari kelainan
Selesa dengan penampilan
Melayari kehidupan remaja, tiada apa yang dapat membezakan Amanda dari remaja lain di luar sana.
Bagi Amanda penampilan merupakan perkara yang amat dititikberatkan dirinya. Malah sebagai gadis, dia lebih selesa untuk mencipta gaya penampilannya sendiri.
“Mempunyai potongan badan yang berbentuk, menyebabkan saya lebih berhati-hati memilih baju.
“Untuk mengatakan saya sengaja memilih untuk menggayakan pakaian terdedah adalah tidak benar.
“Ini kerana konsep fesyen yang saya amalkan adalah untuk kelihatan selesa,” katanya.
Tidak akan mengubah penampilan dirinya semata-mata takut dengan kontroversi, itu merupakan kata-kata tegas dari gadis manis ini.
Bagi Amanda dia hanya akan menyesuaikan cara pemakaiannya dengan keadaan sekelilingnya, namun untuk menjadi hipokrit tentunya itu bukan dia.
“Saya tidak pernah merasakan apa yang dipakai terlalu seksi, ini kerana ramai lagi diluar sana yang lebih daring daripada saya.
“Bagaimanapun saya tidaklah sebodoh yang disangka. Di dalam menentukan penampilan, saya akan tetap mengambil inisiatif untuk menyesuaikan setiap pakaian saya dengan majlis yang dihadiri,” katanya sebelum menutup perbualan pada petang itu.
Maaf andai seksi saya keterlaluan – Amanda Imani
ISU berpakaian seksi di kalangan artis hari ini menjadi perkara biasa, terutamanya di pentas acara rasmi. Masing-masing seperti berlumba-lumba untuk mendedahkan bahagian badan, terutamanya di kalangan artis wanita.
Biarpun mengetahui kesan jangka panjang terutama kecaman masyarakat Malaysia yang cukup sensitif bab pakaian, namun fesyen ‘terdedah’ tetap menjadi pilihan.
Selalunya, artis yang yang sedang merangkak mencipta nama menjadi mangsa.
Bila sudah dihentam teruk, barulah artis terbabit meminta maaf, esok lusa buat lagi.
Situasi yang hampir serupa terjadi kepada penyanyi Amanda Imani yang berani menyarung gaun terdedah bahagian belakang pada majlis perkahwinan Norman Hakim dan Memey Suhaiza di ibu kota, minggu lalu.
Pemenang Vokal Terbaik Artis Baru Wanita di Anugerah Planet Muzik 2011 ini dikecam lantaran keberaniannya memakai baju berwarna hitam berkenaan.
Apa sudah jadi ni? Hendak cepat popular sangatkah sampaikan sanggup mendedahkan bahagian badan sebegitu rupa?
“Saya minta maaf andai ada yang tidak berkenan dengan cara pemakaian saya. Ini kali pertama saya dihentam teruk sebegini,” jujur wanita berusia 19 tahun ini ketika ditemui di Bangsar, Rabu lalu.
Alasan Amanda, dia hanya memenuhi tema majlis perkahwinan itu iaitu Manhattan New York yang mahukannya kelihatan lebih elegan dan sofistikated. Kepakaran pereka pakaian Wan Huzairil merealisasikan impian Amanda Imani.
“Saya tak akan memakai sesuatu baju andai tidak yakin. Itu dah jadi prinsip hidup saya. Lagi pun, saya menghormati tema majlis,” ungkapnya.
Ditanya tentang pandangannya selepas pakaian itu siap dijahit Wan Huzairil, Amanda ada hujahan tersendiri berhubung perkara tersebut.
“Gaun itu tidak terlalu seksi sebab saya ada definisi tersendiri tentang seksi. Seksi tidak semestinya secara fizikal tetapi lebih menjurus kepada keperibadian seseorang menguruskan kehidupan,” jelasnya.
Mengajukan persoalan sama ada penyanyi lagu Selamilah Cinta bersedia untuk menerima cemuhan masyarakat dengan idealogi seksinya, wanita ini terdiam seketika.
“Sebelum ini pun ada yang mempertikaikan cara pemakaian saya di umum. Tapi saya tak kisah dan terima semuanya. Kalau nak tahu, saya pernah memakai baju tertutup litup sewaktu membuat persembahan tapi orang tetap cakap saya seksi.
“Jadi, sama ada yang bertutup litup atau terdedah, saya buat kesimpulan, tak payah nak ambil hati dengan apa yang orang cakap. Asalkan saya tahu ia tidak melampau dan keterlaluan,” ujarnya.
Selamilah Cinta Amanda Imani
Penyanyi berusia 20 tahun terus berharap lagunya mendapat tempat di hati pendengar
SUDAH meraih banyak pengiktirafan di luar negara tetapi nama Amanda Imani belum menjadi sebutan sebagai penyanyi yang dikenali ramai kerana lagu nyanyiannya.
Bahkan, nama Amanda Imani itu sendiri setakat mungkin masih kurang dikenali secara meluas sedangkan publisiti mengenai dirinya agak meluas. Kerap juga cerita mengenai perkembangan dan pencapaiannya dilaporkan dalam akhbar dan majalah.
Dapat membawa pulang satu anugerah, cukup memberi kenangan yang tidak boleh dilupakan. Kemenangan tersebut adalah suatu perkara yang tidak disangka. Saya juga gembira diberi kesempatan membuat persembahan dengan menyampaikan lagu Selamilah Cinta. - Amanda Imani, penyanyi.
Penyanyi tinggi lampai berusia 20 tahun itu, sehingga kini masih berharap supaya beberapa lagunya seperti Selamilah Cinta dapat disiarkan oleh radio supaya orang ramai mengetahui pembabitannya dalam dunia seni.
“Terkilan ada, bangga pun ada. Terkilan kerana radio belum menyiarkan lagu-lagu nyanyian saya dengan meluas. Bangga kerana pembabitan saya dalam dunia hiburan semakin diiktiraf.
“Memenangi hadiah Vokal Terbaik bagi Artis Baru Wanita di Anugerah Planet Muzik di Singapura, baru-baru ini adalah antara pencapaian yang paling membanggakan. Ia cukup bermakna sekali,” katanya.
Berikutan dengan pengiktirafan itu, Amanda menegaskan, dia akan terus berusaha sedaya upaya untuk bertahan dalam dunia yang diceburi dengan harapan suatu hari nanti menghasilkan kejayaan yang diharapkan.
Katanya, kejayaan di Anugerah Planet Muzik Julai lalu turut memberikan pengalaman berharga yang ditimba sepanjang berada di sana.
"Saya dapat bertemu dengan ramai orang saya tidak pernah jumpa. Bukan setakat artis tempatan, malah dapat berkenalan dan mengenali dengan lebih dekat lagi dengan penyanyi Indonesia dan Singapura. Tidak sekadar dapat berinteraksi, tapi turut dapat meluaskan rangkaian.
"Dapat membawa pulang satu anugerah, cukup memberi kenangan yang tidak boleh dilupakan. Kemenangan tersebut adalah suatu perkara yang tidak disangka. Saya juga gembira diberi kesempatan membuat persembahan dengan menyampaikan lagu Selamilah Cinta.
"Saya banyak belajar dari apa yang sudah lalui. Segala kerja keras semuanya berbaloi dan mendapat pulangan memuaskan hati,’ katanya. Melengkapkan lagi profil kejayaannya, Amanda juga pernah memenangi anugerah Bakat Muda Terbaik dan tempat kedua Lagu Asal Terbaik menerusi lagu Selamilah Cinta di World Association of Festivals dan Artists (WAFA) di Bulgaria, Mei lalu.
Mengenai perkembangan terkini dirinya, Amanda berkata, dia akan menghasilkan tiga lagu (single) baru dan kali ini bekerja dengan dua artis luar negara dan seorang karyawan muzik tempatan.
Merahsiakan gerangan ketiga-tiga individu terbabit, tetapi akan mengumumkan dalam masa terdekat. Satu antara tiga single terbarunya itu akan menemui pendengar dan yang seterusnya menyusul pada awal tahun hadapan.
Katanya, menerusi ketiga-tiga single ini, Amanda akan tampil dengan pendekatan yang agak berbeza berbanding dengan konsep yang pernah dibawa sebelum ini.
Amanda Imani “Buang Masa” Kerana Rambut
WALAUPUN baru sahaja berusia 20 tahun, penyanyi Amanda Imani sudah pun mencatat kejayaan yang tersendiri apabila dia berjaya membawa pulang dua anugerah bagi kategori Lagu Asal Terbaik dan Penyanyi Baru Terbaik pada pertandingan 20th International Pop Music Festival Discovery 2011 di Varna, Bulgaria, Mei lalu.
Kejayaan Amanda memberikan ruang luas buatnya untuk mengembangkan kerjaya sebagai seorang penyanyi dan justeru itu pada usia remaja, dia sudah mampu membiayai kos kehidupan sendiri tanpa bantuan keluarga.
Bagaimanapun, kata Amanda, ini tidak bermakna dia perlu boros dalam setiap apa yang ingin dibelanjakan.
“Walaupun mempunyai duit poket sendiri, tidak bermakna saya akan menghabiskan wang dengan memiliki barangan yang tidak berfaedah. Tetapi saya akan membeli barangan yang berjenama jika ia benar-benar diperlukan.
“Lihatlah koleksi-koleksi kesayangan saya ini, tidak semua barangan saya adalah berjenama. Cuma saya gemar membeli sesuatu yang boleh memberi kenangan manis buat diri sendiri,” katanya.
Tas tangan jenama Channel
Merah jambu merupakan warna kegemaran Amanda. Justeru itu, beg ini akan digayakan pada acara karpet merah atau majlis-majlis hiburan tertentu.
Kasut tumit tinggi
Walaupun memiliki tubuh badan yang tinggi, Amanda tetap gemar menggayakan kasut bertumit tinggi yang dibeli dari negara Sepanyol. Kata Amanda, kasut tersebut sudah pun berusia empat tahun dan ia masih lagi selesa digunakan.
Topi
Kata Amanda, di rumahnya sahaja, dia mempunyai koleksi lebih daripada 10 buah topi dengan reka bentuk dan warna yang berbeza. Baginya, dia berasa seperti tidak lengkap keluar rumah tanpa bergaya dengan topinya itu.
Penggulung rambut
Rambut adalah aset buat penyanyi jelita ini dan kerana itu penggulung rambut menjadi teman setianya di bilik. Hampir setiap hari Amanda sanggup “membuang” masanya di depan cermin untuk menggulung rambutnya agar kelihatan ikal mayang.
Pengilat kuku
Tidak lengkap buat Amanda jika ke luar negara tanpa membeli pengilat kuku. “Saya suka warna-warna terang pada kuku saya ini dan antara jenama pengilat kuku yang menarik minat saya ialah Bonny M,” katanya.
Rantai nama
Rantai yang tertulis nama “Amanda” ini telah dibuat ketika dia berusia 14 tahun lagi. Walaupun harganya murah, tetapi kenangan rantai ini begitu besar buatnya.
Jam tangan
Kalau nak tahu, selepas membeli kereta Myvi berwarna merah jambu, jam jenama Channel adalah barangan kedua termahal yang pernah dibeli oleh Amanda. Baginya dia tidak kisah jika membeli jam yang sedikit mahal kerana pemakaian jam adalah amat penting dalam kehidupan sehariannya.
Gelang tangan
Gelang tangan jenama House of Harlow daripada Nicole Ritchie berharga RM360 ini telah dibeli secara dalam talian. Kata Amanda ia menjadi kesayangannya kerana gelang tersebut memiliki nilai klasik yang tersendiri.
Rantai kunci
Sekali pandang, nampak seperti rantai tangan tetapi ia merupakan sebuah rantai kunci. Kata Amanda, rantai kunci tersebut menarik perhatiannya kerana ia berbentuk kuda di mana dia begitu meminati sukan kuda.
Minyak wangi
Amanda mempunyai pelbagai koleksi barangan jenama Juicy Couture kerana menyukai reka bentuknya yang feminin dan urban. Minyak wangi ini pula sentiasa berada di dalam beg tangannya untuk kegunaan pada bila-bila masa.
Pelembap kulit
Begitu juga dengan pelembap kulit jenama Saphora, ia turut disimpan di dalam beg tangannya. Kata Amanda, ia sesuai dipakai selepas membersihkan solekan pada wajah untuk tampak lebih segar.
Langkah berani Amanda

NAMANYA agak asing di persada muzik tanah air tetapi kini sudah mula dikenali. Itulah Amanda Imani, berusia 18 tahun yang tidak perlukan gantian namanya yang lain. Cuma yang diperlukan adalah cara untuk mengukuhkan nama agar sentiasa diingati oleh peminat seni tanah air.
Amanda perlu memastikan kemunculannya benar-benar diterima. Sudah pasti dengan pakej dan bakat yang ada, wajah kacukan Melayu, Turki, Siam dan Cina serta suara tersendiri menjadikan dia setaraf dengan penghibur yang ada masa kini.
"Amanda bukan dilahirkan di kalangan artis realiti rancangan televisyen. Mereka bertuah kerana mendapat pendedahan lebih berbanding artis seperti Amanda ini yang tiada publisiti diberikan. Banyak perkara yang perlu dilakukan Amanda," tegas Amanda.
Dia bermula daripada bawah dan Amanda perlu bertatih untuk meniti satu demi satu tangga kejayaan. Dia yakin mampu bersaing secara sihat dengan mereka. Dengan cara apa pun, Amanda tidak akan patah semangat dan dan pandang ke belakang.
Gadis yang meminati kerja-kerja amal ini juga berhati-hati kerana setiap sen yang dikeluarkan itu adalah titik peluh daripada keluarganya sendiri. Amanda amat terhutang budi kepada ibu bapanya yang sanggup melaburkan sejumlah wang bagi merealisasikan impiannya itu.
Selain itu, banyak pengorbanan yang dilakukannya sebelum ini seperti berkejar-kejar untuk menghasilkan album baru berjudul Amanda Imani yang memuatkan tujuh buah lagu Melayu dan dua bonus video muzik itu.
Ini kerana pelajar program ijazah dalam bidang psikologi dan komunikasi di Kolej SEGi Kota Damansara ini mahu usahanya berbaloi lantas mencurahkan sepenuh perhatian sepanjang penghasilan album berkenaan.
"Alhamdulillah, esok (9 November) buah hati saya akan diedarkan di seluruh negara oleh Universal Music. Saya juga berharap dapat diterima baik oleh semua lapisan masyarakat," katanya.
Amanda yang memulakan kerjaya seni sejak berusia 15 tahun ini juga berdebar menanti reaksi peminat apabila album yang memuatkan lagu seperti Selamilah Cinta, Cinta Kasih, Cinta Seluas Angkasa, Terima Kasih, Mungkinkah, Mewarnai Hidupku dan Kita Sama Sahaja (duet bersama Ajai).
"Amanda seorang yang bercita-cita besar. Kalau boleh dapat terus kembangkan bakat seni termasuk memperbanyakkan ciptaan lagu sehingga ke peringkat antarabangsa. Bidang ini menjadi darah daging Amanda dan rasa penyesalan tidak pernah wujud malah bersemangat untuk terus maju ke hadapan," kata gadis yang mahir bermain piano dan gitar.
Dua buah lagu yang telah dimuat turun dirinya sendiri dalam laman web Youtube sejak awal tahun lalu iaitu Selamilah Cinta dan I'm Free (Yeah) dalam versi bahasa Inggeris mendapat reaksi baik kalangan peminatnya.
Penyanyi yang meminati Alicia Keys ini juga tidak menang tangan untuk menjawab komen yang diberikan melalui www.amanda-imani.com dan www.myspace.com/AmandaImani.
Amanda antara artis yang menjayakan Konsert Kick-off Monsoon Cup 2009 dianjurkan bersama majalah URTV, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB). Ia bakal berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu pada 1 Disember ini.
Amanda tidak sabar membuat persembahan di negeri menemukan dirinya dengan Ajai yang kemudian menyarankan Amanda untuk merakamkan lagu.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
