Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

"Dia tidak matang" - Puteri Sarah

MASA bercinta semuanya indah belaka. Selepas putus cinta, hilang manis, yang tinggal hanyalah hal-hal buruk dan negatif semata-mata. Nampaknya laman sosial hari ini telah digunakan sebagai medan untuk bertelagah sesama sendiri, termasuklah golongan selebriti kita. Antara yang terbaru, tindakan bekas kekasih Puteri Sarah Liyana, Ammar Alfian yang mendedahkan ‘kisah cinta’ wanita itu dengan pelakon dan pengarah muda, Syamsul Yusof. Ammar juga telah mendedahkan pelbagai perkara dalam laman sosialnya berkenaan perhubungannya dengan Puteri Sarah sebelum ini pada saat mereka masih bergelar kekasih. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan telah mengundang pelbagai reaksi oleh pihak media juga peminat dunia hiburan. Siapa yang betul dan siapa yang salah? Masih tidak dapat kita pastikan kesahihannya, tetapi sedikit sebanyak ia menjejaskan penilaian orang terhadap nilai moral masing-masing. Dalam hal itu, Puteri Sarah juga tidak duduk diam. Dia turut bersuara dengan menafikan pendedahan Ammar mengenai kisah percintaannya bersama Syamsul yang didakwa bermula sejak Oktober tahun lalu. Bercakap kepada Hits, kata Sarah, dia sebenarnya keliru apa lagi yang diinginkan oleh Ammar selepas mereka tidak lagi berhubungan. “Banyak tuduhan dia tidak berasas. Tindakan dia (Ammar) saya boleh anggap sebagai tidak matang. Apa lagi yang hendak dia katakan tentang saya? Saya tidak akan mengambil tahu pun apa yang cuba dia sampaikan. “Saya bimbang kalau menjawab, perkara ini akan jadi berpanjangan dan tidak akan pernah menemui jalan penyelesaian," kata Sarah. Menurut si jelita ini, selepas hubungan cintanya dengan Ammar berakhir, dia sudah bergerak ke hadapan. Segalanya mahu ditamatkan tanpa sebarang persengketaan, itu yang dia mahu. “Azam saya pada 2013 adalah untuk berubah dan saya benar-benar memaksudkannya. Lagipun, saya dapat cerita, dia pun sudah ada teman wanita baru sekarang, kenapa perlu mengaitkan saya lagi? Sudahlah, saya dah malas nak fikir mengenai perkara yang keluar dari mulut dia tentang saya," katanya kepada Hits. Sememangnya Sarah tahu, sebagai seorang wanita dan dikenali ramai, tuduhan seperti itu cukup memalukan kerana membabitkan soal maruah. Mengakui dirinya sudah agak bosan dengan semua itu, dia menyerahkan pertimbangan kepada Ammar sendiri. “Saya secara peribadi sudah terlalu penat dengan pelbagai isu yang sering Ammar keluarkan di media, dia buat apa yang dia suka sahaja. “Sebagai manusia, saya tidak boleh tahan dengan permainan ini. Dia ada bukti ke nak tuduh saya bercinta saya macam-macam termasuk bercinta dengan Syamsul? “Sekarang saya sudah lalui detik bahagia saya dengan fokus kepada kerjaya saya sebagai seorang pelakon dan harap sangat dia tidak terus buat benda-benda sebegini," kata pelakon dan juga model ini dengan tegas. Punya rancangan besar KISAH lama sudah dibungkus dan terkubur dalam fikirannya. Puteri Sarah yang kini berusia 28 tahun, ingin memajukan diri dan tidak akan mengenang kembali apa yang berlaku kepada dirinya pada tahun lalu. “Perkara tahun lalu sudah saya lupakan. Kini saya sudah mempunyai rancangan besar dan peluang untuk saya berlakon sudah banyak. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya. “Apa yang boleh dilakukan ialah dengan banyak-banyak bersabar dan tidak mengendahkan kata-kata buruk orang," katanya. Akui Puteri Sarah banyak perubahan berlaku dalam kehidupannya selepas tampil bertudung. Dan penghijrahan itu sebenarnya sudah lama difikirkan iaitu sejak tahun lepas lagi. Lebih-lebih lagi apabila merasakan kehidupannya seperti ada yang tidak kena dan hatinya sentiasa tidak senang. Bahkan adakala dia terfikir dan tertanya-tanya, apakah perkara yang kurang itu. “Apabila saya mula berusaha bagi mencukupkan solat lima waktu dan memakai selendang, ada perubahan. Kini saya berasa gembira dan lebih tenang. Saya juga sudah sedar akan kewajipan bertudung dan semakin selesa memakainya," jelasnya. Sejajar dengan perubahan itu, rezekinya juga semakin membiak di mana sehingga September tahun ini, sudah ada ‘kerja’ menanti di lokasi. “Memang banyak tawaran berlakon datang, cuma saya perlu pertimbangkan semuanya semula. Ini kerana ketika ini saya mempunyai perancangan lain yang agak besar. Saya mahu melibatkan diri dalam bidang pendidikan," katanya, tetapi masih dalam usaha untuk berahsia. Sarah hanya akan bercerita panjang lebar apabila sampai masanya kelak. Menjadi seorang guru? Pensyarah? Atau belajar semula untuk meningkatkan kemampuan diri? Kita tunggu sahaja apa yang hendak Puteri Sarah lakukan buat selepas ini. Semua itu akan Puteri Sarah jelaskan apabila sudah benar-benar terjadi. “Kena ada perancangan lain dan saya akan memberitahu semua bila sudah benar-benar jadi kenyataan," katanya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails