Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Heliza Mangsa Internet


SELEPAS pelbagai kontroversi menerjah dirinya awal tahun ini, agak lama juga Nur Heliza Helmi mendiamkan diri. Bagaimanapun, wajah manisnya tiba-tiba muncul menjadi pengacara program Man Jadda Wajada di TV AlHijrah (TVAH) untuk 13 episod.
Heliza juga dipilih mengacarakan sesi uji bakat Ustazah Pilihan di Astro Oasis.

Justeru, apakah yang sudah berlaku kepada perniagaan diusahakan gadis ini sehingga akhirnya dia membawa haluan menjadi perantara beberapa program televisyen?



Ditemui pada sesi fotografi bersamanya, baru-baru ini, Heliza memberikan penjelasan. Katanya, perniagaan diusahakan masih lagi beroperasi. Malah,
segala urusan berjalan lancar sebagai pembekal bahan binaan kepada pelanggan.

“Bagaimanapun, pada masa sama rezeki saya nampaknya ada dalam pengacaraan apabila Astro Oasis dan TVAH memberi peluang. Saya hadir pada uji bakat diadakan dan syukur memperolehnya. Selain itu, saya juga terbabit dengan forum dan ceramah.

“Saya suka belajar dan mencuba perkara baru. Ia bukan saja menambah ilmu di dada tetapi turut memberikan banyak pengalaman. Dalam hidup ini, bukan mudah meraih kejayaan sekiranya tiada usaha untuk memajukan diri.

“Apapun, buat masa ini rezeki untuk saya menyinar dalam nyanyian belum lagi terlaksana. Namun, saya tidak berputus asa. Ini kerana saya harus terus berusaha mendapatkan lagu yang sesuai dengan vokal dan ia bukanlah mudah,” katanya.

Tidak menaruh sebarang harapan tinggi, Heliza hanya mampu berdoa dan bertawakal kerana yakin ada hikmah di sebaliknya. Katanya, ini perancangan Allah dan sebagai manusia biasa, kekuatan diri sangat penting termasuk sokongan keluarga.

Berbicara lagi mengenai perkembangan dirinya, Heliza berkata, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini yang dipraktikkan golongan muda dengan berniaga secara online, dia juga tidak melepaskan peluang berbuat demikian.

Menerusi blog Heliza Helmi Hijab (HHH), gadis bermata bundar berusia 25 tahun ini menjual aneka jenis tudung dan busana Muslimah manakala Heliza Instant Telekung (HIT) pula menjual pelbagai rekaan telekung terkini pada harga berpatutan.

Menurut Heliza, dia sangat berminat dalam perniagaan. Oleh itu, dia tidak gentar mencuba dan semuanya dilakukan mengikut perancangan. Ujarnya, dalam kehidupan perlukan perancangan bagi memastikan apa saja yang dilakukan mendapat manfaat.

Mengenai bidang lakonan, Heliza yang pernah membintangi filem Syurga Cinta di samping Awal Ashaari berkata, dia sememangnya rindu untuk berlakon.

Jelasnya, tawaran masih diperoleh tetapi terpaksa ditolak kerana bertindih dengan aktiviti seni lain.

Discover Europe with KLM offers!



Mangsa penyamaran individu tak bertanggungjawab

DI sebalik kecanggihan teknologi maklumat masa kini, ada juga negatifnya. Ini kerana ada pihak sanggup mengambil kesempatan ‘menangguk di air keruh’ dengan menyamar diri sebagai Heliza. Menerusi laman sosial facebook, Heliza menjadi mangsa.

Penyamar terbabit yang menggunakan namanya membuat onar dengan menipu orang ramai termasuk ahli kelab penyanyi itu. Si penyamar menagih simpati dengan pelbagai masalah yang membabitkan kewangan dan dia memerlukan bantuan.

Sudahlah mengaku diri sebagai Heliza Helmi tetapi nama pemegang akaun dimaklumkan adalah individu lain. Tidak mahu dirinya terus menjadi mangsa, Heliza sudah membuat laporan polis. Liciknya penyamar itu, dia juga mampu meniru suara Heliza.

“Perkara ini baru saja berlaku beberapa bulan lalu dan saya ketahui pun menerusi ahli kelab yang memaklumkannya. Begitu juga panggilan telefon diterima daripada orang ramai yang menjadi mangsa penyamar itu. Justeru, saya membuat laporan polis.

“Nama baik saya bukan saja tercemar tetapi menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan. Oleh itu, saya meminta mereka yang sudah ditipu si penyamar itu supaya tampil membuat laporan polis juga,” katanya.

Menurut Heliza, ia penting untuk membersihkan namanya dan menangkap individu terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Katanya, dia sangat kesal dengan apa yang berlaku. Malah, akuinya dia bukan seorang yang suka menagih simpati.

Berbicara soal jodoh, Heliza berkata, biarlah semuanya ditentukan Tuhan.
Ujarnya, kursus perkahwinan pun masih belum diambil memandangkan dia mahu memberi tumpuan pada karier sebelum berumah tangga.

“Sampai waktu, adalah jodoh,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Nur Heliza Helmi
PANGGILAN KOMERSIAL: Heliza Helmi
TARIKH LAHIR: 3 Februari 1986
ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu
STATUS: Bujang
USIA: 25 tahun
KARIER: Ahli perniagaan, Penyanyi, Pengacara, Pelakon & Model
SYARIKAT: Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP)

SINGLE: Antaranya Cinta Di Lautan Lalang, Doa Dalam Lagu (duet dengan Mawi), Warna Sendu Tarian Jiwaku, Selalu Ada, Panggil Namaku

FILEM: Syurga Cinta (2009)
DRAMA: Doa Ibu (2009)

PENCAPAIAN: Pemenang tempat keempat Akademi Fantasia 5, calon Aktres Terbaik
Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22), calon Anugerah Pelakon Harapan Wanita FFM22

PROGRAM TV: Ustazah Pilihan, Man Jadda Wajada
MODEL IKLAN: Sunsilk, Garnier
BLOG: Heliza Helmi Hijab (HHH), Heliza Instant Telekung (HIT)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails