Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kaedah kosmetik putih kulit



Proses pencerahan wajah berperingkat hasil penggunaan kaedah kosmetik.


Selain krim, semakin ramai wanita guna rawatan laser, vitamin C atasi wajah kusam

KAEDAH pemutihan kulit merujuk kepada penggunaan kaedah kosmetik untuk tujuan pencerahan kulit. Percaya atau tidak, teknik pemutihan kulit popular di kalangan penduduk Afrika, Asia Barat dan Asia kerana berdasarkan kajian, mereka yang berkulit gelap sering mahukan kulit cerah berseri.

Obses terhadap kecantikan kulit bermula sejak zaman purba iaitu ketika Dinasti Achaemenid apabila petani dan golongan kebanyakan menggunakan butiran kristal hidrokuinon sebagai bahan utama bagi memastikan kulit sentiasa licin dan lembut.



Di Jepun, geisha terkenal dengan wajah bersolek putih sebagai lambang kecantikan, kelembutan dan status sosial yang tinggi. Bagaimanapun, produk pemutihan kulit tidak digunakan secara meluas di negeri matahari terbit itu.

Kini, produk pemutihan kulit banyak dijual dalam bentuk krim, pil, sabun dan losyen. Mekanisme yang digunakan produk moden berkenaan ialah dengan memecahkan melanin menggunakan enzim khusus atau hidrokuinon.

Kebanyakan produk krim pemutihan turut digabungkan bersama bahan penabir suria bertujuan untuk mengelakkan berlaku kerosakan kulit akibat pancaran terus cahaya matahari.

Seorang wanita Hong Kong berdiri di depan poster iklan pencerahan wajah.


Menurut pakar kulit sebuah klinik swasta, Dr Andrew Chua Sak Eng, penghasilan pigmen pada kulit terjadi secara semula jadi disebabkan faktor genetik. Bagaimanapun, ada juga faktor lain yang boleh menyebabkan penghasilan pigmen berlebihan seperti terdedah kepada pancaran cahaya matahari, masalah kulit hiper-pigmentasi dan pengambilan ubat tertentu.

Kata Dr Chua, pemakaian losyen atau krim penabir suria ialah kaedah paling mudah dan sering digunakan ramai bagi melindungi kulit daripada mengalami pigmentasi akibat UVB dan UVA.

“Penggunaan hidrokuinon pula ialah kaedah lama yang kekal digunakan sehingga kini kerana kemampuannya mencerahkan kulit, bagaimanapun ia tidak stabil kerana mudah teroksida dan bertukar warna.

“Malah, Kementerian Kesihatan juga sudah mewajibkan setiap produk pemutihan yang mahu dipasarkan perlu mengandungi kurang dua peratus bahan itu kerana kandungan hidrokuinon yang tinggi boleh menyebabkan radang kulit dan kesan terbakar selepas digunakan,” katanya.
Ada bahan lain yang tidak mengandungi hidrokuinon serta mampu memberikan kesan sama terhadap kulit iaitu arbutin, aid kojic, retinoid dan asid laktik.

Asid kojid dan retinoid sendiri boleh bertindak sebagai agen anti-penuaan, meningkatkan pengeluaran sel baru, mengurangkan penghasilan melanin, selain meningkatkan kolagen di dalam kulit.

“Tumbuhan yang mengandungi phyto nutrien seperti kacang soya juga boleh membantu mencerahkan kulit jika diambil secara berkala sama seperti ekstrak Garden Cress atau Lepidium sativum boleh menghalang tindak balas hormon pigmen dan reseptor sel pigmen,” katanya.

Prosedur rawatan kosmetik khusus untuk pemutihan kulit

Iontophoresis
Menggunakan pemindahan molekul transdermal ke lapisan epidermis melalui kaedah pembukaan salur sel menggunakan arus elektrik yang rendah.

Untuk tujuan pemutihan, kebiasaan vitamin C dalam bentuk cecair atau larutan disapukan pada bahagian rawatan bagi mencapai keberkesanan rawatan. Kebiasaannya cara ini mampu memberikan hasil yang diinginkan seawal tempoh seminggu selepas rawatan.

Laser QS Nd YAG
Kaedah ini menggunakan pancaran laser berkuasa 1,064 nanometer bertujuan untuk meremajakan kulit. Cahaya yang dipancarkan itu juga mampu mencerahkan kulit kerana ia ditujukan terus kepada pigmen melanin.

Kebiasaannya, teknik ini digunakan untuk merawat masalah lingkaran gelap pada mata, meremajakan kulit dan mengurangkan pori di kulit wajah.

Laser Mosaic Erbium Glas Factional
Ia adalah kaedah laser paling popular ketika ini. Kelebihannya ialah mampu mengembalikan keremajaan kulit, selain dapat mengurangkan pigmentasi dan parut.

Keberkesanan teknik boleh dilihat jika ia dilakukan menggunakan kaedah rawatan betul. Sesuai untuk digunakan pada tangan, kaki dan badan.

Teknik pengelupasan kulit (peeling)
Kebiasaan kulit akan mengelupas sepenuhnya dalam tempoh seminggu selepas rawatan.

Suntikan vitamin C
Rawatan kecantikan paling popular pada kebanyakan klinik dan salun kecantikan. Bagaimanapun, teknik ini tidak disarankan pakar kulit kerana ia boleh mengundang risiko terhadap kesihatan.

Fakta : Kulit



•Ia organ terbesar dan terberat dalam badan manusia.


•Kulit berfungsi sebagai
- pelindung bakteria, cahaya UV, bahan kimia dan kecederaan
- mengawal suhu badan
- organ deria
- menghasilkan vitamin D


•Purata berat kulit 4.8 kilogram untuk lelaki dan 3.2 kilogram untuk wanita.


•Sel baru kulit dihasilkan semula setiap 28 hari.


•Purata ketebalan kulit ialah empat milimeter.


•Permukaan kulit mempunyai pH 4.5 - 5.5 dan dikatakan pada pH berasid lemah.

Koleksi mewah, unik


CINCIN berloket indah berbentuk hati untuk penggemar barangan kemas.


Rekaan berkonsep warisan kontemporari, klasik

INDAH dan penuh seni membangkitkan gaya elegan sehingga mampu memukau pesona. Itulah gambaran jelas dapat dinyatakan melalui koleksi aksesori terkini Avon Jewellery dicipta khusus untuk wanita yang menggemari hiasan bersentuhan mewah serta unik.

Aksesori terbaru Avon diberikan sentuhan ala Couture itu dibawakan dalam pilihan harga yang berpatutan. Barangan serba indah itu juga dibahagikan kepada dua koleksi berbeza iaitu rangkaian Klasik berona emas, manakala Fesyen pula diserlahkan dalam rona perak.

Koleksi Klasik

Berhias indah rekaan berukir teliti dari zaman lampau berteraskan konsep warisan kontemporari yang menggabungkan elemen moden dan tradisional. Aksesori direka penuh elemen dramatik ini cukup sesuai untuk wanita glamor yang mendambakan personaliti menarik, seanggun aksesori digayakan.

Koleksi Fesyen


Kerongsang bertatahkan berlian sebagai pelengkap gaya.


Gabungan gaya moden dan elegan menjadi teras utama dalam rekaan koleksi kedua ini yang mana gabungan logam berona perak diukir indah bercorak geometri dengan keagungan alam menyerlahkan rekaan anggun seperti digayakan selebriti terkemuka.

Koleksi ini amat sesuai untuk diperagakan ketika majlis keraian, karpet merah, malam gala atau majlis formal yang mewah.

Avon Jewellery turut memperkenalkan selebriti Rozita Che Wan sebagai Duta Avon Jewellery 2009. Rozita sememangnya penggemar aksesori mewah berkualiti tinggi dan dia mengakui turut menyukai koleksi terbaru itu dan menggayakannya penuh bangga.

“Saya bagai jatuh cinta pandang pertama dengan rangkaian unik ini. Segalanya sungguh indah dan bergaya, memberikan sentuhan eksklusif kepada sebarang busana yang dikenakan.

Kerongsang berantai bersisipkan loket berbentuk hati sesuai untuk wanita.
“Yakinlah, ia adalah sentuhan terakhir yang harus dimiliki setiap wanita,” katanya.

Jahit tudung sendiri


Teknik mudah hasilkan tudung ala Ekin

BERGELAR suri rumah atau memiliki kerjaya tetap tidak menjadi penghalang untuk wanita meraih pendapatan sampingan. Bijak mengatur perancangan bersandarkan sedikit kemahiran seperti menjahit juga antara jaminan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, bagi sesetengah wanita, kemahiran yang ada tidak hanya dijadikan sumber rezeki tapi cukup sekadar untuk mengisi masa terluang dan dijadikan hobi.



Melihatkan kegilaan wanita ketika ini yang gemar menggayakan tudung ala Ekin menarik minat Shazliyaton Hashim untuk berkongsi kaedah menghasilkan tudung bersengkuap jahitan sendiri melalui laman blog.

Menurut Shazliyaton, menghasilkan tudung sengkuap tidak sesukar yang disangka kerana pelajar yang biasa menghadiri kelas dianjurkannya, mampu menyiapkan tudung bersengkuap di dalam tempoh kurang sejam.

“Paling penting, anda tahu bagaimana kaedah betul untuk menjahit selain mempunyai kelengkapan jahitan seperti mesin jahit dan material untuk menghasilkan sehelai tudung bersengkuap,” katanya.

Bahan-bahan:

Pola sengkuap bersama badannya, kain jersey (badan tudung), jersey, broked, kapas, sutera Thai atau shantung (sengkuap), bakrum (kain gam), jarum peniti, kapur penanda, jarum jahitan dan benang.

Saiz pola untuk sengkuap



•12.5 sentimeter panjang dan 4.5 sentimeter tinggi

Cara-cara:

1. Memotong sengkuap

(Gambar a) Letakkan pola di atas kain sengkuap yang sudah dilipat dua. Basikan setengah inci untuk lipatan jahitan.

(Gambar b) Tandakan garis asal sengkuap dengan kapur penanda sebagai tanda panduan ketika mencantum. Seterika bahagian lipatan untuk mendapatkan tanda garisan bagi meletakkan bakrum/kain gam.

2. Memotong badan tudung

(Gambar c) Bentangkan kain, lipat hujung kain ke tengah membentuk segi tiga. Letakkan pola di atas kain dan sematkan peniti untuk mengelakkan kain beralih.

(Gambar d) Tandakan dahulu garis asal badan tudung sebelum memotong kerana kain biasanya licin dan sukar untuk ditanda jika sudah digunting.

(Gambar e) Basikan setengah inci untuk depan tudung, dari bahagian muka ke bawah. Basikan satu inci di kawasan sekeliling tudung. Selepas dipotong, tandakan bahagian tengah tudung dengan kapur penanda.

3. Menjahit dan mencantum

(Gambar f) Jahit dua garisan lurus di atas bakrum/kain gam (di sebelah dalam sengkuap). Jarak dari tepi bakrum adalah lebih kurang setengah inci.

(Gambar g) Letakkan sengkuap yang telah siap dijahit tadi di atas badan tudung (pastikan bahagian luar bertemu bahagian luar) dan cantumkan bahagian tengah yang telah ditanda.

Selepas selesai menjahit cantuman, pastikan kedua-dua belah adalah sama kedudukannya terutama di bahagian hujung sengkuap. Sekiranya cantuman tidak sama, gunting lebihan itu sebelum di jahit tepi.

4. Menjahit kemasan

(Gambar h) Mulakan dengan menjahit di sekeliling sengkuap (bahagian atas). Jahit tindih dari sebelah luar bermula dari bawah dagu sehingga ke hujung dagu sebelah lagi.

(Gambar i) Bahagian sekeliling sengkuap yang sudah siap dijahit.

Jahit tindih dari sebelah luar untuk kemasan di seluruh hujung tudung. Setelah siap, seterika tudung terutama di tempat jahitan kemasan tadi.

Info

•Kelas jahitan tudung secara perseorangan atau berkumpulan (minimum lima orang) bersama Shazliyaton dianjurkan mengikut permintaan. Maklumat lanjut di blog www.kaktonstudung.blogspot.com atau 012-3271935/017-3679442. Di dalam blog turut ditawarkan kit tudung yang terdiri dari pola, nota jahitan dan kain jersey bagi individu yang mahu menggayakan tudung bersengkuap dijahit sendiri.

Gaun songket moden


Fabrik perlu digabungkan dengan sifon, renda Perancis

SOALAN

SAYA bakal melangsungkan majlis persandingan di sebuah hotel di ibu kota pada Disember nanti. Sempena majlis yang berkonsepkan moden kontemporari itu nanti, saya dan pasangan sudah menetapkan untuk menggayakan pakaian diperbuat daripada songket Terengganu.



Saya berharap untuk memakai lakaran gaun mewah sesuai untuk upacara memotong kek. Bagi pengetahuan anda, saya memiliki tubuh yang sederhana tinggi dan berat badan, 47 kilogram.

MIMIEY

JAWAPAN

SAYA memuji langkah saudari dan pasangan kerana memilih untuk menggunakan songket sebagai tema di majlis persandingan selaras dengan hasrat kerajaan sendiri yang ingin mengangkat fabrik itu setanding fabrik mewah lain.

Bagaimanapun, menggayakan fabrik mewah seperti songket memerlukan kebijaksanaan pemakai dan pereka terutama untuk rekaan berkonsepkan moden. Jika anda perhatikan, pakaian tradisional seperti kurung dan kebaya tampak klasik jika menggunakan songket sepenuhnya.

Namun, adalah lebih elok jika anda tidak menggunakan songket untuk keseluruhan pakaian berkonsepkan moden kerana gaya yang sarat akan merosakkan keindahan dan kemewahan songket itu sendiri.

Kali ini saya lakarkan gaun moden namun masih bercirikan tradisional melalui penggayaan songket Terengganu bersama padanan fabrik sifon dan tampalan renda Perancis.

Selain sifon yang lebih ringan dan sensitif, songket juga sesuai dipadankan bersama sutera Thai kerana keberatan kain yang sama memudahkan proses jahitan sekali gus membuatkan rekaan kelihatan lebih kemas.

Bagi menampakkan gaya moden, pilih songket yang mempunyai corak jalur bagi memberikan ilusi tinggi pada tubuh si pemakai. Rekaan leher V juga turut memainkan peranan, selain memberikan impak pada pemakai, rekaan unik itu juga mampu menyerlahkan rekaan gaun moden anda.

Upacara memotong kek adalah upacara santai bagi meraikan hari istimewa anda, justeru penggunaan warna ceria adalah lebih sesuai apatah lagi untuk dirakamkan melalui foto.

Penggunaan aksesori dan dandanan sesuai untuk digayakan bersama gaun moden kontemporari ini adalah yang paling ringkas. Jika anda memilih untuk menggayakan gaun bersama layah, elakkan mengenakan ia bersama tiara. Begitu juga sebaliknya.

Selain tiara, anda juga boleh menggantikan aksesori rambut dengan memilih penggunaan bunga segar bersama anting-anting labuh bercirikan moden kontemporari

Seelok-eloknya, pada malam itu nanti, pasangan anda turut sama mengenakan fabrik songket bercorak sama melalui pilihan rompi atau bow tie. Elakkan mengenakan sut berwarna kerana sut mampu menampilkan gaya elegan pemakai jika ia dikekalkan dalam tona hitam, biru gelap atau putih saja.

Profil
Nazreen Idris

Asal: Cheras, Kuala Lumpur.

Pendidikan: Diploma Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seri Iskandar, Perak.

Profesyen: Pereka fesyen, perunding gaya dan jurumekap.



•Nazreen Idris boleh dihubungi melalui emel nazreen_idris@yahoo.com

Teknik solekan ringkas


Mekap secara betul elak wajah kelihatan lesu

MAHU kelihatan anggun dengan wajah yang bersolek rapi tapi tidak tahu bagaimana caranya menyebabkan ramai wanita tampil di khalayak dengan penampilan solekan yang keterlaluan atau wajah yang lesu tidak bermaya.

Bagi memberi peluang kepada wanita terutama wanita bekerjaya mempelajari teknik betul untuk bersolek, ruangan Cantik kali ini berkongsi panduan solekan ringkas bersama Nurin Adlina Basir dari Nurin Makeover Studio.



Wajah

Bersihkan wajah terlebih dulu sebelum disapu pelembap dan seterusnya bedak asas. Pastikan anda memilih bedak asas dan bedak yang sesuai dengan kulit bagi memastikan solekan tahan lama dan kekal gebu. Lanjutkan dengan sapuan pemerah pipi pada tulang pipi tapi ingat, jangan terlalu berlebihan.

Kata Nurin Adlina, sebelum membeli bedak, pastikan anda mengenali warna dan jenis kulit terlebih dulu.

“Wanita yang mempunyai kulit berminyak lebih sesuai mengenakan bedak jenis debu, kulit kering pula digalakkan menggunakan bedak padat manakala mereka yang berkulit kombinasi, gunakan alat solek berasaskan air,” katanya.

Bibir

Lengkapkan penampilan dengan sapuan solekan yang secukupnya saja. Jika ingin bibir kelihatan penuh, bentuk dengan menggunakan pensil bibir berwarna neutral atau semula jadi. Selepas itu, oles gincu berwarna merah jambu sebelum diakhiri dengan sapuan pengilat bibir.

Mata

Jangan terlalu berani memadankan terlalu banyak warna pembayang jika anda ingin tampil sederhana. Pilih warna selamat seperti coklat, hijau dan ungu. Aplikasi maskara penting sebagai pelengkap solekan mata anda.

“Pilih warna yang sesuai dengan usia, warna kulit dan pakaian supaya wajah anda tidak kelihatan pelik,” katanya.

Alis mata

Gunakan pensil alis untuk merapi dan membentuk kening. Menurut Nurin Adlina, ramai wanita yang mengabaikan bahagian alis sedangkan goresan ringkas pada bahagian berkenaan dapat menaikkan seri wajah.

Maizawati dedah rahsia


Maizawati dedah rahsia
Bersama Raja Nurfatimah Mawar

Maizawati bersama anak-anak.


KASIHAN Raja pada bekas isteri Ustaz Akhil Hayy yang jelita, Maizawati Zainal yang tak sudah-sudah dihimpit kontroversi. Belumpun isu perceraiannya dengan Akhil reda, timbul pula cerita, dulu Maizawati pernah berkahwin dan meninggalkan suami demi mengejar cinta Akhil. Raja perhatikan, perhatian umum terhadap Maizawati mengalah dirinya seorang selebriti popular, sedangkan Maizawati hanya bekas isteri seorang penceramah bebas dan penyanyi, belum jadi selebriti lagi pun...

Namun, sejauh manakah kesahihan cerita itu, hanya empunya diri mengetahuinya. Laman web Melayu popular, www.murai.com.my mendedahkan pengakuan jujur Maizawati berhubung isu itu. Beliau menafikan tohmahan pernah berlaku curang pada suami pertamanya dulu.

“Cerita mengatakan saya meninggalkan suami pertama demi untuk hidup bersama Akhil adalah tohmahan besar yang tidak berasas. Saya tidak tahu mana datangnya cerita karut yang keterlaluan ini. Bagaimanapun, saya pernah membacanya di internet tidak lama dulu.

“Jujurnya, saya berkahwin ketika usia 17 tahun. Ketika itu, pemikiran saya masih mentah dan saya berkahwin bukan atas kerelaan hati sebaliknya kehendak keluarga. Bila pintu hati belum terbuka untuk berkahwin dan pilihan keluarga pula bukan kehendak hati, jadi banyak masalah mulai timbul. Akhirnya selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, saya dan bekas suami mengambil keputusan untuk berpisah. Hasil perkahwinan pertama dulu, saya dikurniakan dua cahaya mata yang kini tinggal bersama saya.

“Secara kebetulan, ketika dalam proses berpisah dengan bekas suami, saya bertemu dengan Akhil secara tidak sengaja di sebuah kedai makan. Sebenarnya, saya sudah mengenali Akhil sejak zaman persekolahan lagi. Nak jadikan cerita, Akhil ketika itu sedang mencari calon isteri dan Allah pula mempertemukan kami. Akhirnya selepas bercerai, saya dan Akhil mengambil keputusan untuk berumah tangga.

“Saya juga ada bukti dan rasanya tak perlulah komen panjang lebar berhubung cerita karut marut ini. Saya hanya berharap kekeliruan dapat diselesaikan kerana saya faham masyarakat sering mendengar gosip daripada sumber tidak sahih, yakni bukan daripada mulut saya sendiri,” katanya.

Maizawati berkata lagi, dia tidak pernah mempunyai niat terselindung, selain bercakap benar dan mempertahankan dirinya. Dia juga berharap masyarakat jangan terus membuat spekulasi terhadapnya dan Akhil. “Biarlah apa yang berlaku menjadi sejarah suka duka dalam hidup saya, tak perlulah mengaitkan saya dengan Akhil lagi,” katanya.

Mengulas isu dirinya mula mengejar glamor dan ligat menerima tawaran menjadi model dan penyanyi, Maizawati akui, dia mempunyai tanggungan. Selain empat anak, Maizawati juga masih menanggung ibu bapanya yang sudah tua.

“Tanggungan saya besar, empat anak dan ibu bapa menjadi keutamaan saya. Akhil ada memberi nafkah edah kepada saya tetapi duit belanja dua anak iaitu RM500 tidak mencukupi untuk saya menguruskan seluruh keluarga. Anak-anak sedang membesar, mereka perlukan pendidikan, makan pakai dan itu belum lagi sakit demam mereka.

“Sebab itulah saya bekerja keras kerana tidak mahu bergantung kepada orang lain. Jadi saya buat bisnes, tapi kalau saya tumpukan pada bisnes saja tidak boleh juga. Tahu saja hasil bisnes kadangkala tak menentu. Jadi bila ada tawaran yang saya fikirkan sesuai, saya terima.

“Dulu saya pernah menyimpan impian bergelar penyanyi tetapi keluarga tidak mengizinkan. Namun dalam keadaan sekarang, mungkin kalau diminta menyanyi lagu nasyid, saya boleh mempertimbangkan. Saya sedar, ramai pihak seboleh-bolehnya tidak mahu saya membabitkan diri dalam dunia seni.

“Jika hendak fikirkan glamor, sudah lama saya boleh buat kerana tawaran menyanyi sudah lama saya terima, tetapi saya menolak sebab akur dengan kata-kata suami. Bila sudah jadi begini, saya perlu berfikir panjang mengenai masa depan saya dan anak-anak,” katanya yang berniaga biskut serta coklat, selain hantaran perkahwinan yang sudah pun siap digubah. Jika ingin mendapatkan sentuhan Maizawati bolehlah menghubungi talian 019-6450814 019-6450814.

Ada seorang penyanyi wanita beranak lima sudah bercerai, siapa agaknya?

Serina kecewa


JELAS tergambar perasaan kecewa buat anak dara Chef Wan, Serina Redzuawan apabila ada suara nakal mengandaikan perkahwinannya dengan jejaka mat salih, Gavin Edward O'luanaiyah atau Salahudin Ghaffar yang bakal berlangsung 1 Januari ini tidak akan mampu bertahan lama.

"Bertahan ke Serina berkahwin dengan jejaka mat aalih tu, tengoklah nanti nasibnya sama seperti artis lain, mungkin tak kekal lama," itulah antara kata-kata yang begitu menghiris perasaan Serina.

Dengan nada sebak, Serina akui: "Saya terlalu kecewa dengan sindiran keterlaluan, saya tak sangka ada yang tergamak mendoakan perkahwinan saya dengan Salahudin berkecai di tengah jalan. Saya belum lagi berkahwin, tiang rumah tangga pun belum didirikan, tetapi janganlah kerana rumah tangga beberapa artis Malaysia yang berkahwin dengan bangsa asing berkecai, saya dan Salahudin turut menerima tempiasnya. Sepatutnya mereka mendoakan yang terbaik buat saya, bukan membuat andaian bukan-bukan.

"Sebagai manusia biasa, saya pasrah jika usia perkahwinan saya tidak panjang tetapi saya selalu sematkan dalam hati, jodoh, pertemuan, ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan, bukan manusia. Saya selalu terfikir jika artis Malaysia berkahwin dengan orang tempatan pun ada usia rumah tangga mereka tetap tak mampu bertahan, jadi salahkah saya memilih bangsa lain?

"Ini sudah jodoh saya. Saya terima dengan hati terbuka walaupun saya tahu tanggungjawab saya besar. Saya bersyukur memiliki Salahudin, dia rajin mendalami Islam, malah sentiasa membaca buku berkaitan agama."

Secara jujur, Serina berkata, dia tidak pernah gusar berkahwin dengan bangsa asing, malah melihatnya sebagai hikmah buat dirinya. "Saya tidak nafikan, banyak perkara yang perlu dilakukan bila berkahwin dengan bangsa asing tetapi semuanya terletak pada tangan kita sendiri. Saya melihat berkahwin dengan bangsa asing banyak hikmah di sebaliknya, bukan bebanan. Sekurang-kurangnya saya dapat mendalami agama Islam dan meneguhkan keimanan apabila belajar agama bersama.

"Salahudin mempunyai personaliti hampir sama dengan saya, `sporting' dan gila-gila. Dia akan sedia mendengar nasihat saya, ini menjadi tanggungjawab besar saya selepas saya mengambil keputusan bersama dengan saudara baru. Saya rasa perbezaan budaya menjadikan hubungan ini istimewa yang mana saya bukan saja sebagai bakal isteri, malah saya juga memainkan peranan sebagai pembimbing," katanya.

Akuinya, perasaannya kini bercampur baur menghitung hari menanti detik bersejarah untuk disatukan. Walaupun agak pening kepala memikirkan pelbagai persiapan yang perlu dilakukan, apatah hari bersejarahnya akan dilakukan dengan adat istiadat Melayu. Bukan soal tidak bersedia sebaliknya perkahwinannya dengan Salahudin bakal mencipta sejarah baru apabila banyak media dari luar negara berminat untuk membuat liputan sehingga menjadikan majlis perkahwinannya antara acara penuh tradisi Melayu yang akan ditonton di seluruh dunia.

Serina berkata: "Saya pening kepala, banyak persiapan yang perlu dilakukan tetapi mujurlah, bapa, Chef Wan membantu. Saya hanya mengikut kehendak bapa, dari kelengkapan, makanan hingga pelamin dan konsep, bapa yang menentukan. Di kala detik bersejarah saya hampir kunjung tiba, saya masih terikat dengan banyak projek seni. Alhamdullilah, saya masih kekal sebagai pengacara program Inspirasi Koko dan kontrak saya disambung untuk drama bersiri Roda Roda Kuala Lumpur dan Akademi Polis untuk musim seterusnya.

"Terbaru, saya dipilih mengacarakan progra, Jalan Jalan Cari Makan di TV3 untuk musim akan datang menggantikan Maria Tunku Sabri. Saya akui ada kalanya saya tertekan, kalau ikutkan saya mahu majlis perkahwinan diadakan secara sederhana, tetapi dah namanya artis dan anak kepada pakar masak terkenal, pastinya saya dan bapa tidak mampu menolak permintaan rakan-rakan bapa dari luar.

"Bukan mudah sebenarnya melakukan persiapan perkahwinan, detik saya dan Salahudin disatukan hanya dua bulan lagi, tetapi persediaan dilakukan sejak enam bulan lalu. Saya juga minta maaf pada teman, peminat dan rakan wartawan kerana tidak dapat mengundang semuanya, saya harap jangan ada yang berkecil hati.

“Majlis persandingan bertemakan taman diadakan secara tertutup. Majlis itu hanya akan dihadiri 600 tetamu dan rakan media yang cukup rapat dengan kami sekeluarga. Semuanya ditentukan bapa, saya hanya mengikut," katanya yang memilih 1 Januari ini untuk majlis akad nikah di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

Serina berkata, dia juga mengadakan majlis berinai kecil dan besar untuk memenuhi adat istiadat orang Melayu, apatah lagi majlis-majlis yang diadakan akan mendapat liputan Asian Food Channel dan BBC2 London.

Dengan nada perlahan, Serina akui: "Berat badan yang bertambah membuatkannya dipaksa menurunkan berat badan. Saya bingit mendengar bebelan bapa yang mahu saya kelihatan kurus pada majlis perkahwinan nanti. Bukan tidak mahu diet, malah hingga hari ini, berat badan saya berkurang lima kilogram, tetapi masalahnya ialah masa. Saya berazam nak turunkan lima kilogram lagi," katanya tergelak kecil.

Mawi beringat nasib masa depan


Amboi, romantiknya, siap berkongsi makan lagi.


Raja SMS rancak buat pelaburan sebagai persiapan andai diri tak lagi dipuncak populariti

SIAPA kata populariti Asmawi Ani atau Mawi sudah suam-suam kuku? Siapa kata Raja SMS itu sudah hilang peminat selepas mendirikan rumah tangga dengan si cantik jelita, Nor'ashikin Rahmat atau Ekin?

Bukan omong kosong, pergilah ke hujung dunia mana sekalipun, peminat Mawi tetap ada. Dari Eropah, Timur Tengah hinggalah ke negara Asia, Mawi tetap diserbu peminat. Mungkin keadaannya tidak seteruk ketika populariti Mawi sedang memuncak sehingga memaksanya mengupah pengawal peribadi suatu ketika dulu, tetapi Mawi tetap dikenali ramai.

Sapaan sekumpulan peminat Malaysia ketika Mawi dan Ekin sedang menjalani penggambaran program travelogue, Langkah Mawi... World musim kedua arahan Rahila Ali selama enam hari di Hong Kong, baru-baru ini, membuktikan juara Akademi Fantasia 3 itu masih belum hilang bisa, malah aura yang dimiliki belum mampu ditandingi penyanyi lain.

Dengan nada perlahan, Mawi akui: "Saya sentiasa mengingatkan diri saya, hidup bagaikan pusingan roda, ada masa di atas, ada masa pula di bawah. Saya sedar itulah harga yang perlu dibayar apabila bergelar anak seni. Sejak dulu, saya sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan yang akan berlaku.

"Saya tak pernah kesal memilih hidup sebagai anak seni, saya tahu tak selamanya saya berada di atas - dipuja dan disanjung. Bagaimanapun, saya tidak melihat perkahwinan penyebab saya kehilangan peminat. Alhamdullilah, rezeki saya masih melimpah ruah walaupun tak selebat dulu. Kini, saya menyambung kontrak dengan Astro Entertainment Sdn Bhd selama dua tahun lagi. Itu bermakna diri dan bakat saya masih diperlukan.

Sering bawa Ekin tengok wayang

"SAYA tak mampu nak memuaskan hati semua orang, saya berhak memilih dan menentukan kehidupan saya. Saya bahagia dengan kehidupan saya, walaupun ada yang tidak menyenanginya. Sejak mula bergelar artis, saya sudah lali dengan kerenah pelik peminat, ada yang suka dan bersikap sebaliknya. Saya sudah tak kisah lagi."

Mawi berkata, hidupnya kini semakin tenang, jika dulu, dia tidak boleh keluar rumah dan menikmati hidup seperti orang lain kerana sering diserbu dan diperhatikan, tetapi tidak sekarang.

Sambil tergelak kecil, Mawi akui: "Saya dan Ekin sudah boleh menonton wayang dan bersiar-siar jika ada masa terluang. Sekarang dah jarang saya diserbu macam dulu. Bagaimanapun, saya bukanlah seorang yang suka berpeleseran, saya lebih banyak menghabiskan masa duduk di rumah bermain video game, selain takraw atau menggubah lagu. Jika dulu, saya banyak menghabiskan masa yang terluang dengan memancing tetapi sekarang sudah jarang.

"Alhamdullilah, saya juga akan membuka studio tidak lama lagi. Studio bertempat di pejabat saya, Wangsa Maju dan kini masih lagi dalam pengubahsuaian. Saya kini giat menghasilkan lagu sendiri, jadi saya memerlukan studio memudahkan kerja rakaman. Ia juga adalah pelaburan saya untuk masa depan."

Mahu pergi ke Korea lagi

MAWI berkata, selain program travelogue, Langkah Mawi... World musim kedua, syarikat terbitannya MW Entertainment Sdn Bhd aktif menerbitkan telefilem dan drama. Sehingga kini, telefilem sempena raya lakonannya dan Ekin, Rumah Baru, Bini Baru Dan Baru Raya sudah menemui penonton Aidilfitri lalu.

"Saya bakal menerbitkan dua drama bersiri atau telefilem, bakal diarahkan Rahila Ali. Saya percaya dengan kredibiliti dan ketelitian Rahila selepas hampir dua tahun bekerjasama dan merantau dengannya dalam menghasilkan program Langkah Mawi.... World musim pertama dan kedua. Jika ada rezeki dan permintaan, travelogue ini akan disambung buat musim ketiga dan penjelajahan diteruskan ke negara lain.

"Saya juga merancang menerbitkan filem tidak lama lagi, tetapi semuanya masih dalam perancangan awal. Saya masih meneliti skrip yang bagus dan mahukan sesuatu yang berlainan. Bagaimanapun, saya tidak akan berlakon dalam drama atau telefilem yang diterbitkan MW Entertainment Sdn Bhd, cukuplah saya sebagai penerbit saja," katanya yang akan ke Korea Selatan bersama Ekin dan peminat yang tidak jemu-jemu memberi sokongan, hujung tahun ini.

Pengembaraan Mawi ke bumi Hong Kong adalah episod akhir untuk siri penjelajahan program Langkah Mawi... World musim kedua. Sebanyak lima episod terakhir menjalani penggambaran sekitar Hong Kong, Kowloon dan Lantau Island. Program 13 episod itu diterbitkan MW Entertainment dengan kerjasama Astro dan Hong Kong Tourism Board untuk siaran Astro Ria. Ia dijangka menemui penonton penghujung tahun ini.

Sekilas di Hong Kong

•Hong Kong mempunyai kira-kira 80,000 penduduk Islam. Kebanyakannya berbangsa Cina manakala selebihnya berasal dari Pakistan, India, Timur Tengah, Afrika dan Malaysia. Asal-usul kedatangan Islam di Hong Kong sukar dikesan, tetapi apa yang diketahui ialah komuniti Islam semakin berkembang selepas wilayah itu berada di bawah pemerintahan British pada pertengahan abad ke-19, waktu British membawa askar India.
•Kerajaan Hong Kong menyediakan tanah untuk memudahkan penduduk Islam membina masjid dan tanah perkuburan. Terdapat empat masjid utama dan Mawi dan Ekin sempat menjenguk salah satu daripadanya iaitu Masjid Ammar & Osman Ramju Sadick Islamic Centre yang terletak di Wan Chai. Pusat itu setinggi lapan tingkat, selain masjid dua tingkat, terdapat juga dewan komuniti, perpustakaan dan klinik. Masjid itu diuruskan Kesatuan Islam Hong Kong dan boleh memuatkan 700 orang dalam satu masa. Jika seluruh ruang digunakan, ia boleh menampung sehingga 1,500 orang. Mawi dan krew penerbitan sempat bersolat Jumaat dengan komuniti Islam di situ.
•Antara tarikan pelancong ke Hong Kong ialah pasar terbuka di situ. Antara yang popular ialah Ladies Market yang terletak di Tung Choi Street. Kebanyakan barangan di sini khusus untuk wanita – dari tas tangan, kasut, pakaian, aksesori dan permainan kanak-kanak. Mawi dan Ekin `borong sakan' kerana barangannya murah tetapi berkualiti.


•Mawi dan Ekin juga sempat membeli-belah di tiga pusat beli-belah terkemuka, Lang Ham Place, Times Square Hong Kong dan Elements. Jika di Malaysia, ia tak ubah seperti Starhill atau Pavillion yang bertaraf lima bintang dan menjadi tempat golongan atasan membeli-belah.


•Pasangan suami isteri selebriti ini turut menjengah Hong Kong Museum Of History di Kowloon. Di situ dipaparkan lapan bahagian membabitkan sejarah pembangunan, tradisi, kebudayaan dan amalan kehidupan warga Hong Kong dulu dan sekarang.


•Mawi dan Ekin turut mencuba opera klasik China. Seperti yang diketahui, opera klasik adalah satu cabang seni yang menggabungkan cerita legenda, muzik dan drama untuk menghasilkan sebuah persembahan yang unik dan menghiburkan. Seperti makyung di negara kita, seni persembahan opera juga memerlukan kemahiran pemain atau pelakonnya. Suatu ketika dulu, ia adalah satu sumber hiburan cukup popular tapi sejak Cantopop mula meningkat naik, minat warga Hong Kong terhadap opera mula hilang.


•Kerajaan Hong Kong berusaha menghidupkan semula seni persembahan ini dengan menyediakan banyak ruang pementasan. Bagi yang tidak begitu tahu mengenali opera China, satu cara mengenali seni persembahan ini dengan lebih dekat menerusi program apresiasi Hong Kong Cultural Kaleidoscope. Mawi dan Ekin dibawa ke Hong Kong Heritage Museum untuk berlakon opera bersama kanak-kanak cilik! Memang lucu gelagat pasangan suami isteri itu.
•Apabila berkunjung ke Hong Kong tidak lengkap jika tidak ke Tung Chun dan menaiki kereta kabel Ngong Ping. Mawi dan Ekin begitu teruja melihat pemandangan semula jadi Hong Kong dari udara. Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit itu menyajikan pemandangan indah Lantau dan Laut China Selatan. Tapi bagi yang gayat, mereka pasti gementar! Apabila tiba di perhentian Ngong Ping, jangan lupa singgah di perkampungan tradisional. Sungguh redup mata memandang.
•Paling seronok tentulah ketika Mawi dan Ekin dibawa memancing di tengah laut yang tenang di perkampungan nelayan Sai Kung. Ia mengambil masa kira-kira setengah jam dari bandar Kawloon. Dapat juga Mawi melepaskan kerinduan selepas sekian lama tidak memancing walaupun hanya Ekin berjaya mendapat ikan besar!



Artikel lain:

•Rossa bawa mesej damai
•Nabila atur langkah jadi pelakon hebat
•Lynn memang serba boleh
•Adi, Reza sedia rancang misi baru
•Serina kecewa
•Kak Pah, Anuar ziarah bakal hafiz
•Siapa juara Gadis Melayu 2009?
•Teater medan terbaik gilap bakat pelakon
•Tak serik kena kapur
•Gigih cari ruang jaja bakat
•Semakin selesa tanpa Vernon
•Cahaya kedamaian 3 jejaka
•Kakak, adik sama naik
•Zur Eda pakar buat samperit, tat nanas
•Nostalgia 1 Syawal
•Drama Melayu dapat peluang ke Tokyo
•Nurdayini di hati Ayu
•Kejang kaki asyik beli belah
•Rai lebaran di Jakarta
•'Beri kami peluang buktikan bakat'
•Amy seronok anak minat berlakon
•MIG belanja RM800,000 bonus pelakon, kru filem
•Mahligai indah Mawi dalam Rumah Baru
•'Kisah rumah tangga hak peribadi'
•Yassin bukan alami gila 'isim'
•'Bukan salah sesiapa'
•Peserta Gadis Melayu akui menyesal
•Seniman anjur Kembara 1Malaysia
•Jom berbuka sambil beramal
•Peluang dekati masyarakat bersama Singgah Sahur
•David Teo tak pasti nasib Rempit V3
•Seronok berbuka puasa di studio
•Anak muda semangat patriotik
•'Bercerai bukan kejar glamor'
•Artis terharu rai anak yatim di Melaka
•Emma Akma trauma terkenang 1 Syawal
•Artis naungan Beyond Events masuk pub
•Perginya idola nasyid negara
•Kenangan indah di KK
•Bintang veteran tetap disayangi peminat
•Santai Selebriti buat rakaman program Aidilfitri
•173 jam siaran sempena rai Ramadan
•1... 2... Jus! kembali di ntv7
•AC Di Sini bertukar jadi AC?
•Pilihan sebenar Rosyam malam ini
•Cari formula kuatkan jalan cerita filem
•Peluang rebut RM50,000 hanya dengan satu SMS
•Misteri Tower 13 di TV3
•Lapan jam terapung di laut

Siti dan KD nasib dan takdir berbeza


Penyanyi popular Malaysia tunggu rezeki timang cahaya mata Krisdayanti tabah hadapi liku hidup

SEBAIK saja mengetahui diva tersohor Indonesia, Krisdayanti atau KD, 34, berada di tanah air untuk promosi album kompilasi terbarunya, KD - Aku Wanita Biasa, sekali gus menjayakan persembahan amal mengutip derma Tabung Gempa Bumi Padang, Indonesia pada 23 Oktober lalu, penulis terus mengatur sesi fotografi KD bersama teman baiknya, Datuk Siti Nurhaliza, 30, umpama menemukan dua diva yang cukup dikenali di rantau ini!

KD dan Siti sering bertemu serta bergambar pada majlis hiburan di negara masing-masing, malah acap kali berduet di pentas nyanyian mahupun muncul di kaca TV.

Namun, sebaik selesai fotografi yang sentiasa diiringi hilai dan gelak ketawa daripada kedua-dua sahabat baik ini, KD terus mengakui inilah fotografi pertama yang diatur secara eksklusif untuk dirinya bergandingan dengan Siti sejak sekian lama mereka menjalin persahabatan:

“Saya senang sekali foto sama Siti hari ini! Saya senang sekali bekerja dengan media Malaysia. Orangnya baik-baik. Namun, saya bersyukur kerana kunjungan ke Malaysia kali ini sudah memasuki tahun ke-11 penerimaan peminat saya di sini! Kali pertama saya berkunjung ke sini pada 1998 ketika mempromosi album Menghitung Hari. Sejak itu saya sering saja ke Malaysia untuk promosi, pertunjukan pentas mahupun menjayakan pelbagai acara hiburan.

“Kali ini juga saya dapat peluang berfoto sama Siti kerana kami tidak pernah dipertemukan secara begini, maksudnya yang diatur rapi. Nah! Kebetulan, mulai bulan November ini, saya sama Siti akan merakamkan album studio duet kami yang pertama. Jika sebelum ini saya sama Siti hanya berpeluang berduet di pentas, namun kali ini peminat kami di Malaysia dan Indonesia, berpeluang memiliki album duet yang penuh,” kata KD sambil jari jemarinya ligat membalas kiriman SMS.

Sebelum ini KD dan Siti disebut-sebut membintangi filem Tiga Dara terbitan aktres Christine Hakim yang turut menampilkan Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama. Bagaimanapun, disebabkan beberapa kesulitan ia senyap begitu saja.

Album duet yang belum mempunyai judul itu mempunyai lapan lagu ciptaan komposer Malaysia dan Indonesia seperti Audi Mok, Aubrey Suwito, Sharon Paul dan Charlie ST12 (Indonesia). Ia dijangka memasuki pasaran Malaysia dan Indonesia selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun ini.

Krisdayanti luah rasa hati dalam lagu

“SEJAK kebelakangan ini rakyat Indonesia sering berprasangka buruk terhadap orang Malaysia umpamanya isu lagu, tarian dan pelbagai kontroversi. Justeru, apabila munculnya album duet saya sama Siti, sekurang-kurangnya ia bisa (boleh) mencairkan segala pertikaian itu dan memecahkan hiruk pikuk yang ada di antara kedua-dua negara,” kata KD sambil menyerahkan buku, Catatan Hati Krisdayanti - My Life, My Secret yang bertanda tangannya kepada penulis.

Melihatkan kepada ‘mood’ KD yang semakin galak bercerita, topik perbualan seterusnya menjurus kepada persoalan peribadi iaitu kontroversi perceraiannya bersama Anang. Saat penulis bersama KD, hanya selang beberapa jam saja dia sah bergelar janda apabila tuntutan cerai terhadap Anang disahkan Pengadilan Agama Jakarta Selatan (Jaksel) pada 22 Oktober lalu kira-kira jam 8.30 pagi (waktu tempatan).

Rumah tangga KD bersama Anang hanya mampu bertahan kira-kira 13 tahun saja apabila KD bernikah pada usia muda, 21 tahun pada 22 Ogos 1996. Memang sukar menerima kenyataan KD dan Anang sebenarnya sudah berpisah lebih-lebih lagi apabila mendengar lagu duet terbaru mereka ciptaan Anang iaitu Jangan Biarkan Cinta, Menangis yang turut dimuatkan menerusi album Aku Wanita Biasa.

Hampir dua bulan sejak Anang melafazkan talak pada 19 Ogos lalu, KD terus menyepikan diri dari sebarang publisiti, dia lebih gemar menyendiri, lantaran apabila persoalan itu dilontarkan kepadanya, pantas dia memberitahu: “Dalam album duet saya sama Siti, ada sebuah lagu berjudul Diamku Bukan Bererti Tak Bicara. Ini bermaksud saya berdiam diri untuk meredakan ketegangan supaya tidak terus ribut, sekarang lebih aman.”

'Saya tidak pernah berselingkuh'

KERETAKAN rumah tangga KD dikatakan berpunca daripada orang ketiga apabila yang terbaru dia dikatakan mempunyai kekasih gelap, seorang jutawan dari Timor Leste, Raul Lemos. Namun, ramai yang mempercayai skandal KD-Lemos berdasarkan kenyataan daripada dua anaknya, Titania dan Azriel apabila KD dikatakan pernah memperkenalkan kekasih gelapnya itu kepada anak-anak.

Puncak kemarahan anak-anaknya apabila melihat KD membawa Lemos memasuki kamarnya ketika mereka bercuti di Bali. Ketika itu Titania dan Azriel berada di dalam kolam renang sempat memerhatikan gelagat ibu mereka.

“Saya tidak pernah selingkuh (curang). Peminat dan media silap membuat tafsiran apabila melihat kemesraan saya dengan orang yang saya kenal rapat. Kadang-kadang saya memanggil teman rapat dengan panggilan sayang, justeru mereka beranggapan kami ada hubungan istimewa, sebaliknya tidak pernah berlaku.

“Mengenai kejadian di Bali, apa yang diperkatakan anak-anak, saya tidak setuju. Pada masa itu juga anak perempuan saya demam panas, yang lelaki pula, sakit mata, jadi kedua-duanya mana bisa berenang dan melihat apa yang berlaku.

“Mungkin perceraian saya sama Anang disebabkan dia tidak punya banyak waktu untuk saya. Semua perkara saya buat sendiri. Sebagai isteri, saya tidak dapat hak sewajarnya. Namun, saya juga bukan wanita yang sempurna. Saya tidak berhasil membina rumah tangga yang bahagia.

'Anang mungkin ada dendam'

“NAMUN, untuk saya kembali kepada Anang, tidak mungkin kerana cinta dan sayang saya sama Anang sudah mati, namun rasa hormat pada Anang masih tinggi.

“Yang jelas ketika ini, saya harus maju, sekali gus membuktikan karier yang baik bisa meluluhkan sebuah dendam. Kemarahan tidak bisa dilawan dengan kemarahan. Mungkin Anang masih ada rasa dendam terhadap saya,” kata KD sambil memperlihatkan matanya yang ‘berkaca’ apabila memberitahu masih belum berpeluang menemui anak-anaknya atas larangan Anang.

Sementara itu, Siti memberitahu, rancangan menghasilkan album duet bersama KD sudah lama difikirkan iaitu sebelum tercetusnya kontroversi KD-Anang. Apabila KD tidak lagi terikat dengan Warner Music dan kini bernaung di bawah KD Records, hasrat merakamkan album duet menjadi lebih mudah apabila KD merancang melakukan proses rakaman album berkenaan hanya di Malaysia.

Selain album duet, Siti juga bakal muncul dengan lagu, Kini Kau Jauh ciptaan Aidil Alfian yang dirakamkan khusus untuk arwah bapanya. Siti bergabung dengan adik beradiknya - Ayie, Siti Norsaida, Siti Nur Sairah dan Mohd Ali untuk lagu berkenaan. Pada masa sama, diva kesayangan ramai itu juga akan mengadakan Konsert Seribu Warna pada 14 November ini di Stadium Melawati, Shah Alam, sempena sambutan ulang tahun ke-17 Hai-O Marketing Sdn Bhd.

Menyentuh mengenai teman baiknya, KD, Siti terus mengulangi pendiriannya, apa yang terjadi hanya KD dan Anang, hanya Tuhan saja yang tahu apa sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka.

Siti sering berdoa minta zuriat

“SEBAGAI teman baiknya, saya akan tetap bersamanya sekalipun selepas tragedi pahit itu. Saya harap dia banyak bersabar dan kuatkan semangatnya. KD ada memberitahu saya, sampai saat ini dia belum berpeluang bertemu dengan anak-anaknya. Namun, saya yakin, suatu hari nanti, KD pasti bertemu dengan mereka.

“Mungkin anak-anak masih tersinggung dengan pelbagai laporan media massa, tapi KD tetap ibu mereka. Saya harap KD terus berdoa, insya-Allah ikatan ibu dan anak itu akan terjalin semula,” kata Siti antara teman rapat yang kuat memberi sokongan kepada KD.

Satu persatu bintang terkenal Indonesia gagal mempertahankan gerbang perkahwinan mereka. Sebelum KD, bintang jelita Indonesia, Rossa juga bercerai dengan Yoyo Padi. Kini, sudah terdengar suara sumbang yang bertanya, bila lagi giliran Datuk Siti? Justeru, bagaimana Siti berdepan dengan situasi berkenaan, adakah dia rasa marah atau tercabar?

“Saya tak rasa apa-apa pun, tenang saja. Apa yang pernah berlaku ke atas rakan-rakan artis, kita jadikan sebagai pengajaran, bukannya pertaruhan. Berdosa besar sekiranya kita mempertaruhkan keharmonian rumah tangga orang lain. Jangan sesekali kita mempertaruhkan jangka masa rumah tangga seseorang itu, takut nanti pertaruhan itu terkena pada diri sendiri.

“Kita seharusnya berdoa perkara yang baik-baik, bukannya menanti saat perceraian orang lain. Jaga diri kita, jaga rumah tangga, selebihnya kita berserah pada Allah, insya-Allah Tuhan akan memberkati kehidupan kita,” kata Siti yang berdoa dikurniakan zuriat sendiri.

Ada yang beranggapan, apabila mempunyai anak, rumah tangga akan lebih harmoni, bagaimana pendapat Siti?

“Zaman sekarang tak boleh jangka, ada anak pun boleh bercerai. Bagi saya, yang penting diri kita, suami isteri itu. Ada ketikanya, sekalipun ada anak, kadang-kadang si suami atau isteri ‘makan luar’ juga. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang,” kata Siti yang makin langsing.

INFO: Siti Nurhaliza

•1. NAMA PENUH: Siti Nurhaliza Tarudin
•2. TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979
•3. ASAL: Kuala Lipis, Pahang
•4. KELUARGA: Anak kelima daripada lapan beradik
•5. ALBUM ISLAMI PERTAMA: Tahajjud Cinta
•6. ANUGERAH & KEJAYAAN: Dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk dan lebih lima kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) serta lebih 10 kali bergelar Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH
•7. SUAMI: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa
•8. TARIKH NIKAH: 21 Ogos 2006


INFO: Krisdayanti
•1. PANGGILAN MESRA: Kris, Yanti atau KD
•2. TARIKH LAHIR: 24 Mac 1975
•3. ASAL: Malang, Jawa Timur, Indonesia
•4. ANTARA ALBUM: Menghitung Hari, Cahaya, Jatuh Cinta Lagi, Cobalah Untuk Setia, Aku Milikmu dan terbaru KD - Aku Wanita Biasa
•5. ANTARA DRAMA: Abad 21, Doaku Harapanku 1 dan Doaku Harapanku 2
•6. KEJAYAAN PERTAMA: Juara Asia Bagus 1992
•7. BEKAS SUAMI: Anang Hermansyah, 40
•8. ANAK: Titania Aurellie Nurhermansyah, 11, dan Azriel Akbar Hermansyah, 9

Spa Raja Farah


DIVA ingat lagi, Raja Farah bermula dengan lakonan dalam filem Salon dan sejak itu namanya semakin meningkat naik.

Baru-baru ini Diva dengar Raja Farah sudah maju setapak lagi dengan menjadi ahli perniagaan pula.

Seperti rakan selebriti lain, antaranya Diana Rafar dan Sharifah Shawati, Raja Farah juga ingin membuka spa kerana cintakan bidang kecantikan.

Namun, tak lama selepas itu, ada pula yang menyampaikan kepada Diva yang Raja Farah tak jadi buka spa tersebut. Walaupun sudah dirisik, mereka masih gagal mengetahui puncanya.

Diva sokong saja kalau selebriti ingin berniaga tapi mestilah bersungguh-sungguh. Kalau perlu, buat kertas kerja dahulu, cari lokasi strategik dan lakar pelan perniagaan jangka masa panjang.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails