Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Izzue Islam. Show all posts
Showing posts with label Izzue Islam. Show all posts

Izzue Islam Enggan Sentuh Wanita Untuk Jaga Status

Pelakon Izzue Islam meletakkan syarat tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita dalam mana-mana drama lakonannya bagi menjaga status dia sebagai seorang suami. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, juga menganggap prinsip itu juga bagi menjaga maruah pelakon wanita yang digandingkan bersamanya sama ada dalam filem ataupun drama. "Ya, saya ada meletakkan syarat agar tidak ada adegan bersentuhan antara saya dengan pelakon wanita dalam beberapa drama yang saya lakonkan kebelakangan ini. "Saya rasa ia adalah untuk menjaga status saya sebagai lelaki sudah berkahwin dan untuk menjaga maruah pelakon wanita itu juga," ujarnya kepada mStar Online. Izzue berkata demikian ketika diminta mengulas syaratnya tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama terbaharunya berjudul Suami Sebelah Rumah. Drama yang bakal ditayangkan di TV3 pada Mac depan itu turut dilakonkan oleh aktres Ayda Jebat. Tambah Izzue, banyak cara lain yang boleh dilakukan selain berpelukan atau bersentuhan bagi menghidupkan sesuatu babak romantik.
"Saya rasa tidak semestinya kita perlu berpelukkan atau bersentuhan untuk menampakkan ia babak romantik. "Banyak sahaja cara lain yang tidak memerlukan kita berbuat demikian tetapi masih boleh nampak ia sebagai romantik," katanya. Bagaimanapun dia akan berbincang dengan pengarah terlebih dahulu sebelum menerima mana-mana tawaran lakonan. Sementara itu, Izzue berkata, prinsip tersebut tidak mempunyai kaitan dengan isterinya, Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, yang sebelum ini dikatakan seorang yang kuat cemburu. "Keputusan itu atas diri saya sendiri dan bukannya sebab isteri saya cemburu atau tidak. Dia tidak mempengaruhi keputusan apa yang saya lakukan. "Saya berbuat demikian kerana memikirkan ia adalah hal saya sebagai seorang lelaki yang menjadi suami orang," ujarnya. Izzue bernikah dengan Awin yang juga pengurusnya pada 2 Jun 2013.

Izzue Islam Tenang Isteri Dituduh Bersikap 'Queen Control'

Pelakon Izzue Islam sentiasa bersikap tenang apabila ada pihak menuduh isteri yang juga pengurusnya, Nurinafilah Waharudin (Awin) bersikap 'queen control' apabila wanita berkenaan sering dilihat bersamanya ketika berada di lokasi penggambaran. Izzue, 25, berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana sebelum mereka bergelar suami-isteri, Awin telah menguruskan kerjaya seninya termasuk bertindak sebagai pembantu peribadi. "Saya tidak faham mengapa ia perlu menjadi isu kerana wanita yang saya bawa ke set penggambaran adalah isteri saya malah dia juga adalah pengurus dan pembantu peribadi sejak dari awal pembabitan saya dalam bidang seni. "Sebelum berkahwin perkara ini tidak pernah menjadi isu pun wahal ketika itu Awin sentiasa bersama saya dan sepatutnya sekarang ia lagi tidak patut dijadikan satu masalah kerana hubungan kami sah," katanya kepada mStar Online. Izzue ditemui pada majlis pelantikannya bersama aktres Yana Samsudin sebagai duta produk Super 'The Secret To A Smile' di Cathay Cineplex E@curve di sini pada Khamis.
Izzue dan Yana dilantik sebagai duta jenama Super selama tiga tahun. Dalam pada itu, Izzue berkata, dia tidak pernah berasa terkongkong kerjayanya diuruskan oleh isteri sendiri kerana tanpa sokongan dan kegigihan wanita berkenaan kariernya tidak akan berada pada tahap sekarang. Kata Izzue, dia menganggap gosip yang diperkatakan tentangnya sebagai satu cabaran dalam rumah tangganya bersama Awin yang dibina sejak setahun lalu. "Apa yang orang ingin perkatakan tentang kami ia adalah satu bentuk cabaran dalam hubungan kami malah ia sebenarnya mengeratkan lagi kasih sayang dalam perkahwinan kami. "Awin seorang yang sangat positif dan sporting dalam hal-hal sebegini dan dia banyak memberi semangat kepada saya untuk terus tabah menghadapi dugaan sebagai anak seni," ujarnya. Sementara itu, Awin yang turut mengulas mengenai isu berkenaan berkata, dia tidak pernah mencampur-adukkan soal peribadi dan kerjaya seperti mana diperkatakan sesetengah pihak dan hanya menjalankan tugas sebagai seorang isteri dan pengurus kepada Izzue. "Saya menilai perkara ini dari segi positif dan ia adalah lumrah apabila ada orang yang menyokong dan tidak suka kepada kita," katanya. Dalam perkembangan lain, Izzue teruja dengan kepercayaan diberikan oleh Super Food Marketing Sdn Bhd (Super) yang melantiknya sebagai duta jenama berkenaan selama tiga tahun dan ia adalah antara pencapaian terbesar dalam kerjayanya. Jelas Izzue, selain membantu mempromosikan produk kopi dibawah jenama Super dia dan Yana akan terlibat dalam pelbagai projek termasuk kempen Super Secret To A Smile untuk membantu komuniti yang memerlukan bantuan. "Saya sendiri menggemari kopi keluaran Super dan tidak sangka pula akan mendapat tawaran sebagai duta selama tiga tahun dan ia suatu kepercayaan yang tidak akan saya sia-siakan," jelasnya. Untuk tujuan tersebut kata Izzue, dia telah pun mengosongkan jadualnya sepanjang September dan Oktober bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada peranan baharunya sebagai duta Super. "Selepas ini saya dan Yana akan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk mempromosikan produk keluaran Super selain menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. "Menerusi siri jelajah ini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk bertemu peminat yang banyak memberikan sokongan kepada saya," katanya.

Kejutan Setiap Hari Petua Bahagia Izzue Islam & Isteri

Pelakon Izzue Islam memberitahu dia menghangatkan rumah tangga selepas berkahwin dengan Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, dengan cara memberi kejutan kepada isterinya itu pada setiap hari. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, berkata, kejutan yang diberikan itu bukanlah berbentuk pemberian barangan tetapi lebih kepada perbuatan agar masing-masing akan berasa dihargai. "Saya percaya setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk menghangatkan rumah tangga mereka. Saya pula lebih suka memberi kejutan seperti mencium dahi isteri ketika bangun pagi. "Walaupun kecil perbuatan itu, isteri semestinya akan berasa dihargai. Begitu juga dengan Awin, ada saja kejutan yang dia lakukan untuk saya. Keadaan itu membuatkan kami berasa seronok dan lebih memerlukan antara satu sama lain," katanya kepada mStar Online.
Tambah anggota kumpulan Forteen ini, walaupun sudah lima tahun berkenalan sebelum mendirikan rumah tangga, sehingga kini mereka yang meraikan ulang tahun perkahwinan pertama pada 2 Jun lalu masih lagi berasa seperti sepasang kekasih yang baharu menjalinkan hubungan cinta. Kata Izzue, dia telah menghadiahkan Awin sebuah jam tangan semepna ulang tahun itu dan tidak sangka pula isterinya itu turut memberikan hadiah serupa kepadanya. "Memandangkan sekarang ini saya sibuk dengan persiapan pementasan teater Projek Kahwin, jadi saya tidak ada masa nak cari hadiah untuk diberikan kepada isteri. "Kebetulan pula saya mempunyai sedikit masa waktu rehat, jadi saya terus beli jam tangan untuknya kerana dia pernah meluahkan hasrat mahu beli jam tangan baru. "Tak sangka pula dia pun menghadiahkan barangan sama kepada saya. Apa-apapun saya bersyukur kerana sudah setahun kami melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri. Doakan kami sehingga akhir hayat Insya-Allah," ujarnya. Sementara itu, lakonan Izzue boleh disaksikan menerusi pementasan teater muzikal Projek Kahwin yang dipentaskan pada 6 hingga 14 Jun ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kami memang bermasam muka - Anzalna

Baru-baru ini, nama pelakon Anzalna sedikit tercalar dihimpit isu terkini. Dilaporkan, dia dan pelakon Izzue Islam tidak berpuas hati antara satu sama lain sewaktu berlakon bersama di lokasi, sehingga bermasam muka. Ini gara-gara sikap Anzalna yang dikatakan agak berlebih-lebihan dalam menghayati watak sebagai Mya Arlissa ketika penggambaran drama Aku Isterinya, beberapa bulan sudah. Sikap Anzalna itu telah menyebabkan Izzue yang melakonkan watak sebagai Mikail kurang selesa. Keadaan lebih panas apabila isteri kepada Izzue, Awin Nurin turut cemburu, gara-gara sikap Anzalna. Enggan terus menambahkan duka dalam dada, Anzalna memberitahu dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut lagi. Ini kerana dibimbangi akan menjatuhkan semangatnya untuk berlakon selepas ini. “Memang apa yang diperkatakan dan dilaporkan media sebelum ini adalah benar, kami memang mempunyai masalah ketika dalam set. Tetapi ia tidak berlanjutan, habis begitu sahaja," katanya, menjelaskan duduk perkara. Tidak mahu meneruskan permusuhan, Anzalna bersungguh-sungguh mempertahankan kelakuannya sewaktu di depan kamera. Apa yang dilakukan tidak keterlaluan dan mengikut kehendak etika kerjanya semata-mata. “Setiap tindakan saya di lokasi adalah atas tuntutan skrip. Tidak ada istilah saya berlebih-lebih dalam lakonan termasuklah dengan Izzue. Saya juga mempunyai cara tersendiri bagaimana untuk menghayati sesuatu watak yang diberi," katanya, yakin. Menurut Anzalna, isu seperti yang didakwa sepatutnya tidak perlu dipanjangkan kerana itu adalah perkara remeh dan bersifat kebudak-budakan. “Sekali lagi ingin saya tegaskan, apa yang diperkatakan bukan berpunca daripada diri saya. Saya tidak pernah timbulkan apa-apa masalah dengan dia (Izzue) atau sesiapa sahaja di lokasi, saya bekerja dan bukan mencari musuh dengan sesiapa," tegasnya. Cukup matang berdepan situasi seperti itu, Anzalna mengakui tidak berhasrat untuk bersemuka dengan Izzue atau isteri pelakon itu ekoran perselisihan faham tersebut. “Tiada sebab untuk saya berbuat demikian dan melayan perkara yang kebudak-budakkan. Tambahan pula ia isu kecil dan telah pun selesai," jelasnya.

Izzue Islam Risau Diserang Asma Ketika Rakaman Fear Factor

Pelakon dan ahli kumpulan Forteen iaitu Izzue Islam risau diserang penyakit asma ketika menjalani penggambaran program Fear Factor di Cape Town, Afrika Selatan bermula 9 Oktober ini. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, jika penyakit itu menyerang dia bimbang akan menyusahkan pihak produksi selain mengganggu penggambaran yang dijangka selesai dalam masa dua minggu. "Insya-Allah untuk menghadapi cabaran seperti berada di tempat tinggi atau dikurung bersama binatang berbisa mungkin tiada masalah tetapi saya cuma bimbang akan diserang asma. "Bagaimanapun saya harap penggambaran itu nanti akan berjalan lancar dan dapat menyelesaikan semua cabaran dengan baik," jelasnya kepada mStar Online. Dalam perkembangan sama, Izzue berkata, walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti seni dia tetap mencuri masa untuk melakukan senaman sebagai persediaan menyertai program tersebut. Jelas Izzue, dia banyak melakukan senaman di pusat kecergasan dan berjoging bagi patkan stamina sebelum menyertai Fear Factor. "Ini adalah satu cabaran untuk saya dan walaupun sedikit gementar ia tidak mematahkan semangat untuk menyertai program tersebut dan persediaan fizikal amat penting," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai tuduhan kononnya dia menipu wang peminat dengan menjual telefon bimbit sebelum ini, Izzue menjelaskan dia tidak teragak-agak membuat laporan polis kepada pihak yang menggunakan namanya atas tujuan berkenaan. "Saya masih boleh bersabar dan telah menjelaskan kepada peminat keadaan sebenar supaya mereka tidak tertipu dengan penjualan telefon bimbit yang menggunakan nama saya itu. "Setakat ini tiada mangsa terbaharu yang tampil membuat aduan selepas tiga orang berbuat demikian sebelum ini dan jika ada saya sendiri akan membuat laporan polis," katanya. Dalam perkembangan lain, Izzue akan kembali sibuk dengan aktiviti seninya dan selepas pulang dari Cape Town nanti.

Izzue Islam Rasa Bersalah Abaikan Forteen

Penyanyi dan pelakon Izzue Islam meluahkan rasa bersalah terhadap kumpulannya iaitu Forteen kerana tidak memberi komitmen sepenuhnya terhadap grup itu. Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzue Islam Mazlan, 23, berkata, dia tidak dapat menyertai aktiviti kumpulan tersebut jika jadual kerjanya bertindan dengan penggambaran. "Kadang-kala memang terdetik rasa bersalah pada diri saya kerana tidak dapat menyertai persembahan Forteen kerana sibuk dengan penggambaran. "Bagaimanapun saya bersyukur kerana pihak produksi dan ahli-ahli Forteen yang lain memahami kerja saya dan tidak pernah mempertikaikan perkara tersebut," katanya kepada mStar Online. Tambah Izzue, perkara berkaitan komitmen telah dibincangkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menyertai kumpulan tersebut. Katanya, dia masih tetap membawa nama kumpulan itu biarpun berada dalam bidang lakonan. "Pada saya dengan berlakon juga dapat membantu memperkenalkan kumpulan Forteen secara tidak langsung. "Saya faham kadang-kala peminat yang datang untuk menonton persembahan Forteen agak kecewa jika saya tiada, namun mereka boleh melihat saya di televisyen," katanya. Ketika ditanya, sama ada pernah terlintas atau tidak untuk dia meninggalkan kumpulan tersebut, Izzue berkata, dia tidak pernah terfikir ke arah itu. Jelas Izzue, dia selesa dengan kedua-dua kerjaya berkenaan dan masih mampu mengurusnya dengan baik. "Rezeki terhadap bidang lakonan memang agak banyak, begitu juga dengan nyanyian, di mana kami akan melancarkan album pertama Forteen dalam masa terdekat ini," katanya.

Izzue Islam Jaga Batas Kerana Isteri

Pelakon dan penyanyi Izzue Islam lebih menjaga batas dalam pergaulan bersama pelakon wanita supaya ia tidak menimbulkan salah faham pihak lain. Menurut Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, walaupun isterinya, Nurinafilah Waharudin, 31, (Awin) memahami tugasnya sebagai selebriti namun dia tetap perlu menjaga perasaan wanita itu. "Awin tidak ada masalah jika saya digandingkan dengan mana-mana pelakon wanita tetapi sebagai suami saya tidak mahu keterlaluan atau melampaui batas kerana tidak mahu orang luar salah faham dan menjaga hati isteri," katanya kepada mStar Online. Izzue dan Awin, 31, selamat bergelar suami isteri pada 2 Jun lalu dengan sekali lafaz selepas menyulam cinta selama enam tahun. Dalam pada itu, dia tidak pernah risau popularitinya akan merudum apabila berkahwin pada usia muda kerana yakin dengan rezeki yang ada. Malah katanya, sejak berkahwin, rezekinya dalam bidang lakonan semakin banyak dan mengakui kini sibuk melunaskan semua tanggungjawab yang diamanahkan. "Saya tidak pernah risau dengan soal itu kerana rezeki itu daripada Allah. Alhamdulillah sejak berkahwin rezeki saya masih ada dan itu adalah berkat berkahwin," katanya. Dalam perkembangan lain, Izzue bakal muncul dengan dua filem iaitu Hantu Tok Mudim dan Aku Bukan Ustaz serta drama terbitan Suhan Movies, Sahabat.

Komen Negatif Tidak Gugat Rumah Tangga Izzue Islam

Pelakon dan penyanyi Izzue Islam menganggap komen-komen berbaur negatif yang diterimanya kerana mengahwini wanita yang lebih berusia bukan satu masalah. Izzue, 23, berkata, apa yang lebih penting dia mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami yang baik dan tidak mahu mempedulikan perkara negatif lain. "Saya dan isteri ada membaca komen-komen negatif tentang perkahwinan kami tetapi itu bukan masalah besar kerana yang berkahwin itu adalah kami dan paling penting ia mendapat restu keluarga. "Kami tidak ambil hati pun apa yang orang ingin kata kerana ia adalah kehidupan kami dan Alhamdulillah kami semakin bahagia sejak bergelar suami isteri," katanya kepada mStar Online. Izzue dan Nurinafilah Waharudin, 31, yang juga pengurusnya selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz selepas menyulam cinta selama enam tahun pada 2 Jun lalu. Bagaimanapun tindakan Nurinafilah atau lebih mesra dengan sapaan Awin yang pada mulanya enggan mendedahkan usia sebenarnya telah menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan peminat. Dalam pada itu, Izzue berkata, dia semakin bahagia dengan perkahwinan tersebut dan mula merasakan perubahan dalam dirinya sebagai seorang lelaki. Jelas Izzue, semua perkara yang dilakukannya demi membahagiakan isteri berharap keluarga mereka akan bertambah secepat mungkin. "Alhamdulillah walaupun ada yang mengecam tetapi lebih ramai yang mendoakan kebahagiaan kami berdua dan indah sebenarnya alam perkahwinan ini. "Pada diri saya sendiri juga banyak perubahan yang saya alami dan berharap rumah tangga kami akan diserikan dengan cahaya mata secepat mungkin," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Izzue berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri 36 episod berjudul Sahabat terbitan Suhan Movies.

Isteri Izzue Islam Tiada Niat Sorok Usia Sebenar

Isteri dan pengurus kepada pelakon Izzue Islam iaitu Nurinafilah Waharudin tidak terkilan apabila ada pihak yang mengkritik tindakannya kerana enggan mendedahkan usian sebenar pada hari pernikahan mereka yang berlangsung pada 2 Jun lalu. Nurinafilah atau lebih mesra dengan sapaan Awin, 31, berkata, dia tidak mempunyai sebarang alasan tertentu kerana bertindak sedemikian dan tidak terkejut apabila pihak media dapat mengetahui usia sebenarnya walaupun dia tidak memberitahu perkara itu. "Saya tiada sebarang sebab tertentu kenapa ingin menyorokkan usia sebenar saya daripada pengetahuan umum dan saya tidak terkejut apabila pihak media dapat mengetahui usia sebenar saya. "Ia bukan sesuatu yang ingin saya sorokkan daripada pengetahuan orang lain sebenarnya," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Izzue, 23, dan Awin selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz selepas menyulam cinta selama enam tahun. Majlis serba sederhana itu telah diadakan di Dewan Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu. Awin turut menolak tanggapan bahawa dia berasa malu dengan perbezaan lapan tahun usianya dengan Izzue sehingga menyebabkan dia enggan mendedahkan umurnya ketika ditanya pihak media pada majlis pernikahannya itu. Sementara itu, Awin berkata, dia tidak melihat perbezaan itu sebagai masalah kepada hubungan mereka kerana apa yang lebih penting mereka saling memahami antara satu sama lain. Jelas Awin, walaupun Izzue masih muda tetapi suaminya itu memiliki kualiti yang dimahukannya daripada seorang lelaki iaitu matang, bertanggungjawab dan romantik. "Usia bukan halangan tetapi yang lebih penting keserasian dan kesefahaman di antara kami yang membuatkan kami selesa bersama. "Saya tidak kecil hati pun dengan apa yang orang ingin kata kerana paling penting keluarga memberikan restu dan kami serasi bersama," jelasnya. Sementara itu, Awin berkata, dia dan Izzue masih bercuti dan mengambil peluang ini untuk bertemu dengan sanak-saudara sebelum kembali bertugas pada minggu hadapan. "Kebetulan cuti sekolah jadi ambil peluang ini untuk bertemu dengan sanak-saudara kedua-dua belah pihak dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.

Awin hadiah terindah - Izzue

SEPINGGAN nasi goreng menjadi titik permulaan kepada perkenalan pasangan Izzue Islam dan Awin Nurin yang telah sah bergelar suami isteri pada hari Ahad lalu. Cerita yang dikongsikan sendiri oleh penyanyi kumpulan Forteen itu, pertama kali dia bertemu dengan Awin ketika menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2008. Kata Izzue, dia ketika itu cuma seorang pembancuh air di sebuah kedai makan yang terletak berdekatan dengan salun rambut kepunyaan Awin di Petaling Jaya, Selangor. “Tiada istilah terhutang budi antara saya dan Awin. Saya mengenalinya sebelum bergelar artis lagi dan saya masih ingat mula-mula perkenalan saya membelanja dia sepinggan nasi goreng. “Syukur Alhamdulillah, hubungan kami berjalan lancar dan biarpun pada mulanya kami memilih untuk tidak bercerita kisah peribadi, selepas kami bergelar suami isteri tiada apa-apa lagi yang perlu kami selindungkan,” ujar Izzue yang ditemui usai majlis akad nikah bersama pasangannya, Awin Nurin di Dewan Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Dengan hanya sekali lafaz, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, selamat menjadi suami kepada Awin atau Nurinafilah Waharudin, 31, yang merupakan pengurus peribadinya selama lebih lima tahun. Menyarungkan sepasang busana berona putih rekaan Satris Anggun, pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, yang disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon kira-kira pukul 9.45 pagi. Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak 11 dinar dan wang hantaran berjumlah RM11,111.11. Pengantin lelaki memberikan tujuh dulang hantaran berupa sebentuk cincin, set barang kemas, sepasang baju, tas tangan Fossil, cek wang hantaran, dompet dan senaskhah al-Quran serta sejadah. Sementara pihak pengantin wanita membalas sembilan dulang hantaran iaitu sebuah komputer riba Macbook Air Apple, sepasang baju kemeja, wangian Paco Rabanne, jam tangan Marc Jacobs, pemegang pasport, tepak sireh, kamera digital Nikon, sejadah dan al-Quran serta manisan. Hadiah hari jadi Istimewanya, majlis akad nikah dan persandingan yang diadakan pada Ahad lalu jatuh pada tarikh yang sama dengan sambutan hari jadi Izzue Islam yang ke-24 tahun. “Awin hadiah hari jadi terindah saya sepanjang hidup dan syukur Alhamdulillah kami kini selamat bergelar suami isteri. Insya-Allah kami mahu cepat-cepat dapat anak,” ujarnya berseloroh. Sementara itu, Awin berkongsi rasa gemuruhnya bergelar isteri kepada seorang selebriti yang sedang mencipta populariti dan digilai ramai wanita. “Kami belum pernah tinggal serumah dan mulai daripada hari ini kami akan lebih mengenali peribadi masing-masing dengan lebih mendalam. Kadang-kadang Izzue nampak juga seperti seorang yang cerewet,” kata Awin yang masih bekerja sebagai seorang eksekutif di Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Hutang budi Izzue mencelah, katanya, sifat Awin yang matang sepanjang menguruskan kerjayanya sebagai seorang artis tidak menggugat kedudukannya sebagai suami atau menjatuhkan saham sebagai artis selepas berkahwin. “Dia seorang yang matang dan memahami kerjaya saya. Tidak ada langsung soal cemburu kerana dia yang mendapatkan saya tapak dalam bidang ini dan saya berbangga kerana memperisterikan seorang wanita yang memahami saya,” tambah Izzue yang teringin merasa masakan isterinya buat pertama kalinya. Malah kata pelakon Saya Sebenarnya Isteri Dia itu, dia tidak pernah melihat pilihannya untuk berkahwin dengan Awin adalah kerana terhutang budi kepada gadis kelahiran Selangor itu. “Dia sayang saya bukan sebab saya artis dan sepanjang enam tahun saya nampak kejujuran dia. Daripada saya bukan sesiapa sehingga hari ini, dia sentiasa berada di samping saya,” katanya yang belum merancang lokasi bulan madu. Majlis dihadiri oleh lebih 1,400 orang tetamu termasuk rakan artis. Antara selebriti yang hadir ketika acara berlangsung adalah Adi Putra, Lisa Surihani, Yusri, Edry, Sheera Ayob, Beto Kusyairy, Fadlan dan anggota kumpulan Forteen.

Izzue Islam Mahu Segera Dapat Cahaya Mata

Pelakon dan anggota kumpulan Forteen, Izzue Islam mahu sudah bersedia untuk bergelar bapa dan berharap akan dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat. Izzue atau nama sebenarnya Muhammadd Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, walaupun usianya masih muda dia yakin dapat menjadi seorang bapa yang baik dan kehadiran anak itu akan mematangkannya sebagai seorang lelaki. "Jika rezeki diberi awal memang saya mahu segera mempunyai anak dan sudah bersedia untuk bergelar seorang bapa tambahan pula anak itu nanti akan memberi berkat dan menyerikan rumah tangga kami" ujarnya kepada mStar Online. Pada Ahad lalu, Izzue selamat bergelar suami kepada pengurusnya sendiri iaitu Nurinafilah Waharudin apabila kedua-dua mereka diijabkabulkan dengan sekali lafaz. Izzue dan Nurinafilah atau Awin, 31, dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, dan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon kira-kira pukul 9.45 pagi di Dewan Shah Alam di sini. Dalam pada itu, Izzue berkata, sikap Awin yang bijak, memahami dan tegas telah menambat hati lelakonya kepada wanita berkenaan dan bersyukur hubungan yang terjalin selama enam tahun itu berakhir ke jinjang pelamin. Jelas Izzue, dia telah mengenali Awin sebelum bergelar artis dan isterinya itu telah bersama-samanya mengharungi suka duka sepanjang tempoh itu. "Dia seorang yang tidak mudah putus asa malah sangat penyayang, penyabar dan pemaaf. Sudah pelbagai perkara kami harungi sepanjang enam tahun ini dan dialah orang yang sentiasa bersama saya sehingga ke tahap ini. "Saya bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan Awin sebagai isteri dan ini adalah hadiah hari jadi yang terbaik pernah saya terima," katanya. Sementara itu, Izzue berkata, isterinya itu akan terus menguruskan kariernya seperti biasa dan selesa diuruskan oleh Awin. Malah katanya, pergerakan mereka akan menjadi lebih mudah dan tidak akan dipandang serong oleh masyarakat. "Walaupun isteri saya mempunyai kerja tetap tetapi dia akan terus menguruskan kerjaya saya kerana selesa begitu," katanya. Ditanya mengenai soal berbulan madu, Izzue bagaimanapun masih belum merancang untuk berbuat demikian kerana terikat dengan penggambaran drama pada minggu hadapan.

Izzue Islam Nikah Pengurus Dengan Sekali Lafaz

Pelakon dan anggota kumpulan Forteen, Izzue Islam selamat bergelar suami kepada pengurusnya sendiri iaitu Nurinafilah Waharudin apabila kedua-dua mereka diijabkabulkan dengan sekali lafaz. Izzue atau nama sebenarnya Muhammadd Izzul Islam Mazlan, 23 dan Nurinafilah atau Awin, 31, dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, dan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon kira-kira pukul 9.45 pagi. Majlis serba sederhana itu diadakan di Dewan Shah Alam di sini pada Ahad. Acara sebelum itu dimulakan dengan upacara berbalas pantun mengikut adat tradisi orang Melayu lama oleh kedua-dua belah pihak. Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 150 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin dan wakil media. Pengantin perempuan menerima 11 Dinar sebagai mas kahwin dan RM11,111.11 sebagai wang hantaran. Sejurus selepas selesai akad nikah, Izzue yang turut menyambut hari jadinya pada hari ini memberitahu dapat memperisterikan Awin pada hari lahirnya merupakan hadiah paling istimewa. Jelasnya, dia bersyukur hubungan cinta mereka selama enam tahun akhirnya berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan dan berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat mereka. "Syukur ini adalah hadiah yang paling istimewa pada hari jadi saya kerana mendapat seorang isteri," ujarnya. Dalam pada itu, pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang. Selain dua bentuk cincin, antara barang hantaran lain yang diberikan Izzue kepada Awin termasuklah senaskah Al Quran, sirih junjung, beg tangan jenama Fossil, sepasang jubah, set barangan kemas Habib Jewel, jam tangan dan dompet. Manakala Awin membalas dengan sehelai baju Melayu, jam tangan jenama Marc Jacob, dompet, sebuah komputer riba, cokelat, sejadah, minyak wangi Paco Rabanne, kamera digital dan sirih junjung. Awin dan Izzue kelihatan anggun dan segak dengan mengenakan busana songket dari rona putih tajaan 'Classic Bridal'. Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan mereka diadakan pada hari sama sejurus selepas majlis akad nikah berlangsung. Majlis akad nikah dan perkahwinan tersebut dikendalikan oleh N'dah Catering & Weeding Planner itu kelihatan meriah dengan dekorasi menawan berkonsepkan 'Indoor Garden'. Sebelum ini pasangan itu telah mengikat tali pertunangan dalam majlis tertutup pada 1 Jun 2012 yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat. Izzue dan Awin berkenalan sejak 2008 dan telah bercinta selama enam tahun.

Masih terima babak romantis-Izzue Islam

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi hero drama Sebenarnya Saya Isteri Dia, Izzue Islam bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang juga merangkap pengurus peribadinya, Awin Nurin. Tanggal 2 Jun 2013 dipilih oleh Izzue dan tunangnya untuk melangsungkan perkahwinan yang bakal dibuat secara sederhana di Shah Alam, Selangor. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan yang ditemui Kosmo! pada penggambaran filem Suami Aku Ustaz di bandar Melaka kelihatan lesu dan tidak bermaya. Diajukan persoalan itu kepadanya, pelakon yang juga penyanyi kumpulan Forteen itu mengakui kurang sihat kerana begitu sibuk menjalani penggambaran dan dalam masa yang sama dia harus membuat persiapan perkahwinannya. Izzue juga tidak lokek bercerita sedikit mengenai persiapan perkahwinannya biarpun dirinya kurang sihat dan juga dalam keadaan ruang waktu yang begitu terhad. Bagaimanapun, dia kini telah bersedia untuk memegang status suami dan bertanggungjawab terhadap seorang wanita yang akan menjadi pelengkap hidupnya. “Sehingga kini tinggal lima peratus sahaja persiapan perkahwinan kami, itupun hanya beberapa perkara-perkara kecil yang perlu diselesaikan. “Kami memilih tema moden yang mana saya akan memakai blazer dan dia (Awin) akan memakai gaun,” jelasnya yang kelihatan berseri sebagai seorang bakal pengantin biarpun kurang sihat. Ceritanya lanjut, majlis akad nikah akan diadakan pada pukul 9 pagi manakala majlis resepsi pula akan berlangsung pada pukul 2 petang. Enggan mendedahkan dimanakah majlis perkahwinannya bakal berlangsung, pelakon berusia 23 tahun itu juga mengakui akan menjemput pihak media pada hari bahagianya itu. Izzue juga mengakui masih belum merancang untuk pergi berbulan madu kerana hanya bercuti seminggu sahaja sebelum kembali memberi fokus kepada kerjayanya. “Saya mula bercuti 29 Mei sehingga 5 Jun sahaja. Selepas itu saya akan kembali menjalani penggambaran yang tertangguh sepanjang saya mengambil cuti kahwin,” ujarnya lagi. Babak romantis Ditebak bagaimana kelangsungan dirinya sebagai anak seni selepas mendirikan rumah tangga kelak, ungkap Izzue, dia akan berlakon dan menyanyi seperti biasa, manakala Awin pula masih bertindak sebagai pengurus peribadinya. Diajukan pula bagaimanakah jika dia ditawarkan dengan babak-babak romantis seperti berpegangan tangan, berpelukan atau babak di atas katil, Izzue mendedahkan, mereka (dia dan Awin) ada berbincang mengenai perkara itu. Awin terbuka mengenai perkara itu (babak romantis) asalkan ia tidak melampau batas. “Kami ada berbincang mengenai perkara itu. Awin masih membenarkan saya melakonkan babak romantis, dan saya juga tidak melihat ada masalah di situ, asalkan saya sendiri tahu batasan saya. “Malah, sebelum berkahwin saya juga tidak pernah melakonkan babak-babak yang melampau batas seperti babak di atas katil,” jelasnya jujur. Izzue kemudian menambah, dia juga sedar selagi berada dalam Malaysia, perbuatan seperti itu (babak-babak di atas ranjang) sangat sensitif dan kalau boleh dia akan cuba mengelak melakonkan babak seumpama itu. Forteen Acap kali menerima tawaran berlakon, bagaimanapun akui Izzue dia masih bersama Forteen dan kini mereka sudah mengeluarkan single ketiga berjudul Kita selepas single Seperti Dulu dan juga Berdua Bersatu. Pengakuan Izzue itu disebabkan dia seringkali dikritik oleh peminatnya yang mengatakan dia lebih sesuai berlakon daripada menyanyi. “Memang ada yang cakap lebih baik saya berlakon daripada menyanyi. Tetapi ada juga peminat saya yang suka saya menyanyi daripada berlakon. Saya hormati pandangan mereka (peminat). Begitupun, saya meminati kedua-duanya dan akan terus berlakon dan bersama Forteen,” tegasnya. Mengulas mengenai single terbaharu Forteen iaitu Kita, Izzue memberitahu, single tersebut juga dijadikan sebagai lagu tema untuk drama popular Sebenarnya Saya Isterinya lakonannya bersama aktres Tiz Zaqyah. Berkonsepkan balada, lagu yang kini meniti di corong-corong radio itu juga dihasilkan oleh komposer Edry Abdul Halim. Kawan baik Nora Danish Terlanjur bertemunya di set penggambaran filem Suami Aku Ustaz, Izzue juga bercerita tentang wataknya dalam filem yang turut dibintangi oleh Adi Putra dan Nora Danish itu. Ujar Izzue, dalam filem Suami Aku Ustaz, dia membawa peranan sebagai kawan baik Nora Danish yang membawa watak sebagai Alisa. “Saya memegang watak Johan iaitu kawan baik kepada Alisa (lakonan Nora Danish). Mereka sentiasa bertemu tetapi tidak melakukan perkara-perkara yang tidak elok. Malangnya, ibu bapa Alisa tidak menyukainya dan memaksanya berkahwin dengan sepupunya yang merupakan seorang ustaz,” jelasnya. Mengulas lanjut, ungkap Izzue, Johan kecewa dengan perkahwinan Alisa kerana dia menaruh hati kepada wanita itu. Mengakui watak Johan tidak terlalu berat, bagaimanapun Izzue tetap melakukan yang terbaik agar watak Johan memberi impak yang besar kepada penonton. Selepas menjalani penggambaran filem Suami Aku Ustaz, Izzue mengakui akan ke set penggambaran Suhan Moivie berjudul Sahabat. Selain Izzue sebagai tonggak utama, drama tayangan Astro Ria itu juga membariskan pelakon-pelakon terkenal seperti Liyana Jasmay dan juga Sara Ali.

Izzue Islam Semakin Berdebar Untuk Menikah

Pelakon Izzue Islam mengakui berdebar menantikan detik-detik manis untuk diijabkabulkan dengan pengurusnya, Nurinafilah Waharudin atau Awin pada 2 Jun depan di Dewan Shah Alam (Indah). Bagaimanapun Izzue, 23, berkata, pada masa sama dia juga tidak sabar untuk bergelar suami serta melalui alam perkahwinan bersama wanita yang disayanginya itu. "Berdebar jugalah dibuatnya, apa-apa pun saya berharap majlis perkahwinan kami akan berjalan dengan lancar. "Tidak sabar rasanya mahu bergelar suami dalam membina rumah tangga. Semoga saya dan Awin dapat melalui susah senang bersama, Insya-Allah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isini. Bagaimanapun tambah Izzue, dia dan Awin masih belum merancang berbulan madu dalam masa terdekat ini memandangkan kerja-kerja penggambaran masih lagi belum selesai. Dalam pada itu pasangan ini sudah mula mengedarkan kira-kira 500 keping kad jemputan perkahwinan mereka. Izzue dan Awin akan diijabkabulkan pada pukul 9 pagi manakala majlis resepsinya akan diadakan pada sebelah tengah hari. Menurut Izzue, seramai 100 orang yang diundang untuk menghadiri majlis bertemakan perkahwinan dalam taman itu. Mengenai busana yang akan dikenakan pada majlis itu kedua-dua mereka akan memakai pakaian songket pada majlis akad nikah manakala pada acara resepsi pula mereka akan berpakaian Inggeris. Pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat juga akan menaja persalinan pasangan itu bagi acara potong kek. Izzue dan Awin telah mengikat tali pertunangan pada Jun 2012.

Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

PUAS menyaksikan tiga episod awal drama arahan Zul Huzaimy yang diberi judul Bunga Merah Punya pada sesi tayangan bersama peminat dan media di Auditorium P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada minggu lalu. Bukan hanya tumpuan dan garapan sempurna diberikan kepada dua pelakon cilik, Izz Ilham Zulkifly dan Puteri Sasha yang masing-masing mendukung peranan Merah dan Bunga semasa kanak-kanak dalam drama itu, tetapi juga kekuatan bertunjang pada keupayaan menjayakan dua watak penting drama tersebut ketika dewasa itu yang dijayakan pula oleh Izzue Islam dan Sharifah Sakinah. Mengakui berdepan kesukaran pada awal penggambaran, namun kata Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, tunjuk ajar pengarah dan pelakon senior banyak membantunya mencorakkan karakter. "Cabaran dalam drama ini bukan hanya berlakon tapi saya juga perlu menyanyi dan bermain gitar pada masa yang sama. Saya perlu mendalami perasaan seorang busker (penghibur jalanan) yang sememangnya sukar. "Mujur pengalaman saya ketika mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu memberikan sedikit sebanyak panduan berguna selain saya turut meninjau kehidupan busker sekitar Bukit Bintang, Sogo dan Pasar Seni setiap minggu," ujarnya. Tambah Izzue, 23, latar kehidupan penghibur jalanan kini tidak sama seperti yang diceritakan dalam Bunga Merah Punya kerana kebanyakan mereka mempunyai rumah dan keluarga di Kuala Lumpur. Penghibur jalanan Mengimbas kembali pengalaman pertama anggota kumpulan Forteen itu ketika mula-mula tiba di ibu kota Kuala Lumpur pada tahun 2009, kata Izzue, dia pernah berdepan pelbagai kesukaran sebelum bergelar artis. "Saya pernah menjadi busker lima tahun lepas ketika mula-mula berhijrah dan saya juga pernah tidur di bilik stor sebuah kedai jual pakaian terpakai tempat kawan saya berniaga di Kelana Jaya, Selangor. Ia bukan menyeksakan tapi itulah sebenarnya pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk merasainya. "Oleh kerana itu juga, sampai sekarang saya lebih gemar tidur tanpa tilam tidak kira di rumah sendiri di Kuala Lumpur atau apabila balik ke kampung (Kelantan)," kata Izzue. Percaya pada rezeki yang dianugerahkan kepadanya hari ini, getus Izzue, dia pasrah sekiranya perjalanan hidupnya kembali ke keadaan asal ketika mula-mula berada di Kuala Lumpur. "Saya terima jika saya menjadi seperti mana diri saya yang sebelum ini malah, menjadi seorang artis sekarang ini tidak bermakna saya hidup mewah. Cuma perlu menjaga penampilan lebih daripada sebelum ini. "Tiada siapa yang mahu kembali kepada kisah silam dan harapnya tidak. Pastinya setiap hari kita mahu semakin maju ke depan," ujarnya yang baru selesai penggambaran telefilem Mencari Syifa yang akan disiarkan di TV AlHijrah pada bulan April nanti. Selain itu, sebuah drama 13 episod berjudul Aku Tak Percaya Cinta sedang rancak ditayangkan menerusi saluran RTM di TV1 setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 6.05 petang yang menggandingkan Izzue bersama Sura Sojangi dan Reen Rahim. Tiada keghairahan menyanyi Bunga Merah Punya yang bersiaran setiap hari Khamis pukul 8.30 malam menerusi slot Aurora TV9 pula menyaksikan permainan emosi, percintaan, persahabatan dan kehidupan mengenai Bunga yang diamanahkan untuk mencari Merah yang melarikan diri itu ketika berusia 10 tahun oleh Tuk Baen iaitu penjaga mereka sejak kecil. Drama 13 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu juga memuatkan 15 buah lagu baharu yang ada antara lirik lagunya ditulis sendiri oleh pengarah Zul Huzaimy, sekali gus dinyanyikan oleh Izzue dan Sakinah. Bagi Izzue, menyanyi mungkin tidak menjadi masalah besar namun berbeza pula perspektif Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, mengenai dunia nyanyian. "Pertama kali menyanyi dalam drama lakonan adalah menerusi drama bersiri Hotel Mania tapi ketika itu peranan yang diberikan kepada saya cuma watak kecil sahaja. "Kali ini saya perlu menyanyikan beberapa buah lagu dan dibantu oleh Izzue walaupun ada antara lagu-lagu itu dirakam pada saat-saat akhir tanpa latihan yang cukup. Namun Alhamdulillah, hasil akhirnya sedap didengar. "Saya tidak suka menyanyi dan bagi saya, menyanyi hanya sekadar hobi. Lagipun pasaran semasa sudah terdapat ramai penyanyi berbakat dan saya tidak berminat untuk menceburi bidang nyanyian secara serius. "Minat saya lebih kepada berlakon dan saya langsung tiada keghairahan untuk menyanyi. Kalau jadi penyanyi pun saya mungkin buat sambil lewa, tidak segigih berlakon," kata Sakinah. Menerusi drama tersebut, Sakinah menyanyikan tiga buah lagu iaitu Sampaikan Rindu, Oh Bulan dan Rajuk. Perlu jadi pendiam Bagaimanapun tegas Sakinah, dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menyanyi, malah ada antara kerja pengacaraannya memerlukan dia turut menyanyi. "Saya boleh membuat persembahan nyanyian tapi perlu ada latihan dan individu yang menyokong serta membimbing saya," simpulnya. Sakinah mengakui drama Bunga Merah Punya menuntut permainan emosinya yang lebih serius dan mendalam berbanding naskhah lakonan sebelum ini antaranya, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang. "Sebelum mula penggambaran lagi saya perlu mula berdiam diri untuk mendapatkan karakter Bunga yang serius dan lemah-lembut. "Watak ini sangat berlawanan dengan karakter sebenar saya dan saya berbesar hati dapat berlakon di bawah arahan Zul Huzaimy," tambah Sakinah. Selain Bunga Merah Punya, Sakinah bakal muncul dalam telefilem Gadis Penjual Petai dan Racun Menantu serta sebuah dram berjudul, Tiga Abdul. Bunga Merah Punya turut dilakonkan oleh Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Zalfie Roul, Idzham Ismail, Roslan Madun, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan dan Nasir Bilal Khan.

Izzue Islam Pernah Hidup Merempat Untuk Jadi Artis

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Izzue Islam mendedahkan pernah hidup merempat semata-mata untuk mengejar impiannya bergelar seorang bintang. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, semasa berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2009, dia bersama rakan-rakannya sanggup tinggal di kedai 'bundle di Kelana Jaya, Selangor sebelum meneruskan hidup. "Memang empat tahun lalu, kehidupan saya tak semudah sekarang. Dari kampung saya di Kelantan, saya berhijrah ke ibu kita dan pernah merasai hidup di jalanan bagi mengejar cita-cita untuk bergelar anak seni. "Alhamdulillah, kesukaran itu telah memberi pengalaman buat saya untuk menjadi seorang insan yang lebih bagus dan tidak riak, Insya-Allah," katanya. Izzue ditemui pada pelancaran drama Bunga Merah Punya, terbitan Suhan Movies & Tradings Sdn Bhd di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dekat sini, Isnin. Bercerita mengenai kehidupannya sekarang, Tambah Izzue, walaupun hidupnya semakin teratur bersama kumpulan, Forteen, dia masih lagi mengamalkan cara hidup yang diamalkan sebelum ini iaitu tidur tanpa alas tilam. "Memang sampai sekarang saya tidur tanpa tilam dan hanya beralaskan kain biasa sahaja. Diharap, dengan kesusahan lalu dapat mengajar saya untuk terus berusaha menjadi anak seni yang berjaya Insya-Allah," ujarnya. Dalam pada itu, pengalaman lampaunya itu turut dikongsi dalam lakonannya menerusi drama Bunga Merah Punya. Memegang peranan sebagai Merah, drama itu mengisahkan perjalanan hidupnya yang sering ponteng sekolah dan dimarahi datuknya, Tok Bain. Akibat ingin hidup bebas, Merah menjalani rutin harian di jalanan dan mencari rezeki menyanyi di kaki lima bersama rakan-rakan. "Menarik lagi tentang drama ini, ia berunsur muzikal sedikit. Sebanyak 15 buah lagu hasil ciptaan Zul Huzaimy terdapat dalam drama ini ," katanya. Bunga Merah Punya yang diarahkan oleh Zul Huzaimy ini disiarkan menerusi slot Aurora yang bersiaran setiap Khamis, pukul 8.30 malam di TV9. Ia akan disiarkan bermula Khamis ini. Selain Izzue, drama bersiri 13 episod turut menampilkan Sharifah Sakinah, Sura Sojangi, Shazwan Zulkifli, Nasir Bilal Khan dan Hasnul Rahmat.

Izzue Islam Tepis Dakwaan Bakal Kahwin Tahun Ini

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Izzue Islam menepis desas-desus yang mendakwa dia bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini. Pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas kerana dia tidak pernah berbincang atau menetapkan tarikh tertentu untuk berkahwin dalam masa terdekat. “Bukan merancang tetapi saya sudah bersedia untuk berkahwin jika jodoh sudah sampai. “Buat masa ini tiada perancangan seperti yang didakwa. Kalau ada tentu saya beritahu,” katanya ketika ditemui mStar Online. Izzue ditemui pada majlis ramah mesra para pelakon empat slot drama TV9 iaitu Skrin Di 9, Aurora, Ratu dan Mutiara Hati yang berlangsung di The Curve di sini, pada Khamis. Izzue yang juga anggota kumpulan Forteen berkata, dia berasa kurang selesa untuk berkongsi kisah peribadi dengan khalayak kerana menganggap ia adalah hak privasinya. “Kalau boleh saya kurang selesa hendak bercerita mengenai hal peribadi kepada khalayak. “Bukan apa, saya bimbang kalau sibuk bercerita mengenai cinta, hubungan atau kahwin tetapi sudahnya tidak jadi,” luahnya yang mengakui sedang menjalin hubungan dengan seseorang. Anak jati Kelantan ini juga mengakui dia tidak keberatan untuk bernikah pada usia muda walaupun sedar nama dan kerjayanya sedang meningkat naik. “Saya tidak perlu risau kalau jodoh sudah sampai untuk berkahwin muda, saya terima sahaja. “Saya tidak fikir status perkahwinan akan mengganggu perjalanan kerjaya kerana semua orang ada hak untuk berkahwin. “Rezeki sama ada saya akan terus diterima atau kurang digemari kalau berkahwin awal ditentukan Tuhan, jadi saya percaya pada rezeki,” kongsinya. Terbaharu, Izzue terlibat dalam penggambaran drama 13 episod berjudul Bunga Merah Punya yang bakal disiarkan bermula 21 Februari ini pada setiap Khamis, pukul 8.30 malam. Dua filem lakonannya iaitu Sunti dan Hantu Toq Mudim dijangka ditayangkan pada tahun ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails