Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Shila OIAM. Show all posts
Showing posts with label Shila OIAM. Show all posts

Tiada Kekecewaan Bagi Shila Amzah


MENYEDARI perlu melakukan sesuatu perubahan dalam perjalanan kerjaya yang agak mendatar, naib juara One In A Million (OIAM), Shila Amzah (gambar) akhirnya mengambil langkah berani untuk menguruskan sendiri kerjayanya.

Sejak mengambil keputusan keluar dari syarikat pengurusan Monkey Bone awal tahun lalu, Shila mula belajar berdikari dan mencari fokus untuk membariskan namanya di kalangan artis-artis terkenal tanah air.

Kali ini, tidak hanya mempertaruhkan suara dan kecantikan semata-mata, anak kesayangan penyanyi ND Lala ini turut mencuba nasib mengetengahkan lagu-lagu hasil nukilannya sendiri.

“Biarpun ramai yang menganggap laluan saya mudah dalam industri ini tapi hakikatnya ia tidak seperti itu, malah saya terpaksa berusaha lebih keras untuk berada sebaris dengan penyanyi lain.

“Selepas keluar daripada syarikat rakaman tersebut saya mula mencari ke mana hala tuju dan arah untuk membentuk kerjaya nyanyian saya. Insya-Allah dengan pengalaman yang ada saya yakin dapat membantu untuk saya berdikari.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah kecewa dengan apa yang berlaku dan menganggap kegagalan selama ini sebagai pengajaran yang menjadikan saya lebih matang dalam industri seni,” katanya.

Penyanyi berusia 21 tahun ini yakin masih belum terlewat lagi untuk dia kembali melonjakkan namanya dalam industri seni nyanyian tanah air.

“Saya masih muda dan banyak lagi yang saya perlu belajar, tak mengapalah jika lambat sekali pun tetapi sudah banyak pengalaman yang saya lalui. Sedikit sebanyak pada usia ini saya sudah memahami selok-belok berada dalam bidang seni,” tuturnya.

Biarpun terpaksa mendaki secara perlahan, ia bukan satu halangan bagi Shila untuk terus mencapai puncak kejayaan dan perjalanan kerjayanya.

Tiada keyakinan

Shila yang pernah popular dengan lagu Memori Tercipta ini turut mengakui salah satu faktor dia lambat untuk bergelar popular disebabkan tidak mempunyai keyakinan diri bagi mengetengahkan hasil kreativiti seninya.

Dengan fasa baru dalam mempertaruhkan bakat menyanyi dan bermain gitar, ia tiada masalah untuknya mencipta lagu-lagu serta lirik sendiri untuk dimuatkan dalam album-album yang akan diterbitkan pada masa akan datang.

“Saya memang sudah mencipta lagu sejak daripada zaman persekolahan tetapi kurang berkeyakinan untuk membawanya ke depan. Setakat ini saya telah mencipta hampir 30 buah lagu yang belum pernah dirakamkan.

“Insya-Allah, album baru saya nanti akan memuatkan lagu-lagu ciptaan saya sendiri dan melihat perkembangan Patah Seribu lebih memberi keyakinan kepada saya untuk terus berkarya,” katanya.

Selain itu, klip video tersebut juga sudah selesai menjalani penggambaran dan sedang dalam proses suntingan sebelum disiarkan kepada umum.

“Alhamdulillah, penggambaran sudah selesai dan saya tidak sabar untuk menunggu hasil lakonan pertama saya terutama apabila bergandingan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.

“Biarpun melakonkan hanya 10 adegan sahaja tapi saya akui mempunyai perasaan gementar kerana iai merupakan pengalaman pertama saya berlakon,” katanya.

Bercakap tentang lelaki

Diterjah dengan persoalan mengenai hati, gadis ini hanya tersenyum dan menganggap dirinya masih terlalu awal untuk dimiliki seorang lelaki.

Kata Shila belum ada yang berjaya bertakhta di hatinya setakat ini, malah dia tidak mahu dirinya digosipkan dengan mana-mana lelaki.

“Saya masih sama seperti dulu, kalau boleh memang saya tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Bukan apa, saya tak mahu bakal ibu mertua saya pada masa akan datang akan fikir saya seorang wanita yang banyak kekasih,” ujarnya berseloroh.

Jelasnya, dia hanya mahu fokus kepada bidang nyanyian dan masa terluangnya lebih ditumpukan untuk berinteraksi bersama peminat melalui akaun Twiter miliknya.

“Bukan tidak mahu bercinta tetapi sukar untuk mencari lelaki yang memahami saya selain kerjaya sebagai seorang artis. Pada saya lebih baik masa yang ada saya gunakan untuk mendekatkan diri dengan peminat.

“Saya memang aktif bermain Twitter sehinggakan kadangkala dimarahi oleh ibu dan ayah sebab terlalu leka melayan pertanyaan-pertanyaan peminat.

“Daripada perkenalan kami di laman Twiter juga saya mempunyai kumpulan peminat yang mana kami dapat keluar dan menonton wayang bersama-sama,” katanya.

Perkara tersebut juga mendorong, penyanyi ini memuat naik beberapa klip video nyanyiannya di laman YouTube bagi memenuhi permintaan mereka.

“Saya buat video itu hanya sekadar suka-suka bagi memenuhi permintaan peminat. Mereka ingin dengar saya menyanyikan lagu orang lain tapi saya tidak dapat nyanyikannya di khalayak jadi saya mengambil medium ini untuk memenuhi permintaan tersebut.

“Ia juga seperti latihan nyanyian kepada saya selain membantu saya untuk menambahkan keyakinan apabila memetik gitar,” katanya yang memberitahu langkah itu tidak mempunyai sebarang tujuan komersial.

Berjinak-jinak dengan lakonan - Shila Hamzah


Shila meneliti tawaran membintangi filem muzikal romantis terbitan Malaysia-Indonesia

HANYA selepas benar-benar bersedia barulah penyanyi muda, Shila Amzah, 21, menerima pelawaan sebuah syarikat untuk membintangi filem usaha sama Malaysia - Indonesia yang akan memulakan penggambaran akhir tahun ini.
Begitupun, penyanyi lagu Memori Tercipta itu terpaksa merahsiakan dulu butiran lanjut mengenai produksi terbabit memandangkan kontrak hitam putih belum lagi ditandatangani.
Cuma akuinya, antara faktor yang membuatkannya terbuka hati bekerjasama dengan penerbitan berkenaan berikutan tarikan genre muzikal romantis yang menunjangi kronologi kisah.

“Sebenarnya tawaran itu hadir tepat pada masanya apabila saya sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di layar perak. Sebelum ini memang ada undangan tetapi komitmen terhadap nyanyian selain masih teragak-agak membuatkan saya terpaksa menolak.

“Mereka mengajukan tawaran kira-kira tiga bulan lalu dan sebaik membaca skrip, saya sudah tertarik dengan watak yang diberikan. Selepas berbincang dengan keluarga, saya mengiyakan permintaan pihak berkenaan.

“Langkah menceburi bidang lakonan juga antara usaha mengembangkan bakat di cabang seni berbeza. Agak gusar awalnya tetapi saya yakin persediaan rapi mampu melicinkan kerja,” katanya yang bakal digandingkan dengan aktor seberang sebagai teraju utama.
Jelas anak gadis kepada pelakon dan penyanyi popular, ND Lala itu, bapanya antara insan yang sudah dianggap sebagai guru tidak rasmi kerana selain membimbingnya melayari hidup, beliau turut menurunkan ilmu lakonan dan nyanyian.

Memahami ragam anak remaja, kata Shila atau nama sebenar Nurshahila Amir Amzah, bapanya seorang yang terbuka malah memberi kebebasan kepada mereka memilih bidang digemari namun tegas dalam soal disiplin.

“Saya berada di arena seni sejak 11 tahun yang lalu bermakna sejak zaman sekolah rendah lagi sudah mula merakamkan album dan menyanyi secara langsung. Papa tidak pernah memaksa, saya sendiri berminat dan sebagai bapa dia membuka jalan.

“Cuma nasihatnya minat dan bakat saja tidak cukup, sebaliknya perlu gandakan latihan serta berdisiplin. Saya masih ingat dulu sebelum menyampaikan lagu Inggeris di rumah papa meminta saya berlatih supaya sebutan dan nahu setiap baris lirik betul hingga membuatkan saya menangis. Namun ketegasannya berbaloi,” katanya lagi.

Patah Seribu jadi taruhan

KETIKA ini Shila muncul bersama single terbaru Patah Seribu yang mula disiarkan di radio, manakala penggambaran video muziknya pula diadakan sebelum Ramadan lalu dengan memilih Sharnaaz Ahmad untuk menyerikan klip video itu.

Katanya, penghayatan Sharnaaz ketika muncul dalam drama Ungunya Cinta meninggalkan impak terhadap penonton terutama dirinya hingga dalam babak tertentu Shila menitiskan air mata.

Patah Seribu yang juga lagu balada hasil nukilan Shila, berada lama dalam simpanannya tetapi baru kini berani dikongsi dengan khalayak.

“Sebenarnya dalam senarai kini sudah ada hampir 30 lagu. Saya mahu mencantikkan dulu melodinya dan syukur single pertama ini mampu memancing perhatian.

“Sepatutnya ia diperdengarkan lebih awal iaitu pada Mac lalu, namun terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada album 3 Suara yang saya rakamkan bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor,” katanya.

Beberapa lagu hasil ciptaan sendiri juga sudah mula dirakamkan untuk paparan di YouTube malah maklum balas pemerhati sangat menakjubkan apabila setiap hari bilangan penonton meningkat.

Shila berkata buat sementara waktu jadual kerja dikendalikan syarikat ayahnya, Urus Stabil Sdn Berhad.

“Sebenarnya saya punya syarikat sendiri yang sudah lama beroperasi tetapi buat sementara waktu, papa akan menguruskan segala-galanya. Inilah cabaran baru buat saya kerana semuanya dilakukan sendiri,” katanya yang rancak mengatur promosi untuk single baru.

Gelodak rasa Shila Amzah


BIARPUN mula bergelumang dalam industri hiburan tanah sejak usia kanak-kanak, bintang naib juara, One In A Million (OIAM) musim kedua, Shila Amzah masih lagi kurang menyinar.

Mungkin ramai yang bersetuju bahawa anak dara kepada penyanyi yang popular pada dekad 1980-an, N.D. Lala itu mempunyai pakej yang lengkap untuk menjadi penyanyi tersohor suatu hari nanti.

Bagaimanapun, setelah tiga tahun berlalunya OIAM yang disertainya pada tahun 2008 lalu, nama Shila masih lagi tenggelam timbul di persada seni tanah air.

Mungkin nasib gadis berusia 21 tahun itu masih belum berpihak kepadanya untuk dilimpahi dengan populariti seperti Mawi, Jacqlyn Victor dan Aizat yang pernah melalui era kegemilangan setelah menyertai rancangan realiti sepertinya.

Menyedari mungkin ada sesuatu yang menghalang aura anak kelahiran Kuala Lumpur ini dari terus menyinar, Hits tidak melepaskan peluang untuk mengutarakan perihal berkenaan kepadanya ketika sesi fotografi yang diadakan pada Ramadan lalu.

Bagaikan sudah menduga perihal berkenaan akan diajukan kepadanya, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah Salleh itu dengan tenang mengakui dia menyedari akan hakikat itu.

Jelasnya, dia sendiri tidak mengetahui apakah sebenarnya yang menjadi penyebab dirinya kurang menyerlah dalam industri hiburan tanah air.

"Shila sendiri tidak tahu apakah sebenarnya yang menjadi penghalang untuk Shila terus memahat nama sebagai seorang penyanyi.

"Mungkin masih ada banyak lagi perkara yang perlu Shila baiki untuk mengejar impian menjadi penyanyi yang hebat," katanya lembut ketika ditemui dirumah yang didiami bersama dengan keluarganya di Hulu Langat, Selangor.

Namun, menyambung bicara, Shila mengakui bahawa dia sebenarnya kehilangan arah dan tidak tahu ke mana hendak dituju dalam mengatur langkah menjadi seorang penyanyi.

Katanya, sebaik merangkul gelaran naib juara OIAM lalu, dia seolah-olah menjadi seperti anak kecil yang kehilangan ibu.

"Selepas keluar dari OIAM, Shila jadi tidak keruan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.

"Malah Shila juga tidak tahu ke mana hala tuju yang perlu diikuti untuk melonjakkan nama sendiri dalam industri.

"Landasan itu sudah ada tetapi Shila yang tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya," akui Shila jujur.

Menyambung bicara petang itu, Shila tidak menolak namanya tidak menonjol sebagai anak seni mungkin berpunca dari sikapnya sendiri.

Menyusun kata, Shila memberitahu, sifat pemalu dan kurang yakin terhadap diri sendiri yang bersarang di dalam dirinya mungkin merupakan salah satu daripada batu penghalang untuk dia terus menyinar.

"Shila sebenarnya seorang yang sangat pemalu dan daripada malu itu timbulnya sifat kurang yakin dalam diri.

"Selalu Shila terfikir adakah Shila mampu untuk melakukan sesuatu khususnya yang berkaitan dengan kerjaya Shila," luah Shila sambil bibirnya terus mengukir senyuman.

Pastinya kita mula tertanya-tanya apakah N.D. Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh yang pernah menjulang trofi juara kategori Irama Malaysia dalam Anugerah Juara Lagu pada tahun 1996 dan 1997 lalu tidak memberikan panduan kepada anaknya itu, pantas Shila menafikannya.

Jelas Shila, ayah kesayangannya itu adalah orang yang banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar untuknya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni.

"Ayah banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar untuk Shila dalam mengharungi kehidupan sebagai anak seni dan ayah juga banyak memberikan sokongan untuk Shila terus memburu impian.

"Namun apabila berkaitan dengan soal kerjaya, ayah mahu Shila berdirikari dan terus berusaha dalam menentukan masa depan sendiri.

"Tetapi sekiranya ada kesilapan yang dilakukan ayah pasti akan menegur Shila agar tidak mengulangi kesilapan sama di kemudian hari," ujar Shila.

Bagaimanapun, bicara anak sulung daripada empat beradik itu lagi, dia sering mengingati dan berpegang pada kata ayah-ayahnya.

"Ayah selalu berpesan agar Shila jangan selalu gelojoh dan pandai membawa diri.

"Lagipun menjadi anak N.D. Lala bukannya senang kerana ke mana sahaja Shila pergi sudah tentu banyak mata yang memandang.

"Tetapi walau apa pun Shila bersyukur kerana ayah, ibu dan adik-adik memahami dan sentiasa menyokong Shila," jelasnya.

Shila Amzah Muat Naik 45 Lagu Di YouTube


PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui telah memuat naik klip video nyanyiannya di laman Youtube bagi memenuhi permintaan peminat.

Kata Shila, setakat ini sebanyak 45 buah lagu kegemarannya telah dinyanyikan semula dengan petikan gitar dan dirakam hanya sekadar suka-suka.

"Saya buat video itu hanya sekadar suka-suka bagi memenuhi permintaan peminat, mereka ingin dengar saya menyanyikan lagu orang lain tapi saya tidak dapat nyanyikannya di khalayak jadi saya mengambil medium ini untuk memenuhi permintaan tersebut.

"Ia juga seperti latihan nyanyian kepada saya selain membantu saya untuk menambahkan keyakinan apabila memetik gitar," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Bagaimanapun, kata Shila dia tidak berniat untuk meraih publisiti atau menarik perhatian komposer dari luar negara.

"Saya tidak berniat untuk sebarang publisiti terutamanya mendapatkan perhatian dari pihak luar seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi baru.

"Jika saya ingin tarik perhatian luar bukan dengan cara begini tapi menggunakan kaedah atau saluran yang betul," katanya.

Tambah Shila, rakaman yang di muat naik itu tiada sebarang tujuan komersial dan tidak salah dari segi undang-undang hak cipta.

Rendang Kerang Menu Syawal Shila Amzah


PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah akan menyediakan juadah istimewa rendang kerang setiap kali pada Hari Raya pertama untuk santapan seisi keluarga.

Kata Shila, resepsi turun temurun itu merupakan juadah kegemaran keluarga mereka yang wajib disediakan setiap kali hadirnya Hari Raya.

"Pada Hari Raya saya biasanya kana balik ke Perak tapi tahun ini saya minta untuk beraya di Kuala Lumpur sahaja.

"Biasanya pada pagi raya saya akan bantu emak memasak lauk pauk untuk juadah raya dan saya sendiri ada hidangan istimewa iaitu rendang kerang," ujarnya.

Selain itu, bercerita tentang Aidilfitri, Shila berkata sambutan kali ini sederhana seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Kami sekeluarga sambut secara sederhana sahaja, malam raya saya masih bekerja iaitu menyertai program raya TV1," katanya.

Shila yang baru sahaja keluar dari syarikat rakaman Monkey Bone akan muncul “single” terbaru berjudul Patah Seribu ciptaan sepenuh olehnya.

Sementara klip video Patah Seribu yang dihasilkan oleh pengarah Micheal Ang sudah siap sepenuhnya dan akan disiarkan dalam masa terdekat.

Shila Hamzah Menangis Kerana Sharnaaz Ahmad


PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui sangat meminati lakonan Sharnaaz Ahmad dan meminta pelakon tersebut berganding dengannya dalam klip video Patah Seribu.

Jelas Shila, dia dan keluarganya memintai lakonan Sharnaaz terutamanya ketika menonton drama Ungunya Cinta yang sedang ditayangkan di TV3.

"Ketika pengarah bertanyakan tentang pelakon lelaki untuk klip video ini, saya terus terfikir Sharnaaz sebab saya minat dengan lakonannya dan pernah menangis melihat dia berlakon dalam Ungunya Cinta.

"Keluarga saya turut meminati Sharnaaz kerana menonton lakonannya dan dia juga bersetuju untuk berlakon bersama dalam video klip ini," katanya.

Dalam pada itu, Shila mengakui gementar untuk berlakon kerana ini merupakan kali pertama dia beraksi di hadapan kemera.

"Saya tidak pernah berlakon sebelum ini sudah tentu ada rasa gementar terutamanya untuk membawa sesebuah karakter biarpun hanya 10 adegan saja," tuturnya.

Video klip yang dijangka akan dikeluarkan bulan depan ini mengisahkan tentang percintaan dua darjat yang tidak kesampaian.

Shila Amzah Tinggalkan 'Monkey Bone'


PETALING JAYA: Selepas tiga tahun bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone, penyanyi Shila Amzah mengambil keputusan untuk menguruskan kerjayanya sendiri dengan meninggalkan syarikat itu.

Tambah Shila, dia yakin mampu menguruskan perjalanan kerjayanya terutamanya dalam bidang nyanyian dengan lebih baik secara berseorangan.

“Saya rasa sudah sampai masa untuk saya menguruskan kerjaya saya sendiri, saya faham mereka (Monkey Bone) menguruskan ramai artis dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada saya seorang sahaja.

“Tapi bagi saya pula sebagai penyanyi saya mahu produk saya keluar segera,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program-Program Baru TV3 dan TV9, di sini, Khamis.

Tambah Shila, bukan kerana kecewa terhadap syarikat rakaman tersebut tetapi dia mahu merangka strategi sendiri untuk masa depan kerjayanya.

“Formula yang digunakan oleh Monkey Bone mungkin sesuai dengan artis-artis lain tetapi tidak sesuai dengan saya.

“Lebih baik saya buat strategi dan formula sendiri untuk album saya dan jika ia untung atau rugi saya yang tanggung sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, kata Shila, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang secara baik dengan pihak Monkey Bone.

“Saya sudah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Monkey Bone, Ahmad Izham Omar dan selesaikan perkara ini dengan baik.

“Lagipun jika saya tidak mendatangkan keuntungan pada syarikat rakaman tersebut lebih baik saya keluar,” katanya.

Dalam pada itu, “single” pertama lagu Hari Raya nyanyian Shila berjudul “Patah Seribu” mula dimainkan di stesen-stesen radio tempatan.

Tambah Shila, lagu tersebut merupakan lagu pertama ciptaannya yang dirakamkan.

“Lagu “Patah Seribu” ini merupakan lagu pertama ciptaan saya sepenuhnya yang saya rakamkan.

“Banyak lagi lagu-lagu yang saya cipta tapi belum berkeyakinan untuk merakamkannya,” katanya.

Shila Amzah harum nama negara


Penyanyi Shila Amzah membawa misi penting tatkala berangkat ke Kunming, Yunnan China. Pemergiannya atas jemputan khas Pusat Penyiaran Yunnan TV bagi membuat persembahan pada Anugerah Festival Peringatan Seni TV Asia Tenggara Kali Kedua pada 5 hingga 8 Jun lalu.

Sememangnya ini adalah satu penghormatan buat diri penyanyi muda berkenaan apabila dapat berkongsi pentas dengan lebih 15 artis seluruh dunia yang turut membuat persembahan di tempat yang sama.

Kesempatan tersebut merupakan peluang kedua Shila beraksi di luar negara selepas mewakili negara ke konsert Asia Star Session sempena Festival Voice of Astana pada awal tahun lalu.

Keraian itu berlangsung sempena temasya sukan musim dingin Asian Winter Games kali ketujuh di Astana, Kazakhstan.

“Saya tidak sangka rezeki membuat persembahan ke luar negara datang sekali lagi. Sudah pasti, peluang sebegini tak akan disia-siakan.

“Lebih menggembirakan bila pihak penganjur memberitahu saya diberi peluang untuk membuat persembahan solo,’’ ujarnya yang mendapat penajaan sepenuhnya dari Yunnan TV sepanjang berada di sana.

Pemilik nama Nur Shahila Amir Amzah ini juga telah mengumandangkan sebuah lagu Melayu berjudul Nafas Cinta. Lagu tersebut dipilih oleh pihak penganjur kerana ia mempunyai elemen tradisi dan layak untuk tatapan masyarakat China.


Pemergian Shila ke Anugerah Festival Peringatan Seni TV Asia Tenggara Kali Kedua ini turut disertai oleh kedua-dua ibu bapanya iaitu penyanyi 80-an, ND Lala dan Fauziah Sarman.

Skeptikal usia

Dalam perkembangan berlainan, anak sulung dari tiga beradik ini menyatakan rasa sedih apabila masih ada pihak yang memandang usianya sebagai pengukur kepada kerjaya seni.

Malah ada cubaan untuk mempertikaikan bakat semulajadinya dan pengalaman yang diperolehi setelah bergelar anak seni sejak 12 tahun lalu.

“Terus terang, saya dah lali bila ada orang yang memperkecil-kecilkan bakat saya. Biarlah mereka nak cakap apa pun. Sebab saya tahu kemampuan diri sendiri.

“Tak payah juga nak umumkan secara rasmi kepada semua tentang kemampuan diri. Selalunya pandangan skeptikal itu datangnya daripada pihak yang masih belum mempercayai saya.

“Orang masih melabel saya sebagai artis baru walaupun berada dalam industri sejak berusia sembilan tahun lagi. Cuma, umur saya saja yang muda,’’ katanya.

Ditanya adakah pernah berputus asa dengan perjalanan seni yang dikatakan tidak lancar meski pun sudah lama bertapak dalam bidang ini, wanita ini punya alasan sendiri.

Katanya, dia cukup yakin dengan perjalanan karier seni yang dilalui. Apa yang pasti, Shila cukup optimis dengan ketentuan rezeki kurniaan Illahi. Tak kira bila, pasti akan tiba bahagiannya tadi.

“Ada banyak contoh artis yang lambat naik. Tapi bila dia ada hasil karya bagus, ditambah dengan masa yang tepat, tiba-tiba dia meletup dan terus dikenali.

“Saya yakin, satu hari nanti saya akan menjejak mereka ini. Cuma buat masa sekarang ini, saya tak akan putus asa dengan apa juga usaha selama ini,” katanya bersemangat.

Dalam pada itu, naib juara musim kedua rancangan realiti nyanyian realiti One In A Million (OIAM) ini menyatakan bahawa dia semakin matang dalam menentukan karier masa depannya.

Shila kini perlu bekerja keras setelah tidak terikat dengan sebarang syarikat naungan yang selalunya bertangungjawab menguruskan jadual kerjayanya.

Shila Amzah Mahu Kuasai Semula Bahasa Mandarin


KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah berhasrat untuk menguasai semula bahasa Mandarin dengan mengikuti kelas bahasa tersebut.

Katanya, dia dalam perancangan untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Mandarin kelak.

“Insya-Allah, saya sedang berbincang dengan pihak penerbit lagu dari China untuk proses rakaman.

“Saya memang boleh berbahasa Mandarin kerana pernah belajar selama tiga tahun ketika menuntut darjah 1, 2 dan 3 semasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lee Robber, Gombak. Cuma saya perlu lebih menguasai bahasa tersebut dengan mengikuti kelas bahasa Mandarin tidak lama lagi,” kata Shila kepada mStar Online, Khamis.

Shila ditemui ketika menjayakan persembahan sempena Malam Gala Ulang Tahun ke-4 Mandalay di Hotel Le Meridien, di sini.

Majlis bertemakan warna jingga tersebut turut meraikan ulang tahun perkahwinan ke-20 Pengarah Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin dan suaminya, Sin Cheang Loong serta sambutan hari jadi Winnie ke-41.

Anak kepada penyanyi ND Lala ini menyampaikan sebuah lagu bahasa Mandarin berjudul Forever Love yang dipopularkan oleh penyanyi Taiwan, Wong Lee Hom.

Selain Shila, penyanyi lain yang turut menjayakan persembahan di majlis itu adalah penyanyi Hong Kong, Maria Cordero, Jaclyn Victor, Syafinaz Selamat, Deja Moss dan Mohd Azhar Osman (Juara Bintang Idola Berita Harian 2010).

“Saya diundang khas oleh Winnie Sin untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin. Lalu saya memilih lagu Forever Love kerana lagu itu bermaksud kata hati seorang suami kepada isterinya yang sesuai yang ditujukan kepada pasangan suami isteri itu.

“Tambahan pula saya menyukai suara Wong Lee Hom yang merdu dan pandai menggubah lagu sendiri,” ujarnya yang bakal tampil dengan single terbaru berjudul Patah Seribu ciptaan sepenuhnya oleh Shila sendiri.

Dia yang menggayakan gaun petang rekaan Riffai juga bakal menyiapkan muzik video untuk lagu tersebut selain sibuk mempromosikan album 3 Suara kolaborasi dengan Jaclyn Victor dan Ning Baizura, menjadi duta minuman Tinge dan produk kecantikan Safi Balqis.

Bercerita tentang album 3 Suara, Shila agak teruja apabila lagu Beribu Sesalan yang dimuatkan dalam album tersebut dicalonkan di Muzik Muzik di TV3.

Mereka bertiga juga telah merakamkan muzik video lagu tersebut di Jakarta Selatan pada bulan lalu dan bakal menjayakan persembahan Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura pada Julai ini.

Tuah Shila tidak bergolek


STATUS Shila Amzah sebagai anak selebriti ND Lala memberinya satu kelebihan namun pencapaiannya dalam bidang seni kini adalah atas usaha sendiri. Shila mewakili negara ke Konsert Asia Star Session pada Festival Voice of Astana sempena berlangsungnya temasya sukan musim dingin, di Kazakhstan pada bulan lalu.

Selama lapan hari dia turut bergandingan dengan Ning Baizura dan Jaclyn Victor untuk merakamkan 10 buah lagu dimuatkan dalam album 3 Suara.

"Awalnya perbincangan itu datang secara spontan sahaja, produser album berkenaan, Kevin Chin memang peminat Ning dan Jaclyn dan berhasrat mahu terbitkan sebuah album gandingan mereka berdua. Cuma dia merasakan ada sesuatu perlu dimasukkan untuk seimbangkan gandingan itu, daripada duo ia menjadi trio tiga generasi.

"Asalnya Kevin hanya lihat satu persembahan saya daripada laman YouTube seperti yang dicadangkan seorang. Dia terus bersetuju," jelas naib juara One In A Million (OAIM) itu ceria.

Sesuatu yang agak unik, kemunculan terbaru Nurshahila Amir Hamzah, 21, itu merupakan gandingan tiga lapangan nyanyian yang berbeza. Jaclyn merupakan ratu balada, Ning diva soul dan R&B manakala Shila puteri pop.

Shila tidak kisah nampak berusia



MENGENALI anak dara ND Lala ini, si cantik ini seorang yang peramah, sentiasa kelihatan ceria, gembira dan aktif, sesuai dengan usia remajanya. Namun, baru-baru ini Shila yang baru menjangkau 20 tahun berubah rupa. Imej remaja riangnya ditinggalkan dan kini digantikan pula dengan imejnya yang lebih dewasa.

Masih kelihatan cantik, tidak dapat disangkal, tetapi imej barunya ini kelihatan sedikit canggung seperti tidak sesuai dengan usianya dan sungguh lari dari imej lamanya.

Jika sebelum ini dia boleh dikatakan seperti remaja seusianya yang normal iaitu gila-gila dari segi karakter dan dan tidak 'kontrol cun', kini Shila kelihatan lebih ayu, sopan penampilannya daripada segi pakaian juga agak berbeza.

Perubahan ketara ini bermula apabila pemenang tempat kedua rancangan realiti One in A Million (OIAM) ini menjadi duta terbaru produk kecantikan Safi Balqis - Perfect 10.

Tidak menafikan perubahan imejnya secara drastik sejak menjadi duta produk ini membuatkan dia kelihatan sedikit berusia daripada umur sebenarnya, ujar Shila perubahan ini sememangnya telah dinantikan sejak dahulu lagi.

"Memanglah saya masih kategori remaja, tetapi saya sudah lama di dalam industri seni, 10 tahun lamanya. Tidak salah rasanya saya lalui suatu perubahan yang menuju ke arah dewasa.

"Sebenarnya saya mencari peluang untuk melalui satu proses transformasi fizikal dan mental daripada remaja ke wanita yang dewasa dalam tahun ini.

"Apabila Balqis melamar saya, saya rasa ini adalah waktu yang terbaik untuk menunaikan keinginan saya itu.

"Memanglah saya perempuan, tetapi sebelum ini saya agak kasar dan sedikit bersifat keanak-anakan. Sudah sampai masanya saya berubah," ujar Shila ketika ditemui di Majlis Perlancaran Duta Terbaru Safi Balqis baru-baru ini.

Tambah Shila, perubahannya itu bertepatan dengan konsep album solo keduanya yang bakal keluar pada tahun ini di samping album Tiga Suara bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor.

Menafikan dia menerima tawaran menjadi duta Safi serta sanggup berubah imej kerana pulangan dari gelaran tersebut, ujar Shila, dia amat berpuas hati dengan produk Safi Balqis kerana perubahan yang berlaku selepas menggunakan produk itu.

Shila diikat dengan Safi Balqis selama dua tahun. Sebelum Shila, Elly Mazlein dan Dynaz Mokhtar juga pernah menjadi duta produk kecantikan Safi Balqis.

Selain Safi Balqis, Shila juga merupakan duta bagi produk minuman Tinge dan pernah menjadi duta produk aiskrim Wall's Cornetto.

Shila cari suami

Sudah nama pun artis, Shila turut tidak dapat lari daripada gosip percintaan.

Paling sering dikaitkan dengan Shila adalah pelakon kacak yang digilai ramai, Fizo omar dan terbaru sekali pemain bola pemain bola sepak pasukan Harimau Muda iaitu Haziq Zikri. Menafikan ada perasaan cinta dengan kedua-dua jejaka ini, ujar Shila dia selesa berkawan dengan mereka dan hanya setakat itu sahaja hubungan mereka.

"Saya, Fikri dan kawan baik saya Bella selalu keluar bersama dan kami menjadi rapat seperti keluarga.

"Saya sayang Fikri, tetapi sebagai kawan sahaja. Dia muda dari saya, saya kurang terima untuk mempunyai hubungan dengan lelaki muda kerana lelaki lambat matang berbanding perempuan.

"Soal pilihan hidup, saya memilih seseorang yang boleh dibuat suami, bukan sekadar kekasih sahaja dan yang paling penting seseorang yang bekerja keras untuk keluarganya.

"Saya tidak boleh sentiasa keluar berdua dengan kekasih macam remaja lain sebab kerja saya yang tidak menentu," ceritanya yang turut merancang untuk menghasilkan jenama pakaian sendiri suatu hari nanti.

Sambung Shila, buat masa ini dia belum berjumpa teman lelaki. Namun, dia menginginkan lelaki yang dapat menerima dirinya seadanya dan memahami kerjaya seninya itu.

Shila cari calon suami


Usia muda bukan halangan untuk berumahtangga

KETIKA remaja sebaya dengannya ligat bertukar ganti teman lelaki dan hanya tahu berhibur, tetapi dia sudah berpandangan jauh dari segi masa depannya. Bukan kerana kolot ataupun mahu menjadi dewasa sebelum waktunya tetapi menurut anak gadis pelakon dan penyanyi ND Lala ini, ketika usia muda dia harus memikirkan masa depannya dengan lebih mendalam. Bukan saja dari segi kerjaya seninya tetapi bagi bekas bintang realiti One In A Million, Nurshahila Amir Hamzah atau kini lebih dikenali dengan Shila Hamzah, dia juga sudah mula memikirkan soal mendirikan rumah tangga walaupun ramai yang berpendapat, usianya yang baru mencecah 20 tahun terlalu muda untuk berbicara soal teman hidup dan juga perkahwinan. Duduk bersembang dengan Shila sewaktu dia menghadiri majlis pra dengar album 3 Suara yang diadakan di pejabat Sony Music di Solaris Dutamas baru-baru ini, Shila telus mengatakan yang dia memang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Sebabkan itulah dia kini mahu serius mencari lelaki yang bukan saja kukuh sumber kewangan tetapi bertanggungjawab.

“Saya sedar tentu ramai yang mengatakan masih terlalu awal untuk Shila bercakap soal teman hidup dan juga perkahwinan kerana bagi mereka dalam usia yang masih muda seperti ini, Shila seharusnya enjoy saja dan tak perlu memikirkan perkara yang boleh membuat fikiran serabut. Tapi bagi Shila, kita kena ada perancangan teliti dan dalam soal berumah tangga Shila tak suka ambil mudah.

“Shila sebenarnya membuat kajian di internet mengenai perceraian di negara ini dan juga puncanya. Disebabkan itulah ramai kawan Shila berkata yang mereka tidak layak untuk berkawan dengan Shila disebabkan pemikiran Shila yang jauh berbeza dengan mereka. Bayangkan ada sesetengah teman Shila berkata mereka mencari teman lelaki di waktu sekarang hanyalah untuk berseronok saja dan untuk bakal suami, mereka akan cari lelaki lain. Shila tak mahu membazirkan masa begitu saja,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Memori Tercipta ini.
Ditanya apakah pencariannya itu berakhir dan bagaimana gosip dengan pemain bola sepak negara, Haziq Zikri?

Shila menegaskan dia menafikan menjalinkan hubungan dengan pemain pasukan Harimau Muda itu.

“Seperti yang Shila katakan tadi, Shila berkawan dengan ramai lelaki dan ada di antara mereka itu boleh dikatakan calon yang sesuai untuk menjadi bakal teman hidup saya. Setakat ini kebanyakan lelaki yang saya kawan, usia mereka lebih tua dari saya. Tapi taklah tua sangat, paling tua umurnya adalah 30 tahun,” cerita Shila sambil tertawa kecil.

Diaju dengan pertanyaan mungkin Shila terlalu rapat dengan ibunya dan wanita itu sentiasa di sisinya membuatkan ramai lelaki takut untuk mendekatinya, tegas penyanyi ini, perkara itu tidak sepatutnya menjadi alasan.

“Kenapa takut. Kalau ikhlas untuk berkawan dengan saya, tak perlu risau. Jika mereka betul mahukan saya, mereka haruslah mengambil hati ibu saya dan bukannya menjadikan ibu saya sebagai batu penghalang. Tak perlu takut, ibu saya tak makan orang,” kata Shila berseloroh.

Jadi artis indie?

BUKAN pertama kali Shila meluahkan perasaan kecewanya apabila lagu dari album Bebaskan tidak kedengaran di radio. Sudah kerap sehingga menjadi rendah diri apabila memperkatakan mengenai album sulungnya bersama syarikat rakaman Monkey Bone itu.

Kata Shila, kalau ada pun diputarkan, ia tidak berterusan sehingga dia sendiri malu untuk menyanyikan lagunya dalam mana-mana pertunjukan pentas disebabkan tidak ramai yang tahu kewujudan albumnya itu.

Katanya lagi, bukan tidak ada usaha untuk dia memperkenalkan album itu tetapi jika segala usaha yang dilakukan tidak mendapat sokongan stesen radio, pastinya semua usaha itu sia-sia belaka.

“Apabila ditanya mengapa mereka tidak mahu memutarkan lagu saya, jawapan yang diterima adalah, single yang diberikan terlalu urban dan tak sesuai untuk konsep stesen radio berkenaan. Tidak mahu memanjangkan cerita, pihak label menyerahkan album saya dan mengharapkan radio menyiarkan mana-mana lagu yang sesuai kerana tidak semua lagu saya berentak rancak.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak menampakkan hasil dan lagu saya langsung tidak kedengaran,” katanya dalam nada terkilan.

Walaupun nasibnya dalam bidang nyanyian tidak secerah penyanyi lain, namun tegas Shila dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa bersikap positif bahawa satu hari nanti bintangnya akan bersinar juga.

Dalam diam, dia merancang sesuatu untuk memperkembangkan lagi kerjaya seninya.
“Kontrak saya dengan Monkey Bone masih berbaki dua album. Itu tempoh saya buat pilihan, sama ada mahu meneruskannya atau tidak. Jika saya memilih tidak mahu meneruskan, mungkin saya bergerak sendiri.

“Orang lain dari dunia indie bergerak ke arah arus perdana. Tapi saya terbalik, dari arus perdana bertukar menjadi artis indie. Walaupun mungkin sukar tapi saya rasa itu pilihan terbaik,” jelas Shila.

Mengulas pembabitannya dalam album 3 Suara yang turut disertai dua penyanyi hebat iaitu Jaclyn Victor dan Ning Baizura, Shila mengakui teruja kerana selain berpeluang bergandingan dengan dua diva hebat, ia juga mengetengahkan bakat sebenarnya apabila berpeluang menyanyikan pelbagai jenis rentak lagu yang benar-benar mencabar keupayaan vokalnya.

Shila Jadi Jurucakap Safi Balqis


KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah menjadikan produk Safi Balqis Perfect 10 sebagai satu langkah untuk dia melakukan transisi melangkah ke alam dewasa.

Jelasnya, selama 10 tahun berada dalam industri seni dengan membawakanperwatakkan keremajaan, dia mahu melangkah ke satu tahap baru terutamanya dari segi perubahan imej.

"Saya sudah lama mencari masa yang sesuai untuk tukar imej menjadi lebih dewasa.

"Justeru tawaran menjadi duta produk Safi Balqis yang datang ini bertepatan dengan masanya. Jika tiada tawaran iklan saya berhajat untuk mengubah imej kewanitaan bermula tahun depan," katanya ketika ditemui di Majlis Perlancaran Duta Terbaru Safi Balqis, di sini, Rabu.

Tambah Shila, selain itu ia bertepatan dengan konsep album solo keduanya yang bakal keluar pada tahun depan.

"Perubahan ini juga adalah kerana konsep album kedua saya yang bakal keluar tahun depan dan album Tiga Suara bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor," katanya.

Penyanyi berusia 20 tahun ini juga memberitahu tidak mahu dikenali sebagai Shila OIAM tetapi Shila Amzah.

"Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya bawa nama bapa saya dan tidak dikenali lagi sebagai Shila OIAM.

"Lagi pula dah dua tahun rasanya menggunakan nama itu. Dulu saya tidakberapa dikenali dan terpaksa menggunakan nama tersebut untuk lebih dikenali," ujarnya yang lahir dari sebuah program realiti nyanyian One In A Million.

Jelas Shila, bagi menyambut tahun baru 2011 yang akan datang ini dia mahu kerjayanya lebih berkembang dan tidak hanya dikenali sebagai artis iklan semata-mata.

"Tahun baru nanti banyak perancangan yang telah diatur, selain menjadi duta produk, saya juga tidak sabar menantikan album kedua dan album Tiga Suara.

"Malah saya juga dalam perancangan untuk melanjutkan pelajaran saya di salah sebuah kolej di sini," ujarnya.

Shila Jelaskan Hubungan Dengan Pemain Bola


PETALING JAYA: Penyanyi Shila, 21, (gambar)mengakui sedang berkawan rapat dengan pemain bola sepak Harimau Muda negara, Haziq Zikri Elias dan sering digosipkan keluar bersama.

Namun begitu, Shila berkata, tiada sebarang hubungan istimewa antara mereka, malah memberitahu dia dan Zikri lebih senang menjadi kawan rapat.

"Saya dan Zikri hanya sekadar kawan baik sahaja, memang kami selalu keluar bersama-sama malah dia juga sering datang melepak di rumah saya.

"Persahabatan kami bukan berdua tapi kami ada lagi seorang rakan baik perempuan bernama Bella. Mereka berdua baru sahaja pulang dari United Kingdom dan tidak banyak kawan di sini," katanya.

Menurut Shila, dia sukakan dua rakannya itu kerana mereka berfikiran terbuka berbanding rakan-rakan yang kurang memahami kerjayanya sebagai artis.

"Saya senang berkawan dengan mereka sebab pemikiran mereka lain. Mereka lebih terbuka dan tidak cepat merajuk.

"Buat masa ini memang saya selalu keluar membeli belah atau menonton wayang bersama-sama, malah ibu bapa saya sudah percaya jika keluar dengan mereka," katanya.

Bercerita tentang pemain bola sepak, Shila sebelum ini juga dikaitkan dengan pelakon yang juga aktif sukan tersebut, Fizo Omar. Mereka bagaimanapun menafikan mempunyai hubungan.

Dalam pada itu, Shila turut memberitahu bakal memulakan proses rakaman album terbarunya sedikit masa lagi.

Kali ini dia berharap konsep yang bakal ditonjolkan lebih matang memandangkan usianya sudah menginjak ke alam dewasa.

Bahasa Mandarin Bantu Kerjaya- Shila


MENJANGKAU usia 20 tahun, gadis bernama Nur Shahila Amir Hamzah atau lebih dikenali sebagai Shila ini mengakui kelebihannya menguasai tiga bahasa termasuk bahasa Mandarin memudahkan lagi perjalanan kerjayanya.

Dia yang pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jenis Kebangsaan Cina Lee Rubber, Gombak ini sedar kepentingan menguasai berbagai bahasa boleh memberi nilai tambah dalam dirinya sebagai seorang artis.

"Saya seorang pencinta bahasa, dari kecil saya sering ada rasa ingin tahu terutamanya ketika menonton cerita-cerita dari luar seperti Korea, Jepun dan Sepanyol.

"Setakat ini saya hanya pandai berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. Biarpun tidaklah seberapa lancar namu saya masih boleh memanhami dan bertutur secara asas.

"Ketika di One In A Million (OIAM) dahulu saya sering mengunakannya bahasa Manderin apabila bertutur dengan rakan-rakan berbangsa Cina dan sehingga sekarang pun saya sering mendapat undangan di konsert 8TV yang berbangsa Cina," ujarnya yang ingin mendalami lebih banyak lagi bahasa.

Menurut Shila lagi, lagu-lagu dan drama televisyen sering mempengaruhinya untuk mendalami bahasa.

"Ketika hangat cerita Korea Winter Sonata, Saya sangup menghafal lirik dan mencari makna pada bait-bait lirik tersebut.

"Kebanyakannya lagu-lagu yang akan membuat saya lebih berasa ingin tahu dan belajar sendiri," jelas gadis berasal dari Kuala Lumpur ini.

Bercerita tentang fesyen, Shila mengakui bahawa dia seorang yang suka berfesyen dan mengikut peredaran fesyen semasa.

"Saya seorang yang gemar berfesyen, biarpun kadangkala orang nampak pelik tapi ia sesuai. Saya suka bermain dengan warna, bagi saya warna mampu memberi keyakinan dalam diri.

"Kalau kita lihat di Indonesia, remaja di sana berani mengayakan fesyen mereka sendiri. Mereka nampak pelik tapi cantik," ujarnya.

Shila Menolak Cinta


TIDAK seperti remaja lain, pemilik tempat kedua pada pertandingan realiti, One In A Million musim kedua (OIAM2), Shila, mengakui bahawa dia masih belum bersedia untuk menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.

Biarpun mengakui pernah beberapa 'terjatuh' cinta atau terpikat dengan lelaki, namun dia akan menolak perkara itu agar tidak berpanjangan.

"Susah untuk cari lelaki yang boleh memahami kerjaya saya. Saya tidak ada masa untuk beri sepenuh komitmen, kesian kalau dia jadi teman lelaki saya.

"Kalau saya tahu ada di kalangan rakan-rakan yang jatuh cinta atau suka pada saya, saya akan beritahu awal-awal pada mereka. Kalau boleh saya tidak mahu bercinta pada ketika ini.

"Memang kadang-kadang saya ada terjatuh cinta atau terpikat dengan seseorang tapi seboleh-bolehnya saya akan cuba hindar," ujar Shila.

Pemilik nama Nurshahila Amir Hamzah ini tidak mahu kerjayanya terganggu akibat dari keasyikan bercinta, malah dia lebih selesa menjalani hidupnya ketika ini ditemani keluarga dan rakan-rakan sahaja.

"Saya mahu fokus kepada kerjaya, sama ada nyanyian atau bidang pengiklanan. Saya lebih selesa jika ditemani dengan ahli keluarga untuk kemana-mana, itu lebih selamat," jelasnya yang juga gemar mencipta lagu.

Mengenai perjalanan karier seninya yang kurang menyerlah berbanding rezeki menjadi duta produk, Shila mengakui perkara itu bukan kemahuan atau pilihannya.

"Saya sedar rezeki saya sekarang bukan di bidang nyanyian tetapi di bidang iklan. peluang untuk menyanyi tidak sebaik iklan. Allah itu maha adil, dia tak bagi kita sema dan tak ambik semua. Saya bersyukur atas apa yang dia beri sekarang.

"Tapi jujurnya saya lebih suka menyanyi, saya tidak puas untuk menyanyi lagi," katanya.

Ketika ditanya penglibatannya dalam bidang lakonan, Shila memberitahu, bapanya Amir Hamzah atau lebih dikenali sebagai ND Lala tidak mengalakkannya menceburkan diri dalam lakonan.

"Papa tidak galakkan saya berlakon kerana tidak mahu suara saya rosak. Lagipun ketahanan badan saya terlalu lemah, saya tidak boleh terlalu lasak," jelasnya yang kini menjadi duta kepada produk minuman Tinge, Spritzer.

Semuanya angkara boling~Shila


PERKENALAN mereka bukannya berlaku semalam. Malah, Sheila Amzah dan Fizo Omar sebenarnya sudah menjadi kawan rapat melebihi jangkamasa setahun. Namun, entah salah faham apa yang timbul,, mereka berdua kini dikatakan sedang hangat bercinta.

Apa salahnya jika berita itu benar kerana masing-masing masih bujang. Tapi Sheila yang ditemui pada sidang media Parti HIP TV terbitan TV9 menyangkal sekeras-kerasnya khabar angin itu. Penyanyi berusia 20 tahun itu juga tidak tahu bagaimana isu berkenaan timbul.

"Kami sudah berkawan rapat lebih setahun lebih tapi mungkin orang tidak perasaan. Rasanya gosip itu mula timbul semasa saya, Fizo dan Kamal Adli menganjurkan perlawanan boling bersama peminat kami di Flamingo, Ampang. Ketika itu, mereka sedar bahawa saya dan Fizo sebenarnya amat rapat," jelas Sheila.

Rapat dalam terma Sheila tidak membawa maksud bercinta. Padanya, keakraban mereka masih belum sesuai diklasifikasikan sebagai pasangan kekasih. Lagipun bagi Sheila, dia tidak ada perasaan sayang terhadap Fizo.

"Hubungan rapat kami berdua amat pelik sebenarnya. Kami selalu bergaduh dan suka membuli semasa sendiri. Mungkin ramai yang pelik bagaimana seorang penyanyi dan pelakon boleh berkawan rapat. Diakui pada mulanya saya memang tidak menyukai dia kerana berpendapat dia seorang yang poyo (berlagak).

"Namun, semasa berkenalan pada tahun lalu, saya mendapati dia seorang yang menyeronokkan, mengambil berat dan tidak akan menyentuh perkara sensitif. Dia juga tidak poyo seperti yang disangka serta mempunyai mentaliti 'gila-gila' seperti saya," sambung Sheila.

Selain berkongsi persamaan dari segi pemikiran, mereka berdua juga mempunyai minat yang sama iaitu memasak. Minat itu membuatkan mereka berdua sentiasa bertanding memasak sehinggakan terdetik cadangan untuk membuka restoran bersama.

"Fizo pandai memasak makanan Thailand dan saya pula lebih mahir makanan Melayu serta Barat. Skil memasak Fizo setaraf dengan tukang masak di restoran. Malah kami pernah terfikir untuk membuka restoran bersama. Cuma masa tidak begitu mengizinkan kerana masing-masing sibuk dengan perjalanan karier seni."

Memanggil Fizo dengan gelaran Casper, Sheila memberitahu dia ada kalanya berjumpa dengan kawannya itu sebanyak lima kali seminggu. Selain melawat rumah masing-masing, mereka juga sering keluar makan dan menonton wayang atau berkaraoke. Namun, pertemuan mereka selalunya disertai ibu mereka.

"Ibu Fizo merupakan ibu tunggal. Jadi saya dan ibu selalu menemaninya. Saya juga sangat rapat dengan adik perempuan Fizo. Maka, selalunya kami akan keluar berempat atau lebih ramai. Fizo juga jenis lelaki yang tidak kisah untuk keluar bersama ibu saya.

"Bukannya seperti sesetengah lelaki yang selalu menyoal mengapa saya perlu keluar bersama ibu saya. Fizo pandai mengambil hati mereka yang berusia. Dia merupakan menantu pilihan ramai," jelas Sheila lagi.

Memandangkan Fizo jenis lelaki pilihan ramai, adakah Sheila pernah terdetik untuk menjadikan Fizo sebagai kekasih hatinya? "Saya akui saya memang menyukai lelaki yang mementingkan keluarga. Bagi saya, kita bukan sahaja berkahwin dengan lelaki itu tetapi juga dengan keluarga mereka.

"Jadi lelaki itu juga perlu menerima keluarga saya kerana perkahwinan itu ikatan sepanjang hayat. Saya sendiri juga menyukai lelaki lebih tua dan kalau boleh tidak kacak. Tapi dengan Fizo, semuanya bergantung kepada jodoh. Jika ada jodoh, nak buat macam mana? Saya reda sahaja.

"Namun, buat masa ini, saya selesa dengannya. Lagipun ibu saya tidak menggalakkan saya bercinta sekarang kerana perjalanan saya masih jauh. Banyak lagi pilihan yang ada dan saya juga mahu elak mencari teman istimewa dari golongan artis."

Memiliki lebih ramai kawan lelaki sejak di bangku sekolah lagi, Sheila juga rapat dengan rakan artis lain seperti Dafi, Bunkface dan Hanafi Estrange. Bukannya antiperempuan, Sheila lebih biasa berkawan dengan lelaki.

"Bukannya saya tidak cuba untuk berkawan dengan wanita. Cuma wanita yang selalu saya jumpa suka menikam saya dari belakang. Jadi ia membuatkan saya sukar untuk rapat dengan wanita. Saya perlu berhati-hati dalam membuat penilaian," katanya yang berkawan baik dengan Stacy.

Gubah lagu

Baru sahaja merakamkan sembilan buah lagu dengan dengan dua penyanyi diva tempatan, Sheila bagaimanapun enggan memberikan keterangan lanjut mengenai album istimewa tersebut yang bakal dipasarkan sekitar Oktober ini.

Selain sibuk dengan rakaman itu, Sheila juga sedang menyediakan diri untuk pusingan separuh akhir World Championship of Performing Arts yang bakal berlangsung pada 6 hingga 10 April nanti.

"Ramai artis yang menyertai pertandingan itu tahun ini. Tapi saya sentiasa berasa yakin tidak kira di mana-mana pertandingan. Cuma banyak masa, tuah itu memainkan peranan penting. Saya akan menggunakan pengalaman semasa menyertai pertandingan Shanghai World Star Quest sebagai rujukan," kata duta terbaru minuman Tinge Spritzer itu.

Turut mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pengiklanan, Sheila bagaimanapun terpaksa menangguhkan perancangan itu kerana sibuk dengan persediaan album terbarunya. Berusaha untuk menggubah lagu sendiri, Sheila mahu bekerjasama dengan penerbit dari Indonesia.

"Selain mencari lagu, saya juga ada menggubah lagu sendiri. Sudah banyak lagu yang saya gubah tetapi saya masih belum berani untuk membiarkan orang ramai mendengarnya. Selepas mendapat nasihat daripada kawan-kawan, saya akan cuba memasukkannya dalam album terbaru saya nanti," tambahnya.

Fesyen vintaj

Menukar imej rambut kerana dikatakan terlalu matang, Sheila kini tampil lebih urban dengan rambut pendeknya. Dicalonkan dalam kategori Artis Melaram untuk Parti HIP TV terbitan TV9 yang bakal disiarkan pada 2 April nanti, Sheila tidak merasakan dirinya suka melaram.

Dia hanya memakai baju mengikut selera hati dan suka melihat blog fesyen untuk dijadikan sebagai contoh. "Saya sukakan baju vintaj. Blog Jezmine Zaidan dan Diana Rikasari dari Indonesia dijadikan teman sejati dalam pemilihan fesyen. Walaupun ada kalanya ia kelihatan pelik kerana berwarna-warni, saya menyukainya.

"Dulu saya sangat menyampah dengan warna merah jambu kerana warna itu menonjolkan sifat kewanitaan. Tapi atas desakan ibu dan melihat fesyen terkini, saya sekarang sudah mula memakai pakaian berwarna merah jambu," ujarnya yang dahulu tidak pandai berfesyen.

Minatnya terhadap fesyen juga telah menjadikan dia seorang yang suka membeli-belah. Katanya, baju yang dimilikinya terlalu banyak sehinggakan dia boleh memakai baju berlainan setiap hari untuk jangkamasa setahun.

"Saya boleh dikategorikan sebagai orang yang kuat membeli-belah terutama sejak mengetahui mengenai kedua-dua blog tersebut. Namun, saya tidak begitu mementingkan jenama asalkan mendapat apa yang dipakai oleh mereka dalam blog. Sekarang saya juga sudah pandai menggunakan pakaian lama dan dipadankan dengan benda-benda baru."

Shila sudah pandai bercinta?


DIVA mengikuti perkembangan anak dara ND Lala yang seorang ini. Manakan tidak, dari kecil lagi dia sudah terbiasa dengan dunia hiburan dan hinggalah kini sudah ada album sendiri. Daripada gaya anak-anak dia kini sudah berperwatakan gadis remaja yang semakin cantik. Sama cantik dengan ibunya.

Teman Diva yang suka muzik punk pun sudah pandai gosip, katanya, dia dapat cerita yang Shila sudah pandai main cinta. Tak sangka Diva, teman yang seorang ini turut mengushar anak dara ND Lala itu.

"Aku dengar cerita yang Shila sekarang sedang mula-mula berbunga dengan seorang pegawai perhubungan awam yang tidak jauh dengannya. Setahuku, lelaki tersebut baik orangnya putih-putih berkaca mata. Comel juga kalau betul mereka bersama-sama. Saya setuju sahaja. Tapi adalah sikit berbaur cemburu sebab aku pun suka tengok Shila tu," ujar teman punk Diva.

Ewah Shila, sudah pandai main api nampaknya. Tetapi Diva rasa okey sebab lelaki tersebut pun sudah pasti kenal ibu dan ayah Shila yang selalu dengan anak mereka. Silap-silap mereka pun minta lelaki tersebut tengok-tengokkan anak mereka.

Bagi Diva tak salah mahu bercinta sesama teman dalam industri. Diva pun suka tengok seorang teman Diva yang merupakan pegawai perhubungan sebuah label yang main cinta dengan seorang wartawan sekarang. Bahagia nampaknya.

Transformasi Shila


SESI fotografi Selebriti dengan gadis ini berjalan meriah. Lama tidak ketemu, gadis jelita ini kelihatan semakin berisi. Namun bukan itu persoalannya, sebaliknya penyanyi ini tampil segar dan ranggi dengan gaya tersendiri.

Barangkali, mungkin ia imej baru yang cuba ditampilkan penyanyi berusia 19 tahun ini. Malah, menyentuh album terbarunya pula, Shila: Bebaskanlah turut mengalami transformasi.

Menurut Nurshahila Amir Amzah (Shila), album terbaru itu menjadi karya eksperimennya. Tidak mahu terus terikat dengan konsep lama yang jelas tidak membuka mata pendengar, dia mencuba sesuatu yang baru.

“Saya cuba melakukan sesuatu untuk album ketiga ini. Jadi, saya mengetengahkan beberapa perubahan besar terhadap muzik saya.

“Dulu, saya sendiri rasa pelik dan tertanya-tanya mengapa sebelum ini orang tidak mengenali saya walaupun sudah ada dua album. Bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan mereka, lalu dengan inisiatif sendiri serta nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman, saya melakukan transformasi dalam muzik mahupun imej,” katanya.

Akui Naib Juara One In A Million (OIAM) ini, pengalaman menyertai program realiti terbitan stesen 8TV itu mematangkan dirinya terutama dalam mempertingkatkan kemampuan sebagai penyanyi serta penguasaan pentas.

“Alhamdulillah, ia menjadi pengalaman terbaik untuk saya memperbaiki konsep lagu. Syukur juga, album ini diterima peminat yang rata-ratanya menyukai konsep ini.

“Ramai juga yang memuji bahkan penerbit album, Ahmad Izham Omar juga terkejut mendengar vokal dalam album itu yang berubah-berubah.

“Bagi saya mungkin cara penghayatan pada setiap lagu membuatkan ia kedengaran berbeza. Saya berpuas hati dengan album ini.

“Selain itu juga, ada satu lagu di mana liriknya saya tulis sendiri berjudul Kaku Aku. Ia mengisahkan pengalaman rakan saya yang mengadu tidak tahan dikongkong teman lelaki mereka.

“Bagi menghormati kelompok peminat urban yang mula mengikuti perkembangan karier nyanyian saya sebaik menyertai OIAM pula, dua lagu Inggeris dimuatkan - Hell No dan Whisper My Name,” katanya yang mengumpulkan 12 lagu untuk album ini.

Bagi yang sudah mendengar album ketiga Shila, mereka pastinya terhibur dengan barisan pelbagai lagu rancak serta balada.

Tambah Shila, sesuai dengan peringkat umurnya yang masih remaja, dia cuba mendendangkan lagu sesuai dengan kehidupannya kini.

“Adakalanya, saya berfikir mengapa saya tidak menyanyikan lagu-lagu menceritakan mengenai kehidupan yang sering diketengahkan penyanyi remaja antarabangsa seperti Britney Spears, Katie Perry atau Miley Cyrus.

“Jadi, untuk itu saya tampilkan album ini. Menurut maklum balas yang diterima, alhamdulillah ramai menyukainya dan ia sudah cukup untuk saya.

“Saya juga beruntung album ini mendapat kerjasama komposer terkenal seperti Audi Mok, Ahmad Izham, Aubrey Suwito, Kieran Kuek, Eka Shereen, Mahfuz, Pot Amir dan Shazee.

“Turut memberi sumbangan ialah komposer Indonesia, Audius Mtawarira, Tegan Rogers dan Andy Love serta penyanyi Malaysia yang mencipta nama di luar negara, Che’nelle,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails