Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Pasangan sejoli - Maya Karin dan Palarae
SUDAH beberapa kali Bront Palarae cuba memikat hati Maya Karin, 36, namun belum sekali cintanya diterima oleh aktres itu. Bagaimanapun Bront tidak pernah berputus asa.
Maya dan Bront mula menjadi rapat selepas mereka dipertemukan dalam filem Anak Halal, arahan Osman Ali pada tahun 2007. Kemudian pada tahun 2011, sekali lagi mereka dipertemukan oleh pengarah yang sama dalam filem box office Ombak Rindu.
Menerusi filem yang mendapat kutipan RM10 juta itu, Bront yang berlakon sebagai Mael sekali lagi cuba menagih cinta daripada Maya yang memegang watak Izzah, namun gadis kampung itu lebih terpesona dengan keagungan cinta Hariz, lakonan Aaron Aziz.
Mungkin sudah jodoh, Osman sekali lagi menggandingkan mereka dalam filem arahannya, Jwanita dan kali ini Maya pula menagih cinta daripada Bront. Bagaimana pun untuk filem akan datang, Sejoli, mereka menjadi pasangan.
Terbaru lakonan Maya dan Bront dapat dilihat menerusi filem Lagenda Budak Setan 2 - Katerina (LBS 2 - Katerina) arahan Sharad Sharan yang menemui penonton di pawagam bermula hari ini.
Untuk sekuel LBS itu, Maya melakonkan watak Katerina yang kecewa dengan Akshah dan bersetuju untuk berkahwin dengan Hisham, lakonan Bront asalkan ibu bapanya gembira.
Bagi Maya, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, merupakan salah seorang artis lelaki yang rapat dengannya dan mereka bebas untuk berbual apa sahaja selain urusan kerja.
Selain Bront, seorang lagi rakan artis lelaki yang sering menjadi peneman Maya adalah heronya dalam filem Cun, Remy Ishak. Namun, akhir-akhirnya Maya akui dia jarang dapat keluar bersama Remy kerana pelakon itu terikat dengan jadual kerja filem dan drama.
"Saya tidak ramai kawan artis, kalau rapat pun dengan mereka yang pernah bekerjasama dengan saya dalam filem. Macam Farid tu, dia dah marah dengan saya sebab tidak hadir pada majlis pernikahannya.
"Selain rakan-rakan artis, saya juga mempunyai kelompok kawan-kawan baik di luar bidang ini. Kami selalu juga pergi melancong, itu pun susah nak bersama kerana masing-masing sibuk," ceritanya bila ditanya tentang persahabatan.
Bercerita lanjut tentang minatnya yang suka melancong itu, Maya berkata sewaktu penggambaran LBS di Bhutan, dia dan Farid menghadapi masalah untuk bertutur.
"Bukan kami perlu bertutur bahasa sana tapi tidak boleh bercakap sebab sejuk sampai menggigil. Apa pun saya suka berada di sana kerana pemandangannya yang indah.
"Disebabkan jatuh cinta dengan keindahan Bhutan, selepas selesai penggambaran, saya tambah lagi cuti selama empat hari. Hanya saya sahaja yang balik lambat, orang lain tidak sabar untuk terbang balik ke Malaysia, " katanya sambil ketawa.
Rupa-rupanya pengalaman di Bhutan, memberi inspirasi kepada Maya untuk mengembara ke Nepal yang dilakukannya bersama bapanya, Oktober lalu.
Menurut Maya, sejak usia 15 tahun, dia sudah menyimpan impian untuk menjejak kaki ke Bhutan dan Kathmandu, Nepal kerana negara tersebut mempunyai keunikan tersendiri.
"Saya kagum melihat pemerintah Bhutan, walaupun negaranya tidaklah sekaya negara lain tapi tetap mengutamakan kebersihan alam sekitar.
"Sewaktu saya membeli buah di sana, saya lihat beg plastik yang diberi entah yang ke berapa kali sudah dipakai guna.
"Di sana mereka menggunakan beg yang dibuat khas sebab mereka tahu plastik susah untuk diluputkan. Seperti Bhutan, Nepal juga mempunyai keindahan tersendiri," jelasnya.
Lain-lain negara yang menjadi impian Maya untuk dijelajahi adalah Mesir dan Brazil. Ternyata aktres ini lebih senang melancong secara backpack daripada tidur di hotel mewah.
Kata Maya, dia tidak mahu terlalu membebankan diri dengan soal kerja dan sebab itu jugalah dia jarang berlakon drama.
"Sebagai pelakon, saya boleh berlakon filem atau drama kerana kedua-duanya memberi pendapatan kepada saya. Tapi saya tidak mahu kerana saya ada prinsip sendiri.
"Bukan saya menolak berlakon drama, kalau saya dapat skrip yang memikat hati pasti tidak menolak. Apa pun setakat ini tumpuan saya lebih kepada filem. Untuk filem pun saya memilih kerana saya tidak mahu dibebankan dengan kerja sebab saya pun nak menikmati kehidupan ini," katanya.
Mendengar jawapan Maya itu, pasti ada yang menganggap dia tidak ada masalah kewangan jadi bolehlah memilih kerja berbanding pelakon lain.
Seperti orang lain, Maya yang dilihat hidup dalam kemewahan itu tidak lupa untuk membuat perancangan dalam kehidupan bagi memastikan masa depannya terjamin.
"Saya pun ada keinginan untuk hidup mewah tapi saya selalu ukur baju di badan sendiri. Kalau orang berkereta mewah, saya pun mahu tapi saya akan tanya pada diri sendiri, 'mampukah aku untuk memiliki kereta sebegitu'. Saya tidak akan membeli sesuatu yang bakal membebankan saya di masa hadapan.
"Dalam apa jua hal, saya mesti ada perancangan B kerana kita tidak tahu apa akan berlaku. Sebagai persediaan, pendapatan hasil daripada lakonan saya simpan atau melabur untuk hartanah. Saya tidak akan keluarkan wang simpanan itu semata-mata untuk bergaya," jelasnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]