Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta tidak menjadi Amanda


PENAMPILANNYA yang sering dilihat seksi sentiasa meletakkan diri penyanyi muda ini dalam kancah kontroversi. Malah tanpa di sedari, namanya mula meniti di bibir peminat, selepas satu-satu kisah peribadinya menghinggapi gosip hiburan tanah air.

Bagaimanapun hadir dengan pakej suara lengkap memberi satu lagi sebab untuk Amanda Imani, 20, berjuang demi kelangsungan karier yang baru sahaja bertatih.

Menurut Amanda jauh dalam sudut hati, dia langsung tidak mahu dikenali menerusi kontroversi dirinya. Ini kerana dia percaya bakat yang dimilikinya mampu membawa namanya ke suatu tahap yang membanggakan.

Baru sahaja reda dengan kisah penampilannya yang dikatakan agak berani, nama Amanda kembali menjadi tumpuan kerana dituduh sebagai wanita perampas, apabila menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penyanyi dari negara jiran Syarif Sleeq.

Menyangkal dakwaan itu Amanda memberitahu bahawa dia sebenarnya adalah mangsa kepada hubungan yang tidak jujur.

“Ramai yang tidak tahu perkara sebenar. Saya tidak marah mereka kerana melemparkan pelbagai tuduhan kepada saya.

“Apa yang sebenarnya terjadi adalah saya terpedaya dengan ketidakjujuran seseorang,” katanya ketika hadir ke untuk sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini

Terpalit dengan kisah cinta tidak menjadi, Amanda memberitahu tiada sebab untuk dirinya merasa serik bercinta lagi.

Bagi Amanda kegagalan kisah cintanya itu menjadi pengajaran berguna buatnya untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan

“Ia memang pengalaman pahit saya. Namun itu tidak bermakna saya tidak mahu bercinta lagi selepas ini.

“Mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk memilih pasangan,” jelasnya.

Mengakui dia tiada masalah untuk menjalinkan hubungan cinta jarak jauh, Amanda memberitahu apa yang penting di dalam perhubungan cinta adalah kejujuran.

“Rasanya saya tiada masalah untuk mempunyai kisah cinta jarak jauh, ini kerana dengan bantuan teknologi kita akan sentiasa berasa dekat.

“Bagaimanapun apa yang penting dalam hubungan cinta adalah kejujuran di antara pasangan,” katanya.

Tidak mahu lagi mengingati kisah cinta yang sudah berlalu, menurut Amanda tiada sebab untuk dirinya memaafkan seseorang yang tidak mengakui kesalahan.

“Kalau boleh saya mahu melupakan kisah ini. Dan persoalan sama ada saya sudah memaafkan dirinya bukan satu perkara yang harus dibangkitkan ini kerana dia sendiri tidak mengakui kesalahan dirinya, jadi untuk apa saya beri kemaafan,” katanya.

Baru sahaja melancarkan single terbarunya bertajuk Cemburu menurut Amanda dia sangat bersyukur kerana banyak di beri peluang untuk membuat persembahan di luar negara.

“Peluang membuat persembahan di luar negara memberi kelebihan kepada saya untuk menimba banyak pengalaman.

“Bagaimanapun saya tetap berharap agar suatu hari nanti karier saya sebagai penyanyi juga mampu bersinar di negara ini,” katanya berharap.

Ditanya sama ada dia akan berhijrah menempa nama di negara orang jika nasibnya sebagai penyanyi di negara ini tidak memuaskan, menurut Amanda memang ada niat hatinya untuk mencipta nama di luar negara.

Bagaimanapun buat masa ini dia lebih rela bersusah payah di negara kelahirannya dahulu.

“Kalau diikutkan saya mahu mencuba nasib di Amerika Syarikat, ini kerana pasaran di sana lebih luas.

“Namun untuk berputus asa di negara sendiri bukanlah diri saya kerana saya percaya masih terdapat peluang untuk penyanyi baru seperti saya untuk bertapak,” katanya yang akan mencuba pelbagai genre nyanyian di dalam mencari kelainan

Selesa dengan penampilan

Melayari kehidupan remaja, tiada apa yang dapat membezakan Amanda dari remaja lain di luar sana.

Bagi Amanda penampilan merupakan perkara yang amat dititikberatkan dirinya. Malah sebagai gadis, dia lebih selesa untuk mencipta gaya penampilannya sendiri.

“Mempunyai potongan badan yang berbentuk, menyebabkan saya lebih berhati-hati memilih baju.

“Untuk mengatakan saya sengaja memilih untuk menggayakan pakaian terdedah adalah tidak benar.

“Ini kerana konsep fesyen yang saya amalkan adalah untuk kelihatan selesa,” katanya.

Tidak akan mengubah penampilan dirinya semata-mata takut dengan kontroversi, itu merupakan kata-kata tegas dari gadis manis ini.

Bagi Amanda dia hanya akan menyesuaikan cara pemakaiannya dengan keadaan sekelilingnya, namun untuk menjadi hipokrit tentunya itu bukan dia.

“Saya tidak pernah merasakan apa yang dipakai terlalu seksi, ini kerana ramai lagi diluar sana yang lebih daring daripada saya.

“Bagaimanapun saya tidaklah sebodoh yang disangka. Di dalam menentukan penampilan, saya akan tetap mengambil inisiatif untuk menyesuaikan setiap pakaian saya dengan majlis yang dihadiri,” katanya sebelum menutup perbualan pada petang itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails