Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Syafinaz Selamat. Show all posts
Showing posts with label Syafinaz Selamat. Show all posts
Syafinaz tolak jadi hos program Inggeris
SYAFINAZ Selamat, beliau berada di liga seninya yang tersendiri. Barangkali namanya tidak segah artis popular tanah air masa kini. Namun, kesibukannya berkemungkinan boleh mengalahkan mereka yang mekar di bibir peminat.
Bergelar sebagai guru vokal dan pensyarah muzik sekian lama, selain sibuk dengan undangan menyanyi secara tertutup, wanita tinggi lampai yang pernah popular dengan lagu Ingin Bersamamu itu sudah sebati dengan jadual kerjayanya yang padat.
Dek kesibukannya itu, Syafinaz nekad melepaskan tanggung jawabnya di Kolej Muzik Antarabangsa. Kini tumpuannya hanya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan UiTM, Shah Alam.
Malah, baru-baru ini beliau dipanggil untuk sesi uji bakat satu program bual bicara berbahasa Inggeris terbitan sebuah stesen televisyen terkenal. Namun, kerana tidak berani memikul tanggungjawab berkenaan kerana kekekangan masa, beliau menolak permintaan pihak mereka.
"Saya yakin tidak mampu memberi tumpuan sepenuhnya jika saya menerima tawaran tersebut.
"Memang saya pernah menceburi dunia pengacaraan termasuk bergandingan dengan Allahyarham Seha.
"Sudah lama tidak mengacara, memang berkarat sudah ilmu itu. Saya hadiri uji bakat atas dasar mencuba dan tak sangka pula disenarai pendek. Saya terpaksa tolak dengan cara baik kerana faktor yang sudah dipertimbangkan selain tidak mahu menyusahkan mereka pada kemudian hari," katanya kepada Kosmo! dalam pertemuan yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) bertempat di Muzium Negara baru-baru ini.
Selain komitmen tersebut, Syafinaz sejak beberapa tahun lalu juga memikul tanggungjawab penting dengan Koir Kebangsaan Malaysia. Beliaulah Jurulatih Vokal dan juga Pengarah Persembahan dan Vokal serta penyanyi koir berkenaan.
Pertemuan yang diatur JKKN baru-baru ini juga atas paksi mempromosikan Konsert Koir Kebangsaan bertemakan klasikal di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 September ini bermula pukul 8.30 malam.
Ia merupakan kesinambungan daripada kejayaan beberapa konsert oleh Koir Kebangsaan Malaysia dan Konsert Jelajah Koir yang telah dilaksanakan oleh JKKN sejak tahun 2005.
Antaranya Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia (2012), Konsert No Wrong Notes (2011), Konsert Music Makers (2010) dan Konsert In Love With Peace (Cintakan Kedamaian) yang telah diadakan sejak tahun 2009 lagi.
"Tahun lalu, Koir Kebangsaan Malaysia mempersembahkan Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater & Filem (A Musical Journey of Theatre & Film) yang memaparkan repertoire dan segmen nyanyian lagu dari pentas teater berlandaskan lagu tradisional dan moden.
"Konsert kali ini kembali kepada gaya asal atau lama koir iaitu klasikal. Ia akan memaparkan susunan dan segmen nyanyian lagu berlandaskan klasik Melayu seperti lagu asli Melayu, inang, joget, keroncong serta zapin.
"Ia juga menyelitkan muzik klasik Barat yang terdiri daripada lagu dari era Renaissance hingga ke era romantik," katanya.
Tiket untuk konsert tersebut boleh dibeli secara online di www.ticket2u.biz pada harga RM10, RM20 dan RM30.
Diskaun turut diberikan kepada pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU). Tiket juga boleh dibeli di Istana Budaya dengan menghubungi talian 03-4149 8600.
Pihak urus setia turut menyediakan khidmat pembelian tiket sebelum malam konsert berlangsung pada 21 dan 22 September ini di Auditorium DBKL bermula pukul 4 petang.
Syafinaz tidak takut tua
GURU vokal, pensyarah muzik yang juga penyanyi bernama Syafinaz Selamat ini masih berjuang dalam memartabatkan seni dengan caranya tersendiri. Cuma wajahnya jarang jadi tatapan di kaca televisyen mahupun media cetak. Dia banyak terlibat dengan undangan tertutup dan hanya baru-baru ini muncul sebagai pengkritik bebas menerusi program AF Buzz bersempena kehadiran Akademi Fantasia 2013.
Seperti biasa, rutin mengajarnya masih diteruskan. Penyanyi bersuara soprano ini perlu membahagi masa meneruskan komitmennya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan International College Of Music (ICOM).
Dalam pada itu pada 23 dan 24 November ini, Syafinaz turut akan terbabit dalam konsert Koir Kebangsaan Malaysia, Kembara Muzikal Teater dan Filem di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) bermula jam 8.30 malam. Turut serta ialah penggiat Mak Yong, Rosnan Rahman dan dua lagi kumpulan baharu iaitu Memento dan Vox Aurora. Tiket berharga RM30 dan untuk pelajar hanya perlu membayar separuh sahaja. Persembahan ini anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN).
Album Baharu Syafinaz Selepas 11 Tahun 'Menghilang'
Penyanyi Syafinaz Selamat bakal muncul dengan sebuah album terbaharu pada tahun depan selepas 11 tahun menyepikan diri.
Syafinaz, 40, berkata, dia tidak sabar menunggu reaksi para peminatnya apabila berhasrat untuk muncul dengan album yang berkonsepkan ‘fusion’ kontemporari.
"Saya tahu peminat sudah bosan menunggu produk terbaharu saya kerana setiap kali orang bertanya, saya akan berkata yang album masih lagi dalam proses pembikinan.
"Insya-Allah kali ini saya yakin album akan keluar pada tahun depan dan akan mengumumkan tajuk albumnya tidak lama lagi,” katanya.
Syafinaz ditemui pada majlis minum petang sempena ‘Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater dan Filem’ di Saloma Bistro di sini pada Jumaat.
Beritahu Syafinaz, konsert berkenaan bakal berlangsung pada 23 dan 24 November 2013 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia Jalan Ampang, di sini.
Konsert tersebut memaparkan segmen nyanyian lagu-lagu tradisional dan moden menggabungkan artis jemputan Rosnan Rahman, Memento dan Vox Aurora termasuklah Syafinaz sendiri.
"Kami bakal mempersembahkan sebanyak 19 buah lagu dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.
"Konsert ini juga menampilkan konsep yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana kami akan menyelitkan elemen tradisional iaitu makyung pada permulaan konsert," tuturnya.
Konsert tersebut dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Syafinaz selesa di belakang tabir
Senjata Rahsia Syafinaz Kekal Langsing & Mengancam!
“Kesibukan dek jadual yang padat antara faktor yang membuatkan tubuh saya ini maintain macam ini saja dari dulu lagi. Bila sudah sibuk, kadang-kadang jadual makan tidak menentu. Tapi apa yang bagusnya, bila kita sibuk, berkejar ke sana ke mari, dalam masa yang sama tubuh kita aktif bergerak,”
“Lagi satu, mungkin juga saya ini tergolong dalam kategori mereka yang memiliki metabolisma tinggi, jadi makanlah apa saja pun, tetap macam ini,” ujar penyanyi bersuara Soprano, Syafinaz Selamat ketika ditanya rahsia tubuhnya kekal langsing meskipun usianya menginjak 30-an.
Tambahnya lagi, dia tidak mengamalkan apa-apa petua ‘luar biasa’ untuk mengekalkan ukuran tubuhnya selain memastikan tidur yang mencukupi, mengambil suplemen tambahan dan hanya memakan nasi dalam kuantiti yang kecil.
“Saya jarang makan nasi, kalau makan pun hanya sesenduk dua dan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dalam makanan. Saya tidak suka minuman berkarbonat, mujurlah saya ini ‘hantu’ air suam. Kalau ada masa terluang, barulah saya melakukan sedikit senaman Pilates, yang ini pun agak jarang dilakukan kerana jadual seharian memang sibuk,”
“Tapi saya ada kelemahannya juga, kerana selain dari ‘hantu’ air suam, saya ini memang penggemar fanatik makanan-makanan manis seperti kek dan coklat. Memang favourite, tapi saya still makan dengan kadar sederhana,” ujar Syafinaz lagi.
Selain dari kecantikan tubuh, penjagaan wajah dan kulit turut menjadi keutamaan Syafinaz.
“Sebagai seorang public figure, saya kena kelihatan menarik di depan umum, suka atau tidak ini sebahagian harga yang perlu dibayar. Saya kena buat sedikit pelaburan untuk kelihatan menarik dan cantik,”
Ditanya apakah produk penjagaan kulit yang menjadi pilihan Syafinaz, Syafinaz tanpa berselindung mengakui merupakan pengguna tegar rangkaian produk Shieseido.
“Saya ni pengguna setia Shiseido dari dulu lagi. Kalau dari segi minyak wangi pula, saya suka bauan daripada jenama Hermes kerana baunya yang unik dan segar.
Syafinaz Bicara Tentang Diri dan Minat
TEGAS dan garang. Gambaran skeptikal ini sering diberikan kepada penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat.
Jika ada yang masih berpendapat sebegitu, buang jauh-jauh persepsi tersebut kerana karakter pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini ternyata berbeza.
Benar, Syafinaz memiliki rupa paras yang garang, namun penyanyi ini agak peramah orangnya dan sentiasa tersenyum setiap kali berbicara.
Pertemuan OopStarz! dengan penyanyi yang popular dengan lagu Ingin Bersamamu ini di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di ibu negara melahirkan perasaan teruja untuk berkongsi cerita.
“Entahlah, memang dari dulu orang kata saya garang. Mungkin kerana paras rupa saya membuatkan orang berfikiran begitu,” selorohnya membuka bicara.
Kata Syafinaz, dia seorang yang santai dan jarang sekali bersifat tegas melainkan ia berkaitan dengan kerja.
Malah, katanya, dia mampu berkelakuan seperti kanak-kanak apabila bergaul dengan golongan kecil itu.
“Saya boleh berperangai kebudak-budakan apabila bergaul dengan kanak-kanak dan matang bila bergaul dengan orang dewasa mengikut tempat dan dengan siapa saya bergaul.
“Cuma, garang saya bertempat. Sebagai pensyarah, saya perlu bertegas dan akan mengamuk kalau kerja yang saya berikan tidak siap.
“Begitu juga dengan kerja-kerja saya yang lain seperti ketika menyanyi atau dipertanggungjawabkan untuk menjadi juri, saya perlu tegas dan bersifat terus terang.
“Lebih-lebih lagi apabila memberi komen kepada peserta pertandingan menyanyi misalnya, saya perlu cakap apa kesilapan yang dilakukan kerana merekalah yang akan berada dalam industri muzik kita nanti,” katanya yang turut mengakui dia seorang yang mementingkan kesempurnaan.
Mengenali Syafinaz, masanya sentiasa diisi dengan jadual kerja yang padat sehingga tiada masa untuk merehatkan diri sendiri.
Akui dengan kesibukan itu, penyanyi ini menganggap, kerja-kerja hariannya sudah sebati dalam diri lebih-lebih lagi ia membabitkan bidang yang paling disayanginya.
“Hidup saya sentiasa diisi dengan muzik. Tak tahulah kalau tiada muzik, bagaimana perlu mengisi jadual harian saya.
“Tapi semua itu satu kepuasan. Kalau nak bercakap minat saya selain muzik, mungkin belajar bahasa baru menjadi pilihan. Lagipun sekarang ini saya sedang belajar bahasa Mandarin,” katanya.
Sungguhpun sibuk dengan kerjaya, penyanyi ini akan sentiasa memastikan kesihatan dan kecantikan diri dititikberatkan.
“Waktu kerja sangat padat namun saya tetap harus tampil menarik. Oleh itu, saya gunakan produk kecantikan yang bersesuaian agar kulit tidak senang terdedah,” ujarnya.
Selain itu, antara perkara lain yang diminatinya ialah bercuti di luar negara dengan berkunjung ke taman tema seperti Universal Studios, Warner Bros Movie World dan Disney Land.
“Memang menjadi perkara wajib untuk saya berkunjung ke taman tema apabila pergi ke mana-mana negara.
“Saya sanggup menghabiskan masa seharian untuk bermain permainan yang merbahaya seperti roller coaster atau solero shots contohnya.
“Lebih seronok lagi, bila orang menjerit ketakutan, saya pula senyap walaupun dalam keadaan takut. Nanti hilang suara pula,” ujarnya tertawa.
Sementara itu, Syafinaz kini sibuk dengan penganjuran konsert No Wrong Notes yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 November ini bersama 55 orang ahli koir yang terdiri daripada kumpulan Koir remaja Kebangsaan, dan Koir Kebangsaan.
Konsert yang dianjurkan oleh JKKN itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPK) dan Kementerian Pelancongan Malaysia.
Konsert yang menghimpunkan elemen Jazz, Latin dan Raggae itu dipimpin oleh Mohd Amri Mohd Zin selaku konduktor sementara Tunku Marina Tunku Zubir sebagai Pengarah Koir.
Bagi yang berminat menyaksikan konsert berkenaan, tiket kemasukan hanya RM10. Konsert ini akan berlangsung di Auditorium DBKL.
"Kepuasan" baru Syafinaz
TUGASAN mengajar vokal di kalangan orang dewasa memang mudah. Bagaimanapun, ‘keperitan’ berbeza andai berdepan dengan kumpulan kanak-kanak.
Biarpun punya pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tersebut, namun tidak mampu untuk menangani situasi tatkala berdepan dengan si kecil.
Macam-macam kerenah yang perlu dilayan. Nada suara dan pendekatan juga perlu berbeza. Kalau mengherdik sedikit, pasti ada yang muncung mulut dan merajuk di balik almari.
“Itu yang saya alami sewaktu mengajar 37 kanak-kanak Kumpulan Koir Permata Seni yang digilap menerusi program Permata Seni Negara sejak setahun setengah lalu,” dedah penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat.
Baginya mengajar kanak-kanak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Perlu bijak mengambil hati mereka sewaktu belajar.
“Kanak-kanak tak tahu membaca nota. Jadi
saya kena ajar mereka tahap demi tahap. Kalau ada yang tercicir, saya kena ulang semula. Begitulah rutin pengajarannya.
“Kanak-kanak perempuannya pula lebih bersemangat dan rajin mengulangkaji sesudah pembelajaran. Kalau budak lelaki pula, tumpuannya kejap saja. Lebih suka kepada permainan,” sambung Syafinaz bercerita tentang perbezaan antara dua jantina itu.
Bagaimanapun, Naib Juara pertandingan Hiburan Minggu Ini (HMI) 1999 ini juga cukup teruja dengan semangat yang dipamerkan oleh kanak-kanak Permata Seni Negara itu.
Apatah lagi sewaktu menyertai World Peace Choral Festival 2011 yang diadakan di Vienna, Austria mulai 25 hingga 28 Julai lalu.
Bertindak sebagai pengarah koir bersama tujuh pembantu mereka terbang ke negara tersebut seawal 19 Julai.
Di situ mereka berkampung hampir dua minggu membuat persiapan rapi. Tambahan pula festival itu adalah acara luar negara yang pertama disertai kumpulan koir tersebut.
“Apa yang membanggakan saya, mereka semua menunjukkan semangat dan berusaha kuat. Jelas kelihatan di wajah masing-masing.
“Kejadian itu secara tak langsung buat saya kembali tersedar bahawa sebenarnya susah nak mencari kanak-kanak yang ada bakat menyanyi, tidak malu untuk ke hadapan dan punya personaliti.
“Jerit perih saya mengajar mereka semacam dah terbalas. Sesuatu rasa yang cukup indah buat seorang cikgu apabila melihat prestasi anak muridnya,” imbas wanita ini.
Ditanya kepuasan buat seorang guru koir sepertinya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini ada jawapannya.
“Saya lebih berbesar hati andai dapat mengumpulkan lebih ramai peserta lelaki dalam satu kumpulan muzik. Sebab lelaki punya lontaran suara lebih padu berbanding perempuan,” katanya.
Mengulas tentang album barunya, ada nada keriangan di wajahnya. Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini memberitahu bahawa dia sedang dalam proses untuk menyempurnakan lapan lagu dalam albumnya.
“Enam lagu sudah siap sementara dua lagi sedang dalam penyesuaian. Album kali ini lebih istimewa kerana saya yang mengeluarkan semua idea termasuk konsep lagu dan keseluruhannya.
“Saya tak mahu labelkan genre konsepnya sebab ia gabungan pop kontemporari dan klasik barat yang disesuaikan dengan halwa telinga masyarakat tempatan.
“Ada juga seperti bunyi opera yang diolah menjadi sedikit hip hop. Apapun saya berdoa agar pendengar Malaysia boleh terima pembaharuan yang cuba saya ketengahkan,” terangnya panjang lebar.
Syafinaz Tidak Sunyi Tanpa Lelaki

BERTEMBUNG secara kebetulan dengan penyanyi bervokal soprano Syafinaz Selamat di sebuah pertunjukan fesyen di ibu negara baru-baru ini, membuka peluang untuk mendekati guru vokal ini.
Di usia 37 tahun, Syafinaz telah memiliki pakej lengkap untuk melangkah ke fasa berkeluarga. Dia jelita, bekerjaya dan berjaya namun masih tidak mempunyai teman istimewa.
Tidak bagi segelintir artis yang pasti mengelak atau mempamer reaksi tidak selesa tika diaju soalan berkaitan cinta atau kisah peribadi, Syafinaz sebaliknya begitu terbuka untuk menjawab.
"Terus terang saya kata, saya masih tiada teman lelaki sehingga hari ini. Bukan saya hendak menafikan atau cuba nak sorok, cuma memang tiada teman istimewa buat masa ini.
"Namun, saya tidak pernah kisah pun. Ia tidak menjadi masalah kepada saya. Saya senang dengan kehidupan yang saya jalani sekarang," tegasnya dalam bahasa yang begitu berlapik.
Guru vokal yang pernah menjadi juri pelbagai pertandingan nyanyian termasuklah dua program realiti popular tanah air Malaysian Idol dan One In a Million ini terus diusik mengenai kesunyian tanpa lelaki di sisi.
"Saya tidak pernah rasa sunyi tanpa kehadiran lelaki dalam hidup. Saya sibuk dengan kerja dan ada ramai kawan dan keluarga yang sentiasa mengisi hari-hari saya.
"Tak mungkin saya akan kesunyian. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah rasa bersendiri atau terlalu dambakan cinta seorang lelaki. Saya lebih senang bercinta dengan kerja.
"Bayangkan, masa untuk privasi pun terbatas. Waktu untuk tidur pun tak cukup, apatah lagi untuk bercinta pula. Saya tiada waktu untuk menjalani hubungan dengan teman istimewa," katanya lagi.
Tambah Syafinaz, keutamaannya kini adalah untuk terus mengukuhkan karier seninya. Kini, dia tidak hanya mengehadkan bakatnya dalam bidang nyanyian semata-mata.
Beberapa cabang baru dalam bidang seni termasuklah lakonan dan aktiviti teater makin giat diceburinya lewat ini.
"Saya wanita alaf baru. Keutamaan saya adalah karier seni. Bukan hendak kata lelaki tidak penting dalam hidup saya. Cuma buat masa ini, saya senang dan selesa dengan kehidupan sekarang.
"Banyak perkara yang saya hendak capai dan miliki. Hari ini, saya tidak hanya fokus pada bidang nyanyian sahaja.
"Saya makin aktif menyertai bidang lakonan dan teater. Jadi, memang saya tidak sempat fikirkan tentang cinta dan komitmen, mungkin bukan hari ini," ujarnya berseloroh.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
