Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Siti Saida. Show all posts
Showing posts with label Siti Saida. Show all posts

Belum rezeki saya’ - Siti Saida

MENERIMA panggilan untuk menunaikan haji pastinya sesuatu yang amat menggembirakan hati. Apatah lagi apabila berpeluang menunaikannya pada usia muda. Namun berbeza buat penyanyi, Siti Norsaida Tarudin apabila jangkaan pemergiannya ke Tanah Suci pada tahun ini terpaksa ditangguhkan kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa di Arab Saudi. Jelas wanita berusia 38 tahun yang mesra dengan panggilan Saida itu, pada bulan Ramadan lalu dia mendapat tawaran mengerjakan haji dan hatinya sudah berbunga pada waktu itu. “Namun, sangat menyedihkan apabila nama saya digugurkan. Maknanya saya tidak dapat menyertai jemaah haji tahun ini gara-gara masalah mahram. Ini kerana saya tidak ditemani oleh mahram selain daripada masih berusia agak muda berbanding pemohon-pemohon lain. “Kebetulan adik-beradik lelaki saya yang lain sudah menunaikan ibadah haji tahun lalu. Jadi mereka tidak dapat membuat permohonan baharu untuk menemani saya," katanya yang sudah melancarkan single terbarunya berjudul Cinta Kayangan. Saida terpaksa menangguhkan pemergiannya kerana tidak mendapat surat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi disebabkan tiada mahram yang akan menemaninya. Tambah kakak kepada penyanyi nombor satu negara itu lagi, dia reda dengan perkara yang berlaku sungguhpun semua persiapan dan kursus menunaikan haji sudah dilaluinya sebelum mendapat tahu berhubung penangguhan tersebut. “Tidak dinafikan perasaan sedih itu ada. Namun saya yakin pasti ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Penangguhan ini juga memberi saya lebih masa untuk menambah lagi persediaan sebelum menjejak kaki ke sana. “Buat waktu ini, saya akan terus membuat permohonan untuk menunaikan haji tahun hadapan. Namun saya masih perlu mendapatkan seorang mahram untuk menemani pemergian saya nanti," jelasnya. Menurutnya, perancangan untuk Aidiladha tahun ini sudah sedikit berubah kerana pada awalnya dia menyangka bakal menunaikan haji dan sudah menyimpan cita-cita untuk melaksanakan ibadah korban di Mekah. “Pada asalnya saya jangka akan menunaikan haji. Jadi sudah merancang untuk melaksanakan ibadah korban di sana tetapi apabila sudah tertangguh, saya cuma beraya di Kuala Lumpur. “Selain saya dan anak-anak, adik beradik yang lain juga ramai berada di sini dan cuti pula tidak terlalu panjang," katanya yang bergelar ibu tunggal sejak 2011. Tatkala disoal berhubung perihal rumah tangga, Saida dengan jujur mengatakan buat waktu ini dia masih belum terfikir untuk kembali berumah tangga kerana mahu memberi fokus kepada anak-anak selain soal karier. “Tipulah jika dikatakan tidak berhasrat untuk kembali bergelar isteri. Tetapi dalam waktu terdekat ini tidak rasanya kerana saya cukup bahagia dengan kehidupan yang dilalui kini," ujarnya.

Saida Terkejut Dipilih Mengerjakan Haji

Penyanyi Siti Norsaida Tarudin mengakui terkejut apabila terpilih untuk mengerjakan ibadah Haji di Mekah pada tahun ini selepas tujuh tahun mendaftarkan nama dengan pihak Tabung Haji (TH). Siti Norsaida atau lebih mesra dipanggil Saida, 38, tidak menyangka mendapat tawaran tersebut ketika dia melakukan perubahan imej iaitu dengan memakai tudung pada bulan Ramadan lalu. "Alhamdulillah tiada kata lain yang dapat saya luahkan apabila mendapat surat untuk mengerjakan Haji pada tahun ini. Sudah tentu saya terkejut dengan berita tersebut kerana doa saya untuk mengerjakan Haji telah dimakbulkan Allah. "Saya bersyukur kerana berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu pada usia yang muda dan berharap pemergian saya nanti akan dipermudahkan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Saida memberitahu dia dijadualkan berlepas ke kota suci Mekah pada September depan dan masih menantikan jadual penerbangan oleh pihak TH. "Insya-Allah jika tiada aral melintang saya akan berangkat ke Mekah pada September depan dan hanya akan dapat jadual penerbangannya pada 24 Ogos ini. "Saya cukup berasa rendah diri dan teruja kerana ini adalah kali pertama saya dapat menjejakkan kaki ke Mekah untuk menunaikan umrah dan Haji serentak,” katanya. Dalam perkembangan sama, Saida berkata, dia telah memohon kepada pihak Tabung Haji untuk membawa anak sulungnya iaitu Siti Nurunnyssa, 17, sebagai peneman dan masih menantikan jawapan itu dari pihak TH. Sebagai persiapan, kakak kepada Datuk Siti Nurhaliza ini, dia turut menghadiri kursus Haji selain mempelajari hal-hal berkaitan agama agar lebih bersedia menunaikan Rukun Islam itu. Dalam perkembangan lain, Saida memberitahu sejak memakai tudung, hatinya menjadi lebih tenang dan selesa dengan penampilan baharu itu. Dia juga tidak mempunyai sebarang sebab membuat keputusan bertudung sebaliknya terbuka hati ingin berubah menjadi insan lebih sempurna. "Saya langsung tidak merancang untuk memakai tudung tetapi perasaan itu tiba-tiba hadir dengan sendiri pada hari ke-16 Ramadan. Alhamdulillah perubahan ini dilakukan atas kesedaran ingin menjadi insan lebih baik," ujarnya. Mengulas mengenai perkembangan terbaharu Saida berkata, dia masih aktif sebagai penyanyi dan sibuk menghadiri pelbagai majlis hiburan.

Saida Sudah Bertudung

Sempena keberkatan bulan Ramadan ini, penyanyi yang juga kakak kepada Dato' Siti Nurhaliza, Saida telah mula mengenakan hijab atau bertudung. Perkara ini disahkan sendiri oleh kakak ipar Saida yang juga pengurus Siti Nurhaliza, Rozi menerusi akaun Instagramnya. "Masuk opis hari ni, terpercik cahaya dari bilik sebelah..ingatkan ada lentera timur..rupanya lentera Kuala Lipis. Cahayanya terpantul membelah dinding..hehe. Penghijrahan 16 Ramadhan yg manis. @saidatarudin," tulisnya sambil memuat naik foto Saida yang ayu mengenakan tudung. sumber : media hiburan

Dikenali tapi sukar cipta nama - Siti Saida

SEBELUM bergelar penyanyi, nama Siti Norsaida Tarudin, 36, sudahpun dikenali dalam dunia hiburan tempatan sebagai kakak kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza. Malah namanya terus menjadi sebutan apabila terpilih sebagai peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6). Biarpun tidak berjaya muncul sebagai juara namun kehadiran Saida dalam bidang seni terus mendapat liputan. Ditambah pula dengan kes perceraiannya dengan bekas suami Mohd. Ghazali Yahya Fikri pada 7 Oktober 2011 yang dinikahi pada 14 Disember 1996. Sebagai anak seni, Saida berharap namanya bakal menjulang seperti rakan artis lain bagi membuktikan yang dia juga berbakat. Melihat carta perkembangan seni Saida setakat ini, namanya masih belum berdiri seiring dengan rakan AF yang semusim dengannya. “Saya tidak kesal walaupun belum berjaya mencapai populariti seperti rakan lain tapi saya bersyukur kerana nama dikenali dalam bidang seni. “Biarpun nama saya biasa-biasa sahaja dalam bidang seni tapi Alhamdulillah kerana setakat ini saya sentiasa mendapat tawaran mengadakan persembahan. Kata orang, rezeki itu masih ada," katanya terus terang. Malah ibu kepada Siti Nuruunnyssa, 15, Anas, 13, Khalid, 9, dan Siti Nurul Mashitah, 6, mengakui yang dia tidak akan berputus asa kerana yakin tuahnya akan datang juga. Sebagai buah tangan pertama dalam bidang seni suara, Saida pernah tampil dengan album Apresiasi, gandingannya bersama adiknya, Sairah yang dihasilkan pada tahun 2010. “Album Apresiasi merupakan satu pengalaman untuk saya. Selepas album itu dilancarkan, saya tahu sekarang ini peminat mahukan kelainan. “Jadi untuk penampilan akan datang, saya pasti akan cari kelainan dari segi lagu bagi memastikan kehadiran saya diterima," katanya bersungguh. Tambah Saida, dalam mencari perubahan itu dia telah temui pasangan serasi iaitu komposer Mohd. Atlas yang mencipta lagu Cinta Kayangan untuknya. Katanya, dia amat teruja kerana diberi kesempatan oleh komposer berkenaan untuk merakam lagu tersebut bagi dimuatkan dalam album terbitan Global Records. “Single terbaru saya, Cinta Kayangan telah pun disiarkan di radio. Lagu itu dimuatkan dalam album yang turut menampilkan artis lain seperti Ayu One In A Million (OIAM) dan Isma (AF7). “Lagu berentak balada itu tidak ada kena mengena dengan diri saya. Waktu dapat lagu itu, semuanya sudah siap dan saya rakam lagu itu sebelum bulan puasa lepas," jelasnya. Tolak tawaran berlakon SEJAK berlakon teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an pada 2011, Saida akui dia mendapat banyak tawaran berlakon. Namun kebanyakan tawaran tersebut terpaksa ditolak kerana dia lebih mengutamakan keluarga. “Memang sekarang ini saya terlibat sepenuh masa dalam bidang seni suara biarpun masih lagi bekerja sebagai Pengurus Kewangan di Siti Nurhaliza Productions (SNP). “Saya bersyukur kerana aktiviti seni banyak berlaku pada hujung minggu, jadi ia tidak menganggu kerja-kerja di pejabat. Disebabkan terikat dengan kerja pejabat, saya terpaksa tolak tawaran berlakon," katanya terus terang. Selain itu, sebab lain mendorong Saida menolak tawaran berlakon adalah kerana anak-anak yang memerlukan bimbingannya. Kata Saida, keinginan untuk berlakon tidak pernah padam tapi bila mengenangkan anak-anak, impian itu dipendam. “Tunggulah bila sudah bersedia barulah saya fikir untuk berlakon lagi. Bukan apa, anak-anak ini manja sangat. Lagipun saya perlu ambil dan hantar mereka ke sekolah. “Kalau ada rezeki tak ke mana. Setakat ini saya lebih senang memberi perhatian pada keluarga. Bila anak-anak sudah pandai urus diri sendiri, barulah saya fikir kembali untuk berlakon atau tidak," katanya tanpa berselindung.

Bayar RM1,000 untuk bercerai - Siti Saida


KUALA LUMPUR - Hasrat penyanyi Siti Nursaida Tarudin untuk bercerai termakbul apabila suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Fikri bersetuju menerima RM1,000 daripada kakak penyanyi tersohor Siti Nurhaliza itu sebagai bayaran tebus talak (khuluk) dengan talak satu.

Jumlah itu diterima dengan rela hati oleh Mohd. Ghazali 40, selepas penyelesaian yang dicari dalam tiga majlis hakam sebelum ini sejak setahun lalu tidak membuahkan hasil kerana Saida, 35, wanita yang dikahwini selama 15 tahun berkeras untuk berpisah.

Kecewa dengan tindakan Saida yang juga plaintif, Mohd. Ghazali selaku defendan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya, sebaliknya menyerahkan kepada wakil hakam iaitu pegawai mahkamah untuk berbuat demikian.

Anggota badan hakam bagi pihak Mohd. Ghazali kemudian melafazkan cerai talak satu terhadap Saida, manakala wakil wanita tersebut selepas itu dilihat menyerahkan wang tunai RM1,000 kepada Mohd. Ghazali.

Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun enggan menerima wang tersebut, sebaliknya menyerahkan wang berkenaan kepada mahkamah.

Terdahulu, Hakim Mohd. Suhaily Rosdi di Mahkamah Rendah Syariah di sini meminta kedua-dua pihak bersalaman dan bermaaf-maafan, namun bekas jurutera kaji bumi itu memberitahu ia tidak perlu.

Saida bagaimanapun terus pergi ke arah suaminya yang berdiri di hujung meja dan menghulurkan tangan, namun tidak disambut, sebaliknya defendan berkata: "Sampai hati awak buat macam tu kepada saya."

Saida yang dilihat kekok dengan situasi tersebut hanya mendiamkan diri tetapi Mohd. Ghazali ditegur hakim supaya tidak bercakap.

Sementara itu, proses cerai beberapa kali terganggu disebabkan kedegilan Mohd. Ghazali yang mahukan Saida tidak membuat tuntutan terhadap harta dan anak-anak kerana mendakwa perceraian tersebut berlaku disebabkan kecurangan wanita tersebut.

Lantaran itu, hakim menasihatkan defendan supaya memfailkan permohonan lain sekiranya tidak berpuas hati dan rasa teraniaya kerana masing-masing berhak mendapat keadilan.

Saida Sudi Terima Suami Beraya Dengan Anak


PETALING JAYA: Penyanyi Saida yang tinggal berasingan dengan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri tidak menolak sekiranya suami meminta untuk beraya dengan anak-anaknya pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Mereka sedang melalui proses penceraian setelah Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik pada 6 Oktober tahun lalu.

“Saya beraya dengan empat orang anak saya di rumah ibu saya di Kuala Lipis, Pahang pada Hari Raya ini. Tetapi saya masih membenarkan sekiranya suami mahu beraya dengan anak-anak,” katanya kepada mStar Online.

Seperti biasa, Saida berkata dia meraikan Hari Raya secara sederhana dan perasaan sedih pasti menyelubungi dirinya apabila pertama kali beraya sendirian tanpa suami.

“Sudah tentu saya rasa raya tahun ini memberikan kelainan apabila beraya secara berasingan dengan suami berbanding sebelum ini.

“Tetapi saya tidak akan menunjuk perasaan sedih itu kepada anak-anak dan cuba menggembirakan mereka,” katanya yang berpakat membelikan baju raya untuk anak-anak dengan suami.

Selain beraya dengan ibu dan adik-beradiknya yang lain, dia juga teruja menyambut Hari Raya dengan nenek sebelah ibunya yang sudah berusia hampir 90 tahun.

Saida, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.

Saida Tolak Pelawaan Suami Tunaikan Umrah


KUALA LUMPUR: Penyanyi Saida menolak pelawaan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri untuk melakukan umrah bersama selain masih bertekad dengan keputusannya untuk bercerai.

"Saya minta maaf, bukan mahu melengahkan. Saya tidak dapat menerima pelawaan suami untuk mengerjakan umrah bersama," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.

Dia juga memberitahu bahawa masih berniat untuk meneruskan permohonan perceraian secara baik yang difailkannya dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan.

Permohonan itu difailkan pada 6 Oktober 2010.

Peguam syarie Ahmad Nazib Johari juga memaklumkan mahkamah bahawa hakam yang dilantik untuk mencari jalan penyelesaian dalam masalah rumah tangga penyanyi tersebut menemui jalan buntu.

Prosiding pada Rabu, berjalan tanpa kehadiran Mohd Ghazali seorang ahli perniagaan yang pernah bergelar jurutera kaji bumi yang dikatakan masih bersedih dengan kematian ibunya pada 4 Jun lalu.

Perkara itu dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguam syarienya, Amli Embong.

“Saya masih menunggu surat kematian daripada anak guam. Saya ada menasihatkan Mohd Ghazali untuk hadir, namun dia masih dalam keadaan tidak stabil berikutan fikiran terganggu," katanya.

Amli seterusnya memberitahu yang dia mendapat arahan daripada Mohd Ghazali, 40, agar diberi peluang untuk mengerjakan umrah bersama Saida, 35.

“Sebelum ini anak guam saya cuba dapatkan persetujuan plaintif, bagaimanapun gagal selepas dimaklumkan Saida terbabit dengan aktiviti teater yang berakhir pada 6 Jun lalu.

"Mengerjakan umrah ini adalah cubaan anak guam untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. Defendan masih mahu teruskan hasrat itu. Oleh itu mohon tetapkan tarikh sebutan lain,” katanya.

Selepas mendengar permohonan tersebut, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi memerintahkan kedua-dua pihak bertemu dengan hakam yang dilantik oleh mahkamah dalam tempoh dua minggu bermula Rabu.

Beliau juga menetapkan laporan hakam tersebut dikemukakan di mahkamah pada 20 Julai depan.

Mohd Suhaily juga menggalakkan anak-anak pasangan tersebut untuk hadir ke mahkamah bagi menyaksikan apa yang sedang berlaku kepada ibu bapa mereka.

Pada prosiding itu, Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza hadir dengan ditemani oleh kakak iparnya, Rozie Abdul Razak.

Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.

Suami Terbaca SMS 'Sayang' Pada Telefon Saida


KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi, Saida mendakwa isterinya sedang 'angau' dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan rumah tangga mereka yang dibina sejak 15 tahun lalu terabai.

Mohd Ghazali Yahya Zikri seterusnya mendakwa, dia pernah berjumpa Saida dengan lelaki tersebut yang bernama Hafiz Che Mat berada di dalam sebuah kereta di Balakong, dekat sini.

"Saya telah tanya pada lelaki itu jika dia tahu Saida adalah isteri saya? Waktu itu, Saida menjawab lelaki itu mahu memulangkan telefon bimbit miliknya.

"Saya rampas telefon bimbit tersebut dan jumpa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi perkataan seperti sayang, rindu dan sebagainya," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.

Lelaki tersebut kemudiannya memberitahu bahawa dia mempunyai bukti iaitu bil telefon menunjukkan Saida yang juga kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza menghabiskan masa berjam-jam untuk berbual dengan lelaki itu.

Mohd Ghazali seterusnya mendakwa, dia menganggap anasir luar itulah yang menyebabkan Saida mahu bercerai dan keluar daripada rumah kelamin mereka yang terletak di Alam Damai, Cheras, kira-kira sebulan lalu.

Pada prosiding itu, Saida atau nama sebenarnya, Siti Norsaida Tarudin mengakui mengenai kejadian dalam kereta yang didakwa suaminya itu, tetapi menambah hubungan dia dengan lelaki berkenaan sekadar rakan sekerja.

Pada masa itu, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi berkata: "Industri kerja seperti kamu memang akan berjumpa ramai orang. Tetapi tidak perlulah saya bercakap banyak kerana semua orang tahu tentang hukum hakam".

Mohd Ghazali kemudiannya berdiri dan menambah, dia boleh memahami sekiranya Saida perlu berjumpa ramai orang, tetapi tidak perlu sampai ke tahap untuk memanggil sayang dan mendesak untuk bercerai.

"Bila saya siasat dia tidak mahu mengaku. Tapi bila saya sudah jumpa gambar-gambar dan SMS ada sayang, itu bukan rakan biasa.

"Saya sangat sedih, kecewa dengan isteri saya. Dahulu, dia seorang yang sangat lemah-lembut dan sekarang lupa tanggung jawab.

"Saya harap hakim boleh beri nasihat. Apa salah saya sehingga dia buat begini? Saya kasihankan anak-anak. Mereka sampai tidak pergi ke sekolah. Dulu dia tidak begini," tambahnya.

Selain itu, Mohd Ghazali juga memberitahu, dia tidak melihat masalah besar dalam perkahwinan mereka yang boleh membawa kepada perceraian, sebaliknya hanya masalah-masalah kecil.

Saida pula memberitahu, dia telah meminta cerai sejak tahun 2008 kerana tidak boleh menerima suaminya ekoran tiada persefahaman.

Selepas mendengar keterangan-keterangan yang dinyatakan oleh Mohd Ghazali dan Saida, Mohd Suhaily memutuskan untuk memberi peluang terakhir kepada pasangan tersebut untuk mencari penyelesaian dalam masalah yang dihadapi.

Beliau juga menasihatkan mereka untuk mengerjakan umrah seperti yang dicadangkan oleh Mohd Ghazali yang berhasrat mahu membawa isterinya itu ke Tanah Suci.

Saida yang pernah menyertai rancangan realiti, Akademi Fantasia bersetuju dengan cadangan itu namun memberitahu akan membawa ahli keluarganya bersama.

Pada prosiding sama, Mohd Suhaily memutuskan bahawa wakil hakam pasangan tersebut telah gagal untuk mencapai matlamat bagi menyelesaikan masalah perkahwinan mereka dan memutuskan agar diadakan semula perbincangan.

Sekiranya masih gagal, Mohd Suhaily menetapkan agar pasangan itu dibawa bertemu dengan wakil hakam yang akan dilantik oleh mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 15 Jun depan.

Berdasarkan rekod, Mohd Ghazali melantik bapa saudaranya, Shihabudin Alang Mat Piah sebagai wakil hakamnya manakala Saida diwakili oleh seorang rakan, Norhisham Rahmat.

Prosiding di mahkamah bermula selepas Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik atas alasan mereka sudah tidak mempunyai persefahaman dan telah mengalami masalah yang tidak dapat didamaikan.

Saida, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.

Mohd Ghazali diwakili oleh peguam syarie Amli Embong sementara peguam Ahmad Nazib Johari mewakili Saida.

Soal rujuk, tak mahu komen – Saida


TIDAK ada mana-mana pasangan yang berkahwin dalam dunia ini menginginkan perpisahan, apatah lagi bila usia perkahwinan sudah menjangkau usia belasan tahun.

Namun bagi penyanyi manis yang juga kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Siti Norsaida atau Saida, 35, dia sudah nekad mahu bercerai dengan Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 40, yang telah menjadi suaminya suaminya selama 15 tahun itu.

Namun, tidakkah Saida ingin menjernihkan semula keadaan dengan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan suaminya kerana khabarnya mereka masih tinggal sebumbung?

Malah, spekulasi bertebaran mengatakan Saida dan suami berkemungkinan rujuk kembali.

Sebelum ini, Mohd. Ghazali telah membuat kenyataan akhbar yang mendakwa dia dan Saida pernah cuba berbincang untuk menyelamatkan rumah tangga mereka itu, tetapi gagal kerana ketika itu masing-masing berada dalam keadaan marah dan emosi.

Dia juga menegaskan sudah cuba berbaik dengan Saida tetapi Saida tetap menyalahkan dirinya.

Dakwa Mohd. Ghazali lagi, pelbagai usaha telah dilakukannya untuk menyelamatkan rumah tangga mereka itu termasuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Namun katanya lagi, hanya dia sahaja yang berusaha ke arah itu, sedangkan Saida tetap keras hati enggan berdamai.

Sehungan itu, semasa bertemu dengan bekas peserta Akademi Fantasia 6 itu di majlis sidang akhbar teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an di Restoran Istana Bambu, Ampang, Selangor Khamis lalu, Saida sempat menjawab beberapa persoalan berhubung masalah yang melanda rumah tangganya.

Kosmo!: Bagaimana situasi rumah tangga Saida setakat ini?

Saida: Memang sudah tidak boleh hendak diselamatkan lagi. Jika lihat pada keadaan sebenar, itulah yang berlaku. Saya sedih dengan apa yang berlaku dan saya percaya setiap pasangan seboleh-bolehnya tidak mahu ini (cerai) berlaku dalam perkahwinan mereka.

Apa sebenarnya punca keretakan rumah tangga Saida?

Biarlah hanya saya dengan suami sahaja yang tahu apa masalah kami. Saya tidak mahu cakap atau komen secara berlebihan.

Mungkinkah disebabkan tempias populariti yang dikecapi oleh Saida?

Populariti bukan punca kepada masalah rumah tangga saya. Kebanyakan orang akan bercakap dalam industri hiburan itulah yang akan berlaku. Orang akan tetap bercakap dan tidak akan menutup mulut. Saya rasa semua orang yang telah berumah tangga akan mengalami masalah. Cuma apa yang penting, dalam setiap pasangan ada persefahaman.

Bagaimana pula dengan kehadiran pihak ketiga?

Tidak wujud orang ketiga antara kami. Baik di pihak dia mahu pun saya. Susah untuk saya komen lebih-lebih.

Betul ke masih tinggal serumah dengan suami? Bagaimana dengan anak-anak?

Ya, kami masih duduk sebumbung dan buat masa ini masih dalam perancangan untuk memberitahu anak-anak apa yang berlaku. Anak-anak pun seakan-akan mengerti dengan perubahan kami.

Mungkinkah akan rujuk semula?

Saya tidak mahu komen, nanti panjang cerita pula. Saya mahu cerai secara baik dan apa juga keadaan selepas ini, saya terima seadanya. Mengenai rujuk, saya tidak mahu kata apa-apa.

Bagaimana dengan jodoh selepas cerai?

Orang kata masa kita berpisah mungkin akan pelajari sesuatu dan kita sendiri tidak tahu. Buat masa ini, terserah dengan apa yang akan terjadi. Sebab itu orang

Ada harapn tidak bercerai - Saida

PEMILIK wajah ayu ini, pada luarannya bagaikan sukar menterjemahkan apa yang berlaku tetapi sekurang-kurangnya dia masih mampu melemparkan senyuman manis. Malah wanita berusia 34 tahun itu sendiri bingung bagaimana mahu memulakan bicara pada pertemuan tengah hari Khamis lalu.

Kata Saida dalam nada serba salah, dia tidak sanggup melukai hati atau memburukkan mana-mana pihak terutama suami tersayang dan keluarga mentua serta keluarganya.

“Saya malas lagi hendak bercakap pasal cerita peribadi diri apatah lagi isu rumah tangga, nanti macam-macam syak wasangka.

“Memang ada yang nak tahu dan ada juga tidak suka kerana hal peribadi tidak elok diperbesarkan.

“Namun kepada semua masyarakat, saya mohon maaf atas apa yang terjadi. Hanya saya, suami dan Allah S.W.T sahaja yang mengetahui apa berlaku terhadap rumah tangga kami,” katanya mengatur ayat perlahan-lahan ketika membuka bicara.

Pada 6 Oktober lalu, Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 40, di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Pada 26 Oktober pula, kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Suhaily Rosdi.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 20 Disember ini.

Saida dan suami bernikah pada 14 Disember 1996 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, 13; Anas, 11; Khalid, 7; dan Siti Nurul Mashitah, 4.

Masih sayang suami

Dalam berdepan kemelut itu, mahu atau tidak, Saida terpaksa meletakkan soal hati dan perasaannya di satu sudut yang lain.

Banyak hati dan perasan insan lain yang perlu diutamakan dan dijaga. Biarpun mengakui terlanjur bertindak sendiri menfailkan penceraian itu, jauh di dasar hatinya tidak seinci pun hilang kasih sayang kepada suaminya itu.

“Kalau kata tak ada perasaan kasih dan sayang lagi, itu tidak betul. Saya dah kahwin hampir 14 tahun. Saya masih sayangkan dia.

“Saya percaya pada hikmah apabila diberi tempoh dua bulan oleh mahkamah untuk duduk berbincang dengan suami menyelesaikan apa jua masalah yang timbul.

“Namun tidak perlulah menjelaskan bila dan apa punca yang menyebabkan berlaku kemelut yang tidak terduga ini.

“Apa yang pasti, ia tidak ada kena-mengena dengan kehadiran orang ketiga atau pengaruh populariti sejak saya menjadi artis,” jelasnya yang dilihat semakin yakin untuk menjawab soalan yang bertubi-tubi.

Saida memberitahu, walaupun isu rumahtangganya sudah melibatkan mahkamah, pada hakikat hubungannya bersama suami dan anak-anak di rumah masih berjalan seperti biasa.

“Saya dan suami masih solat jemaah bersama, makan malam bersama dan jauh sekali hendak bermasam muka atau tidak bertegur sapa di rumah,” kata bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) berterus-terang.

Namun keadaan tiba-tiba menjadi sepi apabila ditanya tentang sikap dirinya yang gemar menyimpan perasan di dalam hati. Apa tidaknya, tindakannya yang membawa isu rumah tangga itu langsung tidak disedari suami dan ahli keluarga lain.

“Saya bukan manusia sempurna, kadang-kadang suka mengikut kata hati,” katanya sepantas kilat memohon ditanya soalan yang lain pula.

Diminta menjawab apa harapannya kepada keputusan sebutan semula kes itu, sambil tersenyum manis katanya, sudah pasti sesuatu yang positif dinantikan.

Kesan kepada anak-anak

Suasana sunyi pantas berubah kala bicara kami beralih kepada soal anak-anak. Katanya dengan ceria, empat permata hatinya itu menjadi sumber kekuatan untuk menghadapi masalah yang berlaku sekarang.

Jelas Saida yang muncul dengan album pertama berjudul Apresiasi bersama adiknya, Siti Sairah pada Mac lalu, apa jua yang terjadi, perasaan anak-anak menjadi keutamaannya dan suami.

“Saya bercakap dengan anak-anak terutama yang sulung, bertanya dengan meminta pendapatnya. Saya minta dia tabah dan memujuknya walaupun pada mulanya dia nampak sedih. Sekarang keadaan kembali seperti biasa,” katanya memberitahu tidak berniat menghilangkan diri sewaktu timbul gosip panas rumahtangganya itu.

Pengurus Kewangan di Siti Nurhaliza Productions (SNP) ini percaya sinar harapan masih ada sementelah dia dan suami sudah menghadiri sesi kaunseling dalam usaha memperbaiki kekurangan diri masing-masing.

“Malah sambutan Hari Raya Haji dan cuti persekolahan panjang tidak lama lagi akan digunakan sebaik-baik kami untuk pergi bercuti bersama satu keluarga.

“Sebenarnya masih ada lagi sinar dan saya berharap peminat mendoakan kebahagiaan rumahtangga saya dan suami kembali pulih seperti biasa,” katanya penuh mengharap.

Doakan kami yang terbaik! - Saida


SEPATAH kata daripada pendeta lama, pertalian suami dan isteri tidak ubah seperti perjalanan sang semut hitam yang meniti batu hitam yang licin di tengah malam yang amat kelam. Ia seolah-olah memberi gambaran betapa mudahnya ikatan yang hanya berpaksikan akad itu tergelincir daripada laluan sepatutnya.

Apa yang berlaku kepada rumah tangga Siti Norsaida Taruddin, kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ketika ini boleh disamakan dengan analogi semut hitam tersebut. Tersasar seketika, hanya usaha dan doa mampu mengembalikan kebahagiaan.

Jika Saida bukan bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam, jika Saida bukan juga penyanyi yang sedang ingin menggilap nama, jika Saida bukan juga ibu kepada empat cahaya mata yang masih kecil, Siti Nurunnyssa (13), Anas (11), Khalid (7) dan Siti Nurul Marshitah (4) dan jika Saida juga bukan kakak kepada Siti Nurhaliza, gelora rumah tangganya pasti tidak mendapat liputan hangat.

Biarpun agak kejam untuk diterima oleh anak-anak dan keluarga, gejolak keretakan dan sejauh mana kebenaran wujudnya orang ketiga dalam jodoh Saida, 34, dan Ghazali, 40, tidak sudah-sudah diperkatakan orang. Sejak dua minggu lalu, ketika timbulnya khabar angin tentang keberantakan hubungan mereka sehinggalah kes difailkan seterusnya menerima penangguhan daripada Mahkamah Syariah, Selasa lalu, Saida dan Ghazali masing-masing mengambil tindakan untuk mengunci mulut. Mereka tidak memberikan sebarang respons kepada media. Mujurlah ada kakak ipar Saida, Rozie Abdul Rashid yang menjadi orang perantaraan untuk bertanya khabar.

Selepas dipujuk-pujuk dengan bantuan Rozie sekali lagi, Saida berlembut hati untuk bercerita biarpun tanpa bersuara. Tiga hari lepas, Saida melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) akhirnya buat pertama kali memberi kenyataan tentang kemelut rumahtangga yang sedang dihadapi.

"Saya harap pihak wartawan tidak berkecil hati dengan tindakan saya sebelum ini. Saya bukan melarikan diri atau tidak mahu menjawab segala pertanyaan media. Ada sebab kenapa saya harus bertindak begitu, terlalu banyak hati yang harus dijaga walaupun memang saya agak kurang senang dengan cerita dan spekulasi yang cuba dilemparkan," luah Saida menerusi SMS.

Tanpa menyatakan sebab musabab sehingga tuntutan penceraian nekad difailkan, Saida sekadar menjelaskan apa yang telah diketahui umum.

"Kes fail tuntutan cerai buat masa ini diberikan penangguhan dan saya harap, jangan ada cerita-cerita yang tidak benar dikeluarkan kerana sedikit sebanyak ia akan mengganggu kehidupan kami. Hormatilah keluarga saya, keluarga suami saya dan juga anak-anak saya. Berikan kami masa dan ruang. Saya harap perkara ini tidak diperbesar-besarkan. Doakan yang terbaik buat saya dan suami," pohon Saida.

Rabu lalu, Saida serta suami tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ketika kes penceraian mereka disebut. Kes itu ditangguhkan sehingga 20 Disember nanti.

Ditanya terpalitkah faktor populariti dan sejauh mana benarnya spekulasi kehadiran orang ketiga mendatangkan impak kepada kerukunan hubungannya dengan suami, Saida kembali berdiam. Hanya permintaan 'doakan yang terbaik buat Saida dan suami' yang dibalasnya kepada Sensasi Bintang.

Selaku orang tengah dan sebahagian daripada anggota keluarga, Rozie pula menjelaskan: "Saida dan suami masih tinggal sebumbung dan tiada penceraian. Tindakan Saida berdiam itu ada moleknya, daripada banyak bercakap, lebih banyak buruk daripada baiknya.

"Saya tidak boleh komen tentang populariti atau orang ketiga yang dikatakan sebagai punca keretakan, itu hal rumah tangga Saida dan setakat ini juga, karier Saida masih berjalan mengikut perancangan dan dia masih menjalankan kerja-kerja di Siti Nurhaliza Productions (SNP) seperti biasa," ulas Rozie tentang perkembangan terbaru Saida yang muncul dengan duet Apresiasi bersama Saerah.

Saida Fail Cerai Cara Baik


KUALA LUMPUR: Setelah 14 tahun melayari hidup bersama dan dikurniakan empat orang anak, penyanyi Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik daripada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri.

Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza memfailkan permohonan itu pada 6 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan. Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Perekutuan 1984 dan kes disebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd Suhaily Rosdi pada Selasa.

Bagaimanapun, prosiding tersebut hanya dihadiri oleh peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan sebagai wakil kepada bekas peserta Akademi Fantasia Musim Keenam itu manakala Mohd Ghazali tidak diwakili peguam.

Mohd Suhaily menetapkan 20 Disember depan sebagai sebutan semula kes bagi membolehkan pasangan tersebut berbincang bagi mengetahui sekiranya ikatan perkahwinan masih boleh diselamatkan ataupun mereka masih mengekalkan keputusan mahu berpisah.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Saida, 34, dan Mohd Ghazali, 40, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 13, Anas, 11, Khalid, 7, dan Siti Nurul Mashitah, 4 tahun.

Saida atau nama sebenarnnya Siti Norsaida Tarudin mendakwa dia dan suami sudah lama tidak bersefahaman dan sehaluan serta perkahwinan itu telah mengalami masalah yang berpanjangan dan tidak boleh didamaikan lagi.

Dia yang bernaung di bawah syarikat milik Siti Nurhaliza juga yakin bahawa matlamat perkahwinan tidak akan tercapai.

Turut dinyatakan, mereka yang beralamat di Alam Damai, Cheras, di sini juga tidak pernah bercerai sebelum ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails