Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Seminggu beraya di Bangkok - Intan Ladyana


AIDILFITRI berlainan makna bagi Intan Ladyana, 29, yang menyambutnya di luar negara. Berbeza bagi sesetengah daripada kita yang pulang ke Malaysia semata-mata untuk merayakan Aidilfitri bersama sanak-saudara tercinta di kampung halaman.

Namun begitu, bukan sengaja Intan atau empunya nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya memilih lokasi tersebut untuk menyambut lebaran yang muncul hanya sekali setahun.

Salasilah keturunan yang membuatkan Intan tertawan dengan negara jiran sebelah Malaysia iaitu Thailand. Benar! Keluarga sebelah ibunya memiliki darah daripada penduduk Thailand.

"Itupun sudah jauh daripada beberapa generasi terdahulu, mungkin kerana tempat itu sangat nostalgia bagi keluarga sebelah ibu maka setiap tahun mesti beraya di sana," katanya yang hampir setiap tahun beraya di Bangkok, Thailand.

Intan yang berdarah kacukan Thailand sebelah ibunya, Wan Zurina Wan Isa, 50-an, sempat berkongsi cerita keunikan beraya di sana.

"Pastinya akan ada sangat ramai saudara-mara yang akan berkumpul untuk meraikan hari raya seperti mana di kampung-kampung kalau di Malaysia.

"Lebih kurang 30 orang kalau tak salah sepupu dan saudara sebelah ibu dan biasanya setiap hari raya pertama kami akan berkongsi-kongsi hadiah," ujarya.

Hadiah yang dimaksudkan tidak semestinya hadiah mewah dan mahal-mahal, cukup sekadar tanda ingatan setelah hampir setahun berpisah dan sibuk dengan urusan masing-masing, kata Intan lagi.

"Konsepnya mudah saja, kami buat seolah-olah cabutan bertuah dan pastinya setiap orang akan mendapat hadiah. Sama juga sebenarnya jika hanya bertukar-tukar hadiah tapi cara ini lebih seronok dan meriah," cerita Intan bersungguh-sungguh.

Tempoh berada di tanah tumpah moyangnya itu bagaimanapun cuma mampu diluangkan kurang daripada seminggu berikutan kesibukan kariernya.

"Biasanya hanya empat atau lima hari Intan akan beraya di Thailand dengan saudara-mara sebelah ibu, dan selebihnya di Kuala Lumpur," tambah Intan.

Tiada ketupat

Kata Intan, tidak terasa bahang dan kemeriahan raya di Thailand tambahan pada hari raya pertama bukanlah cuti umum.

"Maka, majoriti penduduk di sana memakai pakaian yang kebiasaan dipakai sehari-hari seperti orang di Malaysia begitu juga kami sekeluarga.

"Tak ada baju kurung, baju Melayu atau pakaian yang istimewa seperti yang kita pakai apabila Hari Raya Aidilfitri di Malaysia," keluhnya.

Bukan itu saja, juadah lazat yang hanya terhidang di kala pagi lebaran juga tiada yang menarik melainkan makanan ruji masyarakat di sana.

"Lainlah kalau ada antara kami yang sudi bawakan masakan khas hari raya seperti ketupat, rendang, lemang dan sebagainya.

"Jika tidak, raya pertama seolah-olah hari biasa cuma mungkin kami sekeluarga akan makan besar beramai-ramai," getus Intan.

Rutin pagi raya yang lazimnya mengamalkan amalan kunjung mengunjung antara jiran tetangga juga turut berubah di sana.

Oleh kerana seluruh keluarga Intan telah berkumpul bersama maka secara automatiknya tiada siapa yang boleh mereka lawati sepanjang sambutan Syawal.

"Tapi, aktiviti terluang kami diisi dengan program shopping besar-besaran, bukan kerana murah atau tawaran potongan harga sempena perayaan tapi itu sudah menjadi kewajipan bagi kami apabila berkumpul sekali," katanya yang gemarkan fesyen yang pelbagai dari Thailand.

Kamal Adli

Ditanya adakah Intan akan menyambut lebaran tahun ini bersama insan istimewa antaranya aktor kacak, Kamal Adli, lantas jawapan jika ada kelapangan diberi.

"Tengok dulu kalau ada masa, insya-Allah kami akan beraya bersama," ujarnya ringkas.

Hubungan antara Intan dan Kamal yang terjalin lebih dua tahun setengah itu masih utuh dan mementingkan persefahaman saban hari.

"Masing-masing faham dengan tugas, dia pun sibuk dan begitu juga Intan. Kadang-kadang kami langsung tidak sempat berjumpa dan hanya berhubung melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) atau BBM (Black Berry Messenger) setiap hari," ujar Intan yang percaya akan kesetiaan kekasihnya itu.

Berbalik pada rutin harian Intan sepanjang bulan Ramadan, cerita gadis itu tiada apa yang membezakan bulan penuh keberkatan ini untuk melaksanakan tuntutan harian walau akan sedikit kepenatan.

"Maka apabila bersahur Intan hanya akan banyak meminum air suam berbanding air manis bagi menyediakan badan untuk kekal aktif sepanjang hari.

"Tapi, apabila saat berbuka pastinya Intan akan lupa diri dan ketika itulah semua makanan di depan mata kelihatan sangat sedap," kata Intan yang menggemari ayam percik, putu piring dan tepung pelita di kala bulan Ramadan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails