Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin. Show all posts
Showing posts with label Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin. Show all posts

Ummi Nazeera ganti Nora Danish dalam ‘Spa Qistina’


WATAK menantu Qistina, Maya lakonan asal Nora Danish dalam ‘Spa Qistina’ kini diganti oleh pelakon Ummi Nazeera dan bukannya pelakon Natasha Hudson seperti diuar-uarkan sebelum ini.

Hal itu disahkan oleh penerbit eksekutif Global Station Sdn. Bhd. Adila Datuk Ramly ketika dihubungi semalam.

Anak kepada produser terkenal Datin Zaiton Mohd Jiwa itu memaklumkan Ummi telah memulakan penggambarannya sejak dua hari lalu.

“Kami baru menawarkan pelakon Natasha Hudson untuk berlakon watak itu tetapi dia tidak dapat menerimanya kerana mempunyai komitmen lain.

“Akhirnya kami memilih untuk mengambil Ummi Nazeera dan dia juga sudah berlakon drama ini semalam (Isnin),” kata Adila.

Difahamkan, Natasha kini terikat dengan jadual penggambaran drama ‘Lembing Dan Layang’ untuk Astro Citra.

Menyentuh tentang isu tarik diri Nora, wanita itu telah memaklumkan dia terpaksa menarik diri disebabkan masalah teknikal yang berlaku dalam ‘Spa Qistina’ sehingga pihak produksi terpaksa melanjutkan tarikh penggambaran ke bulan Disember.

Kebetulan, Nora terpaksa memulakan penggambaran filem terbarunya, ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’ mulai 21 November ini.

Nora melakonkan watak sampingan, Teha dan sudah berjanji dengan pihak produksi filem itu, Metrowealth (MIG).

Sementara itu, Adila yang akui terkilan dengan sikap Nora meninggalkan lokasi penggambaran tanpa kata. Dia memikirkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Adila menganggap, Nora mungkin mempunyai masalah peribadi lain tetapi ibu tunggal seorang anak itu seharusnya memaklumkan kepadanya atau ibunya memandangkan mereka memahami perasaan Nora yang pada masa itu berada di lokasi pengambaran yang sama dengan pelakon Fasha Sandha.

Namun begitu, Nora telah mendapat tahu dia tidak akan bertembung langsung dengan Fasha dalam satu babak.

“Ikut pada profesionalisma, saya harap Nora akan meneruskan lakonannya dalam ‘Spa Qistina’ tetapi akhirnya dia tidak ‘makan pujuk’ dan mengambil keputusan untuk menarik diri. Hal itu dimaklumkan oleh pembantu peribadinya, Mat.

“Saya anggap isu tarik diri ini sebagai perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi kami tidak serik untuk bekerjasama dengan Nora lagi sekiranya ada kesesuaian watak dengannya,” ulas Adila yang tidak mahu memperbesarkan isu itu lagi.

Kata Adila, selain masalah peribadi, Nora memang terikat dengan penggambaran filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’ yang akan memulakan penggambarannya mulai 15 November ini.

“Masalah teknikal juga berlaku disebabkan kami menukar kumpulan produksi yang baru. Jadi, terpaksa ‘brake’ empat hari. Apabila mendapat tahu hal ini, Nora terus menarik diri kerana mempunyai kerja lain,” ujar Adila yang turut memaklumkan ibunya juga terkilan dengan hal itu kerana pertama kali berlaku dalam sejarah syarikatnya.

Nora telah menyelesaikan lebih 40 babak dalam drama itu dan kini Ummi perlu melakonkan semula babak itu dari awal. Namun begitu, Adila enggan menghebohkan jumlah kos kerugian akibat penggambaran semula itu.

Menyentuh tentang lakonan Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, Adila memuji pelakon muda berusia 19 tahun itu.

“Walaupun dia menerima tawaran itu pada saat akhir dan mendapat skrip pada malam itu, tetapi dalam tempoh satu malam dia sempat ‘study’ wataknya.

“Dia mempunyai bakat, dedikasi dan bersedia untuk melakonkan watak itu,” ulasnya lagi.

Drama bersiri Spa Qistina yang bakal disiarkan di Astro pada awal Januari depan ini diarahkan Zulkifli Arshad dan skrip ditulis oleh Rina Khan. Spa Qistina kali ini lebih mantap dengan gandingan pelakon berkaliber tanah air seperti Nanu (Qistina), Azizah Mahzan (Marlia), Adi Putra (Fahmi), Fasha Sandha (Frieda), Riezman Khuzaimi (Dr Zulfadzli), Farahdiya (Julia), Nik Zarith Nellydya (Melissa) dan Jasmin Hamid (Sofiera). Tidak ketinggalan, penampilan khas, band indie popular tanah air, Hujan.

Spa Qistina mengisahkan cabaran baru Qistina yang berhadapan dengan konflik keluarga terutama selepas berkahwin dengan lelaki muda, Fahmi. Mampukah dia menanganinya?

Gusar gosip cinta


Ummi Nazeera tidak mahu hubungannya dengan Remy Ishak tenggelamkam kisah kerjaya

BENARKAH ada cinta di hati Ummi Nazeera terhadap aktor kegilaan ramai, Remy Ishak? Persoalan itu masih belum mampu terungkai dan terus menjadi tanda tanya. Mungkinkah antara mereka memilih jalan selamat untuk terus menyembunyikan ledakan cinta yang sedang membara?

Tak salah bercinta pun kerana masing-masing khabarnya tidak mempunyai kekasih hati dan selesa memberi tumpuan kepada perjuangan yang baru bermula. Soalan klise itu barangkali tidak mampu lagi dielak dua pelakon drama Nur Kasih yang sedang hangat disiarkan di TV3 setiap malam Jumaat ini.



Ia mungkin akan terus berbekas menjadi badi yang mungkin ditakuti sesetengah pasangan yang memilih untuk bercinta sesama rakan artis. Baik Remy, mahupun Ummi, jawapan hanya kawan saja sering terpacul daripada mulut masing-masing.

Dengan apa yang terjadi dan dipaparkan di dada akhbar, majalah dan laman maya, kisah cinta golongan selebriti yang tidak kesampaian mungkin akhirnya memberi natijah tersendiri yang pastinya membuatkan sesiapapun fobia.

Ibarat pepatah, ditelan mati bapa, diluah mati emak. Ironinya, mengaku bercinta salah, berselindung pun akan jatuh hukum jadi salah. Pintas Ummi di awal bicara, dia tidak bercinta dengan Remy Ishak. Percaya atau tidak, itu yang diakui gadis berusia 19 tahun ini. Atau semuanya sekadar ‘cover line’?

Tidak mahu terus mengasak soalan peribadi ini bertubi-tubi kepada pemegang watak Siti Sarah dalam drama Nur Kasih itu, Hip tinggalkan semua dengan 1001 tanda tanya. Nilai sendiri jawapannya. Baginya, kembara sebagai anak seni masih jauh, lalu lebih molek andai perhatian diberi kepada perihal kerja berbanding cinta.

“Macam yang pernah Ummi katakan sebelum ini, Ummi masih muda untuk memikirkan lanjut soal hubungan cinta yang lebih serius. Ummi bukan tidak suka dikaitkan dengan Remy, cuma rasa kurang selesa apabila perhatian itu mula memesong daripada niat sebenar Ummi menyertai seni apabila terlampau berkali-kali dikaitkan dengannya.

“Ummi sedar ini sebahagian daripada asam garam dunia hiburan. Tapi pada masa yang sama, Ummi harus kekal fokus kepada kerjaya. Soal bercinta, nanti dululah kerana ia bukan keutamaan dan tersenarai dalam matlamat Ummi sekarang ini. Lagipun, Ummi bimbang, kalau terlalu ekstrim sangat cerita sebegini keluar, ia mungkin akan memberi impak negatif pula akhirnya,” katanya yang mula berlakon bersama dengan Remy Ishak menerusi drama Awan Dania musim pertama.

Anak bongsu dua beradik itu ditemui Hip pada Syawal lalu ketika majlis rumah terbuka syarikat Pointray berasaskan perabot milik ibunya, Maziah Musa di perkarangan Restoran Chiangrai yang turut dimiliki keluarganya.

Luang masa untuk ibu, keluarga

DALAM perkembangan lain, Ummi kini lebih banyak menghabiskan masa di pejabat ibunya (terletak di atas premis restoran milik keluarganya itu) menguruskan apa yang patut terhadap cabang perniagaan yang diuruskan. Apakah yang dilakukan Ummi kini sebagai langkah awal untuk mengikuti jejak ibunya bergelar ahli perniagaan?

Menidakkan perkara itu, jelas Ummi, minatnya terhadap dunia lakonan tidak sesekali terhakis begitu saja. Malah, apa yang dilakukannya kini sebagai menurut kata ibu yang mahukan anaknya berehat seketika daripada dunia seni selepas berhempas pulas mengikuti jadual berlakon tanpa henti.

“Bayangkan sejak tahun lalu hinggalah Ogos tahun ini, Ummi perlu bergerak daripada satu lokasi penggambaran ke satu penggambaran. Daripada drama Ali Din, Awan Dania musim pertama, Klon Teja hinggalah ke Nur Kasih, Ummi tak berpeluang menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga. Maka sebab itu, Ummi memilih untuk berada di pejabat saja.

“Jika mama boleh berkorban mengizinkan minat Ummi terus bercambah, tak salah untuk Ummi melakukan perkara yang sama kepadanya. Untuk mengeratkan hubungan kami yang renggang, Ummi perlu berbuat sesuatu. Bila berehat ini, Ummi juga sempat memikirkan peluang untuk sambung belajar yang dijangka dilakukan tahun depan,” kata Ummi yang turut berdebar menanti tayangan filem Hikayat Merong Mahawangsa memegang watak Embok.

Tambah Ummi lagi, tak guna kalau dia mengambil sebarang tawaran berlakon secara sambil lewa kerana pada akhirnya, ia akan memberi kesan kepada kerjayanya juga.

“Bukan nak kata Ummi bagus apatah lagi nak ‘demand’. Tapi Ummi harus akui yang diri ini memang cukup selektif dalam menerima tawaran. Ummi bukan seorang pelakon yang baik, lalu Ummi tak nak menjerat diri melakukan kesilapan jika tersalah percaturan memilih skrip,” katanya yang sempat membawa Hip meninjau studio butik pakaian, Musa Outlets milik abangnya Ahmad Nazreem.

Kata Ummi, selama ini, dia kerap menggunakan pakaian milik premis abangnya itu untuk sesi fotografi ataupun sebagai pakaian untuk dipakainya semasa berlakon.

“Memang ada pihak produksi yang menggunakan khidmatnya untuk meminjam baju bagi sebarang drama atau telefilem. Kalau ada pihak produksi atau pelakon yang berminat untuk menggunakan khidmatnya bolehlah datang ke sini. Insya-Allah, kalau jadi mungkin tahun depan, abang Ummi akan buka butik di Avenue K,” katanya sambil memberitahu studio butik itu beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam.

Ummi Nazeera cari lelaki beriman


Hai Ummi, saya amat meminati Ummi terutama dalam cerita Nur Kasih. Saya ingin bertanyakan sedikit soalan, harap Ummi dapat menjawabnya.

1. Bagaimanakah ciri jejaka pilihan Ummi?

2. Apakah yang akan Ummi lakukan sekiranya tidak bergelar artis?

3. Selain berlakon tak teringin ke nak menyanyi?

n Nik Nur Afiqah Suhaimi,

Semenyih, Selangor.

UMMI

1. Bagi Ummi biarlah lelaki itu memiliki ciri-ciri yang semua orang mahukan seperti beriman, bertanggungjawab dan pandai ambil hati Ummi. Tapi yang paling penting dia mesti menghormati Ummi dan keluarga.

2. Kalau tak menjadi artis Ummi mungkin akan bekerja di syarikat milik emak Ummi rasanya. Setakat ini kalau Ummi tak ada penggambaran pun Ummi dah pasti akan pergi ke syarikat tersebut membantu emak.

3. Tak mungkin. Suara Ummi tak sesedap mana dan biarlah Ummi sekadar menyanyi dalam bilik air sahaja.

Remy hanya kawan baik

Hai, saya adalah salah seorang peminat kakak. Saya harab kakak boleh jawab soalan saya ini

1. Apakan perkembangan baharu kakak?

2. Kenapa kakak dah tak ada dalam cerita Awan Dania?

3. Bila nak kahwin? Apa status hubungan Ummi dengan Remy Ishak?

n Nuraida Nabilah, Parit Buntar Perak

UMMI

1. Buat masa ini Ummi baru sahaja habis penggambaran filem Hikayat Merong Mahawangsa dan sekarang Ummi terlibat dalam drama Hikayat Putera Syazlan sebagai suara untuk buku ajaib dalam drama tersebut. Selain itu Ummi juga sedang menunggu jika ada apa-apa tawaran daripada syarikat lain.

2. Sebenarnya waktu produksi Awan Dania tempoh hari, Ummi sedang sibuk dengan drama Nurkasih dan filem. Jadi untuk tidak membuatkan mana-mana pihak rugi, Ummi terpaksa tolak tawaran tersebut.

3. Ummi belum lagi memikirkan soal perkahwinan. Kalau boleh biarlah masa yang tentukan. Remy Ishak hanyalah kawan baik Ummi sahaja.

Tak kisah tak popular

Assalamualaikum, saya merupakan peminat Ummi Nazeera diharap menjawab semua soalan saya.

1. Apakah cita-cita Ummi pada zaman persekolahan?

2. Bagaimana Ummi ingin mencipta nama setelah berlakon tiga buah drama arahan Rosyam Nor ?

3. Adakah Ummi punyai alamat e-mel untuk peminat-peminat Ummi ?

n Shuk_Jefrri, Kluang

UMMI

1. Semasa Ummi sekolah dulu Ummi pernah bercita-cita untuk menjadi akauntan. Tapi nampak gayanya semua itu tak jadi kenyataan pula. Hehehe.

2. Untuk membina nama bukan satu perkara yang mudah. Tapi Ummi tak kisah sangat pasal perkara tersebut memandangkan minat Ummi yang sangat mendalam dalam bidang lakonan.

3. Awak boleh e-mel kepada zailan@pointray.com.my. Kalau Ummi ada kelapangan Ummi akan balas semua e-mel peminat.

Tak mahu komen!

Hai, apa khabar? Saya harap anda sihat dan sentiasa dilimpahi rezeki yang tak putus-putus.

Saya ada beberapa soalan dan harap Ummi sedia menjawabnya.

1. Bagaimana Ummi melihat perkembangan lakonan diri sendiri. Ada peningkatan atau tidak?

2. Ada juga pelbagai andaian yang mengatakan bahawa anda tidak pandai berlakon. Apa komen Ummi?

3. Apa yang Ummi cari apabila menyertai bidang seni? Menjual bakat yang ada atau sekadar mencari populariti?

n Seri Yati, Kuala Lumpur.

UMMI

1. Ummi tidak boleh menilai sendiri mutu lakonan Ummi. Apa yang boleh Ummi lakukan ialah mendengar sendiri maklum balas daripada peminat dan orang yang arif dalam bidang lakonan. Jadi Ummi akan perbaiki apa yang kurang.

2. Ummi tak mahu komen pasal benda ni. Macam-macam andaian yang orang buat dan masing-masing ada pilihan masing-masing.

3. Ummi ada dalam industri ini kerana minat yang sangat mendalam dalam lakonan. Tidak ada niat lain yang Ummi mahukan selain ikhlas dalam kerjaya Ummi sendiri. Dari situ barulah Ummi akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan kerja keras Ummi.

Ummi terkilan


Memberi alasan usianya masih muda, Ummi berasakan belum sampai masa untuknya membicarakan soal hati dan perasaan. Baginya, kembara sebagai anak seni masih jauh, jadi lebih manis andai perhatian diberi kepada perihal kerja berbanding cinta.

Bagaimanapun apabila keluar cerita dara manis ini meminta pengarah Natrah, Erma Fatima tengok-tengokkan Remy dan Diana Danielle yang melakonkan watak pasangan suami isteri dalam pementasan itu kerana bimbang timbul perasaan sayang, semakin ramai orang di sekeliling tertanya-tanya sejauh mana istimewanya Remy di hati gadis berusia 19 tahun ini.

Jauh di sudut hati, gadis ini terkilan apabila perkara itu diperbesarkan, walhal ia salah faham.

“Memang betul Ummi menghubungi Mama (panggilan untuk Erma Fatima) tetapi bukan seperti digambarkan dalam cerita yang keluar sebelum ini.

“Bila masa pula Ummi cemburu, Mama juga terkejut sebab dia tidak pernah sebut hal ini. Sebenarnya Remy menghormati dan teringin bekerjasama dengan Mama. Bila ditawarkan berlakon dalam Natrah, dia menjadi gementar.

“Maklumlah sebelum ini ada orang cakap Mama garang tetapi Ummi jelaskan kepada Remy, biarpun Mama tegas dan serius ketika bekerja, hatinya sangat baik.

“Sebagai kawan rapat Remy, Ummi menghubungi Mama dan berpesan supaya tengok-tengokkan Remy sebab dia gementar. Tidak lebih daripada itu dan langsung tidak menyentuh soal dengan siapa Remy berlakon atau perbualan yang menjurus kepada perasaan cemburu.

“Ummi juga pelakon dan tak akan sentuh atau ganggu bab kerja orang lain. Kalau betul pun Remy teman lelaki Ummi, Ummi tak akan ganggu kerjanya. Dengan siapa dia berlakon, watak apa atau apa saja yang berkait kerja, Ummi tidak boleh masuk campur,” katanya.

Sambung Ummi, sejak cerita itu dimainkan media hatinya tidak tenteram, apatah lagi ramai teman artis dan wartawan menghubunginya untuk mengetahui perkara sebenar.

“Ummi sungguh terkejut apabila tiba-tiba orang menghentam Ummi. Bila masa pula Ummi cemburukan Remy dan Diana? Perkara ini bukan saja mengganggu Ummi dan Remy malah mungkin juga Diana jika dia tahu perkara ini.

“Ummi tidak mahu cerita sebegini membuatkan Remy dan Diana tidak selesa di pentas nanti. Sebenarnya semua ini salah faham dan tidak ada apa perlu diperbesar-besarkan.

“Bila cerita ini keluar, Ummi tanya Mama dan dia cakap tidak pernah sebut soal cemburu. Dia juga hairan macam mana cerita kini boleh timbul.

“Untuk kesekian kali Ummi mahu jelaskan memang Ummi rapat dengan Remy tapi dalam soal kerja, kami profesional. Ummi tak pernah campur tangan soal kerja Remy, begitu juga dengan dia. Kalau tidak percaya, boleh tanya dengan pelakon drama Nur Kasih.

“Tak pasal-pasal Ummi jadi mangsa sampaikan ada pelakon senior pesan selepas ini kalau nak tolong orang kena berhati-hati. Tengok keadaan dan kesesuaian dulu. Tak sangka pula, niat baik Ummi disalahertikan,” katanya kecewa.

Meskipun ralat, Ummi tidak mahu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak kerana percaya perkara ini timbul berikutan salah tafsir.

“Mungkin orang salah faham kata-kata Mama. Apapun Ummi tidak salahkan Mama, apatah lagi dia seperti ibu Ummi. Dia juga bertanggungjawab membawa Ummi ke dalam industri.

“Bagi mengelak timbul salah faham di kemudian hari biar Ummi berterus-terang. Ummi dan Remy berkawan rapat, malah buat masa ini kami dalam proses mengenal hati budi masing-masing.

“Selebihnya Ummi tak berani komen kerana sebagai manusia biasa Ummi tidak boleh meramal masa depan. Kami mula rapat bila sama-sama berlakon dalam drama Awan Dania.

“Ummi selesa berkawan dengannya bila cara kami berfikir sama dalam soal kerja. Seperti Ummi, dia juga serius ketika bekerja,” katanya.

Jangan goda Aidil!


Masa berlalu dengan pantas dan Ummi menganggap dirinya masih 'hijau' dan cetek pengalaman.

Menyedari betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan, menyemarakkan lagi semangat gadis berzodiak Leo ini melanjutkan pelajaran dalam bidang seni.

Walaupun belum memutuskan secara terperinci mengenai kecenderungannya itu, Ummi mengakui dia dan keluarga sudah merancang perkara berkenaan sejak sekian lama.

"Mungkin saya akan berehat buat sementara daripada berlakon untuk melanjutkan pelajaran. Besar kemungkinan saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang seni atau pengurusan perniagaan.

"Begitupun, saya dan keluarga belum berbincang dengan serius atau membuat pilihan.

"Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, saya akan belajar sekitar hujung tahun ini.

"Mungkin saya akan menuntut di London atau New York. Ikutkan permintaan keluarga, mereka mahu saya mengikuti jurusan perniagaan. Tapi saya lebih berminat ambil bidang membabitkan lakonan. Saya sendiri belum dapat memberi kata putus.

"Saya sedar asas dalam lakonan masih cetek. Sekurang-kurang dapat belajar serba sedikit mengenai asas lakonan sudah cukup memadai buat saya.

"Di samping belajar, saya juga mahu merasai pengalaman menuntut dan mengenali budaya masyarakat di sana," katanya.

Ummi kini semakin mendapat perhatian menerusi lakonannya sebagai Siti Sarah dalam drama bersiri Nur Kasih yang disiarkan di TV3 setiap Jumaat jam 9 malam. Walaupun watak utama, Nur Amina (Tiz Zaqyah) menjadi perhatian, Sarah juga mencuri tumpuan.

Walaupun Sarah dan Nur adik-beradik dalam siri itu, watak kedua-duanya jauh berbeza.

Kalau Nur dilihat gadis sempurna yang cantik dan sopan, Sarah pula disifatkan remaja gedik hingga menimbulkan rasa meluat di kalangan penonton.

Dalam diam, Sarah menyimpan perasaan pada Aidil (Fizz Fairuz), tetapi lelaki itu lebih tertarik pada kakaknya tetapi Nur dijodohkan dengan adik Aidil, Adam (Remy Ishak). Sarah rasa peluangnya berkahwin dengan Aidil lebih cerah.

Apabila ibu bapanya berkunjung ke rumah ibu Aidil atas urusan penting, Sarah memasang angan mereka berbincang untuk menyatukan dirinya dengan Aidil.

Bagaimanapun, hatinya hancur apabila Adiel memilih gadis bernama Aliya (Ayu Raudhah) sebagai calon isteri.

Sarah berusaha meracuni fikiran Aliya dengan mengatakan Aidil sebenarnya menyintai kakaknya dan bukan Aliya.

Ummi mengakui, lakonannya dalam Nur Kasih mendapat maklum balas yang baik daripada penonton.

Katanya, watak berkenaan memberi cabaran tersendiri kepadanya.

"Memang ada yang tidak suka watak Sarah sehingga ketika bersiar-siar bersama keluarga, ada yang menegur serta mengusik supaya jangan menggoda Aidil.

"Tapi saya tidak pernah berasa puas seratus peratus dengan lakonan itu. Masih ada kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki," katanya.

Dalam sesi fotografi untuk Rap, baru-baru ini, Ummi yang dikaitkan dengan Remy kelihatan ayu bertudung menyerlahkan penampilan anak bongsu daripada dua beradik ini. Dalam Nur Kasih, Ummi juga bertudung walaupun hakikat sebenar penampilannya tidak begitu.

Kata Ummi watak Sarah memang berbeza dengan lakonannya dalam Awan Dania.

Pada dasarnya, Siti Sarah sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan hati kebudak-budakan yang dimilikinya. Dia mempunyai cita-cita tinggi, malah sanggup melakukan apa saja untuk memilik Aidil.

"Paling teruk, dia sanggup melukakan hati kakaknya dan memporak-perandakan kebahagiaan orang lain untuk kepentingan sendiri.

"Kalau mahu diterjemahkan ke alam realiti, saya sendiri juga seperti Siti Sarah yang sanggup melakukan apa saja untuk mengejar impian.

"Tapi saya tidaklah sekejam Sarah hingga sanggup memusnahkan kebahagiaan dan impian orang lain. Sarah boleh dikategorikan jahat dalam diam, tetapi berbeza dengan karakter saya dalam Awan Dania sebagai Hana, gadis gedik.

"Sebagai pelakon, saya tidak kisah diberikan watak apa saja. Selagi mampu mempelbagaikan karakter supaya tidak terus klise atau stereotaip dalam setiap watak yang dijayakan," katanya.

Katanya, pengalaman bekerjasama dengan pengarah terkenal, Kabir Bhatia serta Faisal Ishak memberi pengajaran yang cukup berguna kepadanya, malah berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang menjayakan drama itu.

Ummie juga bangga kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat seperti Liza Othman, Datuk Jalaludin Hassan, Fizz Fairuz dan Sheila Mambo.

"Pengarah (Kabir dan Faisal) kerap memberi bimbingan tapi melepaskan kreativiti lakonan kami supaya tidak terus terkongkong. Saya selesa berkerja dengan mereka. Malah gandingan pelakon juga mudah serasi," katanya.

Ummi juga mendapat perhatian KRU Studio untuk menjayakan watak Embok dalam filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles) arahan Yusry Abdul Halim.

Dalam filem kedua lakonannya selepas Lu Fikirlah Sendiri The Movie itu, Ummi berpeluang berlakon dengan bintang terkenal tanah air.

Mengenai sambutan Aidilfitri lalu, Ummi mengatakan membuat persiapan sebulan lebih awal bersama keluarganya di Besut, Terengganu.

Ummi mengambil peluang bercuti selama seminggu untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Ummi juga tidak suka dirinya dikaitkan dengan Remy dan enggan mengulas lanjut mengenai gosip itu.

>Profil

Nama sebenar: Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin

Tarikh lahir: 20 Ogos 1990

Asal: Kuala Lumpur

Adik-beradik: Bongsu daripada dua beradik

Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Filem: Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles)

Drama: Pesona Bintang, Takdir Yang Terindah, Dinasti Bilut, Ali Din, Awan Dania, Klon Teja, Kejar dan Nur Kasih

mmi risau Remy, Diana Danielle 'tersangkut'


Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Minta pengarah teater Natrah perhatikan gelagat kekasih

RAYA, raya dan raya lagi! Hari ini genap seminggu umat Islam meraikan kedatangan Syawal 1430 Hijrah. Zubir yakin ramai yang masih bercuti sakan, maklumlah setahun sekali barulah nak merasa berehat lama sikit. Zubir sendiri bersama keluarga masih bercuti, justeru ketika menyiapkan bahan advance gosip minggu ini, Zubir teringat untuk bercerita mengenai perkembangan terbaru kisah cinta dua pelakon remaja, Ummi Nazeera dan Remy Ishak.

Zubir pernah menemukan Ummi dan Remy sebagai penghias muka depan B*Pop sedikit masa lalu, kedua-duanya pernah mengaku mereka adalah teman rapat, namun tidak menolak kemungkinan sekiranya bertemu jodoh suatu hari nanti. Senang cerita mereka ini memanglah pasangan kekasih, tengah syok bercinta tu. Tapi, kenyataan mereka masih berlapik kalau ditanya mengenai berbicara hubungan mereka secara terbuka. Kedua-duanya juga pernah digandingkan menerusi drama popular Astro Ria, Awan Dania.

Sehingga saat ini Zubir tidak lagi mendengar sebarang perkhabaran negatif mengenai percintaan mereka, ini bermakna pasti hubungan itu tidak berdepan masalah besar. Masih ada cinta di hati Ummi dan Remy.

Pun begitu, ketika Zubir menghadiri majlis sidang media teater Impak Maksima - The Musical yang akan dipentaskan di The Esplanade, Singapura pada 17 dan 18 Oktober ini di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, baru-baru ini, seorang sumber rapat dengan Ummi dan Remy memaklumkan kepada Zubir, pasangan berkenaan memang sedang hangat bercinta, tapi apabila Remy dan Diana Danielle digandingkan dalam teater Natrah, ada cerita baru yang timbul.

“Sekarang semuanya sudah terang lagi disuluh. Diana Danielle akan memegang watak Natrah, manakala Remy Ishak sebagai Mansor Adabi iaitu suami pertama Natrah. Aku dapat tahu, kononnya sebaik saja Diana disahkan bergandingan dengan Remy sebagai suami isteri dalam teater Natrah, kekasih Remy, Ummi, terus menghubungi pengarah Natrah, Erma Fatima.

“Ummi khabarnya minta tolong Erma tengok-tengokkan si Remy dan Diana, manalah tahu dalam asyik berlakon tu, feeling sebagai suami isteri, dia risau kedua-dua artis yang sedang laris, meletup dan popular itu boleh ‘tersangkut’ dengan perasaan masing-masing. Ringkasnya Ummi nampak seperti cuak sekiranya Remy dan Diana terjebak dengan cinta lokasi!

“Maknanya si Ummi cemburulah tu dengan Remy. Maklumlah, boyfriend popular, kacak pula tu. Orang kata kalau ada rasa cemburu tu maknanya sayang, sekarang memang betullah Ummi dan Remy tengah bercinta. Sebab tu siap pesan lagi dengan Erma, tengok-tengokkan gelagat Remy bersama Diana di pentas Natrah, takut-takut buah hatinya itu berubah hati,” kata sumber tadi bersungguh-sungguh.

Hai, Ummi tak yakin ke dengan kesetiaan Remy? Mungkin Ummi dan Remy belum cukup ranum melayari episod percintaan mereka, justeru perasaan curiga, sangsi dan tak yakin dengan kesetiaan pasangan masing-masing pasti wujud. Lagipun dugaan orang bercinta ni memang hebat. Bagi Zubir, apa yang penting ialah nawaitu dan kesetiaan.

Jika niat kita untuk berkasih dengan orang itu saja, insya-Allah percintaan itu akan kekal abadi, tapi jika ada niat selingkuh atau main kayu tiga, sambil menyelam minum air, kadang-kadang ikatan perkahwinan pun boleh terlerai. peliharalah perasaan pasangan masing-masing. Hormati cinta, jangan biarkan ada dusta! Kesetiaan pula tunjang keharmonian sesebuah perhubungan.

Sedikit mengenai teater Natrah, difahamkan pementasan itu diilhamkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Ia akan dipentaskan di IB mulai 17 hingga 25 November depan. Natrah antara lain mengisahkan wanita keturunan Belanda yang dilarikan keluarga kandung daripada keluarga angkatnya yang berketurunan Melayu Islam di Singapura pada 1950-an sehingga tercetusnya rusuhan dan pertumpahan darah di negara itu.

ZUBIR: Aktor popular dan artis baru berpeluk sakan di pusat hiburan apabila terlalu banyak mengambil minuman keras!
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails