Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Soo Wincci sasar tawan Taiwan

TUTUR katanya cukup indah, bait-bait bahasanya menggambarkan dia seorang yang cukup merendah diri dan tidak pernah meninggi diri. Tapi apa yang lebih mengejutkan Soo Wincci cukup fasih berbahasa Melayu tanpa pelat yang ketara seperti mana artis-artis bukan Melayu yang lain. Ini menjadikan dia begitu istimewa di mata ramai peminatnya. Harus diakui, nama Soo Wincci semakin hari semakin dikenali. Namun itu tidak sesekali menjadikan dirinya lupa diri memandangkan dia masih mempunyai agenda lain untuk diselesaikan. Mula dikenali dengan program Masterchef Selebriti, dia yang cukup mesra disapa dengan nama Wincci kini sedang mengorak langkah untuk memperkenalkan nama ke pasaran Taiwan sedikit masa lagi. Mengakui dia dia sibuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Taipei setiap minggu bagi merealisasikan impian untuk bergelar bintang popular di negara berkenaan. Apa yang bermain di fikiran, mengapa Taiwan yang menjadi destinasi utama? Teorinya mudah, apabila popular di Taiwan maka akan popular juga di Asia secara keseluruhannya. Bertitik tolak daripada itu, pendatang baru ini sanggup berbuat apa sahaja asalkan dia boleh menembusi pasaran Taiwan selewat-lewatnya pada tahun 2013. “Memang ini impian saya sejak dulu lagi. Nak menyanyi, nak mengacara dan buat macam-macam. Jadi saya kena kerja keras dari sekarang untuk masuk ke pasaran Taiwan seterusnya membina nama di sana. “Sudah berbulan-bulan saya ke sana buat macam-macam perkara. Memang banyak perkara baru yang saya kena belajar terutama nak menempatkan diri di sana. “Nampaknya usaha saya akan berhasil kalau saya ikut ‘syarat’ pasaran di sana. Bukan senang-senang nak masuk sebab ada banyak kriteria yang perlu saya patuhi," kata pemenang Miss World Malaysia 2008 ini lagi. Tidak mahu memberikan fokus terlalu lebih kepada pasaran negara berkenaan, Wincci juga berharap kerjayanya akan bersinar di sini. Dia telah merakamkan lagu Terus Teranglah yang menggandingkan dirinya bersama Joe Flizzow. Cabar diri TIDAK mudah untuk berjaya, Wincci tahu dia harus banyak berkorban untuk duduk di tempat tertinggi. Tak pernah ada erti mengalah dalam diri, dia harus berkorban walaupun ‘tersiksa’ dengan jadual yang semakin padat. “Sejak saya ke Taiwan, saya kena lebih kurus daripada sekarang. Orang sana lebih menghargai artis-artis wanita yang kurus kering itu yang saya kena terima. Jika tidak mereka sukar untuk menerima orang macam saya. “Mula-mula memang saya terkejut sebab mereka mahu saya lebih kurus. Kalau ada mana-mana sesi fotografi pun saya dinasihatkan untuk lebih kurus supaya nampak tulang untuk lebih popular. “Pasaran di sana memang mengagungkan orang kurus. Jadi saya kena cabar diri untuk mengurangkan lagi berat badan sampai timbul tulang untuk berjaya. Ini cabaran yang saya kena buat, nak buat macam mana lagi," ujar Wincci yang kini sedang sibuk menghabiskan PhD di salah sebuah universiti swasta negara ini. Mengakui sedikit terdesak untuk kurus, gadis yang berusia 27 tahun ini mengamalkan rejim diet yang cukup ketat. Walaupun dianggap tidak munasabah untuk sesetengah orang, dia tidak kisah untuk berkorban. Menu sehariannya juga kini bertukar sejak kebelakangan ini. Dia hanya mengambil susu rendah lemak dan madu setiap hari tanpa makanan yang lain untuk kekal kurus. “Saya ambil susu rendah lemak yang dicampur dengan madu sebagai makanan. Memang ini sahaja ‘makanan’ yang saya ambil untuk menurunkan berat badan secara cepat. “Selepas pukul lima petang saya tidak akan minum sampailah waktu tidur. Memang orang kata ini rejim diet yang sukar tapi nak buat macam mana, saya terpaksa lakukan bila berada di Taiwan. “Tapi ada masa saya akan makan juga. Selalunya saya ambil sayur yang hanya direbus dengan air dan cicah kicap dan vitamin sebagai makanan tambahan. Lain-lain makanan saya tak ambil sebab takut badan naik. “Kalau lapar juga saya akan mi jelly yang banyak dijual di Taipei. Mi tersebut dibuat daripada jelly tetapi rendah kalori. Tapi lepas makan saya kena bersenam selama satu jam untuk kekal langsing. “Memang pada minggu pertama agak sukar, tapi bila tengok pada gambar, memang nampak perubahan yang ketara dan saya rasa lebih muda," katanya tertawa. Akui Wincci, semua ini dilakukan demi kerjaya seninya yang baru sahaja dua bulan berkembang di Taiwan. Malah, melalui syarikat pengurusan di sana, mereka juga telah merancang beberapa projek besar untuk kelangsungan kerjayanya. Bidang masakan WALAUPUN dia memberikan tumpuan dan lakonan kepada bidang nyanyian dan lakonan, Wincci sekali-kali tidak pernah melupakan bidang masakan yang cukup dicintainya. Dia yang baru sahaja siap merakamkan album berbahasa Mandarin yang mengandungi sepuluh buah lagu khusus untuk pasaran di sana. Sedikit demi sedikit dia mula menerima tawaran berlakon yang disifatkan cukup mencabar jika mahu dibandingkan dengan bidang masakan. “Saya suka memasak dan sampai sekarang pun masih lagi membuat kek atau makanan lain walaupun saya tak makan. Sampai di sana pun saya sanggup sewa dapur untuk memasak. “Tempat tinggal saya tak ada dapur. Jadi kena sewa untuk memasak kemudian diberi kepada rakan-rakan yang ada di sana. Mula-mula mereka pelik sebab saya suka buat kek yang besar sebab budaya di sana mereka akan makan dalam kuantiti yang kecil. “Lama-lama semua sudah terbiasa dengan masakan saya dan gembira sebab saya selalu beri mereka rasa masakan saya. Memasak ibarat terapi buat saya," tambahnya. Jelas Wincci, dia juga akan mengendalikan program masakan di salah sebuah stesen TV di sana tidak lama lagi. Walaupun hal tersebut masih dalam perancangan, itu sudah cukup menggembirakan hatinya. Jika ada peluang, dia juga menyasarkan untuk menulis sebuah buku masakan memandangkan corak penjualan buku cukup mendapat tempat berjuta-juta penduduk Taiwan secara amnya. “Ini cabaran besar buat saya. Nak menyanyi, berlakon dan memasak dalam masa yang sama. Tambahan pula PhD saya masih belum habis, memang saya kekurangan waktu sebenarnya. “Paling mencabar apabila nak mengimbangi antara Taiwan dan Kuala Lumpur. Saya tidak mahu popular di sana tapi di sini biasa-biasa. Kalau boleh saya nak popular di kedua-dua tempat. “Orang anggap ini kerja gila. Saya kena cabar diri untuk lakukan semua ini sebelum usia 30 tahun termasuklah menghabiskan pelajaran. Sukar tapi saya yakin ini pengorbanan yang berbaloi pada masa hadapan," jelasnya. Ditanya sama ada dia sudah mempunya kekasih atau belum, Wincci hanya mampu tersenyum. Akui Wincci, dia masih solo dan masih belum mempunyai teman lelaki dek kesibukannya menguruskan kerjaya seni. “Saya terlalu sibuk, mana ada masa nak bercinta. Lagipun orang pun takut nak menghampiri sebab saya tak ada banyak masa terluang. Kalau sampai usia 30 masih tak ada, saya kena buat sesuatu. “Sekarang fokus saya nak habiskan menulis tesis. Kalau nak tahu kebanyakan masa belajar saya di atas kapal terbang setiap minggu. Ada masa saya akan siapkan tesis dan hantar kepada Profesor yang menjaga saya. “Untungnya sebab dia selalu memantau tesis saya. Kalau saya terlupa dia akan ingatkan dan minta saya siapkan segera. Tidak ada alasan untuk saya lalai sebab ini bukan kerja main-main," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails