Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Erin Malek. Show all posts
Showing posts with label Erin Malek. Show all posts
WAJAH TERKINI FALIQ, ANAK ERIN MALEK
Gambar terkini Mohamed Faliq Mohamed Farriz anak kepada Erin Malek atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 21, dan Farriz Fauzy yang dilahirkan 1 Oktober lalu.
Umum mengetahui bahawa kembar kepada Faliq sudah meninggal dunia akibat lebihan cecair di dalam perut sehingga menyebabkan badan membengkak ketika kandungan Erin mencecah usia 16 minggu.
Jom kita tengok wajah si kecil ini!
Erin Malek Kongsi Kisah Lahirkan Anak Tanpa Kembarnya
Pelakon Erin Malek yang sebelum ini mengandung anak kembar selamat melahirkan seorang sahaja bayi sulungnya pada Khamis.
Berita berkenaan didedahkan sendiri oleh Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 21, menerusi laman Instagram miliknya pada petang Jumaat.
Bayi itu diberi nama Mohamed Faliq Mohamed Farriz yang dilahirkan pada kira-kira pukul 9.27 pagi.
Bagaimanapun, Erin memberitahu kembar kepada Faliq meninggal dunia ketika kandungannya mencecah usia 16 minggu namun dibenarkan oleh pihak doktor untuk janin itu bersama kembarnya sehingga usia kandungan sembilan bulan.
"Assalamualaikum. 1 Oktober 2015, Khamis, 9.27 pagi. Alhamdulillah ia adalah hari paling indah buat saya dan Farriz. Kami ingin memperkenalkan anak kami, Mohamed Faliq Mohamed Farriz.
"Bagaimanapun mungkin ramai tidak mengetahui adik kembar kepada Faliq meninggal dunia ketika kandungan saya berusia 16 minggu," katanya menerusi status terbaharu pada Jumaat.
Jelas Erin lagi, seorang anaknya itu disahkan meninggal dunia akibat lebihan cecair di dalam perut sehinnga menyebabkan badan membengkak.
Pun begitu kata Erin, dia tidak perlu mengugurkan janin berkenaan dan boleh meneruskan kandungannya seperti biasa sehingga 9 bulan.
"Perasaan saya berbaur-baur apabila melihat wajah Faliq kerana dia mengingatkan saya kepada kembarnya. Saya dan suami sedih dengan kejadian itu namun kami percaya Allah mempunyai perancangan lebih baik untuk kami sekeluarga.
"Dikesempatan ini juga kami ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan semua yang memberi sokongan dan doa. Terima kasih," katanya.
Erin dan Farriz berkahwin pada 10 Oktober tahun lalu.
SUASANA MAJLIS BABY SHOWER ERIN MALEK
Setelah ramai artis kita mengadakan majlis baby shower, kini tiba giliran Erin Malek pula mengadakan majlis tersebut. Meskipun kelihatan sarat, namun Erin masih menawan dan mempunyai daya tarikan tersendiri.
Difahamkan, Erin bakal melahirkan anak sulungnya pada bulan ini.
Untuk info, majlis baby shower telah dibuat secara sederhana, dan ia telah dihadiri oleh keluarga dan kenalan rapat.
Jom tengok!
Gambar Terkini Erin Malek Lepas Berkahwin Dengan Farriz Fauzy
Pelakon terkenal, Erin Malek yang memkbuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang pada usia 20 tahun amat memeranjatkan segelintir peminat.
Erin Malek menyatakan dirinya tidak kisah untuk bergelar ibu pada usia muda dan akan menerima sebarang kurniaan cahayamata dalam masa terdekat dengan hati terbuka.
“Setakat ini, belum lagi ada tanda-tanda kehamilan. Memang ada ramai yang bertanya, walau pun usia berkahwinan Erin dan suami baru masuk dua bulan. Kalau boleh, suami memang mahukan anak seawal yang mungkin. Cuma, kami anggap belum ada rezeki lagi,” katanya.
Tambahnya, dia tidak mahu terburu buru dalam soal anak kerana mereka berdua kini masih dalam fasa berbulan madu dan akan terbang ke London pula pada penghujung Disember ini untuk percutian mereka berdua.
“Suami seorang yang memang suka berjalan, dan itu adalah hobinya yang dikongsi sama dengan saya. Jadi kami tak kisah berbelanja untuk tujuan itu,” tambahnya lagi.
Erin Malek Dan Suami Diduga Menjelang Perkahwinan
Pelakon Erin Malek berkata ada pihak cuba memburukkan dia dengan suami, Farriz Fauzi, kononnya mereka berkelakuan tidak senonoh di depan umum beberapa hari sebelum majlis pernikahan mereka yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, bersyukur kerana isu tersebut langsung tidak menjejaskan persiapan majlis perkahwinannya itu.
"Ketika kami sibuk menguruskan persiapan perkahwinan, ada pula isu timbul kononnya kami berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.
"Entah mana timbulnya cerita itu saya pun tidak tahu tetapi saya anggap ia adalah dugaan pada saat akhir sebelum berkahwin. Mujurlah keluarga kami tidak melatah dan Alhamdulillah, kami tetap disatukan jua sebagai suami isteri," katanya.
Erin dan Farriz, 30, sah bergelar suami isteri pada Jumat lalu dalam dalam satu majlis yang diadakan di kediaman keluarga aktres itu di Duta Suria, Ampang, dekat sini.
Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Pernikahan, Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Mohd Yusof dan diwalikan oleh bapa Erin, Abdul Malek Mari.
Pada majlis itu, Farriz, 30, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM10,000 manakala wang hantaran RM30,000.
Sementara itu, Erin berkata, dia dan suaminya merancang berbulan madu di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 24 Oktober ini.
"Mula-mula kami nak ke New York, tetapi bila difikirkan semula, lebih baik ke Los Angeles memandangkan Farriz pun tahu tempat-tempat menarik di situ.
"Kami akan pulang semula ke Malaysia pada 4 November depan. Mungkin saya akan teruskan bercuti untuk beberapa bulan sebelum kembali sibuk dengan kerja-kerja lakonan," ujarnya.
PERCEPAT NIKAH - ERIN MALEK KAHWIN ESOK
Berita gembira untuk peminat Erin Malek! Pelakon genit itu telah mempercepatkan tarikh pernikahannya dengan Farris Fauzy dan ia akan berlangsung esok malam di kediaman keluarga Erin di Ampang, Selangor.
Sebagai makluman, lokasi pernikahan tersebut adalah sama dengan lokasi majlis pertunangan mereka sebelum ini.
Difahamkan, selepas bernikah, ia akan disusuli dengan majlis resepsi yang akan diadakan keesokkan harinya di sebuah hotel popular. Sementara majlis bertandang keluarga Farriz pula akan hanya diadakan pada 24 Oktober ini.
Asalnya, Erin dan Farris merancang untuk bernikah pada 10 Januari 2015 iaitu hari ulang tahun mereka berkenalan.
"Tapi, selepas berbincang balik kami sepakat untuk mempercepatkan majlis kepada tarikh sekarang. Lagipun benda baik tak wajar ditangguhkan.
"Nak dijadikan cerita, tarikh 10 Oktober 2014 (10.10.2014) ini nombornya nampak cantik dan senang nak ingat," ujar Erin dipetik sebagai berkata.
Perancangan selepas nikah nanti, mereka berdua akan berbulan madu di Los Angeles, USA.
"Selesai majlis resepsi sebelah keluarga lelaki, Insya-Allah kami akan ke sana (Amerika Syarikat)," tambahnya.
Dengan tarikh baru itu, perkahwinan Erin nampaknya sama tarikh dengan seorang lagi artis iaitu penyanyi Farhan Azizan yang turut bernikah pada esok (10 Oktober).
Tahniah diucapkan!
Dugaan darah manis Erin, Farriz
ERIN MALEK sedar dia kini berhadapan dengan banyak dugaan untuk bergelar suami isteri. Gosip terlebih manja yang disebarkan hujung minggu lalu dianggap sebagai salah satu dugaan buatnya.
PELAKON Erin Malek yang sedang menghitung hari untuk bergelar isteri kepada tunangnya, Farriz Fauzy, 30, pada 10 Oktober depan dikejutkan dengan kontroversi terbaharu.
Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, Erin didakwa beraksi terlebih manja bersama tunangnya sehingga mengundang rasa kurang selesa orang sekeliling ketika berjalan di Matta Fair, yang diadakan di PWTC yang berlangsung awal September lalu.
Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, tidak menafikan mereka berjalan berpegangan tangan namun, menafikan bermanja melebihi batasan ketika berada di tempat umum.
Meskipun tidak melatah dengan kontroversi terbaharu itu, tetapi Erin mengakui kontroversi itu mencalarkan nama baiknya dan keluarga kerana tidak sampai sebulan mereka akan dinikahkan sebagai pasangan suami isteri.
Menganggap cerita itu hanya fitnah dan dugaan sebelum perkahwinannya, Erin memberitahu dia sedar statusnya sebagai artis dan tunangan orang membuatkan dia lebih menjaga tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.
Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya baru-baru ini.
Kosmo!: Benarkah Erin beraksi terlebih manja bersama tunang ketika berada di Matta Fair baru-baru ini?
Erin: Apa yang boleh saya katakan itu hanyalah fitnah semata-mata. Saya mengaku pergi berjalan di Matta Fair bersama Farriz dan berpegangan tangan seperti pasangan kekasih lain, tetapi saya tidak melakukan perkara menjolok mata yang boleh memalukan diri sendiri.
Apakah perasaan anda apabila kontroversi ini keluar?
Saya tidak marah tetapi saya geram kerana secara tidak langsung ia memalukan saya dan keluarga. Selepas cerita itu keluar, kami berdua terpaksa terangkan hal yang sebenar kepada keluarga. Saya bersyukur keluarga kami berdua memahami apa yang berlaku.
Bagaimana pula penerimaan Farriz apabila namanya turut dikaitkan dalam kontroversi itu?
Sejak kami bertunang pada 21 Jun lalu, dia amat memahami kerjaya saya sebagai artis. Dia menerima kontroversi itu dengan baik. Bagaimanapun, saya bimbang andai kontroversi ini berpanjangan kerana tidak sampai sebulan lagi saya akan berkahwin dan bergelar isteri orang. Cerita seperti ini kurang manis, jadi saya mengambil langkah untuk tidak mengambil peduli tentangnya.
Adakah anda sedar setiap tingkah laku anda diperhatikan masyarakat?
Saya sedar sebagai artis, apa yang saya lakukan akan menjadi perhatian. Sembilan tahun saya bekerja sebagai pelakon, walaupun masih muda, saya tahu baik buruknya dunia hiburan. Sebelum ini saya juga pernah dilanda kontroversi dan telah belajar daripada kesilapan yang lalu. Saya tahu batas untuk menjaga maruah diri. Selepas apa yang berlaku, saya hanya berserah pada Allah untuk membalasnya.
Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan?
Setakat ini, ia sudah sampai ke peringkat mengedarkan kad perkahwinan kepada jemputan. Semua persiapan berjalan lancar tetapi saya masih bekerja lagi. Minggu hadapan barulah saya akan bercuti untuk memberi fokus kepada majlis perkahwinan yang berlangsung pada 10 Oktober depan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda?
Terbaharu, saya sedang menjalani penggambaran telefilem Dia Ayah Saya. Buat masa ini, itu sahaja penggambaran yang saya ambil sebelum bercuti panjang.
Erin Malek Anggap Sikap Manja Dengan Tunang Seperti Pasangan Kekasih lain
Pelakon Erin Malek menganggap sikap dan kelakuan manja dengan tunangannya Farriz Fauzy, 30, adalah perkara normal seperti yang dilakukan oleh pasangan kekasih yang lain.
Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, berkata, status selebritinya membuatkan segala tindak tanduk yang dilakukan lebih menjadi perhatian lebih berbanding pasangan lain.
"Kami seperti pasangan bercinta yang lain sahaja, cuma mungkin mereka bukan selebriti jadi tidak diberi perhatian, lagipun apa salahnya saya manja dengan tunang saya.
"Bila dah dekat-dekat dengan tarikh kahwin ini ada-ada sahaja cerita buruk yang keluar dan saya anggap ia dugaan sahaja," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.
Erin berkata demikian ketika diminta mengulas sebuah gosip diruangan pojok yang mendakwa dia dan pasangannya Farriz Fauzy berkelakuan manja 'sakan' hingga mengundang rasa tidak selesa orang ramai yang menghadiri sebuah acara Matta Fair minggu lalu.
Menurut laporan itu, Erin juga tidak menghiraukan sapaan yang dibuat oleh penulis ruangan pojok itu, malah bertindak lebih romantik apabila menerima teguran itu.
Jelas Erin, dia tidak pernah bersikap sombong dan tidak menghiraukan teguran daripada mana-mana pihak terutama orang yang dikenalinya.
Katanya, kemungkinan keadaan orang ramai yang bersesak-sesak di acara tersebut juga membuatkan dia kurang menyedari mana-mana teguran yang ditujukan kepadanya.
"Mana mungkin saya buat tidak tahu sahaja kepada orang yang menegur saya, terutama orang yang saya kenal. Mungkin saya tidak dengar ketika itu.
"Situasi di Matta Fair tempoh hari terlalu ramai orang, sehingga hendak jalan pun susah," ujarnya.
Dalam pada itu, Erin menganggap tuduhan tersbeut sebagai salah satu ujian kepadanya dalam menghitung detik bahagia bergelar isteri pada 10 Oktober depan.
Jelas Erin, dia enggan melayan dan memperbesarkan khabar angin buruk itu bagi mengelakkan daripada memberi tekanan kepada kedua-dua mereka menjelang hari perkahwinan tersebut.
"Saya sudah tahu akan ada cerita-cerita seperti ini, jadi saya awal-awal saya dan Farriz sudah bersedia tentang perkara-perkara buruk yang bakal kami hadapi."
"Saya tidak mahu ambil peduli sangat kerana tidak mahu ia akan memberi tekanan kepada kami banyak lagi yang perlu diuruskan," katanya.
Pasangan Erin dan Farriz mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 21 Jun lalu selepas empat bulan mengenali lelaki tersebut.
Sementara itu, Erin berkata, persiapan perkahwinannya sudah hampir siap dan dia kini mula mengedarkan kad undangan perkahwinanya kepada rakan-rakan terdekat.
Majlis pernikahannya akan berlangsung pada malam Jumaat, 10 Oktober depan di Hotel Intercontinantal, di Kuala Lumpur.
Manakala majlis resepsi diadakan keesokan hari diadakan di lokasi yang sama.
Erin tumpu persiapan kahwin
SUDAH mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan, Farriz Fauzy pada bulan Jun lalu, tahun ini merupakan kali terakhir buat pelakon Erin Malek menyambut Hari Raya Aidilfitri secara solo.
Ini kerana dia mengambil keputusan untuk bertunang selama empat bulan sahaja, sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama Farriz pada Oktober ini.
Erin yang ditemui pada majlis pelancaran program Impian Suria Fair & Lovely di Talent Lounge, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini mengakui, sambutan Aidilfitri selepas ini pastinya sudah berbeza.
“Kalau sekarang ini, bolehlah saya memberi tumpuan kepada persiapan diri sendiri sahaja, tetapi pada tahun hadapan suasananya akan berlainan apabila perlu membuat persiapan untuk suami sekali.
“Jadi, pada Aidilfitri kali ini saya mahu beraya sepuas-puasnya sebagai gadis solo dan mahu mengumpul banyak duit raya. Lagipun, mulai tahun hadapan saya pula yang akan memberi duit raya,” ujar pelakon yang popular menerusi drama bersiri Misiku Kuza itu.
Ketika ditanya mengenai persiapan yang dilakukan sempena menyambut Aidilfitri, ujar Erin, 20, dia sekadar menyambutnya secara sederhana dan menempah empat pasang baju baharu sahaja.
Menurutnya, dengan masa terluang yang ada semasa bulan puasa lalu, dia lebih banyak memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinannya yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Setakat ini, saya sudah mula membuat persiapan untuk perkahwinan memandangkan tempoh yang ada agak singkat. Disebabkan itu, saya agak kurang membuat persiapan raya kerana tidak mahu kelam-kabut pada saat-saat akhir.
“Malah, sepanjang bulan puasa juga saya langsung tidak terbabit dalam sebarang penggambaran. Saya membuat keputusan untuk lebih banyak berehat tanpa memikirkan soal kerja sambil membuat persiapan perkahwinan,” ujarnya.
Jelas Erin, sepanjang Aidilfitri ini juga dia akan menyambutnya di Kuala Lumpur bersama keluarga dan pada pertengahan Ogos pula dia bakal menjalani penggambaran sebuah drama bersiri, Lari Sayang Lari.
Biarpun majlis perkahwinannya akan berlangsung dalam tempoh terdekat, ujar Erin, karier seninya masih berjalan seperti biasa dan dia tidak akan mengurangkan aktiviti lakonannya.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai perasaannya menjelang saat dia bergelar seorang isteri, dia akui berasa agak gugup, tetapi sudah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal.
Ujarnya, bukan menjadi satu masalah yang besar buat dirinya apabila berkahwin dalam usia yang masih muda.
Ini kerana apa yang paling penting, dia memang sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri.
“Saya merupakan yang paling muda mendirikan rumah tangga dalam kalangan rakan-rakan.
“Bagaimanapun, saya agak beruntung kerana rakan-rakan juga banyak membantu saya melakukan persiapan,” ujarnya.
Pengguna produk
Bercerita tentang pembabitannya dalam program Impian Suria Fair & Lovely yang akan disiarkan sebanyak enam episod, Erin meluahkan rasa terharunya apabila menjadi pilihan jenama produk kecantikan tersebut.
Menurutnya, ia merupakan sebuah program pengembaraan ke beberapa buah lokasi menarik di Malaysia bersama dua orang lagi temannya iaitu penyanyi Daiyan Trisha dan personaliti YouTube, Shazreen Fazlynda.
“Sebenarnya saya memang pengguna produk Fair & Lovely sejak berusia 11 tahun. Sepanjang menggunakan produk tersebut, ternyata ia sangat bersesuaian dengan diri saya.
“Jadi, apabila terpilih menyertai program ini, ia sesuatu yang cukup menggembirakan buat diri saya. Lagipun, banyak pengalaman menarik yang diperolehi sepanjang penggambaran berlangsung,” jelasnya.
Bagaimanapun, pelakon tersebut memberitahu dia bukanlah menjadi duta kepada jenama produk berkenaan. Sebaliknya, dia sekadar terbabit dalam program Impian Suria Fair & Lovely selaku salah seorang pelakon.
Keluarga adalah keutamaan - Erin Malek
CANTIK, muda dan berbakat. Tiga sifat yang ada pada pelakon remaja, Nur'Arina Abdul Malek atau lebih dikenali Erin Malek, 19. Dalam usia yang muda Erin juga terpaksa menerima tempias pelbagai kontroversi dan cerita-cerita panas yang dikaitkan dengan dirinya.
Daripada perihal keluarga, cinta hinggalah ke perangai sosialnya, kesemua itu terpaksa diharungi meskipun ada ketikanya dia tidak mampu bertahan.
Melalui zaman peralihan apabila bergelar anak remaja, Erin kembali bersemangat dengan menyusun strategi dan tidak menggunakan kontroversi sebagai alasan untuknya berhenti daripada bidang lakonan.
Ternyata dia gembira apabila keputusan terjun ke bidang itu memang tepat biarpun pernah memperlahankan kerjaya seninya tidak lama dulu demi fokus kepada pelajaran.
"Tiga atau empat tahun dulu saya pernah berhenti daripada berlakon. Masa itu, saya fokus belajar. Namun, saya gembira kerana kelibat saya tidak pernah dilupakan.
"Habis sahaja saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terus ada tawaran berlakon. Namun, bukan semua tawaran diterima kerana saya akan melihat kesesuaian watak yang diberikan, barulah saya akan bersetuju," katanya.
Bertemu dalam sesi fotografi bersama Hits di lokasi penggambaran drama terbaharu lakonannya, Merah Bukan Jambu terbitan Temenggong Pictures, Erin memberitahu, dia tidak pernah mengeluarkan duit untuk belanja keluarga.
Katanya, seperti biasa ibu atau ayah akan berusaha menyara keluarga, tetapi dia tidak lupa akan tanggungjawabnya sebagai seorang kakak.
"Memang dari dulu lagi, saya akui duit hasil lakonan banyak digunakan untuk diri saya sendiri. Mungkin hanya sedikit sahaja akan saya gunakan untuk keluarga seperti bawa adik-adik keluar makan, beli baju untuk mereka atau sebagainya.
"Malah, bayaran untuk lakonan juga saya pernah gunakan untuk khidmat seorang tutor persendirian semasa SPM dahulu," ujar pelakon berwajah manis itu.
Langkah demi langkah diatur untuk mengekalkan populariti yang mula dikenali sebagai pelakon kanak-kanak sejak usia lapan tahun menerusi lakonannya dalam filem Bilut dan mengukuhkan lagi namanya selepas membintangi filem Tentang Bulan pada usia 13 tahun.
Ibu bapa suntik semangat
Keceriaan sering digambarkan pelakon berkulit cerah ini menerusi senyumannya ketika sesi fotografi dijalankan.
Tidak mahu terburu-buru semata-mata mahu kemunculannya tidak putus di kaca televisyen, Erin akui tidak gusar dengan kemaraan ramai pelakon baru.
"Untuk membina nama bukan satu proses yang singkat dan dalam industri ini, kita perlu berpegang kepada rezeki itu sendiri. Jujur, saya tidak takut pun dan kalau peluang datang lambat sekalipun, saya rela menunggu.
"Lagipun, sekarang ini aktiviti saya bukan tertumpu kepada berlakon saja, namun banyak perancangan lain yang saya buat untuk mengisi masa.
"Saya bukan jenis yang suka duduk diam di rumah, goyang kaki saja tunggu tawaran datang," kata Erin yang semakin terserlah dalam kematangan bicaranya.
Mengisi edisi 2013 profil pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini, mengakui demi kasih sayang kepada kedua-dua ibu bapa serta dua orang adik kecil, dia teruskan pembabitan dalam lakonan.
"Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon sedangkan saya amat mencintai bidang lakonan. Semangat dan dorongan ibu bapa sentiasa tersemat dalam diri dan saya pasti mereka mengharapkan yang terbaik buat kami semua," luah anak sulung daripada tiga beradik itu.
Ditanya mengenai perancangannya dalam mengisi ilmu di dada selain bidang seni, jawab Erin, dia masih menunggu masa yang sesuai untuk menyambung pelajaran dalam bidang pengarahan filem.
"Sepatutnya saya sambung belajar tapi sekiranya mahu belajar saya perlu berhenti berlakon seketika.
"Pernah juga saya terfikir awal tahun ini mahu sambung belajar tapi apabila dapat tawaran berlakon, saya letak ke tepi dulu hasrat saya.
"Buat masa sekarang belum ada matlamat untuk sebetul-betulnya mahu belajar semula, selalunya saya suka merancang saat-saat akhir.
"Mama pun tak bagi saya membuat dua kerja dalam satu-satu masa," kongsi Erin.
Erin Malek Tolak Watak Orang Dewasa
Pelakon Erin Malik tidak akan menerima mana-mana watak wanita dewasa yang melebihi usia sebenarnya biarpun mendapat tawaran yang agak memberangsangkan.
Erin atau nama sebenarnya Nur’Arina Abdul Malek berkata dia lebih selesa membawa watak sebagai gadis remaja seiring dengan umurnya yang kini berusia 19 tahun.
"Banyak juga tawaran yang diberikan kepada saya untuk watak seorang wanita dewasa tetapi saya tolak kerana saya tidak mahu berpura-pura jadi wanita dewasa yang bekerja di pejabat dengan umur melebihi 25 tahun.
"Mereka suruh saya buat rambut 'kepuk-kepuk', pakai bulu mata palsu dan menggunakan mekap tebal untuk kelihatan dewasa tapi saya tidak mahu dan lebih suka watak gadis remaja macam usia saya," katanya.
Tambah Erin, watak tersebut lebih baik dilakonkan sendiri oleh pelakon wanita yang berusia dalam lingkungan orang dewasa.
"Kita ramai pelakon di Malaysia, tidak perlu jadi tua sebelum usia. Jika ada watak wanita dewasa, lebih baik beri peluang kepada pelakon yang dalam usia tersebut," jelasnya.
Erin yang bakal muncul dengan filem kedua Awak Nak Kahwin Dengan Saya berkata, ketika ini dia lebih banyak menerima watak komedi berbanding watak-watak serius.
"Buat masa ini tawaran yang datang semua watak-watak komedi baik filem atau drama.
"Namun saya tidak memilih yang penting saya suka apa yang saya lakukan," katanya.
Pelakon filem Lari ini juga mengakui mempunyai prinsip tersendiri untuk berada dalam industri hiburan.
"Prinsip hidup saya ialah jangan tamak dan perlu banyak sabar. Saya sentiasa percaya kepada rezeki.
"Sebab itu ketika belajar saya berhenti berlakon dan fokus pada pelajaran kerana bagi saya rezeki berlakon juga akan datang bila sampai masanya.
"Sekarang saya mula berlakon semula tapi saya tidak suka tamak dan ambil banyak tawaran, biarlah siapkan satu persatu," ujarnya.
Dalam pada itu, mengungkit kisah kontroversi dan dilabel sebagai artis berperangai sosial ketika remajanya, Erin berkata ia adalah satu proses pembelajaran yang mematangkan diri.
"Ketika saya bersekolah macam-macam juga kontroversi dan ramai anggap saya artis yang sosial tapi sebenarnya ia bukan seperti digambarkan.
"Bagi saya semua remaja sama sahaja cuma sebagai artis saya lebih diberi perhatian. Bagaimanapun ia banyak mengajar dan mematangkan diri saya untuk lebih berhati-hati selepas ini," katanya.
Enggan tua sebelum usia - Erin Malek
Erin disenangi adik-adik
Erin Malek bukan gadis liar
PELAKON Erin Malek dilihat sebagai antara artis muda yang sangat berbakat besar dan sudah mula berkecimpung dalam dunia lakonan pada usia yang masih kecil lagi.
Bagaimanapun, bergelar artis membuatkan pelakon yang memiliki nama sebenar Nur Arina Abdul Malek itu terpalit kontroversi sehingga mencalarkan imej peribadinya.
Pelakon yang bakal menginjak usia 19 tahun itu pernah dituduh menghisap ganja di lokasi penggambaran, bertindik di lidah dan memuat naik gambar seksinya ke dalam Instagram miliknya.
Erin yang ditemui di lakosi penggambaran drama Tiga Nenek Tiga Dara di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur minggu lalu berkata, dia berharap tidak lagi dikaitkan dengan sebarang cerita kontroversi.
Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit perkembangan Erin sekarang?
ERIN: Buat masa ini saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie berjudul Anak Sampah untuk slot Cerekarama di TV3. Selain itu, saya juga turut menjadi pengacara rancangan Uni Challange 1957 yang disiarkan menerusi saluran TVi (180).
Untuk filem pula, pada akhir tahun lalu saya telah berlakon filem berjudul Lari di samping Aaron Aziz, Dira Abu Zahar dan Hazama.
Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, adakah Erin tidak menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi?
Selepas memperoleh keputusan SPM, saya tidak ada perancangan untuk menyambung pelajaran. Saya ingin kembali aktif dalam dunia lakonan memandangkan semasa di tingkatan empat dan lima saya memang jarang berlakon kerana perlu menumpukan kepada pelajaran.
Lagipun keputusan yang saya buat ini turut disokong sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa. Memandangkan kini saya sudah tidak lagi bersekolah, mereka sudah memberikan kebebasan untuk saya membuat pilihan.
Sebelum ini nama Erin selalu menjadi sebutan kerana beberapa isu kontroversi. Jadi, apakah harapan Erin pada tahun ini?
Sudah tentu saya sangat berharap supaya tidak lagi terbabit dengan cerita-cerita yang negatif memandangkan saya sedang berusaha memantapkan lagi karier dalam bidang lakonan.
Cuma sebagai seorang manusia melakukan kesilapan pastinya sukar untuk dielakkan. Namun begitu, saya akan cuba sedaya upaya agar nama saya bersih daripada sebarang kontroversi.
Apakah komen Erin sekiranya dituduh sebagai seorang gadis liar oleh segelintir pihak?
Biarlah apa yang orang lain ingin cakap tentang diri saya kerana keluarga, rakan-rakan dan teman lelaki lebih mengenali diri saya yang sebenarnya. Bagi saya, orang yang membuat tuduhan sedemikian sebenarnya mempunyai sifat dengki.
Adakah Erin tertekan apabila setiap kali nama Erin diperkatakan ramai kerana kontroversi?
Saya akui pada mulanya saya memang berasa cukup tertekan dan hilang semangat, tetapi ibu dan bapa saya banyak membantu dan memberikan sokongan moral.
Bagaimanapun, saya terpaksa menghadapinya kerana inilah jalan saya pilih dengan menjadi seorang pelakon. Saya sedar apa yang dilakukan oleh seseorang pelakon itu pasti menjadi perhatian ramai.
Jadi, pada usia sekarang ini saya perlu menjadi seorang gadis yang lebih matang. Sudah tiba masanya saya harus bertindak dengan bijak untuk menangani setiap permasalahan yang berlaku terhadap diri saya.
Tak mahu jadi 'plastik'
LUKANYA bukan sedikit, sakitnya bukan kepalang saat melayan cerita-cerita kurang enak yang sering kali bertebaran bila menyebut nama Erin Malek. Dalam melalui satu fasa ke fasa yang lain, dia merawat jiwanya dengan cara sendiri.
Bukan tidak terkesan dengan tomahan yang sering dilemparkan kepadanya. Bukan tidak tersiksa jiwa melayan cerita yang tak benar. Tetapi hakikat yang harus diakui semua, itulah yang mendewasakan Erin sampai ke hari ini.
Tidak dapat dinafikan, gadis yang baru sahaja mencecah usia 18 tahun sering dipalit dengan cerita-cerita panas. Satu persatu kisah menusuk hati kecilnya tetapi tidak sampai membusuk.
Dia bangkit mempertahankan dirinya. Cuma dia kurang senang apabila orang melabelkan dirinya sebagai gadis bermasalah akibat masalah keluarga yang pernah menghiasi dada-dada akhbar beberapa tahun lalu.
Kisah tersebut sudah ditinggalkan jauh-jauh. Bagi Erin isu keluarga tidak wajar diungkit apatah lagi dihakimi oleh orang luar yang tidak selayaknya berbuat demikian.
"Biarlah saya simpan isu keluarga sebagai sejarah yang akan dikenang. Cuma saya kurang gemar bila orang menilai diri saya dan dalam masa yang sama mengaitkan isu keluarga sebagai hal utama.
"Memang ibu bapa saya telah bercerai. Saya duduk dengan ibu dan bapa saya masih melaksanakan tanggungjawab dia sebagai seorang ayah. Orang lain tidak perlu nak mengaitkan perangai saya dengan isu keluarga.
"Setiap kali ada cerita buruk orang tetap akan tulis keluarga punca saya jadi macam tu. Semua itu tak benar dan saya hanya jadi diri sendiri. Tak guna untuk saya hidup berpura-pura semata-mata nak mengaburi mata orang lain.
"Salahkah saya menjadi diri sendiri? Salahkah jika saya nak buat itu dan ini macam orang lain? Tetapi saya hairan sebab saya akan kena tempias dek kerana perkara-perkara kecil.
"Mungkin juga sebab saya public figure dan lebih senang untuk orang lain buat macam-macam cerita yang tak betul sampai menjatuhkan maruah saya.
"Saya hanya ingat pesan ibu supaya jadi diri sendiri sampai bila-bila. Tak guna nak bersikap 'plastik' untuk memperlihatkan sisi lain semata-mata nak sedapkan hati orang.
"Kalau orang dah tak suka, orang tetap akan cari salah kita," kata Erin dalam pertemuan pagi Khamis yang lalu.
Hisap ganjaTIDAK mahu terus larut dalam emosi Erin tahu semua itu adalah pelajaran berguna buat dirinya. Dia mengambil sikap enggan melayan apa sahaja cerita yang tidak berasas memandangkan itu merupakan asam garam sebagai anak seni.
Cuma apa yang dikesalkan Erin apabila ada pihak yang bersikap kurang ajar dan menjatuhkan maruah dengan menuduh dirinya kaki hisap ganja beberapa bulan lalu.
Mengimbau kembali cerita tersebut, Erin dituduh mengambil ganja akibat tidak dapat berdialog ketika dalam satu penggambaran drama untuk sebuah stesen televisyen.
Mengakui tuduhan yang dilemparkan itu cukup teruk dan sangat memalukan, dia hampir-hampir mengambil tindakan saman ke atas penyebar cerita tersebut.
"Kalau sampai tuduh saya hisap ganja dan sebar di Internet, itu memang melampau. Saya pelik kenapa mereka sanggup tulis cerita yang tak betul untuk burukkan saya.
"Budaya menulis tanpa bertanyakan apa-apa inilah yang sebenarnya mewujudkan situasi yang kurang sihat. Tambahan pula cerita yang disebar bersifat fitnah, itu memang menjatuhkan kredibiliti saya.
"Kalau ikut perasaan marah memang saya nak heret sahaja tukang sebar cerita ke muka pengadilan. Kadang-kadang ini sahaja cara nak ajar orang-orang macam ni untuk insaf.
"Tapi saya anggap penjelasan saya ketika itu sudah cukup untuk menjernihkan keadaan. Tambahan pula penat nak layan cerita-cerita macam ni," kata pelakon filem Lari ini.
Mengakui semangatnya selalu dipulihkan oleh keluarga dan teman lelakinya, Erin bagaimana pun sedar yang dia perlu menjaga tingkah laku agar tidak terus dilabel sebagai 'budak bermasalah'.
Ironinya, setiap kali timbul apa sahaja isu, ibunya akan menjadi orang pertama yang memarahinya terlebih dahulu sebelum mereka berbincang.
"Memang sejak dulu ibu akan marah saya terlebih dahulu kalau keluar cerita tak elok. Ibu akan bebel dan marah tetapi apabila situasi semakin tenang barulah saya terang apa yang berlaku.
"Saya bersyukur sebab keluarga sangat memahami apa yang berlaku. Seteruk mana saya jatuh sekalipun merekalah yang akan bagi semangat untuk saya terus berdiri.
"Kalau mereka tak beri semangat, mungkin saya tidak sekuat ini," jelasnya tanpa berselindung.
Ada sebab seksi - Erin
SENGAJA atau tidak sengaja? Itu persoalan utama apabila isu membabitkan 'babak seksi' pelakon Erin di atas katil dengan berkemban sehingga menampakkan tali baju dalamnya tersebar di akhbar. Ada yang kata pelakon cilik ini tidak serik-serik berhadapan dengan isu 'murahan' seperti ini. Atau apakah juga dia dengan sengaja mahu mencari publisiti murah untuk diri sendiri sehingga sanggup memuatkan gambar berkenaan dalam laman sosial sendiri?
Apapun persepsi dan tanggapan, pelakon ini punya jawapan tersendiri. Kata Erin, dia punya sebab musabab yang wajar.
"Saya bukanlah orang yang suka rakam foto di bilik tidur, kemudian muat naik untuk tatapan ramai. Saya masih ada perasaan malu," kata Erin Malek menjelaskan cerita sebenar tentang gambar instagram yang diletakkan di Twitternya baru-baru ini.
Kata Erin, foto seksinya menggayakan gaun malam itu dirakam ketika dia sedang menunggu arahan daripada pengarah, Ahmad Idham Ahamd Nadzri untuk memulakan penggambaran filem Lari.
"Gambar itu dirakam bukan dalam bilik tidur saya tapi di lokasi. Ramai orang berada di sekeliling saya ketika itu. Malah gaun malam yang saya pakai itu pun pakaian saya ketika memegang watak Ina.
"Saya memakai tube, bra dan gaun. Tujuan saya memapar foto itu adalah untuk memberitahu peminat yang saya sedang menjalani penggambaran. Silapnya saya tidak beritahu bahawa itu di lokasi penggambaran," jelasnya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Erin, gambar itu bukan dituju kepada teman lelakinya tapi untuk semua para peminat. Ia dengan tujuan memudahkan mereka mengikuti perkembangannya kerana sepanjang menjalani penggambaran filem Lari sudah beberapa keping fotonya dimuat naik di Twitter.
Apa yang dikesalkan oleh Erin, laporan yang dibuat berat sebelah kerana si penulis tidak memahami maksudnya. Malah, dia juga tidak diberi peluang membuat penjelasan awal sebelum berita berkenaan diterbitkan.
"Persoalannya, kenapa si pembaca dan penulis itu tidak tanya saya sendiri? Mereka pandai-pandai buat andaian sendiri, tulis bukan-bukan.
"Bila keluar cerita itu, saya dimarahi emak dan adik- beradik. Saya tidak suka cari publisiti melalui cerita yang bukan-bukan tapi orang selalu salah anggap pada saya. Tujuan saya keluarkan gambar itu pada masa ini, sekurang-kurangnya bila filem disiarkan kelak, penonton tahu itu adalah untuk watak Ina yang dipaksa menjadi pelacur setelah diculik," katanya dengan nada kesal.
Meskipun dirinya teruk diperkata, Erin tetap tabah kerana filem Lari yang dilakonkan bersama Aaron Aziz itu banyak menampilkan mesej untuk para gadis.
Erin Malek Tenang Selepas Konflik Keluarga Selesai
PETALING JAYA: Pelakon remaja Erin Malek mengakui peningkatan usianya yang kini mencecah 18 tahun menjadikan dia semakin matang dalam menghadapi konflik keluarga yang pernah berlaku sebelum ini.
Erin atau nama sebenarnya Nur’Arina Abdul Malek berkata, dia kini kembali tenteram selepas hampir dua tahun kontroversi yang mendakwa bapanya, seorang jurukamera Malek Marwi, 36, menjalin hubungan dengan aktres Fiza (Elite) sehingga menyebabkan perceraian ibu bapanya.
“Ketika konflik keluarga berlaku pada dua tahun lalu, saya masih di bangku sekolah dan tekanannya amat berat buat saya.
“Saya akui pernah melakukan beberapa kesilapan kerana tertekan. Alhamdulillah, keadaan saya semakin stabil dan tenteram, mungkin kerana saya semakin meningkat dewasa.
“Keadaan kami sekeluarga juga semakin baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Aktres Tentang Bulan ini berkata, pada waktu ini dia mahu memulakan semula kerjaya lakonannya yang tertangguh hampir dua tahun kerana bersekolah.
“Sebelum ini saya sibuk sebagai pelajar sekolah. Saya cuba menjalani kehidupan remaja normal tanpa ada limpahan publisiti.
“Sebab itu, saya jarang menghadiri majlis atau acara hiburan sepanjang tempoh itu. Kini saya sudah tamat persekolahan dan mahu aktif berlakon seperti dulu,” katanya.
Terbaru, Erin sedang terlibat dalam penggambaran filem arahan Ahmad Idham berjudul Lari yang menjalani penggambaran di Perlis sejak 16 September lalu.
“Saya bersyukur sangat dengan tawaran Ahmad Idham selepas hampir tiga tahun kami tidak bekerjasama dalam filem.
“Ketika saya meraikan ulang tahun kelahiran ke-18 pada Julai lalu, dia menghubungi saya untuk menawarkan watak Ina dalam filem ini dan saya terimanya tanpa berfikir panjang,” katanya.
Lari yang merupakan filem ke-10 terbitan dan arahan Ahmad Idham menerusi Excellent Pictures Sdn Bhd, turut membariskan Aaron Aziz, Dira Abu Zahar dan Hazama Azmi (AF9).
Filem aksi yang menelan kos produksi sebanyak RM2.5 juta menjalani penggambaran di Perlis, Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak selama 35 hari. Ia dijangka ditayangkan pada 2013.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]

























