Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Soo Wincci. Show all posts
Showing posts with label Soo Wincci. Show all posts
Soo Wincci Sedia Terima Padah, Rakam Video Desak PM Letak Jawatan
Penyanyi Soo Wincci sanggup menerima padah termasuklah disenaraihitamkan oleh mana-mana pihak berikutan tindakannya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Desakan itu dibuat menerusi rakaman videonya yang dimuat turun di laman rasmi Facebook miliknya pada 30 Ogos lalu.
Wincci, 29, berkata, sebagai selebriti dia berani bertindak sedemikian kerana mahu menjadi wakil buat rakyat yang menentang pentadbiran perdana menteri dan bersedia sekiranya dilucut taraf kerakyatan.
”Sebelum memuat turun video berkenaan, saya sudah bersiap sedia dengan segala risiko yang bakal diterima.
"Andai kata nama saya disekat di mana-mana saluran media, saya akur dengan perkara itu," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Selasa.
Wincci kini sedang berada di Taiwan atas urusan kerja.
Pada 30 Ogos lalu, Wincci telah memuat naik klip video perhimpunan Bersih 4.0 yang berlangsung pada Sabtu lalu serta luahan rasanya yang terharu melihat sebahagian masyarakat yang turun padang menyertai perhimpunan berkenaan.
Pada masa sama, dia turut mendesak Najib meletak jawatan segera memandangkan sudah lama perdana menteri itu mentadbir negara selain begitu selesa dengan kedudukannya sekarang.
Wincci turut memuat naik video lagu baharunya berjudul This Is The Time yang akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada penghujung tahun ini.
Video tersebut menunjukkan visual-visual perhimpunan Bersih 4.0.
Sementara itu, Wincci berkata, dia tiada niat untuk melukakan hati mana-mana pihak, namun apa yang dilakukannya hak sebagai seorang rakyat.
"Andai kata perjalanan kerjaya saya menjadi sukar di negara sendiri, tidak mengapa. Saya akan terus berusaha dalam cara saya yang tersendiri.
”Apa yang dibuat bukan untuk kesenangan saya, tetapi demi generasi kita pada masa akan datang," tegasnya.
Soo Wincci Sedia Kahwin Selepas Cipta Nama Di Hollywood
Penyanyi Soo Wincci mengakui kini berkawan rapat dengan pelakon Iqram Dinzly dan sering keluar bersama jika mempunyai kelapangan.
Bagaimanapun, Wincci, 28, berkata, dia belum bersedia melangkah ke alam percintaan sebelum impiannya untuk mencipta nama di Hollywood belum tercapai.
"Kami kawan baik dan memang sering keluar bersama jika ada masa terluang kerana rumah dia berhampiran dengan saya tapi saya tidak tahu dia akan datang pada majlis ini untuk buat kejutan.
"Dia juga seorang kawan yang baik dan kami selalu bertukar pendapat tentang sesuatu perkara terutamanya berkaitan dengan industri," katanya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.
Wincci berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gimik lamaran dan pemberian cincin daripada pelakon tersebut pada majlis pelancaran album pertamanya berjudul Su Win Si by Soo Wincci, di M Suit, dekat sini, Jumaat.
Tambah Wincci, dia tidak pernah merancang atau menetapkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang sebelum berjaya dalam kerjayanya.
Sementara itu, album pertama dalam bahasa Melayu ini memuatkan empat buah lagu baharu ciptaan komposer Ajai iaitu Terus Teranglah, Musim Asmara, Jangan Risau, dab Nombor 1.
Wincci berkata, cabaran utama dalam penghasilan album tersebut adalah mengatasi masalah pelat dalam menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Melayu.
"Cabaran utama ialah saya terpaksa mengambil masa panjang untuk proses rakaman kerana ada beberapa lirik dan perkataan yang sukar untuk disebut.
"Oleh itu, Ajai terpaksa menukar lirik ketika itu kepada perkataan yang lebih mudah untuk disebut," ujarnya.
Katanya, penggunaan bahasa Mandarin ketika menetap di Taiwan turut menjejaskan penggunaan bahasa Malaysianya.
Album yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan ini bakal berada di pasaran pada minggu depan.
SOO WINCCI SAMBUT 'BIRTHDAY' IQRAM DINZLY
Sambutan Hari Lahir 'berdua' Iqram Dinzly dan Soo Wincci yang menimbulkan persoalan segelintir pihak mengenai hubungan mereka. Siap beri kek ikan dengan makanan istimewa lagi..!
"Tuhan tu Maha Kaya.. Maha Pemurah.. Lagi Maha segalanya. Kalau kita ikhlas dan redha akan sesuatu ketentuannya, pasti ada balasan yg terbaik darinya. Lepas ni tak mahu main-main dah," ujar Iqram yang kini berusia 32 tahun.
Soo Wincci Dikecam, Dimarahi Peminat Kerana Berpuasa
Tahun lalu penyanyi dan pelakon Soo Wincci berjaya mencabar dirinya berpuasa penuh. Ternyata percubaan tahun pertamanya memberi keseronokan pada bekas ratu cantik Malaysia Dunia 2008/2009 ini lebih-lebih lagi apabila peminatnya terutama dikalangan peminat Melayu bertambah. Malah ramai yang memberikan sokongan moral kepadanya.
Seronok berpuasa dan menghargai sokongan peminat, maka tahun ini dia berpuasa lagi. Bezanya tahun ini Wincci mengaku yang dia benar-benar merasai bagaimana berpuasa yang sebenar-benarnya. Kali ini dia bukan saja menahan lapar tetapi perlu kuat semangat dan banyak sabar kerana tahun ini dia menerima kritikan daripada peminat.
"Sudah tujuh hari saya berpuasa. Tapi tahun ini cabarannya ialah sejak Ramadan pertama lagi, saya dikritik peminat. Tahun pertama, ramai peminat hairan dan tertanya-tanya mengapa saya berpuasa?Tapi tahun ini, ramai yang kritik dan marah di Instagram. Mereka kata, saya ni over (melebih-lebih) pula.
"Pada saya, sebagai rakyat Malaysia dan kita hidup 1Malaysia, saya hanya nak sama-sama merasai apa yang dirasai oleh umat Islam. Malah saya gembira kerana ada peminat berbangsa Cina yang sama-sama berpuasa dengan saya. Pengurus saya pun ikut sama berpuasa. Kalau boleh tiap-tiap tahun saya nak berpuasa.
"Bila kena kritik begini, baru saya rasa, oh ini puasa yang sebenar-benarnya. Bukan saja saya menahan lapar tapi saya perlu kuat dari segi mental. Tapi ramai juga peminat yang terus menyokong saya. Saya berterima kasih pada mereka", dedahnya kepada Malaysian Digest.com ketika ditemui pada majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan majlis pelancaran Program Terbaik Bulan Syawal, 5 Hari 4 Malam TV9 bertempat di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara, malam tadi.
Walaupun berpuasa, jadual seninya masih padat. Wincci memberitahu dia kini dalam sesi latihan tarian tiang untuk persembahannya di satu konsert anjuran sebuah stesen radio. Konsert tersebut akan berlangsung pada 17 Ogos depan di Bukit Jalil.
"Saya hanya ada kurang sebulan untuk berlatih tarian itu. Saya memang berlatih kaw-kaw bulan ini walaupun saya berpuasa. Semalam sewaktu latihan, ada juga saya rasa macam nak pengsan sebab saya terlalu banyak berlatih aksi berpusing. Tapi nak buat macam mana, saya tiada pilihan. Saya kuatkan diri.
"Sebab tu kalau bersahur, saya makan oat dan kurma. Kalau dulu saya tak bersahur sangat. Tapi tahun ni saya bangun sahur untuk pastikan saya cukup tenaga sepanjang hari", tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Wincci akan menumpukan aktiviti seninya beberapa bulan di tanah air sebelum kembali ke Taiwan dan terus merakamkan album keduanya.
Selain itu, buat pertama kalinya lagu raya ciptaannya sendiri berjudul Salam Aidilfitri bakal diputarkan di stesen-stesen radio tidak lama lagi.
Pada hari raya keenam nanti, Wincci akan muncul dalam program realiti yang diadaptasi melalui program Fear Factor berjudul Ada Bran yang akan ditayangkan pada jam 8.30 malam di TV9.
Soo Wincci Tersentuh Dikerumuni 50 Media Taiwan
KUALA LUMPUR: Penyanyi Soo Wincci sebak dan terkejut apabila dikerumuni kira-kira 50 wakil media Taiwan ketika pelancaran album sulungnya di negara itu pada minggu lalu.
Wincci, 28, berkata, sebagai pendatang baharu yang cuba menembusi pasaran muzik negara itu dia tidak menyangka lagu pertaruhannya berjudul Happiness diterima baik oleh peminat di sana.
“Kalau diikutkan saya memang orang baharu yang mencuba nasib di sana (Taiwan). Perjalanan karier di sana pun bermula sejak Oktober tahun lalu tetapi tidak sangka ia mendapat sambutan pula.
“Pengalaman dikerumuni kira-kira 50 media Taiwan ketika pelancaran album itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Perasaan terharu, terkejut dan gembira bercampur baur ketika itu.
“Ia adalah permulaan yang baik untuk saya kerana perjalanan karier di pentas antarabangsa masih jauh lagi,” katanya ketika ditemui pada pelancaran rangkaian kasut wanita Soo Wincci by XES Shoe Line di RedBox, The Gardens di sini, pada Selasa.
Bekas Ratu Dunia Malaysia 2008/2009 ini berkata, apa yang lebih yang menyentuh hati apabila lagu Happiness semakin mendapat tempat di carta radio dan muat turun yang tinggi di kalangan peminat.
“Lagu saya bersaing dengan penyanyi-penyanyi popular lain dalam carta-carta lagu di Taiwan. Malah, muat turun digital untuk lagu itu juga tinggi walaupun album fizikal belum dikeluarkan.
“Apa yang lebih menyeronokkan apabila pelancaran album itu serentak dengan album terbaharu Jay Chou tetapi saya masih dapat perhatian di kalangan media,” katanya.
Wincci menambah, penerimaan baik di kalangan media itu dipengaruhi latar belakang dan pakej yang dimilikinya sebagai pendatang baharu di sana.
“Mereka (media) tertarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai diri saya. Mereka anggap profil, pencapaian dan pendidikan yang saya miliki sebagai pakej lengkap untuk seorang selebriti.
“Malah, saya juga dapat jolokan ‘Superwoman’ kerana profil dan kesungguhan saya mengejar impian di Taiwan,” kongsinya.
Mengenai enam jenis kasut rekaannya itu, Wincci berkata, ia memakan masa selama enam bulan untuk disiapkan ekoran kesibukannya yang berulang alik ke Taiwan.
“XES mahu memulakan projek kasut ini sejak Jun 2012 tetapi jadual seni saya juga sangat padat ketika itu.
“Mahu tidak mahu, saya terpaksa bahagikan masa sebaik mungkin antara kerjaya, pengajian dan rekaan kasut ini.
“Kasut-kasut ini dijangka dipasarkan pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini untuk semua peringkat umur wanita,” katanya yang turut merancang mengeluarkan rangkaian beg tangan tidak lama lagi.
Kasut-kasut itu dijual pada lingkungan harga RM109.90 hingga RM159.90 di semua cawangan XES dan pasar raya terpilih di seluruh negara.
Soo Wincci sasar tawan Taiwan
TUTUR katanya cukup indah, bait-bait bahasanya menggambarkan dia seorang yang cukup merendah diri dan tidak pernah meninggi diri. Tapi apa yang lebih mengejutkan Soo Wincci cukup fasih berbahasa Melayu tanpa pelat yang ketara seperti mana artis-artis bukan Melayu yang lain.
Ini menjadikan dia begitu istimewa di mata ramai peminatnya. Harus diakui, nama Soo Wincci semakin hari semakin dikenali. Namun itu tidak sesekali menjadikan dirinya lupa diri memandangkan dia masih mempunyai agenda lain untuk diselesaikan.
Mula dikenali dengan program Masterchef Selebriti, dia yang cukup mesra disapa dengan nama Wincci kini sedang mengorak langkah untuk memperkenalkan nama ke pasaran Taiwan sedikit masa lagi.
Mengakui dia dia sibuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Taipei setiap minggu bagi merealisasikan impian untuk bergelar bintang popular di negara berkenaan. Apa yang bermain di fikiran, mengapa Taiwan yang menjadi destinasi utama?
Teorinya mudah, apabila popular di Taiwan maka akan popular juga di Asia secara keseluruhannya. Bertitik tolak daripada itu, pendatang baru ini sanggup berbuat apa sahaja asalkan dia boleh menembusi pasaran Taiwan selewat-lewatnya pada tahun 2013.
Memang ini impian saya sejak dulu lagi. Nak menyanyi, nak mengacara dan buat macam-macam. Jadi saya kena kerja keras dari sekarang untuk masuk ke pasaran Taiwan seterusnya membina nama di sana.
Sudah berbulan-bulan saya ke sana buat macam-macam perkara. Memang banyak perkara baru yang saya kena belajar terutama nak menempatkan diri di sana.
Nampaknya usaha saya akan berhasil kalau saya ikut syarat pasaran di sana. Bukan senang-senang nak masuk sebab ada banyak kriteria yang perlu saya patuhi," kata pemenang Miss World Malaysia 2008 ini lagi.
Tidak mahu memberikan fokus terlalu lebih kepada pasaran negara berkenaan, Wincci juga berharap kerjayanya akan bersinar di sini. Dia telah merakamkan lagu Terus Teranglah yang menggandingkan dirinya bersama Joe Flizzow.
Cabar diri
TIDAK mudah untuk berjaya, Wincci tahu dia harus banyak berkorban untuk duduk di tempat tertinggi. Tak pernah ada erti mengalah dalam diri, dia harus berkorban walaupun tersiksa dengan jadual yang semakin padat.
Sejak saya ke Taiwan, saya kena lebih kurus daripada sekarang. Orang sana lebih menghargai artis-artis wanita yang kurus kering itu yang saya kena terima. Jika tidak mereka sukar untuk menerima orang macam saya.
Mula-mula memang saya terkejut sebab mereka mahu saya lebih kurus. Kalau ada mana-mana sesi fotografi pun saya dinasihatkan untuk lebih kurus supaya nampak tulang untuk lebih popular.
Pasaran di sana memang mengagungkan orang kurus. Jadi saya kena cabar diri untuk mengurangkan lagi berat badan sampai timbul tulang untuk berjaya. Ini cabaran yang saya kena buat, nak buat macam mana lagi," ujar Wincci yang kini sedang sibuk menghabiskan PhD di salah sebuah universiti swasta negara ini.
Mengakui sedikit terdesak untuk kurus, gadis yang berusia 27 tahun ini mengamalkan rejim diet yang cukup ketat. Walaupun dianggap tidak munasabah untuk sesetengah orang, dia tidak kisah untuk berkorban.
Menu sehariannya juga kini bertukar sejak kebelakangan ini. Dia hanya mengambil susu rendah lemak dan madu setiap hari tanpa makanan yang lain untuk kekal kurus.
Saya ambil susu rendah lemak yang dicampur dengan madu sebagai makanan. Memang ini sahaja makanan yang saya ambil untuk menurunkan berat badan secara cepat.
Selepas pukul lima petang saya tidak akan minum sampailah waktu tidur. Memang orang kata ini rejim diet yang sukar tapi nak buat macam mana, saya terpaksa lakukan bila berada di Taiwan.
Tapi ada masa saya akan makan juga. Selalunya saya ambil sayur yang hanya direbus dengan air dan cicah kicap dan vitamin sebagai makanan tambahan. Lain-lain makanan saya tak ambil sebab takut badan naik.
Kalau lapar juga saya akan mi jelly yang banyak dijual di Taipei. Mi tersebut dibuat daripada jelly tetapi rendah kalori. Tapi lepas makan saya kena bersenam selama satu jam untuk kekal langsing.
Memang pada minggu pertama agak sukar, tapi bila tengok pada gambar, memang nampak perubahan yang ketara dan saya rasa lebih muda," katanya tertawa.
Akui Wincci, semua ini dilakukan demi kerjaya seninya yang baru sahaja dua bulan berkembang di Taiwan. Malah, melalui syarikat pengurusan di sana, mereka juga telah merancang beberapa projek besar untuk kelangsungan kerjayanya.
Bidang masakan
WALAUPUN dia memberikan tumpuan dan lakonan kepada bidang nyanyian dan lakonan, Wincci sekali-kali tidak pernah melupakan bidang masakan yang cukup dicintainya.
Dia yang baru sahaja siap merakamkan album berbahasa Mandarin yang mengandungi sepuluh buah lagu khusus untuk pasaran di sana. Sedikit demi sedikit dia mula menerima tawaran berlakon yang disifatkan cukup mencabar jika mahu dibandingkan dengan bidang masakan.
Saya suka memasak dan sampai sekarang pun masih lagi membuat kek atau makanan lain walaupun saya tak makan. Sampai di sana pun saya sanggup sewa dapur untuk memasak.
Tempat tinggal saya tak ada dapur. Jadi kena sewa untuk memasak kemudian diberi kepada rakan-rakan yang ada di sana. Mula-mula mereka pelik sebab saya suka buat kek yang besar sebab budaya di sana mereka akan makan dalam kuantiti yang kecil.
Lama-lama semua sudah terbiasa dengan masakan saya dan gembira sebab saya selalu beri mereka rasa masakan saya. Memasak ibarat terapi buat saya," tambahnya.
Jelas Wincci, dia juga akan mengendalikan program masakan di salah sebuah stesen TV di sana tidak lama lagi. Walaupun hal tersebut masih dalam perancangan, itu sudah cukup menggembirakan hatinya.
Jika ada peluang, dia juga menyasarkan untuk menulis sebuah buku masakan memandangkan corak penjualan buku cukup mendapat tempat berjuta-juta penduduk Taiwan secara amnya.
Ini cabaran besar buat saya. Nak menyanyi, berlakon dan memasak dalam masa yang sama. Tambahan pula PhD saya masih belum habis, memang saya kekurangan waktu sebenarnya.
Paling mencabar apabila nak mengimbangi antara Taiwan dan Kuala Lumpur. Saya tidak mahu popular di sana tapi di sini biasa-biasa. Kalau boleh saya nak popular di kedua-dua tempat.
Orang anggap ini kerja gila. Saya kena cabar diri untuk lakukan semua ini sebelum usia 30 tahun termasuklah menghabiskan pelajaran. Sukar tapi saya yakin ini pengorbanan yang berbaloi pada masa hadapan," jelasnya.
Ditanya sama ada dia sudah mempunya kekasih atau belum, Wincci hanya mampu tersenyum.
Akui Wincci, dia masih solo dan masih belum mempunyai teman lelaki dek kesibukannya menguruskan kerjaya seni.
Saya terlalu sibuk, mana ada masa nak bercinta. Lagipun orang pun takut nak menghampiri sebab saya tak ada banyak masa terluang. Kalau sampai usia 30 masih tak ada, saya kena buat sesuatu.
Sekarang fokus saya nak habiskan menulis tesis. Kalau nak tahu kebanyakan masa belajar saya di atas kapal terbang setiap minggu. Ada masa saya akan siapkan tesis dan hantar kepada Profesor yang menjaga saya.
Untungnya sebab dia selalu memantau tesis saya. Kalau saya terlupa dia akan ingatkan dan minta saya siapkan segera. Tidak ada alasan untuk saya lalai sebab ini bukan kerja main-main," katanya.
Soo Wincci sasar tawan Taiwan
BERBEKALKAN rupa paras yang cantik, berketerampilan anggun dan lemah-lembut, serta berbakat besar dalam bidang kulinari, Soo Wincci kini lebih dikenali sebagai seorang selebriti serba boleh yang mudah didekati oleh semua lapisan masyarakat.
Gadis tinggi lampai kelahiran Selangor ini bercita-cita untuk menakluki pasaran muzik antarabangsa. Dia yang memilih persada muzik Taiwan sebagai tapak mengembangkan karier nyanyiannya gigih berulang alik ke sana bagi menyiapkan album sulung bahasa Cina pertamanya.
“Perjalanan karier saya di Taiwan baru sahaja bermula. Saya sedang dalam proses menyiapkan album pertama yang bakal memuatkan sepuluh buah lagu hasil kerjasama pihak pengurusan saya dengan sebuah label di Taiwan.
“Pihak pengurusan di sana yang bakal menentukan arah perjalanan karier saya, termasuklah imej yang bakal ditampilkan ketika membuat persembahan serta jenis-jenis lagu yang bakal dimuatkan di dalam album itu nanti,” katanya ceria ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video bagi single terbaharunya, Terus Teranglah di RedBox The Gardens, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Dia juga menambah, album itu nanti bakal memuatkan dua buah lagu hasil ciptaan komposer dari Taiwan, manakala lapan buah lagu lagi adalah lagu bahasa Cina yang telah dirakamkan untuk album pertamanya.
“Peminat muzik di Taiwan belum mengenali siapa itu Soo Wincci. Jadi, dengan adanya lagu-lagu lama saya, mereka pasti akan lebih mengenali jenis muzik yang pernah saya nyanyikan sebelum ini. Tidak salah rasanya berkongsi sesuatu kepada peminat-peminat baharu,” ujarnya.
Penyanyi berbakat besar yang pernah bergelar Miss World Malaysia 2008 ini turut berkongsi, dia juga bakal melahirkan sebuah EP (extended play) bagi pasaran tempatan yang akan memuatkan lima buah lagu baharu berbahasa Melayu termasuklah single Terus Teranglah ciptaan Ajai, yang menampilkan penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow.
“Saya sungguh berbesar hati kerana Ajai sudi mencipta lagu untuk saya. Sebagai komposer yang banyak pengalaman serta berbakat besar, dia tahu lenggok serta keupayaan suara saya. Jadi tiada sebarang masalah atau perkara rumit yang saya hadapi ketika merakamkan lagu ini,” ujarnya.
Penyanyi yang pernah menyertai program masakan terkenal, Selebriti MasterChef Malaysia ini memberitahu, semasa proses rakaman suara berlangsung, dia tidak berpeluang untuk bersua muka dengan Joe Flizzow. Jadi, apabila bertemu dengannya buat pertama kali, perasaan teruja bertukar menjadi gerun!
“Pada awalnya, saya kekok kerana takut dengan Joe. Mungkin kerana penampilannya yang agak 'ganas' menyebabkan saya berfikir sebegitu.
“Namun semuanya berubah setelah saya mengenalinya dengan lebih dekat. Dia bukanlah seperti apa yang saya sangkakan,” kata Wincci ketika menerangkan peranan Joe Flizzow sebagai seorang mekanik di dalam klip video Terus Teranglah.
Apabila ditanya mengenai kejayaan penyanyi Shila Hamzah menjuarai pertandingan nyanyian Asian Wave 2012 di Shanghai, China baru-baru ini, Wincci menyambut berita itu dengan perasaan terbuka.
“Sebagai seorang penyanyi yang berasal dari Malaysia, saya berasa sungguh bangga dengan pencapaian Shila.
“Ini membolehkan ramai lagi pemuzik-pemuzik tempatan melebarkan sayap ke luar negara kerana nama kita sudah mula dikenali di sana,” katanya.
Wincci juga menambah, kejayaan Shila membuktikan muzik tempatan juga mempunyai potensi untuk diterima oleh masyarakat di luar negara.
Cinta? Nanti dulu! - Soo Wincci
SAYA tidak popular dalam masa satu hari!" Itu kata Soo Wincci, bekas Ratu Cantik Malaysia yang kini semakin mendapat tempat di hati kalangan khalayak Melayu selepas penyertaannya dalam program MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama.
Pun begitu Wincci yang sudah mengukuhkan nama di kalangan penggemar sebangsa percaya, langkah demi langkah yang dibuatnya memberikan impak yang cukup besar dalam kerjaya sebagai seorang artis.
Terkenal sebagai seorang yang rajin bekerja, namakan apa sahaja, dia sanggup lakukan. Bayangkan, daripada seorang ratu cantik, dia bergelar penyanyi. Kini dia juga seorang pelakon, pengacara, penyampai radio, tukang masak, penari, pelajar dan usahawan.
Malah Wincci sempat menunjukkan jadual kerja yang sentiasa dikemaskini di telefon bimbit ketika bertemunya baru-baru ini. Memang sesiapa yang melihat pasti akan menggelengkan kepala.
Harinya bermula seawal 6 pagi sehinggalah 2 pagi dengan aktiviti antaranya menjalani penggambaran drama, mengadakan persembahan dan mengendalikan program radio selain beberapa siri promosi serta persembahan luar kota pada setiap hujung minggu.
"Saya memang kuat bekerja. Malah saya amat takut kalau saya tak ada kerja. Saya tak mahu peminat lupakan saya," katanya yang kini turut melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam Pengajian Perniagaan di Universiti Terbuka di ibukota.
"Selepas ini saya akan jadi wanita super pula," tambahnya sambil ketawa besar. Masakan tidak, Wincci kini sedang berjuang melebarkan sayapnya ke pasaran Taiwan dan sudahpun berlepas ke negara itu sejak 3 Oktober lalu.
Semuanya demi merealisasikan impian untuk mencipta nama sebagai penyanyi dan pelakon di Hollywood, cita-cita terbesar yang ditanam dalam dirinya sejak bergelar artis.
Mengakui tidak akan melepaskan peluang seni yang terbentang di dalam negara, Wincci memberitahu, biarpun akan menetap di Taiwan selepas ini namun dia akan pulang ke Kuala Lumpur setiap dua minggu sekali.
"Itu sebab saya kata saya akan jadi wanita super. Bayangkan, walaupun bertapak di sana, saya tetap akan berada di Malaysia. Di sini hati saya. Tapi Taiwan adalah batu loncatan untuk saya ke Hollywood," kata optimis.
Mengakui bukan jalan mudah mencipta nama di luar Wincci memberitahu, setiap perkara yang dilakukannya dalam bidang seni dibuat langkah demi langkah umpama menaiki tangga sebelum tiba di kemuncak.
Perkara pertama yang dilakukan tentunya mengukuhkan namanya terlebih dahulu di persada seni tanah air sebelum mencipta nama di luar negara.
Dan Wincci amat berterima kasih kepada MasterChef Selebriti kerana baginya program itu merupakan rezeki daripada Tuhan untuk membolehkannya mengukuhkan nama di persada seni tempatan sebelum mencari peluang ke luar negara seperti yang diimpikan.
Malah dia amat percaya bahawa sokongan peminat dan media banyak membantu dirinya untuk berada pada kedudukannya hari ini.
"Saya percaya nama saya sudah stabil di sini. Itu penting kerana saya mahu peminat tempatan mengenali saya terlebih dahulu sebelum menempa nama di tempat lain.
"Saya mahu cop buatan Malaysia. Saya mahu orang luar kenal saya sebagai artis dari Malaysia dan orang Malaysia kenal saya sebagai artis tempatan yang mencipta nama di luar. Bukan sebaliknya, mencipta nama di luar sebelum dikenali di negara sendiri," tegasnya.
Sudah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan dan promosi di Taiwan, Wincci juga akan melebarkan sayapnya ke pasaran China.
"Hollywood impian saya dan saya mempunyai masa tiga tahun untuk mencapainya," kata Wincci. Tidak boleh berlengah lagi, dia yang kini berusia 27 tahun mahu cita-citanya itu tercapai pada usia 30 tahun.
"Saya tak mahu membazir waktu. Apa sahaja peluang saya akan 'tangkap'. Saya perlu bermula dari kosong, perlu menjadi orang baru di Taiwan dan menjenama semula diri saya sesuai dengan suasana di tempat baru," jelasnya.
Optimis untuk menawan Hollywood, Wincci yakin artis Malaysia mampu melakukannya seperti yang dilakukan oleh artis-artis Korea melalui K-Pop.
"Yang penting identiti. Saya mahu bawa jenama 1Malaysia ke sana. Sebab itu sekarang saya pun menyimpan impian untuk menyanyi dalam bahasa Tamil," ujarnya lagi.
Cinta & cita-cita
Dengan jadual kerja yang sentiasa padat, ketika bilakah Wincci bersosial dan bercinta? Sementelah gadis matang sepertinya pasti mengimpikan belaian kasih sayang seorang kekasih.
Saat soalan itu diajukan, dia selamba memberitahu, tiada masa untuk itu. "Buah hati? Saya terlalu sibuk sampai nak mengurat pun tak ada masa," katanya ketawa besar.
Bukan tidak berasa sunyi malah satu ketika, perasaan itu pernah menghantui dirinya namun seperti kata Wincci, alah bisa tegal biasa.
"Sunyi? Tak sempat nak rasa sunyi sebab terlalu banyak kerja untuk dibereskan. Dulu masa memang terasa, sekarang sudah biasa.
"Kalau ada masa pun, saya luangkan untuk bersama keluarga," kata pengendali segmen Love Guru di stesen One FM biarpun ironinya, dia masih solo.
Tambahnya: "Perkara berhubung hati dan perasaan hanya akan saya fikirkan selepas usia 30 tahun. Sesudah saya ke Hollywood.
"Sebab kalau ada teman lelaki akan susah nanti. Faham-faham sahajalah kalau ada komitmen ini. Mana nak kejar kerjaya, mana nak jaga hati kekasih. Saya tak mahu cinta dan cita-cita terbengkalai di tengah jalan.
"Ini untuk masa depan saya. Sebab itu saya tidak mahu sebarang komitmen menganggu perancangan saya menempa nama ke Hollywood."
Ditanya apakah dia yakin masa depannya akan cerah di Taiwan, Wincci hanya menyerahkannya kepada takdir.
"Apa yang saya tahu, saya orang yang bercita-cita besar. Kalau saya kata saya nak buat, saya akan laksanakan. Itu lebih penting. Berjaya atau gagal, itu bukan urusan saya. Yang saya tahu saya mesti bekerja keras," tegasnya.
Soo Wincci Azam Puasa Penuh
PETALING JAYA:Penyanyi dan bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia, Soo Wincci berazam untuk berpuasa penuh tahun ini bagi mendekatkan diri dengan peminat daripada komuniti Melayu beragama Islam sepanjang bulan Ramadan ini.
Soo Wincci berkata, ini adalah kali pertama dia ingin berpuasa dan memberitahu teruja dengan kedatangan Ramadan kerana ingin menyemarakkan lagi semangat bulan mulia itu bersama-sama para peminatnya.
"Menerusi program MasterChef peminat saya semakin ramai daripada kalangan kaum Melayu dan saya rasa dengan belajar berpuasa saya dapat mendekatkan diri dengan mereka.
"Selain itu, ia juga dapat mencabar diri saya membuat sesuatu perkara baru yang pertama kali ingin berpuasa," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Soo Wincci, walaupun sedar dengan cabaran yang bakal ditempuh sepanjang berpuasa, dia yakin dapat mengharunginya dengan dorongan dan kata-kata semangat daripada rakan-rakan dan peminat.
"Berpuasa itu pasti menjadi suatu perkara yang amat mencabar buat diri saya tetapi kerana ingin menghidupkan semangat perpaduan dikalangan peminat saya teruskan niat ini.
Populariti penyanyi itu meningkat secara mendadak selepas menyertai program masakan berkenaan dan Soo Wincci turut tampil dengan single pertamanya berjudul Terus Teranglah bersama Jow Flizzow.
Dalam pada itu, Soo Wincci berkata, dia turut mendapatkan beberapa tips daripada rakan berbangsa Melayu dan yakin dapat melakukannya.
Katanya, rakan-rakan turut menasihatinya supaya jangan memaksa diri dan berpuasa mengikut kemampuan sebagai permulaan.
"Rakan-rakan banyak jadi pendorong dan semangat inilah yang ingin saya tonjolkan kepada semua peminat dan berharap dapat berpuasa selama 30 hari," katanya.
Sementara itu, Soo Wincci berkata, akaun Twitter miliknya telah meningkat sebanyak 2,000 pengikut dalam masa seminggu dan rata-rata daripada mereka adalah kaum Melayu.
Katanya, dia sangat gembira dengan perkembangan terbaru itu kerana ia adalah bukti dirinya semakin diterima dikalangan peminat bukan Cina.
"Saya harap dengan populariti yang dikecapi kini dapat memberikan manfaat kepada saya untuk melakukan sesuatu yang akan disukai oleh semua kaum di Malaysia," katanya.
Populariti Soo Wincci Meningkat Gara-Gara MasterChef
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia iaitu Soo Wincci (gambar) mengakui populariti program masakan itu telah melonjakkan namanya di kalangan peminat bukan berbangsa Cina.
Soo Wincci, 26, berkata, sepanjang empat tahun bergelar penyanyi dia tidak pernah mendapat perhatian yang begitu hebat daripada para peminat dan keadaan itu berubah selepas dia menyertai program berkenaan.
"MasterChef Selebriti memang telah mengubah hidup saya sebagai seorang artis dan saya amat bersyukur kerana peminat saya kini bukan sahaja dikalangan kaum Cina tetapi juga Melayu dan India," ujarnya ketika ditemui pada majlis pra-dengar album berbahasa Malaysia pertamanya di sini pada Selasa.
Tambah Soo Wincci, populariti tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk mengembangkan kerjaya secara lebih menyeluruh pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Soo Wincci berkata, dia telah lama berhasrat untuk menghasilkan sebuah album berbahasa Malaysia selain amat teruja dapat bekerjasama dengan komposer terkenal iaitu Ajai.
Katanya, Ajai seorang yang sangat teliti dan pada masa sama memahami kehendaknya sebagai seorang penyanyi dan mereka serasi bekerjasama.
"Ajai adalah seorang yang cukup sabar dengan apa yang dilakukan dan sebab itu juga album ini mengambil masa setahun untuk disiapkan.
"Bagaimanapun saya sangat berpuas hati dengan hasilnya dan tidak sabar untuk peminat mendengarnya," katanya.
Bagaimanapun dia tidak menafikan popularitinya kini adalah masa yang tepat untuk dia melancarkan album tersebut.
"Pada dasarnya saya sudah merakamkan album ini setahun lalu tetapi terpaksa menangguhkannya kerana terlibat dengan pelbagai komitmen.
"Bukan mengambil kesempatan tetapi saya rasa ini adalah hikmah untuk saya dan populariti yang ada ini harus digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.
Sementara itu, Soo Wincci memberitahu single pertamanya sudah pun dilancarkan berjudul Terus Teranglah yang menampilkan penyanyi rap terkenal Joe Flizzow.
Bagi album itu nanti ia akan mempunyai empat buah lagu sebagai permulaan dan akan berada di pasaran pada bulan September depan.
Empat lagu tersebut adalah Nombor 1, Terus Teranglah, Jangan Risau dan Musim Asmara.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]






