Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fikiran Elyana kembali positif


SELEPAS beberapa bulan menjauhkan diri daripada diambil foto untuk paparan di media cetak dan elektronik kerana tubuh yang semakin berisi, gadis ini mula mendapat semangat untuk keluar daripada ‘kotak’ persembunyiannya.

Benar, perbezaan diri Emeelya Elyana Emrizal begitu ketara berbanding tubuhnya dahulu yang agak kurus kering dan sesiapa yang melihatnya akan menegur perubahan dirinya itu.

Tidak segan lagi dengan penampilan barunya itu, Elyana lebih bersikap positif dalam menangani masalah malunya itu. Malah, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman FMC sejak berusia 15 tahun itu mula mengorak langkah untuk tampil berdepan dengan umum.

Namun kala diamati betul-betul, perubahan pada diri Elyana itu tiada apa yang menghairankan kerana setiap orang mempunyai perubahan hormon yang tersendiri. Mungkin dianggap pelik kerana Elyana mula dikenali sejak kecil dengan saiz tubuh badan yang kecil.

Kata Elyana, pada awalnya keyakinan dirinya terus menurun malah dia sanggup menolak tawaran persembahan nyanyian kerana malu dengan sosok tubuhnya itu.

Tetapi kemudian keyakinan dan semangat itu hadir dengan sendiri untuk berdepan dengan umum kembali.

“Alhamdulillah saya dah okay. Sampai bila kita mahu berkurung bukan? Dulu, yang membuatkan saya resah ialah bila memikirkan diri perlu kelihatan cantik sepanjang masa bila bergelar penyanyi mahupun pelakon.

“Atas sokongan dan nasihat keluarga serta tunang, Khairul Anuar Hussin, fikiran saya kembali positif. Lagipun, ramai yang bersaiz lebih besar daripada saya dan mereka tetap tampil dengan penuh keyakinan. Mungkin ini adalah sebahagian proses tumbesaran.

“Secara jujurnya, sebelum ini saya sendiri yang menolak pelbagai tawaran persembahan pentas kerana terasa down (kecewa). Kalau saya ambil tawaran yang tiada kena mengena dengan televisyen ia boleh membuatkan satu Malaysia melihat perubahan diri saya. Cukuplah orang-orang Kuala Lumpur (KL) saja yang tahu.

“Tambah pula banyak pakaian saya yang dah tak muat. Apapun, saya menyasarkan untuk mendapatkan berat badan yang ideal iaitu 52 kilogram (kg) daripada 60kg sekarang ini.

“Bagaimanapun, saya tak rasa perubahan ini adalah satu kegagalan, sebaliknya ia merupakan satu ujian dalam mengukuhkan karier saya. Jadi, panggillah saya untuk sesi fotografi!” selorohnya yang bakal menemui umum dengan drama online, Dunia Baru - Reunion.

Menceritakan drama gandingannya bersama Ellyas dan Tania Hudson yang akan disiarkan menerusi portal web Gua.com.my, Elyana yang memegang watak sebagai Opie berkata, hampir 90 peratus karakternya dalam Dunia Baru – Reunion menyamai dirinya di alam realiti.

Katanya, secara kebetulan pula, Elyana perlu membawakan watak Opie yang bersaiz XXXL yang tiada keyakinan diri selepas menjadi gemuk.

“Walaupun dari segi penghayatan watak adalah 99 peratus berubah, watak Opie tetap mempunyai persamaan dengan diri saya sekarang yang juga tidak yakin pada diri selepas berisi dan tidak sukar untuk saya bawakan watak ini kerana saya banyak gunakan pengalaman sendiri bagi menjiwai watak.

“Cuma cabarannya dalam drama ini adalah saya perlu memakai sut yang diisi span dan ia benar-benar menguji kesabaran saya. Maklumlah, saya kena tahan panas, rasa macam duduk dalam sauna.

“Apa yang menggembirakan saya, kerana sut itulah saya berjaya menurunkan berat badan saya sebanyak dua kilogram. Bagaimanapun, saya tetap mempelajari cara membuat mimik muka agar penonton boleh memahami ekspresi wajah Opie,” katanya yang turut sibuk untuk rakaman album baru bersama penerbitnya, Aidit Alfian.

Ellyas tak serius

Mula dikenali menerusi drama bersiri Dunia Baru musim pertama empat tahun lalu, watak Tajol dalam Dunia Baru – Reunion yang dibawakan Ellyas atau Wan Ellyas Wan Abdullah ternyata digilai ramai.

Apatah lagi karakternya yang agak nakal dalam drama tersebut membuatkan wataknya itu sebagai pelengkap cerita Dunia Baru.

Menganggap Tajol berlawanan dengan jati dirinya, Ellyas akui dia gembira kerana masih kekal dan diterima untuk Dunia Baru selepas siri dan filem diperkenalkan.

“Ada bezanya bagi Dunia Baru siri filem dan online. Dulu agak mudah untuk saya bawakan karakter saya kerana watak saya yang suka main-main. Namun, Tajol kali ini lebih matang dan nakalnya cuma ditonjolkan sedikit dan dia lebih berfikir tentang wang.

“Sekali sekala juga saya perlu serius dan ia agar sukar untuk dijiwai pada mula kerana saya bukan seorang yang serius.

“Tambah pula drama online ini disiarkan lima minit sahaja bagi setiap episod dan ini membuatkan segala babak-babak yang penting dipadatkan.

“Bayangkan, dalam tempoh sesingkat itu, kami perlu tonjolkan pelbagai adegan menarik yang dapat menyalurkan mesejnya kepada audiens,” katanya.

Tambahnya, dia gembira kerana ada beberapa pendatang baru yang memeriahkan drama online tersebut walaupun tetap rindu dengan barisan pelakon lama.

Bertanya pula mengenai dirinya yang sering ketawa setiap kali ditanya soalan, katanya, dia seorang yang tidak suka mengambil sesuatu perkara terlalu serius.

“Laughter is the best medicine. Itulah kata-kata yang sering saya pegang dalam hidup. Hidup ini tidaklah berpanjangan, Jadi kita perlu gembira dengan jalan hidup yang dilalui walaupun kadangkala ia agak perit,” tuturnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails