BIARPUN mula bergelumang dalam industri hiburan tanah sejak usia kanak-kanak, bintang naib juara, One In A Million (OIAM) musim kedua, Shila Amzah masih lagi kurang menyinar.
Mungkin ramai yang bersetuju bahawa anak dara kepada penyanyi yang popular pada dekad 1980-an, N.D. Lala itu mempunyai pakej yang lengkap untuk menjadi penyanyi tersohor suatu hari nanti.
Bagaimanapun, setelah tiga tahun berlalunya OIAM yang disertainya pada tahun 2008 lalu, nama Shila masih lagi tenggelam timbul di persada seni tanah air.
Mungkin nasib gadis berusia 21 tahun itu masih belum berpihak kepadanya untuk dilimpahi dengan populariti seperti Mawi, Jacqlyn Victor dan Aizat yang pernah melalui era kegemilangan setelah menyertai rancangan realiti sepertinya.
Menyedari mungkin ada sesuatu yang menghalang aura anak kelahiran Kuala Lumpur ini dari terus menyinar, Hits tidak melepaskan peluang untuk mengutarakan perihal berkenaan kepadanya ketika sesi fotografi yang diadakan pada Ramadan lalu.
Bagaikan sudah menduga perihal berkenaan akan diajukan kepadanya, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah Salleh itu dengan tenang mengakui dia menyedari akan hakikat itu.
Jelasnya, dia sendiri tidak mengetahui apakah sebenarnya yang menjadi penyebab dirinya kurang menyerlah dalam industri hiburan tanah air.
"Shila sendiri tidak tahu apakah sebenarnya yang menjadi penghalang untuk Shila terus memahat nama sebagai seorang penyanyi.
"Mungkin masih ada banyak lagi perkara yang perlu Shila baiki untuk mengejar impian menjadi penyanyi yang hebat," katanya lembut ketika ditemui dirumah yang didiami bersama dengan keluarganya di Hulu Langat, Selangor.
Namun, menyambung bicara, Shila mengakui bahawa dia sebenarnya kehilangan arah dan tidak tahu ke mana hendak dituju dalam mengatur langkah menjadi seorang penyanyi.
Katanya, sebaik merangkul gelaran naib juara OIAM lalu, dia seolah-olah menjadi seperti anak kecil yang kehilangan ibu.
"Selepas keluar dari OIAM, Shila jadi tidak keruan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.
"Malah Shila juga tidak tahu ke mana hala tuju yang perlu diikuti untuk melonjakkan nama sendiri dalam industri.
"Landasan itu sudah ada tetapi Shila yang tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya," akui Shila jujur.
Menyambung bicara petang itu, Shila tidak menolak namanya tidak menonjol sebagai anak seni mungkin berpunca dari sikapnya sendiri.
Menyusun kata, Shila memberitahu, sifat pemalu dan kurang yakin terhadap diri sendiri yang bersarang di dalam dirinya mungkin merupakan salah satu daripada batu penghalang untuk dia terus menyinar.
"Shila sebenarnya seorang yang sangat pemalu dan daripada malu itu timbulnya sifat kurang yakin dalam diri.
"Selalu Shila terfikir adakah Shila mampu untuk melakukan sesuatu khususnya yang berkaitan dengan kerjaya Shila," luah Shila sambil bibirnya terus mengukir senyuman.
Pastinya kita mula tertanya-tanya apakah N.D. Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh yang pernah menjulang trofi juara kategori Irama Malaysia dalam Anugerah Juara Lagu pada tahun 1996 dan 1997 lalu tidak memberikan panduan kepada anaknya itu, pantas Shila menafikannya.
Jelas Shila, ayah kesayangannya itu adalah orang yang banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar untuknya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni.
"Ayah banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar untuk Shila dalam mengharungi kehidupan sebagai anak seni dan ayah juga banyak memberikan sokongan untuk Shila terus memburu impian.
"Namun apabila berkaitan dengan soal kerjaya, ayah mahu Shila berdirikari dan terus berusaha dalam menentukan masa depan sendiri.
"Tetapi sekiranya ada kesilapan yang dilakukan ayah pasti akan menegur Shila agar tidak mengulangi kesilapan sama di kemudian hari," ujar Shila.
Bagaimanapun, bicara anak sulung daripada empat beradik itu lagi, dia sering mengingati dan berpegang pada kata ayah-ayahnya.
"Ayah selalu berpesan agar Shila jangan selalu gelojoh dan pandai membawa diri.
"Lagipun menjadi anak N.D. Lala bukannya senang kerana ke mana sahaja Shila pergi sudah tentu banyak mata yang memandang.
"Tetapi walau apa pun Shila bersyukur kerana ayah, ibu dan adik-adik memahami dan sentiasa menyokong Shila," jelasnya.
