Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ada harapn tidak bercerai - Saida

PEMILIK wajah ayu ini, pada luarannya bagaikan sukar menterjemahkan apa yang berlaku tetapi sekurang-kurangnya dia masih mampu melemparkan senyuman manis. Malah wanita berusia 34 tahun itu sendiri bingung bagaimana mahu memulakan bicara pada pertemuan tengah hari Khamis lalu.

Kata Saida dalam nada serba salah, dia tidak sanggup melukai hati atau memburukkan mana-mana pihak terutama suami tersayang dan keluarga mentua serta keluarganya.

“Saya malas lagi hendak bercakap pasal cerita peribadi diri apatah lagi isu rumah tangga, nanti macam-macam syak wasangka.

“Memang ada yang nak tahu dan ada juga tidak suka kerana hal peribadi tidak elok diperbesarkan.

“Namun kepada semua masyarakat, saya mohon maaf atas apa yang terjadi. Hanya saya, suami dan Allah S.W.T sahaja yang mengetahui apa berlaku terhadap rumah tangga kami,” katanya mengatur ayat perlahan-lahan ketika membuka bicara.

Pada 6 Oktober lalu, Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 40, di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Pada 26 Oktober pula, kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Suhaily Rosdi.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 20 Disember ini.

Saida dan suami bernikah pada 14 Disember 1996 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, 13; Anas, 11; Khalid, 7; dan Siti Nurul Mashitah, 4.

Masih sayang suami

Dalam berdepan kemelut itu, mahu atau tidak, Saida terpaksa meletakkan soal hati dan perasaannya di satu sudut yang lain.

Banyak hati dan perasan insan lain yang perlu diutamakan dan dijaga. Biarpun mengakui terlanjur bertindak sendiri menfailkan penceraian itu, jauh di dasar hatinya tidak seinci pun hilang kasih sayang kepada suaminya itu.

“Kalau kata tak ada perasaan kasih dan sayang lagi, itu tidak betul. Saya dah kahwin hampir 14 tahun. Saya masih sayangkan dia.

“Saya percaya pada hikmah apabila diberi tempoh dua bulan oleh mahkamah untuk duduk berbincang dengan suami menyelesaikan apa jua masalah yang timbul.

“Namun tidak perlulah menjelaskan bila dan apa punca yang menyebabkan berlaku kemelut yang tidak terduga ini.

“Apa yang pasti, ia tidak ada kena-mengena dengan kehadiran orang ketiga atau pengaruh populariti sejak saya menjadi artis,” jelasnya yang dilihat semakin yakin untuk menjawab soalan yang bertubi-tubi.

Saida memberitahu, walaupun isu rumahtangganya sudah melibatkan mahkamah, pada hakikat hubungannya bersama suami dan anak-anak di rumah masih berjalan seperti biasa.

“Saya dan suami masih solat jemaah bersama, makan malam bersama dan jauh sekali hendak bermasam muka atau tidak bertegur sapa di rumah,” kata bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) berterus-terang.

Namun keadaan tiba-tiba menjadi sepi apabila ditanya tentang sikap dirinya yang gemar menyimpan perasan di dalam hati. Apa tidaknya, tindakannya yang membawa isu rumah tangga itu langsung tidak disedari suami dan ahli keluarga lain.

“Saya bukan manusia sempurna, kadang-kadang suka mengikut kata hati,” katanya sepantas kilat memohon ditanya soalan yang lain pula.

Diminta menjawab apa harapannya kepada keputusan sebutan semula kes itu, sambil tersenyum manis katanya, sudah pasti sesuatu yang positif dinantikan.

Kesan kepada anak-anak

Suasana sunyi pantas berubah kala bicara kami beralih kepada soal anak-anak. Katanya dengan ceria, empat permata hatinya itu menjadi sumber kekuatan untuk menghadapi masalah yang berlaku sekarang.

Jelas Saida yang muncul dengan album pertama berjudul Apresiasi bersama adiknya, Siti Sairah pada Mac lalu, apa jua yang terjadi, perasaan anak-anak menjadi keutamaannya dan suami.

“Saya bercakap dengan anak-anak terutama yang sulung, bertanya dengan meminta pendapatnya. Saya minta dia tabah dan memujuknya walaupun pada mulanya dia nampak sedih. Sekarang keadaan kembali seperti biasa,” katanya memberitahu tidak berniat menghilangkan diri sewaktu timbul gosip panas rumahtangganya itu.

Pengurus Kewangan di Siti Nurhaliza Productions (SNP) ini percaya sinar harapan masih ada sementelah dia dan suami sudah menghadiri sesi kaunseling dalam usaha memperbaiki kekurangan diri masing-masing.

“Malah sambutan Hari Raya Haji dan cuti persekolahan panjang tidak lama lagi akan digunakan sebaik-baik kami untuk pergi bercuti bersama satu keluarga.

“Sebenarnya masih ada lagi sinar dan saya berharap peminat mendoakan kebahagiaan rumahtangga saya dan suami kembali pulih seperti biasa,” katanya penuh mengharap.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails