Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mahu bersanding dalam tenang-Elyana


TINGGAL enam hari lagi, penyanyi dan pelakon Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana bakal menjadi isteri kepada Khairul Anuar Hussin, tunangannya sejak 11 Julai 2009. Bermakna, sepanjang tempoh menjelang tarikh 19 November itu, pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu yang membahasakan diri sebagai Nana, semakin dihimpit atmosfera tekanan.

''Entahlah kak, Nana jadi serba tak keruan. Kalau nak tahu, dah sebulan lebih Nana tak dapat tidur lena. Asyik teringat persiapan perkahwinan sahaja. Dari sekecil-kecil kuman hingga sebesar-besar perkara.

''Contohnya, senarai perkara yang belum siap buat, perjalanan majlis kahwin macam mana, senarai jemputan, pakaian dan macam-macam lagi tau, semuanya Nana kena fikir. Sempurna ke tidak. Pening kepala.

''Walaupun dibantu oleh perancang perkahwinan, Zuhairry Zainal Abidin, tidak bermakna Nana boleh lepas tangan. Nana kena teliti satu demi persatu. Kadang kala kesilapan dan kealpaan kecil boleh buat Nana cepat naik angin,'' cerita awal Elyana menyingkap persiapan gerbang perkahwinannya.

Mengulas mengenai tekanan, sebenarnya terlalu banyak perkara yang mengusutkan fikirannya terutama berada pada fasa penghujung bergelar bujang.

Elyana dihujani kata-kata nista tentang dirinya yang belum diketahui kebenaran tentang peningkatan berat badan dirinya sehingga mencecah 100 kilogram.

Ada pihak mengatakan ia berpunca dari aktiviti sosial Elyana yang gemar melepak di kelab-kelab malam. Di kala waktu senggang Elyana yang kurang mendapat jemputan nyanyian atau lakonan sedari awal tahun lalu.

Ia kemudian disogok dengan penyebaran gambar salah seorang adiknya, Elsa Emeer yang kini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), di samping botol-botol arak di sebuah kelab malam menguatkan bukti mengatakan Elyana berkongsi 'hobi' yang sama beberapa bulan kemudian.

''Dengar sini, Nana tidak gemuk atas sebab yang entah apa-apa itu. Semuanya mengarut lah. Nana bukan jenis yang suka joli teguk minuman keras dan menari tak tentu pasal di kelab malam. Nak pergi ke tempat macam itu pun, Nana tak teringin lah.

''Sebaliknya, berat badan Nana naik sebab makan ubat terlebih dos disebabkan kesakitan di bahagian perut Nana. Kalau nak tahu, Nana menderita penyakit endometriosis, ketumbuhan di bahagian perut yang mengganggu aktiviti harian. Nana menderita penyakit itu sejak tiga tahun lalu.

''Sakitnya macam wanita yang nak bersalin, menyerang tidak kira masa dan tempat. Nak berdiri tegak pun susah terutama ketika Nana datang bulan. Doktor saran makan ubat penahan sakit sebiji sehari tetapi sebab 'sengatan' bertubi-tubi di perut, Nana ambil satu lagi suntikan sebagi ubat tambahan.

''Kesan sampingan ubat itu juga menyebabkan berat Nana naik mendadak. Tapi alhamdulillah, semuanya sudah berakhir selepas membuat satu pembedahan secara laser pada September lalu. Pengalaman ditebuk tiga lubang di bahagian perut memang tidak dapat dilupakan kerana itulah pembedahan kali pertama dalam seumur hidup Nana,'' bicaranya panjang lebar tentang perubahan fizikalnya.

Pada masa yang sama, wanita berusia 23 tahun ini juga menolak tatkala diminta mengulas tentang kelakuan adiknya itu. Tingkah penyanyi lagu Niat ini: ''Biarlah dia selesaikan masalah itu sendiri. Sebagai kakak, Nana menasihatinya dan menegur kalau dia tersasar. Orang di luar sana tak payahlah sibuk membuat kesimpulan tentang penyebaran gambar itu."

Satu lagi cerita kurang manis tentang pelakon filem Gong, Dukun dan Dunia Baru The Movie ini apabila ada pihak yang mengatakan dirinya terkena sihir, dek sering bermulut celupar. Sebab itu, musuh terdekatnya sakit hati lantas menghantar 'sesuatu' sebagai pengajaran buat dirinya.

Anak kelahiran Klang, Selangor ini tidak menafikan dia pernah menderita dek perbuatan manusia yang cemburukan dirinya itu tetapi bukan atas alasan dia bermulut jahat.

''Hati manusia ini macam-macam jenisnya. Nana tidak boleh membaca apa yang tersirat di hati mereka, apa yang boleh Nana lakukan adalah tidak berkata sesuatu yang boleh menyakiti hati mereka.

''Maafkan Nana sekiranya ada orang terasa hati dengan kelakuan Nana sebelum ini. Mungkin Nana alpa dan tidak menyedari ada kelakuan terlebih. Sebab itu, selepas menderita penyakit itu, Nana kini lebih reda dan bertawakal selepas berubat .

''Gangguan tersebut sebenarnya memberi kesan kepada karier Nana. Nana tak boleh biarkan begitu sahaja, kena bangkit dari terus digunakan sebegitu. Jadi, sekarang ini apa sahaja yang Nana lakukan adalah bertawakal sahaja,'' ujarnya yang nekad tidak mahu mendedahkan identiti individu yang menyimpan amarah kepadanya itu.

Rahsiakan mas kahwin, hantaran Mood pelakon drama Katrina Kamelia di Astro Prima ini cukup teruja tatkala dirisik tentang persiapan perkahwinannya yang sudah cukup sempurna itu.

Wajahnya cukup berseri dan girang tatkala bercerita dari upacara pernikahan sehingga saat dibawa bersanding di singgahsana pada majlis yang diadakan di Duchess Place, Ampang, Kuala Lumpur nanti.

''Untuk majlis nikah pada malam 19 November, Nana menggunakan khidmat mekap daripada jurusolek Saidatulnisa, Hatta Dolmat (pakaian), Ari Wedding Couture (pelamin, hantaran) berlatar belakangkan warna putih dan biru firus menggunakan konsep Islamik moden.

''Bagi upacara persandingan untuk ahli keluarga diadakan pada waktu siang 20 November, Nana memilih konsep kontemporari Melayu dengan menggunakan khidmat Hazwani Osman untuk pakaian dan jurusolek Famee Abdullah Radzi.

''Pada sebelah malamnya pula, Nana menggunakan khidmat pakaian ala vintaj Inggeris rekaan Zery Zamry dan Hazwani Osman serta Amy Janz (jurusolek). Majlis ini khas diadakan buat teman media dan kawan-kawan rapat Nana dan suami,'' katanya sambil disusuli senyuman lebar.

Ditanya tentang jumlah mas kahwin dan hantaran, pelakon drama Renjis ini mengatup mulutnya rapat-rapat. Pinta Elyana agar perkara itu dirahsiakan buat sementara waktu sehingga tiba hari kemuncaknya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails