
HUBUNGAN cinta antara aktor Zul Ariffin, 27, dengan Penerbit Tayangan Unggul (TU) Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, 30-an, bukan satu rahsia.
Masing-masing tanpa berselindung sudah mengaku mengenai hubungan yang telah terikat selama sembilan bulan itu.
Dek kerana terbuka menceritakan hal peribadi ini, baik Zul mahupun Gayatri, kedua-dua mereka menerima kritikan hebat bukan sahaja ekoran perbezaan faktor usia.
Tetapi lebih menyedihkan, Zul juga didakwa mendekati dan bermain cinta dengan Gayatri beralaskan agenda tersendiri.
Ada yang mendakwa, sasaran Zul dalam hubungan itu bukanlah keikhlasan untuk mencintai wanita berkenaan.
Sebaliknya sebahagian daripada modus operandi aktor berkenaan dalam mencari laluan mudah mendapatkan kontrak lakonan di bawah syarikat gergasi berkenaan.
Untuk itu, Pancaindera mendapatkan komen Zul berhubung perkara tersebut biarpun pernah dinafikan oleh Gayatri sendiri dalam temu bual bersama media sebelum ini.
ZUL didakwa tidak ikhlas mencintai Gayatri. Ada pihak mendakwa Zul mahukan kontrak lakonan dengan TU. Apa komen Zul?
Benda pertama saya nak tanya, itu syarikat dia (Gayatri) sendiri ke? Bukan kan? Kalau itu syarikat dia logiklah jika orang nak kaitkan dengan dakwaan macam tu. Orang boleh bercakap dan fikir yang saya boleh dapat laluan mudah atas hubungan yang dibina. Tapi hakikatnya tidak.
Dah nama pun bercinta, dah sayang, benda-benda macam ini tak mustahil berlaku bukan?
Ini yang orang tak faham dan tak nampak. Sebenarnya orang tak tahu, ini adalah risiko yang saya hadapi. Sebenarnya saya dah boleh agak benda ini akan timbul. Kalau saya dapat tawaran daripada TU, orang akan ingat kerana saya bersama Gayatri. Sedangkan laluan mudah tak pernah wujud walaupun saya adalah teman lelaki dia.
Apa risiko yang Zul maksudkan?
Saya tahu hal ini ditujukan sebab saya terlibat berlakon dalam penggambaran filem Penanggal yang merupakan terbitan TU. Ingin saya tegaskan, Gayatri tidak pernah terlibat dalam soal pemilihan pelakon, itu adalah prosedur syarikat TU walaupun dia adalah antara orang kuat TU. Saya dipilih oleh satu pasukan yang telah dikhaskan untuk mencari pelakon bagi sesuatu projek TU. Gayatri tak campur. Saya percaya mereka lihat pada bakat dan bukan kerana saya menjalinkan hubungan dengan Gayatri.
Zul dituduh berpura-pura dengan hubungan cinta dengan Gayatri. Boleh beri komen jujur?
Sebelum ini pun saya pernah terbaca cerita-cerita mengenai isu ini sama ada di blog atau akhbar. Apa yang saya boleh katakan, 70 peratus yang mengata saya di belakang, mereka itu tak pernah sekali pun bertanya saya secara berdepan. Jadi saya bercinta ini sebab nak ambil kesempatan? Nak kikis Gayatri? Eh kalau saya nak kikis, dah lama dah saya buat. Sudahlah... saya dah tak peduli apa orang nak cakap. Lebih baik saya buat hal sendiri. Bagi saya, hal kerja adalah hal kerja. Hal peribadi lain cerita. Jangan campur aduk.
Menyentuh pasal suka buat hal sendiri khabarnya, Zul juga sengaja tak muncul di mana-mana majlis hiburan walaupun mendapat jemputan. Nak elak ditanya mengenai hubungan cinta ke?
Tak adalah. Saya tak pernah mengelak. Orang bertanya, saya jawab. Adakala saya mengaku memang tak mahu kerap muncul di majlis-majlis seumpama itu. Saya memilih. Kalau saya rasa wajar untuk dihadiri, saya akan hadir, Kalau tak, saya duduk di rumah saja.
Apa sebab tak mahu pergi? Penganjur dah ajak. Nama pun artis, kalau dijemput, paling tidak pun tayang muka saja. Tak begitu?
Itulah masalahnya, saya tak suka nak tayang muka tanpa tujuan. Saya tak pergi sebab saya memang malas nak pergi. Entahah, saya suka relaks saja dan tengok moodlah kalau nak hadir sesuatu majlis.
Promo filem pun nak elak?
Eh tak adalah. Kalau membabitkan kerja, saya mestilah akan pergi. Itu wajib.
Kerap kali diterjah dengan soal cinta dan hal peribadi. Zul tak bosan ke?
Tipulah kalau saya cakap saya tak bosan. Orang selalu tanya bila nak kahwin. Kalau pergi kenduri kahwin, lagilah tak boleh elak. Ada saja yang bertanya. Penting sangatkah nak cepat-cepat kahwin? Lepas kahwin nak buat apa? Nak kejar apa? Takkanlah saya nak jawab tunggu stabil. Kalau nak cakap pasal stabil, realitinya semua orang pun tak akan stabil walaupun lepas kahwin. Kalau saya kahwin, maka kahwinlah saya. Jangan risau pasal itu.
Jadi Zul nak katakan yang orang kita ini suka bertanya soalan-soalan kliselah. Begitu?
Tengok keadaan juga. Tak nafi ada sesetengahnya memang tipikal dan soalan mereka klise. Biarlah mereka. Saya dengan cara saya sendiri.