Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Keterlanjuran Intan - Adey


KALAUPUN masih terlalu jauh untuk menghampiri nilai sebutir intan, barangkali zat kepada unsur paling keras itu sedang ingin dikaitkan dengan pelakon Intan Ladyana. Dimunculkan sebagai gadis rebutan dalam Tipah Tertipu The Movie empat tahun lalu, laluan awal itu membawa pemilik nama hakiki Intan Nurladyana Mohamad Yahaya sehingga sejauh ini. Biarpun bukan di baris hadapan dalam pencalonan acara anugerah seni, setidak-tidaknya pentas hiburan tidak pernah memberi janji kosong untuk Intan terus berdiri.

Namun, masih ada yang mempersoalkan impak kelibatnya malah mendakwa lakonan Intan masih kaku. Tidak menidakkan kelemahan yang ada, bagaimanapun Intan yakin setiap pelakon berdepan getir yang tekanan yang sama saat sesuatu karakter hendak dilaksanakan. "Jangan mudah untuk menghukum lakonan seseorang itu 'kayu'. Orang kita gemar bersikap pesimistik sedangkan kita ada pilihan untuk mengangkat karya hasil anak tempatan bukan menjatuhkan. "Orang hanya akan menilai secara luaran, tapi bagaimana jika pengkritik itu sendiri yang berada di tempat pelakon berkenaan. Jika isu lakonan 'kayu' itu yang masih mahu diperkatakan, saya tidak faham kenapa," curah Intan.

Sedar kritikan adalah makanan, tambahan pula bagi pelakon yang tiada asas seni secara formal sepertinya, Intan mengakuinya, dalam tempoh empat tahun aktif, dia semakin matang, baik dari segi lakonan mahupun pendirian. Itu antara janji yang dipertaruhkan Intan seiring filem keempatnya bersama MIG Production (MIG), Flat 3A, kini berada di pawagam. Kendatipun bukan daripada genre drama berat, Intan mengakui kelangsungan watak Fikah menuntut penghayatan berganda daripadanya. "Boleh dikatakan, itulah watak paling berat, paling berlainan dan amat mencabar yang pernah saya lakonan.

"Filem itu bercerita tentang keruntuhan moral seperti amalan seks bebas, hamil luar nikah dan pengguguran serta pembuangan bayi. "Saya tak boleh bayangkan betapa saya akan terjerumus dan sanggup melakukan perkara seperti itu, termasuklah memegang lintah, geli-geleman saya dibuatnya. "Saya amat tertekan dan dipaksa menjadi wanita yang trauma serta tertekan, mental dan fizikal semuanya kerana cinta dan salah percaturan," ujarnya memuji kerja pengarahan Azahari Zain untuk filem berkenaan. Jika terdahulu diganding nama-nama popular seperti Pierre Andre, Shaheizy Sam dan Farid Kamil, kali ini, Intan berkongsi flat pula dengan bakat baru, Adey Shafren.

Lebih teruk lagi, dia sengaja menyerahkan diri malahan menyerahkan tubuh untuk diratah dan alat pelepas amarah oleh Adey yang melakonkan watak kekasihnya, Anas. "Saya okey dengan Adey, lagipun ada sesi latihan skrip sebelum penggambaran diadakan. "Kalau Adey merasakan dia pelakon baru yang harus bermula dengan 'kosong', saya pun begitu. Setiap hari adalah proses pembelajaran," cerita si kekasih pelakon Kamal Adli itu bersahaja. Selain Flat 3A, akan datang Intan bakal muncul pula dengan filem bersama Fizo Omar berjudul Halimunan dan Bini-Biniku Gengster, sekali lagi bersama Shaheizy Sam. Adey pertama kali jadi hero

Loghat Sabah masih basah dalam bicara, namun seboleh-bolehnya pendatang baru dalam dunia lakonan, Adey Shafren, 23, menebalkan lidah untuk bercakap dalam gaya orang Kuala Lumpur. Mujurlah, sebelum benar-benar berkeyakinan untuk berdepan umum, jejaka itu terlebih dahulu mencari guru agar kekosongan yang tidak pernah terisi ilmu lakon sedikit bercambah. "Memang saya ada belajar secara tidak formal dengan seorang aktor yang cukup dikenali ramai, tetapi agak keterlaluan jika saya mendabik dada tentang siapakah mentor saya itu. "Biarlah dulu, sekarang buat malu dia sahaja jika lakonan saya tetap kayu dan memualkan," katanya merendah hati.
Masih asing di mata ramai, namun Adey bukan sewenang-wenang muncul sebagai pelakon utama. Kisahnya bermula dengan 20 babak dalam drama bersiri 26 episod, Jangan Pandang Belakang The Series dan bertambah menjadi 52 babak dalam drama Adnan Sempit The Series. "Masa mula-mula berlakon, saya memang 'kayu' habis. Ada yang kata saya berlakon macam orang cacat tapi saya terima ambil itu sebagai cabaran. "Masuk drama kedua, saya tak faham apa yang saya buat, apa yang saya ucapkan dalam dialog. Apabila diberi ruang dalam drama Epilog Syurga Cinta, barulah saya faham bahasa dalaman. "Ketika itu, tubuh saya boleh berinteraksi dengan dialog yang saya luahkan, selama ini, ia melantun tanpa arah," katanya.

Adey menghitung-hitung lagi jumlah babak dalam drama Siti Kelembai sebanyak 125 babak dan diangkat sebagai antara pemain utama dalam drama 12 episod, Kasih Alya bawah produksi JS Pictures bersama Sheila Rusly. Ketika ini, Adey juga seangkatan dengan Nora Danish dan Kamal Adli dalam drama Ana Lulu di TV3. Masuk ke watak Anas, karakter pertama yang meletakkan dirinya sebagai pendokong watak utama, Adey menyimpan ekspresi. Dia menyerahkan kepada penonton sebagai pemilik suara mutlak untuk menilai corak lakonannya. "Saya baru lapan bulan bergelar pelakon. Profil saya masih di perenggan pertama. "Begitu juga dengan lidah 'Sabah' saya ini, saya masih cuba mengikis ia baik-baik tapi ada masanya saya terlepas menjadi budak Sabah, terutamanya bila ada dialog-dialog marah yang memerlukan lebih ekspresi.

"Tambah-tambah lagi, dalam Flat 3A, saya jadi seorang yang panas baran. Bila marah sahaja, sebutan saya akan jadi lebih tebal," ujarnya bernada serius. Tidak mampu menyimpan emosi, Adey berkongsi sedikit pengamatan. Katanya, dia belum mampu untuk memisahkan kecenderungan terikut-ikut gaya lakonan pelakon lain yang sering dirujuk dan diperhatikan. "Saya serahkan hak itu kepada penonton. Nilailah dan kritiklah seadanya. "Watak Anas itu sendiri banyak lapisan, dan setiap lapisan itu harus diberikan perhatian. Dia lebih daripada apa yang ditonjolkan. Saya sangat sukakan pengakhiran cerita dalam Flat 3A. "Apa-apa pun sangat berterima kasih kepada abang ipar saya, Eizlan Yusof yang banyak memperkenalkan saya terhadap bidang ini, begitu juga David Teo. "Di fikiran saya dulu, saya tahu David Teo sahaja penerbit drama dan filem di Malaysia. Betapa naifnya saya," jujurnya Adey dapat dirasai.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails