Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Dua dalam satu - Heliza
SELAIN daripada bola sepak, sukan badminton pastinya antara sukan kegemaran kebanyakan masyarakat Malaysia, apatah lagi negara kita juga merupakan salah satu kuasa dunia dalam sukan tersebut.
Bukan sahaja golongan masyarakat biasa tetapi golongan selebriti juga tidak ketinggalan menjadikan sukan badminton sebagai satu aktiviti riadah sekiranya mempunyai waktu terluang.
Antara selebriti yang amat meminati sukan tersebut adalah pelakon, penyanyi dan juga pengacara Heliza Helmi.
Menurut gadis kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini, dia telah lama meminati sukan tersebut tetapi mula aktif menjadikannya aktiviti riadah sewaktu bergelar pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.
Jelasnya, walaupun sudah menjadi anak seni sejak terlibat dalam rancangan realiti nyanyian terbitan Astro, Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5), namun itu tidak menghalangnya untuk terus aktif bermain badminton pada masa lapang.
Walaupun mempunyai jadual kerja yang padat, tetapi sekiranya mempunyai waktu terluang, saya pasti akan mengambil kesempatan tersebut untuk bermain badminton.
Pada kebiasaannya, saya akan bermain sekali dalam seminggu bersama rakan-rakan artis lain di pusat sukan yang telah ditempah.
Tetapi jika tidak berkesempatan, saya akan bermain badminton bersama adik di gelanggang badminton di kawasan rumah saya," katanya yang kini menetap bersama keluarga di Cheras, Kuala Lumpur.
Kata wanita yang berusia 27 tahun ini lagi, kebiasaannya dia dan rakan-rakan bermain badminton hanya untuk suka-suka bagi mengeluarkan peluh agar tubuh kekal sihat.
Kebiasaannya orang lain bermain badminton secara serius dengan menjadikannya satu pertandingan, tetapi saya pula bermain untuk kesihatan.
Jadi, saya dan rakan-rakan akan bermain secara suka-suka tanpa mengikut peraturan perlawanan kerana apa yang penting adalah untuk mengeluarkan peluh," katanya yang membintangi filem Syurga Cinta.
Selain itu, Heliza yang kini aktif sebagai penceramah motivasi juga berkata melalui aktiviti tersebut, dia berpeluang menghabiskan masa berkualiti bersama rakan dan keluarga.
Sebagai anak seni, jadual harian saya padat dengan aktiviti dan undangan persembahan, jadi masa terluang ini akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Bagi saya, apabila bermain badminton, ia bukan sahaja untuk mencergaskan diri tetapi juga menjadi tempat untuk saya mengeratkan hubungan sesama rakan artis dan ahli keluarga," katanya yang sering bermain badminton bersama rakan artis antaranya Yatt Hamzah, Diana Amir dan Siti Nordiana.
Mahu karier berjalan serentak
Kebiasaannya artis tempatan akan menjalankan beberapa pekerjaan secara serentak. Begitu jugalah yang dilakukan oleh pelakon drama bersiri Warkah Cinta dan Cinta Kun Fayakun ini.
Jelas Heliza, niatnya menjalankan beberapa tugas secara serentak iaitu menyanyi, berlakon dan mengacara bukan kerana mahu mengejar sesuatu tetapi bagi Heliza, kesemua platform yang disertainya itu mempunyai keunikan tersendiri.
Memang pada awalnya saya menyertai industri seni sebagai penyanyi, kemudian menceburi bidang lakonan dan pengacaraan, tetapi itu semua saya lakukan dengan satu tujuan yang jelas.
Bagi saya, setiap platform tersebut memberi peluang kepada saya untuk berdakwah kepada masyarakat dan sebagaimana yang dapat disaksikan, banyak mesej-mesej baik dapat disampaikan," katanya yang turut mengacarakan program Rasa Halal Antarabangsa terbitan Astro.
Selain itu juga, Heliza kini bergiat aktif sebagai seorang penceramah motivasi dan sering mendapat jemputan mengadakan ceramah untuk pelajar di setiap peringkat.
Saya memilih untuk menjadi seorang penceramah kerana ia merupakan platform terbaik untuk saya berkongsi pengetahuan yang dimiliki bersama orang lain.
Bukan bermakna saya lebih baik daripada sesiapa tetapi apa salahnya pengalaman dan ilmu yang kita miliki ini digunakan ke arah kebaikan," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.
Pengajaran dari Gaza
Baru-baru ini, Heliza berkesempatan menyertai satu rombongan lawatan kemanusiaan ke Gaza, Palestin. Beliau bersama rakan-rakan artis lain menjayakan misi menyampaikan bantuan kepada masyarakat Islam yang ditindas di sana anjuran Badan Aman Palestin.
Menurut Heliza, pengalaman yang diperolehinya daripada lawatan kira-kira seminggu itu banyak memberi motivasi dan pengajaran kepada dirinya dalam menjalani hidup sebagai seorang Muslim.
Jelasnya, walaupun masyarakat di sana hidup dalam serba kekurangan, tetapi semangat yang ditonjolkan mereka amat mengagumkan di mana dalam setiap perkara yang dilakukan, semuanya dilakukan demi mencari reda Allah.
Sungguh menakjubkan, saya sangka mereka pasti berada dalam keadaan yang sengsara secara mental dan fizikal tetapi apabila berpeluang menghabiskan masa di sana, saya dapat lihat semangat mereka amat teguh.
Dalam keadaan serba kekurangan dan sering menerima ancaman, mereka tidak pernah memilih jalan berputus asa dan tetap meneruskan hidup seperti yang disyariatkan Islam," katanya yang ternyata kagum dengan situasi tersebut.
Tambah Heliza lagi, dia memasang niat untuk menyuntik semangat yang sama dalam jiwa masyarakat negara ini khususnya generasi muda agar terus hidup tanpa membelakangkan agama.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
