Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta? Nanti dulu! - Soo Wincci

SAYA tidak popular dalam masa satu hari!" Itu kata Soo Wincci, bekas Ratu Cantik Malaysia yang kini semakin mendapat tempat di hati kalangan khalayak Melayu selepas penyertaannya dalam program MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama. Pun begitu Wincci yang sudah mengukuhkan nama di kalangan penggemar sebangsa percaya, langkah demi langkah yang dibuatnya memberikan impak yang cukup besar dalam kerjaya sebagai seorang artis. Terkenal sebagai seorang yang rajin bekerja, namakan apa sahaja, dia sanggup lakukan. Bayangkan, daripada seorang ratu cantik, dia bergelar penyanyi. Kini dia juga seorang pelakon, pengacara, penyampai radio, tukang masak, penari, pelajar dan usahawan. Malah Wincci sempat menunjukkan jadual kerja yang sentiasa dikemaskini di telefon bimbit ketika bertemunya baru-baru ini. Memang sesiapa yang melihat pasti akan menggelengkan kepala. Harinya bermula seawal 6 pagi sehinggalah 2 pagi dengan aktiviti antaranya menjalani penggambaran drama, mengadakan persembahan dan mengendalikan program radio selain beberapa siri promosi serta persembahan luar kota pada setiap hujung minggu. "Saya memang kuat bekerja. Malah saya amat takut kalau saya tak ada kerja. Saya tak mahu peminat lupakan saya," katanya yang kini turut melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam Pengajian Perniagaan di Universiti Terbuka di ibukota. "Selepas ini saya akan jadi wanita super pula," tambahnya sambil ketawa besar. Masakan tidak, Wincci kini sedang berjuang melebarkan sayapnya ke pasaran Taiwan dan sudahpun berlepas ke negara itu sejak 3 Oktober lalu. Semuanya demi merealisasikan impian untuk mencipta nama sebagai penyanyi dan pelakon di Hollywood, cita-cita terbesar yang ditanam dalam dirinya sejak bergelar artis. Mengakui tidak akan melepaskan peluang seni yang terbentang di dalam negara, Wincci memberitahu, biarpun akan menetap di Taiwan selepas ini namun dia akan pulang ke Kuala Lumpur setiap dua minggu sekali. "Itu sebab saya kata saya akan jadi wanita super. Bayangkan, walaupun bertapak di sana, saya tetap akan berada di Malaysia. Di sini hati saya. Tapi Taiwan adalah batu loncatan untuk saya ke Hollywood," kata optimis. Mengakui bukan jalan mudah mencipta nama di luar Wincci memberitahu, setiap perkara yang dilakukannya dalam bidang seni dibuat langkah demi langkah umpama menaiki tangga sebelum tiba di kemuncak. Perkara pertama yang dilakukan tentunya mengukuhkan namanya terlebih dahulu di persada seni tanah air sebelum mencipta nama di luar negara. Dan Wincci amat berterima kasih kepada MasterChef Selebriti kerana baginya program itu merupakan rezeki daripada Tuhan untuk membolehkannya mengukuhkan nama di persada seni tempatan sebelum mencari peluang ke luar negara seperti yang diimpikan. Malah dia amat percaya bahawa sokongan peminat dan media banyak membantu dirinya untuk berada pada kedudukannya hari ini. "Saya percaya nama saya sudah stabil di sini. Itu penting kerana saya mahu peminat tempatan mengenali saya terlebih dahulu sebelum menempa nama di tempat lain. "Saya mahu cop buatan Malaysia. Saya mahu orang luar kenal saya sebagai artis dari Malaysia dan orang Malaysia kenal saya sebagai artis tempatan yang mencipta nama di luar. Bukan sebaliknya, mencipta nama di luar sebelum dikenali di negara sendiri," tegasnya. Sudah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan dan promosi di Taiwan, Wincci juga akan melebarkan sayapnya ke pasaran China. "Hollywood impian saya dan saya mempunyai masa tiga tahun untuk mencapainya," kata Wincci. Tidak boleh berlengah lagi, dia yang kini berusia 27 tahun mahu cita-citanya itu tercapai pada usia 30 tahun. "Saya tak mahu membazir waktu. Apa sahaja peluang saya akan 'tangkap'. Saya perlu bermula dari kosong, perlu menjadi orang baru di Taiwan dan menjenama semula diri saya sesuai dengan suasana di tempat baru," jelasnya. Optimis untuk menawan Hollywood, Wincci yakin artis Malaysia mampu melakukannya seperti yang dilakukan oleh artis-artis Korea melalui K-Pop. "Yang penting identiti. Saya mahu bawa jenama 1Malaysia ke sana. Sebab itu sekarang saya pun menyimpan impian untuk menyanyi dalam bahasa Tamil," ujarnya lagi. Cinta & cita-cita Dengan jadual kerja yang sentiasa padat, ketika bilakah Wincci bersosial dan bercinta? Sementelah gadis matang sepertinya pasti mengimpikan belaian kasih sayang seorang kekasih. Saat soalan itu diajukan, dia selamba memberitahu, tiada masa untuk itu. "Buah hati? Saya terlalu sibuk sampai nak mengurat pun tak ada masa," katanya ketawa besar. Bukan tidak berasa sunyi malah satu ketika, perasaan itu pernah menghantui dirinya namun seperti kata Wincci, alah bisa tegal biasa. "Sunyi? Tak sempat nak rasa sunyi sebab terlalu banyak kerja untuk dibereskan. Dulu masa memang terasa, sekarang sudah biasa. "Kalau ada masa pun, saya luangkan untuk bersama keluarga," kata pengendali segmen Love Guru di stesen One FM biarpun ironinya, dia masih solo. Tambahnya: "Perkara berhubung hati dan perasaan hanya akan saya fikirkan selepas usia 30 tahun. Sesudah saya ke Hollywood. "Sebab kalau ada teman lelaki akan susah nanti. Faham-faham sahajalah kalau ada komitmen ini. Mana nak kejar kerjaya, mana nak jaga hati kekasih. Saya tak mahu cinta dan cita-cita terbengkalai di tengah jalan. "Ini untuk masa depan saya. Sebab itu saya tidak mahu sebarang komitmen menganggu perancangan saya menempa nama ke Hollywood." Ditanya apakah dia yakin masa depannya akan cerah di Taiwan, Wincci hanya menyerahkannya kepada takdir. "Apa yang saya tahu, saya orang yang bercita-cita besar. Kalau saya kata saya nak buat, saya akan laksanakan. Itu lebih penting. Berjaya atau gagal, itu bukan urusan saya. Yang saya tahu saya mesti bekerja keras," tegasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails