Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Puteri Sarah. Show all posts
Showing posts with label Puteri Sarah. Show all posts

"INSYA-ALLAH KALAU ADA REZEKI, PASTI ADA" - PUTERI SARAH

Setiap pasangan yang berkahwin pasti menginginkan cahaya mata, begitulah dengan situasi Puteri Sarah Liyana dan suaminya, Syamsul Yusof yang ingin memiliki anak setelah dua tahun mendirikan rumah tangga. Dalam temubual terbaru bersama media selepas pembukaan butik baru beliau di Bangsar, Sarah memberitahu yang kehidupannya semakin bahagia bersama pengarah terkenal, Syamsul. Sebelum ini, ada khabar yang mengatakan pasangan ini mengalami masalah rumah tangga nyata hanya cakap-cakap mereka yang tidak tahu kisah sebenar kehidupan mereka. Selain itu, Sarah dan Syamsul juga sering ditebak dengan soal cahaya mata. "Bukan saya tidak mahu anak. Cuma sekarang kami pun sibuk dengan jadual kerja masing-masing tapi itu tidak membataskan perhubungan kami sebagai suami isteri. "Pada masa yang sama, kami mencuba yang terbaik untuk bertukar status sebagai ibu dan bapa. Doakan sahaja yang terbaik buat kami. Insya-Allah kalau ada rezeki, pasti ada. "Perniagaan ini secara rasminya telah dibuka kepada umum pada 15 September lalu. Setakat ini sudah ada 67 vendors (jenama) ditempatkan di sini dan masih terbuka untuk menerima lebih banyak jenama tempatan untuk diniagakan," ujarnya yang baru membuka sebuah gedung pakaian Muslimah yang diberi nama Shara Islamic Fashion World.

Puteri Sarah Bakal Buka Gedung Pakaian Muslimah

Selepas empat tahun menimba pengalaman bekerja di butik milik orang lain, pelakon Puteri Sarah memberitahu dia dan suaminya Syamsul Yusof sudah bersedia untuk membuka sebuah gedung pakaian muslimah. Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 30, berkata, gedung yang diberi nama Shara Islamic Fashion World yang akan dilancarkan pada September depan kini masih dalam proses pengubahsuaian. "Alhamdulillah, selepas empat tahun bekerja di butik orang saya lebih yakin untuk buat pelaburan dan buka gedung pakaian sendiri, saya gunakan pengalaman menguruskan butik tersebut sebaik mungkin. "Sebenarnya sudah lama Syamsul suruh buka, tetapi saya tidak yakin. Syamsul pun sebelum ini tercari-cari peluang perniagaan lain yang tidak melibatkan dunia seni," ujarnya kepada mStar Online. Puteri Sarah berkata, dia kini dalam proses untuk mencari 30vendor pakaian muslimah yang berminat menempatkan produk mereka di gedung tersebut.
Sementara itu, Sarah mengakui pembukaan gedung itu juga secara tidak langsung merapatkan hubungannya dengan suami. "Ketika Ramadan kami mencari lokasi yang sesuai untuk gedung ini dan selepas itu kami mengerjakan umrah. Kami buat projek ini sama-sama dan hubungan suami isteri itu lebih akrab. "Maklumlah, sebelum ini komitmen berbeza, dia sibuk dengan penggambaran dan saya dengan kerja-kerja di butik," ujarnya. Dalam pada itu, bercerita tentang ibadah umrah yang dilakukan pada Ramadan lalu, Puteri Sarah berkata, ia merupakan niat suaminya yang mahu menunaikan ibadah tersebut setiap kali menjelang Ramadan. Katanya, seperti tahun lalu, dia mengambil kesempatan tersebut untuk berdoa dikurniakan cahaya mata dan dipermudahkan urusan perniagaan yang baharu diceburinya itu. "Syamsul berniat selagi termampu untuk menunaikan umrah setiap kali bulan Ramadan dan berpuasa di sana. Saya juga ambil peluang macam tahun sebelum ini iaitu untuk dikurniakan cahaya mata. "Tahun ini juga saya berdoa agar urusan gedung dan perniagaan kami dipermudahkan dan mendapat keberkatan," ujarnya.

Setahun Kahwin, Puteri Sarah Masih Proses Kenali Syamsul Yusof

Pelakon Puteri Sarah memberitahu tidak sedar bahawa usia perkahwinannya dengan pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, 31, sudah pun memasuki ulang tahun pertama pada 8 Mac lalu. Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 30, berkata, kedua-dua mereka masih lagi dalam proses mengenali antara satu sama lain dan belajar menjalankan tanggungjawab seorang isteri. "Saya tak rasa seperti sudah setahun usia perkahwinan kami, ia seperti baru semalam sahaja sebab kami masih lagi mengenali satu sama lain. "Saya juga masih belajar banyak perkara tentang Syamsul dan masih belajar menjalankan tanggungjawab sebagai isteri," ujarnya kepada mStar Online. Puteri Sarah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang usia genap setahun perkahwinan mereka pada 8 Mac 2014. Sementara itu, Sarah berkata, setahun melayari kehidupan berumah tangga ini banyak mengajarnya tentang perkongsian hidup sebagai suami isteri disamping mengutamakan tanggungjawab sebagai isteri. "Dalam tempoh setahun ini saya banyak belajar tentang perkongsian hidup bersama pasangan kita, yang mana keutamaan kini diberikan kepada suami. "Kalau dulu kita hanya fikir fasal kita sahaja, namun sekarang sebelum pergi kerja perlu uruskan hal suami dan balik kerja juga begitu," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang kerjaya lakonan, katanya, dia sudah tidak berminat untuk berlakon sejak mendirikan rumah tangga. Kata Sarah, dia kini lebih menumpukan perhatian terhadap bidang pungurusan butik dan janama pakaian muslimah Shara by Puteri Sarah yang diusahakan sejak setahun lalu. "Sejak pakai tudung saya dah jarang berlakon dan selepas berumah tangga saya memang ingin berhenti terus untuk menumpukan perhatian sebagai isteri sahaja. "Namun, saya akan bekerja sebagai pengurus di sebuah butik iaitu Rumoda di Bangsar. Bekerja di butik lebih banyak masa untuk bersama keluarga dan suami," ujarnya.

INFO - ISTERI SYAMSUL YUSOF TERSELAMAT DALAM KEMALANGAN

Isteri kepada Syamsul Yusof iaitu Puteri Sarah Liyana terselamat dalam satu kemalangan di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini. Kejadian tersebut telah dikongsi oleh ibu mertuanya Datin Patimah Ismail di laman sosial beliau. "Alhamdulillah menantu saya Putri Sarah selamat dlm kemalangan kereta," kata Datin Patimah yang dipetik melalui FBnya.
Bagaimanapun, tidak diketahui punca nahas tersebut dan seteruk mana kerosakan kenderaan yang dinaiki oleh Puteri Sarah. Namun apa yang pasti, rasa syukur Datin Patimah itu tentunya bersebab.

MENGAKU KEGUGURAN - PUTERI SARAH IMPI ANAK KEMBAR PULA

Tiada rezeki! Demikianlah perihalnya mengenai Puteri Sarah Liyana, isteri kepada Syamsul Yusof yang mengaku mengalami keguguran pada Ramadan lalu. "Bukan rezeki saya. Insya-Allah saya dan suami akan terus berusaha melahirkan zuriat sendiri. Saya nak minta semua yang baca cerita ini terus mendoakan saya dan suami. Saya tak rasa sedih dengan ujian ini dan saya percaya ada golongan isteri di luar sana yang melalui fasa yang sama.
"Ibu saya sendiri pernah melalui fasa yang sama. Katanya lagi, keguguran ini satu proses untuk menguatkan rahim kita. Suami saya sendiri cukup menyokong dan percaya akan ada rezeki kami lagi pada masa mendatang untuk mendapatkan anak. "Keguguran ini sebagai petanda saya boleh mengandung. Insya-Allah kalau ada rezeki lagi mengandung lepas ini, siapa tahu saya boleh dapat anak kembar pula. Lagipun dalam sejarah ibu dan bapa saya, ada kembar yang dilahirkan," ujarnya yang reda dengan ujian daripada Allah SWT.
Untuk rekod, kelmarin genaplah enam bulan Sarah berkahwin dengan Syamsul. Pasangan ini bernikah 8 Mac lalu di Masjid Sri Damansara, Petaling. "Sekarang saya sibuk bekerja di butik, dia (Syamsul) pula tengah sibuk di lokasi penggambaran super tele Lagenda Long Piah yang diarahkan adiknya, Syafiq Yusof. Kesibukan ini jadi alasan yang kami sebenarnya boleh berdikari.
"Kami dapat berjumpa pun kadang-kadang pada hujung minggu. Dia sekarang menjalani penggambaran super tele itu untuk 20 hari dan saya pula bekerja dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Kami tak melihat ini sebagai ruang kosong tetapi untuk masing-masing tahu tanggungjawab. "Saya pun sekarang tinggal di rumah keluarganya di Melawati. Jadi tak rasa sunyi pun. Kadang-kadang ada kesempatan saya balik rumah keluarga di Damansara," tambahnya dipetik sebagai berkata. Harapan kita, semoga Sarah tabah menghadapi ujian ini.

Syamsul Yusof Mula Edar Kad kahwin

Pengarah filem Syamsul Yusof dan isterinya Puteri Sarah Liyana mula mengedarkan kad undangan majlis persandingan mereka yang akan berlangsung pada 18 April ini di Dewan Perdana Felda dekat sini. Ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail berkata, majlis akan diadakan secara sederhana dan bakal dihadiri oleh rakan-rakan dan pihak media yang dianggarkan kira-kira 1,000 orang. Sebanyak 500 kad jemputan akan diedarkan. "Alhamdulillah, setakat ini persiapan berjalan dengan lancar. Malah Syamsul juga sudah sembuh daripada penyakit demam denggi dan mereka pun sudah berbulan madu ke Pulau Pinang. "Pada 18 April nanti, majlis persandingan akan dihadiri seramai 1,000 orang tetamu manakala pada 20 April, kami turut mengadakan majlis di rumah bersama keluarga yang dianggarkan seramai 1,000 orang tetamu juga," katanya yang dihubungi mStar Online.
Majlis persandingan bertemakan putih dan merah jambu itu turut dilakukan serentak bersama adik SyamSul iaitu Syafik. Sebelum itu, Syafik dan tunangnya, Aiesyah Zainal akan bernikah pada 5 April depan. Kata Patimah, memandangkan kediaman baru Syamsul di Ukay Perdana, Ampang masih lagi belum siap, dia gembira apabila pasangan pengantin baharu itu akan tinggal bersamanya buat sementara waktu. "Buat masa ini, meriahlah rumah kami kerana kedua-dua anak lelaki saya bersama menantu pun ada sama. Rasa seronok pula apabila anak-anak berkumpul di rumah. Doakan kami agar semua majlis berjalan dengan lancar, InsyaAllah," pintanya. Sementara itu, majlis di pihak perempuan akan diadakan pada Sabtu ini di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bertemakan Islamic Arabian Night. Syamsul telah diijabkabulkan dengan Puteri Sarah pada 8 Mac lalu di Masjid Sri Damansara di sini.

Syamsul Enggan Kongsi Kisah Cinta Dengan Puteri Sarah Untuk Elak Fitnah

Pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof, 30, enggan berkongsi detik manis perkenalannya dengan isteri iaitu aktres Puteri Sarah Liyana, 29, bagi mengelakkan daripada berlaku fitnah. Syamsul berkata, dia lebih selesa untuk merahsiakan semua hal peribadi termasuk kisah percintaanya bersama isteri berbanding mendedahkannya kepada umum. "Biarlah kisah pertemuan dan percintaan kami menjadi hak peribadi dan hanya kami sahaja yang tahu. "Saya tidak mahu bila ia diceritakan nanti akan timbul cerita-cerita tidak benar yang jatuh kepada fitnah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui selepas selesai majlis ijab kabul di Masjid Al-Mukarramah, Sri Damansara, di sini, Sabtu. Syamsul yang hadir dalam keadaan kurang sihat akibat demam denggi masih lagi mendapat rawatan di Pusat Perubatan Gleneagles. Pasangan ini selamat dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al Mukarramah, Mat Syaharuddin Ar Rashid kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu dengan sekali lafaz. Sementara itu, Syamsul menzahirkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang berjalan lancar. Katanya, dia tetap mahu meneruskan majlis tersebut biarpun dalam keadaan kurang sihat kerana tidak mahu menyusahkan banyak pihak. "Saya pun tidak sangka dapat meneruskan majlis ini kerana ia bergantung keadaan saya dan Alhamdulillah pagi tadi saya rasa sihat untuk datang.
"Saya tidak mahu menangguhkan majlis ini kerana semua sudah diaturkan dan kalau tunda ia akan menimbulkan banyak masalah pada semua pihak," katanya yang kembali semula ke mendapatkan rawatan di pusat perubatan tersebut. Sementara itu, ditanya tentang keistimewaan Puteri Sarah, dia berkata, wanita itu mempunyai ciri-ciri seorang isteri solehah yang boleh dibimbing. Dia juga mengakui sentiasa belajar lebih banyak ilmu agama bagi menjadi seorang suami dan ketua keluarga yang baik. Dalam pada itu, Syamsul berkata, mereka masih belum berbincang dan menentukan kerjaya lakonan Puteri Sarah selepas berkahwin. "Setakat ini kita belum bincang lagi, namun saya lebih suka kerjaya dia sekarang iaitu mengendalikan butik," katanya. Dalam pada itu, bapanya, Datuk Yusof Haslam, turut menzahirkan rasa gembira kerana majlis yang dirancang berjalan lancar. Dia turut mendoakan agar Syamsul dapat menjadi seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. "Alhamdulillah semua berjalan lancar seperti dirancang dan kami sebagai ibu bapa sentiasa mendoakan dia bahagia dan menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab," ujarnya. Majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian berikutan keadaan kesihatan Syamsul. Manakala majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan diadakan pada 18 April depan, serentak dengan majlis resepsi adiknya, Syafiq Yusof.

Puteri Sarah ‘rimas’ diganggu wartawan

DUNIA hiburan memang sering diwarnai dengan gosip dan kontroversi. Hakikatnya sudah menjadi lumrah artis sering menjadi buruan media yang tidak pernah jemu mengejar berita sensasi. Namun begitu, kisah buruan yang satu ini agak menarik sehingga artis terpaksa menukar nombor telefon gara-gara tidak tahan dengan asakan bertali arus pertanyaan seorang wartawan tentang status hubungannya dengan teman lelaki yang juga merupakan seorang pengarah muda berbakat besar. Puteri Sarah Liyana yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama rantaian berjudul 'Cinta Berkalung Duri' dikatakan agak tertekan gara-gara ‘diganggu’ seorang wartawan hiburan akhbar mingguan yang sering menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya. Khabarnya, wartawan tersebut terlalu mendesak untuk menemuramah Puteri Sarah dan mendapatkan pengesahan mengenai status hubungan pelakon itu dengan pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof. Wartawan hiburan itu pula memang terkenal di kalangan selebriti tempatan sebagai seorang yang agresif mendapatkan berita sensasi artis. Penulisannya yang agak ‘menyengat’ dan ‘pedas’ menyebabkan beliau sering digeruni di kalangan artis Malaysia. BACA: Puteri Sarah dan Syamsul Yusof kembali bercinta? Aktres baru terima SMS lucah dari pengarah Suki Low mohon waran tangkap pengarah Galaxy Music Penyanyi popular 90an bunuh suami sendiri Gosip mengenai hubungan cinta mereka memang telah lama diperkatakan oleh peminat namun begitu, Syamsul dan Puteri Sarah tidak pernah mengesahkan status hubungan mereka. Heroin filem 'Lu Pikirlah Sendiri de Movie' itu dikatakan bimbang reputasinya tercemar jika tidak melayan permintaan wartawan tersebut. “Sebenarnya saya agak terkejut membaca SMS yang dihantar oleh wartawan itu kepada Puteri Sarah kerana tonasi yang digunakan agak kasar dan berbau ‘ugutan’. Saya bersimpati dengan Puteri Sarah kerana dia agak terganggu sekarang,” ujar pengarah drama Cinta Berkalung Duri, Harris Fadzillah Abd Samad. Menurut Harris, beliau dan beberapa pelakon drama tersebut turut menasihati Puteri Sarah untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa sebagai langkah berjaga-jaga. Puteri Sarah dikatakan terpaksa menukar nombor telefon bimbitnya beberapa kali akibat tidak tahan dengan asakan dari wartawan itu. “Saya tidak berniat untuk campur tangan dan saya amat memahami niat wartawan itu dalam menjalankan tugas beliau. Saya cuma beranggapan yang kehidupan peribadi seseorang artis itu patut dihormati. Ada kemungkinan yang Puteri Sarah tidak bersedia lagi untuk membuat apa-apa pengakuan,” kata Harris. Akhir bulan lalu, Puteri Sarah turut mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tentang hubungan cinta dengan Syamsul. 'Cinta Berkalung Duri' yang bakal ditayangkan di RTM1 turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Fauziah Nawi. Penggambaran drama yang kini memasuki musim kedua itu sedang dijalankan di beberapa buah lokasi di sekitar Selangor. Syamsul kini sedang berada di Bangkok untuk menjalankan proses penyuntingan filem aksi arahannya, 'KL Gangster 2'. Datuk Yusof Haslam yang merupakan bapa kepada Syamsul juga turut menjadi tumpuan pihak media yang ingin mendapatkan pengesahan mengenai status hubungan anaknya dan Puteri Sarah. Pengarah tersohor itu sedar yang kehidupan anaknya terlalu peribadi dan enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara berkenaan. Ammar Alfian patut jauhkan diri dari Puteri Sarah Nama Ammar Alfian, pelakon yang merupakan bekas teman lelaki Puteri Sarah sering dikaitkan selepas gosip tentang hubungan cinta Syamsul dan pelakon wanita itu mula timbul sejak Oktober lalu. “Saya tidak faham mengapa Ammar perlu campur tangan dalam hal ini kerana saya percaya beliau hanya mengeruhkan lagi keadaan,” kata sumber yang rapat dengan Puteri Sarah. Ammar sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan Puteri Sarah jadi beliau tidak perlu lagi memberi apa-apa kenyataan pada pihak media,” katanya.

SYAMSUL DAN SARAH MEMANG BERCINTA - AMMAR ALFIAN Read more: http://www.myartis.com/2013/04/syamsul-dan-sarah-memang-bercinta-ammar.html#ixzz2TFXJpd00

Kalau tiada angin masakan pohon boleh bergoyang... kata pepatah ini mungkin tepat untuk menggambarkan gosip yang melanda pengarah filem Syamsul Yusof. Anak kepada Datuk Yusof Haslam itu kini didakwa sedang hangat bercinta dengan bekas kekasih pelakon dan model Ammar Alfian Aziz, 26, iaitu Puteri Sarah, 28. Untuk info, semua rahsia tersebut telah didedahkan sendiri oleh Ammar, yang mendakwa berasa pelik kenapa bekas kekasihnya itu merahsiakan hubungan cinta tersebut. Lebih memelikkan katanya, Sarah juga mendakwa dirinya masih solo sedangkan Sarah dan Syamsul sudah bercinta sejak Oktober 2012. "Mereka mula akrab sejak Oktober tahun lalu dan kami putus pada Disember 2012. Dia cakap dirinya solo tetapi sebenarnya tidak. "Tanyalah Datuk Yusof Haslam tentang hubungan mereka dan lihatlah apa jawapannya. "Saya mendedahkan perkara ini kerana saya sudah bosan apabila Puteri Sarah sering memburukkan nama saya di media serta krew-krew produksi lain. Adakah itu sikap dia sekarang ini?" Kata Ammar pada media semalam. Pendedahan Ammar itu gara-gara dakwaan Puteri Sarah dalam sebuah akhbar mendakwa hubungan cintanya dengan Ammar selama hampir lima tahun merupakan satu pembaziran dan dia tidak menyesal dengan perpisahan itu. "Sebagai wanita yang sudah berubah menjadi Islam yang lebih baik, rasanya tidak elok jika dia nak memburukkan sesiapa sahaja termasuklah saya. "Bagaimanapun saya dah lali kerana sepanjang kami bersama pun dia sering memburukkan saya. "Cuma ada juga apa yang Sarah cakap itu betul, hubungan kami sebelum ini macam buang masa. Saya sebelum ini saya sanggup bekerja keras dan menyimpan duit untuk berkahwin dengannya, tetapi lain pula jadinya. “Dia tidak nampak apa yang telah saya buat untuknya," ujar Ammar seolah memulang 'paku buah keras'. Bagaimanapun, Ammar mengakui dia kini sudah mendapat pengganti dan mula menjalinkan hubungan cinta dengan seorang model bernama Shella. "Benar saya sudah pun mempunyai kekasih baru selepas hubungan saya dan Sarah putus. Hubungan kami masih lagi baru. "Saya juga akan memulakan kerja-kerja 'modelling' untuk pakaian dalam jenama Renoma tidak lama lagi," katanya yang mahu membuka buku baru dalam bab percintaan. Terdahulu, beberapa usaha telah dilakukan media untuk mendapatkan penjelasan Puteri Sarah dan Syamsul mengenai pendedahan Ammar itu namun semuanya gagal. Manakala bapanya Yusof Haslam enggan memberi sebarang komen mengenai perkara berkenaan. “Saya membuat keputusan untuk tidak mengulas perkara itu,” kata Yusof ringkas.

"Dia tidak matang" - Puteri Sarah

MASA bercinta semuanya indah belaka. Selepas putus cinta, hilang manis, yang tinggal hanyalah hal-hal buruk dan negatif semata-mata. Nampaknya laman sosial hari ini telah digunakan sebagai medan untuk bertelagah sesama sendiri, termasuklah golongan selebriti kita. Antara yang terbaru, tindakan bekas kekasih Puteri Sarah Liyana, Ammar Alfian yang mendedahkan ‘kisah cinta’ wanita itu dengan pelakon dan pengarah muda, Syamsul Yusof. Ammar juga telah mendedahkan pelbagai perkara dalam laman sosialnya berkenaan perhubungannya dengan Puteri Sarah sebelum ini pada saat mereka masih bergelar kekasih. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan telah mengundang pelbagai reaksi oleh pihak media juga peminat dunia hiburan. Siapa yang betul dan siapa yang salah? Masih tidak dapat kita pastikan kesahihannya, tetapi sedikit sebanyak ia menjejaskan penilaian orang terhadap nilai moral masing-masing. Dalam hal itu, Puteri Sarah juga tidak duduk diam. Dia turut bersuara dengan menafikan pendedahan Ammar mengenai kisah percintaannya bersama Syamsul yang didakwa bermula sejak Oktober tahun lalu. Bercakap kepada Hits, kata Sarah, dia sebenarnya keliru apa lagi yang diinginkan oleh Ammar selepas mereka tidak lagi berhubungan. “Banyak tuduhan dia tidak berasas. Tindakan dia (Ammar) saya boleh anggap sebagai tidak matang. Apa lagi yang hendak dia katakan tentang saya? Saya tidak akan mengambil tahu pun apa yang cuba dia sampaikan. “Saya bimbang kalau menjawab, perkara ini akan jadi berpanjangan dan tidak akan pernah menemui jalan penyelesaian," kata Sarah. Menurut si jelita ini, selepas hubungan cintanya dengan Ammar berakhir, dia sudah bergerak ke hadapan. Segalanya mahu ditamatkan tanpa sebarang persengketaan, itu yang dia mahu. “Azam saya pada 2013 adalah untuk berubah dan saya benar-benar memaksudkannya. Lagipun, saya dapat cerita, dia pun sudah ada teman wanita baru sekarang, kenapa perlu mengaitkan saya lagi? Sudahlah, saya dah malas nak fikir mengenai perkara yang keluar dari mulut dia tentang saya," katanya kepada Hits. Sememangnya Sarah tahu, sebagai seorang wanita dan dikenali ramai, tuduhan seperti itu cukup memalukan kerana membabitkan soal maruah. Mengakui dirinya sudah agak bosan dengan semua itu, dia menyerahkan pertimbangan kepada Ammar sendiri. “Saya secara peribadi sudah terlalu penat dengan pelbagai isu yang sering Ammar keluarkan di media, dia buat apa yang dia suka sahaja. “Sebagai manusia, saya tidak boleh tahan dengan permainan ini. Dia ada bukti ke nak tuduh saya bercinta saya macam-macam termasuk bercinta dengan Syamsul? “Sekarang saya sudah lalui detik bahagia saya dengan fokus kepada kerjaya saya sebagai seorang pelakon dan harap sangat dia tidak terus buat benda-benda sebegini," kata pelakon dan juga model ini dengan tegas. Punya rancangan besar KISAH lama sudah dibungkus dan terkubur dalam fikirannya. Puteri Sarah yang kini berusia 28 tahun, ingin memajukan diri dan tidak akan mengenang kembali apa yang berlaku kepada dirinya pada tahun lalu. “Perkara tahun lalu sudah saya lupakan. Kini saya sudah mempunyai rancangan besar dan peluang untuk saya berlakon sudah banyak. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya. “Apa yang boleh dilakukan ialah dengan banyak-banyak bersabar dan tidak mengendahkan kata-kata buruk orang," katanya. Akui Puteri Sarah banyak perubahan berlaku dalam kehidupannya selepas tampil bertudung. Dan penghijrahan itu sebenarnya sudah lama difikirkan iaitu sejak tahun lepas lagi. Lebih-lebih lagi apabila merasakan kehidupannya seperti ada yang tidak kena dan hatinya sentiasa tidak senang. Bahkan adakala dia terfikir dan tertanya-tanya, apakah perkara yang kurang itu. “Apabila saya mula berusaha bagi mencukupkan solat lima waktu dan memakai selendang, ada perubahan. Kini saya berasa gembira dan lebih tenang. Saya juga sudah sedar akan kewajipan bertudung dan semakin selesa memakainya," jelasnya. Sejajar dengan perubahan itu, rezekinya juga semakin membiak di mana sehingga September tahun ini, sudah ada ‘kerja’ menanti di lokasi. “Memang banyak tawaran berlakon datang, cuma saya perlu pertimbangkan semuanya semula. Ini kerana ketika ini saya mempunyai perancangan lain yang agak besar. Saya mahu melibatkan diri dalam bidang pendidikan," katanya, tetapi masih dalam usaha untuk berahsia. Sarah hanya akan bercerita panjang lebar apabila sampai masanya kelak. Menjadi seorang guru? Pensyarah? Atau belajar semula untuk meningkatkan kemampuan diri? Kita tunggu sahaja apa yang hendak Puteri Sarah lakukan buat selepas ini. Semua itu akan Puteri Sarah jelaskan apabila sudah benar-benar terjadi. “Kena ada perancangan lain dan saya akan memberitahu semua bila sudah benar-benar jadi kenyataan," katanya lagi.

Ammar Alfian Tepis Tuduhan Sindir Puteri Sarah Bertudung

Pelakon dan model Ammar Alfian Aziz tidak pernah berhasrat untuk menyindir bekas kekasihnya Puteri Sarah yang telah memakai tudung dengan tujuan untuk berubah. Ammar, 26, berkata status yang di tulis di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin adalah ditujukan kepada umum dan bukan kepada wanita tersebut. "Saya tulis secara ‘random’ (rambang) sahaja, tidak maksud atau tujukan kepada orang tertentu, ia hanya kenyataan umum sahaja. "Kalau dia (Puteri Sarah) dah pakai tudung itu bagus untuk diri dia, sebab sebelum ini dia pernah bercerita kepada saya hasratnya untuk pakai tudung," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini pada Isnin. Ammar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya menerusi laman Facebook miliknya yang dimuat naik pada Isnin. Dalam kenyataan tersebut Ammar menasihatkan agar seseorang yang bertudung perlu merubah perangai kepada lebih baik dan bukan sekadar untuk mencari publisiti. "Dah mula pakai tudung eloklah tunjuk perangai baru yang baik, bukan untuk publisiti kononnya sudah berubah tapi perangai hina orang lain itu tidak menunjukkan yang awak sudah berubah," tulisnya. Sementara itu, sebuah portal hiburan melaporkan bahawa bekas kekasihnya sudah membuat keputusan untuk bertudung sepenuhnya pada minggu lalu. Dalam pada itu, Ammar berkata sejak berpisah dengan Puteri Sarah pada akhir tahun lalu, dia tidak pernah berhubung dengan pelakon tersebut. Malah Ammar lebih selesa kerana dapat menumpukan perhatian kepada kerjayanya ketika ini. "Saya selesa sekarang tidak perlu fikir fasal orang lain, tidak perlu jaga hati dan perasaan orang lain. Saya boleh ambil apa juga tawaran yang saya rasa perlu tanpa jaga hati orang lain. "Sekarang hidup saya untuk fokus dengan kerja sebagai jurulatih peribadi dan bidang lakonan. Sekarang juga saya terlibat dalam bidang pengacaraan siri dokumentari untuk RTM," Katanya. Bercerita tentang perkembangan kerjaya lakonan, Ammar mengakui banyak melakukan kesilapan dan mencetuskan kontroversi pada awal kemunculannya sehingga dia kurang mendapat tawaran berlakon. "Saya banyak belajar dari kesilapan lalu, mungkin dulu terlalu muda dan tidak matang. Akibat daripada kontroversi itu juga keluarga saya suruh berhenti terus daripada industri hiburan," katanya.

Puteri Sarah Sedia Bertudung Bukan Sebab Putus Cinta

Pelakon Puteri Sarah sedang dalam proses menyiapkan diri untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Puteri Sarah, 28, berkata, dia kini dalam proses percubaan memakai tudung dan berazam untuk berimej tersebut dalam tempoh terdekat. "Tahun lepas saya banyak berlakon watak yang memakai tudung, dari situ hati saya terdetik untuk terus bertudung. "Buat masa ini ada lagi drama-drama yang saya berlakon tidak memakai tudung, cuma kalau keluar rumah saya kini lebih selesa mengenakan selendang," katanya kepada mStar Online, di sini, Ahad. Bagaimanapun jelas Puteri Sarah, dia berniat untuk bertudung bukan disebabkan kecewa putus cinta dengan pelakon Ammar Alfian akhir tahun lalu. Hubungan pasangan yang pernah mencetuskan kontroversi ini berakhir selepas lima tahun bercinta akbiat tiada keserasian. "Saya rasa sudah sampai masanya, ayah juga banyak kali tegur agar saya bertudung dan sopan, namun bagi saya biarlah niat itu datang dari diri sendiri bukan paksaan. "Alhamdulillah, ramai yang menyokong dengan tindakan ini, terutamanya ahli keluarga," katanya. Namun, dia juga kesal apabila segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya ketika dalam tempoh percubaan ini. "Saya belum sepenuhnya bertudung, mungkin di media sosial saya lebih selesa mengunakan imej bertudung tapi ia masih dalam tempoh saya untuk mencuba atas sebab-sebab tertentu," katanya. Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata, dia sering meminta pendapat cara pemakaian tudung daripada pelakon jelita Natasha Hudson (Tasha). "Saya sering bertanya dengan Tasha tentang gaya pemakaian tudung, dia gembira saya sudah kearah itu, dia beri banyak tip untuk tampil lebih bergaya biarpun bertudung," katanya. Selain itu juga, pelakon filem Lu Pikir La Sendiri ini juga sedang mempertimbangkan hasrat untuk berundur daripada dunia lakonan sepenuhnya.

Ammar sudah banyak kali ajak kahwin - Puteri Saleha

PELAKON yang dikenali menerusi drama bersiri Asmaradana dan bakal muncul menerusi Evolusi KL Drift The Series pada 4 Oktober ini nekad mahu meninggalkan dunia lakonan untuk bekerja dalam bidang perhotelan. Dia yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Kolej Olympia, Kuala Lumpur dan ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dari Kolej Taylor, Kuala Lumpur kini sudah bersiap sedia untuk menerima sebarang jawatan dalam bidang berkaitan. Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 27, atau lebih dikenali Puteri Sarah berkata, dia sudah menghantar resume kepada beberapa buah hotel bertaraf lima bintang untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang diraihnya. Bukan disebabkan merajuk atau kurang menerima tawaran berlakon, pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie ini menganggap keputusannya untuk bersara daripada bidang lakonan adalah bagi memenuhi impian kedua-dua ibu bapanya. “Malah jika fikir balik, baik juga saya bekerja macam orang biasa (bukan artis), ada jaminan masa depan dan kewangan. Sampai bila saya hendak berlakon dengan meraih pendapatan yang tidak tetap,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Evolusi KL Drift The Series di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah Puteri Sarah, memandangkan umurnya sudah mencecah 27 tahun dan akan menghampiri 30 tahun, sudah masanya dia memikirkan masa depan agar mendapat pendapatan yang tetap. Ujar kekasih kepada pelakon Ammar Alfian ini lagi, resume yang dihantarnya itu juga adalah kepada beberapa hotel terkenal di luar negara dan jika mendapat maklum balas positif, dia tidak kisah andai terpaksa berhijrah. “Saya memang hendak bekerja di luar negara sebab itu saya hantar resume ke hotel di sana. Adik-beradik saya juga ada di luar negara jadi apa salahnya saya pula ikut jejak mereka,” jelasnya. Keputusannya untuk berhijrah ke luar negara itu juga turut mendapat sokongan kuat keluarganya dan Ammar sendiri. Bercerita mengenai wataknya dalam Evolusi KL Drift The Series pula, dia berkata, dalam drama bersiri itu dia memegang watak sebagai Tasha seorang gadis lasak dan pemandu kereta drift. “Memang sukar juga sebab saya terpaksa memandu kereta manual, saya sudah lama tidak memandu kereta jenis itu dan terpaksa diajar beberapa kali baru mahir,” ujarnya yang pertama kali bekerjasama dengan syarikat Skop Production. Tambah Puteri Sarah, dia tidak menyangka ditawarkan watak utama dalam drama berkenaan kerana ketika itu dia hanya menemani Ammar yang turut berlakon drama itu untuk perbincangan dengan syarikat berkenaan. “Terkejut saya apabila ditawarkan watak utama padahal saya hanya temankan Ammar ke situ. Lalu, saya tidak fikir panjang terus menerima tawaran tersebut memandangkan saya tidak pernah bekerja di bawah syarikat perfileman Datuk Yusof Haslam,” katanya. Ketika diajukan persoalan jodohnya dengan Ammar pula, Puteri Sarah mengambil masa seketika untuk menyusun kata-katanya. Katanya, dia dan Ammar sudah acap kali berbincang soal perkahwinan tetapi perbualan mereka masih tiada penghujung dan kata putus. “Ammar sudah banyak kali ajak saya kahwin dan kami juga sudah banyak kali berbincang. Susah saya nak cakap bila kami akan berkahwin,” ujarnya yang sudah empat tahun menyulam cinta bersama Ammar. Tambahnya, dia tidak mahu membuat sebarang sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga dan membiarkan ia berlaku secara semula jadi.

Puteri Sarah rancang buka hotel

SEBELUM ini, nama pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 27, sering menjadi tumpuan ramai gara-gara pelbagai kontroversi yang melanda dirinya, terutama yang membabitkan kisah bersama kekasihnya, Ammar Alfian. Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, Puteri Sarah membuat keputusan untuk mengambil sikap mengelakkan diri daripada sebarang publisiti agar tidak lagi dihimpit dengan sebarang kontroversi murahan. Ikuti temu bual bersama pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Asmaradana itu yang ditemui pada majlis pelancaran drama Indera Joned di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kosmo!: Sudah lama kisah anda jarang dipaparkan media. Adakah anda sudah tidak aktif berlakon sekarang? PUTERI SARAH: Saya masih lagi bergiat dalam bidang seni sehingga ke hari ini. Cuma kisah mengenai diri saya sekarang semakin jarang dipaparkan media. Sehingga ada peminat yang menyangka saya sudah tidak lagi aktif berlakon. Saya mengambil keputusan untuk bersikap low profile bukan bertujuan hendak melarikan diri daripada mana-mana pihak, tetapi ini adalah langkah terbaik agar tidak timbul lagi sebarang cerita negatif mengenai diri saya. Selain berlakon, apa lagi aktiviti yang anda lakukan? Mungkin ramai yang tidak tahu sepanjang tempoh setahun ini, saya sibuk menyambung pelajaran di Kolej Olympia, Petaling Jaya, Selangor. Di kolej tersebut saya mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan pengajian sudah tamat pada bulan April lalu. Ini merupakan ijazah yang kedua kerana pada awal Januari 2011, saya telah menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Kolej Taylor, Kelana Jaya. Apa yang menyebabkan anda mengambil dua ijazah? Pada usia yang masih muda ini, seharusnya saya mengambil peluang untuk menimba sebanyak ilmu pengetahuan. Lagipun, dua ijazah yang saya ambil ini berlainan bidang dan dengan cara itu pelbagai pengetahuan dapat saya peroleh menerusi kedua-dua bidang tersebut. Adakah anda mempunyai sebarang perancangan selepas menamatkan pengajian? Sebenarnya saya mempunyai cita-cita untuk membuka sebuah hotel sekiranya tidak lagi berlakon. Jadi, saya mahu bekerja dalam bidang perhotelan untuk menimba pengalaman terlebih dulu. Kalau diikutkan, saya sudah merancang untuk berhijrah ke luar negara, sama ada ke Amerika Syarikat atau Australia selepas tamat belajar dan bekerja dengan mana-mana hotel dalam tempoh empat atau lima tahun. Mengikut perancangan awal, saya akan pergi sebaik sahaja tamat pelajaran, tetapi jadual lakonan yang padat membuatkan saya terpaksa menangguhkannya. Mungkin saya akan pergi pada tahun hadapan. Kenapa anda mahu bekerja di hotel luar negara, sedangkan di Malaysia sudah banyak hotel yang bertaraf lima bintang? Sudah tentu cara kerja di Malaysia dan negara lain mempunyai banyak perbezaan. Maka, dengan segala pengalaman yang saya peroleh di luar negara nanti akan dapat membantu saya untuk membuka hotel sendiri di negara ini pada masa akan datang. Memang saya berkeinginan besar untuk merasai suasana kehidupan di negara lain. Lagipun, semua adik-beradik saya telah berpeluang menyambung pelajaran di luar negara, kecuali saya sahaja yang belum lagi ada peluang. Bagaimana pula hubungan anda dengan Ammar? Buat masa ini dia masih lagi kekasih saya, dan kini sudah empat tahun kami bercinta. Namun, kami berdua belum terfikir mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga kerana saya mahu memberikan tumpuan terhadap apa yang saya rancang sekarang ini.

Puteri Sarah tagih RM10,000

SUATU ketika dahulu, gadis ini begitu ligat dihambat kontroversi. Tidak sudah dengan cerita mengenai gambar-gambar hangat bersama kekasih hati, tersebar pula khabar angin dia dibelasah sang buah hati, Ammar Alfian. Tidak terhenti di situ sahaja, cerita-cerita negatif terus menjadi asam garam buat Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin. Serik dengan cerita yang dia sendiri berasa tidak masuk akal, Puteri Sarah Liyana mengambil keputusan untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindakan. Cerita-cerita mengenai gadis berusia 27 tahun itu sedikit demi sedikit menjadi sejuk, begitu juga namanya yang semakin tidak sensasi. "Memang tidak dinafikan saya kini lebih low profile. Sudah serik dengan cerita yang bukan-bukan kerana tidak mahu orang mengenali saya dengan cerita-cerita kontroversi. "Saya berasa lebih selesa dengan keadaan sebegini dan lebih baik kerana tidak tertekan dengan tohmahan orang," ujarnya lagi. Biarpun kurang tampil di dada-dada akhbar, namun rezeki Puteri Sarah tidak pernah susut. Dia yang mengambil masa setahun menamatkan pengajian peringkat ijazah kedua pada tahun lalu itu sentiasa menerima rezeki mencurah. Setelah tampil menerusi filem Lu Pikirlah Sendiri the Movie serta drama seperti Na O Mei, Asmaradana dan Putera Katak, Puteri Sarah kini muncul menerusi drama terbaharu di dalam slot Aksi di TV3 berjudul Indera Joned. Drama baharu tersebut ditayangkan setiap hari Isnin pada pukul 9 malam.

Puteri Sarah lari daripada media


Aktres dakwa dicekik, ditumbuk teman lelaki

ENAM hari meraikan Syawal, Zubir pasti ketika ini ramai warga kota sedang berpusu-pusu di lebuh raya kembali ke ibu kota selepas kira-kira seminggu menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang di kampung halaman masing-masing. Nasihat Zubir, berwaspadalah sepanjang pemanduan kerana malang tidak berbau. Zubir sendiri pulang lebih awal ke ibu kota kerana tidak mahu menempuh kesesakan lalu lintas, buat sakit pinggang saja duduk lama-lama dalam kereta!
Zubir sebenarnya masih bercuti di lokasi popular kerana Hari Raya sajalah peluang terbaik menenangkan fikiran lebih lama daripada segala cerita panas dan kontroversi yang menyelubungi kehidupan seharian artis. Pun begitu, telefon bimbit tidak pernah dimatikan kerana ia seperti nyawa sendiri.
Sebaik selesai menikmati makan tengahari, Zubir menerima panggilan telefon daripada seorang pengurus produksi (PM) sebuah penerbitan drama TV. Dia bertanyakan nombor telefon bimbit aktres Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 25, yang baru-baru ini, muncul menerusi drama bersiri Laila Manja siaran TV3.

Namun, Zubir memaklumkan kepadanya, Puteri Sarah atau Sarah sudah tidak menggunakan nombor telefon lamanya kerana ia sudah ditamatkan perkhidmatan. Zubir sendiri tidak mempunyai nombor baru Sarah kerana sebelum ini pernah beberapa kali cuba menghubunginya, tapi hampa. Rata-rata teman artis dan TV3 sendiri tidak mempunyai nombor baru Sarah.

Sarah menjadi perhatian media massa apabila Harian Metro terbitan 27 Julai lalu tampil dengan sebuah artikel - ‘Kekasih cekik, tumbuk pelakon’, manakala teks awalan bawah tajuknya ‘Berang kecurangan terbongkar lepas kekasih temui berdua-duaan dengan wanita lain’. Difahamkan, Sarah yang pernah membintangi filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, dicekik, ditampar dan ditumbuk oleh kekasihnya sendiri, Ammar Alfian Aziz, 22.

Ammar sebelum ini pernah membintangi drama bersiri, Tari Kirana yang disiarkan TV3. Terdahulu, Ammar mencetus kontroversi apabila dia memusuhi wartawan apabila dengan penuh emosi dan amarah menulis kata-kata kesat, malah berbaur ugutan terhadap seluruh wartawan di Malaysia, terutama wartawan hiburan menerusi Facebook sehingga beliau terpaksa buat sidang media dan memohon maaf secara terbuka.
Laporan akhbar itu menyebut seorang pelakon drama dan filem popular berusia 25 tahun yang sering mencetuskan kontroversi antaranya penyebaran gambar intim dengan teman lelakinya di internet membuat laporan polis mendakwa dia dicekik, ditampar dan ditumbuk teman lelakinya.

Semuanya bermula apabila pelakon wanita yang bakal muncul menerusi drama Laila Manja di TV3, dipukul selepas terbabit dalam pertengkaran apabila mangsa menemui teman lelakinya itu sedang berdua-duaan dengan seorang wanita di dalam rumahnya. Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di rumah teman lelakinya di sebuah kondominium di Damansara, pelakon lelaki yang turut dilanda kontroversi kerana bergaduh dan mengugut membunuh wartawan tahun lalu, terkejut apabila mangsa tiba-tiba membuka pintu rumahnya.

Terkejut dengan kehadiran mangsa, pelakon lelaki terbabit bertindak memarahi teman wanitanya itu menyebabkan berlaku pertengkaran lebih 10 minit antara mereka. Gagal mengawal kemarahan, pelakon lelaki terbabit mencekik, menampar, memukul kepala dan badan mangsa beberapa kali.

Dalam pergelutan itu, pelakon wanita terbabit berjaya melepaskan cengkaman teman lelakinya sebelum menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan. Difahamkan, sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian kurang 10 minit kemudian sebelum mengarahkan pelakon wanita itu ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan mengenai kejadian itu.

Sekalipun laporan berkenaan tidak menamakan siapakah pelakon wanita dan lelaki itu, namun pembayang yang diberikan, jelas menggambarkan pelakon wanita itu ialah Puteri Sarah, manakala teman lelakinya, Ammar Alfian. Pun begitu, sebaik saja berita berkenaan disiarkan, telefon bimbit Sarah dan Ammar, sudah ditamatkan perkhidmatan apabila Zubir sendiri cuba menghubungi mereka untuk mendapatkan kepastian, namun gagal.

Sebelum ini, Zubir pernah terbaca kenyataan Ammar menerusi sebuah portal hiburan, dia mendakwa perhubungannya dengan Sarah tidak berdepan sebarang masalah, malah kedua-duanya sedang merancang untuk percutian bersama, justeru mana mungkin berlaku pergaduhan fizikal seperti dilaporkan akhbar tempoh hari. Manakala Sarah hingga ke hari ini terus ‘menghilangkan diri’, Zubir belum lagi membaca sebarang kenyataannya.

Inilah yang dikatakan sudah terang lagi bersuluh. Dah sah-sah kejadian yang berlaku tempoh hari menjadi kes polis, Ammar masih berdolak-dalik menafikan insiden berkenaan. Mungkin Ammar malu dan selagi boleh ingin menafikan perkara itu. Ammar tak pernah belajar dari kesilapan lalu ke atau mungkin anda ni jenis keras hati?

Sarah pula kenapa terus berdiam diri, lambat laun anda pasti terserempak dengan media atau Zubir sendiri berjaya memperoleh nombor telefon bimbitnya yang baru.
Lainlah kalau Sarah nak berhenti berlakon dan berhijrah ke luar negara. Kalau masih ada niat nak berlakon lagi, tak perlulah terus sembunyikan diri. Sarah dah lupa ke kejadian setahun lalu apabila Zubir ‘menerjah’ ke lokasi penggambaran drama selepas dia tidak menjawab panggilan telefon dan kiriman SMS Zubir. Bagi Zubir, Sarah juga seorang yang keras hati.

Kalau dua-dua dah tergolong dalam ‘spesies’ keras hati, masih nak melarikan diri daripada media massa, cakap pun putar-belit, berdolak-dalik, nasihat Zubir berhenti sajalah jadi pelakon. Jangan disebabkan anda berdua, rosak imej artis! Kita masih berada di bulan Syawal, justeru Zubir susun 10 jari memohon maaf andai kata Sarah dan Ammar terguris hati dengan komen pedas ini.

Puteri Sarah suka kelentong


Beri alasan ada kelas padahal ke majlis Aidilfi tri teman artis

TAK disangka-sangka, buah cempedak menjadi nangka. Selepas puas menepis, mengelak, penafian demi penafian, malah sanggup ‘berpura-pura’ masih bahagia, akhirnya pelakon, pengacara TV dan penyampai radio SinarFM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau lebih mesra disapa Kak Engku atau KE, disahkan bercerai talak satu dengan suaminya, Adzmin Osman pada 28 September lalu di mahkamah syariah di Selangor dalam prosiding tertutup.

Tapi, apa boleh buat, jodoh Kak Engku bersama Adzmin tak panjang. Namun, Zubir kagum dengan semangat yang ditunjukkan Kak Engku, sekalipun berita perceraiannya terpampang di muka depan Harian Metro, dia masih meneruskan tugasnya di konti SinarFM pada pagi berkenaan!

Pun begitu, Zubir dimaklumkan, ada beberapa teman wartawan yang menunggu Kak Engku di luar konti dengan harapan dapat bertemunya selepas dia bersiaran pagi itu. Biasalah tugas wartawan, ingin mendapatkan pengesahan daripada empunya badan. Namun, apa yang sampai ke telinga Zubir, sebaik saja Kak Engku menyedari kehadiran wakil media, dia terus berlari keluar konti sambil menutup mukanya!

Itu kisah perceraian artis. Sabtu lalu juga industri hiburan melihat seorang lagi pasangan artis yang naik pelamin, pengacara popular, Jimmy Shanley dan pasangannya, Nursuhaila Eliani yang bersanding di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Zubir sempat menghadiri majlis berkenaan, memang vass!

Namun, ada cerita kurang enak yang sampai ke telinga Zubir. Khabarnya ada wakil media tidak dibenarkan masuk ke dewan persandingan, gara-gara konon ceritanya syarikat media berkenaan tidak diundang, selain tidak membawa bersama mereka kad undangan untuk tujuan pendaftaran! Memang pelik Zubir mendengar cerita jurugambar tidak dibenarkan masuk!

Nasib baik Zubir dapat masuk meskipun terlupa membawa kad jemputan, malah tidak mengenakan suit sebagai pakaian wajib yang tertera di belakang kad undangan. Bagi Zubir, apalah salahnya wakil media dibenarkan masuk sekalipun tak membawa kad, lagipun kerjaya Jimmy memang sering berurusan dengan wartawan. Malah, banyak lagi kerusi kosong yang disediakan khas di meja wartawan. Perkara seperti ini tak patut berlaku!
Ini pula kisah aktres remaja, Puteri Sarah Liyana yang agak lama Zubir tidak panggil untuk fotografi sejak kontroversi dirinya bersama teman lelakinya, Ammar Alfian yang pernah mencetuskan kemarahan di kalangan wartawan.

Pada 28 September lalu, Zubir ada mengirimkan SMS kepada Liyana untuk mengadakan sesi fotografi dia bersama seorang lagi artis baru, Puteri Fateen, dua-dua nama bermula dengan pangkal Puteri, itu motif Zubir.

Namun, Sarah memaklumkan dia tidak dapat hadir fotografi pada petang 1 Oktober lalu kerana dia ada kelas yang perlu dihadiri dan meminta maaf. Nak dijadikan cerita, kelibat Sarah bersama teman lelakinya, Ammar, dilihat sempat menghadiri majlis Aidilfitri anjuran seorang aktres popular di Restoran Bora Ombak, Ampang pada tarikh dan waktu sama dengan fotografi Zubir bersama Puteri Fateen di studio B*POP! Kan dah kantoi!

Teman Zubir yang melihat kehadirannya pada majlis berkenaan, terus merakamkan fotonya bersama Ammar sebagai bukti. Itu satu, keduanya Zubir lihat pakaian Sarah ketika menghadiri jamuan majlis Hari Raya pada petang itu, tak begitu sopan! Majlis Aidilfitri tapi pakai skirt pendek, tak belajar sivik ke? Bagi Zubir, Sarah memang tak pernah serik dengan kontroversi yang melanda dirinya sebelum ini. Pandai pula cakap belit-belit, akhirnya terbelit!
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails