
Ummi Nazeera tidak mahu hubungannya dengan Remy Ishak tenggelamkam kisah kerjaya
BENARKAH ada cinta di hati Ummi Nazeera terhadap aktor kegilaan ramai, Remy Ishak? Persoalan itu masih belum mampu terungkai dan terus menjadi tanda tanya. Mungkinkah antara mereka memilih jalan selamat untuk terus menyembunyikan ledakan cinta yang sedang membara?
Tak salah bercinta pun kerana masing-masing khabarnya tidak mempunyai kekasih hati dan selesa memberi tumpuan kepada perjuangan yang baru bermula. Soalan klise itu barangkali tidak mampu lagi dielak dua pelakon drama Nur Kasih yang sedang hangat disiarkan di TV3 setiap malam Jumaat ini.
Ia mungkin akan terus berbekas menjadi badi yang mungkin ditakuti sesetengah pasangan yang memilih untuk bercinta sesama rakan artis. Baik Remy, mahupun Ummi, jawapan hanya kawan saja sering terpacul daripada mulut masing-masing.
Dengan apa yang terjadi dan dipaparkan di dada akhbar, majalah dan laman maya, kisah cinta golongan selebriti yang tidak kesampaian mungkin akhirnya memberi natijah tersendiri yang pastinya membuatkan sesiapapun fobia.
Ibarat pepatah, ditelan mati bapa, diluah mati emak. Ironinya, mengaku bercinta salah, berselindung pun akan jatuh hukum jadi salah. Pintas Ummi di awal bicara, dia tidak bercinta dengan Remy Ishak. Percaya atau tidak, itu yang diakui gadis berusia 19 tahun ini. Atau semuanya sekadar ‘cover line’?

Tidak mahu terus mengasak soalan peribadi ini bertubi-tubi kepada pemegang watak Siti Sarah dalam drama Nur Kasih itu, Hip tinggalkan semua dengan 1001 tanda tanya. Nilai sendiri jawapannya. Baginya, kembara sebagai anak seni masih jauh, lalu lebih molek andai perhatian diberi kepada perihal kerja berbanding cinta.
“Macam yang pernah Ummi katakan sebelum ini, Ummi masih muda untuk memikirkan lanjut soal hubungan cinta yang lebih serius. Ummi bukan tidak suka dikaitkan dengan Remy, cuma rasa kurang selesa apabila perhatian itu mula memesong daripada niat sebenar Ummi menyertai seni apabila terlampau berkali-kali dikaitkan dengannya.
“Ummi sedar ini sebahagian daripada asam garam dunia hiburan. Tapi pada masa yang sama, Ummi harus kekal fokus kepada kerjaya. Soal bercinta, nanti dululah kerana ia bukan keutamaan dan tersenarai dalam matlamat Ummi sekarang ini. Lagipun, Ummi bimbang, kalau terlalu ekstrim sangat cerita sebegini keluar, ia mungkin akan memberi impak negatif pula akhirnya,” katanya yang mula berlakon bersama dengan Remy Ishak menerusi drama Awan Dania musim pertama.
Anak bongsu dua beradik itu ditemui Hip pada Syawal lalu ketika majlis rumah terbuka syarikat Pointray berasaskan perabot milik ibunya, Maziah Musa di perkarangan Restoran Chiangrai yang turut dimiliki keluarganya.

Luang masa untuk ibu, keluarga
DALAM perkembangan lain, Ummi kini lebih banyak menghabiskan masa di pejabat ibunya (terletak di atas premis restoran milik keluarganya itu) menguruskan apa yang patut terhadap cabang perniagaan yang diuruskan. Apakah yang dilakukan Ummi kini sebagai langkah awal untuk mengikuti jejak ibunya bergelar ahli perniagaan?
Menidakkan perkara itu, jelas Ummi, minatnya terhadap dunia lakonan tidak sesekali terhakis begitu saja. Malah, apa yang dilakukannya kini sebagai menurut kata ibu yang mahukan anaknya berehat seketika daripada dunia seni selepas berhempas pulas mengikuti jadual berlakon tanpa henti.
“Bayangkan sejak tahun lalu hinggalah Ogos tahun ini, Ummi perlu bergerak daripada satu lokasi penggambaran ke satu penggambaran. Daripada drama Ali Din, Awan Dania musim pertama, Klon Teja hinggalah ke Nur Kasih, Ummi tak berpeluang menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga. Maka sebab itu, Ummi memilih untuk berada di pejabat saja.
“Jika mama boleh berkorban mengizinkan minat Ummi terus bercambah, tak salah untuk Ummi melakukan perkara yang sama kepadanya. Untuk mengeratkan hubungan kami yang renggang, Ummi perlu berbuat sesuatu. Bila berehat ini, Ummi juga sempat memikirkan peluang untuk sambung belajar yang dijangka dilakukan tahun depan,” kata Ummi yang turut berdebar menanti tayangan filem Hikayat Merong Mahawangsa memegang watak Embok.
Tambah Ummi lagi, tak guna kalau dia mengambil sebarang tawaran berlakon secara sambil lewa kerana pada akhirnya, ia akan memberi kesan kepada kerjayanya juga.
“Bukan nak kata Ummi bagus apatah lagi nak ‘demand’. Tapi Ummi harus akui yang diri ini memang cukup selektif dalam menerima tawaran. Ummi bukan seorang pelakon yang baik, lalu Ummi tak nak menjerat diri melakukan kesilapan jika tersalah percaturan memilih skrip,” katanya yang sempat membawa Hip meninjau studio butik pakaian, Musa Outlets milik abangnya Ahmad Nazreem.
Kata Ummi, selama ini, dia kerap menggunakan pakaian milik premis abangnya itu untuk sesi fotografi ataupun sebagai pakaian untuk dipakainya semasa berlakon.
“Memang ada pihak produksi yang menggunakan khidmatnya untuk meminjam baju bagi sebarang drama atau telefilem. Kalau ada pihak produksi atau pelakon yang berminat untuk menggunakan khidmatnya bolehlah datang ke sini. Insya-Allah, kalau jadi mungkin tahun depan, abang Ummi akan buka butik di Avenue K,” katanya sambil memberitahu studio butik itu beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam.