Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Elyana. Show all posts
Showing posts with label Elyana. Show all posts

Elyana Berlakon Semula Selepas Dipaksa Suami

Penyanyi dan pelakon Elyana memberitahu suaminya, Khairul Anuar Husin, 40, sentiasa memaksa agar dia kembali aktif dalam bidang seni selepas hampir empat tahun menyepikan diri. Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 28, berkata, suaminya bimbang dia mungkin bosan menjadi suri rumah sepenuh masa. "Selepas berkahwin dan hamil keputusan untuk memperlahankan kerjaya datang dari diri sendiri kerana ingin melihat anak membesar depan mata sendiri. "Kini anak kami sudah pun berusia empat tahun dan dia banyak memberi galakkan supaya saya kembali aktif kerana mahu saya bersemangat dan meneruskan minat dalam bidang seni," katanya kepada mStar Online. Elyana ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri lakonannya berjudul Keluarga Karaoke di Red Box Pavillion di sini, Selasa. Selain Elyana, drama 60 episod itu turut dibintangi oleh Raja Ema, Sherry Ibrahim, Elfaeza Ul-Haq, Zarina Zainuddin, Beego dan Dazrin Kamarudin. Ia bakal disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam bermula 9 Februari depan di saluran Mustika HD (134).
Dalam pada itu, Elyana berkata, dia berani untuk bergiat aktif sebagai penyanyi dan pelakon kerana anaknya, Cinta Sumaiyah, 4, sudah pun memulakan pembelajaran di peringkat pra-sekolah. Malah kata Elyana, Khairul Anuar turut memberikan keyakinan akan menjaga anak sekiranya dia sibuk memandangkan suaminya itu bekerja sendiri. "Dia pun dah besar dan pandai bercakap jadi saya tidak risau sangat kalau hendak keluar bekerja tambahan pula suami ringan tulang menjaganya," ujar Elyana. Sementara itu, Elyana berkata, dia kini sedang dalam proses merakamkan album terbaharunya yang tergendala hampir empat tahun lalu. Jelas Elyana, album berkenaan bakal memuatkan 10 buah lagu dan akan diterbitkan oleh Aidit Alfian. "Sepatutnya album itu dah siap empat tahun lalu tetapi kerana saya berkahwin, dapat anak dan sibuk menguruskan rumah tangga jadi saya tangguh terlebih dahulu. "Tetapi saya selesa apabila dapat kembali berkolaborasi dengan Aidit kerana dia memahami kehendak saya sebagai penyanyi, katanya. Dalam perkembangan lain, Elyana berkata, dia teruja dapat kembali berlakon dan berharap drama Keluarga Karaoke mampu memberi impak kepada kariernya. Jelas Elyana, dia tidak berasa kekok kembali memasuki set penggambaran selepas sekian lama malah seronok dapat bertemu rakan-rakan artis lain. "Sebelum album diharap drama bersiri ini dapat mengubat rasa rindu peminat dan ia sebuah karya yang cukup santai tetapi menyeronokkan," jelasnya.

Elyana nafi hidap kanser

KETIKA ini kisah mengenai artis berbakat besar iaitu pelakon dan penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau lebih popular dengan panggilan Elyana agak jarang kedengaran. Kelihatan seperti memencilkan diri daripada industri hiburan, tiba-tiba ada sumber yang menyatakan penyanyi itu kini sedang bertarung dengan penyakit kanser. Namun begitu, sumber berkenaan tidak menyatakan jenis kanser yang dihidapnya. Apa yang lebih mengejutkan, akibat penyakit yang dideritainya itu membuatkan Elyana pergi mengerjakan umrah baru-baru ini dan berdoa di depan Kaabah agar penyakitnya itu sembuh. Bagi mendapatkan cerita yang sebenar, Kosmo! menghubungi Elyana yang sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang kerana ingin pergi bercuti bersama ibu dan kakaknya ke Vietnam. Kosmo!: Rasanya sudah agak lama tidak mendengar perkembangan Elyana. Apakah aktiviti anda sekarang? ELYANA: Buat masa ini saya sedang sibuk dengan proses pembikinan album terbaharu yang dijangka dilancarkan pada tahun ini. Ia merupakan album yang kelima selepas Jaga Diriku yang dihasilkan pada tahun 2007. Minta maaf, saya ingin bertanya tentang kesahihan berita ini. Betulkah anda sedang menghidap penyakit kanser? Sakit kanser? Rasanya sekarang saya masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kritikal. Kalau setakat demam itu memang ada, tetapi tidak pula mengalami penyakit kronik seperti kanser. Ada orang kata pemergian anda ke Mekah untuk mengerjakan umrah tempoh hari kerana mahu berdoa di depan Kaabah agar penyakit itu cepat sembuh. Boleh komen sedikit? Sebenarnya pemergian saya ke Mekah bersama suami merupakan undangan daripada pihak produksi rancangan Romantika yang akan disiarkan di Astro pada bulan Ramadan ini. Secara jujurnya saya agak terkejut dan ia undangan pada saat-saat akhir. Sebelum ini rancangan tersebut menyiarkan pasangan selebriti yang bercuti di tempat percutian yang menarik, tetapi apabila tiba giliran saya mereka buat keputusan untuk membawa kami ke Mekah dan saya rasa sangat bertuah. Biasanya kebanyakan artis wanita yang pulang dari Mekah, pasti mereka akan membuat perubahan terutamanya tampil bertudung. Bagaimana pula dengan imej anda selepas mengerjakan umrah? Secara jujurnya saya masih lagi tampil seperti biasa, namun sentiasa berdoa agar terbuka pintu hati untuk bertudung nanti. Buat masa ini saya mahu menjaga solat terlebih dahulu. Berkenaan dengan pembikinan album, apa yang membuatkan anda mahu kembali muncul dengan album baharu? Penerbitan album ini merupakan permintaan daripada peminat yang selalu bertanya tentang produk terbaharu saya. Lagipun kali terakhir saya menghasilkan album ialah kira-kira enam tahun lalu. Selain itu, saya rindu untuk masuk semula ke studio rakaman setelah lama tidak berbuat demikian. Perancangan ini sudah lama dibuat, namun masa selalu tidak mengizinkan. Boleh ceritakan tentang album berkenaan? Setakat ini sudah ada dua buah lagu yang saya rakam, termasuk single yang dirakamkan pada dua tahun lepas berjudul Sewaktu Dulu-Dulu. Secara keseluruhannya ada 10 buah lagu yang akan dimuatkan dalam album itu. Berkenaan dengan konsep pula, saya masih lagi mengekalkan muzik Pop Rock. Tetapi kali ini susunan muzik dan lirik untuk setiap lagu menjadi lebih matang dan bersesuaian dengan usia saya sekarang yang sudah menjangkau 26 tahun. Bagaimana pula dengan aktiviti lakonan? Saya mahu memperlahankan aktiviti lakonan kerana ingin memberikan lebih tumpuan kepada pembikinan album baharu saya ini. Selepas album tersebut disiapkan, barulah saya akan aktif semula.

Elyana Buat Kemunculan Semula Dengan Imej Bertudung

PETALING JAYA: Buat para peminat yang merindui penyanyi dan pelakon berbakat besar, Elyana, dia akan membuat kemunculan semula menerusi drama bersiri terbaru TV2 berjudul Masyitah. Drama sebanyak 13 episod itu akan disiarkan mulai 5 Disember ini, setiap Rabu, pukul 9.00 malam. Menariknya, drama yang turut menggandingkannya dengan pelakon Amanda Misbun, Liza Abdullah, Heryanto Hassan, Afida ES, Beego dan Abu Bakar Juah ini, Elyana bakal menghidupkan watak Masyitah dengan penampilannya bertudung. Ia mengisahkan tentang Masyitah yang ditinggalkan ayah dan ibu di bawah jagaan neneknya sejak kecil lagi setelah berlaku pertelingkahan besar dalam keluarga mereka.
Di sebabkan pertelingkahan itu, kedua-dua ibu bapanya tidak pernah pulang menjenguk mahupun bertanya khabar kepada Masitah Masyitah berkawan rapat dengan Azman yang bekerja di Kuala Lumpur (KL) dan ‘cerita-cerita’ Azman tentang keindahan ibu kota membuatkan Masyitah teringin menjejakkan kaki ke bandar besar itu. Satu hari, neneknya jatuh sakit dan meluahkan hasrat mahu bertemu anak kandung yang begitu dirinduinya. Masyitah serba salah mahu memenuhi hasrat neneknya itu, namun berbekalkan wang simpanan yang ada, wanita itu nekad mencari ibu bapanya di KL. Ujian demi ujian mula dihadapi sebaik tiba di ibukota. Bermula dengan beg pakaiannya dilarikan pencuri, Masyitah tiada pilihan lain selain tinggal untuk beberapa hari di masjid. Mujur masih ada orang yang baik hati seperti Ustaz Amin mahu menghulurkan bantuan kepadanya. Ustaz Amin telah meminta bantuan daripada seorang rakannya yang juga pemilik sebuah restoran untuk memberikan pekerjaan kepada Masyitah. Dia mula bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran dan Masyitah mula mengenali setiap sudut ibu kota dengan baik dan tetap teguh dengan pegangan agama yang telah diasuh oleh neneknya supaya taat pada agama walaupun gejala buruk berlaku di depan matanya. Amin yang banyak membantu dia cuba bergantung harap kerana Azman membuang terus dirinya kerana lebih percayakan hasutan keluarganya. Yakin Masyitah gadis terbaik untuk dijadikan isteri membuatkan Ustaz Amin nekad melamar Masyitah. Situasi itu membuatkan Masyitah semakin berusaha kuat menjejak semula ayah kandung untuk mewalikan pernikahannya.

Beego, Elyana


BERKESEMPATAN dijemput ke set penggambaran drama bersiri Menantu Tiga Rasa baru-baru ini memberi peluang kepada Hits untuk bertemu dua artis yang kini sedang menjalani episod bahagia kehidupan masing-masing.

Mana tidaknya jika si wanita kini sudah pun bergelar ibu, si duda pula bakal sekali lagi menemui cinta sejati.

Melalui perbualan pada petang itu ternyata keduanya kini tidak lokek untuk berkongsi cerita terbaru kehidupan masing-masing.

Malah bagi Elyana dan Beego, mereka percaya tahun 2012 bakal menjanjikan lebih kebahagiaan.

Menceritakan pengalaman pertama menjadi ibu kepada bayi perempuan berusia lima bulan bernama Cinta Sumayyah, Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 25, memberitahu ini merupakan antara anugerah terhebat yang pernah dimilikinya.

"Sukar rasanya untuk menggambarkan perasaan menjadi seorang ibu. Namun apa yang boleh saya katakan ia merupakan sebuah pengalaman yang sangat indah dan saya sangat bersyukur untuk itu," katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini

Merupakan kali pertama menerima tawaran berlakon setelah berehat panjang untuk bersalin, menurut Elyana dia kini tidak menghadapi sebarang masalah meneruskan karier selepas menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

"Summayah tidak lagi bergantung kepada susu badan. Ini memudahkan saya untuk menjalankan aktiviti seni seperti biasa.

"Selain itu, suami dan ibu banyak membantu menjaga Sumayyah sekaligus peluang kepada saya untuk kembali ke dunia hiburan lebih terbuka," katanya.

Mengambil keputusan untuk tidak menghantar anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak, dia lebih senang untuk meninggalkan anak sulungnya itu dengan suami atau ibu.

"Bukan tidak percaya kepada orang lain, tetapi rasanya saya lebih selesa meninggalkan anak dengan suami atau ibu sahaja.

"Buat masa ini jadual saya sebagai penyanyi dan pelakon langsung tidak terganggu, kerana suami atau ibu sentiasa ada untuk menjaga Sumayyah," katanya yang sudah mula menerima undangan nyanyian ketika anaknya berusia tiga bulan.

Mahu album baru

Menolak dakwaan dia kini kurang berada di pentas nyanyian, menurut Elyana dia sebenarnya sudah lama memendam rasa rindu untuk muncul dengan sebuah lagi album. Tahun 2012 tentunya dipilih untuk merealisasikan impiannya itu.

"Rasanya saya tidaklah terlalu senyap. Saya banyak juga menerima undangan nyanyian. Malah saya juga sebenarnya lebih suka berada di pentas dari berlakon kerana menyanyi sebenarnya lebih mudah.

"Semoga album terbaru saya akan dapat direalisasikan pada tahun ini, namun masih terlalu awal untuk menceritakan konsep dan lagu-lagu di dalam album tersebut kerana ia masih berada di dalam proses perbincangan," katanya yang sudah 12 tahun berada di bawah syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC).

Bercakap mengenai kematangan yang akan dibawa penyanyi itu memandangkan status sebagai seorang ibu dan isteri yang disandangnya, menurut Elyana tiada perbezaan yang akan mengubah dirinya sebagai seorang penyanyi yang lincah di pentas.

"Mungkin ada sisi kematangan yang akan dibawa lirik lagu saya nanti bagaimanapun muzik rancak tetap menjadi pilihan saya.

"Rasanya status seorang ibu dan isteri langsung tidak memberi tekanan kepada karier saya sebagai penyanyi yang bertenaga di atas pentas ini kerana saya pasti lebih mudah untuk menjadi diri saya sendiri," katanya yang kali terakhir muncul dengan single bertajuk Sewaktu Dulu-Dulu sebelum cuti bersalin.

Malah kata Elyana dia juga akan terus mengekalkan trademark tidak memakai kasut ketika mengadakan persembahan. Bagaimanapun katanya, ia semua bergantung kepada keadaan.

"Pernah suatu ketika, saya sedang mengadakan persembahan.Peminat menyuruh saya membuka kasut kerana mereka mahu saya menjadi Elyana sebenar," jelasnya.

Apa hal Elyana?


BUKAN sekali dua Joyah dengar gosip buruk tentang artis seorang ini. Tapi Joyah pekakkan telinga saja. Tak berminat. Sebab Joyah malas nak ambil tahu pasal dia. Kalau masa dia remaja dulu, ada juga Joyah menyibuk nak tahu pasal dia. Tapi itu dululah.

Sekarang ni, katanya, Elyana dah berubah. Berubah bukan sebab dia dah bertukar status jadi bini orang, bukan. Tapi berubah peel. Kalau peel okey tak mengapa, tapi kalau sebaliknya, macam mana?

Joyah nak tanya, kenapa Elyana tak datang pada hari sidang akhbar sempena lancarkan single pertama sendiri baru-baru ini? Kenapa Elyana sendiri tak terangkan dari mulut sendiri? Kenapa nak guna suami sebagai pengantara. Sedangkan berpuluh kali peringatan tentang majlis itu dibuat. Apa ni Elyana oi?

Takkanlah sebab tak ada baju yang sesuai langsung tak nak datang majlis sendiri. Kriteria baju macam mana yang padan untuk majlis pelancaran single macam tu agaknya? Tak-kanlah nak baju yang vogue-vogue, berkelipan baru nak jumpa wartawan. Tolonglahhhh...!!

Sedih sungguh Joyah tengok muka wakil syarikat rakaman FMC mencurahkan perasaan kecewa dia. Malu dia dengan wartawan bila artis bawah naungan syarikat tak tepati janji.

Dan sedihnya ini bukan kali pertama Elyana buat hal. Dah banyak kali dah dia berjanji tapi saat-saat akhir batal tanpa alasan kukuh. Sudahlah kerenah dia macam-macam, permintaan peribadi berjela-jela pula tu.

Tapi, wakil FMC itu tak kisah. Sebab katanya, Elyana anak emas FMC. Jadi dilayankan saja perangai Elyana tu.

Joyah tak nak tulis lanjutan keluhan wakil FMC itu. Kalau Joyah tulis satu persatu, malu besar Elyana. Sebab Joyah tahu Elyana mengandung dan wanita hamil memang banyak kerenah, tapi jangan sampai menyusahkan orang.

Tapi kan Elyana lepas ini, jangan buat kenyataan maaf kat Facebook sendiri ye. Joyah bukan senarai kawan Elyana. Buatlah sidang akhbar. Biar semua tahu kesalahan Elyana tu. Tak baik pedajal orang. Lagi satu, jangan sekali tuding kesalahan sendiri pada orang lain.

Sebelum keadaan bertambah teruk. Lebih baik Elyana mengaku salah. Lagi cepat, lagi bagus. Sebelum orang industri senarai hitam awak!

Elyana tenang bergelar isteri


Khairul Anuar sudah sedia hadapi tempias glamor beristerikan penyanyi

KALAU mengikut perjanjian pada majlis pertunangan mereka, pasangan ini sepatutnya sudah bergelar suami isteri pada 11 Julai lalu. Namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, akhirnya tarikh 19 November dipilih oleh penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana dan Khairul Anuar Hussin sebagai hari bersejarah buat mereka.

Pada malam Jumaat itu, Elyana dan Khairul Anuar sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Emrizal Shamsuddin di hadapan Imam Masjid Al-Aqram, Kampung Datuk Keramat, Azizan Othman serta disaksikan oleh dua bapa saudara penyanyi itu sendiri. Ketika di majlis pernikahan itu, Elyana kelihatan cukup tenang bersimpuh di atas singgah sana. Saat Khairul melafazkan ijab dan kabul dengan hanya sekali ucap, dua tangan Elyana menadah ke langit tanda rasa syukur. Andai sewaktu menunggu ketibaan rombongan pengantin tadi Elyana kelihatan tenang, tapi sebaik saja akad nikah selesai dilakukan, tiba-tiba perasaan berdebar mencengkam di sudut hati.

"Selama ini saya tak rasa apa-apa, sambil lewa saja tapi apabila kami selamat dinikahkan, tiba-tiba saya rasa berdebar. Serta merta teringat tanggungjawab sebagai isteri. Bagaimanapun, apabila menyatakan yang saya gugup, bukanlah bermakna tak bersedia menjadi isteri.

“Apabila mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, itu maknanya memang sudah bersedia dan sudah berfikir masak-masak mengenainya," luah Elyana ketika ditemui selepas majlis pernikahannya yang diadakan di Duchess Place, Jalan Ampang itu berakhir.

Andai Elyana mengakui berdebar dan gugup saat bergelar isteri, perasaan yang sama turut dikongsi Khairul. Lelaki berusia 35 tahun ini mengakui terkejut melihat bakal bapa mentua sendiri yang menikahkan mereka.
"Sebelum ini saya hanya diberitahu akan dinikahkan oleh kadi. Jadi saya memang tak fikir langsung bapa mentua sendiri yang nikahkan saya,” ujar Khairul yang memiliki perniagaan sendiri ini ramah.

Datang dari dunia yang berbeza dari Elyana, apakah Khairul bersedia berdepan dengan percikan dunia glamor dan gosip yang sering melingkari kehidupan isterinya. Bukannya apa, beristerikan seorang penyanyi dan pelakon sangat besar cabarannya sehingga mampu mengundang perasaan cemburu.

"Tak dinafikan, apabila beristerikan seorang artis, saya akui tempias itu akan terkena juga. Macam hari ini apabila berdepan dengan anda media) memang lain rasanya. Dari segi hubungan dengan Elyana, terus terang saya katakan, saya tak pernah meragui dia. Malah saya meletakkan sepenuh kepercayaan pada dia," katanya. Sebagai bukti, Khairul mengizinkan Elyana untuk aktif dalam bidang seni.

Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima mas kahwin RM80 dan wang hantaran RM22,000.

"Jumlah wang hantaran itu adalah simbolik kepada usia saya sewaktu Khairul melamar menjadi isterinya," kata Elyana.

Mengenai perancangan berbulan madu, Elyana berkata perkara itu hanya dapat dilakukan pada tahun depan.

"Selepas ini kami ada majlis bertandang di rumah pengantin lelaki di Mentakab, Pahang. Mungkin saya hanya boleh berbuat demikian pada Januari tahun depan. Saya memang teringin sangat hendak pergi ke Mesir," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru ciptaan Aidit Alfian dan Ad Samad berjudul Sewaktu Dulu-Dulu.

Yakin jadi menantu bertanggungjawab

WALAUPUN berat, namun apabila sudah tiba sampai masanya, mahu atau tidak, sebagai bapa, harus menerima hakikat bahawa suatu hari nanti anak gadisnya itu pasti akan menjadi ‘milik’ orang juga.

Perasaan ini dirasai Emrizal apabila anak keduanya kini menjadi isteri kepada Khairul. Rasa sedih tetap ada. Bagaimanapun, apabila mengenangkan sifat menantu yang sudah dikenalinya selama lima tahun, dia reda dengan pilihan anaknya itu.

"Sejak mengenalinya lima tahun lalu, dia adalah seorang yang bertanggungjawab dan menyayangi Elyana,” katanya.

Emrizal juga berasakan tidak ada sebarang masalah bagi Elyana untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri walaupun usianya dianggap masih muda.

"Apa salahnya dia berkahwin ketika usia 23 tahun? Usia itu memang sesuai sangat untuk Elyana berkahwin. Kalau dia kahwin lambat, lagilah kita risau. Kami sekeluarga doakan moga rumah tangga mereka kekal ke akhir hayat," jelasnya lagi.

Mengulas tindakannya menikahkan Khairul yang dianggap sebagai kejutan oleh menantunya itu, Emrizal berkata itu adalah nasihat dari Imam sendiri. "Dia (imam) kata lebih afdal jika saya sendiri yang menikahkan anak saya. Jadi saya buat apa yang terbaik untuk mereka," katanya.

Elyana Sah Bergelar Isteri Khairul Anuar


KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, Khairul Anuar Husin, 36, sah menjadi suami kepada penyanyi dan pelakon Erneelya Elyana Emrizal, 23, atau Elyana selepas diijabkabulkan di Duchess Place, Jalan Ampang, di sini, Jumaat.

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri Emrizal Shamsuddin sambil disaksikan Imam Masjid Datuk Keramat, Azizan Othman pada pukul 9.40 malam, Jumaat.

Pasangan pengantin tiba pada pukul 9.15 malam dengan diiringi sebanyak tujuh dulang hantaran bagi pihak lelaki dan tujuh dulang juga dibalas pihak perempuan.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin RM80 dan wang hantaran sebanyak RM22,000.

Majlis pernikahan yang berkonsepkan senibina Islam ini menggunakan khidmat Arma Wedding Couture dan Ary Wedding Couture bagi melakar pelamin ratu sehari mereka.

Kedua-dua mempelai mengenakan pakaian berwarna biru firus rekaan pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat, manakala solekan dan dandanan oleh Saidatulnisa Aminuddin.

Majlis pernikahan itu dihadiri lebih 200 tetamu yang terdiri daripada ibu bapa, keluarga dan sanak saudara terdekat mempelai.

Majlis persandingan akan diadakan pada hari Sabtu pukul 12 tengah hari untuk jemputan keluarga dan 8 malam bagi jemputan media dan rakan-taulan.

Elyana ratah usia remaja


KURANG seminggu atau lebih tepat, tinggal lima hari lagi sebelum dia bertukar status menjadi isteri orang.

Gerbang bahagia sudah tersergam menunggu detik untuk dilangkahi.

Segala perancangan sudah hampir selesai dipenuhi, diukur dan diberi perincian tetapi selaku manusia yang tidak pernah habis daripada keraguan, sampai ke hujung waktu sekali pun, tetap ada yang bersarang mahukan jawapan.

"Bukan malam-malam sahaja, bahkan bila celik mata sekalipun, saya mula terfikirkan banyak benda.

"Benarkah apa yang sedang saya dilakukan ini, mampukah saya menjadi isteri yang baik, tepatkah pilihan saya, tepatkah berkahwin pada usia ini?

"Itu semua perkara yang tidak seharusnya saya fikir tetapi bermain juga di fikiran," letus suara daripada tubuh berdarah manis bernama Elyana ini.

Si pelantun Tapak Sulaiman ini sengaja diselak isi sanubarinya. Sebenar juga, lihat daripada hujung ulas bibirnya sahaja, perasaan berkuntum-kuntum di dada sudah jelas terpancar tanpa perlu dia bersuara.

Namun, bukan itu yang mahu dipinta daripadanya. Di sebalik bahagia yang diramal banyak mata, Elyana tetap menyimpan gundah.

Dia juga seperti wanita-wanita lain, selagi belum tiba waktu yang dinanti-nanti, selagi itulah proses 'terapi' dan persediaan diri tidak berhenti.

"Saya tidaklah terlalu beria-ria atau drastik membuat persediaan mental dan fizikal. Saya banyak membaca, melayari Internet dan lihat perkara-perkara yang membahagiakan.

"Setahu saya, manusia mudah terdorong oleh emosi, lihat perkara sedih, kita juga akan berasa sedih. Jadi, saya cuba mencari perkara yang indah dan membahagiakan sepanjang tempoh ini.

"Ibu ialah orang paling banyak membantu, banyak menasihati saya tentang pembawaan diri menjadi isteri.

"Sejak tujuh bulan lalu, saya berpindah ke rumah ibu bapa di Shah Alam. Saya mengelak diri daripada keseorangan atau berfikir perkara yang bukan-bukan.

"Sejak beberapa bulan lalu, setiap hari adalah hari yang sibuk buat saya, sibuk dengan persiapan," katanya meminjam semangat ibu untuk menguatkan hati sebelum bergelar isteri kepada Khairul Anuar Husin, 36.

Cabang seronok

Kaki terdorong badan merasa, lidah terasuh emas padahnya, wanita semuda usia 23 tahun itu cukup pasti.

Nasib badan bergelar artis apa sahaja yang berlaku dalam hidup atau perkahwinannya kelak, baik atau buruk pasti akan perhatian masyarakat.

Lihatlah rumah tangga artis, bergoyang sedikit riuhnya mudah diketahui orang.

"Saya tidak takut untuk berkahwin semata-mata bimbang perihal rumah tangga saya akan menjadi perhatian media.

"Sebagai artis semua perkara akan mendapat perhatian. Jadi itu bukan isu yang perlu saya takutkan," katanya yang akan melangsungkan pernikahan pada Jumaat ini.

Terheret dengan usul pernikahan pada usia mentah, penyanyi serta pelakon berusia 23 tahun itu tampak jelas.

Keinginan menamatkan zaman bujang terzahir untuk melengkapkan sebuah fasa kehidupan, itu penegasan oleh pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal.

Dia tidak terdesak mengikut trend rakan-rakan yang sudah berkahwin.

Kata Elyana, dia sendiri sudah memulakan karier seawal usia 14 tahun.

Seperti memasuki alam dewasa ketika masih kanak-kanak, faktor itu antara pendorongnya untuk pantas matang dan sedia beralih fasa seterusnya dalam hidup.

Dia juga sudah puas meratah segala keseronokan dan kebebasan sepanjang melalui usia remaja dan zaman bujang.

"Cara saya berseronok dan bergaul semasa saya remaja dan bujang mungkin tidak sama seperti yang dibayangkan orang.

"Saya berada di sekeliling orang dalam dunia seni dan kawan-kawan. Dalam umur sekarang, saya sudah ada karier, kereta, rumah serta sedikit aset masa depan.

"Berkahwin pula akan memberikan satu lagi cabang keseronokan buat saya di samping menambah bilangan ahli keluarga," katanya.

Berbunyi bernas dan serius atas setiap pegangan yang dipertuturkan, penyanyi yang diperkenalkan dengan lagu Niat dan popular menerusi sitcom Dunia Baru itu tidak merasakan satu kerugian berkahwin pada usia sekarang.

Menganggap takdir dan jodoh sudah sampai ke bahagian hidupnya, Elyana berkongsi gembira bakal menjadi pelengkap kepada Khairul.

Selepas salam perkenalan bertaut rapi pada 9 April 2006, mereka mengikat pertunangan pada 25 Julai 2009.

Menyingkap pertembungan dua jiwa itu, penyanyi yang sedang berkira-kira untuk tampil dengan single terbaru, Waktu Dulu-Dulu menjelang Disember ini membuat pengakuan.

"Kami berdua berbeza secara total. Khairul lebih matang berbanding saya, mungkin sebab itulah dia arif menangani emosi saya yang sering tidak menentu.

"Dia lebih rajin dan saya agak pemalas. Mungkin disebabkan sudah berusia, hidupnya lebih rileks, lepas kerja terus balik rumah dan saya pula jenis yang aktif.

"Jadi, saya menyumbangkan sedikit warna ke dalam hidupnya dan dia menjadikan saya seorang yang lebih rileks.

"Sikap penyayang melampau Khairul terhadap budak-budak membuatkan saya semakin menyukainya.

"Satu lagi, kami berkongsi minat yang sama. Kami suka membeli-belah terutama untuk dihadiahkan kepada orang lain.

"Jadi, untuk lokasi berbulan madu nanti, kami kena pilih tempat yang menjadi syurga beli-belah," ujarnya.

Menggunakan khidmat Saidatulnisa Aminuddin, Fahmi dan Amy Janz selaku jurusolek untuk majlis pernikahan dan persandingannya, kongsi Elyana, dia bakal mengenakan persalinan yang disediakan oleh Hatta Dolmat, Zery Zamry dan Haswani Osman.

"Persiapan perkahwinan dilakukan bersama-sama keluarga dan teman-teman, tetapi saya yang memutuskan sendiri setiap inci agenda hari besar saya," katanya.

Elyana menggunakan khidmat Arma Wedding Couture dan Ari Wedding Couture untuk melakarkan pelamin ratu seharinya bertempat di Duchess Place, Jalan Ampang, 19 dan 20 November nanti.

Mahu bersanding dalam tenang-Elyana


TINGGAL enam hari lagi, penyanyi dan pelakon Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana bakal menjadi isteri kepada Khairul Anuar Hussin, tunangannya sejak 11 Julai 2009. Bermakna, sepanjang tempoh menjelang tarikh 19 November itu, pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu yang membahasakan diri sebagai Nana, semakin dihimpit atmosfera tekanan.

''Entahlah kak, Nana jadi serba tak keruan. Kalau nak tahu, dah sebulan lebih Nana tak dapat tidur lena. Asyik teringat persiapan perkahwinan sahaja. Dari sekecil-kecil kuman hingga sebesar-besar perkara.

''Contohnya, senarai perkara yang belum siap buat, perjalanan majlis kahwin macam mana, senarai jemputan, pakaian dan macam-macam lagi tau, semuanya Nana kena fikir. Sempurna ke tidak. Pening kepala.

''Walaupun dibantu oleh perancang perkahwinan, Zuhairry Zainal Abidin, tidak bermakna Nana boleh lepas tangan. Nana kena teliti satu demi persatu. Kadang kala kesilapan dan kealpaan kecil boleh buat Nana cepat naik angin,'' cerita awal Elyana menyingkap persiapan gerbang perkahwinannya.

Mengulas mengenai tekanan, sebenarnya terlalu banyak perkara yang mengusutkan fikirannya terutama berada pada fasa penghujung bergelar bujang.

Elyana dihujani kata-kata nista tentang dirinya yang belum diketahui kebenaran tentang peningkatan berat badan dirinya sehingga mencecah 100 kilogram.

Ada pihak mengatakan ia berpunca dari aktiviti sosial Elyana yang gemar melepak di kelab-kelab malam. Di kala waktu senggang Elyana yang kurang mendapat jemputan nyanyian atau lakonan sedari awal tahun lalu.

Ia kemudian disogok dengan penyebaran gambar salah seorang adiknya, Elsa Emeer yang kini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), di samping botol-botol arak di sebuah kelab malam menguatkan bukti mengatakan Elyana berkongsi 'hobi' yang sama beberapa bulan kemudian.

''Dengar sini, Nana tidak gemuk atas sebab yang entah apa-apa itu. Semuanya mengarut lah. Nana bukan jenis yang suka joli teguk minuman keras dan menari tak tentu pasal di kelab malam. Nak pergi ke tempat macam itu pun, Nana tak teringin lah.

''Sebaliknya, berat badan Nana naik sebab makan ubat terlebih dos disebabkan kesakitan di bahagian perut Nana. Kalau nak tahu, Nana menderita penyakit endometriosis, ketumbuhan di bahagian perut yang mengganggu aktiviti harian. Nana menderita penyakit itu sejak tiga tahun lalu.

''Sakitnya macam wanita yang nak bersalin, menyerang tidak kira masa dan tempat. Nak berdiri tegak pun susah terutama ketika Nana datang bulan. Doktor saran makan ubat penahan sakit sebiji sehari tetapi sebab 'sengatan' bertubi-tubi di perut, Nana ambil satu lagi suntikan sebagi ubat tambahan.

''Kesan sampingan ubat itu juga menyebabkan berat Nana naik mendadak. Tapi alhamdulillah, semuanya sudah berakhir selepas membuat satu pembedahan secara laser pada September lalu. Pengalaman ditebuk tiga lubang di bahagian perut memang tidak dapat dilupakan kerana itulah pembedahan kali pertama dalam seumur hidup Nana,'' bicaranya panjang lebar tentang perubahan fizikalnya.

Pada masa yang sama, wanita berusia 23 tahun ini juga menolak tatkala diminta mengulas tentang kelakuan adiknya itu. Tingkah penyanyi lagu Niat ini: ''Biarlah dia selesaikan masalah itu sendiri. Sebagai kakak, Nana menasihatinya dan menegur kalau dia tersasar. Orang di luar sana tak payahlah sibuk membuat kesimpulan tentang penyebaran gambar itu."

Satu lagi cerita kurang manis tentang pelakon filem Gong, Dukun dan Dunia Baru The Movie ini apabila ada pihak yang mengatakan dirinya terkena sihir, dek sering bermulut celupar. Sebab itu, musuh terdekatnya sakit hati lantas menghantar 'sesuatu' sebagai pengajaran buat dirinya.

Anak kelahiran Klang, Selangor ini tidak menafikan dia pernah menderita dek perbuatan manusia yang cemburukan dirinya itu tetapi bukan atas alasan dia bermulut jahat.

''Hati manusia ini macam-macam jenisnya. Nana tidak boleh membaca apa yang tersirat di hati mereka, apa yang boleh Nana lakukan adalah tidak berkata sesuatu yang boleh menyakiti hati mereka.

''Maafkan Nana sekiranya ada orang terasa hati dengan kelakuan Nana sebelum ini. Mungkin Nana alpa dan tidak menyedari ada kelakuan terlebih. Sebab itu, selepas menderita penyakit itu, Nana kini lebih reda dan bertawakal selepas berubat .

''Gangguan tersebut sebenarnya memberi kesan kepada karier Nana. Nana tak boleh biarkan begitu sahaja, kena bangkit dari terus digunakan sebegitu. Jadi, sekarang ini apa sahaja yang Nana lakukan adalah bertawakal sahaja,'' ujarnya yang nekad tidak mahu mendedahkan identiti individu yang menyimpan amarah kepadanya itu.

Rahsiakan mas kahwin, hantaran Mood pelakon drama Katrina Kamelia di Astro Prima ini cukup teruja tatkala dirisik tentang persiapan perkahwinannya yang sudah cukup sempurna itu.

Wajahnya cukup berseri dan girang tatkala bercerita dari upacara pernikahan sehingga saat dibawa bersanding di singgahsana pada majlis yang diadakan di Duchess Place, Ampang, Kuala Lumpur nanti.

''Untuk majlis nikah pada malam 19 November, Nana menggunakan khidmat mekap daripada jurusolek Saidatulnisa, Hatta Dolmat (pakaian), Ari Wedding Couture (pelamin, hantaran) berlatar belakangkan warna putih dan biru firus menggunakan konsep Islamik moden.

''Bagi upacara persandingan untuk ahli keluarga diadakan pada waktu siang 20 November, Nana memilih konsep kontemporari Melayu dengan menggunakan khidmat Hazwani Osman untuk pakaian dan jurusolek Famee Abdullah Radzi.

''Pada sebelah malamnya pula, Nana menggunakan khidmat pakaian ala vintaj Inggeris rekaan Zery Zamry dan Hazwani Osman serta Amy Janz (jurusolek). Majlis ini khas diadakan buat teman media dan kawan-kawan rapat Nana dan suami,'' katanya sambil disusuli senyuman lebar.

Ditanya tentang jumlah mas kahwin dan hantaran, pelakon drama Renjis ini mengatup mulutnya rapat-rapat. Pinta Elyana agar perkara itu dirahsiakan buat sementara waktu sehingga tiba hari kemuncaknya.

Elyana Nikah 19 November 2010


PETALING JAYA: Penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Khairul Anuar, pada 19 November ini.

Pasangan itu akan melangsungkan pernikahan dan persandingan sehari selepas itu (20 November) di Duchess Place, Ampang, selangor.

Menurut Elyana, perasaannya sedikit berdebar menantikan detik bergelar isteri dan berharap segala perancangan yang diaturkan bersama perunding perkahwinannya, Zulhery, berjalan dengan lancar.

"Insya-Allah, saya bersedia untuk menggalas tanggung jawab sebagai seorang isteri. Cuma sebelum kahwin ini, saya tak nak terlalu berfikir sangat, takut terlebih berdebar pula.

"Saya juga bersyukur dan bertuah kerana majlis pernikahan serta persandingan dibantu oleh rakan-rakan saya. Ada yang memberi pakej persandingan dengan harga istimewa dan ada juga yang mahu menaja.

"Pada hari persandingan nanti, saya akan membuat majlis pada waktu siang yang akan dihadiri oleh saudara mara.

"Pada sebelah malam pula untuk rakan-rakan artis dan media," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Tambah Elyana, majlis persandingan di pihak lelaki pula akan diadakan di Mentakab, Pahang, seminggu selepas pernikahan mereka.

Walaupun bergelar isteri nanti, Elyana tetap meneruskan kariernya sebagai seorang pelakon dan penyanyi.

"Setakat ini, bakal suami saya memberi keizinan untuk menyanyi dan berlakon seperti biasa.

"Tambah pula, single lagu terbaru saya yang berjudul, Waktu Dulu-Dulu, bakal dikeluarkan tidak lama lagi," tuturnya yang melangsungkan perkahwinannya berkonsepkan Melayu Tradisional (siang) dan Inggeris Vintaj pada sebelah malam.

Batalkan majlis kahwin di rumah


SETIAP insan pasti mempunyai hasrat untuk berubah menjadi lebih baik. Kehadiran seseorang yang berjaya mencuri hati, yang menjadi antara faktor mendorong seseorang itu untuk berubah ke arah yang lebih positif turut dibuktikan oleh penyanyi Elyana.

Terkenal dengan lagu Niat, pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal itu berhasrat untuk menjayakan niatnya untuk berubah menjadi lebih baik sebelum dia mendirikan rumahtangga tidak lama lagi.

Menurut Elyana, antara perubahan utama yang dia ingin dalam dirinya seperti mengikis perangai malasnya agar menjadi lebih rajin.

“Sebelum ini saya boleh dikatakan agak pemalas juga tetapi nanti bila dah jadi isteri orang takkan nak terus jadi malas jugak.

“Saya harus berubah lagipun sikap itu bukan sikap yang baik,” katanya pada sesi fotografi di Hotel Quality, Kuala Lumpur baru baru ini.

Tambah Elyana, selain berubah menjadi lebih baik, dia juga kini sedang belajar memasak gulai tempoyak ikan patin.

“Saya terpanggil untuk belajar memasak gulai tempoyak ikan patin itu sebab ia merupakan makanan kegemaran bakal suami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Elyana membawa perkhabaran bahawa dia bakal muncul dengan single terbarunya.

“Lagu itu ciptaan oleh Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad. Konsep yang cuba diketengahkan dalam single itu nanti masih sama seperti sebelum ini tetapi perbezaannya pada single kali ini menunjukkan kematangan Elyana sekarang,” ujarnya yang belum menentukan judul single tersebut.

Sebelum ini, Elyana yang mula menceburi bidang seni pada usia 14 tahun juga pernah berlakon dalam beberapa drama bersiri dan filem.

Antara drama dan filem yang pernah dilakonkan oleh Elyana ialah Dunia Baru, Seriau dan Gong.

Persiapan kahwin

Bercerita mengenai majlis perkahwinan Elyana bersama seorang pengusaha makanan Jepun, Khairul Anuar Hussin, dia mengaku persiapan untuk majlis itu baru 50 peratus di buat.

Kata Elyana, pada awalnya dia merancang hendak buat majlis perkahwinannya di rumahnya di Shah Alam. Namun dia terpaksa membatalkan hasrat itu dan menukarkan lokasi majlis perkahwinan ke suatu tempat yang lebih luas. Apabila ditanya di manakah lokasi terbaru majlis perkahwinannya itu nanti, Elyana sekadar memberitahu: “Di sebuah banglo mewah di sekitar Ampang, Selangor.”

“Kalau boleh, memang nak buat di rumah kami sebab hari yang bersejarah itu kalau di rumah sudah tentu ada kenangan tersendiri.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, perkahwinan kakak saya buat di rumah kami tetapi kurang luas untuk menampung tetamu dalam bilangan yang banyak dan mungkin menimbulkan rasa kurang selesa mereka nanti.”

Tambahnya, pada majlis itu nanti dia mahu semua tetamunya berada dalam keadaan selesa terutama neneknya.

“Masa majlis kakak dahulu, kesian dekat nenek sebab tidak dapat tengok pengantin dari jarak dekat,” katanya.

Menyentuh mengenai bakal suaminya, anak kedua daripada empat adik-beradik itu menegaskan, dia merasakan keserasian dengan tunangnya itu kerana mereka berdua merupakan orang yang serba ringkas.

Pada hari raya tahun ini, Elyana tidak mengikut tunangnya beraya di Pahang kerana baginya dia mahu merasai nikmat sambutan itu pada tahun depan.

“Kami sudah nak kahwin jadi biarlah saya tidak ikut dia tahun ini. Jadi bila tahun depan bila sudah sah menjadi isteri dia baru dapat merasai nikmat berhari raya dengan lebih lagi,” ujarnya yang mengakui tidak teruja sangat menyambut raya.

Sambutan raya 2010

Menurut Elyana, sempena hari raya kali ini dia telah menjual kuih samprit dan usahanya itu meraih sambutan yang menggalakkan.

“Mengandungi 53 hingga 54 biji dalam satu balang, ia dijual pada harga RM19. Sambutan yang diberikan sangat memberansangkan.

“Orang yang dah beli kuih saya biasanya akan beritahu orang lain, itulah strategi pemasaran saya,” katanya lagi.

Cerita Elyana, dia juga merupakan seorang yang rajin membeli tetapi tidak suka makan benda yang dibelinya itu.

“Saya ini jenis yang suka coklat chip, jadi kalau jalan-jalan nampak sahaja menarik pasti saya beli. Biasanya kuih yang cantik itu tidak berapa sedap.

“Tapi kalau kuih-kuih yang pelik, emak saya yang buat sendiri,” katanya.

Akuinya, persiapan untuk raya pun adakalanya sehari sebelum sambutan raya barulah dia pergi membelinya.

Elyana sibuk persiapan kahwin


"DULU saya dengar orang cakap, proses persiapan kahwin memeningkan kepala. Saya tertanya-tanya apakah yang memeningkan itu?

"Fikir saya, beri sahaja tugasan kepada perancang perkahwinan, insya-Allah semuanya akan selesai. Rupa-rupanya memang memeningkan kepala.

"Saya tidak tahu apa yang patut dimulakan dahulu. Sekarang, barang hantaran pun belum dibeli," ujar penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23.

Dia masih merahsiakan tarikh perkahwinannya. Biar semuanya lancar dahulu, ujarnya. Namun, dalam tawa dan bunyi di hujung suaranya dalam talian telefon, dia sedang berbahagia bercampur debaran menunggu tarikh penting tersebut.

Dalam masa yang sama, dia sibuk merencana kembali album terbarunya bersama label FMC. Kembali menjadi artis syarikat rakaman tersebut, Elyana yang mesra dipanggil Nana itu baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak bersama label tersebut.

"Sekarang saya kembali sibuk dengan pertunjukan pentas. Baru sahaja mahu masuk studio untuk merakamkan single terbaru yang dihasilkan oleh Aidit Alfian, mentor saya.

"Untuk album terbaru saya nanti, konsep masih sama cuma akan ada lebih kematangan dari aspek muzik dan lirik. Tetapi masih catchy seperti lagu-lagu yang dulu," katanya.

Penyanyi yang aktif berlakon ini turut menyatakan dirinya tidak terlalu memilih watak yang diberikan kepadanya. Namun, dia ada cara untuk memilih produk atau watak yang bakal dilakonkan.

"Saya ikut gerak hati. Kalau gerak hati kata okey, saya terima dan sebaliknya. Saya terima watak yang boleh saya bawa. Walaupun diberikan jumlah wang yang besar untuk watak yang saya rasa tidak boleh bawa, saya tidak akan terima," jujurnya yang pernah muncul dalam filem Gong, Dukun dan drama Dunia Baru serta Renjis.

Fikiran Elyana kembali positif


SELEPAS beberapa bulan menjauhkan diri daripada diambil foto untuk paparan di media cetak dan elektronik kerana tubuh yang semakin berisi, gadis ini mula mendapat semangat untuk keluar daripada ‘kotak’ persembunyiannya.

Benar, perbezaan diri Emeelya Elyana Emrizal begitu ketara berbanding tubuhnya dahulu yang agak kurus kering dan sesiapa yang melihatnya akan menegur perubahan dirinya itu.

Tidak segan lagi dengan penampilan barunya itu, Elyana lebih bersikap positif dalam menangani masalah malunya itu. Malah, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman FMC sejak berusia 15 tahun itu mula mengorak langkah untuk tampil berdepan dengan umum.

Namun kala diamati betul-betul, perubahan pada diri Elyana itu tiada apa yang menghairankan kerana setiap orang mempunyai perubahan hormon yang tersendiri. Mungkin dianggap pelik kerana Elyana mula dikenali sejak kecil dengan saiz tubuh badan yang kecil.

Kata Elyana, pada awalnya keyakinan dirinya terus menurun malah dia sanggup menolak tawaran persembahan nyanyian kerana malu dengan sosok tubuhnya itu.

Tetapi kemudian keyakinan dan semangat itu hadir dengan sendiri untuk berdepan dengan umum kembali.

“Alhamdulillah saya dah okay. Sampai bila kita mahu berkurung bukan? Dulu, yang membuatkan saya resah ialah bila memikirkan diri perlu kelihatan cantik sepanjang masa bila bergelar penyanyi mahupun pelakon.

“Atas sokongan dan nasihat keluarga serta tunang, Khairul Anuar Hussin, fikiran saya kembali positif. Lagipun, ramai yang bersaiz lebih besar daripada saya dan mereka tetap tampil dengan penuh keyakinan. Mungkin ini adalah sebahagian proses tumbesaran.

“Secara jujurnya, sebelum ini saya sendiri yang menolak pelbagai tawaran persembahan pentas kerana terasa down (kecewa). Kalau saya ambil tawaran yang tiada kena mengena dengan televisyen ia boleh membuatkan satu Malaysia melihat perubahan diri saya. Cukuplah orang-orang Kuala Lumpur (KL) saja yang tahu.

“Tambah pula banyak pakaian saya yang dah tak muat. Apapun, saya menyasarkan untuk mendapatkan berat badan yang ideal iaitu 52 kilogram (kg) daripada 60kg sekarang ini.

“Bagaimanapun, saya tak rasa perubahan ini adalah satu kegagalan, sebaliknya ia merupakan satu ujian dalam mengukuhkan karier saya. Jadi, panggillah saya untuk sesi fotografi!” selorohnya yang bakal menemui umum dengan drama online, Dunia Baru - Reunion.

Menceritakan drama gandingannya bersama Ellyas dan Tania Hudson yang akan disiarkan menerusi portal web Gua.com.my, Elyana yang memegang watak sebagai Opie berkata, hampir 90 peratus karakternya dalam Dunia Baru – Reunion menyamai dirinya di alam realiti.

Katanya, secara kebetulan pula, Elyana perlu membawakan watak Opie yang bersaiz XXXL yang tiada keyakinan diri selepas menjadi gemuk.

“Walaupun dari segi penghayatan watak adalah 99 peratus berubah, watak Opie tetap mempunyai persamaan dengan diri saya sekarang yang juga tidak yakin pada diri selepas berisi dan tidak sukar untuk saya bawakan watak ini kerana saya banyak gunakan pengalaman sendiri bagi menjiwai watak.

“Cuma cabarannya dalam drama ini adalah saya perlu memakai sut yang diisi span dan ia benar-benar menguji kesabaran saya. Maklumlah, saya kena tahan panas, rasa macam duduk dalam sauna.

“Apa yang menggembirakan saya, kerana sut itulah saya berjaya menurunkan berat badan saya sebanyak dua kilogram. Bagaimanapun, saya tetap mempelajari cara membuat mimik muka agar penonton boleh memahami ekspresi wajah Opie,” katanya yang turut sibuk untuk rakaman album baru bersama penerbitnya, Aidit Alfian.

Ellyas tak serius

Mula dikenali menerusi drama bersiri Dunia Baru musim pertama empat tahun lalu, watak Tajol dalam Dunia Baru – Reunion yang dibawakan Ellyas atau Wan Ellyas Wan Abdullah ternyata digilai ramai.

Apatah lagi karakternya yang agak nakal dalam drama tersebut membuatkan wataknya itu sebagai pelengkap cerita Dunia Baru.

Menganggap Tajol berlawanan dengan jati dirinya, Ellyas akui dia gembira kerana masih kekal dan diterima untuk Dunia Baru selepas siri dan filem diperkenalkan.

“Ada bezanya bagi Dunia Baru siri filem dan online. Dulu agak mudah untuk saya bawakan karakter saya kerana watak saya yang suka main-main. Namun, Tajol kali ini lebih matang dan nakalnya cuma ditonjolkan sedikit dan dia lebih berfikir tentang wang.

“Sekali sekala juga saya perlu serius dan ia agar sukar untuk dijiwai pada mula kerana saya bukan seorang yang serius.

“Tambah pula drama online ini disiarkan lima minit sahaja bagi setiap episod dan ini membuatkan segala babak-babak yang penting dipadatkan.

“Bayangkan, dalam tempoh sesingkat itu, kami perlu tonjolkan pelbagai adegan menarik yang dapat menyalurkan mesejnya kepada audiens,” katanya.

Tambahnya, dia gembira kerana ada beberapa pendatang baru yang memeriahkan drama online tersebut walaupun tetap rindu dengan barisan pelakon lama.

Bertanya pula mengenai dirinya yang sering ketawa setiap kali ditanya soalan, katanya, dia seorang yang tidak suka mengambil sesuatu perkara terlalu serius.

“Laughter is the best medicine. Itulah kata-kata yang sering saya pegang dalam hidup. Hidup ini tidaklah berpanjangan, Jadi kita perlu gembira dengan jalan hidup yang dilalui walaupun kadangkala ia agak perit,” tuturnya.

Berat badan Elyana cecah 100kg!!

Betulkah ape yang korang tengok?Percaya atau tidak, inilah kenyataannya..Berat badan Elyana naik mendadak sehingga 100kg!!fuhh!!Berat giler tuh..Itulah hakikatnya..
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails