Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ummi terkilan


Memberi alasan usianya masih muda, Ummi berasakan belum sampai masa untuknya membicarakan soal hati dan perasaan. Baginya, kembara sebagai anak seni masih jauh, jadi lebih manis andai perhatian diberi kepada perihal kerja berbanding cinta.

Bagaimanapun apabila keluar cerita dara manis ini meminta pengarah Natrah, Erma Fatima tengok-tengokkan Remy dan Diana Danielle yang melakonkan watak pasangan suami isteri dalam pementasan itu kerana bimbang timbul perasaan sayang, semakin ramai orang di sekeliling tertanya-tanya sejauh mana istimewanya Remy di hati gadis berusia 19 tahun ini.

Jauh di sudut hati, gadis ini terkilan apabila perkara itu diperbesarkan, walhal ia salah faham.

“Memang betul Ummi menghubungi Mama (panggilan untuk Erma Fatima) tetapi bukan seperti digambarkan dalam cerita yang keluar sebelum ini.

“Bila masa pula Ummi cemburu, Mama juga terkejut sebab dia tidak pernah sebut hal ini. Sebenarnya Remy menghormati dan teringin bekerjasama dengan Mama. Bila ditawarkan berlakon dalam Natrah, dia menjadi gementar.

“Maklumlah sebelum ini ada orang cakap Mama garang tetapi Ummi jelaskan kepada Remy, biarpun Mama tegas dan serius ketika bekerja, hatinya sangat baik.

“Sebagai kawan rapat Remy, Ummi menghubungi Mama dan berpesan supaya tengok-tengokkan Remy sebab dia gementar. Tidak lebih daripada itu dan langsung tidak menyentuh soal dengan siapa Remy berlakon atau perbualan yang menjurus kepada perasaan cemburu.

“Ummi juga pelakon dan tak akan sentuh atau ganggu bab kerja orang lain. Kalau betul pun Remy teman lelaki Ummi, Ummi tak akan ganggu kerjanya. Dengan siapa dia berlakon, watak apa atau apa saja yang berkait kerja, Ummi tidak boleh masuk campur,” katanya.

Sambung Ummi, sejak cerita itu dimainkan media hatinya tidak tenteram, apatah lagi ramai teman artis dan wartawan menghubunginya untuk mengetahui perkara sebenar.

“Ummi sungguh terkejut apabila tiba-tiba orang menghentam Ummi. Bila masa pula Ummi cemburukan Remy dan Diana? Perkara ini bukan saja mengganggu Ummi dan Remy malah mungkin juga Diana jika dia tahu perkara ini.

“Ummi tidak mahu cerita sebegini membuatkan Remy dan Diana tidak selesa di pentas nanti. Sebenarnya semua ini salah faham dan tidak ada apa perlu diperbesar-besarkan.

“Bila cerita ini keluar, Ummi tanya Mama dan dia cakap tidak pernah sebut soal cemburu. Dia juga hairan macam mana cerita kini boleh timbul.

“Untuk kesekian kali Ummi mahu jelaskan memang Ummi rapat dengan Remy tapi dalam soal kerja, kami profesional. Ummi tak pernah campur tangan soal kerja Remy, begitu juga dengan dia. Kalau tidak percaya, boleh tanya dengan pelakon drama Nur Kasih.

“Tak pasal-pasal Ummi jadi mangsa sampaikan ada pelakon senior pesan selepas ini kalau nak tolong orang kena berhati-hati. Tengok keadaan dan kesesuaian dulu. Tak sangka pula, niat baik Ummi disalahertikan,” katanya kecewa.

Meskipun ralat, Ummi tidak mahu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak kerana percaya perkara ini timbul berikutan salah tafsir.

“Mungkin orang salah faham kata-kata Mama. Apapun Ummi tidak salahkan Mama, apatah lagi dia seperti ibu Ummi. Dia juga bertanggungjawab membawa Ummi ke dalam industri.

“Bagi mengelak timbul salah faham di kemudian hari biar Ummi berterus-terang. Ummi dan Remy berkawan rapat, malah buat masa ini kami dalam proses mengenal hati budi masing-masing.

“Selebihnya Ummi tak berani komen kerana sebagai manusia biasa Ummi tidak boleh meramal masa depan. Kami mula rapat bila sama-sama berlakon dalam drama Awan Dania.

“Ummi selesa berkawan dengannya bila cara kami berfikir sama dalam soal kerja. Seperti Ummi, dia juga serius ketika bekerja,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails