Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Heliza af. Show all posts
Showing posts with label Heliza af. Show all posts

Risau dianggap riak - Heliza

Maklum sedia tahu betapa kejamnya tentera Israel membedil wilayah Gaza, Palestin. Tidak mengira peringkat umur, hatta bayi sekalipun turut dibedil tanpa perikemanusiaan. Disaat kita sedang gembira melawat sanak saudara sambil meraikan kehadiran Syawal, janganlah kita lupa dengan apa yang dihadapi saudara kita di tanah Gaza yang dibedil dengan bom dan peluru saban hari tanpa mengira waktu. Kita meriah dengan pelbagai hidangan juadah enak di rumah terbuka tetapi bayangkanlah apa yang dimakan oleh penduduk Gaza untuk meraikan Syawal. Mungkin cukup sekadar mengalas perut. Ramai yang bersimpati dan mengalirkan air mata melihat kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin termasuklah penyanyi, Heliza. Saat pertama kali mengetahui Gaza telah diserang pada 8 Julai bersamaan Ramadan ke-10 , Heliza mengakui yang dia begitu syahdu sehingga mengalirkan air mata mengenangkan apa yang dihadapi di sana. "Sebenarnya, masa Gaza diserang itu, salah seorang daripada rakan saya di Palestin telah menghantar mesej yang memberitahu yang Israel telah serang mereka. "Dia hantar mesej memberitahu bom telah diletupkan oleh tentera Israel dalam jarak hanya satu kilometer saja daripada kediamannya. "Bila dengar mereka cakap macam itu, saya menangis teruk sebab risau dengan keadaan mereka tetapi mereka tenang dan menyuruh saya untuk tidak risau," jelasnya. Tambah Heliza, rakannya itu tenang sahaja dengan keadaan itu dan mereka tidak sedikit pun gentar dengan apa yang dilakukan oleh Israel. "Ketika itu, mereka beritahu saya jangan risau kerana mereka sedang bersemangat tinggi," jelasnya. Jelas Heliza lagi, dia tidak dapat membayangkan keadaan di sana apatah lagi sebelum ini dia pernah berkunjung ke Gaza dan merasai sendiri pengalaman berada di sana. "Kalau tanya saya, memang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Keadaan kelam-kabut bukan sahaja di luar, tetapi juga di hospital. "Tetapi rakan saya boleh tenang sahaja. Siap memberi ucapan selamat berbuka puasa kepada saya sedangkan saya sendiri risau sama ada mereka dapat berbuka puasa atau tidak. "Apa yang buat saya bertambah risau lagi adalah sekiranya mesej saya tidak lagi berbalas kerana orang itu sudah tiada. "Itu yang paling saya risau kerana Israel menyerang tidak kira waktu. Sama ada berbuka, sahur atau tengah malam," jelasnya. Mahu ke Gaza Menambah bicara, jelas Heliza sebenarnya dia tidak sabar untuk pergi ke Gaza tetapi faktor peperangan tidak mengizinkan kerana pintu masuk telah ditutup. "Saya memang hendak pergi ke sana tetapi pintu (sempadan) telah ditutup. Lagipun, untuk penghantaran awal, mungkin golongan pakar yang akan dibawa masuk dahulu untuk membantu," ujarnya. Jelas Heliza, dia sudah memberitahu perkara untuk pergi ke Gaza kepada ibu dan ayahnya, malah dia berdoa untuk diberi peluang dapat ke sana. "Kalau cakap tentang takut berada di sana, saya tidak tahu sama ada takut atau sebaliknya. "Lagipun, melihat saudara saya sedang berjuang di sana membuatkan saya merasakan yang hendak ke sana untuk sama-sama membantu," jelasnya. Katanya, memang benar dia tiada kekuatan untuk mengangkat senjata tetapi berkongsi pengalaman ketika di sana adalah salah satu jihad padanya. "Saya nak pergi ke sana kerana saya hendak kongsikan apa yang berlaku. Saya hendak bawa cerita kekuatan mereka di sana. "Itu perjuangan saya dan saya masih ingat lagi ketika tahun 2012, buat kali pertamanya saya ke sana dan saya tidak tahu apa yang patut dilakukan," jelasnya. Menurut Heliza lagi, ketika itu dia tidak tahu apa-apa tentang Palestin apatah lagi hendak memberi bantuan di sana. "Tetapi tuhan telah berikan kekuatan kepada saya dengan memudahkan saya untuk bercerita kembali apa yang telah berlaku di sana. "Lagipun saya berpegang dengan kata-kata nabi iaitu sebaik-baik manusia, adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. "Berpegang daripada situlah yang menguatkan saya untuk sentiasa kuat mahu berada di Gaza," jelasnya.

Heliza mahu bina masjid

WAJAHNYA cukup comel, mulutnya pula petah berkata-kata manakala imejnya sangat ayu dan sopan dengan hijab labuh dan jubah. Bermula sebagai penyanyi dengan mencuba nasib dalam program Akademi Fantasia musim kelima, kini kerjaya Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 27, sudah berkembang. Wajahnya lebih kerap muncul sebagai pengacara program televisyen, penceramah bebas dan juga terbaharu, Heliza sudah bergelar ahli perniagaan. Bukan hanya satu atau dua perniagaan yang diuruskan, sebaliknya dia menguruskan bisnes Heliza Helmi Hijjab, Heliza Helmi Instant Telekung dan terbaharu, butik pakaian Muslimah, Falah Abiyana yang diusahakan bersama beberapa rakan kongsinya. Disoal mengapakah dia seperti kelihatan begitu tamak mahu membuat semua perkara serentak, ujar Heliza, dia bukannya tamak. Sebaliknya, dia menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk sesuatu yang berguna. "Kita ada masa 24 jam. Jika digunakan sebaik mungkin, banyak perkara yang boleh dicapai. Apa sahaja yang beri manfaat kepada diri, keluarga dan orang lain, saya akan cuba libatkan diri. "Saya sendiri bukannya sempurna, ada kekurangan di sana sini. Jadi, apabila saya melibatkan diri dengan pelbagai bidang yang berbeza secara tidak langsung saya turut belajar untuk memperbaiki diri sendiri," ujarnya. Hari ini, wajah Heliza bukan asing lagi dalam banyak program motivasi dan keagamaan. Bukan calang-calang orang yang pernah bergandingan dengannya kebanyakan jauh lebih berusia, berpengalaman dan mempunyai pengaruh yang besar. Sejak berusia lima tahun lagi dia sudah menyimpan cita-cita untuk bergelar pakar motivasi seperti Datuk Fadzilah Kamsah. "Masa saya lima tahun, saya cukup suka tengok program motivasi Datuk Fadzilah Kamsah di televisyen, saya kata pada ibu saya ingin jadi sepertinya suatu hari nanti. "Tidak sangka, dua tahun lalu saya berada di dalam Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin) dan penaungnya ialah Datuk Fadzilah Kamsah. Ia umpama mimpi jadi nyata rasa seperti tidak layak untuk duduk satu pentas dengannya," katanya. Sedar perjalanannya masih jauh untuk bergelar seorang pakar motivasi, Heliza merangkak perlahan-lahan menuntut ilmu daripada mereka yang lebih pakar.
Setakat hari ini, Heliza yang mempunyai sijil sebagai perunding imej bertauliah lebih banyak berkongsi pengalamannya sebagai anak seni jika dijemput menghadiri forum. "Jika nak berdakwah apabila diri sudah cukup sempurna, tiadalah pendakwah. Saya hanya berkongsi pengalaman dan ilmu yang saya tahu sahaja. "Saya mengaku diri ini bukan yang paling hebat, paling baik dan paling bijak. Selain berkongsi pengalaman, saya juga selalu dijemput sebagai perunding imej untuk Muslimah. "Alhamdulillah, walaupun yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia, mereka dapat menerima saya dengan baik," akuinya. Album baharu Walaupun sibuk dengan bidang lain, aktiviti seni tidak pernah dilupakan Heliza. Tahun ini genap enam tahun penglibatannya dalam bidang seni, ironinya baru kini dia bakal muncul dengan album sulungnya. Bukan bidang nyanyian tidak lagi menjadi pilihannya, sebaliknya sebelum ini peluang untuk menghasilkan album belum tiba. "Sudah lama jadi penyanyi, baru sekarang nak hasilkan album. Mungkin sekarang baru tiba rezeki saya, apapun saya bersyukur walaupun orang kata, agak lewat," ujarnya. Album yang dijangka berada di pasaran dalam tahun ini mengandungi 10 buah lagu, doa dan zikir seperti Jom Zikir dan La Tahzan. "Buat masa ini baru siap dua buah lagu sahaja, selebihnya masih dalam proses. Disebabkan jadual yang padat, rakaman album sering tertangguh. "Saya harap dapat keluarkan album pada tahun ini juga sebab sudah lama sangat. Kalau tunggu lagi lama takut tidak jadi pula. "Album ini bukanlah album yang biasa sebaliknya, digabung dengan doa dan zikir. Moga-moga dapat beri manfaat buat pendengar kelak," ucapnya. Bukan itu sahaja, Heliza juga menyimpan cita-cita untuk meluaskan perniagaan dengan menubuhkan agensi pelancongan untuk membawa orang menunaikan umrah. "Itu juga antara yang sedang saya usahakan sekarang ini. Selain bawa orang pergi menunaikan umrah, agensi pelancongan itu nanti juga menyediakan pakej pelancongan seperti biasa untuk Muslim. "Saya terfikir mengenai perkara ini ketika menjadi pengacara program, Rasa Halal Antarabangsa bersama Astro Oasis. Banyak tempat menarik yang saya lawati, terutama untuk pelancong beragama Islam," katanya. Ditebak lagi soalan, apakah impian terbesarnya selepas ini? Terdiam sebentar, memikir jawapan yang sesuai barangkali. Jawabnya, dia mahu membina sebuah masjid, surau atau rumah anak-anak yatim. "Selain apa yang saya lakukan sekarang impian terbesar saya ialah membina masjid, surau atau rumah anak yatim. Jika saya sudah tiada kelak, itulah tempat untuk saya dapat pahala berterusan, kira pencen untuk hari akhirat kelak," tuturnya ringkas.
Masa terhad Sebalik imejnya yang sopan terselit perangai nakalnya, yang hanya diketahui mereka yang rapat dengannya sahaja. Tidak ramai yang tahu, Heliza sama seperti remaja lain. Dia mempunyai perangai gila-gila, gemar berlawak, mendengar muzik dan aktiviti lasak seperti Go Kart. "Jika orang yang kenal saya, pasti mesti mereka tertawa jika orang kata saya seorang yang terlalu baik. Saya seperti orang lain juga, agak nakal, suka kacau orang, merepek dan tidak suka duduk diam. Itulah diri saya yang sebenarnya. "Sejujurnya, saya tidak pernah menyembunyikan perangai saya yang sebenar. Seiring dengan peningkatan usia, saya berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam," balasnya. Bercerita tentang aktiviti paling rindu untuk dilakukannya, terus anak kepada anggota polis ini mengakui sudah lama dia meninggalkan aktiviti membeli-belah dan menonton wayang. "Sudah bertahun-tahun saya tidak jejakkan kaki ke panggung wayang. Filem terakhir yang saya tonton di panggung pun saya tidak ingat (ketawa). "Saya memang suka tengok wayang tetapi sekarang waktu sangat terhad. Sebelum ini waktu baru keluar daripada Akademi Fantasia dan semasa belajar di universiti, saya ada masa untuk membeli-belah, tengok wayang dan keluar dengan rakan-rakan. "Sekarang, kalau terdesak sangat, barulah saya akan keluar beli barang. Selalunya, ibu atau keluarga saya yang akan membeli-belah bagi pihak saya," katanya. Kemuncak yang memberi petanda dia harus berehat apabila kesihatannya mula terganggu ketika Aidilfitri yang lalu sehingga keluar batuk berdarah. "Saya demam seminggu ketika hari raya dengan batuk berdarah sebab suhu badan terlalu tinggi. Saya sangka denggi dan dalam hati, saya ingat saya nak mati. "Rupanya badan saya terlalu penat dan harus berehat. Sejak itu saya ubah jadual kerja supaya kesihatan lebih terjamin. Mesti ada masa untuk makan, bersenam dan berehat," ujarnya mengakhiri bicara.

Heliza bahagia

SELEPAS sambutan lebaran yang masih berbaki beberapa hari lagi, ramai yang masuk hospital kerana faktor kesihatan. Malah, penyanyi Heliza Helmi juga terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami demam yang teruk pada hari raya ketiga. Bercerita mengenai pengalaman itu, jelas Heliza, demam teruk yang menyebabkan badannya lemah sehingga seminggu itu berpunca daripada kerja berlebihan. Malah, doktor yang merawatnya juga meminta supaya Heliza dimasukkan semula ke wad tetapi ditolak olehnya. "Saya demam sangat teruk. Memang tidak boleh nak gerak. Demam saya sampai ke urat. Saya juga selesema sehingga kahak saya penuh dengan darah. "Mungkin ada hikmah sebenarnya saya sakit ketika itu, kerana ia memberi saya waktu rehat daripada jadual kerja yang sangat padat," jelasnya. Tambah Heliza, dia sebenarnya terlampau dibebani dengan kerja malah sudah mendapat nasihat daripada ramai pihak yang berpesan kepadanya untuk berehat. "Sebelum ini ramai juga yang meminta saya untuk berehat. Malah, selepas bertemu dengan dua orang doktor, mereka juga memberitahu perkara yang sama. "Faktor terlampau penat bekerja membuatkan badan saya lemah sehingga diserang demam yang teruk," katanya. Menurut Heliza, buat masa ini, terlalu banyak kerja yang dilakukan termasuklah menghadiri program motivasi, menguruskan perniagaan dan menyanyi. "Ramai yang tegur badan saya semakin susut. Tapi hendak buat macam mana, saya sendiri sebenarnya seronok dengan keadaan kini. "Bagi saya, Tuhan sebenarnya memberi saya peluang dan selagi ada nyawa, saya akan melakukan perkara yang terbaik," ujarnya. Jelas Heliza, dia bersyukur kerana kini keadaannya semakin pulih dan kembali rancak dengan jadual kerja. Ditanya bidang mana akan menjadi keutamaan buat dirinya sama ada kerjaya seni atau perniagaan, jelas Heliza, dia belum berfikir lagi ke arah itu. Buat masa sekarang, dia tidak mahu lagi memberi fokus terhadap sesuatu bidang. "Saya seronok bekerja sebenarnya. Sebab itu buat masa ini, saya lebih selesa untuk selarikan semua kerja yang saya lakukan. "Saya sudah terbiasa bekerja sebenarnya. Malah, masa terluang pun saya kerap berfikir tentang kerja," ujarnya. Ditanya sama ada faktor kerja menjadi penghalang buat dirinya mencari jodoh, jelas Heliza, bukan itu faktor utama. Serah ketentuan pada ilahi Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi berhijab, Heliza Helmi terutamanya golongan lelaki yang begitu memuji kecomelan penyanyi ini. Namun, dalam usia yang kini mencecah usia 27 tahun, Heliza belum lagi bertemu dengan jejaka yang mampu menjadi imam dalam hidupnya. Malah, jika dibandingkan usianya dengan wanita-wanita yang lain, ramai yang sudah bergelar suri. Mengakui tidak cemburu rakan-rakan lain yang bahagia melayari bahtera perkahwinan, Heliza jelas gembira dan sentiasa berdoa dipertemukan jodohnya. "Rakan-rakan semua sudah berkahwin. Sudah semestinya kalau ditanya, saya juga mahu mendirikan rumah tangga. "Tetapi, buat masa ini, saya bersyukur kerana masih mempunyai keluarga yang sangat memahami dan begitu menyayangi diri saya," katanya. Jelasnya, dia merasakan dirinya belum puas untuk membalas jasa yang telah dicurahkan oleh ibu bapanya. "Buat masa ini, saya lebih selesa untuk membalas jasa keluarga. Rasanya, sehingga saya berkahwin pun belum cukup sebenarnya nak membalas jasa keluarga," katanya. Ditanya apakah kriteria lelaki yang menjadi pilihan untuk hidup bersamanya, jelas Heliza, dia hanya mahukan yang terbaik daripada Tuhan. "Bukan saya memilih atau sebagainya, tetapi saya sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya lelaki yang dijodohkan dengan saya itu adalah yang terbaik untuk saya. "Sukar sebenarnya hendak membuat kriteria kerana kalau dia lelaki soleh sekalipun, tetapi tidak memahami pun payah juga sebenarnya. "Sebab itu saya lebih selesa untuk berdoa supaya jodoh yang diberikan Tuhan itu adalah yang terbaik untuk saya," ujarnya.

Dua dalam satu - Heliza

SELAIN daripada bola sepak, sukan badminton pastinya antara sukan kegemaran kebanyakan masyarakat Malaysia, apatah lagi negara kita juga merupakan salah satu kuasa dunia dalam sukan tersebut. Bukan sahaja golongan masyarakat biasa tetapi golongan selebriti juga tidak ketinggalan menjadikan sukan badminton sebagai satu aktiviti riadah sekiranya mempunyai waktu terluang. Antara selebriti yang amat meminati sukan tersebut adalah pelakon, penyanyi dan juga pengacara Heliza Helmi. Menurut gadis kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini, dia telah lama meminati sukan tersebut tetapi mula aktif menjadikannya aktiviti riadah sewaktu bergelar pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Jelasnya, walaupun sudah menjadi anak seni sejak terlibat dalam rancangan realiti nyanyian terbitan Astro, Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5), namun itu tidak menghalangnya untuk terus aktif bermain badminton pada masa lapang. “Walaupun mempunyai jadual kerja yang padat, tetapi sekiranya mempunyai waktu terluang, saya pasti akan mengambil kesempatan tersebut untuk bermain badminton. “Pada kebiasaannya, saya akan bermain sekali dalam seminggu bersama rakan-rakan artis lain di pusat sukan yang telah ditempah. “Tetapi jika tidak berkesempatan, saya akan bermain badminton bersama adik di gelanggang badminton di kawasan rumah saya," katanya yang kini menetap bersama keluarga di Cheras, Kuala Lumpur. Kata wanita yang berusia 27 tahun ini lagi, kebiasaannya dia dan rakan-rakan bermain badminton hanya untuk suka-suka bagi mengeluarkan peluh agar tubuh kekal sihat. “Kebiasaannya orang lain bermain badminton secara serius dengan menjadikannya satu pertandingan, tetapi saya pula bermain untuk kesihatan. “Jadi, saya dan rakan-rakan akan bermain secara suka-suka tanpa mengikut peraturan perlawanan kerana apa yang penting adalah untuk mengeluarkan peluh," katanya yang membintangi filem Syurga Cinta. Selain itu, Heliza yang kini aktif sebagai penceramah motivasi juga berkata melalui aktiviti tersebut, dia berpeluang menghabiskan masa berkualiti bersama rakan dan keluarga. “Sebagai anak seni, jadual harian saya padat dengan aktiviti dan undangan persembahan, jadi masa terluang ini akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. “Bagi saya, apabila bermain badminton, ia bukan sahaja untuk mencergaskan diri tetapi juga menjadi tempat untuk saya mengeratkan hubungan sesama rakan artis dan ahli keluarga," katanya yang sering bermain badminton bersama rakan artis antaranya Yatt Hamzah, Diana Amir dan Siti Nordiana. Mahu karier berjalan serentak Kebiasaannya artis tempatan akan menjalankan beberapa pekerjaan secara serentak. Begitu jugalah yang dilakukan oleh pelakon drama bersiri Warkah Cinta dan Cinta Kun Fayakun ini. Jelas Heliza, niatnya menjalankan beberapa tugas secara serentak iaitu menyanyi, berlakon dan mengacara bukan kerana mahu mengejar sesuatu tetapi bagi Heliza, kesemua platform yang disertainya itu mempunyai keunikan tersendiri. “Memang pada awalnya saya menyertai industri seni sebagai penyanyi, kemudian menceburi bidang lakonan dan pengacaraan, tetapi itu semua saya lakukan dengan satu tujuan yang jelas. “Bagi saya, setiap platform tersebut memberi peluang kepada saya untuk berdakwah kepada masyarakat dan sebagaimana yang dapat disaksikan, banyak mesej-mesej baik dapat disampaikan," katanya yang turut mengacarakan program Rasa Halal Antarabangsa terbitan Astro. Selain itu juga, Heliza kini bergiat aktif sebagai seorang penceramah motivasi dan sering mendapat jemputan mengadakan ceramah untuk pelajar di setiap peringkat. “Saya memilih untuk menjadi seorang penceramah kerana ia merupakan platform terbaik untuk saya berkongsi pengetahuan yang dimiliki bersama orang lain. “Bukan bermakna saya lebih baik daripada sesiapa tetapi apa salahnya pengalaman dan ilmu yang kita miliki ini digunakan ke arah kebaikan," katanya yang tidak lekang dengan senyuman. Pengajaran dari Gaza Baru-baru ini, Heliza berkesempatan menyertai satu rombongan lawatan kemanusiaan ke Gaza, Palestin. Beliau bersama rakan-rakan artis lain menjayakan misi menyampaikan bantuan kepada masyarakat Islam yang ditindas di sana anjuran Badan Aman Palestin. Menurut Heliza, pengalaman yang diperolehinya daripada lawatan kira-kira seminggu itu banyak memberi motivasi dan pengajaran kepada dirinya dalam menjalani hidup sebagai seorang Muslim. Jelasnya, walaupun masyarakat di sana hidup dalam serba kekurangan, tetapi semangat yang ditonjolkan mereka amat mengagumkan di mana dalam setiap perkara yang dilakukan, semuanya dilakukan demi mencari reda Allah. “Sungguh menakjubkan, saya sangka mereka pasti berada dalam keadaan yang sengsara secara mental dan fizikal tetapi apabila berpeluang menghabiskan masa di sana, saya dapat lihat semangat mereka amat teguh. “Dalam keadaan serba kekurangan dan sering menerima ancaman, mereka tidak pernah memilih jalan berputus asa dan tetap meneruskan hidup seperti yang disyariatkan Islam," katanya yang ternyata kagum dengan situasi tersebut. Tambah Heliza lagi, dia memasang niat untuk menyuntik semangat yang sama dalam jiwa masyarakat negara ini khususnya generasi muda agar terus hidup tanpa membelakangkan agama.

Heliza mahu terus nikah

SEJAK menyertai rancangan Akademi Fantasia 5 (AF 5) pada tahun 2007, ternyata penyanyi, pelakon dan pengacara Nur Heliza Helmi atau Heliza antara yang masih mampu bertahan sehingga ke hari ini. Dengan statusnya sebagai seorang artis wanita bertudung sejak awal kemunculannya, Heliza juga jarang dikaitkan dengan gosip-gosip hangat terutamanya membabitkan hubungan dengan lelaki. Bagaimanapun, lumrah menempuhi kehidupan sebagai seorang artis yang cantik dan menjadi perhatian umum, ternyata Heliza tidak mampu mengelak daripada dikaitkan dengan kisah kontroversi. Antara yang menarik perhatian ramai apabila dirinya dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan seorang VIP bergelar Datuk sehingga ditaja untuk menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Heliza Helmi Production. Tidak mahu orang ramai terutamanya peminat terus-menerus memberikan sebarang persepsi yang negatif, Heliza dengan tegas menyatakan individu yang dimaksudkan itu sekadar rakan niaga dan tidak pernah menaja syarikatnya itu. "Saya sedar selama ini ramai yang salah sangka dan ada yang menganggap saya telah ditaja oleh individu yang dimaksudkan itu. Pada hakikatnya ia tidak benar dan individu tersebut salah seorang rakan niaga. Dia tidak terlibat dengan syarikat saya terutamanya memberi tajaan. "Justeru dengan penjelasan ini, saya berharap cerita sebegini tidak lagi ditimbulkan oleh mana-mana pihak," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Festival Hijab 2012 di Kelana Jaya baru-baru ini. Menurut Heliza, sehingga kini syarikat yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu itu masih lagi berfungsi dan menjalankan perniagaan membekal barang-barang dan pengubahsuaian bangunan. "Ketika mula-mula syarikat ini ditubuhkan saya ada merancang untuk menghasilkan filem, namun perancangan tersebut ditangguhkan dahulu. Saya lebih suka memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan sekarang. "Tidak dinafikan jadual saya memang padat setiap hari, kerana selain menguruskan syarikat saya juga terbabit dengan pelbagai aktiviti lain seperti menjadi penceramah motivasi dan pengacara televisyen. Mungkin disebabkan itu saya masih lagi tidak mempunyai kekasih," ujarnya berseloroh. Bercerita lebih lanjut mengenai statusnya sekarang, Heliza mengaku bahawa sehingga kini dia masih lagi tidak mempunyai teman lelaki dan selesa dengan kehidupan sekarang. Ditanya sama ada dia teringin untuk berumah tangga memandangkan usianya yang kini sudah mencecah 26 tahun, artis kelahiran Kuala Terengganu itu menyatakan dia memang mahu berumah tangga dan mengakui sudah bersedia bergelar isteri. "Siapa yang tidak mahu berkahwin, apatah lagi melihat ramai kawan-kawan saya yang sudah berumah tangga. Bagaimanapun, saya anggap semuanya itu terserah kepada jodoh. "Cuma saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan yang dilakukan golongan muda sekarang iaitu bercinta sebelum berumah tangga. Kalau saya mahu serius dengan seseorang lelaki, saya akan terus kahwin dan kemudian bercinta selepas itu," jelasnya. Berkenaan dengan lelaki pilihannya pula, Heliza meletakkan agama sebagai keutamaan dan seorang suami yang akan mampu membimbingnya ke jalan yang diredai. Kembali berlakon Selain bergelar penyanyi dan pengacara, Heliza juga bergelar seorang pelakon dan pernah membintangi sebuah filem berjudul Syurga Cinta dan telefilem Doa Ibu pada tahun 2009. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini Heliza tidak lagi muncul di kaca televisyen dan layar perak, seolah-olah dia seperti sudah tidak berminat lagi untuk bergelar seorang pelakon. Kini, kerinduan peminat untuk melihat Heliza kembali berlakon terubat apabila dia bakal muncul dengan sebuah drama bersiri Warkah Cinta sebanyak 12 episod dan telefilem berjudul Kun Faya Kun.
"Boleh dikatakan saya sudah menyepi dalam dunia lakonan selama tiga tahun, tetapi itu tidak bermakna saya tidak mahu berlakon lagi kerana keinginan itu masih lagi ada. "Tidak dinafikan sepanjang tempoh tersebut saya masih mendapat banyak tawaran berlakon, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana jadual penggambaran sering bertembung dengan komitmen saya yang lain," ujarnya. Mengenai tawaran berlakon pula, Heliza mengakui dia agak selektif dalam memilih setiap tawaran yang diterima dan hanya bersetuju asalkan skrip dan jalan ceritanya sesuai dengan karakter dan penampilannya. Album sulung Walaupun dilahirkan daripada sebuah program nyanyian lima tahun yang lalu, sehingga kini Heliza masih lagi belum pernah melahirkan sebuah album penuh. Menurut Heliza, dia bukannya tidak berminat untuk menghasilkan album terutama buat para peminatnya. Sebaliknya, hasrat untuk menghasilkan album sering tertangguh kerana jadual kerjanya yang agak padat. "Hanya pada tahun lalu barulah saya berkesempatan menghasilkan tiga buah single iaitu Cuma Aku, Kau Selamanya dan Chord G. Ketiga-tiga lagu tersebut dihasilkan oleh saya sendiri. "Pada tahun ini pula saya menghasilkan sebuah lagi single yang berjudul Syurga Cinta hasil ciptaan komposer Mohd. Atlas. Mengenai album sulung pula, saya sendiri tidak pasti bila ia boleh dihasilkan, namun perancangan itu tetap ada," ujarnya. Mengenai konsep album sulung yang bakal dihasilkan, Heliza menyatakan dia mahu tampil dengan album yang mengandungi lagu-lagu dakwah serta memberi pengajaran kepada pendengar dan sekarang ini dia sedang mencari komposer yang sesuai untuk menghasilkan lagu-lagu sebegitu.

Heliza Helmi Pelik Dituduh Rahsiakan Kisah Cinta

PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Heliza Helmi berasa pelik dengan tuduhan kononnya dia cuba merahsiakan status dirinya yang dikatakan sudah memiliki kekasih dalam diam. Heliza, 26, memberitahu, dia tidak perlu berbuat demikian kerana pada hakikatnya dia masih belum mempunyai teman istimewa ekoran jadual kerja yang padat. "Saya sendiri pelik dan terkejut bagaimana orang lain lebih mengetahui hal hati dan perasaan saya? "Buat masa ini saya tiada teman istimewa atau kekasih kerana jadual harian saya padat dengan pelbagai urusan kerja. "Rasanya tidak perlu saya hendak berahsia jika saya memang menjalin hubungan dengan individu tertentu," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini. Heliza berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus kononnya dia merahsiakan hubungannya dengan seorang ahli farmasi yang dikenalinya ketika belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), beberapa tahun lalu. Pengacara rancangan Rasa Halal Antarabangsa itu berkata, dia memohon agar gosip yang mengaitkannya dengan ahli farmasi itu dihentikan demi menghormati perasaan lelaki tersebut. "Dia hanya kawan baik saya ketika zaman belajar di IPT dulu, bukan teman istimewa pun. Tiada apa yang perlu saya sembunyikan jika memang ada hubungan dengan dia. "Saya mohon cerita ini tidak dibesar-besarkan demi hormati dia. Lagi pun kami sudah lama tidak berhubung. "Entah-entah dia berkawan dengan sesiapa sekarang atau sudah berkahwin, nanti tidak pasal-pasal timbul masalah lain pula," katanya. Mengenai perkembangan terbaru, Heliza berkata, dia dilantik sebagai ikon Festival Hijab 2012 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 November ini. "Saya juga bertanggungjawab untuk mengemudi acara itu sebagai pengacara, moderator, forum dan terlibat dalam pameran. "Selain saya, beberapa rakan dari kelas Usrah Fitrah seperti Yatt Hamzah, Diana Amir dan Catriona Ross turut terlibat," katanya.

Heliza Helmi Ajak Rakan Artis Sertai Kelas Agama

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi mengalu-alukan pembabitan lebih ramai rakan artis untuk menghadiri kelas bimbingan agama Islam iaitu Usrah Fitrah yang dikhususkan untuk seluruh penggiat seni tanah air. Heliza, 26, berkata, sambutan daripada lebih 30 penggiat seni termasuk golongan artis setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik terhadap projek cetusan Rusydi Ramli Al Jauhari itu. “Alhamdulillah, projek Usrah Fitrah ini mendapat sambutan yang baik daripada warga seni sejak beberapa bulan lalu namun saya mengalu-alukan lebih ramai penggiat khususnya rakan artis turut serta dalam kelas tersebut. “Kelas agama itu meliputi pembelajaran segenap aspek iaitu al-Quran dan tajwid, fiqah, aqidah, hadis dan motivasi diri. Ia memang bagus dan istimewa kerana bukan sahaja memberikan ilmu tetapi dicetuskan khusus untuk membimbing warga seni tanah air,” katanya ketika ditemui mStar Online. Finalis Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata demikian selepas pelancaran bukunya yang berjudul Diari Heliza Helmi dan pengumuman sebagai duta minuman ice blended Coolblog, di sebuah hotel di sini, pada Isnin. Usrah Fitrah yang dianjurkan oleh Fine Academy Sdn Bhd dan Must Read Sdn Bhd itu terbuka kepada warga industri hiburan termasuk pelakon, penyanyi, wartawan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik.
Seramai tujuh ustaz bertauliah iaitu Rusydi Ramli Al Jauhari, Shahrizan Daud At Turabi, Ghazali Ibrahim, Syed Norhisham Tuan Padang Al Idurs, Amin Idris, Tuan Fazrul, Zul Ramli dan Halim Hafiz akan bertanggungjawab membimbing para peserta pada setiap minggu. Antara rakan artis yang aktif adalah Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Diana Amir, Noryn Aziz, Farah Asyikin, Siti Nordiana, Iqram Dinzly, Zoey Rahman, Salima AF, Enot dan personaliti TV3, Teh Syuhada. Heliza yang semakin aktif bergelar penceramah motivasi berkata, pembabitan dalam kelas tersebut sejak setahun lalu membuatkan dia semakin seronok untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan yang baru. “Saya anggap pembabitan dalam Usrah Fitrah ini bukan hanya menambahkan ilmu agama, malah memberikan saya input berguna yang boleh digunakan ketika saya memberikan ceramah dan taklimat motivasi. “Kebetulan pula, pada waktu ini saya semakin aktif memenuhi undangan untuk memberikan ceramah motivasi di merata tempat, ia menjadikan saya semakin teruja untuk terus belajar pelbagai ilmu dan perkara,” katanya.
Mengenai buku Diari Heliza Helmi, Heliza berkata, dia dilamar oleh syarikat penerbitan buku Yamani Angle Sdn Bhd pada awal tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerja yang padat. “Buku ini adalah himpunan jurnal harian saya selama ini. Sebenarnya, pihak penerbit sudah menyuarakan hasrat untuk menerbitkan jurnal saya itu ke dalam bentuk buku sejak awal tahun lagi tetapi ia sering tertangguh kerana kesibukan saya. “Selain buku, saya juga ambil kesempatan pada majlis ini untuk mengumumkan pelantikan saya sebagai duta minuman Coolblog yang berkuat kuasa pada Ogos lalu bagi tempoh setahun. “Mereka memilih saya kerana kebetulan saya memang menggemari minuman itu sebelum ini,” katanya. Majlis perasmian buku tersebut disempurnakan oleh pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Heliza Helimi Tempuh Pelbagai Pengalaman Kerana Makanan Halal

KUALA LUPUR: Penyanyi Heliza Helmi menjelaskan, bergelar pengacara bagi rancangan Rasa Halal Antarabangsa siaran Astro Oasis merupakan satu peluang luar biasa apabila dia dapat meneroka pelbagai jenis makanan di lima buah negara. Heliza berkata, pengalaman berada di Turki, United Kingdom, Perancis, Australia dan Korea Selatan itu amat menarik kerana dia juga dapat melihat perkembangan Islam di negara berkenaan. “Ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan bernilai buat saya. Bukan mudah untuk saya merasai kepelbagaian makanan halal yang terdapat di tempat orang. Ia amat menakjubkan,” katanya pada sidang media program berkenaan di sini, Isnin. Hadir sama Pengurus Saluran Astro Oasis, Izlan Basar serta wakil agensi pelancongan negara berkenaan. Heliza berkata, antara pengalaman menarik lain apabila dia menjadi minat terhadap Kimci iaitu sejenis makanan tradisional daripada sayur-sayuran di Korea selepas menikmatinya kerap kali sedangkan dia tidak menyukainya sebelum ini. Dalam masa yang sama dia juga berhadapan dengan cabaran apabila sukar mencari lokasi untuk mendirikan solat sehingga terpaksa menunaikan ibadah di set penggambaran. “Pernah juga saya berhadapan dengan masalah untuk bersolat tetapi saya dapat juga melaksanakannya kerana saya percaya terhadap kepentingan perkara itu walaupun di negara mana sekalipun kita berada,” jelasnya,
Sementara itu Izelan berkata, sambutan penonton terhadap program itu yang diperkenalkan pada tahun 2008 menyebabkan Astro Oasis terpaksa melanjutkannya sehingga ke musim yang keempat. Program terbaru selama 26 episod itu kata beliau antara lain bertujuan untuk memudahkan rakyat negara ini yang ingin melancong ke lima negara terbabit mendapatkan informasi berhubung lokasi yang menyediakan makanan halal serta kemudahan beribadah. “Berdasarkan kepada kajian kami, rakyat Malaysia gemar melancong ke lima negara berkenaan dan tentu sekali mereka tercari-cari di manakah lokasi makanan halal. “Jadi, pihak kami telah mengambil pendekatan untuk memberi pengetahuan kepada mereka dengan menerbitkan rancangan ini,” kata beliau. Rasa Halal Antarabangsa terbitan syarikat produksi E-Style Sdn Bhd ini bakal menemui penonton pada setiap Khamis bermula 28 Jun ini di Astro Oasis (saluran 106) pukul 7.30 malam.

Heliza Mangsa Internet


SELEPAS pelbagai kontroversi menerjah dirinya awal tahun ini, agak lama juga Nur Heliza Helmi mendiamkan diri. Bagaimanapun, wajah manisnya tiba-tiba muncul menjadi pengacara program Man Jadda Wajada di TV AlHijrah (TVAH) untuk 13 episod.
Heliza juga dipilih mengacarakan sesi uji bakat Ustazah Pilihan di Astro Oasis.

Justeru, apakah yang sudah berlaku kepada perniagaan diusahakan gadis ini sehingga akhirnya dia membawa haluan menjadi perantara beberapa program televisyen?



Ditemui pada sesi fotografi bersamanya, baru-baru ini, Heliza memberikan penjelasan. Katanya, perniagaan diusahakan masih lagi beroperasi. Malah,
segala urusan berjalan lancar sebagai pembekal bahan binaan kepada pelanggan.

“Bagaimanapun, pada masa sama rezeki saya nampaknya ada dalam pengacaraan apabila Astro Oasis dan TVAH memberi peluang. Saya hadir pada uji bakat diadakan dan syukur memperolehnya. Selain itu, saya juga terbabit dengan forum dan ceramah.

“Saya suka belajar dan mencuba perkara baru. Ia bukan saja menambah ilmu di dada tetapi turut memberikan banyak pengalaman. Dalam hidup ini, bukan mudah meraih kejayaan sekiranya tiada usaha untuk memajukan diri.

“Apapun, buat masa ini rezeki untuk saya menyinar dalam nyanyian belum lagi terlaksana. Namun, saya tidak berputus asa. Ini kerana saya harus terus berusaha mendapatkan lagu yang sesuai dengan vokal dan ia bukanlah mudah,” katanya.

Tidak menaruh sebarang harapan tinggi, Heliza hanya mampu berdoa dan bertawakal kerana yakin ada hikmah di sebaliknya. Katanya, ini perancangan Allah dan sebagai manusia biasa, kekuatan diri sangat penting termasuk sokongan keluarga.

Berbicara lagi mengenai perkembangan dirinya, Heliza berkata, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini yang dipraktikkan golongan muda dengan berniaga secara online, dia juga tidak melepaskan peluang berbuat demikian.

Menerusi blog Heliza Helmi Hijab (HHH), gadis bermata bundar berusia 25 tahun ini menjual aneka jenis tudung dan busana Muslimah manakala Heliza Instant Telekung (HIT) pula menjual pelbagai rekaan telekung terkini pada harga berpatutan.

Menurut Heliza, dia sangat berminat dalam perniagaan. Oleh itu, dia tidak gentar mencuba dan semuanya dilakukan mengikut perancangan. Ujarnya, dalam kehidupan perlukan perancangan bagi memastikan apa saja yang dilakukan mendapat manfaat.

Mengenai bidang lakonan, Heliza yang pernah membintangi filem Syurga Cinta di samping Awal Ashaari berkata, dia sememangnya rindu untuk berlakon.

Jelasnya, tawaran masih diperoleh tetapi terpaksa ditolak kerana bertindih dengan aktiviti seni lain.

Discover Europe with KLM offers!



Mangsa penyamaran individu tak bertanggungjawab

DI sebalik kecanggihan teknologi maklumat masa kini, ada juga negatifnya. Ini kerana ada pihak sanggup mengambil kesempatan ‘menangguk di air keruh’ dengan menyamar diri sebagai Heliza. Menerusi laman sosial facebook, Heliza menjadi mangsa.

Penyamar terbabit yang menggunakan namanya membuat onar dengan menipu orang ramai termasuk ahli kelab penyanyi itu. Si penyamar menagih simpati dengan pelbagai masalah yang membabitkan kewangan dan dia memerlukan bantuan.

Sudahlah mengaku diri sebagai Heliza Helmi tetapi nama pemegang akaun dimaklumkan adalah individu lain. Tidak mahu dirinya terus menjadi mangsa, Heliza sudah membuat laporan polis. Liciknya penyamar itu, dia juga mampu meniru suara Heliza.

“Perkara ini baru saja berlaku beberapa bulan lalu dan saya ketahui pun menerusi ahli kelab yang memaklumkannya. Begitu juga panggilan telefon diterima daripada orang ramai yang menjadi mangsa penyamar itu. Justeru, saya membuat laporan polis.

“Nama baik saya bukan saja tercemar tetapi menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan. Oleh itu, saya meminta mereka yang sudah ditipu si penyamar itu supaya tampil membuat laporan polis juga,” katanya.

Menurut Heliza, ia penting untuk membersihkan namanya dan menangkap individu terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Katanya, dia sangat kesal dengan apa yang berlaku. Malah, akuinya dia bukan seorang yang suka menagih simpati.

Berbicara soal jodoh, Heliza berkata, biarlah semuanya ditentukan Tuhan.
Ujarnya, kursus perkahwinan pun masih belum diambil memandangkan dia mahu memberi tumpuan pada karier sebelum berumah tangga.

“Sampai waktu, adalah jodoh,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Nur Heliza Helmi
PANGGILAN KOMERSIAL: Heliza Helmi
TARIKH LAHIR: 3 Februari 1986
ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu
STATUS: Bujang
USIA: 25 tahun
KARIER: Ahli perniagaan, Penyanyi, Pengacara, Pelakon & Model
SYARIKAT: Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP)

SINGLE: Antaranya Cinta Di Lautan Lalang, Doa Dalam Lagu (duet dengan Mawi), Warna Sendu Tarian Jiwaku, Selalu Ada, Panggil Namaku

FILEM: Syurga Cinta (2009)
DRAMA: Doa Ibu (2009)

PENCAPAIAN: Pemenang tempat keempat Akademi Fantasia 5, calon Aktres Terbaik
Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22), calon Anugerah Pelakon Harapan Wanita FFM22

PROGRAM TV: Ustazah Pilihan, Man Jadda Wajada
MODEL IKLAN: Sunsilk, Garnier
BLOG: Heliza Helmi Hijab (HHH), Heliza Instant Telekung (HIT)

Heliza AF5 jadi penceramah


HELIZA Helmi merupakan salah seorang peserta akhir Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5) yang terus aktif menyanyi selepas hampir empat tahun dia menyertai program realiti televisyen tersebut.

Penyanyi berusia 25 tahun itu turut mengembangkan bakat dan popularitinya dengan menjadi penceramah dalam banyak program motivasi untuk para pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Menurut Heliza, dia tiada masalah memenuhi undangan berceramah kerana ia memang bersesuaian dengan dirinya yang mempunyai ijazah dalam bidang Pendidikan (Sains) dari Universiti Malaysia Sabah.

"Baru-baru ini saya dilamar sebagai penceramah jemputan bagi syarikat perunding motivasi iaitu Telaga Biru Training and Consultancy Sdn. Bhd. (TBTC) yang ditubuhkan pada November tahun lalu.

"Bertepatan dengan moto iaitu 'Kami Berbeza', tidak hairanlah jika setiap program yang diadakan berbeza daripada biasa. Penglibatan saya bersama TBTC akan diteruskan pada masa depan," katanya kepada Hits.

Program seterusnya yang melibatkan penyanyi yang popular menerusi Cinta Di Lautan Lalang itu akan dianjurkan di Hotel Seri Malaysia, Larkin, Johor Bahru pada 24 dan 25 September ini yang berlangsung selama dua hari satu malam.

"Ini satu program yang unik dan jarang dianjurkan oleh konsultan lain. Dengan pengalaman bermalam di hotel, para peserta akan didedahkan dengan motivasi pelbagai kaedah berlainan daripada tiga motivator termasuk saya.

"Program ini khusus untuk calon-calon PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini. Ia dipadatkan dengan pelbagai teknik motivasi berbeza khusus untuk para pelajar terpilih sekitar Kuala Lumpur.

"Antara sekolah terpilih ialah SMK Taman Setia Wangsa, SMK Lembah Keramat, SMK Sungai Pusu, dan SMK R1 Wangsa Maju. Seramai 100 peserta yang terlibat ditaja sepenuhnya oleh Al Ikhsan Sports Sdn. Bhd.

"Ia dimulakan dengan slot Potensi Diri yang disampaikan oleh motivator terlatih, Zuhairi Mohd Nopiah. Ledakan Minda iaitu slot yang mendedahkan para pelajar dengan teknik hafalan berkesan dalam masa yang singkat," katanya.

Kesibukan Heliza menerima undangan menyanyi serta menguruskan syarikatnya sendiri iaitu Heliza Helmi Entertainment tidak menghalangnya untuk menerokai lebih luas lagi bidang motivasi serta pendidikan yang diminatinya itu.

Selain itu, dalam program itu Heliza turut mengendalikan slot Mutiara P. Ramlee, iaitu satu slot yang disampaikan dengan cara berbeza bagi membantu pemahaman pelajar dalam Komponen Sastera.

Slot dua jam yang dikendalikan Heliza menggunakan kaedah teknik hafalan dalam slot Ledakan Minda di mana para pelajar mampu membuat persembahan ringkas di atas pentas walaupun masa diberi hanya 10 minit.

Program-program anjuran TBTC itu dirangka bersesuaian dengan kehendak para pelajar atau remaja hari ini yang kebanyakkannya mengenali Heliza sebagai salah seorang bintang AF5 yang mempunyai ramai peminat.

Bagi membantu usaha itu, Al Ikhsan Sports Sdn. Bhd., yang terkenal dengan outlet barangan sukan di seluruh Malaysia telah menaja sepenuhnya beberapa program kendalian TBTC di seluruh Malaysia sepanjang 2011.

"Program-program percuma ini dirangka khusus untuk pelajar rendah dan menengah yang kurang bernasib baik (miskin dan yatim piatu) untuk mendedahkan mereka dengan keindahan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.

"Antaranya menerusi seminar motivasi dan teknik menjawab soalan peperiksaan, rombongan motivasi ke lokasi menarik, kem berkonsepkan motivasi dan kerohanian. Ia ditutup dengan satu slot Halaqah Qalbu.

"Ramai peserta yang menangis teresak-esak apabila mengenangkan harapan ibu bapa dan juga hala tuju mereka pada masa depan," ujarnya lagi yang pernah berlakon dalam filem Syurga Cinta pada tahun 2009.

Heliza 'jatuh cinta' dengan fasilitator


RUPA-RUPANYA pejabat yang beroperasi sejak setahun lalu itu bukan menerbitkan drama, sebaliknya mengendalikan urusan jual beli peralatan pejabat dan ubah suai pejabat.

Orang yang bertanggungjawab meneraju perjalanan syarikat tersebut ialah Heliza atau Nur Heliza, 25, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke lima (AF5).

Melihat pada penampilan Heliza yang lemah lembut dan anggun itu, pasti ramai tertanya-tanya, mampukah pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan dan Sains dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menjadi Pengarah Urusan HHP.

"Kalau Heliza seorang, tidak beroperasilah pejabat ini. Heliza dibantu oleh lima orang kakitangan yang bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

"Selalunya, kami bekerja tidak ikut waktu. Kadang-kadangsampai malam masih di pejabat. Hubungan Heliza dengan kakitangan macam kawan-kawan, sebab usia kami yang tidak jauh berbeza," ceritanya.

Selain menjadi tulang belakang memastikan kecemerlangan HHP dalam bidang perniagaan, Heliza turut mempunyai kegemarannya tersendiri.

Kata anak kedua daripada empat adik-beradik itu, buat masa sekarang minat utamanya menjadi fasilitator yang dimulakan sejak menjalani latihan praktikal pada tahun 2009

"Ternyata tugas sebagai fasilitator ini banyak mengajar Heliza menjadi orang yang lebih bersikap terbuka. Dulu Heliza ini seorang yang pemalu. Sekarang macam tidak percaya pula.

"Apa pun Heliza suka kerana matlamat utama adalah untuk berkongsi ilmu dengan orang lain. Sebagai fasilitator, Heliza perlu buat persiapan sebelum berceramah," akuinya.

Beliau yang mengagumi penceramah motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Profesor Madya Md. Izuddin Ali (Prof. Izzi) berharap dapat mengikut jejak langkah mereka.

Setakat ini, Heliza sudah berkesempatan mengadakan ceramah motivasi di sekolah menengah di Tawau, Pulau Langkawi dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah.

"Saya selalu berpegang teguh pada motto, jika anda ingin mencapai kecemerlangan, anda harus mencari peluang dalam setiap kesulitan bukan mencari kesulitan dalam setiap peluang.

"Saya percaya kejayaan yang diraih daripada kesulitan memberi seribu makna kepada setiap insan," katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sosial Facebook dan emel helizahelmiproduction@heliza.com.

Disebabkan kesibukan sebagai penceramah, Heliza meletakkan karier seni di tempat kedua.

Heliza yang pernah muncul dalam filem Syurga Cinta menerusi watak Cikgu Syuhada dan telefilem Doa Ibu pada tahun 2009, berkata beliau tidak kesal mengurangkan kegiatan seni. Baginya, kalau mendapat undangan mengadakan persembahan pentas dan jadual kerjanya tidak bertentangan, sudah pasti beliau terima.

"Bukan berhenti menyanyi, cuma kurangkan sahaja. Kalau orang panggil, saya pergi juga tapi bergantung kepada jadual kerja. Sekarang ini selain melakukan kerja-kerja pejabat, fasilitator dan menyanyi, sesekali saya dipanggil untuk menjadi pengacara.

"Selagi termampu untuk dilakukan, saya akan cuba. Kalau ada peluang saya ingin menjadi pengacara untuk rancangan bual bicara remaja. Mungkin dengan cara ini saya dapat membantu mereka mengatasi masalah," katanya.

Kini syarikat Heliza sedang giat menerbitkan terjemahan al-Quran berjudul Al-Quran Perkata yang bakal berada di pasaran sebelum Ramadan.

Projek menerbitkan terjemahan al-Quran itu dilakukan bersama rakan kongsi, Yamani Angle yang juga menjadikan wajah Heliza sebagai penghias sebuah novel sebelum ini.

"Selain terjemahan Al-Quran, kami juga bakal menerbitkan buku motivasi karya Heliza yang berjudul Diari Heliza. Buku ini adalah hasil nukilan Heliza yang ditulis dalam blog sejak 2006 hingga 2008," jelasnya yang mengharapkan kehadiran seorang lelaki beriman menjadi pasangan hidupnya.

Heliza Tepis Tuduhan Hadapi Masalah Syarikat


PETALING JAYA: Penyanyi Heliza Helmi menjelaskan tiada sebarang masalah yang sedang berlaku sehingga menyebabkan Isma (AF7) dan beberapa pekerjanya berhenti dari syarikat miliknya Heliza Helmi Production (HHP).

Malah, dia menganggap perkara tersebut hanya sebagai khabar angin kerana pengunduran Isma sebagai artis syarikat itu kerana mempunyai komitmen lain yang lebih baik.

"Alhamdulillah setakat ini, tidak ada apa-apa masalah termasuk pengurusan di HHP. Tentang pekerja yang berhenti pula disebabkan mereka mendapat tawaran lain.

"Saya tidak pernah menghalang mana-mana pekerja saya yang ingin mencari kejayaan mereka sendiri. Tentang mempunyai masalah itu hanya khabar angin sahaja," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, dia juga menolak mempunyai masalah peribadi dengan Isma seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan Ahad lalu.

"Saya terkejut apabila membaca berita itu. Hubungan kami baik dan kami baru sahaja berjumpa pada sebuah majlis baru-baru ini.

"Saya turut gembira kerana dia kini sudah menjadi Pengarah Urusan di Nusanbakti dan itu adalah rezeki dia dan keluarga," katanya.

Tambah Heliza, syarikatnya kini dalam usaha untuk mengeluarkan produk terbaru mereka Al-Quran Perkata dengan kerjasama sebuah syarikat penerbitan Al-Quran.

"Kami dalam proses mengeluarkan naskhah Al-Quran tulisan tangan yang mana lengkap dengan tafsirnya sekali. Ini adalah kerjasama dengan sebuah syarikat penerbitan Al-Quran.

"Sekarang baru juzuk ke 16 dan Insya-Allah akan siap sebelum Ramadan. Selain itu, banyak juga produk yang masih dalam perancangan lagi," katanya.

Sementara itu, Heliza juga mengakui sejak penubuhan HHP, banyak kontroversi dan ujian yang terpaksa dihadapinya.

"Pada awal penubuhan ada yang kata saya ditaja oleh seseorang. Kalau ditaja saya tidak perlu berusaha keras seperti hari ini.

"Tapi bagi saya itu semua dugaan, yang penting saya tidak mengganggu periuk orang lain dan saya bekerja untuk keluarga dan pekerja saya," katanya.

Heliza Makan Buah Sebelum Nasi


PENYANYI dan pelakon Heliza Helmi mempunyai satu tabiat pelik apabila dia gemar membeli produk kecantikan, namun ia hanya untuk memenuhi meja soleknya sahaja kerana tidak menggunakan produk yang dibeli itu sepenuhnya.

Sebenarnya ada cerita yang berlaku di sebalik perkara itu. Semuanya disebabkan kulit Heliza mudah sensitif dan jika memakai produk penjagaan kulit dan kosmetik tertentu yang pasti membuatkan kulitnya membengkak dan menjadi rengsa.

Pengalaman sebelum ini menurut Heliza, gara-gara gam yang terdapat pada bulu mata palsu menyebabkan matanya menjadi bengkak dan bulu matanya gugur.

Insiden tersebut berlaku semasa pelakon filem ‘Syurga Cinta’ ini terlibat dalam rancangan realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5), tiga tahun lalu.

“Sebab itu saya kurang menggunakan produk penjagaan kulit dan kosmetik. Semasa minggu ketujuh dalam AF5, mata saya menjadi bengkak kerana memakai bulu mata palsu.

“Mungkin gam bulu mata palsu itu tidak sesuai dengan kulit saya jadi sebab itu selepas saya membuka bulu mata palsu itu, terus bulu mata yang asal gugur semuanya.

“Jadi, sekarang ini saya agak berhati-hati untuk memakai gam bulu mata palsu sebaliknya hanya menggunakan gam jenama Shu Uemura yang sesuai dengan mata saya kerana ia membolehkan saya mampu bertahan selama empat jam memakai alat kecantikan itu,” katanya kepada Mingguan mStar di pejabatnya Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP).

Tambahnya: “Orang selalu puji mata saya cantik tetapi cerita di sebalik itu orang tidak tahu. Sebab tersilap menggunakan gam bulu mata palsu, mata saya menjadi bengkak dan bulu mata gugur.

“Selain itu, mata saya juga mengalami masalah konjunktivitis akibat memakai kanta lekap terlalu lama. Saya mengalami rabun jauh, jadi saya terpaksa selang seli memakai kanta lekap dan cermin mata.”

Minum air daun pegaga

Menyelak rutin harian penyanyi lagu Hello dan Chord G ini, dia mengamalkan petua meminum segelas air masak setiap kali bangun pagi.

Selepas itu, dia akan bersarapan pagi dengan mengambil nasi. Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu akui bukanlah seorang yang banyak pantang ketika menikmati makanan.

“Saya jenis suka makan tetapi waktu makan saya tidak teratur. Tetapi bagi mengekalkan tenaga, saya akan minum Milo dan mengambil vitamin setiap hari.

“Saya juga makan buah-buahan terlebih dahulu iaitu setengah jam sebelum makan dan minum jus oren yang dibuat sendiri,” katanya.

Amalan kecantikan Heliza sebenarnya banyak dipengaruhi oleh rakan-rakan, bahan bacaan dan program televisyen.

Menariknya, dia sempat berkongsi tentang petua minum air daun pegaga untuk mengelakkan masalah kesihatan badan menerusi program Nona di TV3.

“Tentang amalan tradisional, saya pernah menempek serbuk kunyit yang dicampur air pada muka sewaktu zaman sekolah dulu.

“Ada juga kawan-kawan yang mengesyorkan menyapu gincu pada jerawat. Petua lain adalah menyapu serbuk buah keras yang telah dibakar pada kening untuk melebatkan kening.

“Mak saya pula selalu mengingatkan saya untuk berdoa dan mengamalkan air sembahyang,” katanya yang membaca buku tentang petua awet muda.

Sudah namanya wanita, dia sesuai digelar sebagai ‘kaki’ membeli-belah terutama membeli kasut dan pakaian.

Namun model iklan Sunsilk dan Garnier ini tidak terlalu mementingkan jenama tetapi asalkan sesuatu produk itu cantik dan selesa.

Antara produk kecantikan yang menjadi pilihan Heliza adalah Johnson & Johnson, Garnier, Loreal, Listerine, Natopherol Dermal dan Olay.

Heliza Jadi Penceramah Motivasi


PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi, 24, yang sudah bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 11 Oktober lalu bukan sekadar menjadi penyanyi malah turut di undang menjadi penceramah motivasi di sekolah-sekolah.

Pada minggu lalu, dia menerima undangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah untuk bercerita mengenai pemakaian tudung.

Peluang yang diterimanya itu kata Heliza membuka minatnya untuk menjadi penceramah motivasi pada masa akan datang.

“Saya kena tambahkan ilmu lagi jika mahu menjadi seorang penceramah motivasi yang berjaya kerana saya semakin minat dalam bidang ini. Tidak sangka pula selepas tamat belajar, banyak pula peluang untuk saya memberi ceramah di sekolah,” katanya yang telah berjaya mendapat segulung ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam bidang Pendidikan Sains, Biologi dan Kimia.

Katanya, walaupun mempunyai kerja yang banyak sebagai seorang artis di Kuala Lumpur Heliza terpaksa meluangkan masa untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar yang telah selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi menggalakkan mereka ke sekolah selepas peperiksaan.

“Selepas ini, saya turut mendapat jemputan untuk memberikan ceramah di sebuah sekolah di Perak. Walaupun sibuk, saya tetap akan cuba memberikan sumbang kepada para pelajar sekali gus dapat mempraktikkan bidang pendidikan yang saya pelajari sebelum ini,” katanya yang mengakui seronok berjumpa dengan pelajar-pelajar sekolah.

Ternyata nalurinya sebagai seorang guru tidak pernah luntur dan Heliza akan cuba membahagikan masa antara bidang seni dan juga pendidikan.

Setelah berjaya menerima segulung ijazah, penyanyi berasal dari Kuala Terengganu ini menyifatkan ia seperti mimpi kerana dia terpaksa memberi tumpuan selama lima tahun untuk memperoleh kejayaan tersebut.

“Bukan mudah untuk saya habiskan pengajian ini sebab sepatutnya saya hanya mengambil masa empat tahun tetapi sebab sibuk dengan karier seni, saya terpaksa tangguh pengajian setahun.

“Paling mengharukan, semasa menerima ijazah, ramai yang menepuk tangan apabila tiba giliran nama saya disebut. Ada yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar saya.

“Saya berhasrat nak sambung pengajian pada peringkat sarjana tetapi bukan dalam masa terdekat ini sebab saya juga baru membuka syarikat produksi,” ujarnya

'Saya tak pernah ditaja Datuk'-Heliza


RENUNGAN mata bundarnya sungguh tajam. Malah, tidak keterlaluan dikatakan banyak hati lelaki cair melihatnya. Namun, ia tidak sesekali dijadikan aset buat Nur Heliza Helmi atau Heliza, 24, mengumpan lelaki berpoket tebal untuk hidup dengan limpahan emas permata.

Gosip bakal berkahwin dengan seorang lelaki berpangkat Datuk dan menjadi isteri ketiga menjadi tamparan hebat buatnya. Apatah lagi ketika ini, anak kelahiran Terengganu itu baru saja menubuhkan syarikat produksi sendiri, Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP) untuk terus bernafas dalam dunia seni suara.

Tak lekang melemparkan senyuman, Heliza akui: "Saya bersyukur jika ada yang menaja saya, tetapi masalahnya tiada (berseloroh). Saya pun tak tahu daripada mana cerita mengatakan saya ditaja seorang Datuk dan sedang melakukan persiapan berkahwin dengan Datuk berkenaan boleh timbul. Memang saya sibuk tetapi bukanlah melakukan persiapan kahwin seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya saya sibuk dengan pelancaran lagu single saya. "Saya terkejut apabila membaca satu ruang forum dalam internet mengatakan gosip seorang penyanyi dan pelakon bermata galak sedang melakukan persiapan perkahwinan pertengahan tahun ini adalah diri saya. Mulanya, saya gelisah juga, bimbang keluarga mendapat malu tetapi apa nak ditakutkan jika diri tidak bersalah. Nak sedapkan hati, saya anggap gosip adalah asam garam dalam dunia artis.

"Saya juga terkedu apabila ada yang menyampaikan cerita pada saya seorang isteri ahli kelab peminat pernah menghubungi stesen radio HotFM mengatakan suaminya bermain cinta sehingga jarang pulang ke rumah. Artis berkenaan digambarkan bermata galak dan tinggal di Sabah, jadi siapa lagi, tentu ramai yang menganggap diri saya. Saya nak menafikan cerita itu, saya tak kenal ahli kelab peminat yang dimaksudkan.

"Tidak dinafikan, saya ada kelab peminat sendiri tetapi ia hanya aktif di Kuala Lumpur, tak sampailah ke Sabah. Jadi macam mana si pemanggil mengatakan suaminya jarang pulang ke rumah sedangkan saya berada di Sabah, lagi pun saya tiada masa dengan aktiviti lain, dunia saya hanya belajar saja.

"Ketika ini, saya sibuk dengan persiapan peperiksaan tahun terakhir, saya akan menghabiskan pengajian Mei ini. Jadi, rasanya inilah masa yang sesuai untuk saya merangka strategi dengan menubuhkan HHP. Sekurang-kurangnya selepas menghabiskan pengajian sudah ada kerja menanti saya. Bagaimanapun, saya belum memikirkan lagi untuk menyambung pengajian selepas ini, mungkin saya berehat dulu dan menumpukan perhatian pada bidang seni."
Heliza juga berkata, sehingga hari ini, pintu hatinya belum terbuka mahu bercinta, malah belum ada lelaki yang benar-benar boleh menakluk hatinya. Mungkin ada yang tidak percaya, tetapi itulah hakikatnya.

"Percaya atau tidak terserahlah, tetapi empunya diri yang bernama Heliza ini sukar nak jatuh cinta. Bukan tiada yang cuba mendekati, tetapi hati saya belum terbuka nak menerima sesiapa. Mungkin kesibukan dengan jadual pelajaran, di samping jika bercuti, ada saja aktiviti nyannyian yang diaturkan membuatkan saya tiada masa nak fikir soal peribadi.

"Saya gembira hidup seperti ini, belum masanya saya bercinta lagi. Saya nak berjaya dalam pelajaran dan kerjaya terlebih dulu. Tanggungjawab terhadap keluarga lebih penting daripada segala-galanya. Saya mahu membahagiakan keluarga dan memberi limpahan kemewahan hidup pada mereka. Jadi soal lain biarlah ditolak ketepi dulu," katanya yang baru saja melancarkan HHP dan single terbarunya berjudul Panggil Namaku ciptaan Shafi Vocal Studio dan lirik ilhamnya sendiri.

Heliza berkata, HHP ditubuhkan bersama rakan kongsinya, Datuk Captain Gulzar Mohamad dan isteri, Toh Puan Atiah Alias Mohamed sejak dua tahun lalu. Toh Puan Atiah adalah peminat Heliza ketika Akademi Fantasia 5 lagi.

"Saya bersyukur Toh Puan Atiah dan suami berminat melabur dalam HHP dan menjadi rakan kongsi syarikat, sekali gus menjadikannya sebagai anak syarikat Inai Kiara Sdn Bhd. Saya dan keluarga adalah pemegang saham sebanyak 50 peratus dalam syarikat ini.

"Selain lagu single Panggil Namaku menjadi produk pertama HHP, saya juga merancang membuka pusat tuisyen di bawah HHP dan buat lagu berkonsepkan pendidikan bila menamatkan pengajian nanti. Bagaimanapun, HHP juga menguruskan events dan apa saja acara hiburan. Kami akan menerbitkan Konsert Datuk Ahmad Nawab bersama artis yang juga anak didiknya seperti Uji Rashid dan Hail Amir di Istana Budaya pada Oktober nanti. HHP selaku penerbit konsert ini.

"Masih lagi dalam perancangan awal, sepuluh artis veteran yang juga anak didik Ahmad Nawab sudah disenaraikan dan saya akan buat penampilan khas dalam konsert ini dengan menyampaikan dua lagu," katanya penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan & Sains (Biologi & Kimia), Universiti Malaysia Sabah.

Info Heliza

NAMA: Nur Heliza Helmi
TARIKH LAHIR: 3 Februari 1986
USIA: 24 tahun
ASAL: Kuala Terengganu
KERJAYA: Pelajar, penyanyi, pengacara dan pelakon
HOBI: Menyanyi dan membeli-belah
PENDIDIKAN: Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, Universiti Malaysia Sabah
PENCAPAIAN: Tempat keempat AF5
DRAMA: Doa Ibu
FILEM: Syurga Cinta
SINGLE: Warna Sendu, Selalu Ada (featuring Aiman) dan Doa Dalam Lagu (duet dengan Mawi) & Panggil Namaku

Heliza Dalam Dilema Antara Dua 'Cinta'?

SEJAK kecil lagi, artis berusia 23 tahun ini tidak gentar untuk mencuba apa saja. Meskipun tidak berminat terhadap sesuatu perkara, namun kerana sifat ingin mencuba yang menebal dalam dirinya, Nur Heliza Helmi atau mesra dengan panggilan Heliza ini akan tetap melakukannya dengan sebaik mungkin.

Begitu juga dengan bidang seni yang baru diceburinya kira-kira dua tahun lalu. Tutur anak kelahiran Kuala Terengganu ini, dia langsung tidak pernah menyimpan hasrat untuk bergelar penyanyi mahupun pelakon.

Namun, ternyata percubaannya di dalam program Akademi Fantasia musim kelima berjaya membawa Heliza berada di tempatnya kini. Walaupun gagal meraih gelaran juara, anak kedua daripada empat beradik ini tetap mempunyai 'tuah' sendiri.

Siapa sangka ketika kemunculan begitu ramai muka-muka baru dalam industri ini, Heliza mampu merebut peluang untuk muncul di layar perak menerusi filem Syurga Cinta dan melayakkannya muncul sebagai finalis bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang berlangsung Ogos lalu.

Ketepikan seketika tentang bidang seninya kerana Heliza juga mempunyai potensi bergelar pendidik yang disegani.

Setelah tamat menjalani praktikal sebagai guru pelatih di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah selama tiga bulan, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah ini akui semakin jatuh 'cinta' dengan bidang pendidikan.

Malah, disebabkan itu, Heliza akui dia sendiri tidak pasti karier yang mana perlu diberikan keutamaan apatah lagi kedua-dua bidang tersebut memang cukup 'dekat' dihatinya ketika ini.

Apapun, menyedari kedua-dua bidang itu sama penting dalam dirinya, Heliza nekad untuk cuba melakukan yang terbaik di dalam kedua-duanya selagi termampu.

"Memanglah kalau diikutkan, industri seni sentiasa melahirkan ramai artis-artis baru dari semasa ke semasa. Tambahan pula, saya adalah artis yang 'biasa-biasa' saja.

"Tetapi, saya tidak pula rasa disebabkan itu, saya perlu 'lepaskan' bidang seni dan memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan saja. Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu karier apa yang saya ingin letakkan keutamaan.

"Cuma saya tidak nafikan, sejak menjadi guru pelatih baru-baru ini, pengalaman yang saya kutip itu memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi bila melihat pelajar-pelajar saya mendapat keputusan peperiksaan yang bagus.

"Mungkin apa yang akan saya lakukan adalah cuba menyeimbangkan kedua-dua bidang sebaik mungkin. Saya tetap ingin terus berada dalam industri seni dan pada masa yang sama, saya menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana," kata Heliza yang tinggal satu semester lagi untuk menghabiskan pengajiannya.

Menurutnya yang kini sedang bercuti sebelum memulakan semester pengajian baru akhir Disember depan, dia bagaimanapun tidak kesal andai kata perlu memberikan tumpuan pada bidang pendidikan saja selepas ini jika tidak mampu mempertahankan karier seninya.

"Benda itu semua sukar kita ramalkan. Kalau saya ditakdirkan tidak lama di dalam industri hiburan, saya tidak kisah untuk menceburi bidang perguruan saja kerana sekurang-kurangnya saya sudah mencuba pelbagai cabang seni iaitu nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

"Tetapi, buat masa ini, saya akan terus dengan dua bidang ini. Saya juga sedang di dalam perancangan untuk hasilkan single baru. Begitu juga dengan lakonan, ada beberapa tawaran yang saya dapat ketika saya sibuk belajar dan jalani praktikal tempoh hari.

"Disebabkan jadual yang padat ketika itu, saya terpaksa melupakan hasrat untuk berlakon lagi. Insya-allah, lepas saya tamat pengajian sekitar Mei tahun depan, saya ingin 'all-out' dengan aktiviti seni," kata Heliza dalam nada ceria.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan lain, Heliza berkata, dia akan terbabit di dalam sebuah program percutian anjuran Al-Mukminin Travel iaitu 'Bercuti Ke Beijing bersama Heliza' pada 5 hingga 9 Jun depan.

Program tersebut bukan saja terbuka kepada peminat-peminat Heliza, malah mereka yang ingin melawat ke Beijing, China pada kadar pakej yang murah juga boleh menyertai program tersebut.

"Apa yang saya dimaklumkan, pakej ini terhad untuk sekitar 40 orang saja dan harga pakej yang ditawarkan adalah RM1900 termasuk penginapan, tiket penerbangan dan makanan. Jadi, mereka yang berminat bolehlah menghubungi agensi tersebut secepat mungkin.

"Sepatutnya, percutian ini dibuat pada bulan depan, tetapi disebabkan faktor-faktor tertentu, ia ditunda ke bulan Jun tahun depan," kata Heliza yang akan ke Brunei pada Jumaat ini untuk memenuhi undangan persembahan di sana.

Bagi yang berminat untuk menyertai program percutian 'Bercuti Ke Beijing bersama Heliza', sila hubungi talian 0122931522 (Huda).

Benarkah gadis seksi kakak Heliza?


Aksi mesra gadis seksi bersama pemuda masih menjadi tanda tanya, adakah dia kakak Heliza?


Imej bertudung bintang AF5 cuba dicemari penyebaran foto gadis seksi didakwa saudara kandung

AWAL minggu lalu, Zubir menerima kiriman emel daripada seseorang bertanyakan soalan: "Betul ke ni kakak Heliza AF5?", sekali gus menyertakan 15 keping gambar termasuk bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Nur Heliza Helmi atau Heliza, 24, bersama seorang gadis cantik yang didakwa sebagai kakak kandungnya.

Zubir sebenarnya tidak pernah bertemu atau mengenali kakak Heliza, namun suatu ketika dulu, pemenang tempat keempat konsert akhir AF5 itu memang pernah memaklumkan kepada Zubir, dia mempunyai seorang kakak yang bertugas sebagai pramugari bersama penerbangan AirAsia. Justeru, apabila Heliza bergambar bersama seorang gadis jelita yang lengkap berpakaian seragam pramugari AirAsia, rasanya mungkin itu kakak kandung Heliza yang pernah diceritakannya.

Pun begitu, di samping foto Heliza bersama kakak dan keluarganya, diselitkan juga beberapa keping gambar seorang gadis berpakaian seksi sedang bersantai di tepian pantai sambil ditemani seorang pemuda. Melihatkan kepada kemesraan gadis dan pemuda berkenaan, bolehlah melabel mereka sebagai pasangan kekasih. Namun, persoalannya sekarang, adakah gadis yang berpakaian menjolok mata itu kakak kandung Heliza?

Entahlah Zubir tak berani jadi hakim. Telahan Zubir, mungkin pelanduk dua serupa. Namun, berdasarkan bentuk muka kakak Heliza yang bujur sirih bersama hidung mancungnya, dibandingkan pula bentuk wajah gadis seksi berkenaan, ia mempunyai sedikit persamaan. Tapi, zaman moden ini segala kemungkinan boleh berlaku, Zubir pula bukan pakar dalam bidang pengecaman wajah!

Sekiranya gadis seksi itu bukan kakak kandung Heliza, ternyata ada pihak yang cuba mencalar imej Heliza yang bertudung litup itu. Entah siapa-siapa yang mempunyai wajah persis kakak Heliza, kebetulan pula dia mengenakan pakaian seksi sedang bersantai bersama kekasih, terus saja mereka menuduh dan melabel itulah kakak Heliza yang sangat jauh cara penampilannya berbanding adik yang sentiasa menerapkan imej wanita muslimin.

Namun, sekiranya benar gadis berpakaian menjolok mata itu kakak Heliza, Zubir sekadar berkongsi rasa simpati kerana niat untuk mencalar nama baik Heliza sebagai penyanyi dan pelakon popular, akhirnya tercapai. Peminat pasti mengata, adik bertudung litup, sentiasa berpakaian sopan, tapi kakak, masya-Allah!

Justeru, nasihat Zubir, berhati-hatilah dengan setiap apa yang kita lakukan di luar sana, lebih-lebih lagi jika mempunyai anggota keluarga yang bergelar artis atau selebriti popular. Orang kata kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tapi, harapan Zubir biarlah isu gambar seksi itu hanyalah pelanduk dua serupa.

Pun begitu, Zubir mengharapkan penjelasan daripada Heliza yang kini mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Adakah gadis seksi itu benar-benar kakak kandungnya? Atau mungkin juga gadis jelita berpakaian seragam AirAsia itu sekadar kenalan rapat Heliza, hanya kau yang mampu memberi jawapannya Heliza...

Namun, sekiranya Zubir tersilap percaturan mendakwa gadis berkenaan sebagai kakak Heliza, biarlah awal-awal lagi Zubir susun jari minta maaf!

ZUBIR: Betulkah Halim Othman yang bertugas sementara sebagai penyampai HotFM, tidak mahu ditemubual wartawan! Hairan, kan?
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails