Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Semuanya angkara boling~Shila


PERKENALAN mereka bukannya berlaku semalam. Malah, Sheila Amzah dan Fizo Omar sebenarnya sudah menjadi kawan rapat melebihi jangkamasa setahun. Namun, entah salah faham apa yang timbul,, mereka berdua kini dikatakan sedang hangat bercinta.

Apa salahnya jika berita itu benar kerana masing-masing masih bujang. Tapi Sheila yang ditemui pada sidang media Parti HIP TV terbitan TV9 menyangkal sekeras-kerasnya khabar angin itu. Penyanyi berusia 20 tahun itu juga tidak tahu bagaimana isu berkenaan timbul.

"Kami sudah berkawan rapat lebih setahun lebih tapi mungkin orang tidak perasaan. Rasanya gosip itu mula timbul semasa saya, Fizo dan Kamal Adli menganjurkan perlawanan boling bersama peminat kami di Flamingo, Ampang. Ketika itu, mereka sedar bahawa saya dan Fizo sebenarnya amat rapat," jelas Sheila.

Rapat dalam terma Sheila tidak membawa maksud bercinta. Padanya, keakraban mereka masih belum sesuai diklasifikasikan sebagai pasangan kekasih. Lagipun bagi Sheila, dia tidak ada perasaan sayang terhadap Fizo.

"Hubungan rapat kami berdua amat pelik sebenarnya. Kami selalu bergaduh dan suka membuli semasa sendiri. Mungkin ramai yang pelik bagaimana seorang penyanyi dan pelakon boleh berkawan rapat. Diakui pada mulanya saya memang tidak menyukai dia kerana berpendapat dia seorang yang poyo (berlagak).

"Namun, semasa berkenalan pada tahun lalu, saya mendapati dia seorang yang menyeronokkan, mengambil berat dan tidak akan menyentuh perkara sensitif. Dia juga tidak poyo seperti yang disangka serta mempunyai mentaliti 'gila-gila' seperti saya," sambung Sheila.

Selain berkongsi persamaan dari segi pemikiran, mereka berdua juga mempunyai minat yang sama iaitu memasak. Minat itu membuatkan mereka berdua sentiasa bertanding memasak sehinggakan terdetik cadangan untuk membuka restoran bersama.

"Fizo pandai memasak makanan Thailand dan saya pula lebih mahir makanan Melayu serta Barat. Skil memasak Fizo setaraf dengan tukang masak di restoran. Malah kami pernah terfikir untuk membuka restoran bersama. Cuma masa tidak begitu mengizinkan kerana masing-masing sibuk dengan perjalanan karier seni."

Memanggil Fizo dengan gelaran Casper, Sheila memberitahu dia ada kalanya berjumpa dengan kawannya itu sebanyak lima kali seminggu. Selain melawat rumah masing-masing, mereka juga sering keluar makan dan menonton wayang atau berkaraoke. Namun, pertemuan mereka selalunya disertai ibu mereka.

"Ibu Fizo merupakan ibu tunggal. Jadi saya dan ibu selalu menemaninya. Saya juga sangat rapat dengan adik perempuan Fizo. Maka, selalunya kami akan keluar berempat atau lebih ramai. Fizo juga jenis lelaki yang tidak kisah untuk keluar bersama ibu saya.

"Bukannya seperti sesetengah lelaki yang selalu menyoal mengapa saya perlu keluar bersama ibu saya. Fizo pandai mengambil hati mereka yang berusia. Dia merupakan menantu pilihan ramai," jelas Sheila lagi.

Memandangkan Fizo jenis lelaki pilihan ramai, adakah Sheila pernah terdetik untuk menjadikan Fizo sebagai kekasih hatinya? "Saya akui saya memang menyukai lelaki yang mementingkan keluarga. Bagi saya, kita bukan sahaja berkahwin dengan lelaki itu tetapi juga dengan keluarga mereka.

"Jadi lelaki itu juga perlu menerima keluarga saya kerana perkahwinan itu ikatan sepanjang hayat. Saya sendiri juga menyukai lelaki lebih tua dan kalau boleh tidak kacak. Tapi dengan Fizo, semuanya bergantung kepada jodoh. Jika ada jodoh, nak buat macam mana? Saya reda sahaja.

"Namun, buat masa ini, saya selesa dengannya. Lagipun ibu saya tidak menggalakkan saya bercinta sekarang kerana perjalanan saya masih jauh. Banyak lagi pilihan yang ada dan saya juga mahu elak mencari teman istimewa dari golongan artis."

Memiliki lebih ramai kawan lelaki sejak di bangku sekolah lagi, Sheila juga rapat dengan rakan artis lain seperti Dafi, Bunkface dan Hanafi Estrange. Bukannya antiperempuan, Sheila lebih biasa berkawan dengan lelaki.

"Bukannya saya tidak cuba untuk berkawan dengan wanita. Cuma wanita yang selalu saya jumpa suka menikam saya dari belakang. Jadi ia membuatkan saya sukar untuk rapat dengan wanita. Saya perlu berhati-hati dalam membuat penilaian," katanya yang berkawan baik dengan Stacy.

Gubah lagu

Baru sahaja merakamkan sembilan buah lagu dengan dengan dua penyanyi diva tempatan, Sheila bagaimanapun enggan memberikan keterangan lanjut mengenai album istimewa tersebut yang bakal dipasarkan sekitar Oktober ini.

Selain sibuk dengan rakaman itu, Sheila juga sedang menyediakan diri untuk pusingan separuh akhir World Championship of Performing Arts yang bakal berlangsung pada 6 hingga 10 April nanti.

"Ramai artis yang menyertai pertandingan itu tahun ini. Tapi saya sentiasa berasa yakin tidak kira di mana-mana pertandingan. Cuma banyak masa, tuah itu memainkan peranan penting. Saya akan menggunakan pengalaman semasa menyertai pertandingan Shanghai World Star Quest sebagai rujukan," kata duta terbaru minuman Tinge Spritzer itu.

Turut mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pengiklanan, Sheila bagaimanapun terpaksa menangguhkan perancangan itu kerana sibuk dengan persediaan album terbarunya. Berusaha untuk menggubah lagu sendiri, Sheila mahu bekerjasama dengan penerbit dari Indonesia.

"Selain mencari lagu, saya juga ada menggubah lagu sendiri. Sudah banyak lagu yang saya gubah tetapi saya masih belum berani untuk membiarkan orang ramai mendengarnya. Selepas mendapat nasihat daripada kawan-kawan, saya akan cuba memasukkannya dalam album terbaru saya nanti," tambahnya.

Fesyen vintaj

Menukar imej rambut kerana dikatakan terlalu matang, Sheila kini tampil lebih urban dengan rambut pendeknya. Dicalonkan dalam kategori Artis Melaram untuk Parti HIP TV terbitan TV9 yang bakal disiarkan pada 2 April nanti, Sheila tidak merasakan dirinya suka melaram.

Dia hanya memakai baju mengikut selera hati dan suka melihat blog fesyen untuk dijadikan sebagai contoh. "Saya sukakan baju vintaj. Blog Jezmine Zaidan dan Diana Rikasari dari Indonesia dijadikan teman sejati dalam pemilihan fesyen. Walaupun ada kalanya ia kelihatan pelik kerana berwarna-warni, saya menyukainya.

"Dulu saya sangat menyampah dengan warna merah jambu kerana warna itu menonjolkan sifat kewanitaan. Tapi atas desakan ibu dan melihat fesyen terkini, saya sekarang sudah mula memakai pakaian berwarna merah jambu," ujarnya yang dahulu tidak pandai berfesyen.

Minatnya terhadap fesyen juga telah menjadikan dia seorang yang suka membeli-belah. Katanya, baju yang dimilikinya terlalu banyak sehinggakan dia boleh memakai baju berlainan setiap hari untuk jangkamasa setahun.

"Saya boleh dikategorikan sebagai orang yang kuat membeli-belah terutama sejak mengetahui mengenai kedua-dua blog tersebut. Namun, saya tidak begitu mementingkan jenama asalkan mendapat apa yang dipakai oleh mereka dalam blog. Sekarang saya juga sudah pandai menggunakan pakaian lama dan dipadankan dengan benda-benda baru."
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails