Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Heliza mahu bina masjid

WAJAHNYA cukup comel, mulutnya pula petah berkata-kata manakala imejnya sangat ayu dan sopan dengan hijab labuh dan jubah. Bermula sebagai penyanyi dengan mencuba nasib dalam program Akademi Fantasia musim kelima, kini kerjaya Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 27, sudah berkembang. Wajahnya lebih kerap muncul sebagai pengacara program televisyen, penceramah bebas dan juga terbaharu, Heliza sudah bergelar ahli perniagaan. Bukan hanya satu atau dua perniagaan yang diuruskan, sebaliknya dia menguruskan bisnes Heliza Helmi Hijjab, Heliza Helmi Instant Telekung dan terbaharu, butik pakaian Muslimah, Falah Abiyana yang diusahakan bersama beberapa rakan kongsinya. Disoal mengapakah dia seperti kelihatan begitu tamak mahu membuat semua perkara serentak, ujar Heliza, dia bukannya tamak. Sebaliknya, dia menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk sesuatu yang berguna. "Kita ada masa 24 jam. Jika digunakan sebaik mungkin, banyak perkara yang boleh dicapai. Apa sahaja yang beri manfaat kepada diri, keluarga dan orang lain, saya akan cuba libatkan diri. "Saya sendiri bukannya sempurna, ada kekurangan di sana sini. Jadi, apabila saya melibatkan diri dengan pelbagai bidang yang berbeza secara tidak langsung saya turut belajar untuk memperbaiki diri sendiri," ujarnya. Hari ini, wajah Heliza bukan asing lagi dalam banyak program motivasi dan keagamaan. Bukan calang-calang orang yang pernah bergandingan dengannya kebanyakan jauh lebih berusia, berpengalaman dan mempunyai pengaruh yang besar. Sejak berusia lima tahun lagi dia sudah menyimpan cita-cita untuk bergelar pakar motivasi seperti Datuk Fadzilah Kamsah. "Masa saya lima tahun, saya cukup suka tengok program motivasi Datuk Fadzilah Kamsah di televisyen, saya kata pada ibu saya ingin jadi sepertinya suatu hari nanti. "Tidak sangka, dua tahun lalu saya berada di dalam Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin) dan penaungnya ialah Datuk Fadzilah Kamsah. Ia umpama mimpi jadi nyata rasa seperti tidak layak untuk duduk satu pentas dengannya," katanya. Sedar perjalanannya masih jauh untuk bergelar seorang pakar motivasi, Heliza merangkak perlahan-lahan menuntut ilmu daripada mereka yang lebih pakar.
Setakat hari ini, Heliza yang mempunyai sijil sebagai perunding imej bertauliah lebih banyak berkongsi pengalamannya sebagai anak seni jika dijemput menghadiri forum. "Jika nak berdakwah apabila diri sudah cukup sempurna, tiadalah pendakwah. Saya hanya berkongsi pengalaman dan ilmu yang saya tahu sahaja. "Saya mengaku diri ini bukan yang paling hebat, paling baik dan paling bijak. Selain berkongsi pengalaman, saya juga selalu dijemput sebagai perunding imej untuk Muslimah. "Alhamdulillah, walaupun yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia, mereka dapat menerima saya dengan baik," akuinya. Album baharu Walaupun sibuk dengan bidang lain, aktiviti seni tidak pernah dilupakan Heliza. Tahun ini genap enam tahun penglibatannya dalam bidang seni, ironinya baru kini dia bakal muncul dengan album sulungnya. Bukan bidang nyanyian tidak lagi menjadi pilihannya, sebaliknya sebelum ini peluang untuk menghasilkan album belum tiba. "Sudah lama jadi penyanyi, baru sekarang nak hasilkan album. Mungkin sekarang baru tiba rezeki saya, apapun saya bersyukur walaupun orang kata, agak lewat," ujarnya. Album yang dijangka berada di pasaran dalam tahun ini mengandungi 10 buah lagu, doa dan zikir seperti Jom Zikir dan La Tahzan. "Buat masa ini baru siap dua buah lagu sahaja, selebihnya masih dalam proses. Disebabkan jadual yang padat, rakaman album sering tertangguh. "Saya harap dapat keluarkan album pada tahun ini juga sebab sudah lama sangat. Kalau tunggu lagi lama takut tidak jadi pula. "Album ini bukanlah album yang biasa sebaliknya, digabung dengan doa dan zikir. Moga-moga dapat beri manfaat buat pendengar kelak," ucapnya. Bukan itu sahaja, Heliza juga menyimpan cita-cita untuk meluaskan perniagaan dengan menubuhkan agensi pelancongan untuk membawa orang menunaikan umrah. "Itu juga antara yang sedang saya usahakan sekarang ini. Selain bawa orang pergi menunaikan umrah, agensi pelancongan itu nanti juga menyediakan pakej pelancongan seperti biasa untuk Muslim. "Saya terfikir mengenai perkara ini ketika menjadi pengacara program, Rasa Halal Antarabangsa bersama Astro Oasis. Banyak tempat menarik yang saya lawati, terutama untuk pelancong beragama Islam," katanya. Ditebak lagi soalan, apakah impian terbesarnya selepas ini? Terdiam sebentar, memikir jawapan yang sesuai barangkali. Jawabnya, dia mahu membina sebuah masjid, surau atau rumah anak-anak yatim. "Selain apa yang saya lakukan sekarang impian terbesar saya ialah membina masjid, surau atau rumah anak yatim. Jika saya sudah tiada kelak, itulah tempat untuk saya dapat pahala berterusan, kira pencen untuk hari akhirat kelak," tuturnya ringkas.
Masa terhad Sebalik imejnya yang sopan terselit perangai nakalnya, yang hanya diketahui mereka yang rapat dengannya sahaja. Tidak ramai yang tahu, Heliza sama seperti remaja lain. Dia mempunyai perangai gila-gila, gemar berlawak, mendengar muzik dan aktiviti lasak seperti Go Kart. "Jika orang yang kenal saya, pasti mesti mereka tertawa jika orang kata saya seorang yang terlalu baik. Saya seperti orang lain juga, agak nakal, suka kacau orang, merepek dan tidak suka duduk diam. Itulah diri saya yang sebenarnya. "Sejujurnya, saya tidak pernah menyembunyikan perangai saya yang sebenar. Seiring dengan peningkatan usia, saya berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam," balasnya. Bercerita tentang aktiviti paling rindu untuk dilakukannya, terus anak kepada anggota polis ini mengakui sudah lama dia meninggalkan aktiviti membeli-belah dan menonton wayang. "Sudah bertahun-tahun saya tidak jejakkan kaki ke panggung wayang. Filem terakhir yang saya tonton di panggung pun saya tidak ingat (ketawa). "Saya memang suka tengok wayang tetapi sekarang waktu sangat terhad. Sebelum ini waktu baru keluar daripada Akademi Fantasia dan semasa belajar di universiti, saya ada masa untuk membeli-belah, tengok wayang dan keluar dengan rakan-rakan. "Sekarang, kalau terdesak sangat, barulah saya akan keluar beli barang. Selalunya, ibu atau keluarga saya yang akan membeli-belah bagi pihak saya," katanya. Kemuncak yang memberi petanda dia harus berehat apabila kesihatannya mula terganggu ketika Aidilfitri yang lalu sehingga keluar batuk berdarah. "Saya demam seminggu ketika hari raya dengan batuk berdarah sebab suhu badan terlalu tinggi. Saya sangka denggi dan dalam hati, saya ingat saya nak mati. "Rupanya badan saya terlalu penat dan harus berehat. Sejak itu saya ubah jadual kerja supaya kesihatan lebih terjamin. Mesti ada masa untuk makan, bersenam dan berehat," ujarnya mengakhiri bicara.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails